Beberapa hari lagi, warf ekspres Sibu ke
Kapit, Sibu Ke Song, Song Ke Kapit, Song Ke Sibu, dan Kapit ke Sibu akan
dibanjiri oleh lautan manusia yang mahu pulang ke rumah panjang bagi meraikan
sambutan Hari Gawai Dayak bersama keluarga. Umum mengetahui bahawa hampir 85%
masyarakat yang mendiami Bahagian Kapit merupakan kaum Iban dan masyarakat
dayak yang lain seperti kayan, kenyah, dan orang ulu. Oleh itu, jika mahu
merasai kemeriahan Hari Gawai Dayak, datanglah berkunjung ke Kapit pada bulan 1
Jun setiap tahun. Sambutan Hari Gawai Dayak memang meriah dan penuh tradisi
kerana orang Iban terutamanya masih kuat berpegang kepada warisan turun temurun
nenek moyang mereka. Mereka tetap mengadakan upacara Miring, Nimang, Sandau
Ari, dan sebagainya pada Hari Gawai. Keadaan di Warf Ekspres Sibu, Song, dan
Kapit akan menjadi sesak kerana pengangkutan air merupakan pengangkutan utama
yang digunakan untuk balik meraikan Hari Gawai. Pada tahun 2017, senario ini
pasti masih lagi berlaku. Berkemungkinan pada tahun 2018, mereka boleh memandu
kereta sendiri untuk balik menyambut Hari Gawai Dayak. Mereka amat mengharapkan
pihak berwajib menyengerakan pembinaan jalan raya dari Sibu terus ke Kapit
dengan segera agar mimpi ngeri balik bergawai berhimpit-himpit dalam ekspres
yang sesak dan terpaksa berpanas dan berhujan duduk di atas bumbung ekspres
tidak akan muncul lagi dalam lena yang panjang.
Belia di Bahagian Kapit terutamanya belia
kaum Iban kebanyakannya mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain bagi
mendapatkan peluang pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana jika mereka
tinggal di rumah panjang, mereka tidak boleh meningkatkan taraf hidup kerana
tiada peluang pekerjaan disediakan. Oleh itu, mereka sanggup meninggalkan
keluarga dan ibu bapa yang sudah tua serta tidak berdaya untuk mendapatkan
peluang pekerjaan di Semenanjung Malaysia atau di bandar-bandar di Sabah dan
Sarawak malahan di Singapura, Indonesia dan pelbagai negara di seluruh dunia.
Bagi yang bekerja di sektor awam mahupun sektor swasta pula, mereka banyak
membeli rumah di bandar kerana rumah merupakan keperluan asas yang wajib
dibeli. Mereka tinggal di bandar selama bertahun-tahun hingga bersara. Mereka
cuma balik ke kampung sekali sekala, itupun jika ada perkara penting. Untuk
balik bukannya mudah, mereka perlu menaiki ekspres ke Kapit atau Song.
Perjalanan akan disambung dengan bot panjang yang mengambil masa 1 hingga 8 jam
perjalanan. Namun begitu, walau sesukar manapun perjalanan, pada akhir bulan
Mei, sebaik sahaja Cuti Penggal Persekolahan tamat semua akan pakat-pakat balik
ke rumah panjang walaupun terpaksa berhimpit-himpit dan berasak-asak serta
lemas dalam kesesakan lautan manusia.
KAMI MESTI BALIK GAWAI
Tradisi balik kampung untuk menyambut Hari
Gawai Dayak ini samalah dengan tradisi balik beraya bagi orang yang beragama
Islam. Bagi orang Iban pula, balik ke kampung semasa Hari Gawai amat besar
maknanya kerana disitulah mereka dilahirkan dan membesar. Kehidupan di rumah
panjang amat tebal dengan ikatan persaudaraan. Hubungan dalam kalangan penduduk
rumah panjang amat rapat ibarat cubit paha kanan paha kiri pasti terasa. Orang
rumah panjang amat menghormati antara satu sama lain. Jika seorang dapat ikan,
walaupun sesekor, semua orang akan menikmati ikan tersebut walaupun hanya
merana secubit isi ikan itu sahaja. Ikatan kasih sayang antara penduduk amat
kuat. Semua orang merindui kehadiran kita dan mengalu-alukan kedatangan kita.
Semua orang menyambut kedatangan kita dengan mesra. Situasi ini berlangsung
dengan amat indah dan ikhlas. Walaupun terpaksa melupakan seketika telefon,
gajet, ASTRO yang mendarahdaging bagi mereka yang hidup di bandar, apabila
datang ke rumah panjang masa 24 jam itu terisi dengan pelbagai aktiviti. Kita
boleh duduk bersembang dengan kawan-kawan dari pagi hingga ke malam sambil
minum ‘air tuak’. Kita usik mengusik antara satu sama lain dalam suasana yang
amat ceria dan indah. Kerinduan terhadap keluarga, sanak saudara, dan
rakan-rakan terubat. Apatah lagi jika yang balik itu, sudah bertahun-tahun
menghilang dari radar kerana tidak dapat di kesan. Tiba-tiba muncul dengan anak
dan isteri. Kedatangan mereka pasti disambut dengan tangisan kemeriahan oleh
seluruh penduduk rumah panjang itu.
CERITA TIKET EKSPRES TAK HABIS-HABIS
Masalah ini menghantui masyarakat yang
mahu pulang menyambut Hari Gawai Dayak ke Song dan Kapit pada setiap tahun
tetapi jalan penyelesaiannya langsung tiada. Bilangan ekspres yang diperlukan
tidak ditambah kerana keghairahan untuk mengaut keuntungan yang berganda. Sejak
kebelakangan ini, tiket itu sudah dibeli oleh sekumpulan orang dan menjualnya
balik kepada yang memerlukan dengan harga yang mahal. Perkara yang lebih
mengharukan apabila satu tempat duduk dijual kepada 3 orang menyebabkan
wujudnya pergaduhan dan perselisihan dalam kalangan pembeli. Sepatutnya, pada
musim-musim begini ekspres ke Song dan ekspres ke Kapit dijarakkan lokasinya.
Bilangan ekspres harus ditambah kerana orang yang balik gawai ini membawa
pelbagai barangan untuk keluarga di kampung. Jika bilangan ekspres tidak
ditambah, kekerapan perjalanan ekspres boleh diubah, sebuah ekspres mungkin
terpaksa mengambil penumpang 3 kali sehari. Harga tiket harus kekal dan tidak
boleh ada orang tengah yang menjual tiket tersebut. Kita faham, pengusaha
mungkin sukar untuk memenuhi tuntutan ini tetapi pemintaan yang tinggi
menjanjikan pendapatan yang berlebihan buat pengusaha. Pendapatan yang
berlebihan ini haruslah setimpal dengan keselesaan penumpang. Bayangkan jika
orang tua, yang membayar harga tambang yang sama tetapi terpaksa berdiri dalam
ekspres selama 3 jam (Ke song) dan mungkin 4 jam ke Kapit. Kuasa monopoli yang
dimiliki bukan semestinya kita harus menganiayai penumpang yang terdesak tetapi
bertimbang rasa lebih utama agar rezeki lebih berkat untuk kita.
RIMAS DAN LEMAS DALAM KESESAKAN
Bermula pada 25 Mei hingga 31 Mei, keadaan
warf di Sibu akan dipenuhi oleh lautan manusia yang pelbagai wajah dan rupa.
Kesesakan ini akan menjadi tidak terkawal apabila mereka yang ingin balik gawai
ini berebut-rebut untuk membeli tiket ekspres. Jika dilihat, pengurusan agak
kelam kabut dan tidak sistematik. Oleh sebab itu, tempat berkumpul mereka yang
pergi ke Song dan ke Kapit harus dijarakkan supaya keadaan lebih teratur dan
tersusun. Dalam kekalutan ini mungkin ada yang mengambil kesempatan sehingga
berlaku kes seperti tersalah ambil barang orang lain atau barang yang
diletakkan atau dibawa hilang tanpa dapat dikesan. Penyeluk saku mingkin
menjadikan peluang ini sebagai lubuk emas untuk meraih pendapatan. Kita tidak
boleh kawal suara manusia yang sibuk bercerita dengan kawan lama yang
bertahun-tahun tidak bersua muka tetapi kita boleh mengawal situasi itu dengan
mengubah waktu perjalanan ekspress, menyediakan tempat duduk (seperti di
lapangan terbang) dan menasihati supaya pembeli tiket berbaris. Walaupun sukar
tetapi jika bilangan pegawai yang bertugas ditambah, semua yang susah akan jadi
mudah. Situasi ini berlaku pada setiap tahun tetapi kita tidak nampak perubahan
yang dilakukan untuk mengubah situasi ini untuk menjadi lebih sistematik.
Semuanya berlaku begitu sejak bertahun-tahun lamanya.
JALAN RAYA OH JALAN RAYA
Selepas puluhan tahun menunggu, akhirnya
jalan raya dari Sibu ke Song dan Song ke Kapit akan menjadi kenyataan
sepenuhnya pada tahun 2018. Kisah tiket ekspres dan warf sesak ini mungkin
menjadi sejarah manis untuk disimpan dalam lipatan memori masyarakat yang
tinggal di Bahagian Kapit. Pada masa itu, warf ekspres di Sibu, Song, dan Kapit
mungkin hanya menjadi tugu kenangan yang menjadi singahsana pemancing ikan pada
setiap petang. Kita amat berharap jalan raya ini akan dibina dengan sempurna
bagi memudahkan penduduk di Kapit dan sekitarnya. Kita percaya dengan adanya
kemudahan ini kegiatan ekonomi penduduk di Bahagian Kapit akan bertambah baik
kerana pasaran hasil-hasil tanaman mereka mungkin lebih meluas. Masyarakat dari
bahagian lain yang ingin bercuti ke Kapit untuk membeli ikan Semah, Empurau,
dan Tengadak pun boleh berbuat demikian tanpa perlu melalui jalan air.
Keindahan alam semulajadi di Bahagian Kapit boleh dimajukan sebagai kawasan
pelancongan kerana banyak air terjun yang indah di Kapit. Mereka yang berjaja
boleh membuka gerai di tepi jalan raya bagi meraih pendapatan berganda. Yang
paling penting, bumi Kapit mungkin boleh dibangunkan dengan tanaman kelapa
sawit oleh pihak berkenaan. Saya yakin, dengan adanya jalan raya itu nanti,
kemungkinan penghijrahan golongan belia ke bandar dapat dikurangkan kerana
banyak aktiviti ekonomi yang boleh dimajukan andai mereka kreatif dan inovatif
serta tidak tamak dengan peluang yang ada ini.
K = Kapit
A = Alami
P = Pembangunan
I =
Industrialisasi
T = Terhebat
Cetusan idea pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya