Rencana ini ditulis
oleh:
TAN SRI LEE LAM THYE
Aktivis sosial.
Berada di jalan raya
setiap hari membuatkan saya tertanya-tanya mengapa begitu ramai penunggang
motosikal yang sanggup memperjudikan nyawa dan anggota badan serta pertaruh nyawa
dengan kematian semata-mata tidak menghiraukan lampu isyarat ketika melintas di
persimpangan jalan. Ia bukan hanya penunggang motosikal individu malah
melibatkan pasangan yang berumur dan kadang kala bersama anak-anak kecil yang
terselit di tengah-tengah. Saya sering terfikir sama ada mereka ini menghargai
nyawa mereka dan anak-anak. Apa yang telah saya nyatakan adalah fakta
berlakunya pada setiap hari. Berdasarkan oleh pemantauan saya, lebih daripada
50 peratus penunggang motosikal kita melanggar peraturan lampu isyarat ketika
di persimpangan trafik. Mengapakah mereka bersikap acuh tidak acuh dan tidak
hormat pada undang-undang?
Saya masih ingat pada
satu kes, seorang penunggang motosikal wanita menunggang tanpa memakai topi
keledar. Sewaktu ditahan oleh seorang anggota polis, wanita tersebut
memanggilnya bodoh. Mereka menunjukkan sikap tidak peduli pada undang-undang
dan ia juga mencerminkan sikap negatif di kalangan penunggang motosikal ini
terhadap keselamatan mereka sendiri. Walaupun ada yang memakai topi keledar,
tetapi jika dilihat dengan teliti mereka tidak memakainya dengan cara yang
betul. Ia sama seperti tidak memakai topi keledar. Mereka beranggapan bahawa
peraturan trafik boleh dilanggar dan diabaikan kerana peluang untuk mereka
ditangkap adalah nipis.
Bagi mereka ia tidak
perlu untuk berhenti ketika lampu isyarat merah apabila ketiadaan trafik. Atau
adakah orang awam merasakan bahawa pihak berkuasa tidak memandang serius
terhadap penguatkuasaan peraturan trafik. Contohnya, mereka boleh melihat
bahawa ada yang meletakkan kenderaan di kawasan larangan letak kereta tetapi
tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pesalah ini. Jika terdapat
pegawai penguatkuasaan diletakkan di persimpangan trafik, sudah pasti ramai
yang di tangkap. Tetapi ini bukanlah perkara yang hendak ditekankan. Persoalannya
kenapa begitu ramai penunggang motosikal tidak menunjukkan sikap hormat
terhadap undang-undang dan peraturan sehingga ditahap membahayakan nyawa
sendiri dan orang yang tersayang.
Saya juga mendapati
bahawa sudah muncul satu trend di mana anak-anak muda terlibat dalam jenayah
dan gejala-gejala sosial. Nilai-nilai murni sudah tiada untuk menentukan
perlakuan mereka dan sikap hormat pada undang-undang serta arahan sudah tiada.
Ada antaranya juga tidak menunjukkan sikap hormat kepada ibu bapa mereka
sendiri. Remaja yang berusia seawal 15 tahun melibatkan diri dalam lagak ngeri
mat rempit seolah-olah untuk mengejek dan mencabar pihak polis di jalan raya.
Kejadian mat rempit yang melarikan diri daripada sekatan-jalan serta
mencederakan anggota polis semakin meningkat. Di sebalik isu tidak menghormati
peraturan, ia juga menunjukkan kemerosotan nilai-nilai murni seperti ihsan,
kesopanan, kesabaran, merendah diri dan toleransi seperti yang diperlihatkan
bagaimana rakyat Malaysia membawa diri mereka di khalayak ramai.
Sindrom negatif
seperti yang digambarkan dalam masalah aktiviti pembuli jalan, pembuli sekolah,
menggunakan kekerasan, memaparkan kekasaran dan pembuangan sampah di tempat
awam telah terbukti menunjukkan dengan jelas bahawa kempen budi bahasa yang
dilakukan masih belum mencukupi. Isu berkaitan tidak menunjukkan sikap hormat
pada undang-undang perlu diberi perhatian dan kita perlu mengenal pasti
puncanya sebelum ia bertambah teruk. Adakah usaha pihak sekolah dan ibu bapa
sudah mencukupi bagi memupuk sikap menghormati undang-undang di kalangan
generasi muda? Adakah benar terdapat begitu banyak tekanan negatif di kalangan
rakan sebaya yang telah membawa kepada keadaan yang tidak diingini seperti itu?
Persoalan-persoalan ini adalah relevan dan tidak boleh diabaikan oleh semua
yang terlibat dalam pendidikan anak-anak kita yang akan menjadi aset negara
kita pada masa hadapan.
Sumber :
Utusan Malaysia
15 Ogos 2012