JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : IMEJ SESEBUAH SEKOLAH, HITAM PUTIH WARNANYA KITA YANG MENCORAKKAN. SIAPA KITA?


Sekolah merupakan institusi yang khusus untuk kita menimba ilmu secara formal. Seawal usia 5 tahun kita telah dihantar ke tadika oleh ibu bapa kita. Tujuannya hanya satu iaitu, mereka mahu kita menjadi insan yang berilmu kerana anak merupakan pelaburan yang paling bermakna bagi insan yang bergelar suami isteri. Semua ibu bapa di dunia ini menginginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mereka mahu anak mereka belajar di sekolah yang terbaik. Mereka mahu anak mereka diajar oleh guru-guru yang terbaik. Mereka mahu anak-anak mereka mempelajari sesuatu yang terbaik. Itu impian mereka sebagai ibu bapa. Namun demikian, harapan tidak semestinya menjadi realiti. Kadang-kadang kita bermimpi untuk mengenggam seketul emas berharga, apabila terjaga kita sedar yang digenggam itu bukan emas tetapi telefon pintar yang tidak pernah terlepas dari tangan kita. Begitulah dengan impian jutaan ibu bapa di dunia ini, anak yang diharapkan menjadi doktor, jurutera, saintis, pilot, peguam, profesor, dan sebagainya tidak semuanya menjadi nyata. Ramai yang tersadung kaki setelah diuji di peringkat SPM, STPM, dan Universiti.

IMEJ SEKOLAH

Apabila anak berjaya mendapat banyak A dalam peperiksaan maka imej sekolah pun akan meniti dari bibir ke bibir masyarakat. Semua yang diperkatakan adalah yang baik-baik belaka. Cikgu di sekolah itu rajin. Pengetua sekolah itu tegas. Pelajar-pelajar di sekolah itu semuanya baik-baik. Walaupun dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah itu, dia mampu bercerita dari pagi hingga ke senja tentang kehebatan sekolah itu. Oleh itu, dia akan membantu sekolah itu menjadi popular dalam kalangan masyarakat setempat. Implikasinya, imej sekolah itu akan meningkat di mata masyarakat setempat. Pada tahun berikutnya, orang akan berduyun-duyun menghantar permohonan masuk ke sekolah itu. Inilah realiti yang memang terjadi dalam masyarakat kita. Penyakit ini bukan sahaja melibatkan sekelompok surirumah yang kerjanya hari-hari bercerita dengan jiran sebelah malah menular ke pejabat termasuklah dalam kalangan guru sendiri. Sindrom menghukum ini merupakan penyakit yang tiada penawarnya.

Apabila prestasi sesebuah sekolah itu jatuh atau tercorot dalam rangking yang dikeluarkan oleh pihak berwajib maka hal-hal negatif tentang sekolah tersebut akan menjadi tajuk utama para wartawan yang menghabiskan masa bersembang di kedai kopi. Mereka akan minum berpuluh-puluh cawan kopi untuk melayan cerita tentang guru malas, pelajar malas, pentadbir teruk, dan pelbagai lagi keburukan yang berjaya ditelanjangi oleh mereka. Pendek kata, semua yang buruk-buruk pada pandangan mata akan diungkit sehingga pintu pagar sekolah yang rosak pun dijadikan alasan prestasi teruk itu. Inilah dunia ciptaan masyarakat setempat. Secara tidak langsung, sembang kedai kopi ini akan merebak ibarat penyakit berjangkit sehingga beribu-ribu kilometer. Orang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun percaya dan menyambung cerita kepada kelompok senasibnya. Cerita-cerita ini akan menutup segala yang baik tentang sekolah tersebut. Cerita-cerita ini pula akan diingat sehingga tujuh keturunan anak cucu mereka. Walaupun sekolah itu naik, namun kerana CPU yang ditanam di kepala mereka sudah ‘save’ yang buruk-buruk, maka buruklah yang terluah dari mulut mereka.

