Oleh Rozali Ismail
“Manusia bangga dengan inovasi dan penemuan saintifik tetapi amat mengecewakan betapa alpanya kita dalam melindungi sumber yang amat penting bagi penerusan hidup manusia iaitu air. Kini, tibalah masanya bagi kita untuk melaksanakan Pendekatan TRI iaitu taktikal, regional dan inovatif.” Tema program Hari Air Antarabangsa tahun ini ialah Water for Cities: Responding to the Urban Water Challenge. Pada tahun ini, Afrika Selatan dipilih sebagai tuan rumah dan satu konvensyen bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Cape Town pada 20 hingga 22 Mac 2011. Tema ini bersesuaian dengan perkembangan era baru abad ke-21 yang mana pertambahan penduduk yang tinggi tertumpu di kawasan bandar. Bahagian Kependudukan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan jumlah penduduk dunia dijangka mencecah tujuh bilion pada tahun ini dan meningkat kepada 14 bilion menjelang 2100.
Apa yang menarik perhatian kita ialah trend pergerakan penduduk ke kawasan bandar kini bertambah dengan pesat sehingga mencecah 3.3 bilion. Ia merupakan satu rekod dalam sejarah yang mana lebih separuh daripada penduduk dunia tinggal di bandar. Menjelang tahun 2030, angka tersebut dijangka mencecah 5 bilion! Kita tidak perlu merentas jauh beribu kilometer untuk menyaksikan fenomena ini kerana pembangunan bandar raya Kuala Lumpur sudah memberi contoh yang ideal untuk menilai proses perbandaran. Daripada jumlah yang kecil, kini penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mencecah 7.3 juta orang. Pembangunan ini tidak mungkin berlaku sekiranya kita tiada prasarana yang lengkap bagi menampung pertambahan penduduk dan keperluan infrastruktur perbandaran yang semakin meningkat. Antaranya ialah bekalan air yang berkualiti bagi menyokong pembangunan perindustrian yang pesat untuk muncul sebagai salah sebuah gergasi ekonomi di Asia.
Saya yakin, dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi, kita akan mencapai pertumbuhan yang pesat dari segi pendapatan mahupun kependudukan. Seiring dengan proses perbandaran yang pesat, maka dalam tempoh 15 tahun akan datang Malaysia akan menghadapi cabaran pelbagai dimensi, iaitu bandar raya, penduduk dan ekonomi. Dengan jumlah penduduk di Lembah Klang dijangka meningkat kepada 10 juta orang maka cabaran yang akan dihadapi adalah jelas bahawa permintaan sumber air akan turut meningkat dengan mendadak. Menurut laporan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), walaupun jumlah penduduk dunia meningkat empat kali ganda, namun peningkatan penggunaan air meningkat sembilan kali ganda. Trend ini membimbangkan para penggubal dasar kerana pada tahun 2010 sahaja, lebih daripada satu bilion penduduk dunia tidak mendapat akses sumber air bersih dan 80 peratus daripada penyakit berpunca daripada sumber air yang tidak bersih.
Malah kita akan dibelenggu oleh masalah yang lebih meruncing kerana menjelang 2030, kira-kira 3.9 bilion penduduk dunia akan mengalami masalah kekurangan air yang serius. Oleh itu, ramai berpendapat bahawa urbanisasi membawa kepada kehancuran tamadun moden manakala terdapat pihak lain yang mempersoalkan impak negatif yang timbul akibat pertumbuhan megapolis yang tidak terkawal. Ironisnya, kesan negatif ini seringkali dikaitkan dengan kepulan asap tebal dan kerosakan alam sekitar yang menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim dan menjadi punca kepada masalah kekurangan bekalan air yang kian meruncing. Kita harus mengakui walaupun banyak tanggapan negatif, pusat bandar memang menjadi tumpuan pertumbuhan ekonomi. Bagi saya, walaupun terdapat konflik antara urbanisasi, kerosakan alam sekitar dan kekurangan sumber bekalan air, tidak mustahil cabaran ini dapat diatasi secara efektif.
Apa yang kita perlu terapkan adalah mengatur langkah proaktif sebagai strategi utama menangani masalah ini. Sekiranya kita menilai pembangunan Kuala Lumpur serta bandar raya lain, cabaran utama adalah menjamin bekalan air bersih, mencukupi dan mampu dibayar penduduk. Memang sudah menjadi lumrah, bandar yang pesat berkembang maju memerlukan sumber air yang banyak walaupun hakikatnya sumbernya semakin berkurangan. Oleh itu, bagi memastikan pembangunan bandar berterusan, pengurusan prasarana dan sumber-sumber air perlu dilakukan secara lebih pragmatik dan fokus kerana ‘bandar yang ketandusan tidak akan berupaya untuk membangun’. Bagi penggubal dasar, peniaga dan pengguna, tarif air merupakan isu yang sangat sensitif. Air sering dianggap sebagai sumber yang sentiasa ada. Oleh itu, walaupun air sangat penting tetapi ia selalu dianggap sebagai suatu komoditi yang tidak berharga atau diberi nilai yang rendah, sedangkan kos bagi mendapatkan, memproses dan menapis air adalah sangat tinggi.
