JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Januari 2012

ISU BAHASA : SUKARKAH BERTUTUR BAHASA MELAYU?

TAN SRI LEE LAM THYE
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia


Beberapa pihak telah membangkit mengenai betapa pentingnya kita memartabatkan semula bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan yang diadakan tahun lepas mahu bahasa Melayu dimartabatkan dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan. Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang melaksanakan proses alih suara bagi rakaman suara individu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi temu bual berbahasa Melayu sebagai usaha mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran. Melalui Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun, semua warga Malaysia diingatkan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat. Pada pendapat saya mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta masih berada di tahap rendah.

Usaha perlu dilaksanakan dan membabitkan semua stesen penyiaran bagi mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Suatu perkara yang memerlukan tindakan ialah mengenai pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti dalam dialog filem dan perbualan seharian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak. Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang mencerminkan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu dan penggunaannya dengan betul. Sukarkah untuk bertutur bahasa kebangsaan dengan betul? Fenomena bahasa rojak yang kian menjadi-jadi. Bertutur dalam bahasa kebangsaan tetapi dicampuradukan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah dan kebiasaan. Daripada pertuturan harian sehinggalah kepada program-program televisyen, radio dan iklan kita semakin terdedah kepada bahasa rojak. Malah sebahagian anggota pentadbiran kerajaan kita juga cenderung menggunakan bahasa rojak termasuk dalam ucapan di majlis dan sidang akhbar yang kemudian disiarkan menerusi televisyen.

Sudah menjadi satu tabiat bagi mereka bercakap bahasa kebangsaan diselitkan bahasa Inggeris. Memang tidak salah - untuk membuktikan kita mempunyai kemahiran bercakap dalam pelbagai bahasa. Soalannya ialah kalau mahu bertutur bahasa Inggeris gunakanlah sepenuhnya bahasa itu. Begitu juga semasa bertutur bahasa kebangsaan, gunakan sepenuhnya dan tidak perlu dicampuradukan. Bahasa Melayu adalah bahasa indah dan tidak patut dijadikan mudah tercemar. Sungguhpun saya bukan pakar linguistik, saya berpendapat masa telah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan jadikannya suatu budaya atau amalan harian di negara kita. Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampuradukan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau kita tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampuradukan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : SEKATAN EKSPORT MINYAK IRAN GUGAT EKONOMI DUNIA

Penulis ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.


Minyak merupakan satu komoditi yang begitu sensitif bukan hanya kerana ia mampu membuat rakyat sesebuah negara memberontak membantah kenaikan harga tetapi yang lebih kritikal ialah minyak juga adalah senjata diplomasi yang begitu berkesan. Negara pengeluar umpamanya lazim mengguna minyak sebagai senjata rundingan kerana pengurangan atau berlebihan komoditi tersebut mampu mengoncang ekonomi dunia. Begitu juga dengan ugutan Iran untuk menutup Selat Hormuz membawa implikasi yang agak bear kerana laluan tersebut merupakan saluran utama Arab Saudi dan beberapa negara Teluk mengeksport hasil minyak mereka. Jika selama ini sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Teheran oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) telah memasuki pusingan keempat, nampak gayanya pembangunan program nuklear Iran masih tidak terencat. Malah pembunuhan saintis nuklear Iran jika benar didalangi oleh anasir asing yang bertujuan membantutkan program nuklear Teheran, strategi tersebut masih belum mampu mencapai matlamatnya. Tetapi usaha sekatan terbaru AS dan EU untuk menyekat eksport minyak Iran telah mula membuahkan hasil walaupun sedaya upaya cuba dinafikan oleh Teheran. Implikasi sekatan ini terhadap Iran begitu jelas kerana pergantungan negara tersebut terhadap hasil minyak begitu menyeluruh.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sekatan eksport bukan sahaja akan memudaratkan Iran tetapi juga ekonomi dunia kerana banyak negara termasuk beberapa negara EU bergantung kepada bekalan minyak Iran. Tetapi AS membuat perhitungan bahawa sekatan eksport minyak hanya bersifat sementara kerana ia ditujukan kepada Presiden Mohmoud Ahmadinejad yang akan menghadapi pilihan raya parlimen Mac akan datang. Washington mengharapkan rakyat Iran akan menolak parti politik Ahmadinejad semasa pilihan raya nanti jika ekonomi Iran menjadi tenat akibat kekurangan hasil minyak. Teheran sebenarnya telah menghidu strategi Amerika untuk menggunakan pilihan raya sebagai jalan pintas untuk merencatkan pembangunan program nuklear Iran dengan melaksanakan beberapa langkah awalan mereka sendiri. Teheran akur bahawa negara tersebut tidak mampu mengugut AS atau EU secara langsung kerana kedua-dua kuasa besar tersebut mempunyai pembekal minyak alternatif. Antara negara EU, Itali merupakan pengguna terbesar minyak Iran yang merangkumi hampir 10 peratus dari jumlah keseluruhan eksport. Teheran telah mula memberi amaran kepada pengeluar minyak negara Arab terutama sekali Arab Saudi, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu supaya tidak mengambil alih peranan Iran sebagai pembekal minyak. Wakil Iran ke Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) Mohammad Ali Khatibi telah mengumpamakan negara Arab sedemikian bersengkongkol dengan AS dan EU dalam mengenakan sekatan terhadap Iran.

Negara Arab lain merasa agak curiga dengan ugutan Iran bukan kerana khuatir bakal berhadapan dengan serangan ketenteraan tetapi Tehran mampu menggunakan faktor pertembungan kumpulan Syiah-Sunnah untuk mengucar-kacirkan sesebuah negara terutama sekali yang diperintah oleh kumpulan Sunnah. Apa yang lebih kritikal adalah strategi sekatan terbaru AS dan EU, ia bukan kerana boleh menumbangkan kerajaan Ahmadinejad tetapi mampu menghuru-harakan senario geopolitik dunia terutama sekali rantau Asia. Ini adalah kerana secara keseluruhannya empat negara gergasi Asia iaitu China, India, Jepun dan Korea Selatan merupakan pengguna terbesar minyak Iran iaitu melebihi 60 peratus hasil minyak Teheran. China umpamanya amat begitu bergantung kepada bekalan minyak Iran dan sebarang kekangan bekalan boleh memudaratkan negara kuasa ekonomi kedua terbesar dunia. Beberapa hari lepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Timothy Geithner telah melakukan lawatan ke China untuk memujuk Beijing supaya bersama-sama dengan AS dan EU menjayakan sekatan ke atas bank pusat Iran.

Tidak dapat dipastikan samada Beijing akur dengan permintaan Washington atau sebaliknya kerana isyarat yang dikeluarkan agak samar dan sukar dinilai. Lawatan Perdana Menteri China Wen Jiabao ke beberapa negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi memberi maksud bahawa kemungkinan Beijing sedang merisik negara pembekal alternatif. Tetapi jika diteliti pula terhadap reaksi Beijing terhadap keputusan Washington mengenakan sekatan terhadap syarikat Zhuhai Zhenrong dari China kerana membekalkan bahan produk petroleum kepada Iran, maka besar kemungkinan China dan AS tidak berada pada landasan yang serupa. Begitu juga dengan India yang mengimport hampir 16 peratus minyak Iran besar kemungkinan tidak akan mencari bekalan dari negara alternatif kerana kesan kepada ekonomi India adalah terlalu genting jika berlaku pengurangan bekalan tenaga.

