Dalam beberapa minggu lagi, tibalah saat yang dinanti-nanti oleh semua pelajar STPM Tahun 2011. Perjuangan akan dimulakan dengan Pengajian Am Kertas 2 pada 21 November 2011 dan seterusnya Bahasa Malaysia Kertas 2 pada 23 November 2011. Sudahkah anda semua bersedia? Yakinkah anda untuk menghadapinya? Inilah perjuangan terakhir yang harus ditempuhi, dan perjuangan ini merupakan tiket untuk menempah kemasukan ke universiti pada tahun depan. Untuk itu anda semua mesti mendapat CGPA sekurang-kurangnya 2.00. Akan tetapi, anda harus mendapatkan CGPA lebih daripada 2.00 bagi memastikan impian anda selama ini menjadi realiti pada tahun 2012.
Anak-anakku yang tersayang,
Perancangan di saat akhir amatlah penting untuk menghadapi peperiksaan penting ini. Perancangan pertama ialah perancangan masa. Masa akan berlalu dan terus berlalu tanpa disedari. Jika anda semua tidak menggunakan masa yang ada dengan bijak sudah pasti masa yang pergi tidak terisi dengan sempurna. Pada setiap hari, anda mesti membuat ulangkaji sekurang-kurangnya 3 jam selepas tamat sesi persekolahan. Cikgu Zul cadangkan anda gunakan masa 4 jam untuk mengulangkaji pelajaran. Satu jam untuk satu subjek. Boleh tak? Jika anda bersikap positif untuk mencapai cita-cita, anda pasti boleh melakukannya. Seterusnya, perancangan kedua adalah dari segi persediaan nota-nota yang lengkap dan kemas kini untuk semua subjek. Pada masa ini, janganlah bergelut dengan buku-buku rujukan yang tebal-tebal yang boleh meningkatkan darjah tekanan anda. Cukuplah sekadar membaca dan mengingat nota-nota yang diberikan oleh guru-guru tersayang. Cikgu Zul percaya guru-guru telah memberikan yang terbaik untuk anda. Bedasarkan pengalaman mengajar dan mendidik pelajar-pelajar Tingkatan Enam, Cikgu Zul memang kagum dengan kesungguhan dan kegigihan pelajar perempuan menyediakan nota yang lengkap dan kemas kini. Dalam pada itu, pelajar-pelajar lelaki biasanya bersikap sebaliknya. Oleh sebab itu, Cikgu Zul mencadangkan pelajar-pelajar perempuan (SMK Sacred Heart) tolonglah beri kebenaran kepada pelajar-pelajar lelaki untuk membuat salinan fotostat nota-nota anda. Anda kena ingat, bilangan pelajar lelaki di IPT semakin menyusut. Bantulah mereka menjadi rajin dan prihatin dengan masa depan sendiri.
Perancangan ketiga, jangan sesekali libatkan diri anda dengan pelbagai masalah seperti percintaan, pergaduhan, dan sebagainya yang boleh menyebabkan tumpuan terhadap pelajaran terganggu. Jika ada masalah, ambillah tindakan dengan segera untuk mengatasinya. Minta bantuan guru, keluarga, dan rakan-rakan jika perlu tanpa rasa malu dan segan. Cikgu Zul yakin mereka akan memberikan bantuan kepada anda kerana mereka menyayangi anda dan mahu anda berjaya. Perancangan keempat ialah melakukan perbincangan dengan guru-guru subjek dan rakan-rakan yang dipercayai. Pada saat-saat akhir ini, belajar secara perbincangan dalam kumpulan banyak membantu anda untuk memahami sesuatu konsep dengan mudah. Cuba bayangkan, jika anda mempunyai kumpulan belajar seramai 10 orang yang saling membantu antara satu sama lain. Apabila keputusan STPM diumumkan pada tahun depan, anda dan rakan-rakan anda semuanya mendapat keputusan cemerlang 4A! Sudah tentu, anda senyum sampai ke telinga. Kejayaan itu akan menjadi lebih indah jika dinikmati secara beramai-ramai. Yang paling penting, apabila berbincang kita harus bersifat terbuka, sanggup menerima komen dan teguran serta tidak terlalu bermegah-megah jika anda tahu sesuatu kerana sikap sebegitu boleh menyebabkan rakan-rakan anda bosan bersama anda.
Perancangan kelima, jagalah kesihatan anda. Kesihatan amat penting pada saat-saat sebegini. Jika anda tidak sihat anda pasti tidak dapat melakukan ulangkaji dengan tenang. Kesihatan merupakan kunci utama kepada kejayaan setiap insan. Jagalah pemakanan dan bersenamlah selalu secara teratur. Keenam, mintalah restu daripada ibu bapa dan guru. Mereka merupakan insan yang paling dekat dengan anda. Jadikan mereka sebagai pembakar semangat anda untuk berjaya. Jangan lupakan jasa mereka kerana tanpa mereka disisi anda anda tidak akan membesar dan menjadi dewasa dengan sesempurna sekarang. Segala usaha dan impian yang ingin digapai pasti akan menjadi lebih mudah, jika kita sentiasa mendampingi mereka. Perancangan terakhir, jangan sesekali lupa kepada tanggungjawab anda kepada Tuhan. Setelah bersusah payah berusaha anda kenalah berdoa kepada Allah supaya segala yang dipelajari mudah diingati. Percayalah, Tuhan sentiasa memberkati usaha orang yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan. Sesungguhnya, Tuhan itu maha berkuasa dalam menentukan segala-galanya. Jangan sesekali jauhkan diri anda dengan Tuhan. Walau apapun agama dan kepercayaan anda, sentiasalah mendekatkan diri dengan-Nya kerana restu-Nya paling bermakna untuk anda.
"Rahsia kejayaan hidup adalah
persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma."
CIKGU ZULKARNAIN FARIHIN
SMK SACRED HEART
15 OKTOBER 2011