21 Mac 2010

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

ARKIB : 04/03/2010
Ingatan untuk lelaki Malaysia
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

BIMBANGKAH kaum lelaki apabila menyaksikan sektor perkhidmatan kerajaan sekarang dikuasai oleh wanita? Itu persoalan yang timbul apabila Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin mendedahkan bahawa sektor itu telah dikuasai oleh golongan wanita. Reaksi yang diterima daripada kenyataan itu adalah pelbagai, ada yang melenting dan ada yang memandang sinis.

Soalnya, mengapa soal gender masih terus dibangkitkan ketika golongan wanita di negara ini telah banyak mencipta kejayaan. Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Lamien Sawiyo menyatakan pendirian yang sama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahawa tiada diskriminasi gender berlaku dalam pengambilan kakitangan awam. SPA yang mengendalikan 250 skim perjawatan setiap tahun menerima hampir sejuta permohonan daripada mereka yang mahu menyertai sektor awam. Sudah pasti, suruhanjaya itu menerima maklumat tentang pelbagai latar belakang pemohon dan tapisan ketat pasti dilakukan kerana cuma 50,000 kekosongan sahaja yang ada setiap tahun.

''Jadi...kita ikut merit, kalau bagus dan melepasi syarat yang ditetapkan, kita ambil. ''Tiada sebarang kuota sama ada lelaki atau perempuan melainkan jawatan itu memerlukan kakitangan wanita," katanya. Justeru, dominasi kaum wanita dalam sektor kerajaan bukan menjadi suatu perkara yang membimbangkan sehingga timbul polemik tentang persoalan gender. Dalam dunia moden hari ini, tiada lagi ruang untuk kita katakan bahawa dunia adalah untuk lelaki sahaja. Proses pemodenan yang antara lain menyentuh soal kebebasan dan keadilan juga memberi ruang seluas-luasnya kepada wanita untuk turut sama terlibat dalam apa juga bidang.

Cuma, penglibatan wanita mungkin tidak perlu sampai ke tahap menyeberang ke orbit wilayah hukum dan bidang kuasa lain sehingga akhirnya akan menyebabkan kepincangan sosial. Dalam zaman moden dan dengan bilangan ramai serta penguasaan wanita dalam segala sektor, ada kemungkinan kekuasaan atau tugas-tugas penting yang selama ini didominasi oleh lelaki akan diambil alih oleh wanita. Jika lelaki tidak mampu menunjukkan keupayaan dan daya intelektual yang tinggi, suatu hari nanti ruang itu akan diambil alih oleh wanita. Inilah yang berlaku sekarang. Sektor awam seolah-olah tiada pilihan kerana jika tidak berbuat begitu, pembangunan negara dan umat Islam akan terbantut.

Perkara itu pernah dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Siri Wacana Perdana bertajuk Peranan Wanita dan Belia Dalam Pembangunan Negara pada hujung tahun lalu. Beliau membayangkan lelaki bakal kehilangan kuasa apabila wanita meningkat maju dalam pelbagai bidang. ''Perubahan kuasa dan autoriti akan berlaku antara dua gender ini, iaitu apabila anda (lelaki) membenarkan orang lain (wanita) melakukan tugas anda. ''Jadi, anda akan bergantung kepada wanita terutama apabila mereka mampu melakukan sesuatu dengan lebih baik. Sekarang, kita lihat golongan lelaki tidak lagi mempunyai kebebasan dan dalam masa yang sama, mereka tidak ada kelayakan," katanya.

Katanya, peningkatan golongan lelaki bersikap terlalu bergantung kepada wanita tidak boleh dibiarkan terus berlaku. ''Akan terjadi keadaan di mana wanita (isteri) boleh berkata kepada lelaki, kamu boleh keluar dari rumah," katanya. Malah ada segelintir orang berfikir, apa guna mereka membuat sesuatu pekerjaan yang orang lain boleh melakukan untuk mereka. Justeru, inilah yang terjadi apabila negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing kerana rakyat tempatan 'malu dan segan' untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan. Ketika itu, rakyat bukan sahaja akan hilang kebebasan, malah lambat laun akan 'kehilangan' negara sendiri.

