31 Oktober 2012

ISU ICT : E-BUKU MEMBEBASKAN RUANG RUMAH DARIPADA TIMBUNAN KERTAS-KERTAS


Rencana ini ditulis oleh
Zin Mahmud


Bukannya senang hidup sebagai seorang ulat buku. Sebenarnya mereka tidak memilih untuk menjadi seorang ulat buku. Ini semua takdir. Mereka telah dilahirkan sebagai ulat buku. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Tidak perlu kempen membaca. Mereka tidak perlukan itu semua. Kegilaan mereka terhadap buku datang dengan sendirinya, tanpa sebarang galakan, apatah lagi paksaan. Sedar-sedar mereka sudah menjadi ulat buku. Mungkin ada orang kagum terhadap mereka yang berminat membaca. Ulat buku sememangnya golongan minoriti. Tetapi sebenarnya banyak orang tidak suka pada ulat buku. Ini kerana gila buku adalah suatu penyakit.

Sebeanrnya penyakit ini dapat dikesan sejak dari awal lagi. Para ulat buku seringkali adalah golongan yang suka menyendiri. Tidak suka bersosial, lebih gemar menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgitnya demi buku. Maka para ibu bapa yang mempunyai ulat buku di kalangan anak-anak mereka pasti dapat mengesan penyakit ini dari awal, sejak di sekolah rendah. Ulat-ulat buku ini dengan sendirinya, tanpa disuruh akan gemar pergi ke perpustakaan sekolah. Mereka akan pinjam buku sebanyak mana dibenarkan, membacanya cepat-cepat dan mengembalikannya sepantas mungkin, supaya dapat meminjam buku lain pula. Sering kali ulat buku ini akan segera menjadi pustakawan sekolah supaya mereka dapat hidup dikelilingi buku. Di luar waktu sekolah, kedai buku sentiasa menjadi tumpuan mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berpenyakit gila buku ini, mereka akan mula menyedari kesan-kesan negatifnya. Ini kerana buku-buku yang dibaca oleh ulat-ulat itu seringkali bukannya buku pelajaran untuk peperiksaan dalam silibus nya. Maka ulat-ulat buku ini akan membaca apa saja yang diminatinya, seringkali berbeza daripada mata pelajaran di sekolahnya. Jika tidak dikawal, pencapaian pelajarannya akan terjejas kerana ulat-ulat buku ini banyak menghabiskan masa membaca buku-buku lain. Kesan negatif lain ialah banyaknya wang yang dihabiskan oleh kanak-kanak ulat buku ini untuk membeli buku. Mereka sanggup berlapar supaya wang belanja makan digunakan untuk membeli buku.

Maka dalam waktu singkat bilik dan rumahnya akan penuh dengan buku dan majalah yang pasti dirasakan menyempitkan dan semak bagi para ibu bapa mereka terutama yang hanya mampu memiliki rumah kecil. Selain itu, kesan negatif daripada ulat buku ialah sifatnya yang tidak suka bersosial dan bersukan hingga menjejaskan pembangunan dirinya dan kemahiran hubungan sesama insan. Tidak kiralah apa kerjaya yang diceburinya, penyakit gila buku ini akan berterusan hingga ke akhir hayat. Apabila mereka mula bekerja, dengan memiliki wang sendiri, maka banyak lagilah buku yang dibeli dan diperoleh dan seterusnya memenuhi ruang-ruang di rumahnya. Masalah ini akan menjadi rumit jika seorang lelaki ulat buku berkahwin dengan wanita yang tidak toleran dengan penyakit ini.

Sejak mula berkahwin hinggalah beranak cucu, leteran terhadap buku-buku yang terus bertambah menimbun dalam rumah akan menjadi suatu kebiasaan. Tetapi bagi ulat-ulat buku, mereka tidak akan menjawab balik terhadap leteran-leteran itu. Mereka hanya memekakkan telinga dan terus tenggelam dalam dunia pembacaannya. Bagi isteri-isteri ulat buku, penyakit suami mereka ini dirasakan menyempitkan hidupnya. Perebutan ruang dalam rumah pasti berlaku. Ini kerana buku-buku memakan banyak ruang yang berharga terutama dalam rumah teres dua tingkat dengan bilik terhad. Soal buku sememangnya sensitif bagi ulat buku. Jika dia mendapati bukunya diusik, apatah lagi dipindahkan ke tempat lain, maka berangnya tidak mengenal ahli keluarga. Buku adalah sebahagian daripada dirinya.

Tanda-tanda bahawa seseorang lelaki itu berpenyakit gila buku sepatutnya boleh disedari oleh seseorang perempuan sejak awal dia mula mengenal bakal suaminya. Pastinya lelaki ini akan membawa teman wanitanya ke tempat-tempat yang ada kedai buku. Kalau pergi ke kompleks membeli belah, pastinya dia akan memilih tempat yang ada kedai buku. Gaya hidup ini akan berterusan sepanjang hayatnya. Anak-anak ulat buku juga dari awal lagi sedar bahawa ke mana saja mereka berjalan, bapanya pasti membawa mereka ke kedai buku. Seringkali bapa mereka akan membeli lebih banyak buku daripada anak-anaknya.

Ada masanya apabila tidak tahan dengan protes isterinya, maka ulat buku ini akan menjalani hidup secara gerila. Mereka membeli buku secara gelap, sembunyi-sembunyi. Apabila membeli buku, ia akan disorokkannya dalam kereta. Setelah keluarganya tidur, barulah dia keluarkan buku daripada keretanya. Setelah berbulan-bulan berlalu, tiba-tiba tanpa disedari isterinya, rumah menjadi sempit kerana penuh buku. Tetapi sejak tahun-tahun kebelakangan ini, teknologi maklumat telah membawa harapan baru kepada keluarga ulat buku. Ulat-ulat buku tidak perlu lagi bimbang dileter atau dimarah isterinya kerana menyempitkan ruang rumah akibat terlalu banyak buku. Kemunculan e-buku akan meringankan beban ulat-ulat buku daripada kemarahan keluarganya. Ini kerana e-buku tidak lagi memakan banyak ruang. Zaman ulat e-buku sudah tiba.

Sumber
Utusan Malaysia
30 Oktober 2012

30 Oktober 2012

ISU SOSIAL : RAKYAT MALAYSIA MUDAH DITIPU


Rencana ini ditulis oleh
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia


Saban hari ada sahaja kisah rakyat kita ditipu. Penipuan ini terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan. Seolah-olah rakyat kita begitu mudah untuk ditipu. Tidak kiralah sama ada ditipu oleh warganegara Malaysia sendiri mahupun warga asing. Kisah seperti ditipu oleh pemaju hartanah sering kali kedengaran. Rumah-rumah yang dijanjikan tidak siap sepenuhnya. Jadilah projek perumahan tersebut sebagai projek gajah putih. Terbengkalai begitu sahaja. Yang rugi, pembeli yang terpaksa membayar hutang bank manakala, pemaju-pemaju hartanah projek terbengkalai tidak langsung dikenakan tindakan. Mereka ini masih hidup bersenang lenang.

Bahkan ada di antara mereka boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. Tidak ada langsung rasa bersalah terhadap pembeli-pembeli projek perumahan mereka. Itu bab ditipu oleh pemaju hartanah. Ditipu oleh skim cepat kaya usah cakaplah. Sejak skim cepat kaya Pak Man Telo diketahui ramai, tidak ada tanda-tanda rakyat Malaysia mengambil iktibar ke atasnya. Masih ramai yang ditipu menggunakan modus operandi skim cepat kaya. Amat menghairankan kerana rakyat Malaysia sekarang ini ramai yang berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah kedoktoran. Tetapi semakin tinggi pelajaran, semakin mudah pula ditipu. Terbaru, skim cepat kaya yang menggunakan modus operandi emas sebagai umpan.

Ramai yang terjebak dengan skim cepat kaya ini. Kasihan juga kepada mereka yang terlibat kerana tindakan segera telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Menyesal sudah tiada gunanya. Sememangnya, emas semakin digilai oleh rakyat Malaysia. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui selok belok dalam pelaburan emas, yang akhirnya kesempatan ini diambil oleh segelintir golongan untuk menipu pelabur. Emas akhirnya melemaskan rakyat Malaysia. Hak pengguna tidak dilindungi. Pembeli rumah mahupun pelabur emas mengalami kerugian besar. Di manakah penguat kuasa undang-undang? Kita masih tidak belajar sebagaimana negara jiran kita yang amat serius menguatkuasakan undang-undang. Inilah kelemahan utama negara kita. Dasar dan polisi sungguh hebat di atas kertas, tetapi apabila dilaksanakan atau dikuatkuasakan, ia hanya indah khabar daripada rupa.

Dek kerana mudah ditipu dan kurang penguatkuasaan, ada juga rakyat Malaysia terutamanya yang terlalu tamak mengejar gaji lumayan tertipu dengan umpan gaji lumayan oleh orang yang tidak diketahui latar belakangnya. Sampaikan ramai yang sanggup menghadiri temuduga di bilik hotel. Bukannya gaji lumayan yang diperoleh, sebaliknya dirogol dan dirompak pula. Ada pula yang ditipu menjadi keldai dadah. Bagaimana mudahnya wanita Malaysia terpedaya dengan cara penipuan sebegini. Itu belum lagi melibatkan penipuan di jalan raya. Di jalan raya terdapat pelbagai cara penjenayah menipu. Tujuan tidak lebih daripada untuk merompak. Dilanggar kereta mangsa dan mangsa pula dalam keadaan marah memberhentikan kereta untuk menuntut ganti rugi.

Kesempatan ini digunakan penjenayah untuk merompak mangsa. Ada juga penjenayah berlagak seolah-olah berlaku kemalangan di jalan raya. Memberhentikan kereta dan motosikal dan sanggup "tidur" di tengah jalan raya supaya mangsa memberhentikan kenderaan. Taktik menipu ini memperdayakan sesiapa sahaja yang jujur untuk membantu "mangsa" kemalangan yang tertiarap di jalan raya. Malangnya, mereka tidak menyedari kejujuran mereka inilah menyebabkan mereka bakal dirompak. Tidak kurang juga ramai rakyat Malaysia yang ditipu oleh warga asing. Dianggarkan berbilion ringgit kerugian yang telah dialami oleh rakyat Malaysia yang kebanyakannya ditipu melalui jenayah siber. Sungguh menghairankanlah, rakyat Malaysia senang percaya dengan warga asing. Penjenayah siber ini menggunakan segala kepakaran teknologi maklumat untuk menggodam maklumat rakyat Malaysia sama ada melalui e-mail palsu mahupun melalui laman sosial seperti Facebook.

Rakyat Malaysia terutamanya wanita mudah pula "cair" dengan ayat-ayat indah mempersonakan hati dan perasaan yang sememangnya itulah kehebatan warga asing seperti Awang Hitam. Sanggup memberi wang mereka sampaikan ada mangsa mengeluarkan wang untuk dana persaraan mereka yang berjumlah berjuta-juta ringgit semata-mata untuk "membantu" si penipu ini yang tidak pernah langsung mereka bersemuka antara satu sama lain. Apabila menyedari ditipu, barulah segala kisah cinta dan kasih sayang hilang begitu sahaja. Menangis sudah tiada gunanya. Agaknya, si penipu warga asing ini sudah memahami kelemahan rakyat Malaysia. Sebelum mereka datang ke Malaysia, mereka sudah membuat kajian di antara negara-negara di Asia Tenggara ini, negara kita yang paling mudah untuk "berurusan". Rakyatnya mudah ditipu, manakala undang-undang pula amat lemah dek kerana penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

Cuba kita lihat si penipu pendatang asing ini tidak berani menipu di negara-negara jiran kita. Kalau tidak sudah lama kita dengar pelbagai kisah penipuan melibatkan pendatang asing yang tinggal di negara jiran. Mereka ini tidak gemar duduk di negara-negara jiran kita, tetapi amat gembira tinggal di Malaysia. Faktornya adalah Malaysia syurga "pelaburan" mereka. Yang kaya sudah semestinya mereka, manakala yang "kayap" rakyat Malaysia itu sendiri. Sampai bilakah ia akan berakhir?

Sumber
Utusan Malaysia
30 Oktober 2012

29 Oktober 2012

ISU UMUM : GENIUS TIDAK SEMESTINYA SEMPURNA


Rencana ini ditulis oleh
HAFIZAHRIL HAMID


Apabila menyebut mengenai genius, ramai yang melihatnya sebagai seseorang yang dianugerahkan Tuhan dengan kecerdikan dan keupayaan luar biasa terutama dalam pendidikan. Kebanyakan mereka ini dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam bidang pendidikan tertentu terutamanya matematik, fizik dan sains. Bagaimanapun bukan semua dilahirkan genius dalam bidang-bidang yang dinyatakan tadi. Ada di antaranya sejak kecil lagi telah menjadi bijak dan mahir dalam bidang tertentu seperti muzik, seni lukis, sukan dan pelbagai lagi.

Mungkin ada yang menyokong bahawa seseorang itu dilahirkan sebagai genius dan kenyataan ini memang ada kebenarannya. Namun bukan semua manusia yang dilahirkan genius mengakhiri kehidupannya dengan kejayaan. Hakikat ini dikongsi oleh saintis dan pencipta terkenal, Thomas Edison yang menyatakan, genius adalah satu peratus bersandarkan inspirasi manakala manakala 99 peratus lagi adalah bersandarkan usaha. (Genius is one percent inspiration, ninety nine percent perspiration). Ungkapan ini telah tertulis dalam majalah Harper's Monthly Magazine edisi September 1932.

Sesungguhnya senarai manusia genius kini semakin meningkat mungkin kerana penekanan mengenai pentingnya pendidikan sejak kecil oleh ibu bapa. Di Malaysia juga fenomena manusia genius sering sahaja menarik perhatian. Antaranya Mohd. Shukri Hadafi yang pernah menggemparkan negara sekitar 80-an berikutan kemampuannya membaca suratkhabar pada usia tiga tahun. Beliau pernah diambil berlakon oleh Tan Sri Jins Shamsuddin di dalam filemnya Menanti Hari Esok. Malah Prof. Diraja Ungku Aziz telah mengambilnya sebagai anak angkat bagi membolehkannya mendapat pendidikan yang lebih baik.

Bagaimanapun, kisahnya senyap begitu sahaja namun kemudian kita dikejutkan dengan berita pada akhir 90-an apabil beliau bekerja sebagai penebar roti canai serta beberapa kisah yang tidak enak didengar. Selain itu kebanyakan kita begitu gembira mendengar seorang budak genius, Ady Putra Abdul Ghani mendapat perhatian luar biasa kerana kebolehannya menyelesaikan soalan matematik peringkat universiti. Malah kita berbangga kerana impiannya adalah mahu bergelar profesor matematik Islam. Bagaimanapun, berikutan dilemanya mengenai sistem pendidikan yang dikatakan kurang menyokong kemahirannya adalah ditakuti akhirnya bakat genius dan luar biasanya akan berakhir begitu sahaja tanpa sebarang makna.

Sumber
Utusan Malaysia
28 Oktober 2012

ISU UMUM : JANGAN LUPA ASAS HUKUMAN MATI MANDATORI KESALAHAN MENGEDAR DADAH


Rencana ini ditulis oleh
Azman Anuar


Saya terkejut membaca laporan berita mengatakan kerajaan sedang menimbang cadangan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah dadah di negara ini. Keputusan itu akan bergantung pada hasil kajian semula yang dijalankan Pejabat Peguam Negara. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, jika dipersetujui, satu inisiatif akan dilakukan bagi mewujudkan moratorium (penangguhan) terhadap hukuman mati terhadap mereka yang didapati bersalah memiliki dadah. Permohonan penangguhan itu dikatakan wajar atas alasan sebahagian daripada 900 orang yang sedang menunggu hukuman mati ketika ini adalah pesalah dadah.

