02 November 2010

ISU SOSIAL : USAHA MEMASTIKAN HAK MANGSA JENAYAH TERBELA

Keadilan bukan saja perlu dilakukan, tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan. Ini adalah ungkapan umum sistem keadilan, termasuk sistem keadilan jenayah. Walaupun kita mempunyai perbezaan mengenai maksud atau cara mencapai keadilan, kita semua mahukan sistem keadilan jenayah yang sempurna – sistem yang memberi perhatian terhadap semua pihak dalam semua aspek. Banyak yang sudah diperkatakan mengenai hak orang yang tertuduh dan banyak juga tindakan yang diambil untuk memastikan tertuduh mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa pengiktirafan hak mangsa jenayah juga adalah prinsip sistem keadilan jenayah. Perasaan belas kasihan kepada mangsa jenayah tidak harus terhenti pada hari kejadian jenayah saja. Kesan jenayah terhadap jasmani, emosi dan psikologi mangsa, terutama jenayah berat seperti rogol, ragut, rompak dan bunuh (tidak terkecuali pornografi) amat serius. Mangsa akan menanggung kesan itu sepanjang hayatnya. Ramai mangsa jenayah menjalani kehidupan tidak sempurna selepas kejadian.

Dalam sistem diamalkan di negara kita, pendakwa raya menentukan jenis kesalahan dan pertuduhan. Mahkamah pula menentukan sama ada seseorang itu bersalah ataupun tidak. Dalam proses ini mahkamah mengambil kira bukti dibawa pihak yang terbabit, sama ada pendakwa atau tertuduh sendiri (atau melalui peguam). Sekiranya mahkamah mendapati seseorang itu bersalah, ia perlu mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dan kesan kesalahan itu. Dalam konteks ini, mahkamah boleh menentukan takat atau bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas penjenayah menurut peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang. Apakah peranan mangsa jenayah dalam proses pendakwaan dan penghakiman? Apakah keadilan yang boleh dituntut mangsa jenayah di dalam proses ini? Sehingga kini, mangsa jenayah tidak mempunyai apa-apa kuasa atau hak dalam menentukan pendakwaan dan perbicaraan, selain daripada tanggungjawab memberi bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan.

Dalam aspek lain, sistem keadilan diamalkan sekarang tidak memberikan mangsa hak undang-undang untuk mendapat ganti rugi akibat perbuatan jenayah, kecuali mangsa atau keluarganya membuat tuntutan atau menyaman pesalah dalam bentuk undang-undang sivil seperti tort. Sekiranya mangsa tidak membuat tuntutan sivil berkenaan, dia tidak akan mendapat apa-apa ganti rugi, walaupun kesan jenayah dilakukan amat serius.  Ini adalah sesuatu yang menarik untuk diberi perhatian kerana keadilan kepada mangsa jenayah bukan saja penjenayah dihukum, tetapi juga kebajikan mangsa jenayah dalam menjalani kehidupan selepas kejadian jenayah itu.  Konsep ganti rugi jenayah bukan perkara baru di sesetengah negara. Di negara kita, konsep ini sudah diperkatakan ahli akademik dan pengamal undang-undang pada seminar, tetapi ia belum lagi mencapai tempat yang selesa dalam sistem undang-undang.

Konsep ganti rugi jenayah penting kerana ia boleh menjadi sokongan kepada mangsa jenayah. Sekiranya mangsa pembunuhan ialah seorang bapa, satu-satunya pencari rezeki keluarga, apakah keadilan yang dapat diberikan kepada balu mangsa dan keluarganya selepas pembunuhan? Hukuman mati ke atas pembunuh mungkin boleh mengubati dendam atau geram, tetapi bagaimana pula dengan kualiti kehidupan mereka? Bayangkan sekiranya balu berkenaan tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai anak ramai, apakah keadilan sebenar kepada mereka? Begitu juga dalam kes kecederaan teruk menyebabkan mangsa kehilangan pancaindera atau kecacatan fizikal kekal serta menanggung kos rawatan tinggi. Tidak terkecuali mangsa jenayah domestik. Satu bentuk sokongan dan pemulihan, fizikal, emosi dan psikologi perlu diberi perhatian bersungguh-sungguh semua pihak, terutama pihak kerajaan. Banyak negara di dunia sudah mengambil pendekatan ‘mesra mangsa jenayah’. Ada negara yang mewujudkan undang-undang khas umpama piagam hak asasi kepada mangsa jenayah. Malah ada negara yang memberikan hak undang-undang kepada mangsa atau keluarganya hak untuk mendapat sedikit jumlah wang bayaran denda sekiranya penjenayah dihukum denda.

Pindaan Kanun Tatacara Jenayah 2010, yang diluluskan Jun lalu memberi sedikit cahaya kepada mangsa jenayah. Pindaan itu antara lain, mewajibkan mahkamah mendengar pernyataan mangsa jenayah atau seorang keluarganya mengenai kesan kesalahan ke atas mangsa atau keluarganya menerusi proses Pernyataan Kesan Terhadap Mangsa. Pindaan terbaru ini juga memberikan mahkamah kuasa menentukan ganti rugi kepada mangsa jenayah, mengeluarkan arahan mengenai peraturan selanjutnya bagi membantu mangsa seperti kaunseling dan seumpamanya.  Saya menyokong sepenuhnya pindaan ini. Ia adalah penambahbaikan kepada sistem keadilan jenayah di negara ini, walaupun ada beberapa penelitian perlu dibuat mengenai kaedah tertentu dalam pemakaian undang-undang ini kelak. Apa yang penting di sini ialah, kita sudah mula menyedari pentingnya mengiktiraf hak mangsa jenayah.

Pindaan itu merakam beberapa prinsip Piagam Hak-Hak Mangsa yang diiktiraf di sesetengah negara seperti Australia. Prinsip lain yang diiktiraf dalam Piagam Hak-Hak Mangsa Jenayah (seperti yang diiktiraf di New South Wales), Australia, termasuklah hak mangsa untuk mendapat layanan baik daripada agensi kerajaan yang terbabit seperti polis, mahkamah, hospital dan pendakwa raya. Sementara Biro Mangsa Jenayah dan Tribunal Pampasan Mangsa pula ditubuhkan bagi memberi bantuan kepada mangsa jenayah. Isu hak mangsa jenayah ini mesti dipandang berat oleh kerajaan. Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saja. Tindakan sewajarnya perlu disegerakan kerana pengiktirafan terhadap hak mangsa adalah elemen penting dalam sistem keadilan jenayah yang sempurna.  

Oleh Shamrahayu A Aziz  
Penolong Profesor 
Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

LUAHAN GURU : PELAKSANAAN KENAIKAN GRED PPPS

Sumber
Berita Harian
02 November 2010
 
Ketika sambutan Hari Guru 2010 lalu, pihak Kementerian Pelajaran ada mengumumkan kenaikan gred jawatan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Pengumuman ini disambut dengan perasaan gembira dan ucapan terima kasih oleh ramai PPPS yang memiliki PhD dan ia juga memotivasikan mereka yang belum memiliki PhD untuk menyambung pelajaran ke peringkat ini.

Namun, sejak pengumuman itu hingga kini tidak diketahui apakah perkembangan pemberian ini. Saya ingin sangat mengetahui syaratnya. Justeru, pihak berkenaan perlulah mempercepatkan proses ini. 
 
BAKAL PHD,
Sungai Petani, Kedah.
 
KOMEN CIKGU ZUL
 
Cikgu Zul pun sama dengan BAKAL PHD dari Sungai Petani, Kedah ini. Sehingga ke saat ini masih ternanti-nanti kriteria dan syarat-syarat yang diperlukan. Semoga pekeliling berkaitan dengan isu ini akan diedarkan ke sekolah-sekolah dalam masa terdekat. 
 
 

JAWAPAN KPM : GURU CEMERLANG DIPILIH SERTAI SKIM

Sumber 
Berita Harian
02 November 2011

Kementerian Pelajaran merujuk surat 'Pegawai E12, Putrajaya', bertarikh 23 Oktober bertajuk 'tak layak jadi guru cemerlang'.  Kementerian mengucapkan terima kasih atas cadangan Pegawai E12 supaya kementerian ini tidak tergesa-gesa memenuhkan kuota guru cemerlang Gred Khas C. Sejak skim Guru Cemerlang diperkenal pada 1994, kementerian memastikan hanya guru mempunyai ciri-ciri keperibadian terpuji dipilih di samping memiliki pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam mata pelajaran dimohon. 

Kementerian tiada keperluan untuk memenuhi kuota, jika tiada Guru Cemerlang yang layak untuk kenaikan ke gred yang lebih tinggi.  Selain itu, penilaian Guru Cemerlang termasuklah memperoleh markah baik dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT), keterampilan profesional dan pembabitan dalam bidang kepakarannya pada peringkat negara dan antarabangsa.  Majlis Guru Cemerlang Malaysia turut memainkan peranan meningkatkan keupayaan guru cemerlang dengan mengadakan pelbagai program peningkatan ilmu dan kemahiran pada peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di seluruh negara. Usaha seperti ini penting untuk memastikan mereka sentiasa bersedia menyahut cabaran.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

KOMEN CIKGU ZUL

Cikgu Zul selalu mengikuti perkembangan ini. Sehingga ke saat ini KPM masih belum menjawab pertanyaan sebilangan guru yang masih tidak berpuas hati dengan pemberian jawatan guru cemerlang pada tahun 2008 yang tidak diselia oleh pihak nazir. Kuasa hanya diberikan kepada Pengetua 100%. Pada tahun itulah bilangan guru paling banyak mendapat kenaikan pangkat menjadi guru cemerlang. Jawapan yang diberikan oleh KPM kebanyakannya lari daripada pertanyaan guru-guru yang tidak berpuas hati. 

 

HASIL KARYA TERCIPTA CIKGU ZUL

KOLEKSI KARANGAN BAHASA MALAYSIA STPM

Buku yang Cikgu Zul hasilkan ini semuanya mengandungi 100 tajuk karangan berdasarkan isu-isu penting yang dijangka boleh dikeluarkan dalam STPM. Setiap karangan yang ditulis dalam buku ini adalah selaras dengan format penulisan karangan di peringkat STPM. Jumlah perkataan bagi setiap karangan ialah 700 patah perkataan sahaja. Cikgu Zul hasilkan buku ini untuk memudahkan pelajar-pelajar Cikgu Zul memahami teknik-teknik penulisan yang menepati skema pemerkahan Bahasa Malaysia Kertas 2 STPM. 


KOLEKSI ANALISIS KESALAHAN BAHASA

Buku ini menghimpunkan lebih kurang 200 kesalahan bahasa yang lengkap dengan pembetulan dan sebab-sebab kesalahan untuk memudahkan para pelajar menjawab Bahagian D Bahasa Malaysia Kertas 2 STPM. Edisi percubaan telah digunakan di sekolah Cikgu Zul sendiri dan nampaknya amat berkesan. Pelajar-pelajar Cikgu Zul boleh menjawab Bahagian D dengan baik. 


Buat masa ini Cikgu Zul hanya cetak sendiri buku-buku ini. Jadi tidak terdapat di kedai-kedai buku di luar.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails