JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Mei 2012

ISU SOSIAL : PERPADUAN MILIK SIAPA?


PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.


Siapakah yang menjadi pemilik perpaduan negara ini? Adakah ia milik warga Malaysia yang sah dan berpegang kepada Perlembagaan, Rukunegara dan tatacara negara ini? Atau perpaduan ini bergantung kepada warga luar untuk menentukan pasang-surut ikatan hubungan interaksi antara anggotanya? Sejak kebelakangan ini, banyak isu hubungan etnik menjadi persoalan yang turut disimpulkan dengan fahaman politik masing-masing. Ada yang memahami sejarah kehadiran hubungan yang rencam dan majmuk ini manakala ada pula yang mahu mendengar mengikut keselesaan masing-masing sehingga mengetepikan rentetan susur-galur sejarah hubungan etnik semata-mata untuk memastikan ia tidak mengancam kepercayaan politik mereka. Tidak ketinggalan puak yang mahu menukar sejarah agar muncul sebuah negara dengan penginstitusian yang sejiwa dengan rasa hati mereka dan bukan majoriti kerana lebih berkecenderungan berpaksikan kepada fahaman politik idealisme dan bukan real politik.

Malaysia merupakan sebuah negara yang telah melalui sejarah perubahan pembentukan lanskap yang memperlihatkan komposisi kaum yang berbeza hidup di bawah bumbung yang sama dinamakan negara-bangsa. Walau berbeza, setiap individu masih dapat meneruskan tradisi warisan bangsa yang diiktiraf melalui institusi kepercayaan masing-masing dengan berbekalkan peraturan yang sudah ditentukan. Siapa yang tidak suka peraturan itu, mesti diakui ia adalah asas penting dalam sesebuah negara yang terdiri dari pelbagai komuniti yang akan pertahankan nilai dan norma dipersetujui oleh komuniti masing-masing. Yang pasti, tafsiran berbeza ke atas perundangan oleh ahli hukum turut mempengaruhi penerimaan ke atas sistem sosialnya. Nilai dominan dalam mahu melakar hubungan etnik yang baik adalah hormat, faham dan menerima antara satu sama lain. Menerima individu dari kumpulan etnik lain tidak sama sekali mengiktiraf kepercayaannya atau boleh menolak kepercayaan asal. Ini merupakan pemikiran jumud sedangkan menerima berdasarkan kepada pemahaman dan rasa hormat kepadanya tanpa perasaan syak wasangka membolehkan kita merentasi fasa baru dalam hubungan etnik negara ini.

Hubungan etnik negara ini telah melalui beberapa fasa yang akhirnya menunjukkan sekiranya ia masih bersifat retorik dan kosmetik sahaja, kesannya akan dirasai oleh generasi akan datang. Sejak kemerdekaan sehingga ke hari ini, yang dilihat adalah walaupun ada peristiwa yang tidak diingini berlaku, tetapi akhirnya kemuafakatan dan keharmonian menjadi tunjang kekuatan agar ia tidak menghancurkan segala yang sudah dibina sekian lama. Soalnya, perpaduan milik siapa? Seiring dengan proses modenisasi dan pembangunan, kadar celik telah bertambah. Emansipasi wanita juga jauh berubah. Prasarana dan kemudahan asas mencapai tahap yang jauh memberangsangkan berbanding dengan negara pesat membangun yang lain. Adakah perubahan fizikal ini turut mempengaruhi minda dan mindset rakyat dalam menyelami nilai perpaduan? Tuntutan dan kemahuan masyarakat berubah bersama dengan persekitaran baru. Dengan celik huruf meningkat, sejarah hubungan etnik sudah turut berubah kerana masing-masing sudah boleh memiliki apa sahaja yang dimahukan dan kesemua itu dapat dilakukan kerana adanya proses pembangunan dalam negara.

Perkembangan kenegaraan menyebabkan ada yang terkehadapan dan ada masih terkebelakang. Ia bukan sahaja berlaku antara kumpulan etnik tetapi juga dalam sesuatu kumpulan etnik. Ia berlaku di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ia berlaku di kawasan luar bandar dan bandar pula merebak kemiskinan bandar. Namun, ia adalah proses yang perlu dilalui kerana mana-mana negara sekalipun, masalahnya tetap sama. Namun, kepentingan 35 peratus (%) di bawah garis kemiskinan perlu dijaga kebajikan akan tidak songsang dengan kehidupan berkualiti dan tidak hanyut dalam proses globalisasi yang menjadikan yang kaya menjadi kaya dan yang miskin menjadi miskin. Indikator terbaik adalah tanggungjawab meringankan beban kelompok dari mana-mana etnik sekalipun dengan kemudahan asas dan keperluan seharian agar jiwa merdeka Malaysia tidak dicabut dari dirinya. Perkembangan dalam sesuatu etnik mahupun etnik lain juga telah membawa kepada lahirnya kelas dalam masyarakat, berkelas atasan, menengah dan bawahan. Kelas menengah semakin membesar dalam kalangan masyarakat negara ini tetapi itu tidak bermakna mereka terlepas dari gigitan ekonomi dengan peningkatan kos kehidupan yang juga terpaksa dilalui akibat proses perubahan pembangunan negara.

Waktu yang sama, walaupun berlaku perjuangan antara kelas; golongan ekstremisme dan prejudis juga bertambah walaupun ada sarjana beranggapan dengan perubahan persekitaran politik, ekonomi dan sosial, kumpulan sederhana ataupun pertengahan akan meningkat dan melebarkan kelompok liberal yang tidak terlalu radikal. Cabaran jelas adalah sebarang perubahan, pembangunan dan pertumbuhan tidak boleh berlaku tanpa adanya nilai muhibbah dalam konteks masyarakat rencam Malaysia. Perpaduan adalah milik bersama. Ia tidak boleh dikompromi. Walaupun pasaran bebas global mencipta kepentingan ekonomi sehingga mempengaruhi setiap kelompok etnik dan kelas dalam stratifikasi masyarakat, peraturan lisan hubungan etnik tidak perlu diubah termasuk hubungan pemimpin dan masyarakat; masyarakat dengan masyarakat berlainan latar belakang; dan lebih daripada itu walau berbeza keturunan, kepercayaan, gender dan fahaman politik sekalipun, konflik mesti dielak dan kedamaian perlu dipelihara berlandaskan kepada hukum yang sudah diwartakan.

Kelas menengah dan atasan boleh menentukan arah negara tetapi ini tidak bermakna kestabilan dan keadaan yang aman boleh dikorban. Demokrasi yang sejahtera nilainya dan stabil bergantung kepada jurang antara etnik dan dalam sesuatu etnik. Dalam berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu, harus masing-masing bersama dan bukan memperdayakan bangsa sendiri yang memberi kelebihan kepada institusi lain campur tangan sehingga kita alpa dan terdorong untuk melakukan apa sahaja atas nama persaingan. Pelbagai wajah sebenarnya menyumbang kepada pencapaian tanah air. Penyatuan perlu dengan sifat kepunyaan agar kita bangga sebagai seorang warganegara ini.

Jangan disoal perpaduan milik siapa kerana masing-masing ada tanggungjawab walau sebagai seorang kanak-kanak tadika, pelajar sekolah rendah, individu sekolah menengah mahupun mahasiswa; dewasa yang bekerja sebaik tukang kebun, penganggur, pekerja kilang, ahli sukan, guru, pembersih, peneroka, pengajar, penjual roti, kontraktor, ejen insurans, jurujual, pensyarah, ahli perniagaan, ulamak, eksekutif syarikat, doktor, peguam, remaja, tua, pemimpin, penghulu, polis, pentadbir, tentera, pembesar dan sesiapa sahaja; perpaduan tidak ada nilai permintaan dan penawaran jutawan ataupun bangsawan, yang ada hanya kesungguhan memastikan ia tidak digadai demi masa depan generasi akan datang. Dari amalan politik gabungan besar tahun 50-an sehingga kepada konsep 1Malaysia dalam jangka hayat kini, keikhlasan dan kejujuran menjadi teras kekuatan pemilikan perpaduan negara ini. Pengisian ke atas pembentukan identiti nasional penting agar ia tidak menjadi taruhan untuk curigai amanah sebagai seorang warga.

Kumpulan senyap yang berada dalam zon keselesaan selama ini mesti turut memainkan peranan sebagai 'ejen kepunyaan' supaya pemilikan perpaduan bukan sekadar dilihat pada basahan bibir tetapi dipamer melalui amalan dan praktis sebagai contoh berterusan warisan ketamadunan dalam persekitaran baru tanpa mengubah asas kemuafakatan terbina dari kedayaupayaan kesinambungan kepimpinan. Merekacipta semangat pemilikan perpaduan terasnya adalah tanpa sama sekali mengenepikan tradisi jiwa etniknya kerana ia lahir dalam dirinya; waktu yang sama menjadi orang Malaysia, hati nuraninya Malaysia dan memperkasakan kepentingan bersama berjiwakan Malaysia dengan tidak mengancam keselamatan menyeluruh yang terbina atau menggadaikan kekebalan kedaulatan Malaysia kerana tidak berselera menjadi orang Malaysia bertopengkan budaya luar akibat dakyah pihak tertentu dipinjam dari amalan individualistik dan materialistik. Anasir ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja seperti perumpamaan 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri', lebih baik negeri sendiri kerana kita adalah pembekal dan pemilik perpaduan sebenar kepada negara ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

Sumber :
Utusan Malaysia
15 Mei 2012

ISU UMUM : TUN DR MAHATHIR IKON MEMBACA KEBANGSAAN


Oleh NURUL ANUAR KARI


Program Galakan Membaca merupakan satu usaha kerjasama pelbagai pihak yang diselia Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama jabatan dan agensi kerajaan. Turut memberi kerjasama, syarikat-syarikat swasta, persatuan penulis, penerbit, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah serta orang perseorangan dalam melaksanakan bermacam program secara berterusan. Secara bersama, tidak kurang daripada 8,000 program dijalankan setiap tahun di seluruh negara sejak 2009 dengan penglibatan 1.7 juta peserta pada 2009, lebih 600,000 peserta pada 2010 dan lebih 2 juta peserta pada 2011. Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia juga menunjukkan program galakan membaca yang bermula pada 2006 meningkatkan trend pembacaan rakyat dari dua buku setahun pada 2005 kepada lapan hingga 12 buku setahun pada 2010.

Bagi memenuhi kehendak membaca 'Generasi Y' pula, pembacaan menggunakan medium selain buku seperti portal dan pangkalan data elektronik turut dibangunkan dengan 21.61 juta akses perkhidmatan atas talian pada 2010 berbanding 5.74 juta pada 2008. Ini akan terus ditingkatkan PNM selaras dengan kemunculan pelbagai gajet elektronik yang canggih di pasaran seperti komputer tablet dan telefon pintar yang mempunyai aplikasi untuk mengakses bahan bacaan seperti e-book. Untuk terus menggalakkan amalan membaca, PNM juga akan meneruskan program Ikon Membaca sebagai kaedah menarik minat umum terhadap kempen tersebut melalui aura tokoh dan idola ternama negara. Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar menjelaskan, sebelum ini Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan Datuk Michelle Yeoh dipilih sebagai ikon bagi menggalakkan dan membudayakan amalan membaca.

"Seorang angkasawan negara, seorang lagi pelakon terkenal yang kedua-duanya berjaya kerana mereka membudayakan membaca dalam mengejar cita-cita dan memenuhi tanggungjawab kerjaya masing-masing. Melihat kesan nyata hasil penyertaan dua tokoh itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencadangkan negarawan kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat sebagai Ikon Membaca Kebangsaan," katanya. Tambahnya, selepas berjumpa dan menjelaskan tentang program itu, Dr. Mahathir akhirnya bersetuju demi menarik minat membaca di kalangan rakyat. Walaupun cadangan tersebut dikemukakan pada 2010, beliau memaklumkan tarikh 14 Mei 2012 (hari ini) dipilih untuk perasmian Ikon Membaca Kebangsaan kerana menunggu masa sesuai untuk semua pihak yang terlibat. "Dr. Mahathir mempunyai serba serbi bakat hasil pembacaan perkara kecil hingga yang besar, ringan dan berat, membolehkan beliau membuka kedai roti dan pertukangan. Beliau membuat apa yang dibacanya. Jika tidak, sukar untuk beliau menguruskan krisis ekonomi negara dahulu," katanya.

Katanya lagi, Dr. Mahathir pasti akan mengunjungi kedai buku ketika melawat negara lain dan mampu menghabiskan bacaannya dalam penerbangan pulang sebelum buku itu disimpan di perpustakaan di rumahnya. Beliau berharap latar belakang serta sejarah Dr. Mahathir yang membudayakan membaca buku, kadang kala sehingga tiga buku sehari, dijadikan teladan untuk semua termasuklah kebolehannya membaca dengan pantas . "Walaupun sudah ada peningkatan amalan membaca, kehadiran Dr. Mahathir sebagai ikon akan menarik lebih ramai lagi penyertaan, seterusnya menambah kesedaran tentang pentingnya membaca di kalangan rakyat negara ini. Raslin menjelaskan, penting untuk meluaskan lagi amalan membaca, bukan sekadar amalan hidup malahan demi menjayakan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut beliau, selaku negarawan dan bekas pemimpin yang dihormati, kedudukan Dr. Mahathir sebagai idola juga penting agar boleh dijadikan contoh individu yang berjaya melalui membaca, oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka. "Kita mahu menerapkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dalam jiwa setiap rakyat dan tingkatkan pemikiran, minda serta nilai-nilai murni melalui bahan-bahan bacaan berkualiti. Tetapi, jika bahan bacaan di luar tidak berkualiti, pemikiran umum juga akan menyusul sama. Tiada guna meningkatkan amalan membaca jika tidak dapat meningkatkan pemikiran rakyat," katanya. Oleh itu, beliau berharap pihak penerbit juga memberi kerjasama dalam kempen tersebut melalui pengeluaran bahan ilmiah ataupun separa ilmiah dan bukan sekadar mencari keuntungan melalui bahan bacaan ringan semata-mata.

