24 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SMK MERADONG : JERAYAWARA BESTARI, BUDI TUAN TIDAK TERBELI, SEMOGA TUHAN MEMBERKATI



Jemputan untuk mengadakan perkongsian ilmu di SMK Meradong yang disampaikan oleh Ketua Bahasa Melayu Prauniversiti sekolah itu, Cikgu Wee Tian Chai, saya terima dengan tangan terbuka bak kata pepatah, “kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan”. Walaupun saya tahu, kepakaran saya tidaklah sehebat mana kerana saya masih belajar dan akan terus belajar tetapi atas tiket saya sebagai Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Negeri Sarawak, saya tidak boleh menolak setiap pelawaan daripada mana-mana sekolah yang memerlukan khidmat saya. Saya tidak pernah menolak kerana saya takut mengecewakan orang yang mengharap. Bagi saya, selagi diluar waktu persekolahan, saya akan pergi. Oleh itu, waktu hujung minggu saya selalu dirampas oleh jemputan daripada sekolah-sekolah di Sarawak da nada juga jemputan dari Semenanjung Malaysia serta Sabah. Apabila dijemput, saya letakkan harapan orang yang menjemput di tempat yang paling tinggi, saya tidak mahu perkongsian yang saya buat hanyalah sekadar melepaskan batuk ditangga.


Jemputan daripada pihak sekolah SMK Meradong pada tahun ini bukanlah jemputan yang pertama saya terima daripada sekolah tersebut. Pada tahun-tahun lepas, saya pun pergi ke sekolah yang sudah berusia dan melahirkan ramai ilmuan berjawatan tinggi itu. Cuma, jemputan kali ini amat istimewa bagi saya. Saya rasa sungguh bersemangat dan melakukan pelbagai persiapan dari segi ilmu tatabahasa. Kenapa? Biarlah rahsia dahulu. Selepas anda membaca sehingga ke noktah terakhir catatan ini, anda akan tahu sebab utama saya rasa amat teruja pergi ke SMK Meradong pada tanggal 23 Mac 2017. Pagi tadi, saya bangun pada pukul 5:00 pagi. Saya sediakan sarapan dengan membuat pancake dan telur ayam kampung rebus sahaja. Saya minum secangkir kopi hijau. Selepas mandi saya nikmati sarapan sambil menyemak 205 slaid power point yang akan saya sampaikan di SMK Meradong menggunakan Ipad mini saya. Saya bertolak ke SMK Meradong pada pukul 7:45 pagi. Perjalanan saya pada pagi tadi amat lancar. Saya sampai di SMK Meradong pada pukul 8:45 pagi.

ENCIK VINCENT LIONG SHOU CHUAN
PENGETUA BERWIBAWA, IDOLA SELAMANYA

Pengetua SMK Meradong, Encik Vincent Liong Shou Chuan merupakan seorang pengetua yang amat berkarisma dan berwibawa. Beliau pernah menjadi pengetua di SMK Sacred Heart lebih kurang lima tahun. Dalam tempoh lima tahun itu, terlalu banyak perubahan dan kejayaan yang dinikmati. Saya masih ingat, di bawah pentadbiran beliau, kami merangkul pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan seperti Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Kebangsaan, Anugerah Sekolah Harapan Negara, Anugerah Ketua Menteri Sarawak, Anugerah SPBT peringkat kebangsaan dan sebagainya. Nama SMK Sacred Heart sentiasa menjadi sebutan pengacara majlis semasa perayaan hari guru peringkat bahagian, negeri, dan kebangsaan sebab kejayaan guru-guru sekolah kami dalam Pertandingan Anugerah Guru Inovatif dan sebagainya. Saya dan kumpulan Bahasa Melayu saya pernah beberapa kali mendapat tempat di peringkat negeri dalam pertandingan tersebut. Oleh sebab itu, jumlah Guru Cemerlang di SMK Sacred Heart lebih daripada 20 orang, kemungkinan yang teramai di Malaysia. Itulah kehebatan Tuan Pengetua Encik Vincent Liong. Beliau amat kuat bekerja dan bercita-cita tinggi untuk memajukan sekolah dan warganya. Khidmat cemerlang beliau diteruskan di mana-mana sekolah tempat beliau berkhidmat termasuklah di SMK Meradong.


Saya amat mengagumi beliau. Tempoh masa bekerja dengan beliau di SMK Sacred Heart merupakan tempoh yang amat bernilai dan berharga buat seorang guru yang kerdil seperti saya. Saya menjadi seperti hari ini banyak disebabkan oleh pelbagai dasar dan pembaharuan yang diimplementasikan oleh beliau di SMK Sacred Heart. Dasar-dasar beliau banyak membawa kemajuan kepada kerjaya seseorang guru. Tindakan beliau menjadikan Kajian Tindakan dan Penyelidikan sebagai agenda tahunan sekolah telah menjadikan kami guru-guru yang cemerlang dalam subjek yang diajar. Beliau seorang ketua yang amat tegas tetapi layanan beliau terhadap semua guru amat memikat hati. Beliau banyak memberikan motivasi dan membangkitkan semangat untuk kami berjaya. Oleh sebab itu, kenaikan pangkat saya sebagai Guru Cemerlang akan sentiasa terpahat dalam lipatan memori. Saya banyak mengagumi usaha dan cara kerja beliau untuk mara ke hadapan.

Encik Vincent Liong Shou Chuan merupakan seorang pemidato yang hebat. Cara beliau menyampaikan ucapan akan menarik perhatian ramai orang yang mendengarnya. Saya selalu mencatat kata-kata beliau dalam sebuah buku catatan yang masih saya buka hingga ke hari ini. Beliau merupakan seorang pemikir yang bijaksana. Setiap dasar atau pembaharuan yang dibuat tidak ada yang tidak berjaya kerana perancangan beliau amat teliti dan rapi. Beliau amat pandai melayan semua warga sekolah tanpa memandang bangsa, agama, dan budaya hidup mereka. Di bawah pentadbiran beliau, kami amat bersemangat untuk bekerja sehingga berebutkan waktu dan kelas untuk mengadakan kelas tambahan. Kami buat kerja dengan rela hati tanpa dipaksa. Kami datang ke sekolah untuk membimbing pelajar tanpa mengira hari Sabtu dan Ahad. Kami tidak pernah mengeluh kerana banyak kerja kerana kami lihat beliau sendiri tidak henti-henti bekerja sehingga menimbulkan rasa kasihan dan simpati di hati kami. Itulah kehebatan Encik Vincent Liong. Pengetua terlajak hebat yang pernah saya kenali.


KETUA PANITIA DAN GURU-GURU BAHASA MELAYU
BERSATU MELANGKAH, SENADA, DAN SEIRAMA MENUJU KE PUNCAK JAYA

Kedatangan saya pagi tadi disambut oleh semua guru bahasa Melayu SMK Meradong. Mereka terdiri daripada Cikgu Wee Thian Chai (Ketua Panitia BM Prauniversiti), Cikgu Patricia Winnie Gera, Cikgu Liong Siew Ing, Cikgu Masdom Bin Bujang, Cikgu Abang Adzhar, Cikgu Nyandang Legong, dan Cikgu Sida Bte Usop. Sepanjang saya menyampaikan ceramah, guru-guru ini duduk bersama pelajar dan khuysuk mendengar ceramah yang saya sampaikan. Perkara ini menyebabkan saya sentiasa berhati-hati dalam mengulas setiap slaid yang saya tayangkan. Saya takut penerangan saya tidak sampai ke hati dan yang paling saya seram apabila mereka semua sesat sampai tidak menjumpai jalan pulang selepas mendengar ceramah saya. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menanya komen para guru dan pelajar tentang ceramah yang saya sampaikan di mana-mana tempat yang saya kunjungi. Hati dan jiwa saya sahaja yang selalu berdoa agar dipermudahkan usaha dan direalitikan mimpi mereka untuk mencapai kejayaan. Sebenarnya, saya telah lama mengenali guru-guru bahasa Melayu SMK Meradong kerana kami selalu berjumpa semasa saya memberikan taklimat tentang Kerja Kursus Bahasa Melayu Penggal 2 dan Penggal 3.


Apabila melihat kerjasama antara mereka hati saya terpikat. Saya mahu terus tinggal di sini dan menabur bakti bersama-sama mereka. Andai ada kuasa dan peluang itu datang, sudah pasti tidak akan saya sia-siakan.

Mereka nampak lebih bersemangat daripada saya. Saya nampak dari riak wajah mereka terpancar kesungguhan dan harapan tinggi agar SMK Meradong bisa melonjak dari segi GPMP dalam subjek Bahasa Melayu. Saya sentiasa mendoakan dan memberikan harapan dalam hati kepada guru-guru hebat ini. Saya nampak kerjasama saksama mereka amat ketara. Ini menambahkan keyakinan saya, sesuatu yang mengembirakan mungkin akan mereka gapai apabila keputusan Bahasa Melayu Kertas 2, Penggal 2 diumumkan kelak. Saya yakin, jika strategi yang disusun betul dan amalan kerja berpasukan menjadi budaya, tiada yang mustahil untuk dicapai. Semuanya akan menjadi mudah buat guru-guru SMK Meradong. Perjuangan yang penuh ikhlas dan impian pasti akan diberkati Tuhan. Saya percaya, setiap pembaharuan yang saya nampak di sekeliling sekolah SMK Meradong telah menaikkan semangat guru-guru ini untuk sama-sama menaikkan imej sekolah dengan mempertingkat pencapaian dalam bidang akademik. Tahniah dan syabas cikgu-cikgu!

PELAJAR CEMERLANG,
IMEJ SEKOLAH DIJULANG

Sepanjang saya menyampaikan ceramah, saya nampak pelajar-pelajar prauniversiti SMK Meradong menghayati setiap informasi yang saya lontarkan satu persatu untuk dikongsi. Setiap pertanyaan yang saya panahkan tanpa sasaran disambut dengan jawapan yang tepat dan meyakinkan. Mereka tampak berdisiplin dan tekun mengikuti. Walaupun, mungkin ada yang bermimpi di siang hari tetapi pernilaian saya melalui pandangan mata seorang perantara melihat semua mata tertumpu ke arah saya. Ya Tuhan, berikanlah sinar kejayaan buat pelajar-pelajar ini. Jika mereka sukar mengingat, kuatkanlah daya ingatan mereka. Jika mereka culas, kau lenyapkan rasa culas itu, gantikan dengan sifat rajin yang luar biasa. Sesungguhnya, mereka memang mengimpikan kejayaan. Berikanlah keyakinan dan harapan buat mereka. Mereka mampu memperoleh A dalam subjek Bahasa Melayu. Mereka perlu tingkatkan usaha dan bimbingan berterusan bagi membaiki setiap kelemahan untuk memastikan mimpi jadi kenyataan.


Saya harap pelajar-pelajar ini sedar tentang tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, dan sekolah. Kejayaan mereka amat penting untuk membuktikan kepada guru-guru dan pengetua serta penduduk setempat bahawa mereka merupakan kumpulan yang terbaik yang pernah wujud di SMK Meradong. Kejayaan itu tidak pernah lari jika dia tahu orang yang mengejarnya merupakan orang yang rajin dan sentiasa tidak jemu berusaha untuk mendapatkannya. Dia akan datang menyerah diri kerana dia tahu orang yang rajin itu benar-benar mahu mendapatkannya sebab itu mereka bersusah payah untuk mendapatkannya. Saya mahu pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya belajar rajin-rajin serta menelaah dengan cara yang betul. Mereka perlu menguasai teknik dan kehendak soalan kerana itulah yang akan ditanya semula. Kesedaran untuk berubah dan mencari kebahagiaan hidup untuk keluarga tersayang wajar disematkan di hati agar mereka tidak hilang fokus. Apabila saya menutup sesi ceramah dengan bertanyakan beberapa soalan kuiz, saya amat kagum dengan jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar yang tampil ke hadapan. Cuma, tahap keyakinan dan keberanian untuk tampil ke hadapan harus diperkasa dengan mengikis rasa rendah diri dan rasa malu yang membalut niat untuk bersaing demi melonjak ke tangga yang lebih tinggi lagi.

JALAN ITU NAMPAK MUDAH

SMK Meradong mampu melangkah ke hadapan dengan penuh bergaya berdasarkan acuan seorang pemimpin bestari yang telah dimaklumi kemenjadian kepemimpiannya. Semoga kerjasama antara warganya akan terus subur dan mekar sehingga membuahkan kejayaan yang menyerlah dan mengharum. Harumannya sewangi kasturi yang kekal abdi dan mencambahkan benih-benih suci melata mewangi di seluruh negeri. Semoga anak-anak didik terutamanya pelajar-pelajar prauniversiti yang menghabiskan masa lebih kurang 3 jam mendengar perkongsian ilmu daripada saya mampu menghadiahkan banyak A dalam subjek Bahasa Melayu buat guru-guru mereka yang komited dan berkarisma. Semoga akan terbit rasa kesedaran untuk mara ke hadapan dengan semangat yang kental membara demi menjulang nama SMK Meradong agar mampu berdiri setara dan menjadi role model kepada sekolah-sekolah lain di negara kita. Buat semua guru-guru Bahasa Melayu STPM SMK Meradong, saya rakamkan jutaan terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk melestarikan perkongsian ini sepertimana yang dirancang. Sekiranya ada kekurangan, saya dengan rasa rendah diri memohon kemaafan. Saya masih belajar dan akan terus belajar untuk menjadi lebih baik demi menabur bakti kepada anak didik dan pertiwi. Terima kasih SMK Meradong.



Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak

20 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : “HANTU SEKOLAH”, GOLONGAN MINORITI YANG TAK SEDAR DIRI


Semua orang wajib pergi ke sekolah. Sejak berumur 5 tahun lagi kita telah dihantar ke TASKA oleh ibu bapa kita. Kemudian, kita masuk TADIKA sebelum memasuki Tahun 1. Mengapakah kita dihantar ke sekolah? Mengapakah ibu bapa sanggup bersusah payah bangun pada pukul 5:00 pagi untuk menyediakan sarapan dan segala persiapan untuk kita sebelum ke sekolah? Mengapakah ayah sanggup bersusah payah mencari rezeki dan menghulurkan wang saku RM5.00 sehari sekurang-kurangnya untuk kita bawa ke sekolah? Apabila kita sampai di sekolah, kita diajar pelbagai ilmu oleh guru-guru kita. Jika kita malas kita akan ditegur. Jika kita rajin kita akan dipuji. Cikgu jadikan kita contoh kepada pelajar-pelajar lain. Di sekolah banyak undang-undang. Kita tidak boleh bercakap kasar. Kita tidak boleh ponteng sekolah. Kita tidak boleh melawan guru. Kita tidak boleh merokok. Jika kita melakukan kesalahan, kita akan didenda. Ibu bapa kita akan dipanggil. Jika kesalahan berat kita mungkin akan digantung sekolah. Walaupun begitu, kita tetap juga dipaksa bersekolah oleh guru-guru dan ibu bapa kita. Mengapa?

Walau bagaimanapun, ramai pelajar tidak tahu tujuan mereka datang ke sekolah. Mereka menghabiskan masa di sekolah dengan melakukan pelbagai masalah. Apabila guru menegur mereka melawan. Tindakan demi tindakan dikenakan tetapi perangai tetap juga tidak berubah. Nama mereka menjadi sebutan dalam kalangan warga sekolah. Pelajar yang sebegini bukannya banyak tetapi populasi golongan minoriti yang tak sampai 5% daripada jumlah pelajar di sesebuah sekolah ini memang boleh menaikkan darah guru. Semasa guru mengajar mereka bersenda gurau. Semasa aktiviti kokurikulum mereka ponteng. Pendek kata, perkara yang bermain di minda pelajar-pelajar ini semuanya yang negatif. Saya gelarkan pelajar-pelajar ini “Hantu Sekolah”. Perangai orang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun tidak seperti mereka. Sepanjang masa mereka berada di sekolah, golongan ini menyisihkan diri daripada semua guru dan pelajar kerana mereka cenderung melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan pelbagai masalah. Golongan ini boleh bergaduh pada bila-bila masa kerana perangai samseng “tahi kucing” mereka. Siapakah yang rugi?

