JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Januari 2012

ISU IPT : PILIH BELAJAR ATAU BERHIMPUN?

Oleh NURUL ANUAR KARI


Sebelum ini, ramai rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gusar dengan usaha pihak tertentu menganjurkan perhimpunan haram jalanan pada 9 Januari 2012 yang dinamakan Kempen Bebaskan Anwar 901. Beratus-ratus laporan polis dibuat bagi menentang kempen tersebut yang dilihat tidak mahu menerima keputusan mahkamah jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabit kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang telah bertahun-tahun tertangguh. Usaha mengheret rakyat dalam menentang keputusan mahkamah yang belum lagi ditetapkan itu memberi tekanan besar kepada pihak berkuasa dan penghuni sekitar Kuala Lumpur yang sudah serik dengan gangguan terhadap urusan harian demi kepentingan individu atau kumpulan tertentu sahaja. Lebih membimbangkan, jika kempen tersebut menarik penyertaan belia terutamanya pelajar universiti sehingga menyebabkan mereka meninggalkan pelajaran dan peperiksaan demi sebuah program yang tidak mampu mengubah apa-apa keputusan mahkamah.

Ketika situasi semakin hangat menghampiri tarikh tersebut, laporan terkini menunjukkan pihak polis akhirnya bersetuju memberi kebenaran penganjur meneruskan Kempen Bebaskan Anwar 901 di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Pihak penganjur dikenakan syarat memastikan perhimpunan itu diadakan dengan aman dan teratur mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan di Parlimen, baru-baru ini. Kebenaran pihak berkuasa itu bermakna ia bukan lagi sebuah perhimpunan haram dan mungkin membuka kepada penyertaan lebih ramai pihak terutamanya belia di universiti seluruh negara. Bagi Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin, tarikh kempen yang diadakan pada minggu peperiksaan dan aktiviti utama universiti mungkin akan menghalang penyertaan pelajar UTHM. "Kami sedang menjalankan peperiksaan ketika ini dan mungkin tiada pelajar yang turut serta dalam kempen di Kuala Lumpur itu. "Selain itu, kami turut menetapkan Isnin ini sebagai hari untuk mengagihkan baucar buku yang disediakan kerajaan dan saya harap kesemua 10,000 pelajar UTHM hadir mengambilnya," katanya.

Tegasnya, para pelajar universiti tersebut tidak sewajarnya ke sana memandangkan perlu menduduki peperiksaan serta menyertai beberapa program penting dan membiarkan mahkamah sahaja membuat keputusan dalam kes tersebut. Jelasnya, pihak universiti tetap akan memantau situasi pada hari tersebut mengikut peraturan sedia ada termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi melihat jika ada tindakan yang ditakrif sebagai 'haram' atau melanggar peraturan. "Saya tidak boleh komen berkenaan polis memberi permit dan menjadikan kempen itu tidak haram lagi. "Tapi, sewaktu belajar ini, pelajar sebaiknya tumpu kepada pelajaran daripada berdemonstrasi sehingga boleh menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran dan peperiksaan," tegasnya. Katanya lagi, tiada guna menyertai apa jua aktiviti jika pelajar gagal dalam pelajaran dan peperiksaan, termasuklah bagi pelajar politik yang menyertai aktiviti politik. "Subjek-subjek di UTHM berat dan memerlukan latihan bertubi dan tumpuan penuh pelajar. Meninggalkan kuliah dan terlibat dengan demonstrasi tersebut juga tidak akan membawa perubahan. "Untuk mengajak orang ramai itu lainlah, tapi saya tidak nampak objektif mengajak pelajar turut serta kerana aktiviti sedemikian tidak sesuai," ujarnya.

