JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Oktober 2010

ISU SOSIAL : SIKAP PEMANDU PUNCA NAHAS JALAN RAYA

Tiap-tiap tahun berlaku kemalangan dan kecederaan terhadap penumpang kenderaan mengakibatkan maut dan trauma kepada keluarga yang terbabit. Mengikut kajian pada tahun 2005, sebanyak 6,188 kematian dicatatkan. Manakala pada tahun 2006, sebanyak 3,243 penunggang dan 450 pembonceng motosikal maut dalam kemalangan jalanraya berbanding 677 pemandu kereta dan 538 penumpang terbunuh.
Berdasarkan sikap pemandu, Polis Diraja Malaysia turut mengeluarkan perangkaan yang menunjukkan bahawa 30.7 peratus kemalangan maut disebabkan oleh pemandu memotong dengan cara yang berbahaya, 26.5 peratus kerana pemandu memandu melebihi had laju, 8.1 peratus kecuaian semasa masuk atau keluar simpang dan 6.3 peratus kerana pemandu mengekor terlalu rapat dengan kenderaan lain. Berdasarkan unsur luaran pula menunjukkan bahawa 67 peratus punca kemalangan adalah disebabkan oleh sikap pemandu, 28 peratus berpunca dari keadaan alam sekitar dan 5 peratus adalah disebabkan kerosakan teknikal. Mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman penjara di antara 2 hingga 10 tahun, denda di antara RM5,000 hingga RM20,000 dikenakan jika melakukan kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

Kesedaran pengguna jalanraya sebenarnya amat penting demi mengelakkan kemalangan. Tiap-tiap kali menjelang tibanya Hari Raya, Deepavali, Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baru Cina kenderaan berpesta di jalan raya. Dan media televisyen, radio dan sebagainya pula asyik menyiarkan video, gambar dan perangkaan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada agar tidak terlibat dalam kemalangan.  Berita berkisar nahas bas ekspres juga seolah tiada kesudahan. Bertahun-tahun kita mendengar kes kemalangan maut melibatkan bas ekspres. Yang menjadi tanda tanya bagaimana bas yang mempunyai banyak saman boleh dibenarkan memperbaharui cukai jalan raya? Ini jelas menunujukkan pemantauan lemah oleh pihak-pihak yang berwajib. Kita tidak mahu saban tahun berpuluh-puluh nyawa melayang dengan sia-sia. Hakikatnya ramai yang tidak mengambil berat tentang keselamatan di jalanraya. Tali pinggang keledar dianggap menyusahkan, dan hanya akan ditarik apabila ternampak kelibat anggota polis trafik di hadapan. Juga pasti di antara kita yang pernah melihat pemandu yang memegang telefon bimbit sambil memandu.

Mereka yang melakukan perkara sedemikian selalunya akan memandu tidak tentu hala, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Perbuatan sebegini hanya akan menyusahkan pemandu-pemandu lain, mereka jelas mementingkan diri serta tidak bertimbangrasa. Ramai pemandu juga yang tidak memberi sebarang isyarat jika hendak menukar haluan samada ke kira atau kanan. Ini boleh mengejutkan pemandu lain jika tiba-tiba terdapat kereta yang masuk di lorong di depannya. Memandu terlalu laju dan melebihi had laju yang dibenarkan juga telah lama menjadi masalah di negara ini. Yang bermotosikal pula seolah-olah tidak menghargai nyawa. Padahal motosikal adalah yang paling berisiko tinggi untuk mengalami kemalangan. Topi keledar dianggap remeh atau jika dipakai sekalipun, tidak diikat kemas seolah-olah kepala mereka tidak akan pecah apabila berlaku kemalangan. Anak-anak muda terutamanya, gemar menunjukkan aksi-aksi berani mencelah sana sini dan bersuka ria di atas motor. Ada yang kelihatan terlalu muda untuk memiliki lesen menunggang motosikal.

Ibubapa memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Anak-anak yang masih kecil terutamanya, mudah meniru atau mengikut tabiat ibubapanya. Jika si ayah atau ibu memandu secara berhemah dan sentiasa mementingkan ciri keselamatan jalanraya, kemungkinan mereka juga akan jadi sedemikian. Perkara pertama bagi yang beragama Islam apabila memasuki kenderaan tentulah membaca doa menaiki kenderaan. Lama-kelamaan ia akan menjadi suatu kebiasaan bagi anak-anak sehingga mereka tidak perlu diperingatkan lagi. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak remaja pula, janganlah mudah sangat menyerahkan kunci motosikal. Pastikan dia tahu bahawa anda sangat mengambil berat tentang keselamatan semasa di jalan raya, dan dia tidak akan dibenarkan lagi menunggang motosikal jika didapati menunggangnya secara berbahaya.

Ada juga yang membawa kenderaan di dalam keadaan yang tertekan dengan masalah. Fikiran yang kusut bukanlah masa yang terbaik untuk memandu. Cuba selesaikan dahulu masalah yang dihadapi atau setidak-tidaknya cuba tenangkan fikiran. Terlalu memikirkan masalah boleh menghilangkan tumpuan pada pemanduan dan mengakibatkan kemalangan dan kematian. Memang benar semua orang mempunyai masalahnya sendiri. Namun jangan terlalu mengikut perasaan sehingga menjejaskan tumpuan. Sikap takabbur juga perlu dijauhi bukan sahaja semasa di jalanraya malah sepanjang masa. Sikap suka menunjuk dengan aksi-aksi berani mahupun menonjolkan diri dengan memandu laju elok dielakkan sama sekali. Perasaaan rendah diri dan menghormati orang lain perlu disemai di dalam diri. Justeru, kita perlu bersopan santun dan menghormati orang lain hatta di atas jalanraya sekalipun. Ini termasuklah memberi laluan kepada mereka yang melintas di tempat yang sepatutnya.

Perasaan perlu diurus secara bijak. Menurut Al-Imam al-Ghazali hati disifatkan mempunyai empat peranan; sebagai akal, roh, nafsu dan darah daging itu sendiri. Terdapat tingkatan-tingkatan nafsu yang dibahaskan. Setiap tingkatan nafsu itu membawa bersamanya perasaan individu manusia. Jika perasaan tidak dikenal-pasti dan tidak diuruskan dengan baik, maka besar kemungkinan individu itu akan mendapati dirinya menjadi hamba nafsu yang mencetuskan perasaan tidak baik dan dizahirkan melalui perbuatan yang juga tidak baik sifatnya.

Mastura bt Mohd Zain
Pegawai Penyelidik
13 Mei 2008

Artikel ini diambil dari


JENIS-JENIS PEMINJAMAN

PEMINJAMAN TULEN

1. Dilakukan secara penuh daripada bahasa asing.
2. Sebabnya, Bahasa Melayu tidak mempunyai kata-kata khusus.
3. Untuk menerangkan sesuatu konsep atau perkara baharu
4. Kata-kata yang dipinjam masih baharu
5. Kata-kata tersebut sukar dicari terjemahannya.
6. Contoh : telefon, doktor, gas, beg, ekonomi

PEMINJAMAN KUNO

1. Kata dipinjam daripada bahasa kuno
2. Kata yang dipinjam tidak digunakan lagi
3. Contoh : dermaga, suria, purnama

PEMINJAMAN DIALEK

1. Dialek tempatan digunakan dalam bahasa Melayu
2. Contoh : semalam, jenuh

PEMINJAMAN MAKSUD ATAU PENTERJEMAHAN

1. Kata-kata tersebut berasal daripada bahasa asing
2. Kata-kata tersebut diberi maksud baharu dalam bahasa Melayu
3. Hanya maksud yang dipinjam
4. Contoh : pejabat (office), buku (book), daya pengeluaran (productivity)

PEMINJAMAN KACUKAN

1. Gabungan kedua-dua unsur asing akibat pertembungan budaya
2. Mempunyai ciri-ciri yang sama
3. Contoh : Kasut but, baju kot

PEMINJAMAN BERPINDAH

1. Kata yang mengalami perubahan makna secara mutlak
2. Disebabkan terdapat kata lain yang hampir sama makna
3. Maksud pertama berpindah kepada makna kata kedua
4. Contoh : Vowel (Bahasa Inggeris), Vokal (Bahasa Melayu)

PEMINJAMAN UNSUR-UNSUR ASING

PENDEFINISIAN

1. Proses meminjam kata dan istilah daripada sesuatu bahasa oleh bahasa yang lain
2. Peminjaman dilakukan untuk kepentingan masyarakat yang meminjam

AKTIVITI YANG MENYEBABKAN PEMINJAMAN

1. Perdagangan
2. Penyebaran agama
3. Penyebaran ilmu
4. Pendidikan
5. Hubungan diplomatik
6. Penghijrahan
7. Penjajahan

UNSUR ASING YANG DIPINJAM

1. Kosa kata
2. Istilah
3. Bunyi bahasa asing
4. Imbuhan
5. Sistem tulisan
6. Peribahasa
7. Struktur ayat

FAKTOR PEMINJAMAN

1. Keperluan untuk menamakan sesuatu
2. Kekerapan penggunaan bahasa asing yang tinggi
3. Mengatasi masalah sinonim
4. Perkembangan dunia dan ilmu pengetahuan semakin pesat
5. Perancangan bahasa untuk menjadi bahasa moden
6. Sikap mengagungkan bahasa asing.

TIGA TAHAP PENGEKODAN PERKAMUSAN BAHASA MELAYU

TAHAP 1

1. Penghasilan daftar kata untuk memudahkan urusan perdagangan
2. Daftar Kata Melayu-Cina (Sebelum kurun ke-15) (Daftar Kata Tertua)
3. Daftar Kata Melayu-Itali
4. Daftar Kata Melayu-Belanda

TAHAP 2

1. The Grammar of The Malay Language - William Marsden
2. The Grammar and Dictionary of The Malay Language = John Crawfurd
3. Malay-English Dictionary = R.J Wilkinson

TAHAP 3

1. Kamus Ekabahasa = Kamus Dewan dan Kamus Bahasa Melayu (Edisi Pelajar)
2. Kamus Dwibahasa
3. Kamus Istilah

TUJUAN PENUBUHAN PERTUBUHAN BAHASA MELAYU ZAMAN PRAMERDEKA

PAKATAN BELAJAR MENGAJAR PENGETAHUAN BAHASA (PBmPB atau PAKATAN)

1. Mengendalikan perbincangan tentang permasalahan bahasa Melayu.
2. Mengendalikan ceramah tentang permasalahan bahasa Melayu
3. Permasalahan yang dibincang merangkumi ejaan dan perkataan
4. Mewujudkan perpustakaan

PERSAUDARAAN SAHABAT PENA (PASPAM)

1. Mengeratkan persaudaraan sesama ahli
2. Menggalakkan penulisan dalam bahasa Melayu
3. Menggalakkan pembacaan dalam bahasa Melayu
4. Mendirikan perpustakaan

PEJABAT KARANG MENGARANG

1. Menerbitkan buku teks untuk kegunaan sekolah Melayu
2. Menerbitkan bahan bacaan umum dalam bahasa Melayu
3. Menerbitkan jurnal
4. Mengadakan perpustakaan bergerak.

ANGKATAN SASTERAWAN 50 (ASAS 50)

1. Mengembangkan bahasa Melayu
2. Mengembangkan kesusasteraan Melayu
3. Menjaga kebajikan dan kepentingan penulis
4. Melindungi hak pengarang
5. Mengadakan pembaharuan dalam bidang penulisan

DUNIA FESYEN BANYAK MEMPENGARUHI GAYA HIDUP REMAJA MASA KINI


Pada zaman mutakhir yang sarat dengan onak ranjau dan bertunjungkan golbalisasi informasi dan telekomunikasi ini, negara Malaysia telah berganjak daripada paradigm asal dan mengorak langkah ke arah ambang 2020 agar dapat bergerak seiring dengan empayar-empayar dunia, bak kata pepatah, “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Dalam menongkah arus globalisasi, negara kita semakin cenderung ke arah dasar langit terbuka dan pelbagai anasir dan pengaruh yang begitu asing dengan lunus dan tantanan masyarakat mula menyusup masuk , afdalnya dunia fesyen Barat yang begitu menonjol pengaruhnya dalam halakah remaja. Benih-benih yang bercambah dalam hati remaja kini ternyata mempengaruhi gaya hidup kentempon mereka dan pelbagai aspek sama ada dari segi pertuturan, pemikiran dan perlakuan. Oleh hal yang demikian, marilah kita mencapang kemusykilan ini dan menganalis pengaruh cengkam fesyen terhadap dunia remaja kini yang semakin mengungguhi elemen-elemen fesyen.

Kalau diperhatikan, kesan taring fesyen sememangnya menimbulkan pelbagai reaksi dan perhatian, terutamanya dari segi pemakaian remaja kita. Pada lembaran sejarah silam, remaja yang duduk di bawah bumbung Malaysia merupakan penegak warisan bangsa dan baju kurung, baju kebaya, batik, songket, cheongsam dan sari merupakan cara pemakaian yang sudah sebati dengan rutin hidup masyarakat Malaysia. Kendutipun, setelah disajikan dengan arus fesyen dunia yang begitu membaham, remaja mula menganjak kelesturan seni dan mula mengayakan diri dengan penampilan yang bertujuan untuk menonjolkan keistimewaan sendiri dan berorientasikan populasi dan perhatian ramai. Biar kita pantau, majoriti remake semasa yang bergantayang dan bergelumang di pusat-pusat hiburan ataupun kaki lima, sering berkonotasi dengan pakaian pro-Barat seperti jean ketat, baju yang diterapkan dengan kata-kata kasar lagi erotik, rantai logam yang berlapis-lapis dan sebagainya. Scenario ini menjadi semakin rejat dan ruwet apabila golongan Hawa mula menjalan di atas jeram fesyen Barat dengan memakai pakaian yang menjolok mata dan tidak menutup tubuh. Tamsilnya, “tube top”, singlet ketat, skirt mini ataupun “hot pants” yang begitu digemari oleh golongan remaja muda, tetapi menjadi ratapan segenap masyarakat yang tercalar apabila disajikan dengan imej remaja kita.

Selain itu, fesyen Barat tidak terhad dalam gaya pakaian remaja tetapi begitu meluas liputannya ibarat kegelapan tanpa sempadan. Fesyen bertutur terutamanya negara Eropah telah mengakar dan bermaharajarela dalam gaya hidup remaj kini. Fenomena ini menyebabkan remaja kita didedahkan terus dengan fesyen pertuturan salunah Timur yang begitu menitikberatkan penghayatan nilai-nilai muthali dalam percakapan seharian, sama ada dengan yang tua ataupun yang muda. Dalam alum bahasa Melayu yang begitu indah sinarnya dan merdu serunainya, masyarakat Melayu sememangnya terkenal martabatnya dalam adat salam, contohnya “kak Long”, “Mak Su” dan sebagainya apabila bersapa dengan orang tua, ditambah lagi dengan kebiasaan membongkokkan badan semasa menumpang lalu. Namun demikian, remaja kita nampaknya semakin terasa bahangnya apabila media massa menayangkan rancangan-rancangan Barat yang tidak menapis dan sekaligus menganjak kesopanan berbicara masyarakat Timur. Tamsilnya, remaja Barat yang bersapa dengan bercium pipi atau terus memanggil nama ibu bapanya mereka tanpa gelaran yang sepatutnya kontra jika dibandingkan dengan masyarakat Timur. Implikasinya, remaja kita yang berminda plagiat dan muklah diagtasi akan terikut-ikut dengan fesyen bicara Barat persis kerbau dicucuk hidung dan melenyapkan budaya mereka.

Kesinambungannya, dunia fesyen yang memperkenalkan pelbagai variasi dan perubahan telah menyebabkan remaja jita terkandas dalam kancah kealpaan tanggungjawab. Seperti yang diketahui, fesyen berubah-ubah mengikut perkembangan semasa globalisasi dan aspek perubahan pula berlainan dan termasuklah pakaian, telefon bimbit, fesyen rambut dan sebagainya. Perubahan yang mendadak dan tidak konsisten akan menyebabkan golongan muda cenderung untuk berlumba-lumba menongkah arus fesyen. Fenomena yang tidak sihat ini akan menyabakan asset negara kita leka dan taksub dalam lubuh ilusi fesyen dan alpa terhadap obligasi yang digalas oleh mereka, tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak sekolah, harapan menggunung akan didamkan oleh nusa. Sesungguhnya, dunia fesyen yang melampau telah menyebabkan remaja kita hidup terkontang-kanting tanpa perspektif jelas kerana asyik dalam keseronokan mengejar fesyen. Sekiranya situasi ini dibiarkan menular, nescaya impian negara kita susah dicapaikan.

Bukan itu sahaja, gelombang fesyen dunia yang semakin meledak dan kian membahang telah membangkitkan isu metarialisah dan hedonistik yang bergeloyak dalam halakah remaja. Fesyen-fesyen yang didedahkan kepada golongan remaja merupakan simbolik atau perlambangan status sebagai individu kontempon dan berupaya untuk bergaya seiring dengan perkembagaan semasa. Secara implisitnya, gaya fesyen membawa mesej berkenaan dengan persoalan meterialisme dan mempengaruhi para remaja agar bermegah-megah dengan penampilan luaran yang secara tidak langsung mencerminkan kestabilan meterialiti. Disebabkan oleh perasaan dan nafsu mungkar yang mendorong mereka untuk mengejar fesyen, para remaja yang belum mempunyai keupayaan dari segi ekonomi pada ghalibnya akan menghadapi kesukaran dan sering berandak meminta wang daripada ibu bapa. Sikap segelintir ibu bapa yang memanjakan anak-anak mereka akan menunaikan segala keinginan mereka telah melahirkan generasi baru yang menitikberatkan aspek kewangan. Bagi pandangan mereka, wang kertas yang dihulurkan oleh orang tua mereka merupakan tanda ambil berat ibu bapa terhadap mereka. Pendek kata, perkembagan fesyen yang keterlaluan telah menguntik gejala meterialisme dalam minda golongan remaja dan memudahkan proses mutasi ke arah penzaliman yang melibatkan aspek wang dan harta.

Namun demikian, terdapat juga kesan tersirat pengaruh fesyen dunia terhadap rutin kehidupan golongan remaja. Dari segi psikologi, perkembangan fesyen membekalkan ruang alternatif bagi golongan remaja untuk menguatkan keyakinan diri dalam kehidupan seharian, di samping membuka spekulasi remaja untuk menerima sesuatu yang baharu dalam kehidupan mereka. Keadaan itu menunjukkan impak posrat memandangkan pembangunan minda rakyat. Malaysia yang mundar sedikit berbanding dengan masyarakat Eropah yang kaya dengan inisiatif dan kreativiti dengan naluri ingin tahu serta perasaan ingin mencuba, sekaligus membolehkan mereka mendominasi dunia teknologi kerana mempunyai keinginan yang menjurus ke arah pendedahan dan eksplotasi dunia misteri. Walau bagaimanapun, keadaan ini wajiblah diubah dan disesuaikan dengan gaya hidup masyarakat kita.

Sebagai konklusinya, perkembangan dunia fesyen dari pelbagai aspek telah membawa pembaharuan terhadap gaya hidup remaja kini, namun majoritinya menjurus ke arah impak-impak yang hanya mengundang musibah. Remaja merupakan pemimpin pada masa depan dan merekalah yang bakal melakar lembaran kegemilangan negara di persada global yang semakin rancak dengam pembangunan dunia bertaraf ketiga yang lain. Oleh hal yang demikian , remaja sendiri sebagai aset terpenting negara haruslah mempunyai inisatif untuk membezakan antara intan dengan batu kerana pada bahu mereka terentaknya masa hadapan mereka.

Hasil Kerja Pelajar
Heikal Fahmy
SMK Sacred Heart

HASIL KARYAKU : APABILA AKU LETIH

Letih oh letih
apabila hari-hari
asyik-asyik mesyuarat
tulis surat menyurat
mentafsir yang tersirat
menghadam yang tersurat

Penat oh penat
melayan kerenah anak-anak
bermacam-macam ragam
bervariasi kelakuan
sesekali merobek rasa
sesekali meghujan ceria
azab, suka, duka, bahagia
hanya aku yang menikmatinya

Lesu oh lesu
hari-hari mengajar topik itu
masih juga mereka tidak tahu-tahu
tak faham-faham isi hati guruku
tak sedar-sedar masa dah berlalu
marahku dianggap gurauan
nasihatku dianggap mainan
amanatku dianggap lucu

Sedih oh sedih
makin hari aku makin tua
dimakan stress dan tekanan berganda
yang hitam makin memutih
memutih seperti buih
urat-urat dah tak larat
entah esok entah lusa
aku akan bertongkat
untuk terus memberi khidmat
dunia kerjayaku yang padat dan sarat

Karya 
Zul Farihin
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak

20 Oktober 2010


ISU SOSIAL : AWASI AKTIVITI ANAK GADIS DARI TERJERUMUS JERAT PEROGOL DURJANA

Jumlah kes rogol yang dilaporkan di negara kita telah bertambah dua kali ganda dari tahun 2003 ke 2007. Berdasarkan kajian yang dibuat, terdapat 1,279 kes pada tahun 2003. Jumlah ini telah meningkat kepada 3,098 kes pada tahun 2007. Namun harus diingat angka yang dilaporkan hanya melambangkan jumlah kes yang dilaporkan. Dalam banyak keadaan, kes rogol biasanya tidak akan dilaporkan kerana banyak sebab. Menurut Dr. D Prema dari Women's Centre for Change (WCC) Pulau Pinang, berdasarkan pengalaman, hanya 20 orang mangsa sanggup tampil dan berani untuk membuat laporan. Kenyataan tersebut dibuat semasa beliau berucap di seminar "Understanding and Supporting Rape Survivors".

Baru-baru ini kita sekali lagi dikejutkan dengan laporan akhbar tentang seorang gadis berusia 15 tahun telah dirogol secara bergilir-gilir dan beramai-ramai oleh 15 orang lelaki di Sungkai, Perak. Sebelum itu pun kita telah dihidang dengan banyak laporan di dada-dada akhbar berkenaan kes rogol yang sudah seperti menjadi halwa telinga kita setiap hari. Apakah punca sebenar kepada berlakunya jenayah rogol yang semakin menggila ini? Persoalan ini sememangnya tidak akan selesai selagi manusia yang bernafsu binatang ini tidak sedar betapa besar kesan perbuatan terkutuknya itu bukan sahaja kepada mangsa malah bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan. Dalam kebanyakan kes, mangsa pada mulanya hanya bertemu dengan 'pemangsa' atas dasar suka sama suka sama ada pertemuan mereka itu adalah lanjutan dari sembang-sembang di internet atau lebih popular dengan panggilan sembang maya ataupun perkenalan fizikal.  Hari ini, kita dilambakkan dengan pelbagai laman web sosial yang membuka ruang untuk pengguna internet bersembang-sembang. Contohnya seperti Facebook, Twitter dan lain-lain. Selain itu, ruang sembang juga mempunyai pelbagai 'saluran' yang berunsurkan seks.

Ramai rakyat Malaysia lalai dengan menghabiskan banyak masa di hadapan komputer dan mendedahkan diri mereka kepada laman-laman web sosial ini yang akhirnya boleh menjurus kepada berlakunya amalan seks bebas dan mereka yang lemah, menjadi mangsa rogol. Selain itu, saya percaya, bagi yang beragama Islam, mereka tidak akan terlibat dalam perbuatan keji itu jika mereka mempunyai iman yang teguh kerana sudah jelas di dalam Islam bahawa perzinaan itu haram hukumnya. Daripada perzinaan itu juga membawa kepada kesan buruk kepada masyarakat. Larangan zina ini jelas termaktub di dalam al-Quran dalam Surah al-Israk ayat 32.  Kebanyakan mereka yang terjerumus kepada dosa zina adalah mereka yang menurut hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan balasan seksa yang bakal mereka tanggung di akhirat kelak. Antara kerosakan yang lebih dahsyat apabila berlakunya perzinaan ialah banyak berlaku kes hamil luar nikah dan yang lebih teruk pasangan yang tidak bertanggungjawab ini sanggup membuang anak luar nikah yang dilahirkan sehingga banyak kes dilaporkan tentang kematian bayi di tong-tong sampah, dalam semak belukar bahkan ada juga yang ditemui di dalam tandas. Alangkah hina sikap manusia sedangkan haiwan yang melahirkan anak sanggup menjaga anak mereka, inikan pula kita manusia yang dikurniakan akal fikiran. Betapa hinanya manusia yang tergolong dalam kelompok ini.

Kanun Keseksaaan (Penal Code) buat masa ini menetapkan pesalah yang disabitkan di bawah seksyen 375 akan dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan rotan.  Saya kira sudah tiba masanya pihak-pihak berkenaan seperti Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia mengkaji semula hukuman sedia ada. Jika perlu, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka yang disabitkan kesalahan kerana bagi saya, perogol-perogol ini adalah sehina-hina makhluk di muka bumi ini. Kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, awasilah supaya tidak menjadi mangsa kerakusan syaitan yang bertopengkan manusia ini. Kepada yang mempunyai anak-anak yang meningkat remaja, didiklah tentang asas agama yang kukuh supaya mereka tidak mudah terdorong untuk melakukan aktiviti yang menjelekkan ini dan sentiasalah memantau aktiviti mereka. Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah kerana pada waktu itu, nasi sudah menjadi bubur.


HANIF MOHSEIN MOHD. FAUZI
Ampang, Selangor
Utusan Malaysia
05 Mac 2010

ISU PENDIDIKAN : MAMBACA BUKAN BUDAYA

Mengapa kita dikatakan kurang membaca? Adakah disebabkan pengaruh kajian membaca kebangsaan? Sejauh manakah kebenaran itu? Bolehkah ia dibuktikan dengan kajian pemerhatian sendiri?. Apakah kajian itu mengambil kira faktor-faktor mengapa keadaan sebegitu berlaku? Adakah kita perlukan kajian penanda aras ke atas budaya membaca kita berbanding dengan negara-negara yang mempunyai tahap membaca yang tinggi? Itu adalah antara persoalan yang berlegar-legar di fikiran penulis ketika melihat senario di kalangan masyarakat kita apabila menyentuh tentang budaya membaca.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa purata dua buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia setahun merupakan nombor yang perlu dikaji dengan lebih mendalam. Angka itu masih boleh dipersoalkan walaupun negara telah menyaksikan bahawa penambahan jumlah pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Penganjuran pesta itu dikatakan telah mencapai matlamat apabila menerima kunjungan lebih 1 juta pengunjung. Atau penambahan pembaca buku-buku popular, tetapi seperti yang diucapkan oleh Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-Kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979 dahulu bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih. Ini kerana membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu. Kita perlu lebih kritis. Mengapa hanya dua buah buku secara purata dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun? Tentunya bersebab. Daripada pemerhatian dan pembacaan penulis, didapati bahawa:

Membaca tidak menjadi budaya orang Malaysia

Faktor ini mungkin didorong oleh kesibukan masa yang diperuntukkan untuk bekerja. Sekurang-kurangnya dua jam atau lebih dihabiskan di atas jalan raya untuk pergi ke tempat kerja dan kembali ke rumah. Apabila sampai di rumah, penat dan letih. Mungkin juga kerana semasa di bangku sekolah, tidak ditekankan kepentingan membaca, kecuali buku-buku teks. Mungkin juga kerana pengaruh ibu bapa atau keluarga yang tidak menitikberatkan budaya membaca. Tidak pernah dihadiahkan buku, dan tidak pernah terfikir bahawa buku itu penting dan membaca itu penting. Mungkin juga kerana pengaruh media massa yang semakin menjauhkan penontonnya dengan buku, sebaliknya menjadikan artis itu sebagai idola utama mereka.

Pengaruh suasana dan faktor sekeliling

Mungkin telah menjadi amalan kita untuk membaca dalam keadaan sunyi. Seperti mana yang seringkali menjadi amalan di dalam sesebuah perpustakaan disuruh diam. Memang amalan itu tidak salah tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut terpengaruh untuk membaca di dalam keadaan sunyi. Kerana itulah agak sukar untuk kita membaca di dalam LRT, bas atau di tempat-tempat awam. Malah mungkin persepsi orang ramai bahawa orang yang membaca (terutamanya di tempat-tempat awam) adalah untuk menunjuk-nunjuk, dan memberikan gambaran ‘negatif’ bahawa pembaca itu ‘ulat buku’ yang tidak boleh dibuat kawan (kerana hanya berkepit dengan buku). Ulat buku mungkin dianggap antisosial atau antisukan. Persepsi-persepsi sedemikian amat berbahaya kerana ia akan menjauhkan buku dengan masyarakat.

Harga buku yang dianggap mahal

Mungkin ini juga antara faktor utama untuk tidak membaca. Harga buku yang mahal mungkin disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti kadar tukaran wang asing yang tinggi yang menyebabkan harga buku import menjadi mahal, kos penerbitan dan percetakan yang tinggi, dan keengganan kita sendiri untuk keluarkan wang dari saku untuk membeli buku. Apatah lagi dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, maka perbelanjaan perlulah dirancang dengan memasukkan elemen buku sebagai belanja wajib seperti mewajibkan makanan lain yang sentiasa dibeli.

Merasakan membaca tidak penting

Mungkin sifat untuk merasakan tidak ada kepentingan untuk membaca merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia kurang membaca. Sama ada sebagai seorang bekas mahasiswa universiti atau bekas pelajar sekolah, kebanyakan daripada kita tidak mahu memegang buku apatah lagi membacanya. Ini juga satu kemungkinan. Hasil pemerhatian penulis, didapati amat kurang daripada mereka yang mahu membaca. Dan tidak ada satu perasaan gembira dan keseronokan untuk membaca. Sehingga seterusnya memberikan alasan kerana pengaruh masa (kerja) yang membatasi mereka daripada membaca. Mungkin kerana memikirkan bahawa buku tidak akan memberi sebarang faedah secara langsung kepada mereka, jika dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Misalnya, dengan membeli kereta (atau bertukar-tukar kereta), secara langsung memberikan kepuasan kepada mereka dari segi nilai estetik dan kemewahan. Inilah antara persoalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu dalam usaha kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya.


KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM
Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 
Setiausaha Agung,  Komuniti bukuonline.org

ISU ICT : MENCURI MAKLUMAT MELALUI INTERNET

Kejuruteraan sosial atau social engineering adalah satu bidang di mana maklumat diperoleh oleh pencuri maklumat tanpa disedari oleh penyimpan maklumat. Melalui perbualan di telefon misalnya, penjenayah memperkenalkan diri sebagai pekerja bank dan meminta mangsa menyerahkan nombor kad pengenalan atau kad kredit. Ini adalah contoh paling mudah. Selain itu kita sering berhadapan dengan kaedah jurujual yang datang ke rumah dengan helah ingin membuat kaji selidik terhadap sesuatu perkara dan bertanyakan bermacam-macam maklumat peribadi. Mangsa selalunya terpesona dengan pujukan janji dan pujukan penjenayah lantas menyerahkan maklumat dengan rela hati. Menerusi Internet jurutera sosial ini juga dapat mencari mangsa.

Contoh yang paling mudah adalah menerusi laman laman web yang kononnya menawarkan skim cepat kaya melalui pelaburan Internet. Halaman web palsu direka dan pelbagai tawaran skim cepat kaya dipaparkan untuk menarik pelanggan. Bagi yang mudah terpedaya dengan senang membuat bayaran pendahuluan dan memberikan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank. Bayangkan hanya dengan tawaran AS$380 pada bulan pertama mangsa memberikan nombor akaun bank kepada orang yang tidak dikenali. Setelah mendapat maklumat penting ini langkah seterusnya iaitu mencuri wang secara atas talian dapat dijalankan tanpa disedari oleh mangsa.

Jurutera sosial juga akan menggunakan sistem mel elektronik untuk mendapatkan maklumat mangsa. Penghantar mel ini menyatakan penerimanya telah memenangi sesuatu pertandingan dan hadiah yang amat lumayan. Jika terperdaya mangsa akan membalas mel ini dan menyerahkan segala maklumat rahsia kepada penjenayah. Kaedah ini dinamakan social phising yang merupakan salah satu cabang dalam social engineering. Pelbagai contoh cerita benar yang berkaitan dengan jenayah komputer berasaskan kepada social engineering. Mempercayai kenalan siber tanpa sebarang pengenalan diri menyebabkan mangsa dengan rela hati membuka saluran maklumat kepada penjenayah. Aplikasi chating kadangkala mendorong mangsa meyakini seseorang tanpa sedar.

Menurut kajian, jenayah komputer dan Internet bersandarkan kepada kaedah ini dapat dikawal dengan kesedaran yang mendalam terhadap keselamatan terutama bidang maklumat. Sistem keselamatan maklumat yang paling berkesan perlu bermula dengan kesedaran pengguna. Kurang kesedaran mengenai keselamatan komputer dan Internet punca utama maklumat disalurkan kepada orang yang tidak bertanggungjawab. Polisi keselamatan maklumat yang terperinci dan tegas dikatakan mampu mengawal mangsa dari menyalurkan maklumat tanpa sedar.

Oleh : Rabiah Ahmad
Utusan Malaysia
02 Mei 2007

ISU EKONOMI : HUTANG ISI RUMAH DI MALAYSIA

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bimbang dengan peningkatan paras hutang isi rumah yang berjumlah 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas. Menurut laporan tahunan 2009 Bank Negara Malaysia (BNM), hutang isi rumah dilaporkan meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun ini iaitu yang tertinggi di Asia daripada 63.9 peratus KDNK pada 2008. Menurut Felo Penyelidik Kanannya, Dr. Foong Kee-Kuan Nisbah Pinjaman-kepada-nilai (LTV) perlu dikurangkan untuk menangani kenaikan ini. Pada masa depan, sepatutnya terdapat lebih banyak pinjaman perniagaan berbanding pinjaman isi rumah. Lebih banyak pinjaman perniagaan akan menyumbang kepada pertumbuhan kita. Memetik laporan Petunjuk Perbankan dan Monetari bank pusat itu, MIER menjelaskan, pinjaman isi rumah pada April, Mei, Jun, Julai dan Ogos tahun ini masing-masing berada pada 10 peratus, 11.7 peratus, 12.5 peratus, 11.9 peratus dan 11.8 peratus.

STPM 1998 = FONOLOGI


SOALAN 1
Penghasilan Konsonan Letusan

KETERANGAN
1. Udara dari paru-paru yang keluar melalui rongga mulut disekat.
2. Udara dilepaskan perlahan-lahan

SOALAN 2
Konsonan Pinjaman Bahasa Arab

KETERANGAN
1. Ghairah
2. Masyarakat

SOALAN 3
Konsonan Letupan

KETERANGAN
1. Udara dari paru-paru disekat dengan merapatkan dua alat pertuturan seperti dua bibir, bibir-gusi, dan lidah-lelangit keras.
2. Udara kemudian dilepaskan dengan cepat/serta merta

SOALAN 4
Konsonan Letupan Bersuara

KETERANGAN

1. Konsonan letupan bersuara ialah [ b ], [ d ], [ g ]
2. Pita suara bergetar semasa menghasilkannya.
3. Contoh Perkataan : Badak, Sabun, Badang

SOALAN 5
Vokal Belakang Sempit [ u ]

KETERANGAN
1. Belakang lidah dinaikkan tinggi
2. Lelangit lembut menutupi rongga hidung
3. Pita suara bergetar
4. Udara keluar dari rongga mulut tanpa sekatan
5. Bibir berkeadaan bundar

SOALAN 6
Konsonan Letupan

KETERANGAN
1. Boleh dihasilkan bersuara dan tidak bersuara
2. Udara dilepaskan serta merta
3. Daerah artikulasinya ialah bibir, gusi, lelangit lembut dan glotis
4. Boleh terletak di awal, di tengah, dan di akhir kata

SOALAN 7
Contoh perkataan bunyi sengauan gusi [ n ]

KETERANGAN
1. Nasi
2. Tunas
3. Nasib
4. Bank
5. Tangan