GURU TIDAK RUGI SATU SEN PUN

Apabila “Hantu Sekolah” ini melakukan masalah, yang bersusah payah menyelesaikan masalah mereka ialah guru-guru terutamanya Pengetua, Penolong Kanan HEM, guru-guru disiplin dan pelbagai pihak yang lain. Jika mereka memberikan kerjasama, mudahlah jalan penyelesaiannya. Akan tetapi, jika mereka degil dan tidak mengaku, maka jalan penyelesaian kadang-kadang menjadi buntu dan melibatkan pelbagai saksi untuk tampil. Apabila ibu bapa mereka dipanggil pula satu lagi senario akan muncul. Ibu bapa yang baik dan memahami tugas guru, akur dengan keputusan pihak sekolah manakala ibu bapa yang jenis menyebelahi anak-anak mereka, guru menjadi sasaran cacian dan makian mereka walaupun anak mereka yang bersalah. Guru akan dihina sehingga soal gaji guru dan imej sekolah akan dijadikan senjata untuk menyerang guru. Biarpun begitu, guru tidak pernah melawan. Mereka tetap juga menunjukkan jalan yang betul dan lurus. Mereka berusaha juga menyelesaikan masalah. Mereka tidak pernah mengalah. Kadang-kadang saya sedih melihat sikap segelintir ibu bapa yang suka bertindak melulu menyerang guru di sekolah. Mereka terlalu percaya kata-kata anak-anak mereka sehingga mengambil keputusan terburu-buru dan akhirnya yang malu diri mereka sendiri.

Datang ke sekolah untuk bersekolah. Bersekolah untuk mendapatkan ilmu. 
Ilmu itu penting untuk masa depan. 
Tiada ilmu, tiadalah masa depan.  

Segelintir “Hantu Sekolah” ini terlalu dimanjakan. Cara didikan yang mendewa-dewakan anak di rumah menjadikan mereka seolah-olah anak raja juga di sekolah. Mereka menganggu pelajar-pelajar lain dengan pelbagai ugutan, ancaman, dan sebagainya sehingga mencetuskan pergaduhan. Apabila kes menjadi besar mereka boleh menjadi pengelipur lara yang bijak berseloka dan bercerita. Mereka tidak pernah salah. Merekalah makhluk Tuhan paling beriman! Akan tetapi, saya kagum dengan ramai ibu bapa yang memiliki anak-anak sebegini memang bersetuju dan akur dengan tindakan pihak sekolah. Mereka memberikan sokongan kepada pihak sekolah. Mereka memarahi anak mereka yang melakukan kesalahan itu. Mereka memohon maaf kepada mangsa dan guru-guru. Mereka tebalkan muka untuk datang berbincang dengan pihak sekolah tentang masalah anak mereka. Golongan ibu bapa yang sebegini masih ramai lagi. Golongan yang tahu tugas guru-guru di sekolah dan faham tujuan dan matlamat mereka menghantar anak mereka ke sekolah. Walaupun mereka berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat, apabila dipanggil untuk berbincang tentang anak-anak, mereka sedia memberikan kerjasama. Tahniah dan syabas diucapkan!

YANG RUGI AWAKLAH JUGA

Sepanjang pemerhatian saya sebagai seorang guru yang telah berkhidmat selama 20 tahun, golongan “Hantu Sekolah” ini biasanya tidak ada yang betul-betul berjaya dalam hidup. Hampir 90% pintu masa hadapan mereka akan tertutup sebaik sahaja menerima keputusan SPM. Mereka gagal subjek Bahasa Melayu atau Sejarah. Pada masa itu, barulah mereka ibarat sudah terhantuk baru terngadah. Yang sedar diri akan kembali ke pangkal jalan. Mereka membetulkan segala kesilapan. Mereka susun kembali langkah kaki. Mereka berubah untuk tidak menjadi “hantu” lagi. Ada yang berjaya juga walaupun terpaksa membazirkan banyak masa tetapi nawaitu mereka betul untuk membaiki diri agar tidak terus sesat dalam hasutan nafsu dan syaitan. Sesungguhnya, Tuhan sentiasa memberikan peluang untuk semua orang yang sering melakukan kesilapan untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan.


Guru itu pendidik.
Hormati mereka. Tiada guru
yang mahu pelajar-pelajarnya
gagal dalam hidup. Jahat kita
dia lindungi. Silap kita
dia betulkan. Sakit pening kita
pun dia ambil tahu. Tak ada
buku dia belikan. Kita yang
pura-pura tak nampak
jasa guru kita. 

Yang sedih, ramai yang terus menjadi ‘Hantu’ selepas gagal itu. Mereka bukan lagi menjadi “Hantu Sekolah” tetapi bertukar status menjadi “Hantu Ibu Ayah” dan “Hantu Masyarakat”. Mereka terus menerus sesat dan sesat dalam perjalanan hidup. Jalan hitam, curam, dan menyakitkan tetap dijadikan pilihan. Selepas menyusahkan guru, mereka menyusahkan ibu bapa dan masyarakat pula. Golongan inilah yang mencetuskan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. Mereka melayan nikmat dunia dengan cara yang menyanggah undang-undang negara. Ramai yang menjadi penjenayah dan tidak kurang pula yang menjadi penagih dadah. Bagi golongan ini, kebahagian akan sentiasa menjauhi mereka. Kesejahteraan hidup akan melarikan diri daripada mereka. Kasih sayang tidak bertakhta dalam hati mereka. Hidup mereka mungkin dilimpahi kemewahan tetapi mereka kehilangan banyak nikmat dunia sama ada mereka sedar mahupun tidak. Mereka sebenarnya penghuni bumi yang paling rugi.

Kadang-kadang saya jadi terharu apabila melihat jalan hidup “Hantu Sekolah” ini selepas 5 hingga 10 tahun kemudian. Bumi ini tidak seluas manapun. Lambat laun kita akan bertemu juga. Apabila saya melihat pekerjaan yang mereka lakukan timbul pertanyaan dalam hati saya, kalau dahulu mereka menggunakan peluang yang ada semasa bersekolah dengan sebaik-baiknya, mereka pasti tidak hidup sesusah itu. Anak-anak muda seperti mereka tidak sepatutnya hidup dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Jika ibu bapa mereka, saya bersetuju kerana ibu bapa mereka mungkin tidak pernah pergi ke sekolah. Mengapa mereka gagal dalam hidup? Pertama, mereka terlalu sibuk bercinta. Orang bersekolah mengejar ilmu untuk membina masa depan tetapi mereka datang ke sekolah untuk memilih calon suami atau calon isteri. Mereka hanyut dengan dunia cinta yang tidak kemana. Akhirnya, mereka mendirikan mahligai tanpa memiliki rumah, kereta, pekerjaan tetap, dan ilmu untuk menjadi ayah dan ibu. Rumahtangga yang dibina jarang yang kekal hingga ke hujung nyawa. Selepas setahun dua, mereka bercerai dan anak-anaklah yang menjadi mangsa. Masalah mereka akan disambung pula oleh anak-anak mereka selepas itu nanti. Itulah malapetaka yang menimpa jika kita menjadi “Hantu Sekolah”.

JADILAH MANUSIA HEBAT

Saya selalu mengimpikan sebuah sekolah yang dihuni oleh pelajar-pelajar yang hebat dan berakal. Semua orang yang datang ke sekolah tahu tujuan dan matlamat mereka datang ke sekolah. Mereka bersaing secara sihat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan. Mereka dahagakan kejayaan. Mereka gunakan sepenuh masa persekolahan dengan menaikkan nama dan mengangkat imej sekolah. Mereka tidak melakukan masalah disiplin. Pencapaian akademik mereka mengagumkan. Prestasi mereka dalam bidang kokurikulum menjadi sebutan. Para guru dan warga sekolah dapat fokus terhadap tugas mengajar sahaja tanpa menyelesaikan masalah disiplin yang memeningkan kepala. Pelajar-pelajar yang datang ke sekolah semua bersahsiah tinggi. Mereka tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap diri, keluarga, bangsa dan negara. Mereka mengutamakan hubungan dengan Yang Maha Esa. Walaupun saya tahu impian saya ini tidak mungkin akan menjadi realiti tetapi saya ingin golongan pelajar yang hebat ini bertambah dari sehari ke sehari. Saya tidak mahu golongan yang datang ke sekolah tidak tahu makna dan tujuan mereka datang ke sekolah.