Mahu tidak mahu wanita perlu dilibatkan sama dalam pembangunan negara. Dengan jumlah populasi sebanyak 27 juta, Malaysia akan menghadapi masalah produktiviti jika tiada penglibatan tenaga kerja wanita. Tidak hairanlah ketika Malaysia hanya mempunyai 13 juta penduduk, Dr. Mahathir yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan negara membuat kejutan apabila mengumumkan negara perlu mencapai 70 juta penduduk. Meskipun, kini jumlah penduduk negara sudah meningkat sehingga 27 juta, kata Dr. Mahathir, beliau tetap menganggap Malaysia adalah sebuah negara yang kecil. Justeru, katanya, negara perlu memanfaatkan seluruh rakyat termasuk wanita untuk membangunkannya.

Ini kerana, jika wanita diketepikan, maka jumlah guna tenaga akan terbahagi dua. Sebagai pemimpin yang berfikiran jauh, Dr. Mahathir cukup cekap membuat jangkaan masa depan berdasarkan statistik. Dan statistik itulah yang menjadi 'bola kristal' untuk meramal masa depan. ''Apabila kita mempunyai 13 juta rakyat dan jika kita asingkan tenaga kerja wanita, jumlahnya hanya 6.5 juta. ''Ketika itu, hanya kira-kira 40 peratus daripada jumlah penduduk boleh bekerja. Jadi, apa akan terjadi jika 40 peratus daripada 6.5 juta rakyat sahaja yang boleh bekerja, sebab itu kita bawa masuk wanita," katanya mengimbas dasar pentadbirannya dahulu.

Pentingnya wanita dilibatkan sama dalam pelbagai sektor pekerjaan adalah kerana kemampuan dan keupayaan mereka. Meskipun masyarakat masih didominasi kaum lelaki, namun sumbangan wanita tidak boleh dipandang ringan. Hakikatnya, gabungan tenaga kerja lelaki dan wanita mampu memperluaskan pasaran produk tempatan dan kuasa beli di peringkat domestik. Dengan itu, ekonomi negara dapat dijana lebih cepat ketika kelembapan ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya. Apa yang kita lihat hari ini adalah wanita bukan sahaja berjaya menampilkan keupayaan dalam pelbagai bidang, malah mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Jangan lupa kualiti filem
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 1 Mac 2010

APABILA bercakap tentang kualiti, ada orang menganggap itu suatu yang subjektif. Ini kerana kualiti tidak boleh diukur dengan angka-angka tertentu. Tetapi pada masa yang sama juga kita kena mengakui bahawa ukuran kualiti itu tetap ada. Apa ukuran kualiti filem tempatan? Adakah jumlah kutipan dan bilangan penonton boleh dijadikan ukuran atau sebenarnya kita sendiri dapat mengukur kualiti sesebuah filem dari sudut yang lain?

Khalayak filem tempatan terlalu disogokkan dengan angka. Lalu mereka menganggap angka-angka ini mewakili kualiti sesebuah filem. Kutipan harian dijadikan satu tarikan untuk membawa penonton ke pawagam tetapi pada masa yang sama tidak menawarkan kepada penonton bahawa filem itu terbaik untuk mereka. Kalau pun kita tidak mampu menghasilkan filem yang hanya berkualiti, tetapi kita perlu berusaha untuk menawarkan kepada penonton filem yang memenuhi cita rasa massa. Pada masa yang sama pengarah dan produser dengan jujur mempertingkatkan tahap kualitinya.

Kalau setiap filem yang ditayangkan hanya menjaja angka, kita tidak ada dapat menghasilkan filem yang berkualiti. Walaupun ada yang pandai mengelak berkata kualiti itu subjektif tetapi orang yang menghasilkan tentu tahu yang dibuatnya berkualiti atau sekadar untuk kelangsungan perniagaan. Penonton mesti dicerdikkan atau mendorong mereka berfikiran kritis apabila mendepani filem-filem yang buruk di pawagam.

Ini bukan untuk membunuh filem tempatan tetapi apabila penonton berfikiran kritis dan tidak pasif seperti sekarang, pengarah dan produser akan membuat filem yang menepati atau mendekati cita rasa massa. Mereka tidak rugi apa-apa hanya sekadar mengalih daripada cenderung membuat filem yang buruk kepada filem yang lebih baik, bukan saja lebih popular. Membuat filem yang dirasakan berkualiti tidak memerlukan pelaburan tambahan.

Misalnya kalau selama ini mereka menulis skrip dengan sambil lewa asalkan ada gambar bergerak sudah dianggap filem, berubahlah menulis skrip yang ada anjakan pemikiran. Buatlah filem genre apa sekalipun kerana yang membezakan adalah isi kandungannya. Filem komedi boleh menjadi filem yang bagus dan filem yang penuh dengan syarahan pula menjadi sebaliknya. Kalau sebelum ini pembinaan watak tidak diberi perhatian, untuk menjadi lebih baik perlulah membina perwatakan yang diyakini.

Malah membuat filem yang berkualiti boleh menjimatkan apabila memberikan watak kepada pelakon yang boleh berlakon daripada pelakon yang dipaksa berlakon selepas ditawarkan bayaran lumayan. Di sinilah tanggungjawab pengarah untuk mencerdikkan penonton bahawa mereka menjadi penonton filem bukan penonton artis popular.

Memang benar filem adalah sebahagian daripada cabang mendapatkan hiburan. Tetapi kalau penonton yang kritis tidak terhibur dengan sesebuah filem waima disumbat lagu dan artis popular, mereka tidak akan rasa terhibur. Maka pengarah jangan mudah menganggap filem mereka hanya sebuah hiburan. Bagaimana pula kalau filem yang dikatakan hiburan membuat penonton rasa terhina dengan kecetekan filem yang ditonton.

Sekarang hampir semua institusi pengajian tinggi tidak kira awam atau swasta ada menawarkan pengajian perfileman. Saban tahun beribu orang yang tamat pengajian dan mereka ini mempunyai selera yang tinggi tentang filem. Bayangkan apa akan terjadi apabila kadar celik filem penonton jauh lebih tinggi daripada pengarah? Sekarang filem-filem buruk bernasib baik kerana ada penonton-penonton yang berselera rendah sekalipun menghuni negara semaju Malaysia. Sepatutnya mereka berselera tinggi.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Ketulenan produk cabaran produk organik
Oleh Rohaniza Idris
SUMBER : Berita Harian
Tarikh : 21 Mac 2010

SEJAK kebelakangan ini, permintaan terhadap makanan organik semakin meningkat berikutan bertambahnya kesedaran umum mengenai kesihatan diri, selain kepentingan menjaga alam sekitar.

Pengambilan makanan organik bermula apabila Eropah dilanda kes jangkitan penyakit lembu gila atau madcow disease kira-kira 20 tahun lalu. Bermula dengan kes itu, pelbagai alternatif makanan organik dicari dan hasilnya hari ini, sudah banyak industri makanan dan pertanian yang beralih kepada tanaman dan makanan organik termasuk diusahakan syarikat bertaraf multinasional. Bagaimanapun, bagi kebanyakan industri makanan dan pertanian berasakan industri organik memerlukan perbelanjaan besar menyebabkan harga makanan yang dihasilkan jauh lebih mahal daripada makanan konvensional.

Malah, makanan organik dikategorikan sebagai makanan kesihatan dan eksklusif kerana ia menggunakan bahan semula jadi tanpa sebarang penggunaan baja atau bahan kimia dalam proses penghasilannya.

Di negara ini, industri makanan dan pertanian organik terus berkembang sejak 1987. Malah, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah mengeluarkan sijil Skim Organik Malaysia (SOM) bagi mengiktiraf produk yang dijual sebagai produk organik.

SOM berasaskan Malaysian Standard MS 1529:2001 serta dua standard antarabangsa, iaitu IFOAM (Persekutuan Gerakan Pertanian Organik Antarabangsa) dan Standard Codex FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
Piawaian SOM menggariskan keperluan berkaitan pengeluaran, pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan penjualan yang bertujuan memastikan produk organik di pasaran dikeluarkan mengikut kaedah dan standard ditetapkan.

Kerajaan menetapkan selepas Januari 2011, pengeluar produk organik mesti mendapat sijil SOM jika mahu menjual produk sebagai produk organik. Bagaimanapun, hanya produk sayuran dan berasaskan pertanian saja layak mendapat SOM manakala untuk ternakan dan perikanan masih belum dimasukkan di bawah piawaian berkenaan.

Sejak 2002 sehingga kini, hanya 28 ladang organik berjaya mendapat sijil SOM berbanding 149 ladang organik seluruh Semenanjung.

Namun, SOM tidak termasuk bahan makanan berasaskan penternakan dan perikanan kerana ia hanya membabitkan sayuran dan buah-buahan saja.

Untuk itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sedang berusaha mencari formula yang sesuai bagi menetapkan piawaian organik yang sesuai untuk ternakan terutama penternakan ayam organik.

Mardi memulakan penyelidikan mengenai penternakan ayam organik pada 2008 dan kini sudah dua kali hasil diperoleh daripada penternakan ayam organik berkenaan.

Sehingga kini, hasil kajian masih belum diumumkan kerana laporan dan penambahbaikan akan dilakukan supaya piawaian yang sesuai dan menepati Persekutuan Gerakan Pertanian Organik Antarabangsa (IFOAM).

Pegawai Penyelidik Mardi, Aini Zakaria yang mengetuai projek penyelidikan penternakan ayam organik, berkata penyelidikan itu tertumpu untuk memastikan ayam yang diternak benar-benar melalui proses penghasilan menggunakan proses organik sepenuhnya.

Ini bermakna, bukan hanya makanan ayam saja bahan organik tetapi persekitaran penternakan juga mengamalkan cara hidup sihat dan bebas daripada sebarang penggunaan bahan kimia.

Katanya, penternakan organik seboleh-bolehnya mahu bergantung kepada alam semula jadi dengan mikrob organisme membekalkan nutrien kepada tanaman yang menjadi makanan haiwan dan tanah, tempat persekitaran ayam membesar.

“Penggunaan bahan kimia, sama ada baja atau racun menyebabkan bahan ini larut dalam tanah dan apabila hujan, dibawa arus air dan menjadi sumber pencemaran. Petunjuk pencemaran dapat dilihat apabila projek pertanian dijalankan di atas bukit, kawasan bawah bukit kehijauan menunjukkan nitrat banyak di situ. Nitrat yang memasuki sungai boleh menjejaskan hidupan sungai," katanya.

Beliau memberitahu dalam penternakan ayam organik, haiwan terbabit dibiarkan bebas dalam reban yang mana boleh bergerak, bermain dan berinteraksi dengan alam.

“Dalam penternakan konvensional (biasa), ayam biasanya tidak boleh bergerak bebas kerana biasanya hidup dalam satu bilik yang cukup-cukup muat untuk saiz ayam berkenaan. Malah, ayam berkenaan hanya boleh duduk dan berdiri saja, tidak boleh bergolek, mengiring dan bergerak bebas sepanjang hidup sebelum disembelih.

“Dengan kata lain, ayam dalam penternakan konvensional dilihat seakan-akan kejam dan banyak memberi tekanan kepada ayam. Sesetengah pakar pemakanan menyatakan ayam daripada penternakan konvensional menghasilkan daging ayam yang tidak sihat dan turut memberi tekanan kepada mereka yang memakannya.

“Ini berbeza dengan ayam organik yang bukan saja lebih sihat dan kurang tekanan yang akan menghasilkan daging yang apabila dimakan akan memberi kesan yang baik kepada mereka yang memakannya. Bermakna, orang yang makan ayam organik lebih sihat kerana kurang tekanan,” katanya.

Bagi industri ternakan konvensional seluruh dunia, penternakan organik hanya akan menambahkan kos pengeluaran ternakan berkenaan.

Ayam organik perlu makan makanan organik bebas bahan kimia, tidak boleh menggunakan hormon untuk pembesaran serta bahan antibiotik.

Justeru, penternak konvensional mahu pengguna menanggung kos berkenaan kerana harga yang ditawarkan jauh lebih mahal akibat kos pengeluaran yang meningkat selain hasil pengeluaran lebih lambat jika menggunakan penternakan organik.

Aini berkata, Mardi juga sedang meneliti sejauh mana penternakan organik boleh diintegrasi dengan kitaran hidup persekitaran penternakan ayam yang dapat memberi manfaat kepada industri di sekelilingnya.

Contohnya, kata beliau, sejauh mana najis haiwan berkenaan di manfaat sebagai baja manakala gas daripada najis digunakan sebagai sumber tenaga untuk reban dan bagaimana tanah di kawasan penternakan dimanfaat untuk penanaman makanan haiwan ternakan berkenaan.

“Adalah diharapkan penyelidikan berkenaan dapat dimanfaat dan dijadikan contoh dalam penghasilan piawaian khusus untuk industri ternakan ayam organik di negara ini,” katanya.

Beliau menegaskan ketika ini tiada piawaian yang khusus untuk penternakan ayam sehingga ramai yang mendakwa ayam keluaran syarikat masing-masing sebagai bahan organik.

Cabaran utama penternakan organik adalah dari segi ketulenan produk. Antara kebimbangan ialah pengeluar produk bukan organik atau tidak memenuhi piawaian organik berlumba-lumba melabelkan produk masing-masing dengan nama organik.

Ini juga didorong harga produk organik lebih mahal. Harga ayam organik yang dikategorikan sebagai makanan ‘eksklusif’ RM10 hingga RM20 sekilogram, berbanding RM2.60 dari ladang konvensional.

Ketika ini, sesiapa pun boleh mendakwa mengeluarkan produk organik walaupun kaedah yang digunakan tidak sepenuhnya organik termasuk memberi makanan yang mengandungi bahan pengubahsuai genetik (GMO).

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Memahami profil pendera kanak-kanak
Bersama Dr Mohamed Fadzil Che Din
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 21 Mac 2010



BELUM sempat kita mencecah 100 hari bagi 2010, dada kita sudah digoncang, fikiran kita sudah dikusut, perasaan kita sudah digelora dan jari-jemari kita sudah terketar dek pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sistem nilai dan sosial kehidupan seharian. Kita digempar dengan pelbagai kisah kehidupan yang tidak tahu menghayati apakah itu nilai nyawa seorang insan dan kegagalan manusia itu untuk berfungsi secara normal dalam masyarakat manusia itu sendiri.

Di sebalik pendedahan media, peringatan pemimpin masyarakat, nasihat orang tua dan teguran ahli agama berkaitan salah laku sosial dan jenayah seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, pembunuhan insan yang tidak berdosa, mencabul serta merogol, ia memperlihatkan satu amalan ketidakpedulian yang amat ketara oleh si pelaku atau penjenayah ini. Apakah tabiat memberi peringatan, teguran dan nasihat tidak lagi menjadi kaedah berkesan dalam masyarakat, atau adakah sistem pendidikan keluarga dan komuniti sudah tidak berfungsi, atau adakah kerana kepincangan sosial yang semakin menjerut masyarakat, atau apakah kerana masyarakat itu sendiri memilih untuk belajar menjadi semakin rakus, tamak, penting diri, agresif dan gundah-gulana, lantaran menjana tingkah laku antisosial yang merobek segala keharmonian keluarga dan kesejahteraan masyarakat hari ini. Agak sukar kita membuat kesimpulan untuk menyalah atau mencari punca isu sosial dengan hanya menjuruskan kepada satu faktor sosial seperti individu, keluarga, komuniti, masyarakat, perundangan negara, penguatkuasaan, perlindungan mangsa dan sebagainya. Bagi sesetengah pakar sosial kes berkaitan gejala sosial ini dikatakan masih belum serius atau terkawal. Ia sering dilihat secara meluas dengan mengambil kira jumlah ahli masyarakat yang besar dan semakin bertambah saban tahun.

Namun, bagi sesetengah ahli sosial yang menggunakan kanta (magnifying glass) setiap kes adalah penting dan perlu dikaji secara serius dan mendalam. Perbincangan sama ada kes atau gejala sosial sebegini menjadi semakin serius atau penting untuk diperdebatkan perlu ditangguhkan untuk seketika oleh semua ahli masyarakat.

Adalah lebih utama jika kita menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk memahami profil asas berkaitan kes gejala sosial ini. Memang banyak jenis jenayah terhadap kanak-kanak, gadis dan wanita dilaporkan setiap tahun, namun untuk perkongsian kali ini kita fokuskan kepada kes penderaan kanak-kanak yang merangkumi jenayah pembuangan bayi, pengabaian kanak-kanak, penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi-psikologikal dan sumbang mahram.

Kebanyakan pakar psiko-sosial percaya dengan memahami profil kes penderaan kanak-kanak, maka usaha untuk membantu mengatasi, membendung dan menanganinya adalah lebih cerah dan berkesan. Apabila kita berjaya mengenali dan memahami profil jenayah seperti jenis kes, rujukan kes, etnik pelaku atau penjenayah, profil pelaku/penjenayah dan punca berlakunya kes penderaan di komuniti atau sekitar kita, maka usaha bagi menanganinya boleh dirancang dengan lebih teliti dan bermakna.
Melihat kepada statistik kes penderaan dan keganasan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia mengikut Laporan Statistik 2008, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, ia berjaya memberi serba sedikit gambaran dan profil berkaitan kes penderaan berkenaan.

Secara umum pada 2008, kes penderaan kanak-kanak meningkat 501 kes atau 21 peratus daripada 2,279 (2007) kepada 2,780 (2008) kes. Paling banyak kes (56 peratus daripada keseluruhan 2,780 kes) berlaku di kawasan padat penduduk iaitu Lembah Klang (949 kes di Selangor dan 595 kes di Wilayah Persekutuan).
Jenis penderaan paling banyak ialah penderaan seksual (863 kes), diikuti kes pengabaian kanak-kanak (833 kes), dan penderaan fizikal (733 kes). Lebih ramai kanak-kanak lelaki yang didera secara fizikal, manakala amat ketara 95 peratus kanak-kanak perempuan adalah mangsa kepada penderaan seksual (698 kes berbanding 35 kes).

Kes pembuangan bayi bagi 2008 pula menurun lima kes kepada 58 berbanding 63 pada 2007. Kadar ini bersamaan 1.2 kes pembuangan bayi setiap minggu atau 4.8 kes bayi dibuang setiap bulan. Lebih 70 peratus daripada kanak-kanak yang didera adalah berketurunan Melayu (1962 kes), diikuti kanak-kanak India (441 kes) dan kanak-kanak (Cina 299 kes). Hampir dua pertiga (64.6 peratus) kanak-kanak yang didera ialah kanak-kanak perempuan (1,795 kes) berbanding kanak-kanak lelaki (985 kes). Kebanyakan kanak-kanak perempuan yang didera ialah dalam lingkungan umur 7 hingga 12 tahun (345 kes) dan bawah 3 tahun (276 kes). Kebanyakan kanak-kanak lelaki yang didera pula ialah sekitar umur 13n hingga 18 tahun (866 kes) dan 7-12 tahun (411 kes).

Pendera atau orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah dera ini amat penting untuk diketahui. Maklumat ini amat penting untuk kita mengenal pasti tempat paling sering wujudnya kes penderaan. Merujuk kepada kes penderaan 2008, data memperlihatkan orang yang paling hampir dengan mangsa adalah pendera yang berpotensi. Ibu (772 kes) dan bapa (494 kes) adalah pendera paling ramai iaitu 45.6 peratus berbanding pelaku yang lain. Selain itu, kekasih kanak-kanak juga adalah pendera yang agak signifikan sebanyak 378 kes.

Dengan memahami profil dan ‘baseline’ kes berkaitan penderaan kanak-kanak ini, sudah pasti pakar perawat sosial akan mampu untuk meneroka senario kes dengan lebih meluas dan mendalam serta mampu mencari perhubungan makna antara pelbagai angkubah individu, keluarga, komuniti dan masyarakat. Atas kefahaman ini, diharapkan strategi menangani isu sosial ini akan menjadi lebih berkesan, bermakna dan berbaloi. Sesungguhnya kita semua mampu untuk membantu pelbagai pihak dalam menangani gejala sosial yang boleh dikawal jika kita dapat melakukannya secara bersama.

Penulis ialah Pengarah Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...