Walaupun Jepun dan Korea Selatan telah menyatakan pendirian bahawa mereka akan akur dengan sekatan terbaru dan akan mengurangkan pergantungan minyak Iran, kenyataan sedemikian rupa tidak mengejutkan kerana kedua-dua negara tersebut adalah sekutu kuat AS. Tetapi apakah pendirian tersebut akan dilaksanakan merupakan tanda tanya terutama sekali Jepun yang sedang menghadapi kepincangan bekalan tenaga elektrik daripada kuasa nuklear kesan bencana tsunami tahun lepas. Kejayaan sekatan terbaru terhadap Iran yang diusahakan oleh AS dan EU sebenarnya bergantung kepada kerjasama yang akan diberikan bukan sahaja oleh negara pengeluar minyak Arab tetapi juga pengguna minyak Iran terutama sekali dari rantau Asia. Dalam hal ini laluan yang akan diambil oleh China dan India merupakan pemangkin utama sama ada sekatan tersebut akan berjaya atau sebaliknya. Beijing dan New Delhi perlu mengolah sama agenda geopolitik atau pun ekonomi perlu diberi keutamaan sebelum sebarang keputusan dibuat. Tetapi apa yang lebih jelas adalah sebarang pengurangan bekalan minyak Iran akan lebih memudaratkan Beijing dan New Delhi berbanding dengan Teheran.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : PENDUSTAAN AMERIKA SYARIKAT DAN ISREAL UNTUK SERANG IRAN

Dihasilkan Oleh : Rejal Arbee
Penulis ialah Felo Kanan UKM
rejal@mcoba.org


Nampaknya usaha untuk menjatuhkan sebuah lagi kerajaan Islam sedang dimainkan oleh pihak yang menguasai Amerika Syarikat dengan bantuan medianya untuk menyediakan keadaan bagi menghalalkan serangan ke atas Iran. Sandiwara yang didukung padu oleh media berpengaruhnya seperti New York Times dan Fox TV kini dimainkan kembali. Ini mengingatkan kita bagaimana mereka menyediakan keadaan untuk menghalalkan serangan ke atas Iraq sehingga memusnahkan negara itu, termasuk pelbagai peninggalan tamadun silam seperti artifak dari Babylon.  Ketika itu Presiden George W Bush dan konconya, termasuk Perdana Menteri Britain, Tony Blair bermati-matian mengatakan bahawa Saddam Hussein sudah mempunyai senjata pemusnah besar-besaran (WMD).  Kini seluruh dunia sudah tahu apa yang dikatakan Bush dan Blair serta dikuatkan lagi oleh medianya yang terang-terangan adalah penipuan semata-mata.  Pendedahan seorang bekas pegawai kanan CIA, Susan Lindauer yang dipenjarakan hampir 10 tahun selepas pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York pada 9 November 2001 kerana tidak mahu terus bersubahat dengan penipuan puak berkepentingan yang menguasai Amerika untuk menyerang Iraq dan menjatuhkan Saddam serta enggan merahsiakan kejadian sebenar terhadap peristiwa 911 itu.

Apakah ini tidak menunjukkan tidak bermoralnya pentadbiran Amerika Syarikat kini? Lindauer dalam pengakuannya yang dimuatkan dalam YouTube berkata, Saddam memenuhi segala kehendak Amerika kerana mahu sekatan dunia ke atasnya dibatalkan kerana tindakan tidak bermoral itu mengakibatkan ribuan rakyatnya yang tidak berdosa, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita maut kerana tidak dapat dirawat tanpa peralatan dan ubat-ubatan.  Tetapi kesediaan Saddam itu diabaikan saja dengan mereka berterusan menipu dunia hinggalah menyerang negara itu dan memusnahkannya dan keadaan tidak wujudnya kestabilan di negara itu berlarutan sehinggalah sekarang. Kini timbul pula satu lagi pembohongan kononnya Iran sudah mula menjalankan kegiatan untuk melengkapkan dirinya dengan bom nuklear. Walaupun Iran berkali-kali menafikannya dengan menyatakan bahawa apa yang ia sedang lakukan hanyalah penggunaan kuasa nuklear untuk pembangunan bukannya untuk membuat bom. Malangnya, puak yang dikuasai Zionis di Amerika tetap saja memperlekehkan pengakuan itu dengan berterusan membuat tuduhan palsu mereka.

Amerika juga menggunakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menghalalkan tuduhan palsunya. Walaupun IAEA jelas tidak mempunyai bukti kukuh yang boleh mendukung tuduhan mereka, ia masih menuduh bahawa Iran mungkin berusaha mengadakan bom nuklear. Itu saja yang boleh dinyatakan badan yang sepatutnya bertindak lebih bebas dan tidak memihak kerana ia tidak boleh mengadakan bukti yang sememangnya tidak ada. Kenyataan andaian itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas regim Zionis dengan angkuhnya memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan terhadap Iran sudah semakin nyata. Walaupun agensi itu tidak boleh membuktikan apa yang mahu didengar puak Zionis di Amerika atau Israel, ia tetap dengan buruk sangka hingga mencemaskan rakyat Iran. Sebelum ini pun, Israel melalui badan perisiknya, Mossad yang diketahui umum sentiasa bertindak samseng khususnya terhadap orang Islam dengan bantuan CIA.  Kedua-dua badan itu sudah melakukan pelbagai macam cara mensabotaj usaha Iran membangunkan tenaga nuklearnya yang dilakukan untuk tujuan keamanan bukannya untuk berperang.

Usaha itu, termasuk menggodam dan merosakkan komputer badan nuklear Iran menggunakan cecacing komputer Stuxnet serta membunuh tidak kurang empat saintis nuklear Iran, terakhir Mostafa Ahmadi Roshan pada 11 Januari lalu. Semua dibunuh menggunakan kaedah sama dengan meletakkan bom bermagnet di tepi kereta oleh penunggang motosikal, satu kaedah digunapakai Mossad.  Selain itu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sering juga berlaku kejadian pengeboman di beberapa pusat ketenteraan dan nuklear Iran yang disyaki dilakukan anasir upahan puak Zionis dan CIA seperti mereka mengupah pelbagai puak penentang kerajaan Iran untuk melakukan jenayah dan perlakuan memporak perandakan orang awam.  Inilah kaedah yang sering digunakan CIA untuk menimbulkan keadaan tidak stabil dan kekacauan terhadap mana-mana kerajaan yang tidak disukai Amerika. Jelas bagi puak ini jenayah boleh saja dihalalkan.  Dalam pada itu, pihak ketenteraan Amerika sejak beberapa waktu kebelakangan ini sudah bersedia untuk melakukan serangan ke atas Iran. Ini diakui secara tidak langsung oleh pengerusi ketua turus angkatan tenteranya, Jen Martin Dempsey yang memberitahu media Amerika bahawa tanggungjawabnya ialah untuk menentukan segala persediaan dan persiapan dilaksanakan sekiranya berlaku serangan ke atas Iran.

Persiapan itu dilakukan walaupun pihak pentadbiran Amerika sendiri mengakui Iran tidak mempunyai senjata nuklear. Ini boleh dilihat daripada pengakuan Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta bahawa Iran tidak mencuba untuk mengadakan senjata nuklear seperti pernah dinyatakan dalam dua laporan Perisikan Kebangsaan Amerika pada 2007 dan 2010.  Apakah semua ini tidak menunjukkan bahawa Amerika dan Israel sengaja bertindak untuk memprovokasi Iran supaya memberi sebab kepada mereka untuk menyerang negara Islam itu. Anehnya, Israel sudah mempunyai bom nuklear melebihi 200 buah tidak pernah ditimbulkan seperti juga Amerika yang mempunyai lebih daripada 1,000 bom nuklear yang sepatutnya dimusnahkan mengikut perjanjian antarabangsa yang ia sendiri meterai tidak pula dipersoalkan.  Kenapa? Apa istimewanya Israel dengan dibiarkan memiliki senjata nuklear tanpa dikenakan sekatan atau amaran, termasuk Amerika? Jadi cara digunakan sama saja. Dulu di Iraq ditohmahkan wujudnya WMD dan kini di Iran bom nuklear pula. Inilah nasib negara Islam gara-gara Zionis yang begitu menular pengaruhnya hingga boleh saja membuat Amerika melompat mengikut gendang dipalunya.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
19 Januari 2012

ISU UMUM : EKSTREMISME BUKAN SEKADAR TINDAKAN KEGANASAN SAHAJA

Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my


Setiap kali perbincangan diadakan mengenai ekstremisme, Islam dan Muslim akan dikaitkan bersama. Apakah ini menunjukkan hanya Muslim saja bertindak secara ganas atau ditonjolkan dengan sengaja bagi mengaburi pandangan orang lain bahawa semua Muslim itu ganas. Memang ada Muslim yang bertindak menyerang pihak tertentu tetapi ini tidak bermakna semua Muslim pengganas. Ia juga bermakna tidak semua bukan Muslim tidak boleh bertindak ganas. Lihat saja beberapa kejadian di Eropah, Amerika Syarikat, Asia Barat dan Asia. Keganasan berlaku di banyak tempat termasuk di Ireland Utara, Palestin, Vietnam dan Sri Lanka. Namun bukan semuanya ada kaitan dengan Muslim. Di Palestin ada dua pihak yang terbabit, tanpa mengecualikan keganasan dan pencerobohan Zionis di bumi orang Islam.  Tetapi apabila berlaku kejadian pembunuhan di Norway tahun lalu, sekali lagi ekstremis Muslim dipersalahkan untuk kejadian terbabit, tetapi siasatan pihak berkuasa menunjukkan sebaliknya.

Namun ahli politik, wartawan dan pengulas isu semasa tetap berpendirian bahawa keganasan dan Islam ada kaitan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Persidangan Gerakan Kesederhanaan Global 2012 (GMM) di Kuala Lumpur kelmarin.  Katanya, selepas Timothy McVeigh melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar raya Oklahoma, tiada siapa menyatakan orang Kristian bertanggungjawab melakukannya. Untuk menuduh orang Kristian bagi kejadian seumpama adalah sesuatu yang ganjil, namun beginilah situasi yang terpaksa dihadapi oleh 1.3 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia hari ini.  Prof Dr Maurits Berger dari Universiti Leiden, Belanda berpendapat keperluan kepada kesederhanaan adalah keperluan dunia. Dr Berger yang menyampaikan pandangannya itu dalam kertas kerja bertajuk Mencari Suara Sederhana Daripada Dalam, berkata terlalu banyak perhatian diberikan sebelum ini kepada golongan ekstremis minoriti, yang membayangi golongan sederhana yang sebenarnya majoriti.  Katanya, suara golongan majoriti ini perlu didengar tetapi mereka perlu menyuarakan dengan lebih tegas dan persidangan ini adalah salah satu tempatnya.

Menurut Berger, seorang kolumnis sebuah akhbar di Arab Saudi pernah menulis pada 2002: Bukan semua Muslim itu pengganas, tetapi hampir semua pengganas adalah Muslim, menyebabkan perlunya orang Islam melihat ke dalam diri mereka.  Persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana boleh agama yang seindah ini menyebabkan golongan tertentu menjadi ekstrem, malah ganas?  Justeru, lebih ramai Muslim perlu bangkit menyuarakan pandangan mereka. Malah golongan berpandangan sederhana daripada semua agama harus bangun menjelaskan pendirian mereka, bagi membolehkan dunia mencapai keamanan. Keganasan atau ekstremisme juga sering dikaitkan dengan kejadian buruk, pembunuhan, kekacauan dan penderitaan. Tetapi menurut Perdana Menteri, ekstremisme tidak selalunya ganas. Sebagai contoh, krisis kewangan global yang dihadapi oleh dunia beberapa tahun lalu adalah antara perkara ekstrem yang berlaku dalam sejarah tetapi ia tidak ganas.

Sudah empat tahun ia meruntun dunia dan masih belum ada penyelesaian. Zon Eropah masih menghadapi krisis berkenaan. Berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan, rumah dan masa depan. Selain krisis kewangan global, keengganan pihak tertentu bersikap toleransi adalah antara ancaman ekstremisme yang perlu ditangani semua pihak termasuk pertubuhan dan kerjasama serantau. Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata persidangan kesederhanaan global ini diadakan tepat pada masa bagi mengisi kelompangan sejak berlaku peristiwa 9/11.  “Apa yang berlaku selama ini ialah satu peratus golongan ekstrem mendapat 100 peratus perhatian dunia. Tidak kira sama ada ia berjaya atau tidak, ia adalah inisiatif baik bagi membolehkan kita memberi pendapat,” kata Dr Shamsul.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
19 Januari 2012