Tanggapan salah ini menyebabkan berlakunya pembaziran air yang menjadi lumrah rakyat di negara ini. Tanggapan ini juga menyebabkan sektor itu kurang berkembang maju dan kurang diberi perhatian dari sudut pasaran modal dan pelaburan. Saya amat kecewa betapa orang ramai kurang kesedaran mengenai pentingnya air dan pentingnya melindungi sumber air yang amat berharga bagi penerusan hidup manusia. Industri air bukanlah satu industri yang mudah dikendalikan ataupun murah disenggarakan. Ia melibatkan perbelanjaan berbilion ringgit. Terdapat sesetengah pihak yang mahu supaya pemprosesan dan pengedaran air bersih dikendalikan oleh pihak kerajaan dengan perbelanjaan modal yang secukupnya. Bagaimanapun cara ini akan lebih membebankan sumber negara serta tidak selari dengan arus pembangunan ekonomi yang berlandaskan pembangunan yang dipacu sektor swasta.
Justeru, bagi membolehkan industri air diurus dengan cekap dan kompetitif, persoalan mengenai kadar tarif dan bandingkannya dengan kos pemprosesan, pengurusan dan pencemaran alam sekitar serta proses penstrukturan semula air perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan kita maju. Memandangkan cabaran dan masalah air di bandar adalah pelbagai dan kompleks, maka cara penyelesaian seharusnya tidak terlalu simplistik. Dalam usaha mengatasi masalah ini, kita perlu akui ada kalanya keperluan sosial perlu dikompromi dengan matlamat ekonomi secara amnya, begitu juga sebaliknya. Bagi melihat isu, masalah dan cabaran dalam industri air dengan lebih luas, serta strategi mengatasinya, saya menggunakan kaedah yang mengambil sempena kekunci nama saya iaitu Kaedah TRI – taktikal, regional dan inovasi. Kita harus sedar bahawa perbandaran adalah satu fasa pembangunan yang tidak boleh dipinggirkan untuk mencapai aspirasi kerajaan sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Dalam hal ini, kita perlu menggunakan langkah taktikal. Antara lain kita memerlukan perancang bandar yang berwawasan yang akan mengambil kira keperluan masa depan penduduk kawasan bandar – pemuliharaan air, alam sekitar, kualiti udara, kemudahan penjagaan kesihatan, pelupusan sampah dan lain-lain. Langkah taktikal sedemikian amat penting supaya bandar-bandar kita terus lestari dan mesra alam. Usaha bagi memastikan bekalan air bersih berterusan dan murah adalah melampaui batasan sesebuah bandar raya dan wilayah. Untuk ini, kita perlu meneroka ke tahap wilayah kerana sumber air mengalir merentasi beberapa negeri, daerah dan jajahan. Pendekatan secara kolektif merangkumi kawasan luas yang memerlukan penglibatan pemegang-pemegang kepentingan di sesebuah wilayah dan lembah sungai yang memainkan peranan dalam mengurus sumber air.
Dalam hal ini, penglibatan kerajaan negeri adalah penting bagi mendapatkan kaedah yang cekap dalam penggubalan dasar dan pengurusan air secara kolektif dan telus serta menyusun strategi inovasi teknologi dan insentif kewangan. Selain itu, saya juga melihat kurangnya idea-idea inovatif dalam industri ini, terutamanya dalam meningkatkan pasaran modal bagi tujuan pembiayaan. Sehingga kini, kita masih mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan kecekapan sektor air dan merangsang pasaran modal serta kemasukan pelaburan ke dalam sektor ini. Dalam hal ini, saya fikir kita ketandusan idea radikal dan inovatif yang boleh menggerakkan sektor swasta seperti yang ada dalam Facebook atau Google dan sekiranya kita berjaya melakukan ini, sudah pasti ia dapat direplikasi dalam industri air untuk mencapai pembangunan yang lebih pesat. Bagi mengatasi cabaran-cabaran ini, pendekatan TRI hanyalah sebagai landasan tetapi industri air perlukan suntikan pendekatan secara kolektif.
Ia bukan hanya memerlukan inovasi dalam pengurusan, pembangunan dan pentadbiran sumber air tetapi perlu penglibatan sektor awam dan swasta secara aktif. Ia juga memerlukan proses inovatif bagi meningkatkan kecekapan melalui keadaan pasaran yang kondusif seperti insentif kewangan, bantuan teknikal, latihan bagi tenaga kerja mahir, rangka perundangan dan piawaian yang baru. Saya percaya, isu dan masalah yang berlarutan hingga ke hari ini adalah disebabkan kurang pendekatan secara bersepadu. Seperti sebuah pelan pembangunan, apabila kita bekerjasama dan mengenal pasti cara-cara untuk menyambung noktah-noktah dalam pelan tersebut, penyelesaian masalah secara holistik akan dapat menghuraikan pelbagai isu yang kompleks. Jika langkah proaktif tidak dibuat dari sekarang, saya yakin industri air dan yang berkaitan dengannya akan terus mundur dan kita akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih walaupun hujan sentiasa turun membasahi bumi Malaysia yang kita cintai ini.
Tan Sri Rozali Ismail ialah Pengerusi
Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad