JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : FASIH BAHASA INGGERIS BUKAN JAMINAN DAPAT KERJA

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Antara isu hangat masih terus diperkatakan ialah keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris yang dianggap berada di takuk lama dan tidak memberangsangkan. Kegagalan menguasai bahasa itu dianggap bukan saja merencatkan masa depan, malah meletakkan mereka dalam kelompok kelas kedua yang bakal ketinggalan dalam persaingan dunia global. Tidak mahu terus dibelenggu kecaman, pelbagai usaha dilakukan semata-mata mahu memastikan golongan terbabit berjaya menguasai bahasa antarabangsa itu biarpun secara asasnya, penguasaan bahasa Inggeris yang baik bukan jaminan total memperoleh pekerjaan. Bagaimanapun, di tengah kerancakan itu, masyarakat seolah-olah terlupa kepentingan menguasai bahasa Melayu yang turut sama berperanan dalam pembangunan akademik, sahsiah serta profesionalisme bangsa. Meskipun mendapat pengiktirafan dunia, hakikatnya masih ramai malu mahu menuturkannya dengan alasan ‘takut jatuh standard’ sehingga bahasa itu seolah-olah menjadi asing di kalangan masyarakat. 


Persoalannya, apakah bahasa Melayu tidak berperanan besar membantu pelajar memasarkan diri dalam arena pekerjaan, sekali gus gagal menawan hati majikan? Atau sebenarnya, pelajar sendiri malu menutur dan memartabatkannya hingga ia menjadi ‘bahasa diskriminasi’ serta dianggap bahasa kelas bawahan bagi mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, tanggapan mengaitkan bahasa Melayu sebagai bahasa picisan lahir daripada ketaksuban mengagungkan bahasa asing. Beliau berkata, keadaan bertambah kritikal apabila wujud tanggapan dangkal mengenai kepentingan bahasa Inggeris di pasaran semasa hingga mengakibatkan kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda semakin terpinggir. Hakikatnya, fungsi bahasa bukan saja mencerminkan perpaduan atau konsep jati diri secara individu, malah mengimbangi semua keperluan semasa. Ia medium interaksi menyampaikan maksud dan melaksanakan tanggungjawab. 


Peranan bahasa sama ada Melayu atau Inggeris bukan fokus utama namun bertukar menjadi kepentingan apabila dipraktikkan dalam sudut tertentu hingga akhirnya menjejaskan fungsi bahasa lain. Keperluan dan kehendak persekitaran menjadikan bahasa Inggeris lebih mendominasi kerana masyarakat sendiri mengiktirafnya sebagai bahasa global hingga menenggelamkan bahasa lain termasuk bahasa Melayu. Tidak menolak kepentingan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dunia, namun meminggirkan bahasa Melayu dalam konteks pendidikan atau sebagai  bahasa picisan tidak boleh dilakukan terutama di kalangan warga berpendidikan institusi pengajian tinggi. Menurutnya, ia bukan saja menimbulkan ketaksuban terhadap bahasa luar, malah memecah-belahkan pelajar kepada dua kelompok iaitu mereka yang fasih dianggap terbaik manakala tidak sebagai golongan bertaraf kelas kedua. Ini sekali gus mewujudkan jurang dan ketidakadilan dalam penilaian pelajar. 


Bayangkan, hanya kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka dianggap tidak layak atau kurang berkemampuan. Walaupun diakui, pelajar yang fasih berbahasa Inggeris lebih menonjol, tiada siapa dapat memberi jaminan mereka boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Ini bukan prejudis namun sebagai contoh perbandingan, bahasa tidak boleh dijadikan penilaian untuk memberi kredit kepada pelajar. Pelajar yang cemerlang menguasai bahasa Melayu boleh melakukannya untuk bahasa Inggeris namun belum tentu sebaliknya. Bahasa Melayu sangat kompleks kerana mempunyai banyak keindahan bahasa yang tersembunyi, berbentuk kiasan, puitis dan indah. Berbanding bahasa Inggeris, ia lebih mudah dan tidak memerlukan penghayatan mendalam. Pelajar yang boleh menguasai bahasa Melayu, selalunya boleh menguasai bahasa Inggeris namun keadaan menjadi sukar sebaliknya. Tambah memburukkan keadaan, keengganan sebahagian majikan yang terlalu mementingkan kefasihan bahasa asing menyebabkan pelajar terpaksa berhempas-pulas mempelajari bahasa lain sehingga menyebabkan bahasa Melayu terpinggir. 


Bayangkan ada majikan langsung tidak memandang keperluan bahasa Melayu sewaktu menemu duga calon. Kita faham, bidang kerjaya memang mementingkan bahasa Inggeris, namun biarlah berpada dan mengikut kesesuaian. Apa salahnya menggunakan bahasa Melayu, adakah jatuh standard atau lekeh? Seharusnya bahasa Melayu mendapat tempat utama dan istimewa di kalangan semua dan perlu dimartabatkan tanpa mengira bangsa, latar belakang dan sebagainya. Beliau juga menafikan bahasa Melayu tidak boleh memberi impak hebat seperti bahasa lain kerana masyarakat antarabangsa sudah berlumba-lumba mempelajarinya. Jika bangsa luar menyokong, mengapa tidak kita sedangkan ia sudah dimartabatkan sebagai bahasa dunia. Sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu, Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada Oktober setiap tahun. Sambutan yang mula diperkenalkan pada 2009 ini juga antara lain bertujuan memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

SUMBER
HARIAN METRO

ISU ANTARABANGSA : MENCARI PUNCA RUSUHAN SEBENAR DI KOTA LONDON

Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
pengarang@utusan.com.my



Rusuhan oleh golongan muda pelbagai etnik di kota London menyaksikan satu lagi tamparan hebat buat kerajaan Britain pimpinan Perdana Menteri, David Cameron. Belum pun skandal penggodaman telefon membabitkan empayar media dan rasuah akhbar milik hartawan media, Rupert Murdoch, News Corp selesai, Cameron sekali lagi terpaksa pulang awal ke Britain dari luar negara. Masuk hari keempat, situasi di kota London masih belum menunjukkan sebarang tanda akan reda. Arahan Cameron semalam untuk menempatkan 16,000 anggota polis di sekitar kota itu juga hanya berjaya mententeramkan London, sedangkan rusuhan terus merebak ke bahagian lain kota tersebut. Terbaru, perusuh terus mengamuk di bandar ketiga terbesar di Britain, Manchester dan kawasan perindustrian Midlands. Kejadian curi juga semakin berleluasa di Birmingham, sementara beratus-ratus perusuh melontar anggota polis dengan batu di Liverpool. Kesan kemusnahan akibat rusuhan boleh dilihat hampir di mana-mana; bangunan dan premis dibakar; kenderaan termasuk kereta, bas dan van hangus dijilat api; serpihan kaca, batu dan kayu bertaburan di jalan-jalan; serta kecurian di kedai-kedai yang tidak terkawal.

Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang tindakan remaja terlibat kerana apa yang diperlihatkan mereka lebih berbentuk vandalisme. Banyak pihak turut mempersoalkan punca sebenar kepada rusuhan terburuk di London itu dalam tempoh 30 tahun. Media melaporkan, ia berpunca daripada kematian seorang bapa anak empat, Mark Duggan, 29, pada Khamis lalu, dipercayai dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis. Duggan dilapor menaiki sebuah teksi apabila kenderaan tersebut ditahan polis yang sedang menjalankan operasi menyekat pemilikan senjata haram di kalangan masyarakat kulit hitam. Dia mati selepas ditembak dua kali di bahagian dada dan tangan. Ini bukanlah merupakan kali pertama rusuhan di London tercetus disebabkan rasa tidak puas hati dengan polis. Insiden kali ini mengulangi rusuhan dahsyat 1985 di kawasan estet Broadwater Farm, utara London yang tercetus apabila seorang wanita tempatan mati selepas polis menyerbu rumahnya. Seorang anggota polis turut mati ditetak dalam kejadian itu. Sejarah hubungan yang tidak begitu baik antara pasukan polis dan masyarakat pelbagai etnik di London itu mungkin antara penyumbang kepada rusuhan kali ini.

Bagaimanapun, melihat kepada skop yang lebih luas, banyak faktor lain boleh dikaitkan dengan rasa tidak puas hati perusuh yang hanya menjadikan kematian Duggan sebagai satu alasan. Rusuhan berhari-hari itu menekankan lagi ketegangan sosial yang semakin mendalam di kawasan miskin di ibu negara Britain tersebut. Ia bukan bersifat jenayah semata-mata, tetapi didorong rasa tidak puas hati golongan muda yang rasa dipinggirkan. Dengan keadaan ekonomi Britain yang kurang berkembang ditambah dengan pelaksanaan langkah berjimat-cermat oleh kerajaan tahun lalu, kawasan yang tinggi dengan kadar pengangguran seperti Tottenham sangat merasa tempiasnya. Krisis kewangan yang berlaku mengakibatkan golongan muda yang sepatutnya diberikan peluang, merasakan diri mereka diabaikan. Kekecewaan tersebut sebenarnya boleh memarakkan bantahan politik, pemberontakan atau mencetuskan jenayah dan keadaan mungkin akan bertambah buruk dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Britain kini bukan lagi sebuah negara seperti beberapa tahun dahulu.

Pada asasnya, negara itu semakin lemah. Keyakinan terhadap pemimpin, polis dan media telah terhakis sebahagian besarnya disebabkan skandal perbelanjaan Ahli-Ahli Parlimen dan skandal penggodaman telefon. Kemelesetan ekonomi serta proses pemulihannya yang masih belum nampak juga tidak banyak membantu. Penentangan terhadap langkah berjimat cermat kerajaan juga mewujudkan budaya anarki. Begitu juga dengan hubungan undang-undang dan ketenteraman dengan sosial yang semakin lemah. Ahli-ahli politik juga nampaknya tidak berminat untuk bercakap mengenai isu ini. Ia bukan satu kepentingan yang perlu menjadi penilaian mereka. Kerajaan campuran Parti Konservatif dan Parti Demokrat juga tidak menunjukkan minat menyelesaikan isu ini. Kesilapan yang berlaku hari ini sepatutnya diletakkan di bahu Parti Buruh yang tewas pada pilihan raya umum 2010 selepas 13 tahun memerintah. Perusuh sebenarnya menzahirkan kemarahan mereka, lebih kepada pemberontakan sehingga mengakibatkan vandalisme.

Ia bukan pemberontakan menuntut reformasi politik seperti yang berlaku di negara-negara Asia Barat tetapi lebih kepada rasa kecewa kerana diketepikan dari segi ekonomi. Tindakan mencuri, membakar, mencetuskan huru hara di kota London bukanlah satu bentuk bantahan, tetapi bersifat oportunis. Keadaan yang sama juga pernah berlaku di kawasan miskin di pinggir bandar Paris pada 2005, bandar-bandar di Afrika Selatan atau di mana-mana bahagian dunia sekali pun. Rusuhan atau pemberontakan ini disemarakkan lagi dengan fenomena media sosial, sama seperti pemberontakan yang berlaku di Mesir, Tunisia, Yemen, Syria dan Maghribi. Lain persoalan yang timbul, sampai bilakah rusuhan ini akan berlarutan dan apakah tindakan yang akan diambil kerajaan? Mampukah pihak berkuasa menghalang keadaan daripada menjadi bertambah buruk? Peranan polis yang gagal meredakan rusuhan kini dibangkitkan. Apakah penggunaan kereta kebal seperti di Syria mampu menakut-nakutkan perusuh dan menghentikan mereka daripada terus bertindak?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 OGOS 2011