Anak-anakku, jika sekarang anda 
tinggal di rumah yang berharga RM200,000 
yang dibeli oleh ayah anda dengan hasil titik 
peluhnya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. 
Anda harus bermimpi untuk menghadiahkan 
kepadanya sebuah rumah yang berharga RM1 juta. 
Anda mampu jika anda berusaha untuk 
menjadi orang yang cemerlang. 
Orang yang cemerlang hanya 
dilahirkan di sekolah.

Orang yang tahu tujuan mereka datang ke sekolah akan berusaha membaiki segala kekurangan dan membina keyakinan diri. Mereka mempunyai cita-cita dan impian. Mereka ingin mengembirakan hati ibu bapa, guru-guru, dan rakan-rakan dengan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan yang dirangkul. Mereka impikan gelaran “Pelajar Terbaik” yang dijulang dalam majlis-majlis anugerah dari peringkat sekolah hingga ke peringkat antarabangsa. Mereka sentiasa bersikap matang dan bersemangat waja. Golongan ini selalu memandang jauh ke hadapan kerana bagi mereka peluang yang datang cuma sekali. Masa itu emas, alangkah ruginya jika disia-siakan. Saya tahu ramai ibu bapa dan pelajar yang sependapat dengan saya kerana mereka tahu hanya dengan ilmu sahaja mereka mampu meneroka masa depan dengan bergaya.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak

19 Mac 2017

CIKGU ZUL SANA SINI: SMK BANDAR TENGGARA, TAHNIAH DAN SYABAS, GURU YAKIN PELAJAR BERDISIPLIN


Puan Zulaikha dan Puan Faridah
Guru Bahasa Melayu SMK Bandar Tenggara

Semasa keputusan STPM diumumkan baru-baru ini, saya turut berbangga apabila nama SMK Bandar Tenggara, Johor Darul Takzim diumumkan sebagai antara sekolah yang terbaik. Walaupun bukan ditempat yang pertama tetapi sekolah tersebut berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 buah sekolah yang cemerlang dalam STPM tahun 2016. Saya mempunyai kenangan yang amat manis dengan pelajar-pelajar sekolah itu kerana secara kebetulan saya jalan-jalan cari makan di Johor saya dijemput untuk memberikan ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM oleh guru Bahasa Melayu mereka yang amat saya kagumi Puan Zulaikha. Sifat keibuan yang dimiliki oleh Puan Zulaikha kadang-kadang menyentuh hati apabila beliau selalu menceritakan tentang keadaan pelajar-pelajar SMK Bandar Tenggara yang perlukan bimbingan. Beliau amat merendah diri dalam segala tutur kata. Saya tidak pernah menolak untuk berkongsi ilmu kerana saya faham tugas sebagai guru adalah untuk menyampaikan ilmu sebanyak manapun kepada sesiapa yang memerlukan. Cuma kadang-kadang saya takut saya tidak cukup ilmu untuk dikongsikan dengan orang yang menjemput. 


Pelajar Tingkatan Enam Penggal 3 yang lebih besar daripada saya.
Mereka kelolakan majlis dan buat segala-galanya.

JUMPA KALI PERTAMA
23 SEPTEMBER 2015


Cikgu Hamzah, Guru Bahasa Melayu
SMK Bandar Tenggara

Saya melihat para guru Bahasa Melayu dan pelajar-pelajar di Tingkatan Enam di sekolah itu amat komited. Hubungan antara guru dan pelajar bagaikan hubungan antara ibu dan anak. Pelajar-pelajar Tingkatan Enam sekolah itu amat berdisiplin dan mempunyai komitmen yang tinggi. Pertama kali saya memberikan ceramah di sekolah itu ialah pada tahun 2015 semasa mereka berada di Penggal 1. Saya dibawa oleh Cikgu Hamzah menggunakan kereta dari bandar Johor Baharu ke bandar Tenggara. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang tiga jam. Saya sebenarnya risau sebab perjalanan itu terasa amat jauh tetapi keramahan Cikgu Hamzah berjaya mengurangkan kerisauan saya. Apabila tiba di bandar Tenggara saya disewakan di sebuah Homestay yang amat luas dan indah. Saya rasa sungguh tenang dan damai tinggal di sana. Semasa saya datang hujan turun tidak henti-henti. Selepas hujan berhenti saya pun jalan-jalan di sekitar bandar Tenggara itu. Bandarnya tidak besar tetapi amat mendamaikan. Pada waktu malam saya dibawa oleh Puan Zulaikha dan suami beliau yang peramah lagi mesra makan di salah sebuah kedai makan yang popular di bandar itu. Saya yang memang kuat makan memang suka dengan hidangan yang disajikan. Malam itu saya diulit mimpi indah dengan penuh harapan agar agenda ceramah saya pada esok hari mampu membantu melonjakkan prestasi SMK Bandar Tenggara dalam subjek Bahasa Melayu. 


Bergambar bersama Puan Muzayanah dan Puan Hafilah
(Gambar saya tidur berdiri pula)

Keesokan hari, saya bangun awal sebab ceramah saya bermula pada pukul 8.00 pagi. Cikgu Hamzah membawa saya ke sekolah itu. Cikgu Hamzah amat mesra dan sentiasa menepati masa sehingga saya berasa amat segan. Beliau amat prihatin sehingga perkara yang kecil-kecil pun dia ingatkan untuk saya. Semasa saya tiba, semua guru dan pelajar kelihatan amat bersedia. Sepanjang saya menyampaikan ceramah, pelajar-pelajar khusyuk mendengar. Seorang pun tidak pergi ke tandas. Hati saya berkata alangkah berdisiplinnya pelajar-pelajar di sekolah itu. Guru-guru mereka pula memang melayan saya dengan amat baik terutamanya Puan Zulaikha. Puan Zulaikha dan saya memang sudah lama mengenali kerana kami merupakan Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM yang sering dijemput menghadiri mesyuarat di peringkat kebangsaan. Saya berasa amat dihargai apabila berada di samping guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah itu. Pelajar-pelajar Tingkatan Enam sekolah itu amat berbudi bahasa. Mereka sentiasa bersalaman dengan saya dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih. Ya Allah, berikanlah kejayaan buat mereka. Kau rahmatilah perjuangan mereka agar mereka lulus dengan cemerlang dalam STPM. Sesungguhnya, mereka amat berhak untuk mendapat rahmat-Mu. Ceramah saya pada hari itu berakhir dengan ucapan terima kasih daripada para pelajar. Pelajar perempuan mahupun pelajar lelaki amatlah bersopan santun. Terasa kehadiran saya di dewan yang indah itu amat dihargai. Pelajar lelaki seorang demi seorang bersalaman dengan saya dengan ucapan terima kasih yang tiada henti. 

JUMPA KALI KEDUA
20 OGOS 2016


Cikgu Mohd Pozi (PK Tingkatan Enam) dan Cikgu Zolkepli

Pada 20 Ogos 2016, pelajar-pelajar ini telah masuk ke Penggal 3. Saya dijemput untuk menyampaikan ceramah Bahasa Melayu Penggal 3. Kali ini, pihak sekolah membuat Kem Motivasi untuk pelajar-pelajar Tingkatan Enam yang ditaja oleh Lembaha Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA). Betapa beruntungnya menjadi pelajar SMK Bandar Tenggara. Sokongan daripada pihak KEJORA menyebabkan mereka mampu memanggil penceramah yang terbaik datang untuk berkongsi ilmu dengan para guru dan pelajar-pelajar mereka. Kali ini, saya dijemput oleh Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Bandar Tenggara, Cikgu Mohd. Pozi  dan Cikgu Zolkepli dari sekolah tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Mereka memang peramah. Pertama kali berjumpa dengan mereka kami bagaikan sudah saling mengenali lebih kurang 10 tahun. Sepanjang perjalanan ke Kem PLKN Batu Pahat, tempat Kem Motivasi diadakan mereka bercerita tentang macam-macam perkara dengan saya wahal kami memang tidak pernah berjumpa pun sebelum ini. Mereka merupakan guru-guru yang amat bertanggungjawab. Buktinya, mereka sentiasa menyebut nama Puan Zulaikha yang merupakan guru yang akan menguruskan ceramah yang akan saya sampaikan pada malam nanti. Mereka takut terlewat atau saya tiada cukup masa rehat. Saya lihat kerjasama dalam kalangan guru-guru Tingkatan Enam sekolah itu amat baik. Mereka saling membantu untuk meningkatkan prestasi sekolah. Dari cara kerja mereka, saya tahu mereka iklhas dan jujur untuk membantu pelajar. Untungnya masyarakat dan pihak pentadbir sekolah yang mempunyai guru-guru hebat seperti mereka. Semoga mereka diberikan kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan untuk meneruskan khidmat bakti di SMK Bandar Tenggara. Sesungguhnya, Allah tempatkan mereka berkhidmat di sebuah sekolah yang berpotensi besar untuk melakar nama di peringkat nasional baik dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. 


Dewan Sekolah SMK Bandar Tenggara

Sepanjang pemerhatian saya, masa waktu solat pelajar dan guru akan solat bersama-sama. Masa waktu makan mereka akan makan bersama-sama. Pelajar-pelajar sekolah itu tidak berebut-rebut mengambil makanan. Mereka kelihatan amat matang. Sesuai dengan usia mereka sebagai pelajar Tingkatan Enam. Pergaulan antara guru dan pelajar atau antara pelajar dengan pelajar amat mempersonakan. Apabila penceramah menyampaikan ceramah, sebelum majlis bermula semuanya tersedia. Jika ada masalah semua akan menghulurkan bantuan. Cikgu mereka cuma duduk sebagai pemerhati. Kerja-kerja diurus rapi serta teliti oleh anak-anak didik tersayang. Bertuahnya guru-guru memiliki anak didik sebegitu dan beruntungnya anak didik memiliki guru-guru yang tahu makna mendidik dan amanah dalam menunaikan tanggungjawab. Saya cuma berharap biarlah kehadiran saya meninggalkan kesan buat mereka. Datang jauh beribu batu, biarlah ilmu yang dikongsi lekat di minda sebagai bekalan bertempur  dengan musuh di dewan peperiksaan. Ketekunan mereka mendengar dan menghayati satu demi satu slaid power point yang saya tayangkan dan bentangkan menjadikan harapan dan keyakinan saya lebih tinggi bahawa anak-anak yang berada di depan saya ini pasti mampu membuat lonjakan saujana demi menaikan imej SMK Bandar Tenggara yang tercinta. 

RAHMAT ALLAH MELIMPAH

Semasa melihat senarai 10 sekolah terbaik di Malaysia mata saya cuma tertumpu kepada nama SMK Sacred Heart yang berada di tangga pertama. Saya hanya menyedari nama SMK Bandar Tenggara tertera selepas berasa ada yang tertinggal dek pandangan mata. Ya Allah, mereka mampu merealisasikan mimpi menjadi realiti. Hati saya melonjak keriangan meskipun saya bukannya sesiapa disebalik kejayaan mereka. Saya cuma seorang guru kerdil yang hadir untuk berkongsi ilmu cuma secangkir tetapi mengharapkan takdir merahmati perjuangan mereka. Dalam jarak sejauh ini, saya hanya menghembuskan ucapan syukur dan tahniah kepada Allah kerana bagi saya itulah kejayaan tulen, hadiah daripada anak-anak didik yang berdisiplin buat guru-guru yang mendidik dengan penuh yakin. Bagi saya, kejayaan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kerjasama antara pelajar dan guru. Guru tugasnya menyampaikan ilmu manakala pelajar pula harus hadam ilmu yang disampaikan kerana merekalah yang akan menduduki ujian dan peperiksaan. Kerjasama ini saya nampak di sekolah yang saya kunjungi ini. Biarpun kehadiran saya hanya seketika tetapi saya tahu semua yang saya saksikan bukanlah lakonan tetapi realiti yang harus saya kongsikan. SMK Bandar Tenggara, nama yang akan terus saya ingat. Kegemilangannya seindah nama. Terima kasih atas jemputan. Terima kasih atas kepercayaan. Terima kasih atas layanan. Tahniah atas kejayaan. 



SMK Bandar Tenggara bukanlah destinasi
pertama tempat saya menyampaikan ceramah
Bahasa Melayu STPM. Akan tetapi, apabila 
saya sampai ke sekolah ini saya belajar
banyak perkara tentang hubungan antara
guru dan pelajar yang amat rapat 
berlandaskan hormat. Inilah salah satu 
faktor kejayaan mereka. 


Burung merbah terbang sekawan
Hinggap di dahan pohon mengkudu
Ribuan tahniah cikgu ucapkan
Buat pelajar dan guru-guru


Mekar sejambak bunga gubahan
Jatuh sekuntum di atas peti
Kejayaan dicapai berkat kesungguhan
Ilmu dituntut diberkati Ilahi


Mekar angsana pandang tak jemu
Buahnya luruh ke dalam raga
Kejayaan dirai bersama guru
Ibu bapa jangan dilupa.


Cerana kesumba indah melati
Cantik tersemat dambaan putera
Perjuangan disambung di universiti
Cikgu doakan semoga berjaya.


SMK Bandar Tenggara sekolah nan indah
Damainya boleh mengamit rindu
Semoga perjuangan terus dirahmati Allah
Melonjak naik ke nombor satu. 

Insyallah. 


Catatan Seorang Pendidik
Cikgu Zulkarnain Farihin @ Philip Seli
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : KETIKA TUHAN MASIH BERI KESEMPATAN


Jalan hidup yang kita lalui penuh dengan ranjau yang beronak dan berduri. Kita seringkali tertipu dengan tuntutan hawa nafsu sehingga mengabaikan kasih sayang dan menyeksa jiwa raga orang yang sentiasa ambil berat tentang diri kita. Kita mudah hanyut dengan pujian dan sanjungan yang menaikkan rasa bongkak dan riak sehingga kita berlaku kejam kerana sudah tabu dalam membezakan baik dan buruk perbuatan yang dilakukan. Kita jadikan dosa itu menu santapan harian walaupun rasanya tawar dan payau kerana syaitan telah beraja di hati kita. Kita hanyut dan terus hanyut dibawa dek arus durjana yang menelanjangi keperibadian mulia kita sehingga maruah kita bersepah di lantai-lantai keji. Kita bunuh persaudaraan dan rejam persahabatan dengan semua insan yang pernah hadir dalam hidup kita kerana dangkal mendengar nasihat dan amanat manfaat yang terkeluar dari mulut kasih sayang mereka. Sampai hati kita membiarkan yang menyayangi menangis akibat dikasari kerana hati kita telah lama mati untuk menyayangi dan mengasihi mereka yang selama ini berada di sisi kita.

LUPAKAN ISTERI DAN ANAK-ANAK

Akibat hasrat yang cacat untuk hidup bebas kerana hak yang nazak kita lupakan rasa kemanusiaan dan humbankan kebahagiaan dan kesenangan hidup berkeluarga. Kita jadi hero yang riang berlaku curang sehingga menduatigakan kasih dan sayang. Alasannya kita mampu tetapi kita lupa bahawa senario hidup di dunia setiap kecurangan tidak pernah berakhir dengan kebahagiaan. Setiap titisan air mata isteri yang kita khianati pasti akan berbalas jua suatu hari nanti dan ketika itu kita tidak mampu untuk menagih maaf dan memaafi. Tuhan sentiasa melihat dan Tuhan tahu setakat mana kemampuan kita untuk meneruskan perjalanan di dunia. Mengapa harus menyanggah ketentuan itu hanya kerana nafsu? Mengapa mahu menabur benih melata wahal kita tahu ada yang menyayangi dan mengasihi kita? Tidak cukupkah kasih sayang pemaisuri hati dan alunan manja suara anak-anak yang ceria untuk dijadikan pelaburan berharga untuk mengecapi nikmat indah dunia. Mengapa harus menyidai badan di pelabuhan lain yang belum pasti menjanjikan masa depan? Mengapa perlu menggalas lagi beban wahal kita bukanlah raja yang segagah mana?


