Bantuan dan Insentif
Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M)
134. Sesungguhnya,
Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran
negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak
akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan
orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa
sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan
syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak
akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan ini
tidak akan mengaburi mata rakyat.
135. Menyedari
hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi
dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi
pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun
memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan
diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul
memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia
akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat
menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia.
Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut
berlaku.
136. Bersesuaian
dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, Kerajaan komited
bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran
negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh secara
mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana. Sukacita saya mengumumkan
pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama
iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.
Sebagai
tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan
kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi
2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah
sebanyak 250 ringgit.
137. Hakikatnya,
bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis
malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan
negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta
individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai
awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak
lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula
mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di
Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam
Negeri seluruh negara.
138. Gula yang
diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara
berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat
Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi
gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru
kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan
kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.
139. Saya ingin
menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen
satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278 juta ringgit. Malah
pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal
kesihatan.
140. Selanjutnya,
untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin
meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit
bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.
Penyeragaman Harga
141. Secara umumnya,
harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding di
Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih
tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah
memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga,
pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk
ini, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan
harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga
yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan
menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak
serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.
Sebagai contoh di
Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70.
Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya
dengan RM26.60 setong.
142. Sebagai
tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan
perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi
diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu,
diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan
komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.
Mempermudah Ibadah
Haji
143. Sekali lagi kita
memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah
mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5
ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak 1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat
ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah
tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa
bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan
dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad
kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai
Pendapatan Individu dan Koperasi
144. Kerajaan
prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai
pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan
cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini,
hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan
guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.
145. Dalam proses
peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada
sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai
pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan
bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini
akan mengeluarkan seramai 170 ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta
pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai
mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan
pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga
425 ringgit seorang.
146. Pada masa yang
sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, Kerajaan mencadangkan
kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata
peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta
ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan
keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.
Meringankan Beban
Pengusaha Bas Sekolah
147. Kerajaan
mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan
pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang
memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung
beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas
yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan
mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10
ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk
menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang
berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN
ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.
148. Keduanya,
penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan
kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah
berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan
perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium sebanyak 40
juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam Darat.
Mengurangkan Kos
Pembelajaran Pelajar
149. Kerajaan amat
prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada
keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus
kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per
kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks
dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion
ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.
150. Pada
pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan 100
ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan
beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali
lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar
sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan
bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta
ringgit.
151. Kerajaan akan
meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan
pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan
daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan peruntukan 325
juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.
152. Kerajaan juga
amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu
meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai
sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang
sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah
ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi
meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada
negara pada masa hadapan.
153. Bagi
menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di
sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga 3,000 ringgit bagi
Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada 6,000 ringgit.
154. Menurut hukum,
hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan,
bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak
pelajar masa depan. Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan
akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan
hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1
Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke
atas jumlah pinjaman mereka.
155. Manakala, bagi
mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober
2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan. Kita tahu Tuan Yang di-Pertua,
ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan.
Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika
dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN.
Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika
kita yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.
Program Jalur Lebar untuk
Rakyat Termiskin di Bandar
156. Kerajaan akan
menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam
bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan
kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan
meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan
peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.
Menggalakkan Aktiviti
Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)
157. Kerajaan berharap
pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan Kerajaan dapat memainkan
peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui
Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility’. Bagi
menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan
dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:
Pertama: Felda akan
melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit
untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek
ini akan menelan belanja sebanyak 1.5 billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di
samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki
rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja
sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan
kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000
orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;
Kedua: Yayasan 1MDB
akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan
kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak,
Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan
daif; dan
Ketiga:
Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta ringgit
untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan,
sukan dan alam persekitaran.
158. Sebaik manapun
dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan
yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat
awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang
berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.
159. Kerajaan juga
ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan Kementerian
Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang
bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang
mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.
160. Makanya, sebagai
Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak
satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan
telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah
bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah
bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus
ini akan mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga
sempena musim awal persekolahan.