Beliau juga menganggap mereka yang menyeru penyertaan pelajar dalam demonstrasi sedemikian menunjukkan sifat tidak mementingkan pendidikan generasi akan datang. Mohd. Noh turut mencadangkan kerajaan membina lebih banyak universiti di luar Kuala Lumpur agar mahasiswa dapat belajar dengan tenang dan kurang diganggu dengan program seumpama kempen tersebut. "Tindakan kerajaan membina universiti di Johor dan Pahang adalah tepat kerana pelajar senang untuk belajar dan kurang diganggu pihak luar. "Saya sedih melihat pelajar di Kuala Lumpur yang terpaksa menghadapi situasi sedemikian dan mungkin lebih mudah terpengaruh dengan aktiviti yang akan menyebabkan mereka meninggalkan bilik kuliah," katanya. Beliau menegaskan, UTHM akan terus memantau perkembangan kempen tersebut tetapi akan menyekat semua kenderaan milik universiti daripada ke kawasan berhampiran perhimpunan itu diadakan. "Kita tidak mahu kenderaan UTHM termasuk bas universiti terbatas pergerakan di kawasan perhimpunan itu diadakan (akibat sekatan jalan raya). "Saya juga takut ada pula orang akan kaitkan nama universiti ini dan pelajarnya dengan program tersebut kelak," jelasnya.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin juga berkongsi nada serupa dengan menegaskan pelajar sedang sibuk menghadapi minggu peperiksaan dan mungkin tidak menyertai kempen tersebut. "Saya fikir pelajar UIAM tidak akan hadir ke perhimpunan tersebut kerana semuanya tengah panas menghadapi minggu peperiksaan berturut-turut setiap hari. "Sedangkan kejadian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak sebelum ini juga tiada penglibatan pelajar UIAM walaupun ketika itu belum minggu peperiksaan, apatah lagi minggu peperiksaan yang padat ketika ini," jelasnya. Beliau berpendapat pelajar di UIAM masih waras dan akan mendahulukan peperiksaan mereka daripada menyertai kempen tersebut. Zaleha bagaimanapun tidak mahu memberi sebarang komen ketika ditanya kemungkinan tindakan jika ada pelajar universiti itu memilih untuk meninggalkan peperiksaan untuk menyertai perhimpunan tersebut kerana dikhuatiri disalah tafsir sebagai kenyataan politik.

Dengan penganjuran Kempen Bebaskan Anwar 901 serentak dengan minggu peperiksaan beberapa universiti utama seluruh negara, mungkin majoriti pelajar akan mengutamakan masa hadapan mereka daripada demonstrasi di luar bangunan Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Sungguhpun pihak berkuasa telah memberi kebenaran, itu bukannya lesen menghalalkan mana-mana individu meninggalkan tanggungjawab mereka sebagai pelajar mahupun sebagai kakitangan awam dan swasta, lebih-lebih lagi pada hari bekerja dan minggu peperiksaan. Apa yang diharapkan, tiada seorang pun daripada mahasiswa dan bakal graduan negara dari mana-mana universiti tersilap langkah dan sanggup meninggalkan kewajipan berjihad dalam pendidikan demi seorang individu, melaungkan bantahan yang tidak dapat membawa sebarang perubahan keputusan mahkamah. Keyakinan pengurusan tertinggi universiti juga menunjukkan mereka turut mempercayai para pelajar lebih matang berfikir dan rasional dalam memilih perjuangan jangka pendek dan jangka panjang. Sampai masa rakyat juga memberi kepercayaan serupa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JANUARI 2012

ISU IPT : HENTIKAN PROVOKASI POLITIK DI KAMPUS

Oleh MOHAMAD ABDULLAH
MOHAMAD ABDULLAH
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Melihat sekumpulan tidak sampai 30 orang pelajar yang cuba mengadakan demonstrasi kampus universiti dalam kesibukan siswa-siswi bergelut dengan peperiksaan, terasa betapa bahayanya apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk merosakkan ketenteraman pembelajaran anak-anak muda kita. Walau pun mesej yang dihantar oleh siswa-siswi yang sebahagian besarnya tidak menyokong malah marah dengan usaha pihak tertentu ini, adalah jelas seperti mana tergambar dalam banyak blog dan media sosial, namun perbuatan ini harus dibanteras segera apatah lagi jika ibu bapa prihatin terhadap masa depan anak-anaknya di kampus. Lebih bahaya apabila terdapat segelintir pihak luar yang sengaja menyelinap masuk dan mengapi-apikan perdebatan pelajar yang jika tidak dikawal boleh menimbulkan masalah berpanjangan. Apa pun alasan dan pandangannya, ini adalah satu perkembangan yang amat tidak sihat, yang boleh merosakkan nilai-nilai ilmu dan mengancam keharmonian kampus yang sewajarnya lestari dalam konteks budaya yang berteraskan akal budi, adab orang berilmu dan wacana-wacana yang membenarkan perbezaan pendapat tetapi dilakukan dalam tata cara yang amat berhemah.

Percubaan-percubaan provokasi dalam demonstrasi, secara sengaja mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan apa yang dilakukan dan menyalahkan orang lain seperti yang berlaku di beberapa kampus kebelakangan ini atas isu-isu yang boleh diselesaikan bersama dan sepatutnya belajar menghormati suara majoriti amat berbahaya dan mengocak ketenangan kampus. Apatah lagi tatkala siswa-siswi sedang bergelut dengan persediaan memasuki dewan peperiksaan.Siswa-siswi harus dididik menjadi lebih matang untuk terlibat dalam politik dan bukan hanya menggunakan jiwa muda yang bergelora dengan idealisme tentang kehidupannya dan persekitaran yang ingin dibentuknya lalu menimbulkan suasana tidak harmoni atas nama kebebasan yang secara sendirinya juga menggambarkan pelakunya tidak bebas kerana menurut telunjuk orang lain, bukan pun pandangannya sendiri. Dinilai dari sambutan majoriti siswa-siswi kampus yang enggan terlibat, ternyata mereka jauh lebih matang dari yang disangkakan kerana sebahagian besarnya tahu antara kaca dan permata. Malah bijak membezakan antara keperluan dan kepentingan akademik dengan kepentingan lain yang boleh ditangguhkan atau diketepikan jika ia tidak memenuhi tuntutan nilai orang berilmu.

Kenyataannya, sebahagian besar siswa-siswi adalah rasional dalam pemikiran dan tindakan. Namun dalam era kemajuan teknologi termasuk teknologi maklumat, penguasaan ilmu dan proses kematangan kerap kali berkait rapat, tetapi boleh juga menimbulkan kecelaruan apabila sesetengah maklumat yang dihadam tidak berteraskan kepada fakta ilmu tetapi lebih kepada peribadi, emosi dan fakta-fakta yang tidak jelas termasuk melalui media sosial, maka sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses kematangan sesetengah anak muda termasuk siswa-siswi. Keadaan ini juga dimanipulasi oleh segelintir pihak yang mengambil kesempatan, malah apabila siswa-siswi yang berdebat hangat hilang kata-kata, suara provokasi yang menyelinap masuk terus mengapi-apikan supaya terus berdebat tanpa ada penyelesaian. Apabila nilai-nilai ilmu yang sangat menekankan kepada kepentingan masyarakat, alam dan dunia diketepikan, ia amat mengganggu kita. Suasana anti akademik ini boleh merosakkan apatah lagi jika emosi dibakar dan diheret pula ke medan lain. Jika ada pihak yang ingin terlibat sama dengan proses pengajian tinggi dan membantu untuk mengisi masa siswa-siswi dengan pendidikan bagi menjamin masa depannya termasuk membangunkan kerjaya dalam politik, buatlah dengan cara yang berhemah.

Hormatilah kampus universiti dan jangan sama sekali melakukan provokasi menggunakan nilai-nilai yang amat bertentangan dengan budaya dan nilai keilmuan yang ada. Bantulah siswa-siswi membangunkan masa depan mereka untuk menjadi pemimpin politik pada masa depan yang memahami erti kewujudan universiti memartabatkan ilmu, erti perjuangan negara bangsa dan menjaga kemashlahatan orang ramai. Justeru tidak wajar menjadikan keseluruhan kampus sebagai medan perdebatan politik, demonstrasi atau perkumpulan yang tidak boleh dinafikan yang ia dikawal dari luar oleh pihak-pihak tertentu. Malah mereka yang berminat itu pun harus melakukannya dengan penuh adab dan menghormati satu sama lain. Mereka perlu hargai kepelbagaian dan perbezaan pendapat dengan penuh harmoni sebagai proses pembelajaran agar dapat menjadi pemimpin yang terbuka, bersedia mendengar pendapat orang lain, ikhlas dan tahu matlamat perjuangan untuk pembangunan bangsa, agama dan tanah air serta mempunyai teras diri yang kuat dan jitu. Berada dalam kampus dan menjalani kehidupan harian bersama anak-anak muda ini, jelas menunjukkan sebahagian besar mereka amat matang dalam tindakan kerana itu mereka marah dengan tindakan provokasi yang ada, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana menghormati dan bimbang menimbulkan masalah kepada diri dan universiti.

Jangan perlekehkan kematangan dan pemikiran siswa-siswi dan memandang rendah kemampuan anak-anak muda kerana sebahagian besarnya faham tujuan mereka berada di universiti dan ingin bersama-sama membudayakan ilmu untuk kepentingan masa depan negara dan dunia. Anak-anak muda di universiti memerlukan sokongan untuk menyiapkan diri dalam pembangunan ekonomi negara secara kreatif dan inovatif, malah berusaha keras untuk menjadi creator dan pembekal bukan lagi peminjam dan terus bergantung hidup kepada orang lain dengan melahirkan siswazah yang berupaya berfikir, berdikari dan sedia untuk bekerja di mana-mana tempat di seluruh pelosok dunia. Apa yang terjadi sekarang ini mengganggu apatah lagi tatkala siswa-siswi sedang berhadapan dengan peperiksaan dan mempunyai agenda lain yang jauh lebih penting. Jangan heret anak-anak muda ini dalam kancah konflik dan krisis yang tidak perlu. Demonstrasi hanya jalan singkat dan mudah yang menguntungkan mereka yang bergembira di sebalik kemusnahan dalam kekalutan pelbagai pihak untuk menanganinya dalam mengekalkan kesejahteraan kampus mahu pun negara seluruhnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JANUARI 2012

ISU UMUM : DINASTI PENYATU NEGARA KOMUNIS

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Apabila  disebut dinasti, ia merujuk kepada mereka yang mempunyai pertalian darah yang memerintah sesebuah negara secara turun-temurun. Pada zaman moden ini tidak banyak pemerintah daripada keluarga sama dapat kekal mentadbir berikutan perubahan pemikiran rakyat yang mahukan sistem pemerintahan lebih demokratik dengan pemimpin dipilih menerusi proses pilihan raya. Dinasti yang tidak mahu beralah seperti di Libya, Tunisia dan Mesir terpaksa menghadapi kebangkitan rakyat yang akhirnya menyaksikan keluarga berkenaan ditumbangkan secara kekerasan. Bagaimanapun, ada juga dinasti yang masih kekal berkuasa seperti di Korea Utara dan Cuba.

CUBA : Fidel Castro

Fidel Alejandro Castro Ruz, 86, yang dilahirkan pada 1926 telah memerintah Cuba hampir 50 tahun selepas berjaya menggulingkan Presiden yang disokong AS, Fulgencio Batista dalam Gerakan 26 Julai 1959. Kejayaan itu adalah hasil bantuan adiknya, Raul Castro dan pejuang revolusi Argentina berfahaman Marxis, Ernesto Che Guevara. Sebagai pemimpin utama Revolusi Cuba, Fidel yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Havana menjadi Perdana Menteri negara itu dari 1959 hingga 1976 dan Presiden sehingga 18 Februari 2008. Beliau yang berketurunan Sepanyol daripada sebelah bapa dan Cuba di sebelah ibu mengumumkan persaraannya setelah menghadapi masalah usus yang akut dengan pendarahan berterusan. Bagaimanapun, Fidel masih kekal dengan jawatan ‘Panglima Revolusi Cuba’ yang bertaraf penasihat kerajaan. Ketika pemerintahannya, Fidel mengubah Cuba menjadi negara komunis dengan memperkenalkan reformasi tanah, aktiviti pertanian kolektif, memiliki negara industri Cuba dan menyediakan kemudahan kesihatan serta pendidikan percuma kepada rakyat. Beliau yang berperwatakan antiimperialis menganggap dirinya pengikut nilai-nilai Kristian berkaitan keadilan sosial tetapi bukanlah penganut agama itu.

Raul Castro

Raul Modesto Castro Ruz, 80, dilahirkan pada 1931 ialah adik kepada Fidel Castro. Beliau mengambil alih semua jawatan utama negara setelah abangnya mengambil keputusan untuk bersara. Raul yang berfahaman ateis dilantik secara rasmi sebagai Presiden Cuba pada 24 Februari 2008. Beliau yang terpengaruh dengan pembaharuan ekonomi di China telah bertindak menghapuskan aktiviti pertanian kolektif dan menggalakkan pelaburan asing. Beliau juga memberikan lebih banyak autonomi kepada sektor swasta dan menghapuskan perintah melarang rakyat menggunakan telefon bimbit dan membeli pemain cakera padat digital (DVD), komputer dan ketuhar gelombang mikro. Berikutan usianya yang agak lanjut, timbul persoalan siapa yang akan menggantikannya dan ada penganalisis politik berpendapat selepas Raul, Cuba akan diperintah secara kolektif oleh pegawai kanan tentera. Terdapat juga penganalisis yang menjangkakan kekosongan jawatan itu akan diisi oleh anak lelaki tunggal Raul, Alejandro Castro EspĂ­n, 47 yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan perhubungan antarabangsa.


Korea Utara : Kim Il-sung

Beliau diingati oleh 24 juta rakyat Republik Rakyat Demokratik Korea kerana terlibat secara langsung mengetuai pasukan gerila bagi membebaskan negara itu daripada penaklukan Jepun. Il-sung ialah pemimpin Korea Utara sejak penubuhan negara itu pada 1948. Beliau yang dilahirkan pada 1912 telah memegang jawatan Perdana Menteri dari 1948 ke 1972 dan jawatan Presiden dari 1972 hingga 1994. Beliau dilahirkan di Chonju dan mempunyai datuk sebelah ibu dan ayah yang taat menganut agama Kristian daripada mazhab Presbyterian. Il-sung yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja Korea memerintah secara autokratik dan mahu rakyat memujanya dengan gelaran ‘Pemimpin Yang Hebat’ ketika hidup dan selepas mati digelar ‘Presiden Abadi’. Pada 1950, beliau mengarahkan tentera menyerang Korea Selatan yang turut menyaksikan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan China. Perang tamat pada 1953 dengan dua juta tentera dan orang awam terbunuh. Beliau meninggal pada 8 Julai 1994 ketika berusia 82 tahun, akibat serangan sakit jantung.

Kim Jong-il

Beliau  yang dilahirkan dengan nama Yuri Irsenovich Kim pada 1942 ialah anak hasil perkahwinan bapanya dengan isteri pertama, Kim Jong-suk. Pemimpin Agung Korea Utara yang mula memerintah selepas kematian bapanya mendapat pendidikan di Universiti Kim Il-sung dan turut mengikuti pengajian bahasa Inggeris di Universiti Malta. Ketika pemerintahannya Korea Utara menghadapi banjir besar pada 1995 dan 1996, diikuti kemarau dahsyat selama beberapa tahun bermula 1997 yang menyebabkan lebih 900,000 orang mati. Beliau memperkenalkan dasar ‘Songun’ yang mengutamakan tentera dalam semua aspek termasuk ketika pengagihan bajet. Dia turut meniru pembaharuan ekonomi China dengan mewujudkan Taman Perindustrian Kaesong di kawasan sempadan pada 2003 dengan sasaran penyertaan 250 syarikat Korea Selatan. Jong-il dikritik oleh masyarakat antarabangsa kerana meneruskan program penghasilan senjata nuklear, menahan lebih 200,000 tahanan politik dan mengarahkan kapal selam negara itu menenggelamkan kapal perang Korea Selatan dengan tembakan torpedo yang menyebabkan 46 terbunuh pada Mac 2010. Jong-il yang mempunyai empat anak ialah individu yang bercita rasa mewah termasuk mempunyai bilik bawah tanah yang boleh menampung lebih 10,000 botol wain dari Perancis. Seperti ayahnya, beliau fobia untuk menaiki kapal terbang dan mempunyai perwatakan antisosial. Beliau meninggal dunia pada 17 Disember 2011 ketika berusia 69 tahun akibat serangan jantung ketika menaiki kereta api ke suatu tempat di luar Pyongyang.

Kim Jong-un

KIM Jong-un, 28, diisytiharkan sebagai Pemimpin Agung Korea Utara yang baru selepas pengebumian mayat bapanya. Beliau merupakan anak lelaki bongsu hasil perkahwinan Jong-il dan isterinya, Ko Young-hee. Di upacara peringatan Jong-il; Presiden Korea Utara, Kim Yong-nam mengisytiharkan Jong-un mewarisi fahaman, kepimpinan, keperibadian, nilai-nilai murni, kecekalan hati dan keberanian bapanya. Dalam Tentera Rakyat Korea, beliau berpangkat Daejang yang bersamaan dengan Jeneral. Jong-un belajar bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa di Bern, Switzerland. Beliau belajar pengajian sains komputer secara persendirian di Korea Utara dan memiliki dua ijazah termasuk satu dalam bidang fizik dari Universiti Kim Il-sung dan Akademi Tentera Kim Il-sung. Jong-un ialah seorang pemalu dan sering mengelak untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Beliau juga peminat sukan bola keranjang dan menjadikan Michael Jordan sebagai idola.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JANUARI 2012