Satu lagi sebab kajian semula hukuman itu dilakukan, sebagaimana kata Mohamed Nazri bertujuan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia di luar negara seperti China, Columbia, Peru dan Venezuela yang berdepan hukuman mati akibat menjadi keldai dadah. Cuba kita renung dan fikirkan nasib keldai dadah kita di penjara negara asing itu. Adakah disebabkan untuk menyelamatkan nyawa mereka, perundangan negara perlu diubah? Dalam hal melibatkan dasar negara, maka kita mengharapkan sangat agar pihak Jabatan Peguam Negara dan Kabinet membuat keputusan yang bijak supaya keputusan yang bakal diambil itu tidak mengecewakan masyarakat.

Dalam ingatan saya, asas pelaksanaan hukuman mati mandatori atas kesalahan edar dadah adalah untuk memerangi serta sebagai peringatan keras kepada pengedar dadah. Hukuman mati terhadap pesalah dadah diperkenalkan di negara ini pada tahun 1975. Hampir semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat digerakkan untuk membanteras masalah penyalahgunaan dadah ke arah menjadikan Malaysia negara bebas dadah pada 2015. Adakah kita sudah lupa asas-asas ini? Kita pernah dicemuh kerana dasar hukuman yang dianggap kejam tetapi pemimpin kita mempertahankannya dengan memberi hujah yang bernas. Rakyat negara kita dan masyarakat antarabangsa pun akhirnya menerima ketegasan undang-undang dadah negara kita ini.

Pada saya jika terlalu sayangkan nyawa beberapa orang keldai dadah yang fikir seronok sahaja dapat melancong ke luar negara dan mudah diperdaya sindiket dadah antarabangsa, maka elok kerajaan lantik dan upah peguam yang hebat. Dan bukan ubah dasar undang-undang negara. Jika asas mahu mengubah perundangan negara ini ada kaitan dengan kesalahan keldai dadah, ada pihak mencadangkan kita memasukkan klausa khusus mengenai keldai dadah agar membuka ruang kepada pihak kehakiman untuk menentukan hukuman. Jangan disebabkan kita mempunyai undang-undang yang ketat, kita beranggapan pihak lain tidak akan memberi kelonggaran hukuman kepada rakyat kita di penjara luar negara.

Bayangkan jika keldai dadah dan pengedar antarabangsa tidak ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa negara ini atau negara asing, apa jadi kepada rakyat dan generasi dunia. Ketagihan dadah bukan seperti rokok. Malah dadah sekarang dalam pelbagai bentuk dan pil. Banyak kesan negatif dibawa bersamanya. Selain padah kepada diri penagih, dadah juga 'mencipta' jenayah-jenayah sosial yang sehingga hari ini belum berjaya kita tangani sebenar-benarnya. Kita sudah lama memberi mesej jelas kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa, hukuman terhadap pesalah dadah di Malaysia amat berat sehingga hukuman mati mandatori. Jika negara lain pun mempunyai undang-undang yang ketat terhadap jenayah dadah, kita patut hormati dan bersama-sama mereka memerangi jenayah antarabangsa ini.

Masalah penyalahgunaan dadah ini merupakan gejala sejagat dan usaha pembanterasannya memerlukan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa. Jangan beri kemenangan kepada ketua sindiket dadah. Memang dalam perang memerangi dadah, akan ada yang menjadi korban. Keldai dadah sudah direkrut menjadi tentera sindiket dadah, maka kita terpaksa menawan dan menghukum mereka walaupun jeneral mereka masih bebas. Khabarnya seramai 900 pesalah dadah kini menunggu hukuman mati di negara ini. Daripada jumlah itu, 75 warga Indonesia menjadi banduan 'bilik akhir' kerana kesalahan dadah tersebut.

Hidup mati mereka kini bergantung pada cadangan penangguhan hukuman gantung mandatori yang mana Pejabat Peguam Negara sedang melakukan kajian semula untuk menghapuskan hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Khabarnya inisiatif untuk 'memansuhkan' hukuman mati juga akan membantu rayuan terhadap keldai dadah warga Malaysia yang berdepan hukuman mati di negara asing termasuk seorang yang kini berdepan hukuman itu di Indonesia. Pada saya, jika pada 17 Oktober 2011, hasil surat rayuan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terhadap 17 banduan bilik akhir warga Indonesia di negara ini, empat daripadanya diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup manakala seorang diringankan kepada hukuman penjara sepanjang hayat, mengapa pendekatan timbal balik ini tidak diusahakan?

Apa pun terserah kepada bijak pandai di Jabatan Peguam Negara serta anggota Kabinet yang dipilih oleh rakyat memutuskan hukuman terbaik bagi menggantikan hukuman mati mandatori bagi pesalah dadah. Pada masa ini kita berpegang pada kata-kata Mohamed Nazri yang "percaya hukuman (baharu) kelak tidak akan bertambah atau berkurang tetapi bersifat adil."

Sumber
Utusan Malaysia
27 Oktober 2012

KESALAHAN SINTAKSIS SEMASA MENULIS KARANGAN


Yang Salah

Tetapi
Malahan
Maka
Oleh kerana itu
Selain daripada itu
Justeru
Justeru itu
Hal ini kerana

Kita sering mendapati calon-calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu selalu menggunakan kata atau frasa di atas memulakan ayat semasa menulis karangan. Anda harus tahu bahawa penyemakan karangan di peringkat STPM amat menekankan aspek sintaksis. Oleh sebab itu, penggunaan kata atau frasa yang disenaraikan di atas semasa menulis karangan merupakan kesalahan sintaksis.

Yang betul

Tetapi sepatutnya Akan tetapi
Oleh kerana itu sepatutnya Oleh sebab itu
Selain daripada itu sepatutnya Selain itu
Hal ini kerana sepatutnya Hal ini demikian kerana

Kata-kata di bawah pula hanya berfungsi sebagai kata hubung dalam ayat bukannya sebagai penanda wacana

… justeru …
Bukan sahaja … malahan
…, maka …

Calon harus ingat bahawa kesilapan penulisan dari aspek sintaksis yang terlalu banyak akan menjejaskan markah bahasa. Oleh sebab itu, berhati-hatilah semasa menulis karangan. Kita sering mendapati pelajar sangat gemar menggunakan "Hal ini kerana" dan "Justeru itu" semasa menulis. Kedua-duanya merupakan kesalahan sintaksis. Tabiat ini haruslah dihentikan.

26 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : TETAP TERUS TERPELIHARA


Rencana ini ditulis oleh :
Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Keprihatinan kerajaan terhadap perkembangan sekolah rendah aliran Cina dan Tamil terbukti apabila peruntukan sebanyak RM100 juta diberikan kepada setiap aliran sekolah tersebut untuk kerja baik pulih dan penambahan bangunan seperti dalam Bajet 2013. Baru-baru ini pula sebanyak RM30 juta diperuntukan kepada 78 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJK C) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung MCA pada 21 Oktober lalu. Tidak benar dan tidak berasas ada pihak mengatakan SJK Cina dan Tamil terpinggir. Malah ada yang mengatakan sekolah tersebut mahu ditutup. Hakikatnya ada sekolah yang mempunyai kurang 10 murid dan ada yang tiada murid tetapi sampai hari ini kita tidak tutup.

