JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 Jun 2011

ISU RASUAH : TANGANI RASUAH SUKAN SECARA SERIUS

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my



Rasuah dalam bola sepak kembali mencemarkan imej sukan itu. Peristiwa hitam pada tahun 1996 yang melibatkan seramai 126 pemain telah disabitkan dengan kesalahan rasuah bola sepak kini menghantui kita semula. Pada operasi pembersihan itu, 42 pemain yang didapati bersalah telah dibuang daerah. Dan lebih menyedihkan apabila hampir keseluruhan skuad pra-Olimpik negara 1996 terlibat dalam jenayah rasuah tersebut. Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan beberapa tangkapan ke atas individu yang dipercayai sebagai dalang atau terlibat secara langsung dalam mengatur keputusan sesuatu perlawanan. Walaupun usaha ini bagus dan penting demi memastikan mutu bola sepak negara terus berkembang maju namun timbul persoalan adakah acara sukan lain bebas daripada gejala ini? Menurut Pensyarah Sains Kejurulatihan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Mohar Kassim, gejala rasuah perlu diperangi secara menyeluruh dalam semua jenis sukan dan oleh semua pihak.

Beliau berpendapat, masalah rasuah ini tidak boleh dibebankan ke bahu SPRM sahaja tetapi mesti diselesaikan secara bersepadu melibatkan persatuan sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM). "Sewajarnya diwujudkan kuasa ketiga yang diterajui oleh semua pihak yang terlibat dengan pembangunan sukan negara tanpa kepentingan peribadi untuk sama-sama berjuang menentang rasuah secara jujur dan telus. "Ia masih kurang dan belum benar-benar wujud dalam konteks pembanterasan gejala rasuah dalam sukan kerana tidak banyak yang mampu menahan atau menangkis tekanan besar yang diterima untuk menentang budaya negatif ini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Jika tidak, jelasnya, prestasi sukan negara akan terus merudum dan masyarakat akan sentiasa ditipu oleh permainan mereka yang penuh dengan tipu helah. "Usah hanya fokus kepada bola sepak tetapi juga kepada sukan-sukan lain kerana mungkin telah dan sedang berlaku perbuatan keji ini secara profesional dan licik," tegasnya. Justeru, beliau menyarankan supaya disegerakan usaha menerapkan nilai-nilai spiritual di kalangan jurulatih dan juga pemain di semua peringkat bermula dari sekolah, daerah, negeri sehingga ke tahap kebangsaan.

"Beri kesedaran secara berterusan mengenai kesan daripada menerima rasuah adalah haram di sisi agama dan satu jenayah dalam konteks undang-undang negara," ujarnya. Beliau turut mencadangkan supaya dilakukan pemantauan dan tindakan untuk semua jenis sukan tidak kira acara berpasukan atau individu termasuk sukan yang mempunyai pengaruh yang besar dan telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Hal ini kerana, kata Mohar, terdapat juga sukan yang boleh hidup tanpa bantuan mana-mana pihak untuk menaja kos latihan dan pertandingan yang mereka sertai. "Jangan hanya memikirkan kesenangan peribadi dan menumpukan hidup untuk menikmati kekayaan harta semata-mata tanpa menjunjung nilai-nilai agama kerana segala kos untuk melatih dan membentuk setiap atlet itu menggunakan wang rakyat," pesan beliau kepada semua atlet dan jurulatih. Malah, kerajaan juga telah memberikan secukupnya ganjaran sama ada berupa wang tunai, tanah, rumah, gelaran atau pangkat kepada jurulatih dan pemain negara tetapi malang masih ada yang sanggup menjadi nila setitik lalu merosakkan susu sebelanga.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
22 JUN 2011




ISU UMUM : BUKAN WANITA SAJA "BERAT" JODOH, LELAKI PUN SAMA

Oleh Fauziah Arof


Seorang kawan lelaki dari Pahang membuat pengakuan, dia tidak sedikit pun merasa ‘goyah’ apabila golongan lelaki di negeri itu dikata akan ‘berat jodoh’ kerana bilangan mereka yang lebih ramai berbanding wanita. Dalam reaksinya, beliau berkata, sekiranya wanita tidak ramai di Pahang, berhijrahlah ke negeri-negeri lain – bercampurlah, jangan hanya mencari calon isteri dalam satu negeri saja – tidak mencabar langsung. Tetapi yang pastinya kawan saya itu, walaupun telah begitu lama bekerja di ibu kota ini, dalam usia memasuki ambang 40-an, beliau masih mempertahankan status bujangnya! Ini membawa kepada satu isu lain pula, isu kahwin lewat. Selama ini apabila memperkatakan mengenai isu kahwin lewat maka ramai pihak memberi fokus kepada kaum wanita sahaja. Sedangkan, ramai juga lelaki yang berat jodoh. Tetapi tidaklah dapat dipastikan perangkaannya, sama ada ia melibatkan lelaki Pahang atau negeri-negeri lain.

Pun begitu, dalam isu lelaki lebih ramai ini, ada juga yang bertanya, bukankah selama ini di negara kita wanita lebih ramai berbanding lelaki? Ini ketara dilihat apabila wanita yang menguasai pengambilan pelajar-pelajar ke institusi pengajian tinggi setiap tahun. Dalam pada itu negara juga kekurangan guru lelaki sama ada di sekolah rendah mahupun menengah. Dan bagi saya, kemasukan ramai pelajar wanita ke institusi pengajian tinggi juga satu isu lain yang tidak payahlah diulas panjang, kerana nanti dikata pula satu percubaan untuk mencetuskan perbalahan antara lelaki dan wanita mengenai tahap kebijaksanaan pula! Berdasarkan banci penduduk yang dijalankan tahun lepas, menunjukkan lelaki di Pahang melebihi wanita pada nisbah 113:100 iaitu satu angka yang melebihi paras nasional pada 105:100. Berdasarkan bilangan sebenar, terdapat 759,587 orang lelaki manakala wanita, 683,778 di negeri berkenaan.

Sementara itu, nisbah lelaki tempatan berbanding lelaki warga asing di Pahang adalah 13:1 iaitu bagi setiap 13 lelaki tempatan terdapat seorang lelaki asing. Perkembangan tersebut, disifatkan akan memberi kesan dari segi persaingan lelaki di Pahang untuk mendapatkan pekerjaan sekali gus memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan. Ditambah pula dengan bilangan lelaki dalam umur perkahwinan iaitu 20 hingga 34 tahun di negeri itu ialah 198,600 orang berbanding 188,900 wanita. Sekiranya nisbah bilangan jantina tidak berimbang, ia boleh menimbulkan masalah kekurangan bilangan penduduk antara jantina dalam umur perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup. Mungkin nanti jarak usia di antara pasangan adalah terlalu jauh, yang akan mencetuskan masalah lain pula. Pun begitu, tidak perlulah diambil kisah dan dirisaukan akan angka-angka tersebut. Kita percaya kepada jodoh dan pertemuan, qada dan qadar daripada Tuhan. Jalani hidup ini dengan melakukan yang terbaik untuk agama, diri, keluarga dan negara.

PENULIS ialah Penolong Pengarang Rencana Utusan Malaysia

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
22 JUN 2011


ISU EKONOMI : ISU, DILEMA, SASARAN, DAN SARANAN

Oleh NAZIRUDDIN ABDULLAH

Penulis ialah Profesor Ekonomi di Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).



Subsidi, jika dilihat dalam konteks pencapaian objektif ekonomi pasaran bebas dianggap tidak efisien serta mendatangkan masalah. Ini berdasarkan kepada faktor-faktor berikut. Pertama, subsidi mengganggu keberkesanan penggunaan dan pengagihan sumber-sumber yang terbatas. Ini berlaku apabila barangan dan perkhidmatan yang termasuk dalam kategori subsidi mempunyai dua tanda harga; harga pasaran/benar dan harga kawalan/subsidi atau harga di bawah harga pasaran. Walhal kos pengeluarannya adalah sama. Kedua, pengagihan barangan dan perkhidmatan mengikut mekanisme subsidi berbanding pasaran melibatkan kos yang besar serta kadang kala agak kompleks dan memerlukan penubuhan agensi-agensi khusus mengikut tabii golongan sasaran yang dikehendaki. Ketiga, sukar untuk mensasarkan penerima subsidi. 


Acap kali, golongan yang berhak menerima subsidi hanyalah minoriti kecil di mana pengagihan lebih efisien dan saksama melalui pemindahan pendapatan. Keempat, subsidi secara langsung atau tidak langsung menggalakkan aktiviti tidak bermoral seperti rasuah, penyeludupan dan penjualan barangan dan perkhidmatan yang disubsidikan. Bagaimanapun, apa yang diperkatakan di atas tidak sama sekali bermaksud subsidi tidak diperlukan dalam menentukan agihan pendapatan dan kekayaan yang adil dalam sesebuah negara. Di Malaysia, setiap langkah kerajaan samada dalam bentuk mengawal harga barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan lain-lain, atau pemberian subsidi secara langsung seperti buku teks dan susu untuk sekolah, baja dan racun serta benih kepada petani adalah amat praktikal. 


Sekali gus, inisiatif tersebut banyak membantu golongan termiskin meningkatkan secara tidak langsung pendapatan benar mereka. Dianggarkan pada 2007, kerajaan membelanjakan RM40.1 bilion untuk tujuan subsidi bagi menstabilkan harga barangan. Pada 2009 pula, 22 peratus perbelanjaan kerajaan adalah untuk subsidi. Sesungguhnya, subsidi jika dilihat dalam konteks ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya. Namun, kekhilafan kerajaan ialah nikmat pemberian subsidi dikecapi oleh hampir semua strata masyarakat tanpa mengira status pendapatan individu atau isi rumah. Dengan kata lain, subsidi dinikmati oleh semua golongan; golongan kaya dan mewah, golongan berpendapatan sederhana dan golongan miskin. Begitu juga dengan tarif elektrik, air, petrol, LPG, diesel, buku teks dan susu percuma sekolah. 


Ringkasnya, kerajaan tidak sama sekali meletakkan golongan sasaran yang wajar diberikan subsidi. Implikasinya, kerajaan berbelanja lebih RM10 bilion setahun untuk tujuan pemberian subsidi. Ini merupakan satu beban kewangan kepada kerajaan terutama jika harga semua komoditi yang dinyatakan di atas mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa. Justeru, sudah sampai masa pembuat dasar dan pemerintah memikirkan jalan keluar kepada isu dan dilema ini. Jalan terbaik mengatasi isu ini ialah dengan mengambil kira persoalan-persoalan berikut: Pertama, apakah kerajaan mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai subsidi? Kedua, apakah subsidi masih kekal relevan dalam usaha untuk merealisasikan visi 2020 dan negara berpendapatan tinggi? Ketiga, sekiranya subsidi perlu diteruskan siapakah golongan sasaran yang berhak untuk menerimanya? 


Keempat, di manakah ataupun adakah titik noktah kepada isu pemberian dan penerimaan subsidi? Kelima, apakah dengan menyegerakan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan membantu menyelesaikan sebahagian daripada kemelut yang menyelubungi subsidi? Bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai nilai subsidi yang di tanggung oleh kerajaan dipaparkan di sini dua senario. Pertama, senario subsidi minyak dari 1999 hingga 2007. Sepanjang tempoh tersebut kerajaan membiayai RM58.32 bilion. Semakin tinggi harga minyak di pasaran antarabangsa, semakin besar nilai subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Dengan harga minyak kini telah mencecah AS$100 setong, nilai subsidi barang kali boleh mencecah RM13 bilion. Inilah jumlah wang pembayar cukai dan hasil kerajaan yang bakal digunakan oleh kerajaan untuk membiayai subsidi. Kedua, senario subsidi lapan jenis barangan keperluan asas sepanjang 2010 di mana kerajaan membelanjakan RM10.921. 


Namun, jika ditolak subsidi diesel dan petrol RON95 jumlah subsidi ialah RM3.311 bilion. Persoalannya, mampukah kerajaan secara berterusan membiayai subsidi dan memadaikah sumber kerajaan untuk membiayai subsidi tersebut. Jika nilai subsidi dibandingkan dengan pendapatan kerajaan kita yakin bahawa kerajaan mampu dan mempunyai sumber yang cukup untuk membiayai subsidi tersebut. Cuma yang menjadi tanda tanya berbaloikah wang sebanyak itu dibelanjakan sedangkan jumlah pengguna yang benar-benar memerlukan subsidi tersebut adalah secara relatifnya kecil. Juga, dengan jumlah wang sebanyak itu adalah lebih efisien digunakan untuk membina infrastruktur di luar bandar supaya taraf hidup masyarakatnya setanding dengan masyarakat bandar. Berdasarkan pengalaman negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat (USA), Jepun, United Kingdom (UK) dan Kanada, isu subsidi ini tidak pernah terpisah dari agenda politik dan sosio-ekonomi mereka. 


Malahan, semakin maju sesebuah negara semakin relevan isu subsidi khususnya dalam konteks untuk melindungi pengeluar, petani dan pengguna daripada ancaman limpahan kemasukan komoditi pertanian dari negara-negara membangun. Berdasarkan pengalaman di negara-negara tersebut tidak syak lagi subsidi adalah isu yang masih relevan dan perlu diteruskan di Malaysia. Namun, kerangka pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan perkembangan sosio-ekonomi semasa, khususnya dalam menentukan golongan manakah yang paling wajar dan layak menerima subsidi. Premis kepada isu ini ialah pemberian subsidi perlu diteruskan dengan beberapa ubah suai mengikut tuntutan semasa. Golongan yang paling terkesan akibat sebarang kenaikan barangan keperluan asas ialah golongan berpendapatan rendah. 


Ini bermakna satu mekanisme perlu dirangka supaya hanya mereka yang termasuk dalam kedua-dua kategori ini menerima nikmat secara langsung pemberian subsidi kerajaan yang datang dalam bentuk harga barangan keperluan asas, petrol, gas dan lain-lain. Mekanisme yang paling efisien dengan kos pentadbiran yang murah ialah melalui pemindahan pendapatan iaitu sama seperti COLA (kos elaun saraan hidup). Namun, ia perlu dipanjangkan liputannya kepada pesara awam dan swasta, pekerja sektor swasta dan golongan pekerja persendirian di bandar dan luar bandar. Mekanisme kedua iaitu dalam bentuk barangan seperti buku teks sekolah, institusi pengajian tinggi, komputer dan lain-lain barangan keperluan yang dianggap perlu bagi meningkatkan mutu hidup golongan sasar perlu diagihkan mengikut jenis pekerjaan serta pendapatan ketua isi rumah. Mengambil kira isu-isu yang dibincangkan, subsidi tidak wajar dinokhtahkan. 


Ini perlu diteruskan dengan beberapa pembaikan. Perlu ditentukan sistem penyampaiannya (delivery system), golongan sasar, jenis barangan atau perkhidmatan, institusi yang diamanahkan memikul tanggungjawab tersebut dan agensi penguat kuasa pemantau. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu disegerakan kerana ia mempunyai pelbagai faedah. Pertama, ia menjadi sumber pendapatan tetap kerajaan. Kedua, sukar berlaku sebarang penipuan dan salah guna GST. Ketiga, had penggunaan barangan dan cukai yang perlu dibayar bergantung keperluan dan kuatiti barangan yang dibeli oleh pengguna. Keempat, ia tidak memerlukan kos pentadbiran yang besar untuk memantau perjalanan sistem ini. Kelima, ini lebih mendekatkan Malaysia dengan negara-negara lain khususnya ASEAN yang telah lama melaksanakan sistem percukaian ini. Berdasarkan perbincangan di atas tidak syak lagi isu subsidi perlu disantuni dengan kaedah yang lebih berhemah, mempunyai nilai sosial dan menepati ciri-ciri kontemporari.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 JUN 2011

RENCANA : MEMAHAMI PERBEZAAN DEMI PERPADUAN

Oleh Teo Kok Seong



Tidak dapat dinafikan bahawa keutuhan perpaduan kaum di negara ini sudah banyak merosot. Daripada sikap yang mudah memperlihat tolak ansur pada satu ketika dulu, kini ia sudah meruncing kepada tahap saling mencurigai antara satu sama lain. Keadaan tidak sihat ini antaranya sudah menular kepada pemikiran bahawa kejayaan serta keuntungan yang diraih oleh sesuatu kaum itu, dianggap sebagai kegagalan dan kerugian yang ditanggung oleh kaum lain. Beberapa sebab boleh diajukan untuk menerangkan hubungan antara etnik yang bertambah buruk ini. Antaranya adalah pengasingan etnik yang berlaku dan digalakkan pula pada usia yang muda melalui sistem persekolahan pelbagai aliran. Kurangnya apresiasi terhadap kepelbagaian, sama ada etnik, budaya atau agama adalah sebab utama lain yang tidak kurang pentingnya. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan kaum tidak mungkin berjaya dicapai sepenuhnya melalui dominasi hanya sesuatu ideologi.

Ia sebetulnya amat memerlukan persefahaman menyaling, penghormatan ikhlas dan penghargaan jujur oleh satu kaum terhadap yang lain. Selain ini, ia juga sangat bergantung kepada kewujudan beberapa institusi yang kukuh, misalnya keluarga dan agama yang didukung setiap kaum. Sebaliknya, ekstremisme etnik dan fanatisisme agama selain tiadanya toleransi budaya, bukan saja boleh membawa mudarat besar kepada usaha penyatupaduan kaum di negara ini. Tetapi ia juga boleh meranapkan hubungan etnik yang terbina sehingga ini. Untuk mengatasi masalah perpaduan kaum yang meruncing ini, kita perlu antaranya mempertingkat pemahaman kita mengenai budaya kaum lain, khususnya dari perspektif pandangan mengenai kehidupan oleh sesuatu kaum itu. Pendekatan begini adalah baik kerana menerusi perspektif pandangan ini, kita sebetulnya dapat mengetahui cara sesuatu kaum itu memahami pelbagai peristiwa duniawi, khususnya mengenai kehidupan.

Dengan ini, falsafah dan konsep kehidupan yang dipegang oleh sesuatu kaum itu dapat kita fahami dengan lebih baik.  Pengetahuan antara budaya ini, yakni usaha mengenali cara hidup mereka yang berasal daripada latar, pegangan dan pemahaman yang berbeza daripada kita, adalah prasyarat untuk interaksi antara satu sama lain yang berkesan dalam masyarakat majmuk. Dengan adanya pengetahuan sebegini, selain mendedahkan teori, prinsip dan dinamika pelbagai budaya, ia juga boleh mempermudah kita daripada pelbagai kaum ini untuk bergaul antara satu sama lain dengan lebih selesa, selain bermakna lagi. Dengan pengetahuan ini, banyak masalah pemahaman mengenai kaum lain boleh diatasi. Ini antaranya dapat dilakukan melalui dorongan, pengetahuan dan apresiasi kita terhadap kepelbagaian budaya dalam negara ini. Sesungguhnya budaya mempunyai impak besar dalam kehidupan manusia.

Oleh itu, ia mempunyai pengaruh kuat terhadap kepercayaan, nilai dan pandangan kita mengenai kehidupan. Pengaruh budaya ini, sama ada terhadap budaya sendiri atau terhadap budaya kaum lain didapati sentiasa terpancar pada pertuturan dan tingkah laku.  Semoga dengan mengetahui budaya kaum lain, rakyat Malaysia akan lebih senang lagi menerima cara hidup kaum lain sebagai keunikan, seperti yang disarankan dalam Gagasan 1Malaysia. Penerimaan ini diharapkan akan membawa kepada filsafat yang cuba disampaikan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’, iaitu kita akan lebih mudah menerima sesuatu itu selepas kita mula mengenalinya. Dalam nada lebih serius, sebetulnya dengan mengetahui budaya kaum lain, banyak buruk sangka, konsep yang salah, stereotaip, sikap perkauman, etnosentrisme dan kejutan budaya dapat diatasi. Ini antara lain adalah kerana kita lebih memahami cara hidup kaum lain melalui pengetahuan antara budaya yang diperoleh itu.

Sesungguhnya dengan adanya pengetahuan antara budaya ini, interaksi kita khususnya dengan kaum lain, bukan saja akan menjadi lebih mudah, tetapi yang penting lagi ialah ia akan menjadi lebih ikhlas. Dengan mengenali budaya kaum lain dengan lebih dekat, kita sebetulnya menemui lebih banyak persamaan daripada perbezaan antara kita.  Sehubungan ini, kesan pengetahuan mengenai budaya, iaitu terhadap semua unsur penting dalamnya adalah besar sekali. Budaya mempunyai pengaruh kuat ke atas kepercayaan, nilai dan pandangan kita terhadap kehidupan. Pengaruh kuat ini sebetulnya dapat dilihat pada tingkah laku dan pertuturan kita yang didapati akan kurang atau tidak lagi bersifat prasangka dan perkauman terhadap kaum lain selepas kita mengenali budaya kaum lain. Untuk perpaduan kaum benar-benar wujudnya di Malaysia, kita perlu memahami satu sama lain. Ini hanya dapat dilakukan dengan mengenali budaya kaum lain.

Inilah satu-satunya cara untuk berfungsi dengan baik dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Sehubungan ini, dalam konteks kebudayaan kebangsaan, pengetahuan antara budaya ini perlu mengambil kira budaya Melayu sebagai budaya dominan. Oleh itu, ia perlu dijadikan rujukan utama ketika rakyat Malaysia mengenali pelbagai budaya lain yang merupakan budaya bersama dalam kebudayaan kebangsaan.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM

SUMBER :
BERITA HARIAN
22 JUN 2011