DR. MOHD. BAKRI BAKAR
Pensyarah
Kanan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi bersama
Persatuan Kimia ACS Malaysia.
Kerencaman
perubahan dunia akan sentiasa menyediakan cabaran baharu yang perlu ditangani
dengan segera dan berhemah. Dalam hal ini, sumbangan universiti cukup penting
bertepatan dengan peranannya sebagai sumber penjanaan ilmu yang mampu
menawarkan penyelesaian bijak. Tambahan pula universiti adalah institusi utama
berasaskan elemen pendidikan aras tinggi yang tersusun dengan keupayaan ahli
akademia yang diperakui keilmuannya.
KEJAYAAN DR. LATIFAH
MUNIRAH dari Universiti Malaysia Perlis menerima anugerah Grand Prix ISIF 2016
di Istanbul, Turki, baru-baru ini, antara batu loncatan untuk universitinya
mengkomersialkan kajian beliau.
Di
sinilah kepakaran universiti ditagih bagi memastikan manfaat ilmu dapat
diterjemahkan untuk kemajuan negara dan kesejahteraan warga. Tuntutan tersebut
memerlukan perubahan acuan sedia ada dengan keseimbangan peranan universiti
sebagai gedung kekayaan ilmu dan entiti kekayaan kewangan harus diberikan
wacana baru.
Sektor
pendidikan tinggi negara telah melalui perkembangan yang membanggakan berikutan
polisi yang menggalakkan kecemerlangan institusi untuk menyediakan pendidikan
terbaik. Berdasarkan laporan terkini Kementerian Pendidikan Tinggi,
kesarjanaan universiti tempatan telah diiktiraf sepertimana pencapaian
penarafan 50 terbaik dunia bagi subjek sains alam sekitar dan pengajian
pembangunan serta peningkatan konsisten penarafan universiti mengikut ranking
QS. Keyakinan terhadap ekosistem kecemerlangan pendidikan tinggi negara juga
diakui dengan kewujudan sembilan kampus antarabangsa iaitu bilangan yang
tertinggi di Asia.
Pada masa
sama, sumbangan institusi pendidikan tinggi seperti universiti terhadap
komuniti dan industri tempatan giat dilakukan melalui inisiatif pemindahan ilmu
seperti Knowledge Transfer Program dan Public-Private Research Network. Malah,
nilai kesukarelawan bagi mengangkat taraf sosioekonomi masyarakat terus menjadi
agenda utama sepertimana lebih daripada 5000 sukarelawan telah digerakkan dalam
Ops Pasca Banjir pada tahun lepas. Manakala inovasi teknologi daripada
kepakaran penyelidik universiti juga telah dimanfaatkan dalam menyediakan
kemudahan seperti bantuan kepada mangsa bencana banjir tersebut.
Tahun ini
menyaksikan pemerolehan bajet pengkhususan untuk pendidikan negara telah
dikurangkan kesan daripada ketidaktentuan ekonomi semasa. Hasilnya,
kebergantungan utama kewangan pendidikan kepada perbendaharaan kerajaan sudah
tidak menjadi lestari. Tanpa menafikan pendidikan adalah bersudut pelaburan
jangka panjang yang sentiasa menjadi tanggungjawab kerajaan, inisiatif
kemandirian kewangan terutamanya di peringkat pendidikan tinggi harus
diusahakan bagi memacu perekonomian pendidikan.
Hal Ini
demikian kerana pendidikan tinggi terutamanya universiti mempunyai potensi,
keupayaan dan sumber yang tidak terhad dalam berinovasi untuk mencipta
kekayaan. Ini juga selaras dengan autonomi kewangan yang mula diberikan kepada
universiti bagi membolehkan mengenal pasti peluang dan ruang baru penjanaan
kewangan tanpa dihadkan oleh peraturan konvensional.
Oleh itu,
perkara ini telah dijadikan salah satu asas lonjakan pendidikan tinggi negara
yang telah dibentangkan melalui pelan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(Pendidikan Tinggi) bertemakan kelestarian kewangan. Sudah tentunya
kecemerlangan berteraskan kesarjanaan ilmu yang telah dicapai harus diteruskan
dengan penyelesaian kreatif perlu diketengahkan dalam menghadapi kekangan
kewangan.
Oleh itu
universiti perlu dimodelkan kembali mengikut landskap cabaran semasa, namun
tidak mengetepikan matlamat asal kewujudan universiti. Ini bermakna peranan
universiti perlu terus selaras mengikut paksi keilmuan, tetapi ditambah nilai
supaya dapat diterjemahkan kepada manfaat kesejahteraan yang mencakupi keduadua
aspek sosial dan ekonomi.
Kehadiran
universiti sebagai sumber rekayasa sosial masyarakat melalui pendidikan perlu
terus diupayakan. Manakala, model universiti bercirikan nilai keusahawanan
perlu diberikan tumpuan terutamanya dalam inisiatif mengkomersialkan idea.
Hakikatnya, manfaat yang akan terhasil bukan sekadar membantu kewangan
universiti, akan tetapi dapat membawa limpahan kemakmuran terhadap ekonomi
setempat dan negara keseluruhannya.
Melalui
pembentangan amanat tahun baru, Kementerian Pendidikan Tinggi mencadangkan lima
ruang strategi yang perlu diterokai bagi menterjemahkan keupayaan sedia ada
pendidikan tinggi kepada hasil yang dapat memberikan impak ekonomi. Ini
melibatkan pemerkasaan sistem endowmen serta wakaf, pengukuhan jalinan alumni,
pengkomersialan hasil kepakaran serta penyelidikan, membuka potensi aset dan
mewujudkan ekosistem keusahawanan. Semua inisiatif yang dinyatakan tersebut
perlu dilaksanakan bersekali dengan pembudayaan perbelanjaan berhemah dan peningkatan
aras kecekapan pengurusan.
Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) misalnya meletakkan keutamaan terhadap agenda
kelestarian pendidikan tinggi seiring penghasilan yang berimpak. Sebagaimana
dinyatakan melalui buku perutusan Naib Canselor, UTM telah menetapkan
kelestarian kewangan sebagai antara pemacu perubahan dengan tujuh bidang
tumpuan utama universiti telah dikenal pasti.
Bagi
mengekalkan ekosistem kecemerlangan, UTM akan terus menyediakan dana secukupnya
melalui lonjakan penjanaan daripada sumber baru serta amalan pengagihan
belanjawan mengikut keberhasilan di samping menggiatkan nilai produktiviti dan
keusahawanan kepada setiap warganya.
Strategi
seperti ini adalah penting dalam merasionalisasikan kembali pelaburan
pendidikan supaya lestari dan kekal menghasilkan pulangan berimpak. Selain itu,
agenda kelestarian juga harus dilaksanakan merentas institusi melalui interaksi
dan kerjasama melibatkan perkongsian sumber, kepakaran dan praktis terbaik
untuk kecemerlangan bersama.
Sememangnya
tiada acuan yang konkrit berkenaan model universiti yang tetap. Kelestariannya
bergantung kepada visi dan misi unik setiap universiti dalam menghadapi cabaran
tersendiri melalui keseimbangan tanggungjawab kepada pelbagai pihak.
UTUSAN
MALAYSIA
16 MAC
2016