Semua usaha kerajaan dalam membangun dan memajukan pendidikan tidak pernah sekali-kali mengabaikan sekolah jenis tersebut sejak selepas merdeka lagi,’’ jelas Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis perhimpunan 1Malaysia di Segamat, Johor pada 19 Oktober lalu. Jelas terbukti keprihatinan kedua-dua pemimpin utama negara itu pasti SJK Cina dan Tamil terus terpelihara dan kekal dalam sistem pendidikan kita. Usaha meningkatkan kualiti pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 terutama peningkatan tahap profesionalisme guru, kepimpinan sekolah dan memperkemaskan sistem penyampaian turut melibatkan sekolah-sekolah tersebut. Sejarah pendidikan Cina di negara ini bermula sejak sekian lama melalui penghijrahan orang Cina pada awal abad ke-19. Kedatangan mereka bukan sahaja membawa bersama adat, kepercayaan, agama dan kebudayaan tetapi turut sama sistem pendidikan.

Mereka sangat mementingkan dan memberi penghormatan tinggi kepada pembangunan pendidikan. Tidak menghairankan di mana sahaja ada penempatan Cina di situlah terdapat sekolah Cina. Sekolah itu dibina dan diuruskan sama ada oleh orang perseorangan atau persatuan sosial dan kebajikan. Menurut beberapa penulisan, sekolah Cina wujud di Melaka pada tahun 1815, di Pulau Pinang pada 1819 dan Singapura pada 1829. Penubuhannya seiring dengan perkembangan sekolah Inggeris dan sekolah agama. Sistem pendidikan Cina yang dianggap lengkap telah bermula di Singapura pada 1849 dan di Pulau Pinang , 1888. Pada 1884 dikatakan terdapat 52 sekolah Cina di Pulau Pinang, 51 di Singapura dan 12 di Melaka. Sekolah yang awal ini merupakan bangunan sementara dibina di kawasan tokong, dewan pesaka, rumah perniagaan atau rumah kediaman ketua masyarakat Cina.

Struktur sukatan pelajaran adalah sama seperti yang terdapat di China iaitu menggunakan dialek tempatan. Demikian juga buku teks dan guru terlatih didatangkan daripada negara berkenaan. Pendidikan Cina mula mengalami proses modenisasi apabila gerakan pemulihan dilancarkan oleh Kang Yu-wei di China pada 1898. Kurikulum baru ini menggabungkan pengajaran Confucius dengan sains Barat. Bagi tujuan mengawal sistem pendidikan dan sekolah Cina, pihak penjajah Inggeris telah meluluskan ‘Ordinan Pendaftaran 1920' yang mewajibkan sekolah dan guru didaftar dan dikawalselia oleh Pengarah Pelajaran. Cengkaman dan peluasan kuasa penjajah selepas tamat Perang Dunia Kedua melalui penubuhan Malayan Union dan diikuti pembentukan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan timbul keinginan mereka memberi perhatian yang lebih terhadap perkembangan pendidikan.

Oleh itu Jawatankuasa Penasihat Mengenai Pendidikan ditubuhkan pada 1949 bertujuan mengkaji pelaksanaan sistem persekolahan vernakular yang berbeza. Kajian sistem persekolahan vernakular Melayu dipengerusikan oleh L.J. Barnes sementara sistem pendidikan Cina oleh Dr. William P. Fenn dan Dr. Wu The Yao. Hasil Laporan Fenn-Wu mencadangkan agar pendidikan Cina diteruskan dengan penambahbaikan iaitu menyediakan guru terlatih melalui penubuhan Kolej Latihan dan Latihan Dalam Perkhidmatan, menambah bantuan kewangan bagi pentadbiran sekolah dan menyediakan buku teks yang mengandungi bahan pelajaran lebih berpaksikan Tanah Melayu. Namun demikian Laporan Barnes pula lebih menjurus kepada sistem pendidikan yang sama dan menganggap pendidikan sebagai suatu alat penting bagi mengintegrasikan semua kaum ke arah pembinaan satu negara yang bersatu padu.

Pada 1956 kerajaan British mengumumkan bahawa Tanah Melayu akan diberi taraf berkerajaan sendiri. Oleh itu Datuk Abdul Razak Hussein dilantik mempengerusikan jawatan kuasa penggubalan dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan. Cadangan jawatan kuasa ini dikenali sebagai Laporan Razak dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1957.’ Laporan ini mencadangkan pembentukan sistem pendidikan kebangsaan melalui keseragaman kurikulum dan memperakukan empat aliran persekolahan di peringkat rendah. Selepas itu bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan Laporan Razak, maka dibentuk pula jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Abdul Rahman Talib. Laporan Rahman Talib itu diluluskan oleh Parlimen dan dikenali sebagai ‘Akta Pelajaran 1961.’

Laporan ini bersetuju pada prinsip asas Laporan Razak mengenai perkembangan bahasa kebangsaan sebagai matlamat akhir dasar pendidikan kebangsaan. Laporan ini juga menyokong mengekalkan persekolahan empat aliran bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah. Kemudian ‘Akta Pendidikan 1996' dimaktubkan sebagai lanjutan dan pembaharuan dari ‘Akta Pelajaran 1961' bertujuan memantapkan lagi sistem pendidikan kebangsaan. Akta ini berpaksi kepada perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi asas kepada dasar pendidikan kebangsaan. Tujuan utama penggubalan ‘Akta Pendidikan 1996' adalah untuk memperluaskan skop, peruntukan kuasa dan memperkenalkan prinsip perundangan dalam pendidikan. Kewujudan SJK Cina dan SJK Tamil turut dinyatakan dalam Akta tersebut.

Komitmen Kementerian Pelajaran kepada perkembangan sekolah vernakular amat jelas melalui membiayai gaji dan emolumen guru dan staf sokongan, buku teks, yuran peperiksaan, bil elektrik dan air serta peralatan pengajaran dan pembelajaran. Sesungguhnya kepelbagaian aliran persekolahan peringkat rendah harus diraikan kerana melibatkan faktor sejarah dan sumbangan kepada pembangunan pendidikan kebangsaan.

Sumber
Utusan Malaysia
26 Oktober 2012

ISU UMUM : PETRONAS MENJADI MANGSA KEADAAN GEOPOLITIK GLOBAL


Rencana ini ditulis oleh :
Azmi Hassan
Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.


Keputusan kerajaan Kanada yang menyekat bidaan bernilai C$5.17 bilion (RM15.9 bilion) daripada Petronas ke atas syarikat petroleum negara tersebut, Progress Energy Resources Corp. (Progress) agak memeranjatkan kerana sebelum ini tiada tanda yang menunjukkan proses itu mendapat tentangan. Menteri Industri Kanada yang mempunyai kuasa mutlak dalam hal ini, Christian Paradis berkata, pengambilalihan berkenaan tidak akan memberi ‘faedah bersih’ kepada negara, iaitu salah satu kriteria yang termaktub dalam Akta Pelaburan Kanada. Kegagalan bidaan Petronas mengelirukan bukan sahaja pelabur asing malah pelabur Kanada kerana Petronas mempunyai kemampuan untuk membantu merangsang pembangunan mencair industri eksport gas semula jadi dengan membina kemudahan eksport LNG di negara itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui ketika mengulas isu tersebut menegaskan bahawa kerajaan mahu Petronas membida semula sedaya upaya untuk memastikan kejayaan. Sama ada semak bida atau apa sahaja yang perlu, ini sahaja yang saya boleh katakan. Saya rasa penting bagi mereka berbuat sesuatu mengenainya," kata Chin, yang merupakan ahli jawatankuasa minyak dan gas. Kegagalan bidaan Petronas sebenarnya bukan kerana kelemahan kandungan bidaan tetapi lebih menjerumus kepada mangsa keadaan. Ini kerana pada waktu yang sama Paradis berhadapan dengan tekanan untuk menilai satu lagi bidaan yang lebih besar dari syarikat minyak CNOOC dari China untuk mengambil alih pengeluar minyak Kanada Nexen dengan nilai C$15.1 bilion.

Petronas menerima tempias kerana niat CNOOC walaupun mendapat sokongan 99 peratus pelabur Nexen tetapi rakyat negara tersebut berasa agak sangsi dengan ketelusan syarikat minyak China tersebut. Terdapat persepsi dalam kalangan ahli politik dan rakyat Kanada bahawa oleh kerana CNOOC adalah syarikat milik kerajaan China maka setiap keputusan yang bakal diambil hanya memberi manfaat kepada China dan bukan kepada Kanada. Isu ini menjadi lebih sensitif kerana Nexen bergiat dalam industri tenaga yang dianggap sebagai sektor strategik yang mampu menggugat kestabilan Kanada jika keputusan yang diambil oleh Nexen tidak selari dengan aspirasi Kanada. Oleh kerana China dianggap sebagai kuasa besar yang setara dengan Amerika Syarikat (AS), maka setiap tindak tanduk syarikat negara itu mendapat perhatian yang teliti kerana khuatir Beijing akan mempergunakan syarikat milik kerajaan untuk kepentingan politik dan strategik China.

Beberapa syarikat China yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing telah ditegah niat mereka untuk mengambil alih syarikat AS kerana timbul kemusykilan mengenai ketelusan pentadbiran syarikat China itu. Beberapa minggu lepas Presiden Barack Obama menegah syarikat milik pelabur China yang beroperasi dari Delaware iaitu Ralls Corp. daripada mengambil alih syarikat yang mengendali kincir angin di Oregon. Alasan yang digunakan untuk mempertahankan keputusan itu adalah kincir angin tersebut terletak di kawasan latihan Tentera Laut AS yang banyak digunakan untuk tujuan ujian kapal terbang pengebom tanpa pemandu (drone) dan latihan perang elektronik. Lokasi kincir angin yang begitu hampir dikhuatiri akan digunakan oleh Beijing untuk menjalankan kerja risikan yang bakal mengugat keselamatan AS.

Malah isu pengintipan syarikat milik China menjadi isu hangat di antara dua calon Presiden AS iaitu Obama dan Mitt Romney. Masing-masing membuat tuduhan bahawa syarikat Huawei dan ZTE Corp. dari China yang banyak membekalkan alat telekomunikasi kepada industri AS menjalankan kerja pengintipan bagi pihak Beijing. Bidaan Petronas bukan sahaja penting kepada Malaysia tetapi juga kepada industri minyak Kanada yang memerlukan pelabur dari luar untuk mempertingkatkan lagi aktiviti penerokaan minyak negara berkenaan. Progres dan Petronas telah mencapai persetujuan pada Jun lepas lagi kerana kedua-dua pihak akur saling memerlukan di antara satu sama lain jika rancangan untuk meneroka dan memajukan kawasan simpanan minyak wilayah Montney di British Columbia and Alberta menjadi satu kenyataan.

Kini kedua-dua syarikat minyak itu tidak mempunyai masa banyak untuk menyakinkan Paradis terutama sekali bahawa pengambilan alih Progress tidak akan memudaratkan kepentingan strategik Kanada. Strategi juga perlu disusun untuk menyakinkan Perdana Menteri, Stephen Harper bahawa proses ini tidak akan memberi kesan negatif kepada kerajaan parti Konservatif Kanada. Progress dan Petronas perlu mengambil iktibar dari episod kegagalan BHP Billiton‘s untuk mengambil alih syarikat Kanada Potash Corporation pada 2010. Bidaan BHP gagal kerana faktor politik iaitu pengundi di Saskatchewan dan Alberta yang menjadi tonggak kerajaan Harper menentang hasrat BHP. Jika diambil kira dari sudut pandangan rakyat Kanada, pada asasnya Petronas sepatutnya berada dalam kedudukan yang lebih mudah untuk menyakinkan kerajaan Harper bahawa persepsi negatif CNOOC tidak ada pada Petronas.

Ini kerana daripada tinjauan pendapat yang dilakukan terhadap niat CNOOC, hampir 70 peratus rakyat Kanada menolak hasrat tersebut dengan alasan tidak yakin dengan ketelusan Beijing. Tidak menghairankan mengapa rakyat Kanada mengambil pendirian sedemikan rupa kerana kesemuanya ini ada kena mengena dengan fenomena kegusaran kebangkitan China dalam hal ehwal ekonomi dan ketenteraan. Petronas juga perlu pintar menggunakan faktor bahawa Perdana Menteri Harper merupakan seorang ahli politik yang memperjuangkan konsep perdagangan tanpa sekatan yang juga merupakan penyokong kuat pembentukan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di mana selari dengan aspirasi Malaysia.

Sumber
Utusan Malaysia
26 Oktober 2012

24 Oktober 2012

ISU AGAMA : HAYATI MAKNA PERISTIWA KORBAN


Rencana ini ditulis oleh :
Pandangan IKIM
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah,
Undang-Undang dan Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Selamat Hari Raya Aidiladha 
daripada Cikgu Zul untuk semua 
umat Islam yang menjadi 
pembaca setia blog ini


Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah. Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah. Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti." Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya: “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.

Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan: “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya". Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya: Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku."

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya. Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada Allah SWT.

Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah sendiri? Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut. Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat sukar.

Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak. Seorang ibu yang sanggup tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Dalam aspek kemasyarakatan, individu yang sanggup berkorban bakal mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain. Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas kerana Allah yakni, bagi mendapat keredaan Allah semata-mata, bukan dengan tujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk. Harus diingat bahawa setiap dari kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang cendekiawan: “Isteri jadilah Siti Hajar walau suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita Nabi Ismail".

Sumber
Utusan Malaysia
24 Oktober 2012

ISU KESIHATAN : BAGI PEROKOK TEGAR, BIAR TIDAK MAKAN NASI ...


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Harga rokok naik 20 sen kelmarin. Namun kepada perokok-perokok tegar, saya percaya kenaikan itu tentu tidak sedikit pun menjentik hati mereka untuk berkata tidak kepada rokok. Sebelum ini harga rokok pernah dinaikkan sehingga 70 sen. Ketika itu golongan perokok tegar ini bising sekejap, sehari dua saja, tetapi mereka tetap membelinya seperti biasa tanpa rasa gusar. Jadi bila naik 20 sen, kepada perokok-perokok tegar ini, apa sangatlah nilai 20 sen itu, sebab hendak masuk ke tandas di pusat-pusat beli belah pun kena bayar 20 sen, malah ada sesetengah tempat lebih daripada itu. Sememangnya merokok sudah menjadi amalan biasa dalam kalangan kita. Sesiapa pun boleh jadi perokok, tidak kira lelaki, wanita, warga emas, orang kaya, miskin, ahli politik daripada parti politik mana pun, ustaz, cikgu termasuk budak-budak sekolah!

Maka di mana-mana pun ada perokok dan asap rokok. Itu belum masuk lagi perokok yang merokok di kawasan larangan merokok, yang menjadi mangsanya, tentulah yang bukan merokok. Ada laporan kesihatan, orang yang tidak merokok tetapi berada berdekatan dengan perokok menyedut sebanyak 75 peratus daripada asap rokok yang dihembus keluar oleh perokok. Yang menyedut asap rokok ini boleh jadi isteri, anak-anak dan rakan-rakan. Sedangkan perokok hanya menyedut sebanyak 25 peratus daripada asap tembakau yang dihisap olehnya. Namun fakta ini tidak juga membuat perokok berasa bersalah kepada orang sekelilingnya. Dalam pada itu, racun di dalam asap rokok yang memasuki tubuh badan boleh mendatangkan lebih daripada 20 penyakit kronik seperti kanser. Kepekatan racun yang disedut adalah amat tinggi dan berisiko besar menyebabkan kematian. Namun fakta sebegini juga tidak menggerunkan perokok tegar.

Pun begitu, ada juga dalam kalangan perokok, setiap kali harga rokok diumumkan naik, mereka mula memasang azam untuk berhenti merokok. Yang pastinya bukan sebab celiknya kesedaran dan datangnya keinsafan untuk menjaga kesihatan sangat. Semangat dan tekad itu timbul kerana ingin mengurangkan belanja harian. Ini memang perkembangan baik walaupun sebabnya bukan faktor kesihatan. Sekurang-kurangnya mahu berhenti merokok. Dengan kos hidup yang semakin tinggi, terutamanya golongan yang berpendapatan ala kadar, rokok sebenarnya hanya menambah perbelanjaan. Bagaimanapun, cerita-cerita tentang azam hendak berhenti merokok ini, selalunya akan tinggal azam sahaja. Reaksinya sama seperti perokok tegar, merungut-rungut sekejap sahaja. Sudahnya, mereka tetap merokok dengan bilangan yang sama seperti sebelum harga rokok naik.

Mereka mengakui belanja harian naik, tetapi ada perbelanjaan yang akan dipotong sana sini. Ada yang sanggup mengurangkan belanja makan semata-mata sekotak rokok. Orang kata, biar tak dapat nasi, asalkan dapat rokok! Sewajarnya setiap kali harga rokok naik, ada kajian menyeluruh dilakukan. Adakah kenaikan itu mengakibatkan jualan rokok berkurangan? Berapa ramai yang berhenti merokok apabila harga rokok naik? Tentu hasil penemuan kajian ini menarik untuk dianalisis. Rakan saya seorang lelaki yang merupakan perokok tegar dan merokok sejak di zaman persekolahan memberitahu, antara punca mengapa penagih rokok tidak tahan berhenti menghisap rokok ialah kerana mereka boleh menjadi cepat marah, stress, menggigil, mengantuk, susah berfikir, dan cepat rasa letih manakala merokok didakwa boleh mendatangkan ‘ilham dan idea’ dalam kerja mereka.

Namun setakat ini, tidak pula kita dengar berita di negara ini perokok mengamuk menyerang orang di tempat awam atau di pejabat kerana tidak dapat sebatang rokok, atau mati mengejut kerana ketagihan rokok. Katanya lagi, penjualan rokok pek besar juga menyebabkan golongan perokok lagi sukar untuk berhenti merokok. Dulu satu pek kecil boleh tahan dalam sehari, sekarang satu pek besar pun tahan hanya satu hari juga. Dia juga memberi pelbagai alasan sukar berhenti merokok, antaranya takut berat badan naik secara mendadak dan kalau hendak berhenti kena bermula secara perlahan-lahan, jangan drastik, takut nanti akan dapat sakit. Tapi yang pastinya, yang perlahan-lahan itu pun dia tidak buat.

Pokok pangkalnya, tekad yang bersungguh-sungguh untuk berhenti merokok dengan menyedari kemudaratan akibat merokok pada diri sendiri dan orang sekeliling. Usahlah disalahkan langkah kerajaan yang hanya membenarkan rokok dijual hanya dalam pek besar, kerana yang sakit dan menerima padahnya nanti adalah diri kita sendiri. Ada beberapa cara untuk berhenti merokok dan kita juga mempunyai lebih 100 klinik berhenti merokok di seluruh negara. Dapatkan kaunseling dan khidmat pakar. Dalam pada itu banyak panduan atau tips yang boleh kita baca dalam buku, majalah dan Internet tentang berhenti merokok. Tiada siapa yang dapat menafikan berhenti merokok bagi perokok tegar bukan perkara mudah. Tidak semudah kita bercakap dan menasihati.

Mengambil keputusan berhenti merokok 
mungkin membuatkan si perokok berada dalam 
satu proses pemulihan yang panjang, sukar dan 
menguji ketahanan serta kesabaran, tetapi jika 
tindakan itu lebih menguntungkan dan demi kesihatan diri sendiri dan keluarga yang bergantung harapan kepada kita, mengapa tidak?

Sumber
Utusan Malaysia
24 Oktober 2012

ISU UMUM : ANTARA SIKAP TERHEGEH-HEGEH DENGAN TERGESA-GESA


Rencana ini ditulis oleh :
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Sikap terhegeh-hegeh dan tergesa-gesa dalam menjalankan kewajipan atau tugasan akan menjejaskan produktiviti kerja dan membantutkan segala kegiatan. Terhegeh-hegeh yang selari dengan sikap berlengah adalah sikap yang sering diamalkan dalam kalangan masyarakat hari ini yang suka membuang masa dan melambat-lambatkan kerja dengan menunggu waktu terakhir untuk membuat sesuatu kerja atau keputusan. Masalahnya nanti, bukan orang yang berlengah menerima akibatnya, tetapi orang yang menunggu menjadi mangsa kerana penat menunggu seperti menunggu buah tak masak gugur!

Tergesa-gesa pun satu sikap menyebabkan hidup menjadi kelam-kabut dan sentiasa merasa bimbang tidak bertempat, berasa tidak tenteram kerana asyik hendak cepat yang akhirnya hasil kerja tidaklah sebaik mana jika terlalu hendak menjadi terawal. Pelbagai penyakit pula akan menyerang satu badan kerana tekanan mental memikirkan hendak siapkan semua tetapi badan tidak mampu melakukannya. Di jalan raya saja kita boleh melihat ramai yang memandu dalam keadaan terhegeh-hegeh dengan mengambil sikap tidak peduli dengan kenderaan lain apabila tiba-tiba memotong laluan atau yang tidak dapat membuat keputusan ke mana arah yang hendak dituju.

Kita bukanlah meminta pemandu memandu dalam laju. Tetapi kesabaran akan hilang apabila melihat kenderaan yang dipandu terhegeh-hegeh tidak memberi isyarat untuk memotong dan yang tergesa-gesa pula memberi isyarat terlalu cepat sehingga tidak tahu ke mana laluan yang hendak dituju. Kita sedia maklum berhati-hati di jalan raya amat penting dan sentiasa menumpukan perhatian sepenuhnya semasa memandu. Maka dalam hal ini, kemalangan boleh dielak dengan mempunyai sikap bersederhana di jalan raya. Jangan memandu terlalu lambat dan memandu di laluan yang salah. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan seperti Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran serta penguatkuasaan dilakukan namun angka kematian akibat jalan raya sentiasa meningkat.

Analisis dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain menjadi punca berlakunya peningkatan kemalangan. Jika ditinjau keadaan di pejabat pula dan di mana sahaja tempat kita bekerja, sikap lambat dan terhegeh-hegeh merupakan amalan yang tidak baik. Contohnya, pelanggan beratur panjang menunggu giliran tetapi segelintir pekerja seperti tidak mahu melayan dan bersikap acuh tak acuh. Pekerja ini kelihatan bersikap terlalu tenang sehingga mengundang rasa tidak puas hati pelanggan. Menurut Jasmine yang bekerja di sebuah syarikat swasta yang baru pulang dari luar negara, sikap rakan sekerja yang terlalu terhegeh-hegeh menyebabkan dia hilang sabar. Katanya, dia boleh menyusun sepuluh kotak di bilik stor berbanding dengan rakan lelaki yang baru menyusun tiga kotak. Namun itulah lumrah yang berlaku di pejabatnya menyebabkan dia menerima keadaan itu dan akhirnya mula mengikut momentum di pejabat dan semuanya menjadi perlahan.

Bagaimana pula momentum kerja di jabatan kerajaan pula? Kakitangan kerajaan harus sedar bahawa sektor kerajaan merupakan sektor perkhidmatan kerana bertanggungjawab memberi perkhidmatan kepada rakyat. Mereka seharusnya mengambil perhatian terhadap aduan serta cadangan orang ramai kerana mereka menjadi penyumbang kepada hasil kerajaan melalui bayaran cukai dan sektor yang proaktif dalam pembangunan negara. Pelajar-pelajar di sekolah rendah, menengah, institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) suka menunggu saat-saat akhir untuk menyelesaikan tugasan kerana dikatakan lebih banyak idea dan keadaan yang mendesak itulah yang memberi inspirasi menyiapkan kerja.

Pelajar-pelajar yang menempuh peperiksaan juga suka menunggu saat-saat terakhir untuk mengulangkaji pelajaran. Mereka mendakwa, lebih bersemangat di saat sebegini. Bukankah perbuatan ini nampak tergesa-gesa sehingga sanggup minum ubat batuk untuk mendapat kecergasan di saat akhir untuk mendapat ilham belajar. Mereka mengatakan, boleh tahan tidak tidur dua atau tiga hari. Selepas ketagih ubat batuk yang harganya mencecah RM150, akhirnya badan menjadi lesu dan wang pun habis. Kes terbaru dengan modal RM6, pelajar-pelajar IPTA dan IPTS dikesan mencipta 'formula lalok' dengan mencampurkan ubat batuk dan sejenis pil kononnya sebagai minuman kesihatan tambahan untuk kecerdasan badan dan otak. Tindakan yang tergesa-gesa ini mengundang maut jika diambil secara berlebihan selain menyebabkan kerosakan paru-paru, hati, sistem penghadaman, buah pinggang, otot badan mengecut dan berat badan menurun secara mengejut.

Bercakap tentang makan pula, semestinya kita digalakkan makan dalam keadaan beradab dan perlahan tetapi jika makan sehingga berjam-jam lamanya, ini akan menjejaskan kerja manakala makan dalam keadaan tergesa-gesa memang tidak digalakkan dan membawa kepada masalah tercekik, sistem penghadaman terbantut dan sebagainya. Jika makan dalam keadaan yang tidak berselera juga menyebabkan orang marah kerana nampak seperti tidak menghargai rezeki manakala waktu makan yang dilengahkan kerana sibuk bekerja juga tidak baik kerana boleh menyebabkan penyakit gastrik, ulser perut dan sebagainya. Terhegeh-hegeh dan tergesa-gesa di sini adalah sindrom kepada sikap manusia. Sikap yang terlalu berlengah pun tidak baik dan terlalu tergesa-gesa pula membawa musibah jika tidak dikawal.

Maka, dua perkataan ini perlu diletakkan satu 
tiang di tengahnya iaitu 'bersederhana'. Sederhana dalam setiap gerak laku dan kerja di mana sahaja 
kita berada kerana yang sederhana itulah ungkapan terindah yang perlu diamalkan dalam kehidupan kita. Masa itu emas dan kitalah yang mengawalnya untuk menentukan setiap detiknya. Salam 1Hati.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Oktober 2012

23 Oktober 2012

ISU SOSIAL : KELOMPOK CELARU PEMIKIRAN PERLU DIBANTU


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Kematian Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim dalam pangkuan ibunya di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) setelah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari akibat didera bukanlah kes terasing yang berlaku dalam masyarakat kita kebelakangan ini. Balkis telah pun pergi meninggalkan mereka yang menyayanginya terutama datuk dan nenek yang meratapi kehilangannya dalam usia emas mereka. Sebelum ini juga akhbar melaporkan kisah dua pelajar Malaysia di Singapura yang melakukan aksi seks dan meletakkannya di internet untuk tontonan ramai dan menganggap perbuatan itu sebagai rasional dan 'peduli apa dengan orang lain, asalkan kami bahagia'. Kedua-dua kejadian ini dan sebelum ini menggambarkan kecelaruan yang jelas dalam sistem nilai dan sistem kekeluargaan kita. Misalnya, berita tentang kematian anak kecil kerana deraan teman lelaki ibu dan celaru tentang apa yang dianggap sebagai hal individu dan hak sebagai anggota masyarakat.

Jika boleh berpatah balik dalam kes seperti penderaan (malah pembunuhan) oleh seseorang yang dianggap sebagai teman lelaki ibu atau teman wanita adalah sesuatu yang sudah banyak kali kita dengar dan baca laporannya. Satu ketika dahulu kita dikejutkan oleh anak yang mati disepak di padang bola. Kemudiannya kita juga membaca laporan teman laki-laki warga asing yang mendera anak teman wanitanya. Kepincangan seperti ini akan terus menjadi penyakit selagi kita menganggapnya sebagai kes terpencil dan mengambil sambil lewa tanpa tindakan berkesan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Tentunya pihak yang paling utama untuk bertindak ialah dalam kalangan anggota masyarakat sendiri.

Ini adalah antara harga yang kita perlu bayar untuk pembangunan yang berlaku secara tidak seimbang yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan menuding jari. Lazimnya dalam masyarakat kita, itulah yang akan berlaku. Orang agama akan menyalahkan pelbagai pihak yang dikatakan tidak mengikut undang-undang dan lunas agama. Sesetengah pihak meletakkannya di bahu kerajaan dan pihak berkuasa. Bagi mereka yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air, akan melihat apa yang berlaku ini sebagai amanah dan tanggungjawab besar untuk menggembleng segenap kekuatan yang ada bagi membanteras dan memastikan ia tidak berulang atau paling tidak mengurangkan kesan daripada kejadian seumpama ini.

Misalnya, satu sistem sokongan yang kuat perlu ada dalam kalangan masyarakat hari ini daripada semua segi, terutamanya untuk membantu mengatasi masalah yang berkait rapat hi-touch iaitu mental, kejiwaan mahu pun hal-hal yang berkait rapat dengan sistem nilai, kepercayaan dan pegangan yang melihat kepada kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam apa jua perbuatan dan tindakan. Pada masa sama institusi agama, masyarakat mahu pun pertubuhan sukarela perlu diperkasakan dalam menyediakan sistem sokongan kepada kumpulan yang berada dalam kelompok celaru pemikirannya apatah lagi yang mempunyai tekanan hidup yang boleh membahayakan orang lain. Sistem amaran awal perlu ada untuk memberikan maklumat dan menghantar isyarat terhadap kemungkinan berlakunya tragedi dalam kalangan masyarakat. Sistem amaran awal ini apabila diperolehi perlu dihubungkan dengan sistem sokongan yang ada, termasuk jika perlu pihak berkuasa bagi menangani sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Malah, semua pihak yang berwibawa dalam agama dan sistem sosial perlu duduk semeja untuk mencari jalan terbaik mengatasinya secara bersama, bersepadu dan saling menyokong antara satu sama lain. Kita perlu kurangkan bertelagah dalam hal berkaitan perbezaan, sebaliknya mencari titik persamaan untuk menjaga masyarakat agar pembangunan yang capai pada masa hadapan benar-benar bersifat inklusif yang menekankan kepada nilai hidup dan moral yang diterima sebagai norma bersama. Kita terpaksa akur kepada kesibukan dalam mengejar kemajuan, malah juga globalisasi yang membawa pelbagai nilai yang selama ini tidak pernah dibayangkan. Menyalahkan globalisasi dan kehidupan yang memberikan kita pelbagai tekanan termasuk kerjaya tidak akan menyelesaikan apa-apa apatah lagi kita terus menuding jari.

Seorang pakar kaunseling memberitahu penulis apabila ditanyakan tentang rungutan pelbagai pihak terhadap tekanan kerja yang dihadapi, masalah besar yang kita hadapi adalah apabila seluruh proses dan sistem kehidupan kita berubah dalam pelbagai kerangka yang disebabkan oleh teknologi dan globalisasi, malangnya kita tidak bersedia malah sesetengah kita masih berada dalam set minda lama dan jauh tertinggal di belakang. Ini tentunya amat benar jika dilihat kepada cara kita menyelesaikan masalah sekarang ini. Ada yang tertanya-tanya bagaimana untuk mendidik anak-anak yang jiwanya amat 'rapuh' sekarang ini apatah lagi apabila perlu menjelaskan tentang pelbagai fenomena dan nilai yang berubah dan amat terbuka ini.

Tentunya cara terbaik adalah kembali kepada asas dalam melihat dan mengenal pasti masalah, nilai dan percaturan yang ada. Kita perlu bersikap terbuka, tetapi tidak akur kepada nilai-nilai yang dianggap bertentangan dengan asas dan pegangan utama iaitu agama. Walau terbuka mana pun kita, agama akan perlu terus menjadi pedoman, kitabnya menjadi asas dalam penentuan nilai dan ajarannya menjadi jalan untuk ditempuhi. Agama sudah cukup untuk menjadi penyelesaian namun mereka yang menggunakan agama sebagai cara menyelesaikan masalah harus juga melihat keindahannya untuk dikongsi dengan orang lain, bukan semata-mata bersikap menghukum dan menuding jari.

Agama mengajar kita untuk prihatin kepada nasib dan masa hadapan masyarakat dan tamadun tingginya dengan menekankan kepada ketinggian budi pekerti dan akal budi. Malah para akademia, cerdik pandai, para sukarelawan serta mereka yang berautoriti perlu turut sama menyingsing lengan untuk turun padang, bersikap realistik dan menghadapi cabaran ini. Kedegilan kita dengan hanya melihat kepada kepentingan diri, enggan bertegur sapa, bodoh sombong dan angkuh dengan apa yang kita ada, individualistik serta mendabik dada, akhirnya akan merosakkan masyarakat dan negara. Jika kita serius dengan pembangunan dalam acuan sendiri yang lestari, maka kita perlu pastikan tragedi yang menimpa Nur Irisyafida Balkis dan kisah dua remaja yang bangga dengan perlakuan sumbang mereka tidak lagi berulang. Kitalah yang harus bertindak melakukan yang terbaik untuk mengatasinya!

Sumber
Utusan Malaysia
23 Oktober 2012

22 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : USAH BEBANKAN GURU DAN PELAJAR


Rencana ini ditulis oleh :
Oleh Ruhaiza Rusmin


Pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2014 pasti memberi anjakan baru kepada sistem pendidikan dan peperiksaan negara yang kini merentasi era globalisasi. Pemansuhan itu satu mekanisme baru bagi menyaingi proses pembelajaran peringkat global, sekali gus mencapai matlamat melahirkan pelajar berprofil tinggi. Bagaimanapun, ada pihak beranggapan pemansuhan itu akan gagal jika pengenalan baru menerusi Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) yang akan menggantikan PMR tidak mampu dilaksanakan dengan baik. Persoalannya, mampukah SBA memberi impak lebih baik berbanding PMR?

Pengarah Makmal Penyelidikan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, pemansuhan atau pengenalan dua sistem penilaian tidak perlu dipertikaikan, namun kemampuan kedua-duanya memberi impak terbaik kepada sistem pendidikan negara. Beliau berkata, setiap sistem penilaian perlu mengambil kira pelbagai aspek dan wajar dilaksanakan apabila sudah bersedia kerana implikasinya besar kepada sekolah, pelajar, tenaga pelaksana, masyarakat dan masa depan. “Persediaan penting kerana kita tidak mahu apabila sistem penilaian baru diperkenalkan, impaknya tersasar sehingga menjadi uji kaji semata-mata.

“Kita juga tidak mahu apabila sistem lama dimansuhkan, ada pihak tidak berpuas hati dan mula mempersoalkannya. Ini boleh menggugat proses dan keharmonian sistem pendidikan negara. Yang penting, sistem penilaian yang digunakan itu mampu memberi impak terbaik dan lebih baik daripada sistem sedia ada, barulah pemansuhan itu berbaloi,” katanya. PMR yang diperkenalkan pada 1993 bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) akan dimansuhkan pada 2014 bertujuan mengelak sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan peperiksaan. Menerusi SBA, pihak sekolah sebagai pengendali tetapi masih di bawah pengawasan Lembaga Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan berkualiti, setara dan mampu mengukur prestasi pelajar.

Katanya, tidak salah jika mahu memperkenalkan sistem penilaian baru, namun kajian mendalam perlu dilaksanakan bagi memastikan ia mencapai matlamat. Selain itu, katanya, sistem diperkenalkan itu perlu telus dan tidak menambah beban fizikal dan mental guru sebagai mekanisme pelaksana. “Sebab itu, sebelum melaksanakannya, kajian mendalam perlu dilakukan kerana tidak mahu timbul masalah yang akhirnya akan menjadikan pelajar, guru dan sekolah sebagai mangsa keadaan. Memang benar, banyak negara maju melaksanakannya, namun di negara kita masih banyak aspek perlu diambil kira. Contohnya, kesediaan guru sebagai mekanisme pelaksana juga penerangan jelas agar lebih memahami.

“Jika tidak, saya percaya pengenalan sistem penilaian baru itu pasti rumit, sekali gus menambah beban dan tekanan sedia ada. Yang menjadi mangsa ialah pelajar dan guru,” katanya mengakui tempoh kajian yang tinggal kira-kira dua tahun sebelum pelaksanaan sudah memadai. Panel yang bertanggungjawab dalam sistem ini perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak sama ada kementerian, sekolah, guru, pakar akademik atau badan bukan kerajaan. Pendapat mereka juga boleh membantu memberikan input terbaik selain penerangan kepada masyarakat khususnya ibu bapa yang selama ini sudah serasi dengan sistem penilaian lama,” katanya. Antara persoalan yang perlu dititikberatkan ialah bagaimana mahu mengklasifikasikan kedudukan pelajar mengikut aliran ketika di tingkatan empat.

“Menerusi PMR, kita boleh mengklasifikasikan mereka berdasarkan keputusan.  Bagi yang cemerlang akan memasuki aliran sains, yang lain sastera atau vokasional. Apabila SBA diperkenalkan, apakah kriteria yang akan digunakan, bagaimanakah kita mampu menilai pelajar berkenaan? Semua ini memerlukan jawapan dan penyelesaian. Sebab itu penting perbincangan bersama untuk mengetahui persediaan dan tahap kemampuan kita memperkenalkan sistem penilaian baru,” katanya. Mengakui pemansuhan PMR sebagai langkah berani melahirkan pelajar serba boleh dan kompeten selari kehendak semasa, selain mahu menyamai sistem penilaian diguna pakai di negara maju. Bagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan secara drastik dan perlu melalui frasa demi frasa supaya sistem penilaian itu selari dengan standard yang ingin dicapai.

“Kita tidak boleh menafikan, bidang pendidikan juga perlu melalui anjakan perubahan supaya selari dengan negara maju, namun biarlah ia dilaksanakan secara konsisten, bukan tergesa-gesa. Mencapai standard seperti negara maju memerlukan masa, komitmen, perancangan dan persediaan. Bagaimanapun, usaha ini wajar diberi pujian dan sokongan kerana kita berani berubah. Bagaimanapun, ia juga perlu diseimbangkan dengan perubahan pemikiran. Jika mahu lakukan perubahan sistem, cara berfikir, menerima dan membuat tindakan juga perlu berubah. Andai sistem saja yang berubah tetapi pemikiran tetap di takuk lama, sistem ini akan gagal,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat diberi penerangan jelas supaya mereka lebih memahami dan bersedia menerima perubahan sistem penilaian lama kepada baru. “Penerangan jelas kepada masyarakat pasti memberi kelegaan dan membuatkan mereka faham. Kita tidak mahu, hanya sebelah pihak saja beria-ia melakukannya tetapi yang lain tidak menyokong. Gunakan medium seperti media massa dan elektronik untuk menerangkan mengapa perubahan mesti dibuat terutama kepada masyarakat kelas sederhana dan bawah. Perubahan ini bakal memberi impak kepada semua, justeru, penting bagi pihak terbabit mengetahuinya dengan jelas supaya tidak akan timbul kekeliruan,” katanya.

Sumber
Harian Metro
22 Oktober 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...