Tambahnya, gerakan pembelajaran sepanjang hayat juga tidak mahu seseorang itu kekal di takuk lama sebaliknya perlu ada peningkatan walau dalam bidang apa sekalipun. "Jika seorang petani, kita tidak mahu kekal petani biasa sahaja. Cuba baca bagaimana untuk menjadi petani moden seperti petani di Jepun. Amat sukar mencapai taraf tinggi jika malas membaca. Kita tidak boleh bergantung kepada pengalaman semata-mata. Kerana itu kita memilih Dr. Mahathir sebagai ikon kerana mahu pemikiran rakyat juga maju menjelang Malaysia mencapai status negara maju pada 2020," tegasnya. Beliau menjelaskan, peluang tersebut akan digunakan sebaik-baiknya secara berterusan kerana Dr. Mahathir boleh menjadi ikon untuk tempoh yang panjang serta dikenali semua, di dalam dan luar negara.

Menurut Raslin, program Ikon Membaca Kebangsaan itu dimulakan tahun lalu dengan pertandingan esei berkaitan Dr. Mahathir di kalangan murid sekolah dan orang ramai yang akan diumumkan pemenangnya pada hari ini. "Kita juga telah sediakan banyak bahan promosi untuk kempen kali ini melalui rakaman klip video dan dokumentari khas, rencana iklan, bahan cetakan dan sebagainya. Semua ini akan diedarkan kepada umum dan juga pertubuhan bukan kerajaan bagi menyampaikan mesej mempromosi amalan membaca," ujarnya. Beliau menjelaskan medium seperti klip video akan dijadikan bahan promosi di seluruh negara kerana tidak mahu membebankan kesihatan Dr. Mahathir jika membawanya ke merata tempat. Tambahnya, di samping mengambil aura ikon membaca itu melalui bahan promosi, wacana membaca melalui Bicara Perdana juga akan dibawa sehingga ke luar bandar bagi membincangkan budaya membaca amalan Dr. Mahathir.

"Kita juga akan mengadakan pameran khas selama satu minggu di Perpustakaan Negara mulai 14 Mei, memaparkan buku-buku yang pernah dibaca Dr. Mahathir, ada antaranya ditanda dan ditulis nota berkaitan maklumat terpilih. Ini termasuk draf buku beliau yang ditulis menggunakan tangan. Jika diizinkan, kita mungkin akan membawa koleksi peribadi beliau ini untuk dipamerkan di seluruh negara kelak," katanya. Dengan itu, Raslin turut menjemput orang ramai menghadiri program Ikon Membaca Kebangsaan di Perpustakaan Negara dari pagi hingga ke majlis perasmian pada sebelah petang. "Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan program ini dengan anugerah berbentuk jubah khas akan disampaikan kepada Dr. Mahathir sebagai penghargaan dan pengiktirafan intelek beliau," jelasnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

Sumber :
Utusan Malaysia
14 Mei 2012

JADIKAN MOTIVASI : PENCUCI TANDAS TERIMA IJAZAH



Seorang penjaga bangunan Universiti Columbia, Gac Filipaj merupakan antara pelajar cemerlang pusat pengajian tinggi itu. Filipaj berusia 52 tahun dan dia bekerja membersihkan lantai, mengosongkan tong sampah dan membersihkan tandas di universiti tersebut di sini. Dia berasa bangga kerana menerima ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam majlis konvokesyen universiti itu. Filipaj belajar selama 12 tahun dalam pengajian klasik sambil bekerja sepenuh masa sebagai penjaga bangunan. Pada awalnya, dia mempelajari bahasa Inggeris selepas melarikan diri daripada perang saudara di negara kelahirannya, Yugoslavia pada tahun 1992. Berasal daripada etnik Albania, dia berhijrah ke Amerika Syarikat kerana bimbang akan dipaksa menyertai tentera Serbia. Selepas mendapat ijazah, Filipaj kembali bertugas sebagai penjaga bangunan di universiti berkenaan. Namun, dia berharap akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Penjaga bangunan tersebut masih menghantar wang kepada keluarganya yang bekerja di sebuah ladang di Montenegro. – Agensi

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Kosmo
15 Mei 2012