Orang
hanya melihat saya pada hari ini tetapi tidak banyak orang tahu sakit yang
dirasa ketika baru hendak memulakan hidup. Yang manis dan indah dipandang
memerlukan pengorbanan dan tenaga yang bukan sedikit. Ketika kita menangis
keletihan di malam yang sepi dan ketika kita merintih kesakitan di pagi yang
dingin, hanya Tuhan yang melihat bertapa kuat dan teguhnya hati. Saya tidak
mahu bercerita tentang perjuangan diri dalam hidup ini waima dengan keluarga
sendiri kerana saya tidak mahu orang memahami dan masuk ke dunia saya. Sewaktu
mula bekerja saya mengimpikan untuk memiliki rumah, kereta, dan harta sendiri
yang dibeli dengan usaha sendiri. Walau bagaimanapun, impian itu mungkin tidak
akan tercapai jika saya hanya menjadi seorang guru. Alhamdulillah saya
diberikan jalan mencari pendapatan tambahan dengan menjadi Guru Tuisyen.
Penglibatan
saya sebagai guru tuisyen bermula apabila seorang rakan sekerja yang selalu
memuji kerajinan saya mengajar. Guru perempuan ini selalu bercerita
pelajar-pelajar selalu memuji saya pandai mengajar Bahasa Melayu. Oleh itu,
beliau telah kempen dengan rakan-rakan untuk menghantar anak tuisyen di rumah
saya di luar waktu persekolahan. Pada mulanya, saiz kelas tuisyen saya kecil
iaitu hanya 15 orang pelajar. Akan tetapi, dalam tempoh tidak sampai setahun,
nama saya sebagai guru tuisyen mulai dikenali, jumlah pelajar meningkat hingga
melebihi 100 orang. Pendapatan bulanan saya bertambah. (Jumlah biarlah saya
rahsiakan). Saya mulai menerima tawaran beberapa Pusat Tuisyen yang minta saya
mengajar di Pusat Tuisyen mereka. Bayangkan saya mengajar di tiga buah Pusat
Tuisyen Centre. Jadual saya penuh.
Selama
7 tahun saya mengabdikan hidup dengan mengajar Tuisyen. Saya tidak balik ke
rumah selepas habis waktu persekolahan pada pukul 1:30 petang. Saya terus ke
Pusat Tuisyen kerana kelas bermula pada pukul 2:00 petang hingga 5:30 petang.
Kelas Tuisyen di rumah saya pula bermula dari pukul 7:00 malam hingga 9:30
malam. Waktu untuk makan dan rehat amat terhad. Ya, pendapatan bulanan saya
agak banyak. Wang yang diperoleh saya simpan. Saya tidak ada masa melancong
kerana waktu cuti sekolah pun saya mengajar tuisyen. Saya tidak pernah balik ke
kampung halaman kerana sibuk bekerja sebagai guru. Walaupun saya sibuk mengajar
tuisyen, tugas di sekolah tidak pernah saya abaikan. Saya buat kerja di sekolah
dengan cemerlang hingga saya menjadi Guru Cemerlang Bahasa Melayu. (Maaf ya,
saya bukan riak) Saya sekadar berkongsi.
Pada
suatu hari, pagi Jumaat, saya tidak dapat angkat, pinggang saya amat sakit,
seluruh badan saya terasa lemah tidak bermaya. Saya tidak pernah minta cuti.
Pagi itu, saya hantar mesej kepada Tuan Pengetua untuk memberitahu bahawa saya
sakit. Beliau memberikan kebenaran dan menasihati saya supaya pergi ke
hospital. Saya minta pertolongan kawan untuk membawa saya ke hospital.
Kebetulan pula, doktor yang merawat saya mengenali saya kerana anak beliau pun
tuisyen di rumah saya. Selepas menjalani rawatan, saya dinasihatkan supaya berehat,
banyakan tidur. Doktor memberitahu saya mungkin terlalu banyak bekerja dan
kurang berehat. Sejak itu, saya cuba
mengurangkan waktu mengajar tuisyen di luar waktu persekolahan. Saya sedar duit
tidak mampu membeli kesihatan tetapi untuk merealisasikan beberapa impian saya
perlukan duit kerana saya tiada dahan tempat berpaut dan pohon tempat berteduh,
saya berasal dari keluarga B50 (lebih daif daripada B40 - diluar carta)
Yang
menjadi masalah, ibu bapa yang sudah mengenali saya tetap mencari saya juga. Mereka
hendak saya juga yang mengajar anak cucu mereka. Saya pula jenis yang tidak
sampai hati menolak kerana kebanyakan mereka belajar Bahasa Melayu dengan saya
dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5. Tahun 2016, apabila saya dinaikkan pangkat
menjadi Penolong Kanan Kokurikulum, saya berpindah jauh dari bandar Sibu.
Lokasi rumah saya jauh di Lapangan Terbang Sibu. Rezeki mengajar tuisyen
beransur-ansur saya tinggalkan kerana tugas sebagai pentadbir agak berat. Ibu
bapa pun faham akan keadaan saya. Saya tidak pernah lupa kepada semua yang
memberikan saya rezeki untuk mengubah hidup ini suatu ketika dahulu. Terima
kasih Tuhan yang telah membuka jalan. Ya, saya letih tetapi impian yang perlu
dicapai amat banyak hingga saya lupa
untuk menjaga diri dan menggunakan waktu bersosial dengan orang lain. Saya
hidup dalam dunia saya sendiri bertahun-tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan