JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



12 Ogos 2011

ISU TENAGA : JIMAT TENAGA RM2 JUTA SETAHUN


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan menjadi perintis dalam usaha melaksanakan pelan utama kecekapan tenaga. Antara pendekatan diambil ialah dengan menetapkan suhu penghawa dingin bangunan kerajaan berada pada paras 24 darjah selsius serta menggantikan bulb lampu dengan menggunakan bulb cekap tenaga CFL. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, satu akta akan dirangka bagi menggubal akta sedia ada dan ia dijangka akan dikuatkuasakan menjelang 2013. Perdana Menteri bersetuju bahawa satu pelan tindakan dibuat bagi memastikan inisiatif itu mampu direalisasikan dan dipantau secara teratur," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Cuaca yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.  Mengulas mengenai penjimatan menerusi kaedah itu, beliau berkata, ia dapat mengurangkan kos penggunaan tenaga antara 4 hingga 7 peratus dengan kenaikan setiap satu darjah selsius. Anggaran kasar yang dibuat juga menunjukkan kaedah itu mampu memberi penjimatan sehingga RM2 juta setahun bagi setiap bangunan kerajaan mengikut keluasan. 'Perdana Menteri telah arahkan satu langkah bijak untuk mengurangkan atau mengadakan kecekapan tenaga dan semua bangunan kerajaan akan diminta menaikkan dengan menetapkan suhu bagi bangunan kerajaan melalui surat pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara. 


24 darjah selsius adalah tahap suhu yang sesuai di negara ini berbanding negara China yang meletakkan 26 darjah selsius untuk bangunan-bangunan kerajaannya. Bagaimanapun, kata Fah Kui, pengecualian diberikan kepada bangunan kerajaan yang mempunyai alasan tertentu seperti hospital iaitu bilik pembedahan dan Unit Rawatan Rapi (ICU). Ketika ini, 40-60 peratus penggunaan tenaga di semua bangunan kerajaan adalah melibatkan penghawa dingin. Pada mesyuarat sama, kata beliau, sebanyak lima kertas kerja diluluskan iaitu 'road map' teknologi hijau, pelan induk kecekapan tenaga, 'low carbon city framework', garis panduan kejiranan hijau dan 'road map' bagi mengurangkan 'intencity' karbon Malaysia. Mesyuarat juga bersetuju agar satu 'road map' dirangka untuk tempoh jangka masa panjang bagi mengurangkan kadar pengeluaran karbon yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Ia selaras dengan tujuan dan komitmen Malaysia menerusi Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen 2009 yang menyatakan kesungguhan untuk mengurangkan sehingga 40 juta matrik tan penggunaan karbon dalam negara. Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas ketika ditemui berkata, kementeriannya bertanggungjawab melaksanakan inisiatif itu bagi tempoh sehingga 2020. Sejak 2009 negara berjaya mengurangkan pengeluaran karbon kepada paras 29.7 juta tan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 OGOS 2011

ISU BELIA : NASIONALISME BELIA MALAYSIA, KOREA SELATAN

NOOR SULASTRY YURNI AHMAD
Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan raya (UMCEDEL),
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.


Definisi umur belia yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah ditetapkan kepada individu yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun sahaja. Paling menarik dan amat signifikan dalam membicarakan konteks umur ini, Malaysia mengelaskan individu yang berusia di bawah 40 tahun sebagai belia. Sedangkan kebanyakan negara lain sudah mengubah penetapan umur belia kepada di bawah umur 25 tahun. Malah, isu ini dipandang serius apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mencadangkan takrifan had umur belia di negara ini, sepatutnya 25 tahun. Namun, Korea Selatan menetapkan belia mereka seperti yang dirujuk sebagai young adult Koreans berusia lebih 19 tahun dan di bawah umur 30 tahun. Negara itu membenarkan masyarakat berusia 19 tahun untuk mengundi. Malaysia masih mengekalkan umur 21 tahun untuk mengundi seiring dengan beberapa negara lain antaranya Dominica, Djibouti, Gabon, Kuwait, Lebanon, Samoa, Singapura, Tonga, Fiji, Maldives, Oman, Solomon Islands dan Tokelau. Bagaimanapun, kebanyakan negara yang lebih maju sudah membenarkan seawal umur 16 sehingga 18 tahun untuk mengundi.

Seringkali kelompok belia akan menjadi perhatian dalam pelbagai aspek kehidupan. Ternyata kini merupakan era orang muda mendominasi pelbagai sektor pekerjaan terutama di Malaysia yang memberi peluang untuk mereka menongkah arus dan mencipta pembaharuan. Nampaknya, semangat orang muda Malaysia lebih hebat berbanding Korea Selatan. Jika diukur tahap nasionalisme anak muda negara ini, saya lebih berbangga dengan tahap nasionalisme mereka kerana kecintaan golongan itu terhadap negara bukan hanya tertakluk kepada sesebuah isu atau peristiwa sahaja. Masyarakat 'muda' di Korea Selatan mula dilihat mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan boleh dilabel sebagai assertive nationalism oleh Lee Sook Jong (2006). Kebanyakan mereka dibesarkan dalam dua dimensi berbeza iaitu di bawah masyarakat yang mewah dan demokrasi. Mereka amat berbangga dengan identiti Korea, sehingga berpegang kepada nasionalisme etnik dwi dimensi iaitu assertive nationalism kepada dunia dan secara khusus kepada Amerika Syarikat (AS). Ini jelas kelihatan apabila pasukan bola sepak Korea Selatan gagal melayakkan diri dalam Piala Dunia 2002.

Peristiwa ini membawa kepada beribu-ribu masyarakat Korea berkumpul di kebanyakan bandar meraikan perlawanan itu pada Jun 2006. Trend street cheering atau festival jalanan dan bukannya demonstrasi jalanan telah berterusan sejak Piala Dunia 2002 dan menjadi fesyen serta tradisi kepada belia Korea untuk bersorak kepada pasukan mereka setiap empat tahun sekali. Ternyata industri sukan memainkan peranan dalam menyatupadukan komuniti Korea Selatan dan meningkatkan kecintaan terhadap negara. Begitu juga di Malaysia, bola sepak, badminton, dan hoki merupakan antara sukan yang dinantikan golongan ini. Baru-baru ini apabila Malaysia mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia ramai yang berpusu-pusu membanjiri stadium untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka. Adakah nasionalisme anak muda di Malaysia boleh diukur apabila mereka menyarung jersi Chelsea, Liverpool mahupun Arsenal dan bukannya Harimau Malaya atau Skuad Olimpik? 


Berlainan pula di Korea Selatan, orientasi golongan muda sudah terlalu ke arah AS dengan cara hidup mereka yang terlalu mewah, pembangunan yang pesat serta kepimpinan golongan muda seperti Presiden Roh-Moo hyun. Tidak banyak bezanya cara hidup golongan belia di Malaysia dan Korea Selatan. Jika mereka mementingkan kesempurnaan infrastruktur teknologi maklumat terkini, begitu juga dengan belia Malaysia. Korea Selatan pada hari ini memiliki kelompok belia yang mewakili generasi fast dan tergolong dalam komuniti siber. Tidak dinafikan bahawa kemudahan sebegini sangat signifikan dalam memperolehi maklumat tentang sesuatu perkara. Penglibatan politik golongan muda ini juga sering dikaitkan dengan tahap nasionalisme terhadap bangsa dan negara. Di Korea Selatan, penglibatan politik mereka secara aktif adalah tidak menentu dan cenderung kepada sesuatu peristiwa yang berlaku. Jika isu-isu yang berkaitan nilai-nilai universal, golongan muda Korea ini lebih responsif berbanding isu domestik. Menariknya, di Malaysia golongan muda tempatan lebih tertarik dengan isu lokal dan domestik sifatnya. 


Senario siri peristiwa yang berlaku dalam 'perarakan jalanan' melibatkan kelompok ini seperti perhimpunan haram Bersih 2.0 lebih agresif dipaparkan kepada umum dan sudah semestinya peristiwa ini tidak berkaitan dengan nasionalisme mereka yang terlibat dengan perhimpunan tersebut. Saya berkeyakinan bahawa belia Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dan sebagai orang muda dan belia sendiri, penulis melihat tahap nasionalisme golongan muda masih berada pada tahap yang baik. Jika rakyat Malaysia tidak cintakan tanah air, mana mungkin Tanah Melayu boleh merdeka dan mengapa 85,000 orang berusaha memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan bola sepak menentang Singapura yang lalu. Bukan menang atau kalah yang menjadi pertaruhan tetapi semangat yang tinggi untuk menyokong pasukan sendiri itu sangat penting dan terpapar pada wajah setiap penyokong. Maka sempena bulan kemerdekaan ini, bersyukurlah dengan nikmat diberikan oleh Maha Pencipta Alam dan kenanglah jasa para pahlawan negara yang dulu dan kini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 OGOS 2011