Rencana ini ditulis oleh :
Ramli Abdul Karim
Ramai yang bertanya
kepada penulis mengenai kesudahan kontroversi budaya Mandailing, Tor-tor dan
Gordang Sambilan yang menyebabkan hubungan Indonesia-Malaysia sedikit goyah
bermula 18 Jun 2012 yang lalu. Sebelum memperhalusi isu ini, wajar dijelaskan
terlebih dahulu latar belakang kontroversi itu. Tor-tor dalam bahasa Mandailing
bermaksud tarian, manakala Gordang Sambilan bermaksud gendang sembilan. Di
pihak Malaysia tiada yang tersembunyi atau pelik apabila Menteri Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 14 Jun lalu
menyatakan, kerajaan akan mengiktiraf kebudayaan Mandailing di Malaysia
terutama tarian dan gendangnya.
Dalam ucapan selepas
merasmikan Perhimpunan Anak-Anak Mandailing Malaysia dan pelancaran Persatuan
Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia) Daerah Gombak di Dewan Sri
Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves pada petang hari berkenaan, Rais berkata:
"Buat permulaan kita akan daftar Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan
ini sebagai budaya suku kaum Mandailing di bawah Akta Warisan Kebangsaan
2005." Rentetan kontroversi bermula dua hari kemudian. Dengan tajuk
'Malaysia Klaim Tari Tor-Tor?' menerusi akhbar online Kompas pada 5.15 petang
(6.15 petang Malaysia) 16 Jun lalu misalnya, menjadi antara peniup api
kemarahan tidak rasional rakyat Indonesia. Artikel itu memetik laporan agensi
berita Bernama mengenai kenyataan Rais tetapi mengubah suai tajuk asalnya. Ia
dibaca 51,552 orang pelawat KOMPAS.com sehingga 3 petang, Jumaat lalu. Ia
dikongsi (share) 3,764 orang ke akaun laman sosial peribadi atau kumpulan
masing-masing di Facebook atau Twitter dan 3,764 orang yang menekan butang
'Suka' atau 'Like'.
Selain tajuk
provokatif, KOMPAS.com menyelitkan foto tidak relevan sekumpulan penari Batak
Karo dalam berita itu walaupun tarian yang dimaksudkan Rais adalah tarian
Mandailing. Sepantas kilat, ia diulang kongsi dan diulang salin, sehinggalah
menjelang petang esok (Ahad) dan malamnya, ia merebak ke jutaan akaun Facebook
dan Twitter milik rakyat Indonesia. Keributan rakyat Indonesia lebih pantas
memuncak apabila kebanyakan portal berita Indonesia turut memetik laporan
Bernama itu. Mereka mengubah suai atau menulisnya ke bahasa Indonesia mengikut
fahaman dan gaya tersendiri. Di Indonesia, perkataan "klaim" (dakwaan
pemilikan) sangat sensitif. Sentimen dan api kemarahan rakyat Indonesia meledak
sepenuhnya pada Isnin, 18 Jun. Televisyen, radio, akhbar dan portal serta edisi
online akhbar di Indonesia mula memperbesar-besarkan isu ini. Tanpa segan silu
dan rasa bersalah rakyat Indonesia mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat,
cacian, penghinaan dan ugutan kepada Malaysia. Daripada orang biasa sehinggalah
kepada tokoh masyarakat serta para pemimpin termasuk menteri dan anggota Dewan
Perwakilan Rakyat (DPR) di Indonesia melakukan penghinaan tahap paling rendah
kepada Malaysia.
Ini termasuk
kenyataan memperlekeh Raja-Raja Melayu, melabel Malaysia sebagai negara miskin
budaya dan mengesyorkan negara ini dibom. Api kemarahan rakyat yang
terus-terusan ditiup, mencapai tahap kemuncak ketidakwarasan apabila sekumpulan
Pemuda Pancasila menyerang dan merosakkan bangunan Kedutaan Malaysia dan
Malaysia Hall di Jakarta pada 22 Jun lalu. Dalam tempoh 18 Jun sehingga
semalam, pelbagai andaian salah dibuat di Indonesia, antaranya:
1. KLAIM: Menuduh
Malaysia mencuri Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan.
2. UNESCO: Andaian
bahawa Malaysia telah ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mendaftarkan kedua-duanya.
3. PATEN: Mentafsir
secara salah bahawa mendaftarkannya di bawah Akta Warisan Kebangsaan bermaksud
mahu mempatenkannya.
4. ASET NASIONAL:
Mendakwa pendaftaran oleh Malaysia itu kerana mahu mengaut untung dengan mengkomersialkan
kedua-duanya.
5. WARISAN: Mentafsir
perkataan 'warisan' sebagai turut bererti pemilikan.
6. MANIPULASI
UNDANG-UNDANG: Maksud klausa dalam akta itu termasuk pemilikan budaya berpindah
kepada kerajaan jika warisan dijual, dimanipulasi. Ia sebenarnya khusus buat
warisan ketara seperti bangunan dan istana. Kebudayaan adalah warisan tidak
ketara yang mustahil dijual.
7. SENTIMEN RASIS
TIDAK RELEVAN: Memfokus kontroversi kepada Tor-tor Batak Toba/Karo sedangkan
yang berbangkit adalah tarian Mandailing yang dipersembahkan dengan iringan
Gordang Sambilan termasuk Tor-tor Na Uli Bulung (ditarikan anak-anak gadis) dan
dan Tor-tor Na Poso Bulung (tarian pemuda). Ia jauh berbeza dengan Tor-tor Toba
dan Karo, kecuali berkongsi maksud perkataan tor-tor iaitu tarian.
Semua andaian salah
itu dikutip daripada reaksi tidak rasional di Internet dan ketika diwawancara
televisyen Indonesia atau ditemu bual wartawan akhbar mereka. Malangnya,
daripada puluhan akhbar yang meminta penjelasan penulis, tiada seorang pun
wartawan Kompas. Berbalik kepada persoalan mengenai penyelesaian isu ini dan
apa yang dipelajari jika salah faham seumpamanya berulang, penulis berpendapat
ia banyak bergantung kepada pihak Indonesia. Selagi perkara pokok, iaitu
andaian-andaian mengenai "klaim", mencuri budaya, paten, aset
nasional dan lain-lain menjadi asas pertimbangan Indonesia, ia tidak akan
menemui titik pertemuan. Pemimpin dan rakyatnya perlu sedia mendengar
penjelasan, berlapang dada, mengikhlaskan hati dan jangan secara tidak semena-mena
mencurigai serta membuat penghakiman mendahului penjelasan.
Mempertahan
Penulis yakin,
pemerintah Indonesia sejak dari dulu sentiasa meletak harapan tinggi untuk
mempertahan dan mengekalkan hubungan sebagai negara berjiran dan negara
bersahabat dengan Malaysia. Tetapi, mengimbas pendekatan Indonesia menangani
kontroversi terdahulu seperti tarian Pendet dan Barongan (Reog Ponorogo) selain
'lagu Rasa Sayang', batik dan lain-lain, komitmen mengekang kontroversi
daripada merebak masih boleh diperbaiki. Pantas mendapatkan gambaran tepat
mengenai sesuatu isu dan segera memberi penjelasan kepada rakyat, antara yang
boleh dilakukan. Paling utama, menghalang media memanipulasi salah faham
sehingga meniup api kemarahan rakyat, sebaliknya turut berperanan meredakan
kontroversi. Membuat kenyataan rasmi selepas beberapa hari atau minggu
kontroversi merebak dan meledak, mungkin tidak membawa apa-apa makna lagi.
Sebagai negara
berjiran, sebarang kontroversi boleh mengundangkan banyak kesan negatif.
Pemerintah perlu berusaha menghalang atau mendidik rakyat supaya tidak
menghiris perasaan rakyat Malaysia dengan kata-kata kejian. Ditegaskan, tiada
seorang pun rakyat Malaysia mendakwa Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan
serta budaya suku lain berasal dari Malaysia sebaliknya di Sumatera Utara bagi
orang Mandailing, Kepulauan Jawa bagi suku Jawa dan Sumatera Barat bagi
Minangkabau. Dalam mendepani realiti bahawa Indonesia dan Malaysia berkongsi
1,001 persamaan termasuk suku-suku kaum penduduknya, bahasa, kebudayaan,
pakaian, makanan dan lain-lain, maka aspek "pemilikan" terhadap semua
itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar dan terlalu sensitif. Sempadan politik
kedua-dua negara hanya mula ditandakan garis perbatasannya selepas Indonesia
dan Malaysia masing-masing merdeka pada 1945 dan 1957.
Sempadan budaya
masyarakat kedua-dua negara sebelum kemerdekaan itu terlalu luas. Ratusan tahun
lalu, selain orang Mandailing, Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar dan lain-lain
suku kaum rumpun Melayu atau Nusantara telah mengamalkan budaya suku
masing-masing jauh lebih awal daripada tertubuhnya negara Indonesia mahupun
Malaysia. Kesimpulannya, jika "pemilikan budaya" dalam konteks
tafsiran sempit terus menjadi agenda besar di Indonesia; selagi media Indonesia
berlumba-lumba menjadi juara melaga-lagakan kedua-dua negara; dan apabila
istilah bahasa Malaysia enggan difahami secara tepat; tidak mustahil isu
Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan bukan kontroversi terakhir.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012