PERANAN IBU BAPA

Yang pelik dan yang ganjilnya, yang rancak mengutuk itulah yang menghantar anak-anaknya bersekolah disitu. Alasannya, tiada sekolah lain untuk saya menempatkan anak saya. Saya terpaksa hantar dia ke sini. Secara tidak langsung, dia termakan dengan fitnah dan cacian yang telah dia sebarkan selama ini. Tugasnya cuma satu sahaja, hantar anak ke sekolah dan apabila anak balik ke rumah dia buat tidak kisah. Dia tidak kisah sama ada anaknya hadir kelas tambahan atau tidak? Apabila anak minta supaya dihantar menghadiri kelas tambahan di sekolah, mereka tidak mahu. Alasannya, harga minyak naik. Yang lebih teruk lagi, cikgu pun turut terkena tempias kemarahan mereka wahal kelas tambahan itu diadakan untuk membantu anak mereka. Mereka juga tidak pernah memantau pergerakan anak-anak di luar waktu persekolahan. Anak-anak dibiarkan melepak sepanjang petang hingga ke malam. Mereka tidak pernah bertanyakan kepada anak tentang tugas-tugas yang diberikan oleh guru untuk disiapkan di rumah, sudah siap ke belum? Mereka tidak pernah menemani anak mengulang kaji pelajaran. Yang mereka tahu, apabila anak tidak duduk bersama-sama mereka menonton slot akasia di TV3, mereka akan memanggilnya supaya menonton bersama-sama.


Apabila dijemput menghadiri mesyuarat PIBG, ramai ibu bapa yang tidak pernah datang tetapi apabila anaknya melaporkan dia dihukum guru menyapu parit, langkahnya laju ke sekolah untuk mencari guru itu. Tujuannya untuk memarahi guru yang menghukum itu. Mereka tidak pernah terfikir hendak ke sekolah untuk bersembang tentang prestasi anak-anak mereka dalam bidang akademik dengan guru. Jemputan untuk hadir ke Hari Permuafakatan pun tidak dilayan. Sokongan kepada sekolah amatlah hambar dan tawar. Mereka hanya aktif apabila sesuatu yang buruk atau tidak dipersetujui berlaku. Itulah sikap ibu bapa pada zaman ini. Walaupun bukan semuanya bersikap begitu, tetapi realiti ini tidak boleh kita singkirkan dalam membicarakan imej sesebuah sekolah.

BEKAS PELAJAR

Peribahasa Melayu mengatakan tempat jauh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Bekas pelajar terutamanya yang sudah berjaya seharusnya datanglah melawat ke sekolah lama untuk bertanya khabar. Semua sekolah amat memerlukan sumbangan dan sokongan daripada bekas pelajar sekolah tersebut untuk menaikkan imej sekolah. Bekas pelajar yang sudah bekerja bolehlah menghulurkan ‘seringgit dua’ untuk membantu menceriakan kawasan sekolah. Kecerian kawasan sekolah amatlah penting untuk membina sebuah sekolah yang kondusif dan ceria bagi membangkitkan semangat belajar dalam kalangan anak-anak didik kita. Sekurang-kurangnya dengan sumbangan kita yang sedikit itu kita berjaya membangkitkan semangat kepada adik-adik kita yang masih tercari-cari arah tuju hidup mereka. Bagi bekas pelajar yang masih di universiti pula, tidak salah datang ke sekolah untuk memberikan ceramah motivasi kepada sekumpulan pelajar agar mereka lebih berdaya saing dan berkeyakinan untuk menjadi seperti diri kita yang telah berjaya.

Sebagai bekas pelajar kita harus menghindarkan diri daripada membicarakan sesuatu yang negatif tentang sekolah tempat kita belajar walaupun kita sudah tidak berada di situ lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana kita lebih tahu tentang sekolah tempat kita belajar selama bertahun-tahun. Kita menjadi seperti hari ini kerana bertapa bertahun-tahun menuntut ilmu di sekolah itu. Walaupun kita bekerja sebagai kerani atau tukang cuci, kita harus ingat asal usul kita dan sejarah hidup kita bermula dari sekolah itu. Oleh itu, jika imej sekolah kita jatuh, kita jangan menghentaknya dengan kaki hingga tenggelam di dalam lumpur. Kita harus berusaha memapahnya dan merawat lukanya sehingga sembuh dan pulih kembali. Kita harus percaya kepada azimat yang selalu diperkata, hidup ini umpama roda, terkadang kita di atas, terkadang kita di bawah. Baik di atas mahupun di bawah, kita tetap memerlukan sokongan dan dukungan daripada orang terdekat untuk terus membantu kita terus gah dan gagah merentasi cabaran dan rintangan yang mendatang.

PERANAN PELAJAR

Pelajar merupakan tulang belakang kepada imej sesebuah sekolah, apatah lagi bagi sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang ramai, yakni melebihi 1500 orang ke atas. Bukannya senang untuk menjaga sekumpulan pelajar yang mempunyai pelbagai ragam dan darjah kenakalan yang berbeza. Semua pelajar harus tahu tujuan mereka datang ke sekolah. Mereka datang ke sekolah untuk belajar bagi menjadi insan yang berilmu serta berjawatan tinggi pada suatu masa nanti. Jika pelajar hanya sekadar datang ke sekolah tetapi tidak tahu tujuan serta tidak ada cita-cita maka golongan inilah yang akan mencipta pelbagai masalah di sekolah. Golongan ini tidak tahu menjaga imej sekolah. Golongan ini tidak ramai tetapi kesannya amat besar terutama kepada sekelompok masyarakat yang menjadi hakim tak berkelulusan. Pelajar-pelajar yang tidak tahu tujuan dia datang ke sekolah ini akan menghabiskan waktu selepas waktu persekolahan dengan merokok, melepak, lumba haram, bergaduh, dan sebagainya. Masyarakat yang menyaksikan drama hidup mereka yang sedih ini pula akan mudah menuduh dan menghukum. Yang buruknya nanti nama sekolah. Yang salahnya nanti ialah guru. Yang turut disalahkan ialah pihak polis. Ibu bapa tidak pernah salah.

Pelajar-pelajar harus ingat imej sekolah amat penting untuk dijaga. Apabila tamat alam persekolahan segala sijil yang ditayangkan akan tercatat nama sekolah tempat kita belajar. Majikan pula lebih cenderung untuk memilik produk yang dikeluarkan dari kilang yang baik dan cemerlang. Pelajar harus tahu akan hakikat ini. Ibu bapa mereka juga perlu sedar akan perkara ini. Apa yang kita buat semuanya akan diadili oleh penilai-penilai yang berada di sekitar kita tanpa kita sedari. Semasa berada di alam persekolahan, kadang-kadang kita terlupa pada tanggungjawab untuk menjaga imej sekolah kita. Kita biarkan diri kita melakarkan dan mencalarkan imej sekolah kita dengan pelbagai perkara negatif yang menjengkelkan. Suatu ketika baru kita sedar bahawa itu salah tetapi sukar untuk kita berpatah lagi kerana masa terlalu cepat berlaku untuk orang-orang yang dangkal seperti kita.

SEMUA PIHAK PERLU BERSATU


Imej sekolah tanggungjawab semua pihak. Guru, ibu bapa, PIBG, bekas pelajar, pelajar, dan masyarakat setempat harus bersatu demi menaikkan dan menjaga imej sesebuah sekolah. Apabila kita bersatu, segala yang susah akan menjadi mudah. Segala yang mudah akan berjaya dipermudahkan lagi agar mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Kita tidak boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja. Orang yang menghukum memanglah akan terus menghukum tetapi kita yang dihukum harus berusaha membuktikan yang terbaik agar golongan ini tidak akan terus menerus menghukum kita. Tuhan akan selalu merahmati perjalanan orang yang bersatu dan berpadu dalam menghadapi apa-apa jua situasi baik dalam duka atau suka, bahagia atau sengsara. Hakikatnya, semua sekolah di dunia ini adalah sama visi, matlamat dan wawasannya. Guru-guru yang ditempatkan di sekolah juga sama kelulusan dan ilmunya. Yang menentukan prestasi sesebuah sekolah dalam peperiksaan awam ialah pencapaian pelajar yang cemerlang. Akan tetapi, kecemerlangan itu masih menjadi persoalan? Cemerlang dalam bidang akademik tidak semestinya cemerlang dalam aspek sahsiah dan tingkah laku.  Orang yang tidak cemerlang dalam akademik pun boleh berjaya jika segalanya lengkap dan sempurna. Yang paling penting ialah sokongan daripada semua pihak. Kek lapis Sarawak tidak akan sedap jika ramuannya tidak lengkap. Begitulah dengan imej sesebuah sekolah, tanpa sokongan semua pihak, sukar untuk satu pihak sahaja menggerakkan usaha ke arah itu.






Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

CATATAN CIKGU ZUL : CIKGU GARANG, I LOVE YOU SAYANG, MAKIN AWAK GARANG MAKIN SAYA SAYANG



Bersama Jurulatih Utama BM STPM negeri Melaka (Kak Ramlah), Perak (Kak Midah), Selangor (Kak Wahida) dan Johor (Kak Noraini). Semua cantik-cantik belaka. 

Sepanjang melayari bahtera alam persekolahan, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, kita akan bertemu dengan ramai guru. Guru merupakan golongan yang banyak berjasa kepada setiap manusia kerana merekalah arketik yang terhandal di dunia yang menjana jutaan cendikiawan dan ilmuan pada hari ini. Saban tahun jutaan manusia dikeluarkan dari kilang-kilang tempat guru bekerja setelah menamatkan pengajian untuk menjawat pelbagai jawatan bagi memacu ekonomi negara dan memahat nama negara sehingga ke persada antarabangsa. Bagi golongan pelajar yang masih menempuh alam persekolahan, guru merupakan ibu bapa kedua mereka. Gurulah yang akan mendengar masalah mereka. Apabila mereka sakit gurulah yang bersusah payah menelefon ibu bapa mereka dan mengisi borang kebenaran balik ke rumah. Gurulah yang akan menjaga mereka sehinggalah ibu bapa mereka datang. Saban hari, mulut guru memberikan nasihat dan amanat di samping menyampaikan ilmu pelbagai cabang kepada mereka tanpa jemu-jemu.

Guru dan pelajar ibarat irama dan lagu, kopi dan gula, gulai dan garam. Saat suka mereka akan ketawa bersama. Saat sedih mereka akan menangis bersama. Mereka ibarat isi dengan kuku kerana saling memerlukan. Kehilangan pelajar akan dicari, ketiadaan guru akan dirindui. Pemergian guru akan ditangisi, pemergian pelajar akan dikesali. Hubungan yang terlalu dekat ini bagai cubit paha kanan, paha kiri turut terasa. Guru selalu bercerita tentang karenah pelajar-pelajar mereka manakala pelajar juga selalu bercerita tentang karenah guru-guru mereka. Biar apa pun cerita yang diceritakan, baik negatif mahupun positif, itu melambangkan mereka saling mengambil berat dan tujuannya hanya satu iaitu tanda wujudnya rasa cinta, kasih, dan sayang. Begitulah istimewanya hubungan antara pelajar dan guru-guru mereka.

GURU GARANG

Guru garang ini merupakan gologan guru yang paling ditakuti oleh pelajar-pelajarnya. Apabila tiba waktu guru garang ini masuk ke dalam kelas, tidak ada pelajar yang berani keluar ke tandas. Semua orang akan fokus dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Pelajar-pelajar yang menganggu proses pengajaran dan pembelajaran akan menerima hadiah daripada guru garang ini. Semasa zaman persekolahan saya dahulu, hadiah yang diberikan ialah sebatan dengan rotan. Jumlah sebatan mungkin sekali, dua kali, tiga kali atau berkali-kali, ikut darjah kemarahannya pada ketika itu. Yang dirotan bukan sahaja kita, meja dan papan hitam pun akan dirotan bagi melepaskan kemarahannya yang teramat sangat. Saya masih ingat, guru Matematik saya semasa Darjah 5 yang memang garang. Kami pula amatlah lemah dalam subjek Matematik. Jika kami gagal menyelesaikan masalah yang disoal dan subjek Matematik itu kami akan dirotan dan disuruh memadamkan papan hitam menggunakan hidung. Kalau zaman ini, hukuman begini sudah dikira kes dera, silap-silap guru itu akan dihadapkan ke mahkamah.


Sambutan Tahun Baru Cina SMK Sibu Jaya, 2017

Akan tetapi, kami tidak seperti murid-murid zaman sekarang. Kami terus belajar untuk menguasai subjek Matematik itu. Kami tidak ceritakan hukuman yang kami terima kepada ibu bapa kami. Kalau kami bercerita, silap-silap akan dirotan juga oleh ibu atau ayah. Pada masa itu, semua orang tak sayang pada kanak-kanak seperti kami. Pedih dirotan terpaksa kami rawat dan tahan kesakitannya sendiri. Kadang-kadang kesan rotan akan meninggalkan luka dan berdarah di betis dan di buntut. Tidur malam terpaksa menahan sedu sedan kerana kesakitan. Itulah nasib kami. Namun begitu, apabila menginjak kaki kea lam dewasa, jauh di sudut hati saya amat berterima kasih kepada guru garang itu kerana hasil didikannya saya tidak pernah gagal dalam subjek Matematik. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi masih segar diingatan saya sehingga ke hari ini.

Masa itu saya telah dilantik menjadi pengawas sekolah. Pada suatu hari, saya dan kawan saya melaporkan kes pelajar bergaduh semasa kami belajar petang kepada guru garang itu. Yang dirotan bukan sahaja pelajar yang bergaduh, saya dan kawan saya juga turut dirotan kerana tidak dapat mengawal keadaan di dalam kelas. Aduh, sakitnya! Namun begitu, dia tidak pernah membenci kami. Dia garang dan tegas apabila kami gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan. Dia marah apabila kami malas dan selalu berbuat bising di dalam kelas. Kadang-kadang pada hujung minggu, dia panggil semua pelajar pergi ke rumahnya untuk menonton televisyen. Dia jamu kami dengan makanan. Dia duduk diam sambil menyemak buku latihan di depan kami. Dia Nampak amat baik sekali. Pada waktu malam, dia akan melihat kami tidur di asrama. Yang tidak berselimut, dia selimutkan. Yang bising, memang dia akan rotan. Semua pelajar takut pada guru itu. Dialah Guru Besar, dialah ayah, dialah ibu, dan dialah segala-galanya buat kami.

PENGETUA TERGARANG DI DUNIA

Apabila saya masuk ke alam sekolah menengah, saya dipertemukan dengan seorang Pengetua yang garang pula. Suaranya garau dan amat kuat sekali. Apabila pelajar melakukan kesalahan, tangan dan kakinya akan singgah di badan tanpa rasa simpati. Dia tak perlu melawat dari kelas ke kelas. Dia hanya perlu menjerit dari pejabatnya, seluruh kawasan sekolah akan senyap dan sunyi. Pada masa itu, guru-guru sendiri pun takut padanya. Saya masih ingat, seluruh pelajar asrama tempat saya tinggal dihukum berlari di tengah-tengah padang kerana beberapa orang pelajar bising dan bermain kejar mengejar di waktu tengah malam. Hukumannya tidak boleh diingkari. Walau bagaimanapun, saya lihat sebilangan pelajar nakal langsung tidak terkesan dengan hukuman yang diberikan. Mereka tetap melakukan perbuatan tersebut. Yang turut menjadi mangsa ialah pelajar-pelajar seperti kami. Kami terpaksa juga menerima hukuman jika mereka dihukum.

Pengetua kami yang satu ini memanglah garang tetapi kebajikan pelajar tidak pernah dia abaikan. Makanan kami cukup, malahan dialah yang membina 3 buah kolam ikan di kawasan sekolah kami. Di kolam ikan itu, dia ternak ikan patin dan tilapia. Saya masih ingat apabila ikan itu besar, dia arahkan pelajar-pelajar senior menangkap ikan itu. Pada sebelah malamnya pula, kami BBQ di tepi pantai. Dia nampak amat baik kepada kami. Sifat garang dan bengisnya hilang tiba-tiba. Kini, setelah saya sendiri menjadi guru, barulah saya faham. Pelajar-pelajar nakal tidak boleh dibiarkan terus nakal kerana sikap membiarkan itu hanya kan menjadikan mereka sebagai ‘sampah masyarakat’. Apabila saya ditempatkan menjadi guru di Daerah Sibu, saya bertemu beberapa kali dengan Pengetua Tergarang Di Dunia itu. Dia masih garang. Kegarangannya masih menjadi sebutan sehinggalah dia bersara. Namun begitu, jauh di sudut hati saya amat menyanjunginya. Walaupun saya tidak pernah menerima hukumannya atas kesalahan yang saya sendiri lakukan, saya masih juga berterima kasih kerana apa yang dia lakukan terhadap kawan-kawan saya sentiasa mengingatkan diri saya supaya jangan melakukan kesalahan itu. Saya bukanlah pelajar yang popular di sekolah pada masa itu, saya lebih banyak pasif di luar kelas kerana takut dirotan. Saya hanya aktif jika di dalam kelas. Kini, beliau telah bersara. Semoga Tuhan terus melimpahkan rahmat kepada beliau. Semoga beliau terus sihat walafiat dan bahagia di samping keluarga tersayang.

SAYA SENDIRI JADI CIKGU GARANG

Saya berasal dari sebuah keluarga yang amat miskin. Hidup di kawasan pedalaman di Katibas, Song. Selepas menamatkan kursus perguruan di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, saya ditempatkan di SMK Sacred Heart, Sibu. Sekolah itu satu-satunya sekolah lelaki yang terdapat di daerah Sibu. Pada tahun pertama, saya Cuma ditugaskan mengajar Pendidikan Moral Tingkatan 2 dan Sejarah Tingkatan 1. Apabila mengajar pelajar-pelajar lelaki, kita tidak boleh tidak garang. Guru-guru senior mengingatkan saya supaya sentiasa membawa rotan ke dalam kelas. Pelajar-pelajar lelaki tidak boleh dilayan sangat, takut mereka naik kepala. Itulah nasihat daripada guru-guru senior. Saya bawa juga rotan tetapi rotan itu cuma saya gunakan untuk memukul meja dan papan hitam. Saya tidak pukul pelajar. Bukan tak berani tetapi tak sampai hati. Saya ambil pendekatan lain untuk menarik perhatian pelajar, saya mengajar dengan bersungguh-sungguh semasa di sesi P&P. Pelajar yang nakal yang pada mulanya berbual-bual dan berjalan-jalan mula memberikan perhatian apabila saya dekati mereka dan sentiasa memanggil nama mereka di dalam kelas. Saiz badan pelajar Tingkatan dua lebih besar daripada saiz badan saya! Semuanya sihat-sihat sebab kebanyakannya anak orang berada.


Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 2 di SMK Bandar Tasik Tenggara, Johor pada bulan Ogos, 2016

Tahun kedua, saya ditugaskan mengajar subjek Bahasa Melayu. Saya diberikan mengajar kelas pelajar-pelajar pandai. Saya tidak tahu kenapa? Cabarannya lain, saya kena banyak menyemak dan bersedia sebelum masuk ke dalam kelas. Pelajar-pelajar ini telah menghadiri kelas tuisyen di luar waktu persekolahan. Mereka perlukan maklumat lain daripada yang mereka pelajari di luar. Sewaktu menyemak buku latihan pula, saya harus berhati-hati kerana hasil kerja saya turut dipantau oleh ibu bapa mereka. Jika silap, mereka boleh menghubungi pihak sekolah. Pelajar-pelajar pula amat menghormati saya. Apabila saya masuk, mereka akan tunduk memberikan hormat. Mereka belajar dengan penuh tumpuan. Kerja yang diberikan siap pada masa yang ditetapkan. Kelas pelajar pandai ini biasanya memiliki jumlah pelajar yang ramai, yakni lebih daripada 40 orang. Jadi, tugas saya pada setiap hati ialah menyemak dan menyemak sahaja. Pelajar-pelajar ini pula, apabila saya suruh menulis satu karangan, mereka pula akan hantar tiga hingga 5 buah karangan sebab terlajak rajin. Saban tahun saya ditugaskan untuk mengajar pelajar dalam kategori ini sahaja. Oleh sebab itu, saya tidak pernah berhadapan dengan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

Tahun 2006, saya diarahkan mengajar di sesi pagi. Saya diberikan kelas Tingkatan Enam dan Tingkatan 5 aliran sastera. Kelas tingkatan 5 yang saya ajar memang kelas yang terkenal dengan sifat nakal mereka. Namun begitu, saya memang ada pengalaman mengajar mereka semasa mereka masih di tingkatan satu. Mereka amat menghormati saya. Mereka sentiasa melakukan kerja yang saya suruh. Perkara yang paling menakjubkan, keputusan SPM mereka dalam subjek Bahasa Melayu amat cemerlang. Kelas paling nakal yang pelajarnya hanya 12 orang sahaja, hanya seorang sahaja gagal Bahasa Melayu. Yang lain semua kredit. Tahun berikutnya, sehingga saya berpindah ke SMK Sibu Jaya, saya diberikan mengajar kelas pelajar aliran sains dan Tingkatan enam sahaja. Mereka tiada masalah disiplin. Jadi, saya tak garang! Saya hanya akan garang kalau saya lihat pencapaian pelajar dalam peperiksaan tidak memuaskan atau tidak mencapai sasaran. Saya akan kuatkan suara apabila marah. Semua pelajar akan diam dan rasa bersalah. Saya paling pantang kalau pelajar tidak dapat menjawab perkara yang telah saya ajar di dalam kelas. Saya paling marah kalau pelajar tidak menjawab soalan dan membiarkan tepat itu kosong sahaja. Saya anggap mereka menghina diri saya dan tugas mulia seorang pendidik. Saya akan tuduh mereka berdosa kepada ibu bapa mereka. Saya akan gelar mereka pengkhianat yang tidak tahu menghargai jasa guru dan ibu bapa. Kebanyakan pelajar-pelajar ini akan saya panggil setiap hari untuk dinasihati sehingga mereka berubah. Alhamdulillah, mereka berubah.

PERLUKAN JADI GURU GARANG

Guru juga manusia. Setiap manusia mempunyai perangai yang berbeza-beza. Mereka harus menjadi diri mereka sendiri. Walau bagaimanapun, siapa pun guru anda, mereka tetap mempunyai mimpi yang sama iaitu bermimpi untuk melihat pelajar-pelajar mereka berjaya. Sebagai pelajar, kita tidak boleh berdendam atau membenci guru serta ibu bapa kita. Perbuatan sebegini merupakan suatu dosa besar kerana mereka merupakan golongan yang paling banyak berjasa kepada kita. Jangan kata guru tak sayang apabila dia selalu memarahi dan menegur silap kita. Dia buat begitu kerana dia sayang kepada kita. Jangan kata guru benci apabila dia selalu mengungkit kesalahan lalu yang kita lakukan. Dia buat begitu kerana dia tidak mahu kita mengulanginya lagi. Silap guru kita maafkan, jangan viralkan di media sosial. Kita harus ingat, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Begitu juga dengan silap pelajar, guru akan simpan dan pendam dihati. Mereka tidak akan melihat masa lalu kita andai kita berubah untuk menjadi yang lebih baik dan lebih baik lagi.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jay
Sibu Sarawak