Selagi bernadi, kasihi isteri
sayangi anak-anak. Jangan sakiti
hati dan seksa jiwa mereka.
Tuhan telah amanahkan mereka
untuk dijaga, pimpin dan bimbinglah
mereka hingga ke syurga.

Kadang-kadang kerana hasutan rakan-rakan dan teman-teman sekeliling otak kita jadi pusing sehingga amat mudah berpaling kepada yang lain. Kita anggap dunia ini padang permainan yang tidak boleh ditinggalkan kerana rasa tidak sedar diri yang membatuapi dihati untuk kita mengkhianati hidup diri sendiri. Kita tidak nampak, di belakang kita, orang yang merenjis embun hasutan dosa sedang tertawa melihat mahligai bahagia kita roboh dan ranap menyembah bumi. Kita tidak sedar, orang sentiasa mencari peluang dan ruang untuk mengazabkan hidup kita lalu mereka membawa kita hanyut dan hanyut sehingga suatu ketika kita tak punya apa-apa dan siapa-siapa. Ketika itu, menangis sehingga keluar air mata darah pun kita tidak akan dapat kembali semua yang kita hilangkan ketika ini. Sujudlah berjuta-juta kali, Tuhan pasti ampunkan tetapi yang hilang tidak akan tumbuh lagi. Jalan yang lurus apabila dibengkokkan bukan senang untuk meluruskannya semula kerana struktur tanah tidak selamanya teguh dan kukuh seperti masa mula-mula kita menerokanya dahulu.

LUPAKAN IBU BAPA

Segala yang kita miliki pada hari ini merupakan hasil didikan dan asuhan ibu bapa yang banyak berjasa kepada kita. Jika tiada mereka, maka tiadalah kita. Merekalah yang melahirkan kita ke dunia ini. Mereka sediakan kehidupan yang sebaik mungkin untuk kita mengikut kemampuan kudrat yang mereka ada. Mereka hantar kita ke sekolah untuk menerima pendidikan. Akan tetapi, kita selalu menganggu mimpi-mimpi indah mereka dengan pelbagai angkara yang merentap hati dan meninggi denyut jantung mereka. Kita cipta pelbagai masalah yang menaik darah kasih sayang mereka. Kita langsung tidak menghargai titisan peluh dan pengorbanan mereka selama ini. Kita anggap mereka sebagai orang yang menyusahkan setelah kita berjaya, berpangkat, dan berharta. Kita anggap kehadiran mereka ibarat melukut ditepian gantang, wujud tidak menambah, pergi tidak mengurang. Sampai begitu sekali kita menghina kehadiran mereka disisi kita. Akibat hasutan dengki isteri kita abaikan insan yang kita sayangi hanya kerana cinta yang belum pasti kita kecapi hingga ke hujung nyawa.


Setitis air mata ibu
dosanya kita tanggung hingga
ke akhir hayat kita. Basah pipi
ayah, hidup kita tidak akan
bahagia selama-lamanya.

Biarpun sikap kita sebegitu ibu dan ayah tetap menganggap kita darah daging mereka. Mereka tidak pernah memaksa kita untuk melimpahkan kemewahan dan kesenangan. Mereka sanggup memandang seorang anak yang berdosa dari kejauhan sambil tersenyum dan berdoa agar kita diampunkan Tuhan. Kita yang tidak sedar diri terus melayari bahtera hidup tanpa mereka disisi sehinggalah suatu hari apabila mereka tiada lagi di dunia ini, kita terpaku dan terduduk pilu. Barulah kita teringat, ibu dan ayah hanya satu dan tiada penganti. Dengan adik beradik pun kita bersikap berbasa basi. Yang kaya, berpendidikan, berpangkat, dan berharta selalu kita dampingi manakala yang miskin dan hidup melarat selalu kita jauhi. Sehinggalah pada suatu hari apabila kita terlantar nazak menahan sakit yang tidak tertahan barulah jiwa kita sedar, yang kita jauhi itu sentiasa mendekati dan memberikan kata-kata semangat untuk kita teruskan hidup ini. Mereka memang miskin harta tetapi mereka kaya dengan sifat-sifat mulia yang sepatutnya dimiliki oleh semua manusia.

LUPA ASAL USUL

Sewaktu kita susah dahulu kita ada teman-teman seangkatan yang sehaluan dengan kita mengecapi nikmat suka duka dunia. Mereka menjadi tempat kita bermanja. Mereka menjadi tempat kita bercerita. Mengapa selepas kita berjaya kita rasa amat sukar untuk menoleh ke arah mereka? Sewaktu berjalan, sehingga berselisih bahu, kita pura-pura tidak tahu dan tidak mengenali, itulah sahabat kita suatu masa lalu. Kita tidak terima kehadirannya disisi kita kerana tidak setaraf dan sedarjat dengan kita. Siapakah yang hina sebenarnya? Kita atau dia. Kita hukum dia dengan mengabaikan lunas-lunas didikan agama kerana kita telah jauh tersasar dijalan-Nya. Kita gunakan pangkat dan kedudukan untuk mengkhianati kawan sehingga mereka menjauhkan diri dan membenci kita. Kita tidak pedulikan lagi ikatan persaudaraan lantaran alpa asal usul kita yang sebenarnya.


Kita selalu ketawa melihat 
kekurangan orang lain sehingga kita lupa 
seorang demi seorang mereka berlalu 
meninggalkan kita. Kita zalimi mereka 
tanpa rasa bersalah dengan kuasa 
yang kita ada tanpa kita tahu mereka 
selalu mendoakan sesuatu 
yang tidak baik buat kita.

Setelah kita berpangkat dan menjadi ketua di sesebuah jabatan, kita gunakan kuasa untuk mengherdik, memaki, dan menghina orang bawahan sehingga mereka terpaksa makan hati berulam jantung dengan perangai dan tindakan kita. Kita paksa mereka tunduk kepada kuasa kita sehingga menjadikan mereka seperti hamba abdi kerana anggap kitalah raja yang paling berkuasa di dunia ini. Kita tidak tahu bahawa nikmat itu hanya sementara. Kita mahu orang menghormati dan takut kepada kita. Akan tetapi, pada suatu hari apabila pangkat dan kuasa itu ditarik balik, kita akan hidup bersendirian dan kesunyian. Orang yang pada suatu ketika dahulu memanggil kita ‘tuan’ langsung tidak mahu bertanya khabar berita. Barulah kita tahu bahawa pangkat kita lebih hina daripada pangkat mereka. Namun begitu, masa lalu yang kita isi dengan rasa sombong dan bongkak tidak akan berulang kembali. Kita mungkin lupa apa yang telah kita lakukan tetapi mereka akan sentiasa ingat setiap tindakan yang telah kita kenakan kepada mereka. Walaupun kita telah berubah, jiwa mereka tetap berdendam sehingga ke hujung nyawa.

LANGIT TIDAK SELAMANYA CERAH

Dunia ini hanya pinjaman. Suatu masa semuanya akan ditarik balik oleh Tuhan Yang Maha Esa. Kuasa, pangkat, dan harta tidak akan kekal selama-lamanya. Sanjungan, pujian, dan anugerah yang kita peroleh bukanlah hak milik kekal kita. Yang akan kekal ialah kasih sayang sesama insan. Yang baik akan didampingi, disayangi, dan dikasihi. Yang baik akan disanjungi dan dihormati. Yang baik akan dikunjungi dan didekati. Kita mungkin menang jika menabur harta dan kasih sayang tetapi semua itu akan hilang dengan sekelip mata setelah kita tidak memiliki apa-apa lagi yang mereka inginkan. Oleh itu, hindari sifat tamak haloba yang selalu beraja di hati waras kita. Setiap kali mahu melakukan sesuatu kita mesti memikirkan impaknya kepada diri kita kini dan selamanya. Hati yang telah mati akibat didustai, dikhianati, dan diracuni tidak akan hidup kembali kerana sakit yang dideritai tiada penawarnya. Ingatlah, hidup di dunia ini ibarat pusingan roda, ada ketikanya kita di atas, ada ketikanya kita di bawah. Kita boleh kehilangan pangkat dan harta tetapi jangan sesekali hilang kasih sayang kerana tanpa kasih sayang daripada orang sekeliling kita merupakan orang yang paling hina di dunia ini.


Berkawan jangan memilih rupa dan harta
Ada ketikanya, yang tiada rupa dan harta
itulah yang kita cari kerana mereka ada
apa yang kita tiada. Lapar macam mana
sekalipun, jangan sesekali makan kawan
kerana kawan bukan hidangan 
yang lazat untuk dinikmati. 

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak

18 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : GAGAL DALAM SPM, JALAN HIDUP BELUM TERTUTUP


Senario yang dipandang sebaik sahaja pelajar-pelajar lepasan SPM 2016 menerima slip keputusan amat indah. Yang berjaya akan melonjak keriangan, bibirnya tidak henti-henti mengukir senyuman sehinggakan orang yang tidak mengenalinya pun akan mendekati untuk mengucapkan syabas dan tahniah. Guru-guru yang mengajarnya tanpa diminta pun turut mendampingi kerana kejayaannya membantu mengharumkan nama sekolah dan membuktikan usaha mereka selama ini membuahkan hasil yang membanggakan. Orang yang paling gembira ialah kedua-dua ibu bapa yang melahirkan, membesarkan, dan menjaganya hingga dewasa. Sesungguhnya, anak merupakan pelaburan bagi setiap ayah dan ibu. Bagi yang gagal pula, senario yang berbeza akan dilihat. Mereka kelihatan seolah-olah menahan tangisan dan didada berombak rasa kesal kerana tidak menggunakan peluang dengan sebaik-baiknya. Bibir mereka tetap mengukir senyuman tawar dan hambar. Hati dan jiwa mereka rapuh dan goyah. Masa depan dilihat gelap dan kelam. Benarkah begitu?

Ingatlah, ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, ada lagi pintu yang lain dibukakan untuk kita. Akan tetapi, kita sering kali terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan untuk kita. Tuhan telah menentukan perjalanan hidup setiap insan. Mungkin laluan hidup kita bukan di laluan akademik kerana ada laluan lain yang sesuai buat kita.

MENANGISI KEGAGALAN

Jangan menangis. Simpan air mata itu untuk meraikan kejayaan yang bakal dikecapi pada masa hadapan. Jadikan kegagalan itu sebagai pembakar semangat untuk membuka lembaran baharu dalam hidup anda. Tuhan tidak akan biarkan kita gagal selama-lamanya dalam hidup ini andai kita berusaha untuk membaiki diri demi menjadi orang yang berjaya. Bumi ini amat luas untuk kita meraih rezeki. Kegagalan itu biarlah jadi sejarah. Gantungkan slip kegagalan itu di dinding hati supaya apabila kita melihatnya kita akan jadi lebih bersemangat untuk mengejar impian. Jika kita gagal disebabkan sikap nakal dan degil serta sering ponteng sekolah, janganlah disesali lagi. Kita harus mengakui itu kesilapan disebabkan ketidakmatangan kita dalam berfikir. Yang penting, kita tahu itu salah dan berjanji kita tidak akan lakukan kesalahan sebegitu lagi. Kita telah merasai sakitnya gagal. Janganlah sampai pisang berbuah dua kali. Sesungguhnya, seseorang manusia harus cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya, cukup bijak untuk mengambil manfaat daripada kegagalannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya.

Lihatlah manusia yang berjaya di sekeliling kita. Mereka juga gagal dalam SPM. Namun begitu, mereka mampu mengubah hidup kerana peritnya menderitai barah kegagalan amat pedih dan menyakitkan. Tidak ada sesiapapun yang mengundang kegagalan untuk bertamu dalam hidup mereka. Kegagalan itu datang tanpa dikhabarkan alamat dan arah jalan menuju kepada diri seseorang. Khilaf kita pelbagai bentuk dan rupa. Adakalanya kerana terlalu terpengaruh dengan kawan dan kalah dengan hasutan nafsu kita jadi haru-biru semasa zaman sekolah. Orang sibuk belajar kita sibuk bercinta seolah-olah perempuan dan lelaki di sekeliling kita akan pupus selepas habis SPM nanti. Orang sibuk belajar kita sibuk tidur di dalam kelas sehingga meja pun reput dibasahi air liur kita. Orang sibuk belajar kita sibuk melakukan masalah disiplin dan melawan guru sebab hendak tunjuk kepada semua orang bahawa kita kuat seperti Captian Amerika. Setelah gagal dalam SPM baru padan muka! Akan tetapi, kesilapan-kesilapan kita yang lalu itu biarkan menjadi debu untuk diterbangkan ke langit biru. Lihat ke hadapan, mulakan perjalanan dengan harapan. Percayalah, Tuhan akan bukakan jalan untuk kita.

KISAH KAWAN SAYA
GAGAL SPM TETAPI BERJAYA

Saya ada seorang kawan yang gagal dalam SPM. Kami memang rapat semasa zaman persekolahan sehingga orang menganggap kami adik beradik. Ibu bapanya menganggap saya seperti anaknya sendiri. Apabila cuti sekolah, saya selalu balik ke kampungnya sehinggakan perbelanjaan persekolahan saya pun ditanggung oleh keluarganya. Semasa keputusan SPM diumumkan, saya lulus dengan cemerlang. Kawan saya pula hanya mendapat pangkat tiga. Dia tidak layak meneruskan alam persekolahan. Akan tetapi, dia tidak menyesali kegagalannya. Hubungan kami terputus selepas saya melanjutkan pelajaran. Masa terus berlalu. Selepas 25 tahun tidak bertemu, disebabkan kemajuan teknologi, pada suatu hari saya menerima pesanan WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali. Rupa-rupanya, mesej yang saya terima itu adalah daripada orang yang paling saya rindui selama ini. Apabila kami berjumpa, kami bercerita dari pagi hingga ke lewat malam sehingga isterinya terbiar tidur sendirian. Kini, dia mampu memiliki rumah sendiri dan kereta sendiri. Hidupnya bahagia bersama isterinya yang jelita dan anak-anaknya yang cerdik. Itulah namanya kebahagiaan. Walaupun hanya menjadi pekebun lada, dia berjaya membina kehidupannya. Dia juga memiliki lading kelapa sawit yang luas serta kolam ikan tilapia yang menjanjikan ribuan duit pada setiap bulan. Hidupnya amat sempurna malahan lebih sempurna daripada saya. Dia sengaja tidak menghubungi saya untuk bertanya khabar kerana dia tahu saya tidak akan gagal dan laluan masa depan saya sudah terjamin. Apabila dia menceritakan rasa malu apabila selalu diperli dan disindir oleh ibu bapanya kerana gagal dalam SPM saya rasa amat sebak dan terharu. Kegagalan itu bukan dia yang minta. Dia rajin belajar. Dia baik semasa di sekolah. Dia sentiasa bertanya apabila tidak faham akan sesuatu. Akan tetapi, inilah hakikat segelintir ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam bidang akademik sehingga mereka buta untuk melihat laluan lain untuk anak mereka. Bukan semua orang dilahirkan untuk cemerlang dalam bidang akademik. Tiada hinanya orang yang bekerja sendiri jika dibandingkan dengan orang yang makan gaji dengan kerajaan mahupun swasta. Setiap orang harus ada perancangan hidup yang tersusun dan teratur. Jangan ingat orang yang berjaya dalam bidang akademik, berjawatan tinggi, dan bergaji sehingga enam angka sebulan tiada masalah. Semua orang akan menghadapi masalah dalam hidup jika gagal merancang.

