JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 April 2012

ISU GURU : GURU JADI SASARAN LEPAS GERAM


Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid


Jika disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini. Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum. Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing. Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru. Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru? Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?

Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu. Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi. “Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru. Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam.  Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya.  Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum. “Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas. Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya.

Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu. Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah. Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal. Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya. Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung. Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah. Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya.

Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara. Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi. Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil. “Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai. Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya. Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas. “Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati. Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.

Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru. “Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya.  Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki. “Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua. “Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
23 April 2012

ISU IPT : MAHASISWA USAH TERLALU SENSITIF


Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali


Memang tidak habis-habis isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), lepas satu timbul pula desakan mahasiswa yang mahu akta itu dimansuhkan sepenuhnya dengan alasan sudah tidak relevan pada alaf baru. Mereka mendakwa pindaan yang dicadangkan kerajaan itu hanya ‘gimik’ pihak tertentu menawan hati mahasiswa, namun ia masih mengekang pemikiran dan hak mereka bersuara dan berpolitik. Justeru, mereka mahu AUKU dimansuhkan kerana ia lebih praktikal bagi melonjakkan kemampuan dan sensitiviti sistem pendidikan moden. Pindaan pula dianggap ‘hadiah’ kepada warga institusi pengajian tinggi kerana keprihatinan itu bakal memberi peluang kepada mereka meneroka alam pendidikan berlandaskan peraturan dan kawalan tertentu.

Sama ada pindaan atau pemansuhan, hakikatnya, AUKU terutama seksyen 15C ( 3) memang mencetuskan provokasi tersendiri dalam kehidupan warga kampus kerana ia melarang mahasiswa menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja. Persoalannya, sama ada pindaan atau permansuhan, adakah AUKU masih relevan dalam era pendidikan moden hari ini? Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ahmad Zainudin Husin berkata, mahasiswa perlu melihat secara waras mengenai AUKU tanpa mengaitkan dengan sentimen tertentu. Beliau berkata, penting bagi mereka memahami bahawa akta itu bukan hanya menekankan seksyen tertentu semata-mata, malah mencakupi aspek luas yang menyentuh pelbagai peranan serta fungsi. Desakan mahasiswa supaya AUKU dimansuhkan tidak akan menyelesaikan masalah. Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan ‘berteriak’ atau berdemonstrasi.

Ia lebih kompleks. Bukan mudah menghapuskan akta yang sudah sah melalui proses perundangan, memperoleh kebenaran rasmi serta termaktub dalam undang-undang negara. Ia tidak boleh dipinda atau dimansuhkan sesuka hati. Pihak yang lantang bersuara perlu memahami situasi ini. Ia tidak boleh diubah sekelip mata kerana ada proses panjang dan rumit perlu dilalui. AUKU memang tidak pernah sunyi dengan polemik dan kontroversi sejak kewujudannya pada 1971. Sudah mengalami beberapa pindaan, akta itu bagi segelintir pihak menjadi batu penghalang dan mimpi ngeri jika mahasiswa ingin bebas bersuara dan berpolitik. Kemelut demi kemelut menjadikan AUKU isu panas dan sensitif bagi mahasiswa hingga menyebabkan akta ini diberi janji untuk dipinda lagi. Bagaimanapun, pindaan itu tidak menarik hati segelintir mahasiswa, sebaliknya mahukan kebebasan penuh iaitu dimansuhkan.

Mereka menuntut universiti diberi kuasa autonomi untuk menggubal undang-undang sendiri selari undang-undang perlembagaan tanpa campur tangan birokrasi pihak luar. Beliau yang juga pensyarah Jabatan Sejarah UPSI berkata, tindakan itu akan memakan diri sendiri kerana jika universiti menggubal undang undang baru, mereka juga memerlukan rujukan akta tertentu sebagai panduan. “Dalam konteks ini, universiti tidak boleh sesuka hati mewujudkan undang-undang kerana selama ini mereka tertakluk pada peraturan sedia ada. Biarpun diberi kuasa autonomi, saya percaya mewujudkan undang-undang baru dengan kepemimpinan sendiri tidak mudah. Ini perkara besar yang membabitkan prosedur yang panjang. Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Jadi di manakah relevannya permintaan itu?” soalnya.

Beliau berpendapat, jalan terbaik untuk mengembalikan semula keharmonian ialah dengan mengkaji akta berkenaan lebih mendalam bersesuaian kehendak semasa, mahasiswa juga global. “Ini lebih baik daripada semua pihak ‘bermusuhan’. Dalam menangani AUKU, kepentingan semua perlu diambil kira bagi menjamin hak dan meneruskan kelangsungan sistem pendidikan negara dengan harmoni. Janganlah kerana mengikut hati yang panas atau terpengaruh desakan pihak lain, sistem pendidikan tinggi kita korbankan. Ini tidak betul dan boleh menjejaskan masa depan generasi mahasiswa lain,” katanya. Malah, untuk bertindak lebih adil, beliau menyarankan agar diwujudkan suruhanjaya untuk mengkaji aspek pelengkap AUKU. Melalui suruhanjaya ini, katanya, semua pihak diberi akses bebas untuk menyuarakan pandangan sebelum keputusan dibuat.

“Cara ini lebih praktikal kerana kepentingan semua pihak diambil kira dan tidak membelakangkan hak sesiapa pun. Beri kebebasan mereka untuk melahirkan pandangan masing-masing selain disertakan fakta kukuh. Kata putus serta persetujuan diambil itu mampu menjernihkan kembali ketegangan sedia ada. Ini menunjukkan mahasiswa golongan intelektual dan bermaruah. Demonstrasi jalanan atau tindakan membuta tuli hanya akan meletakkan mereka di tahap paling rendah. Saya nasihatkan, jangan terlalu terburu-buru mengikut kata hati, kelak menyesal,” katanya. Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Ab Razab pula tetap menegaskan, pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan kerana mengganggu pembentukan jati diri sejati mahasiswa untuk mengikuti modul pendidikan sebenar. Menurutnya, tiada sesiapa berhak menghakimi tindakan mahasiswa yang mahukan AUKU dimansuhkan kerana ia kehendak naluri sendiri yang mahukan keadilan telus tanpa kerenah birokrasi.

“Malangnya, apabila mahasiswa bersuara mengenai AUKU, semua pihak pasti mengaitkannya sebagai propaganda pihak tertentu. Tidakkah mereka lihat itu naluri mahasiswa yang sudah bosan dilayan bagaikan budak kecil dan sering diperkotak-katikkan? Cukup dan usah mengaitkan mahasiswa dengan mengatakan mereka diperkudakan pihak tertentu. Apa dilakukan ini adalah kehendak sendiri kerana sudah lama tertindas dengan peraturan berat sebelah. Sebagai generasi muda, mereka inginkan pembaharuan lebih praktikal. Pemansuhan ini bakal menjadi lembaran baru dalam dunia pendidikan moden hari ini, sekali gus melahirkan wajah mahasiswa baru,” katanya. Menafikan pemansuhan itu juga, katanya, menyebabkan mahasiswa bertindak lebih ‘kurang ajar’, sebaliknya apabila universiti diberi kuasa autonomi menggubalkan undang-undang sendiri, kehidupan mahasiswa lebih proaktif. “Apabila mahasiswa merasakan apa dilakukan universiti salah, mereka ada hak bersuara dan universiti pasti mengambil tindakan segera bagi mengatasinya tanpa perlu merujuk atau mengikut telunjuk pihak tertentu. Tidak perlu lagi kami menunggu bagai buah tidak gugur apakah keputusannya.

Justeru, tidak timbul isu mahasiswa bertindak lebih kuah dari sudu kerana semua peraturan selari dengan undang-undang negara melainkan dilaksanakan sepenuhnya oleh universiti. “Kami tidak perlu berdepan kerenah birokrasi peringkat tertinggi kerana universiti sendiri boleh menentukan tindakan bakal diambil. Itu lebih telus, adil dan menyenangkan hati kerana universiti pasti kenal hati budi mahasiswanya sendiri,” katanya mengakui AUKU menjadikan mahasiswa naif merancang pembangunan jati diri. Bayangkan sejak mula menjejakkan kaki di universiti sudah disogokkan dengan ‘kekebalan’ AUKU. Mereka tidak bebas melahirkan pendapat, tidak berjiwa kental serta perlu mengikut ‘telunjuk’. Sedangkan dunia memerlukan pelapis yang berfikiran kritis, berani melahirkan pandangan serta menyahut cabaran. AUKU sudah tidak relevan dipraktikkan kerana senario mahasiswa kini sudah berubah,” katanya.

Akuinya, biarpun daripada 1.2 juta mahasiswa hanya tujuh peratus lantang bersuara, tidak bermakna peratus selebihnya tidak peka. “Yang membezakan ialah tujuh peratus itu aktif dalam memperjuangkan hak mahasiswa manakala selebihnya tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan. Paling penting, mereka nampak dan tahu apa perlu dilakukan bagi memastikan tindakan atau hak tidak dicabuli, sekali gus membantu merangka pemikiran luar kotak. Inilah generasi mahasiswa alaf baru yang sebenarnya perlu dilahirkan. Bukan penakut atau mudah dipersendakan sesuka hati,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
23 April 2012