Seorang lagi kawan, kini menjadi pengusaha roti kerana kegigihannya dalam membina hidup selepas gagal dalam SPM. Semasa zaman sekolah, dia amat nakal dan boleh dikategorikan sebagai “jahat”. Dialah kaki ponteng dan suka melawan guru sehinggakan hendak duduk di sebelahnya pun rasa benci. Walau bagaimanapun, dia ini suka berkawan dengan saya. Saya tidak tahu mengapa? Jika saya sakit, dia akan bantu ambilkan makanan dan bawa ke asrama. Dia akan bagi saya makan. Sesekali, ada juga saya ikut dia ponteng sekolah. Saya rasa amat selesa untuk berkawan dengan dia. Dalam kelas, dia selalu meniru semua kerja rumah yang saya buat. Namun begitu, satu sahaja sikap dia yang saya tidak berkenan ialah dia akan melawan apabila ditegur oleh guru. Kata-kata yang keluar dari mulutnya memang menyakitkan sehinggakan guru hilang sabar. Saya masih ingat, semasa keputusan SPM diumumkan, dia gagal. Yang lulus cuma subjek Bahasa Melayu, Sejarah, dan Matematik. Yang lain semua gagal. Dia dekati saya dan ucapkan tahniah. Dia nasihati saya jangan main-main masa belajar di Tingkatan Enam. Dia mahu saya jadi guru. Saya tanya dia, selepas ini dia akan buat apa? Dia suruh saya jangan risau akan dirinya. Dia akan kerja kontrak di Bintulu. Setelah 25 tahun, kami berjumpa dalam Group WhatsApp. Kini, dia memiliki sebuah kedai roti. Hidupnya amat bahagia dan sejahtera. Saya kagum dengan cara dia mengatur kehidupannya. Anak-anaknya semua comel dan bijak semasa di sekolah. Dalam usia yang masih dalam lingkungan 40-an, dia sudah mampu memiliki apa yang orang lain miliki. Itulah kejayaan sebenar seorang insan yang gagal dalam SPM.

Masa depan yang cerah akan muncul daripada kegagalan masa lalu yang telah dilupakan. Kita tidak akan dapat melangkah dengan baik ke hadapan jika kita tidak melupakan kegagalan lalu dan rasa sakit hati akibat kegagalan itu. Jadikannya sebagai sumber kekuatan untuk kita membuat lantunan demi mencapai kejayaan.

Bumi ini amat luas untuk orang yang tidak kenal makna putus asa. Orang yang gagal dalam SPM harus bersikap positif untuk melihat masa hadapan dan mencari jalan yang sesuai untuk memulakan langkah baharu. Jangan memerap di dalam bilik, tidur dan makan sahaja! Bangkitlah dan keluarlah dari kepompong malas dan lesu itu. Jika malas itu punca kita gagal maka nyahkan sifat mala situ dari diri kita. Sifat malas itu bukan warisan atau keturunan tetapi nafsu, andai dilayan boleh menyebabkan kita karam dalam pelayaran menuju masa hadapan yang masih jauh. Akan tetapi, kawan saya yang seorang lagi ini lain nasibnya. Dia gagal SPM bukan disebabkan dia malas. Dia amatlah rajin sehingga kerajinannya menjadi bualan guru dan rakan-rakan di sekolah. Masa itu kami sekolah di asrama kerana kami semuanya berasal dari pedalaman. Kawan saya ini, hidupnya sentiasa belajar dan belajar sahaja. Jika api asrama sudah dipadamkan, dia akan belajar menggunakan lilin. Dia memang rajin. Saya jadi takut dan serba salah apabila melihat tabiatnya itu. Yang menghairankan, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, dia tetap mendapat tempat tercorot. Buku laporannya banyak tulisan merah. Dia selalu meminta petua daripada saya tentang cara mengingat fakta penting. Akan tetapi, saya tidak dapat membantunya pada masa itu. Semasa keputusan SPM diumumkan, nasibnya amat malang. Dia gagal dalam subjek Bahasa Melayu. Gagal subjek Bahasa Melayu bermakna dia tidak layak mendapat sijil SPM. Aduh, kasihannya! Orang yang rajin sepertinya tidak sepatutnya mendapat keputusan seteruk itu. Kami semua amat bersimpati. Walau bagaimanapun, baru-baru ini kami berhubung menggunakan Facebook. Saya tidak mengenalinya. Dia menghantar mesej untuk bertanya khabar. Kami berjumpa di sebuah restauran di Sibu. Kawan saya ini merupakan seorang kontraktor. Sekali lagi saya kagum dengan mereka yang gagal dalam SPM tetapi mampu berdiri gagah malahan lebih gagah daripada orang yang memiliki ijazah seperti saya.

HIDUP INI PERJUANGAN

Kita mesti berani menerima kegagalan kerana dari kegagalan itu kita akan sedar bahawa laluan untuk menjadi orang yang berjaya itu bukan mudah. Dalam hidup, ada masanya kita lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita inginkan. Ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan, akhirnya kita tahu bahawa yang kita inginkan itu kadang-kadang tidak dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia. Sikap kita yang paling utama. Jika kita sentiasa bersikap positif maka laluan kita untuk mara ke hadapan akan dipermudah dan dilimpahi rahmat Tuhan Yang Maha Esa. Jika kita bersikap negatif, laluan hidup kita akan kusut dan penuh ranjau duri sehingga menyebabkan kita terluka sampai parah membusung nanah. Semua ini kita yang tentukannya, bukan orang lain. Guru dan ibu bapa hanya hadir sementara disisi kita dengan kata-kata nasihat dan amanat, jika kita tidak pedulikan kata-kata mereka, haluan hidup kita tidak akan kemana jua, kita akan karam di lautan persaingan yang semakin sempit dan sengit. Orang lain mungkin boleh membantu menghulurkan tangan untuk menarik kita naik ke atas andai kita terjatuh ke dalam gaung yang dalam, tetapi setelah kita sampai di atas, kitalah yang akan menentukan arah yang hendak dituju. Jika kita hanya mengharapkan diri untuk disuap dan dimandikan, selama-lamanya kita akan hidup dihempap batu kegagalan sehingga patah tulang-tulang perjuangan kita.

Kesedaran diri itu penting. Jika kita hidup hanya sekadar mampu memandu kereta Proton Saga. Jangan ghairah membeli kereta Land Cruser. Bulan pertama dan bulan kedua kita mungkin mampu membayar ansuran bulanan. Bulan seterusnya kita mungkin tak makan dibuatnya. Harga insuran dan tayar sahaja pun mencecah ribuan ringgit. Orang tak pandang apa jenis kereta yang kita pakai. Orang pandang usaha kita untuk melepaskan diri daripada kegagalan itu. 

Laluan hidup selepas gagal SPM pun terbuka luas seperti mereka yang lulus dengan cemerlang dalam SPM. Laluan itu mungkin berbeza tetapi jumlahnya sama dan setara. Kerajaan berlaku adil kepada kedua-dua belah pihak baik yang gagal mahupun yang berjaya. Yang gagal disediakan dengan pelbagai institut kemahiran dalam pelbagai bidang. Ruang pekerjaan terbuka luas untuk mereka. Jangan ingat orang yang kerja di salon pendapatannya kurang daripada seorang guru yang mengajar di sekolah. Selagi manusia ada rambut, selagi itulah khidmat mereka diperlukan. Jika seorang pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM10.00, bayangkan pendapatannya jika dia hanya mengunting rambut 20 orang pelanggan sehari. Begitu juga dengan mekanik kereta dan motosikal, tukang jahit, pembuat roti, chef, dan pelayan tetamu di hotel-hotel. Mereka semua dilahirkan dari pelbagai institut kemahiran yang ada di Malaysia. Kadang-kadang kita lihat orang yang menjual sayur di pasar tamu itu hina tetapi kita tidak pernah ambil tahu pendapatan bulanan yang mereka dapat daripada hasil jualan mereka. Jika kita tahu, mungkin air yang diminum pun boleh tersembur keluar dari mulut kita. Itulah keajaiban dunia. Kejayaan itu bukan hanya diperoleh daripada segulung ijazah semata-mata.



Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails