31 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : KSSR KURANGKAN TEKANAN PEPERIKSAAN, BINA MODAL INSAN BERKESAN


Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global.  KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan. Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu menaakul menjadikannya 4M.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri, Saadun Kasim, berkata KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan seumur hidup.  Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kurikulum itu turut bersandarkan enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai.  Pembaharuan lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan.

Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.  Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.  Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini.


Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.  Portfolio adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya. Dokumen ini dibahagikan kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran.  Portfolio perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa, membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai.

Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid.  Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk pemberian penghargaan.  Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong Oi Lai, berkata pendekatan baru ini membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan dan teratur.  Katanya, portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya. “Pengukuran tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam.

“Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali,” katanya. Beliau berkata, band satu peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya.  Ia memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam kebolehan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan mereka.


Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata walaupun ujian bertulis masih dijalankan seperti dulu, proses penilaian KSSR mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan yang ditonjolkan murid dalam kelas. “Guru perlu memahami etika perguruan, jujur dalam tugas dan tidak boleh melebihkan murid tertentu demi kepentingan peribadi,” katanya mengulas mengenai kaedah penilaian murid.  Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Damansara, Datuk Mohd Nadzli Othman, berkata, oleh sebab sebahagian proses penilaian dilakukan oleh sekolah, murid akan berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. Katanya, mereka akan bersaing dengan murid lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka.

Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR bermula tahun ini membabitkan murid Tahun Satu adalah inisiatif memperkasa modal insan negara.

SUMBER
BERITA HARIAN
31 JANUARI 2011

ISU KESIHATAN : MASYARAKAT MALAYSIA PELAHAP


Kita amat tertarik dengan satu laporan dari Taiwan mengenai Presiden negara itu melancarkan kempen menurunkan berat badan di kalangan rakyatnya, baru-baru ini. Menerusi kempen itu, Ma Ying-jeou berazam untuk membuang sejumlah 600 tan lemak badan di kalangan rakyatnya. Beliau sendiri sebelum itu berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 11 kilogram. Kita mungkin terbayang kalau kempen yang sama dilancarkan di Malaysia, pasti lebih menarik. Ini kerana ramai daripada kalangan rakyat kita kuat makan, suka makanan berminyak dan berlemak serta suka makan tengah malam. Lihatlah di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang, banyak restoran beroperasi 24 jam. Rasanya tiada negara lain yang mempunyai persekitaran sedemikian melainkan Malaysia.

Itu belum menyentuh tentang kegilaan minum teh tarik, roti canai, sup lembu, ayam atau kambing dan sebagainya. Mengambil makanan berlebihan sudah menjadi tabiat sebahagian besar rakyat Malaysia, yang sebenarnya cukup membimbangkan. Oleh itu, kita  percaya jika diadakan kempen dan ditetapkan sasaran mengumpul 1,000 tan lemak dalam sebulan, ia tidak sukar dicapai. Apatah lagi Malaysia turut dilanda fenomena masyarakat skrin (televisyen, komputer dan permainan video dan gajet sosial), menjadikan kita malas bersenam. Yang lebih membimbangkan ialah kesannya kepada generasi kanak-kanak dan remaja. Usaha untuk memupuk gaya hidup sihat ke atas golongan tersebut kini menjadi cabaran amat besar. Sebab itu di Amerika Syarikat, Wanita Pertama Michelle Obama menggerakkan kempen ‘Let’s Move’ bertujuan menangani masalah obesiti kanak-kanak yang menjadi-jadi sekarang.

Apa lagi yang tidak kena? Memetik kata-kata Presiden Taiwan. ‘‘Saya makan hanya dua pertiga daripada jumlah makanan yang biasa saya makan dan bagi setiap suapan makanan, saya mengunyah 35 kali.’’ Amalan itu sebenarnya amat membantu penghadaman dan telah sekian lama dituntut dalam Islam. Nabi Muhammad SAW telah berpesan agar umatnya mengunyah 44 kali terutama makanan pejal. Persoalannya berapa kerat yang peduli? Lalu teringat pula pada petua yang diamalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berhenti makan sebelum kenyang. Sekali lagi, siapa peduli kerana kita sudah berada dalam budaya masyarakat pelahap.

Sumber
Bisik-bisik Mingguan
Utusan Online
31 Januari 2011

30 Januari 2011

ISU SOSIAL : ORANG KITA HANYA BERDISIPLIN APABILA TERTEKAN


Disiplin  tanpa tekanan akan menjadikan seseorang itu berdisiplin walau di mana dia berada. Misalnya, seorang murid yang berdisiplin sentiasa mematuhi peraturan sekolah tanpa perlu pengawasan guru disiplin. Teringat pengalaman menjadi guru sementara di sebuah sekolah menengah di Merlimau, Melaka. Cikgu Kamal - bertubuh kecil, bercermin mata - setiap kali dia berjalan, kawasan persekitarannya akan senyap sunyi. Pelajar yang rancak bersembang atau seronok bergurau-senda, umpama mati akal apabila terlihat kelibat Cikgu Kamal. 

Kelas yang riuh-rendah kerana ketiadaan guru bertukar menjadi aman-damai apabila Cikgu Kamal melintas. Dia tidak perlu membawa rotan ke sana-sini. Aura dan namanya sudah cukup digeruni. Tutur katanya juga tidak lantang, cukup bersahaja tetapi menikam kalbu. Entah apa ilmu serta pengalaman yang dimiliki Cikgu Kamal, kehadirannya ternyata membantu mendisiplinkan para pelajar. Namun tanpa Cikgu Kamal, pelajar-pelajar mula buat hal dan tidak peduli tentang disiplin. Itulah yang dikatakan disiplin bersifat sementara disebabkan rasa takut dan gentar bukannya kerana disiplin sememangnya menjadi sebahagian daripada diri.

Dalam hal disiplin sementara, semestinya ia bukan sifat positif. Apabila berhadapan dengan seseorang yang digeruni atau di bawah tekanan, maka seseorang itu akan berdisiplin. Namun apabila terlepas daripada belenggu ketakutan dan tekanan, silap-silap hari bulan disiplin yang dipegang bertaburan menjadikan mereka lebih teruk lagi. Itulah yang terjadi kepada warga Singapura yang terkenal dengan sikap berdisiplin sehingga menjadikan bandar raya Singapura itu antara yang terbersih di rantau ini. Pemerintah republik itu sering dipuji kerana berjaya mendisiplinkan rakyatnya. Tetapi jika diamati, ada beza dari segi nilai disiplin antara warga Singapura dan warga Jepun. Warga Singapura hanya berdisiplin apabila berada di negara sendiri. Mereka tidak buang sampah merata-rata.

Mereka tidak memandu melebihi had laju. Nak meludah sembarangan pun mereka terpaksa fikir banyak kali. Malah untuk menambah cahaya mata pun mereka terikat kepada peraturan dan undang-undang. Tetapi keadaan sebaliknya berlaku sebaik mereka melepasi Tambak Johor. Menginjakkan kaki atau tayar kereta di bumi Malaysia adakalanya seolah-olah peluang keemasan untuk membalas dendam terhadap apa yang mereka tidak boleh lakukan di negara sendiri. Apatah lagi dengan kadar dolar Singapura yang sekali ganda berbanding ringgit, maka semestinya orang dari republik itu ada ‘angin’ tersendiri.

Pengalaman berebut tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Melaka bandar raya bersejarah pada satu hujung minggu cukup ‘membakar darah’ tentang sikap warga Singapura. Sememangnya Melaka menjadi destinasi wajib bagi orang Singapura apabila tiba hujung minggu atau musim cuti sekolah. Kereta dengan plat nombor Singapura memenuhi ruang yang ada. Di pusat beli-belah, tempat pelancongan, medan ikan bakar dan restoran-restoran menjadi tumpuan mereka. Begitu juga di lebuh raya. Deretan kereta dari negara itu di lorong paling kanan adalah pemandangan biasa. Apabila berada di lorong kanan, faham-faham sajalah berapa kelajuan kenderaan yang dipandu. Semestinya melebihi had laju. Maklumlah kenderaan mewah dan ada di antara model kereta yang dipandu tidak terdapat di negara ini, justeru kesempatan yang ada umpama memandu uji kenderaan yang baru dibeli. Lebih-lebih lagi peluang memandu pada kelajuan sedemikian tidak berani dicuba di jalan raya negara sendiri.

Alasan kebanyakan warga Singapura yang berdisiplin sementara ini - orang Malaysia tidak berdisiplin mengapa mereka mesti berdisiplin. Sedangkan seperti amalan warga Jepun, sikap berdisiplin yang menjadi amalan di negara mata hari terbit itu akan terpakai di benua mana juga mereka berada. Malah orang Jepun mampu menurunkan tradisi disiplin mereka itu kepada penduduk di negara yang mereka kunjungi. Ini kerana disiplin orang Jepun berbeza dengan orang Singapura. Mereka mengaitkan disiplin dengan maruah dan jati diri. Melonggokkan bahan buangan plastik pada hari pihak berkuasa tempatan mengutip bahan buangan kertas adalah kesilapan disiplin yang dianggap menjatuhkan maruah mereka. 

Sebab itu orang Jepun selalunya akan mematuhi peraturan dan undang-undang di mana saja lantaran pematuhan yang menjadi darah daging mereka selama ini bukan disebabkan tekanan atau rasa takut. Dan apabila bebas atau daripada tekanan dan rasa takut mereka kekal begitu. Bukannya seperti warga Singapura yang selamba memotong kenderaan penulis dan masuk ke tempat letak kereta tanpa ada rasa mahu memohon maaf atau sekurang-kurangnya mengangkat tangan.

Oleh Noraini Abdul Razak

MINGGUAN MALAYSIA
30 JANUARI 2011

ISU SOSIAL : NILAI SEBUAH TELEVISYEN


Bagaimana rasanya kehidupan jika tiada televisyen di rumah? Jika soalan ini ditanya pada 10 tahun lepas mungkin jawapannya berbeza. Tapi jika kita tanya pada orang muda sekarang, televisyen bukan lagi satu keperluan dalam kita memproses maklumat ataupun mencari hiburan. Sejak televisyen menjadi fenomena apabila ia dipasarkan secara besar-besaran pada hujung tahun 1920-an, peranannya memang tidak boleh dipertikaikan. Ia bukan sekadar informatif tetapi juga dalam banyak hal memainkan peranan membentuk pemikiran dan menyebarkan luaskan budaya baru. Malah adakalanya ia menimbulkan ketagihan yang agak melampau atau pun mungkin ramai juga yang pernah menangis ketika berada di hadapan televisyen.

Ada yang bersifat sentimental memandangkan ramai juga yang terpengaruh dengan rancangan-rancangan yang disiarkan yang mana ia turut membentuk sebahagian dari identiti diri. Dengan televisyen pemikiran orang muda di AS misalnya mula cenderung kepada penyebaran budaya-budaya yang sebelum ini dianggap tabu oleh masyarakatnya. Begitu juga dengan masyarakat di negara ini. Kebanyakan generasi yang ada sekarang boleh kita sifatkan sebagai “dibesarkan” dalam hidangan rancangan televisyen yang pelbagai sifat dan genrenya. Soal kualiti itu satu perkara lain, yang menjadi asasnya sejak televisyen wujud di negara ini, ia telah banyak berperanan dalam membantu, membentuk, mendidik mahupun merosakkan pemikiran rakyat dan masyarakat.

Selain itu juga, televisyen juga sudah melalui satu ledakan revolusi yang sarat sama ada dari segi rupa bentuk, saiz, kualiti serta warna. Dari hitam putih kepada bentuk digital, dari saiz yang berat kepada bentuk skrin besar berinci-inci tetapi ringan, semua ini merupakan antara perkara yang berubah mengikut peredaran zaman. Namun hakikatnya industri ini telah memberi keuntungan lumayan sejak berdekad lamanya. Ini kerana masyarakat sudah dibentuk bahawa televisyen adalah satu keperluan di rumah. Tanpanya seolah-olah mungkin boleh menimbulkan ketidakselesaan atau kemurungan. Tapi pada masa yang sama kita juga tidak boleh menidakkan jasa dan sumbangan televisyen dalam menjadikan siapa kita hari ini. Bukan semua yang disiarkan tidak elok. Ia terpulang kepada manusia itu sendiri untuk membuat penilaian apa yang boleh dan tidak ditonton.

Bagaimanapun akibat nafsu manusia yang senantiasa tidak pernah puas, televisyen juga dilihat semakin menghampiri “waktu puncaknya”. Akibat ledakan teknologi maklumat yang dilihat lebih bebas, terbuka dan tanpa sempadan, semua peranan yang sebelum ini banyak dimainkan oleh televisyen sudah semakin bertukar arah. Dengan kepesatan industri teknologi maklumat, semua peranan televisyen sudah beralih tangan, malah ia juga dilihat dimainkan lebih baik kerana sifatnya yang pelbagai pilihan, tanpa kawalan dan interaktif. Melihatkan keadaan semasa penjualan televisyen di peringkat global juga semakin meniti kejatuhan. Berdasarkan realiti, zaman emas yang pernah dilalui oleh syarikat-syarikat pengeluar televisyen sudah semakin ke penghujung.

Ia disandarkan kepada dua faktor utama iaitu persaingan sengit teknologi ICT dan juga ketandusan idea dalam teknologi terkini pembikinan televisyen. Malah bagi kebanyakan penduduk di Barat dan AS dan mungkin juga di negara ini, memiliki televisyen skrin rata adalah satu cerita lama. Walhal ia adalah antara teknologi terkini yang masih terdapat di pasaran. Oleh itu adalah bukan satu keperluan bagi pengguna untuk menukar kepada televisyen yang dilengkapi teknologi yang lebih baru. Melihat kepada penjualan televisyen di AS, sekitar tahun 2007 hingga 2009 penjualan televisyen skrin rata mencatat peningkatan rekod sehingga 20 peratus. Bagaimanapun ia merudum kepada hanya 2.9 peratus tahun lepas. Begitu juga penjualan televisyen di negara-negara Eropah yang merosot 8.6 peratus dengan penjualan sebanyak 16.4 juta sahaja. Penjualan televisyen di Eropah meningkat mendadak pada suku pertama dan kedua tahun lepas berikutan kejohanan Piala Dunia, namun ia merudum teruk kemudiannya.

Antara negara yang paling teruk merosot penjualannya adalah Sepanyol, Perancis, United Kingdom dan. Penjualan televisyen di Sepanyol saja merosot sehingga 40 peratus. Untuk meningkat penjualan, syarikat pengeluar telah menawarkan set televisyen yang lebih canggih dengan dilengkapi teknologi 3D dan penyambungan Internet. Namun ia gagal menarik minat berikutan harganya yang mahal. Hakikatnya, pengeluaran televisyen skrin rata merupakan antara kejayaan paling besar dalam teknologi televisyen tetapi akibatnya orang ramai masih belum dalam “mood” kepada yang lebih baru. Satu lagi masalah yang timbul adalah kerana penurunan harga yang terlalu mendadak. Jika tiga tahun lepas televisyen sebegini dijual pada harga yang mahal dan dilihat sebagai “eksklusif” namun ia semakin murah dari tahun ke tahun.

Keadaan yang sama juga berlaku di AS bilamana harga televisyen menurun agak mendadak sehingga 36.3 peratus dalam tempoh 2007 hingga 2010 bagi televisyen skrin rata dan 51.6 peratus bagi televisyen Plasma. Oleh itu melihatkan senario ini keadaan dilihat akan berubah. Penjualan televisyen dalam tempoh mendatang dilihat tidak lagi sama seperti sebelum ini, namun ada yang masih mengharap peranan televisyen masih lagi signifikan. Berdasarkan usia yang semakin menuju ke satu abad, adalah dilihat pasaran untuk jualan televisyen sudah sampai ke tahap matang dan stabil. Orang ramai juga tidak lagi seghairah dulu untuk memiliki set televisyen baru kerana persaingan sengit gajet-gajet terkini seperti iPad, iPhone dan sebagainya yang kelihatannya lebih menarik dan terkini. Belum lagi persaingan akibat dari kewujudan pelbagai laman web sosial yang lebih “menyelerakan” dan membenarkan perhubungan merentasi sempadan.

Mungkin dalam tempoh terdekat perkara ini belum begitu dirasai, namun apakah peranan televisyen ini masih lagi releven dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang. Apatah lagi dengan generasi yang membesar dengan televisyen juga sudah semakin mahir dalam Facebook dan twitter, maka jelaslah apabila sampai masanya kita tidak mampu menolak perubahan. Memandangkan semua peranan televisyen ini sudah diambil alih oleh gajet-gajet yang terkini, adalah tidak mustahil masa depannya akan menjadi seperti mesin taip yang kita lihat sekarang. Walaupun satu ketika ia dilihat sebagai satu fenomena namun dengan hadirnya teknologi yang lebih canggih, kini ia seolah-olah tiada lagi nilai dan harga, yang tinggal hanya memori yang semakin luput ingatannya.

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

MINGGUAN MALAYSIA
30 JANUARI 2011

ISU FILEM : INDUSTRI FILEM TEMPATAN MENGUTIP KEUNTUNGAN SEBANYAK RM76 JUTA PADA TAHUN 2010



Industri perfileman tempatan mencatatkan perkembangan sihat apabila mengutip sebanyak RM76 juta hasil jualan tiket 29 filem cereka tempatan yang ditayangkan di seluruh negara tahun lalu. Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Mohd. Daud berkata, ia hasil galakan serta pelbagai aktiviti anjuran kementerian tersebut. Tayangan 29 filem itu ditonton seramai sembilan juta penonton. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang terletak di bawah kementerian juga misalnya telah menganjurkan Program Merakyatkan Filem (PMF).

Dengan menayangkan 45 filem secara percuma di pawagam Coliseum sejak 2006, ia telah ditonton lebih 10,000 penonton. Program yang diadakan setiap Sabtu minggu keempat setiap bulan itu salah satu galakan untuk menonton filem. Aktiviti seperti itu sedikit sebanyak membantu mempertingkatkan jumlah penonton filem Melayu. Menurut Mohamed, ekoran sambutan PMF yang memberangsangkan itu, Finas katanya, akan memperluaskan program tersebut ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Untuk negeri-negeri yang tiada pawagam kita akan tayangkan filem dalam dewan ataupun dirikan sahaja wayang pacak di kawasan-kawasan luar bandar supaya filem kita dapat ditonton di seluruh negara. 

29 Januari 2011

BERITA DAN PERISTIWA : MURID DIROTAN HINGGA TERKENCING

TARIKH : 26 JANUARI 2011
HARI : RABU
TEMPAT : KUALA BESUT, TERENGGANU


Seorang murid tahun empat trauma untuk pergi ke sekolah selepas mendakwa dia dirotan oleh seorang guru selepas menghantar kertas ujian di sebuah sekolah di Kuala Besut di sini pada Rabu lalu. Semasa kejadian, Wan Mohd. Faris Wan Zukri, 10, mendakwa dia baru menghantar kertas ujian kertas pendidikan Islam sebelum dikejutkan dengan tindakan guru lelaki itu yang tanpa sebab telah merotan badannya secara tiba-tiba.

Tindakan guru itu menyebabkan dia terkencing di dalam kelas kerana menahan kesakitan. Waktu kejadian, cikgu itu sedang mengedarkan kertas ujian dan selepas pelajar tersebut menghantar kertas ujian yang telah dijawabnya  kepada cikgunya itu, dia menjenguk kawannya untuk melihat perkara yang dia buat. Tiba-tiba cikgu tersebut datang dan terus merotan belakang badannya. Selepas itu cikgu itu bertanya sakit atau tidak. Belum sempat pelajar itu menjawab, dia telah dirotan sekali lagi oleh guru tersebut.

SUMBER : HARIAN KOSMO
29 JANUARI 2011

KOMEN CIKGU ZUL

Saban tahun kita acapkali dihidangkan dengan pelbagai kes berkaitan dengan isu guru merotan pelajar pada tempat yang tidak sepatutnya. Secara umumnya, garis panduan merotan memang telah dimaklumkan kepada para guru, namun ada segelintir guru menjadikan rotan sebagai salah satu cara untuk menghukum pelajar akibat terlalu geram. Kadang-kala, bukan mudah untuk para guru berhadapan dengan pelajar-pelajar di dalam kelas kerana setiap pelajar mempunyai perangai yang berbeza-beza. Oleh sebab itu, kematangan dan kerasionalan guru amatlah dituntut agar setiap tindakan yang diambil tidak memudaratkan mana-mana pihak.

Dengan menggunakan rotan sebagai alat untuk menakutkan dan menghentikan kenakalan dalam kalangan pelajar, guru boleh terdedah kepada pelbagai risiko yang dijangka dan tidak dijangka. Jadi, jangan sesekali menjadikan rotan sebagai pilihan pertama untuk menghukum. Hakikatnya, pelajar sekarang tidak seperti pelajar dahulu, lasaknya tidak selasak kita, tahannya tidak setahan kita. Jika anak kita sendiri pun dirotan oleh guru yang lain, sedikit sebanyak terbit juga rasa marah dihati kita kepada guru itu walaupun kita sendiri juga ialah guru. 

Berhati-hatilah!

BERITA DAN PERISTIWA : BAPA TAMPAR GURU

TARIKH : 24 JANUARI
HARI : ISNIN
TEMPAT KES BERLAKU : DUNGUN, TERENGGANU

Seorang guru lelaki tidak menyangka tindakannya menerima pelawaan bapa muridnya ke rumah membawa padah apabila ditumbuk dua kali di muka selain disepak. Guru berusia 43 tahun itu juga diacukan pisau berikutan bapa terbabit naik angin apabila mengetahui mangsa menampar anaknya. Dalam kejadian Isnin lalu, guru sekolah rendah di bandar ini ditahan bapa murid tahun dua itu ketika dia dan dua anaknya dalam perjalanan pulang sebaik selesai mengajar. Mangsa yang enggan dikenali berkata, dia ditahan kira-kira jam 2 petang tidak jauh dari sekolah sebelum diajak ke rumah konon mahu berbincang masalah anaknya.

Katanya, di rumah itu, dia dijemput masuk dan tidak mengesyaki apa-apa sebelum lelaki berkenaan bertanya apa yang dilakukan terhadap anaknya. “Belum sempat menjawab, saya ditumbuk di muka sebelum dia mengeluarkan pisau menyebabkan saya takut,” katanya kepada Harian Metro, kelmarin. Katanya, isteri lelaki itu menghalang perbuatan suaminya dan memintanya bersabar serta berbincang. “Tiba-tiba, bapa saudara murid itu datang dan tanpa saya sedari, lelaki itu turut melepaskan satu tumbukan ke muka saya,” katanya.

Katanya, tumbukan itu menyebabkan mata kanan dan dahinya lebam selain bengkak tangan kanan akibat disepak bapa murid terbabit. Mengulas punca kejadian, mangsa berkata, dia membawa sekumpulan murid tahun enam memasuki makmal sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari, Ahad lalu. Ketika itu, sekumpulan murid tahun dua termasuk anak lelaki terbabit keluar dari makmal sebelum kanak-kanak itu menunjukkan isyarat lucah kepada seorang murid tahun enam.

“Saya memanggilnya dan bertanya kenapa dia menunjukkan isyarat lucah dan saya ada memulas telinga dan menampar pipinya, tetapi dia tidak langsung menangis. Jika tamparan itu kuat, tentu sudah menangis,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

KOMEN CIKGU ZUL

Suatu lagi kejadian yang menggambarkan sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak dan bersikap angkuh sehingga sanggup memperlakukan guru yang mendidik dan mengasuh anak mereka sebegitu. Seharusnya, setiap tindakan hendaklah didahului dengan siasatan melalui perbincangan dan musyakarah antara kedua-dua belah pihak. Jangan sesekali mengambil tindakan sendiri kerana negara kita mempunyai peraturan dan undang-undang.

Hakikatnya, masyarakat kita pada hari ini begitu mudah marah dan bertindak melulu. Mereka hanya tahu menyalahkan orang lain dan tidak ingin melihat dan memperbetul kesilapan diri sendiri. Ibu bapa harus tahu, kadang-kadang cara didikan mereka di rumah boleh mempengaruhi anak mereka. Harus diingat, guru juga manusia yang punya perasaan dan rasa sakit di hati dan di jiwa. Kadang-kadang kesabaran dan ketabahan boleh terhakis apabila diasak dan diamuk oleh bermacam-macam kenakalan dan kedegilan para pelajar. 

Jika semua yang guru lakukan tidak dapat diterima oleh ibu bapa, proses pembentukan sahsiah dan keperibadian mulia dalam kalangan anak-anak mereka pasti akan terencat. Bagi para guru pula, kita harus tahu batasan apabila menghukum para pelajar. Memang tidak dapat dinafikan, jiwa kita amat sakit dan pedih untuk menerima setiap kejadian yang berlaku, namun atas nama pekerjaan yang dipilih oleh diri kita sendiri, belajarlah untuk bersabar pada setiap masa.

ISU PENDIDIKAN : PERANAN BESAR AHLI AKADEMIK


Ada satu ciri yang menyebabkan seseorang itu dihormati dan mempunyai pengaruhnya tersendiri. Ciri tersebut adalah berilmu. Semakin tinggi, ilmu seseorang itu, semakin tinggilah pengaruhnya dan semakin ramai orang ingin mendekatinya. Orang yang berilmu ada di mana-mana. Namun, paling sinonim untuk mudah dicari ialah di menara gading. Di universiti-universitilah ramai golongan cerdik pandai dan berilmu. Gelaran paling tersohor bagi golongan berilmu di universiti ialah profesor. Profesor mencapai tahap kualiti keilmuan yang amat istimewa mutunya. Namun, apakah peranan mereka sebenarnya? Adakah sekadar untuk mengeluarkan graduan-graduan bagi memenuhi pasaran kerja? Itu hanya sekadar peranan asas yang diketahui umum. Tetapi ada lagi peranan ahli akademik yang lebih besar dan bermakna untuk membentuk masyarakat agar lebih maju ke hadapan.

Saban hari, ahli-ahli akademik akan mengenal pasti permasalahan masyarakat dan membuat kajian bagi mencari satu penyelesaian. Ahli akademik bekerja 24 jam. Ilmu yang ada diterjemahkan melalui kajian-kajian mereka. Ahli-ahli akademik memegang satu prinsip iaitu menyatakan kebenaran meskipun pahit. Kajian-kajian yang diperoleh akan dinyatakan secara telus dan jujur serta tidak memihak kepada sesiapa. Mengkritik apa yang tidak betul berdasarkan ruang lingkup ilmu mereka. Menyokong jika ia memberi kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Itulah pegangan ahli akademik. Tidak kira sama ada ia tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak, yang benar tetap benar, yang batil tetap batil. Ahli akademik tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak. Malahan, ahli-ahli akademik juga menjalankan perundingan bagi membantu sektor korporat dan masyarakat.

Tidak kurang juga yang memberi khidmat kepada masyarakat secara percuma seperti memberi ceramah dan sesi kaunseling. Itulah peranan ahli akademik yang cukup besar untuk membentuk satu budaya masyarakat yang mapan dan maju ke hadapan. Di negara-negara lain, ramai ahli akademik dilantik dengan pelbagai jawatan tertinggi kerajaan. Umpamanya, Ben Bernanke yang sebelum ini merupakan profesor di Universiti Princeton, kini mengetuai Rezab Persekutuan Amerika Syarikat. Ramai juga ahli akademik yang memenangi Hadiah Nobel. Antaranya ialah Profesor William Sharpe, Profesor Paul Krugman, Profesor Peter Diamond, Profesor Dale Mortensen dan Profesor Christopher Pissarides. Di Malaysia, ahli akademik juga diiktiraf. Mereka dilantik untuk pelbagai jawatan dan gelaran seperti Profesor Diraja, Profesor Emeritus dan ahli Suruhanjaya-Suruhanjaya Diraja. Terbaru, gelaran Profesor Ulung diberikan kepada tiga ahli akademik. Pengiktirafan tertinggi mengatasi naib canselor.

Justeru, apabila ahli akademik digelar pelbagai perkataan yang kurang baik seperti profesor kangkung, ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat kita. Adakah ini bermakna, golongan ilmuwan pun sudah tidak dihormati dan disanjungi? Sedangkan gelaran profesor diberi oleh orang lain dan dinilai oleh panel yang terdiri daripada profesor-profesor yang terkemuka. Malangnya, masih ada lagi yang menyebut gelaran sebegini. Gelaran seperti ini tidak membantu memupuk satu budaya yang baik dalam masyarakat. Setahu penulis, tidak pernah kedengaran gelaran-gelaran ini diberikan kepada profesor-profesor di luar negara. Dunia barat amat menyanjungi ahli akademik. Alangkah moleknya jika kita meniru sikap mereka yang baik ini. Satu perkara yang cukup pelik apabila ahli akademik diberi gelaran yang bukan-bukan, walhal masyarakat kita dikenali sebagai masyarakat yang bersopan santun dan sentiasa menjaga tutur kata.

Adakah ini bermakna, budaya bersopan santun dan hormat menghormati semakin pudar dalam kalangan masyarakat kita meskipun kepada golongan berilmu?

Oleh ROHAMI SHAFIE

UTUSAN MALAYSIA
29 JANUARI 2011

ISU KENEGARAAN : PENGAJARAN DARIPADA KEJATUHAN KERAJAAN TUNISIA


Revolusi rakyat mula melonjak di dunia Arab. Ia bermula di Tunisia dan kini menjalar di beberapa negara Arab. Revolusi massa itu menonjolkan kebangkitan rakyat, terutamanya generasi muda yang bangkit memprotes dan menentang pemerintahan negara masing-masing yang dilihat bermasalah. Senario kebangkitan revolusi massa ini turut berlaku di Mesir, Jordan dan Yaman. Di Tunisia, ia bermula dengan tindakan seorang sarjana yang bernama Bouazizi membakar diri sebagai lambang protes terhadap kerajaan yang gagal menyediakan peluang pekerjaan serta membaiki ekonomi Tunisia telah menjatuhkan kerajaan.

Selain itu, isu rasuah, penyelewengan dan nepotisme yang meluas di bawah pemerintahan Zine al- Abidine Ben Ali juga menjadi faktor kebangkitan revolusi massa di negara itu. Dalam jangka masa beberapa hari sahaja, kerajaan Tunisia pimpinan Zine al-Abidine Ben Ali telah dapat digulingkan pada 14 Januari lalu. Kejatuhannya dalam masa yang singkat dan mudah ini melambangkan adanya kesedaran dan kekuatan yang padu di kalangan rakyatnya. Setelah Zine al- Abidine Ben Ali dan isterinya lari ke luar negara, Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi berusaha untuk menyegerakan susunan Kabinet baru.


Beliau sendiri berharap momentum gerakan massa akan terus bertahan bagi mengurangkan kekuatan dan tekanan pihak yang setia terhadap presiden yang digulingkan itu. Lanjutan daripada apa yang berlaku di Tunisia, kini kebangkitan rakyat yang serius dan bersungguh-sungguh merebak di Mesir, Yaman dan Jordan. Yang nyata, krisis politik di Tunisia wajar dijadikan pengajaran buat mana-mana kerajaan yang tidak menghiraukan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Selain itu, apa yang berlaku di Tunisia juga melambangkan betapa kebangkitan generasi muda mempunyai tenaga yang cukup kuat dalam menjatuhkan sesebuah kerajaan itu. Ini juga pernah berlaku di Indonesia dalam kes kejatuhan Suharto. Roh demokrasi yang terlalu disekat juga membuatkan penduduk di Tunisia merasa kecewa sehingga membenihkan keinginan untuk melakukan reformasi.

Justeru, pergolakan yang sedang berlaku di Tunisia dan beberapa negara Arab itu harus dijadikan iktibar, peringatan dan pengajaran kepada negara-negara lain, khususnya di negara-negara membangun di mana kerajaan yang memerintah sering dipersoalkan kewibawaannya sama ada dalam mengurus ekonomi, melaksanakan demokrasi dan juga persoalan mengenai integriti.

OLEH : MOHD. AYOP ABD. RAZID 

BERITA HARIAN
29 JANUARI 2011

ISU SOSIAL : MEMAHAMI EKOLOGI PERUMAHAN DI MALAYSIA


Sejak kebelakangan ini, isu-isu ketidaklestarian yang menyangkut tentang rumah dan perumahan kembali menghiasi laporan akhbar-akhbar utama di negara ini. Isu yang dilaporkan berkait dengan peningkatan harga rumah yang melampau, kualiti rumah yang begitu rendah, sampah-sarap terbiar serta rumah terbengkalai yang menjadi tempat pembiakan dan sarang nyamuk Aedes yang menyebabkan demam denggi, sehinggalah membawa kepada isu-isu keselamatan warga yang tinggal di kawasan perumahan terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas di bandar-bandar utama negara ini.

Itu tidak termasuk lagi isu tanah runtuh, banjir kilat dan pencemaran bau busuk yang melanda kawasan perumahan. Kesemuanya menuntut satu penyelesaian konkrit, menyeluruh dan bersepadu. Isu kenaikan harga rumah yang melambung sering kali mendapat perhatian terutamanya kepada bakal pembeli rumah golongan muda yang baru menceburi dunia pekerjaan. Beralaskan jumlah pendapatan yang tidak seberapa, kemungkinan untuk memiliki sebuah rumah bagi golongan ini adalah agak sukar. Walaupun kini kerajaan menyatakan bahawa deposit 10 peratus daripada harga rumah yang ingin dibeli tidak lagi perlu dibayar kepada pemaju perumahan, namun, harga rumah yang rata-ratanya tinggi jika dibandingkan dengan jumlah pendapatan penduduk dan diiringi pula dengan kenaikan harga barangan keperluan akan membantutkan usaha golongan muda untuk mendapatkan sebuah rumah.

Rumah mewah yang berharga satu juta dan ke atas ditentukan harga pasaran oleh sebilangan individu yang mempunyai modal yang besar dan membuka pasaran kepada orang asing atau luar negara. Oleh kerana kadar tukaran mata wang negara tertakluk kepada kadar tukaran antarabangsa, ini menyebabkan harga rumah mewah yang ditawarkan itu seolah-olah seperti harga sebuah rumah kos sederhana bagi sesetengah pelabur dan pemodal luar. Justeru, bukanlah menjadi masalah besar bagi warga asing dari negara jiran, malahan terdapat pemilik rumah dari India yang bekerja di Amerika Syarikat membeli rumah di negara ini. Kecanggihan sistem pengangkutan udara dan darat yang terhampar indah merupakan antara faktor utama mereka untuk memiliki rumah di Malaysia.

Namun begitu, spekulasi harga rumah yang berlaku menyebabkan penduduk tempatan terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mendapatkan rumah yang diimpikan. Sementara warganegara yang berpendapatan sederhana dan rendah hanya akan termangu dan terpaksa bergelut dengan pasaran terbuka ini semata-mata untuk mendapatkan sebuah rumah yang selesa. Setelah rumah tersebut diperoleh pula, pelbagai lagi senarai tanggungjawab yang belum selesai terpaksa ditempuh sehinggalah bayaran hutang rumah dilunaskan, malahan mungkin membawa kepada generasi seterusnya dalam kitaran keluarga tersebut. Isu-isu ketidakpuasan hati yang dibangkitkan oleh penduduk ini telah dan sedang mendapat perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan isu-isu berkaitan. Walau bagaimanapun, seringkali pula isu yang dibangkitkan itu tidak mendapat penyelesaian yang tuntas kerana pendekatan yang diambil dalam menyelesaikan isu-isu tersebut dibuat secara terpisah kerana bidang kuasa dan tanggungjawab yang berbeza di antara jabatan yang bertindak.

Kesemua isu-isu ketidaklestarian yang dibangkitkan itu saling berkait antara satu dengan lain yang boleh dirangkaikan dan dilihat dari perspektif dan pemikiran ekologi perumahan bandar. Kedua-dua perumahan di kawasan bandar dan desa pastinya berbeza isu yang dibangkitkan dan cara bertindak yang perlu dilakukan. Isu perumahan yang ditimbulkan di bandar adalah lebih kompleks, melibatkan banyak pihak berkepentingan, dinamik dan lebih pelbagai sekali gus menuntut satu perspektif yang lebih berkesan untuk merungkai permasalahan yang berlaku. Pemahaman ekologi perumahan ini adalah penting untuk semua pihak yang terlibat tidak berasa terpinggir dan terasing dalam membantu menyelesaikan masalah yang timbul, selain tidak menimbulkan kegusaran yang berpanjangan di kalangan penduduk kawasan perumahan ini.

Peningkatan isu-isu yang bersifat kompleks ini menuntut pemahaman yang lebih tuntas tentang proses yang berlangsung walau di peringkat mana sekalipun isu tersebut berlaku. Isu yang saling berkait di antara satu sama lain ini perlu diteliti, difahami dan dirungkai menurut pelbagai teras disiplin ilmu (multi-disiplin, inter-disiplin dan trans-disiplin) untuk mendapatkan penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi penduduk. Lantaran, untuk memperoleh sebuah kawasan perumahan yang berdayahuni (livable housing), pendekatan kompleksiti iaitu pendekatan yang menyediakan ruang pemikiran untuk memahami perkara yang sebenar-benarnya berlaku berlandaskan skala kawasan perumahan wajar difikir, dilaksana dan diperluaskan.

Isu yang timbul tidak wajar dilihat dari jauh semata-mata tetapi perlu memahami sedalam-dalamnya isu yang diluahkan oleh penduduk tersebut, diletak dan disesuaikan di dalam konteks ekologi perumahan tadi agar penyelesaian yang diambil tidak lagi bersifat ad hoc dan seolah-olah sambil lewa sahaja. Jika tidak, senarai isu yang sama akan kembali kedengaran dan didendangkan setiap kali kawasan perumahan siap dihuni dan perkara ini akan berterusan tanpa penyelesaian yang benar-benar konkrit dalam jangka masa panjang. Maka setiap kali itu jugalah, pihak pentadbir bandar akan bersuara dan cuba membuat pelbagai perkara untuk menyelesaikan masalah warga di taman perumahan itu. Namun hakikat sebenarnya, penyelesaian yang diharapkan tidak pernah kunjung tiba.

Governans kompleksiti perumahan (complexity governance) perlu difikirkan dengan lebih mendalam agar isu ketidaklestarian perumahan yang berangkaian pula dengan isu-isu sosial lainnya tidak semakin parah natijahnya pada masa mendatang.

Shaharudin Idrus 
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, 
Universiti Kebangsaan Malaysia

UTUSAN MALAYSIA
29 JANUARI 2011

28 Januari 2011

ISU ALAM SEKITAR : SEDIAKAN DASAR PROAKTIF TANGANI BENCANA AKIBAT KETIDAKTENTUAN CUACA


Cabaran utama pengurusan alam sekitar untuk 2011 – pada hemat saya ialah mempersiapkan strategi dan pelan tindakan supaya bersifat lebih proaktif dan tidak terlalu bersifat penyelesaian masalah. Selama ini dasar pengurusan alam sekitar di Malaysia memang menyeluruh dan relevan. Memang banyak pencapaian dan pembaharuan dalam pelbagai aspek. Justeru, pelbagai agensi ditubuhkan untuk memastikan pelestarian alam sekitar semakin mantap. Namun, kita perlu berfikiran terbuka dan mengakui bahawa masih banyak yang perlu dipertingkatkan.

Pembaharuan paling ketara ialah pengurusan alam sekitar dan risiko bencana secara lebih efektif serta kecekapan menghadapi ketidaktentuan cuaca kesan pemanasan bumi yang antara lain menyebabkan pelbagai risiko menerusi perubahan corak taburan hujan, aliran arah angin, gelora ombak laut, kemarau panjang dan banjir besar.
Dalam hal ini, sekurang-kurangnya tiga hakikat perlu difahami, khususnya di kalangan pembuat dasar, berkaitan iklim dan cuaca.


Pertama, Malaysia berkemungkinan menghadapi musim tengkujuh lebih daripada sekali dalam setahun pada masa akan datang. Kawasan berisiko banjir juga telah berubah, tidak hanya di pantai timur. Hal ini berlaku pada 2010. Sementara itu, musim kemarau juga dijangka akan tidak menentu, mungkin lebih panjang seandainya berlaku sehingga boleh menjejaskan bekalan air.

Kedua, keluasan Malaysia semakin mengecil setiap tahun jika usaha strategi tidak dilakukan. Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bahawa di 33 lokasi, sehingga 40 meter pantai terhakis setahun sejak kebelakangan ini seperti laporan New Straits Times pada 25 September 2006. Laporan itu juga menunjukkan sepanjang 1,414 km di 223 lokasi mengalami hakisan pantai. Sebagai perbandingan pada 1986 hanya 74 lokasi dikategorikan kritikal, tetapi setelah 20 tahun jumlah itu meningkat kepada 93.

Ketiga, tumpuan dasar pengurusan alam sekitar perlu dikembangkan dalam konteks pelestarian dan pembaikpulihan ekosistem, dan tidak terlalu terikat kepada penyelesaian masalah atau pencemaran semata-mata.


Cabaran kita untuk memastikan kesan pemanasan suhu bumi dan perubahan iklim dapat ditangani dengan sistematik, terancang, pengurangan risiko sekali gus tidak menjejaskan pembangunan negara. Kita juga perlu lebih proaktif dalam konteks serantau dan global mengurangkan kesan pemanasan bumi. Pada hemat saya, cabaran itu boleh dikelaskan kepada lima dimensi dan skop kerja.

Pertama, menyediakan kemudahan awam dan infrastruktur fizikal dengan mengambil kira aspek perubahan iklim, misalnya mempersiapkan kemudahan penebatan banjir termasuklah di negeri dan kawasan yang selama ini dianggap kurang berisiko. Selain itu, pesisiran pantai di seluruh negara perlu dipantau secara berterusan untuk mengesan tanda hakisan pantai. Tindakan susulan perlu disegerakan, termasuklah pembinaan pemecah ombak dan penanaman hutan bakau.

Kedua, menyediakan garis panduan, prosedur standard operasi (SOP) dan latihan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan, termasuklah gempa bumi, banjir besar, tsunami dan kemarau panjang. SOP itu perlu membabitkan pelbagai agensi dan badan sukarela yang bukan terhad kepada pengurusan mangsa bencana, bahkan mesti turut membabitkan pengurusan alam sekitar dan kesihatan awam. Garis panduan reka bentuk kawasan perumahan juga perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor banjir, musim kemarau panjang dan ribut kencang.


Ketiga, menyediakan direktori dan mengumpul seluruh kepakaran tempatan sama ada agensi awam, swasta atau institusi pengajian tinggi untuk sama-sama berganding bahu mencari alternatif dan strategi yang boleh mengurangkan kesan ketidaktentuan cuaca dari segi keselamatan dan kesihatan awam, kerosakan harta benda dan risiko lain.

Keempat, menyediakan biaya khas yang mencukupi untuk menangani bencana akibat ketidaktentuan cuaca. Biaya khas ini diperlukan kerana sering berlaku usaha pengawalan dan penebatan tidak dapat disegerakan sehingga memburukkan lagi keadaan apabila tanda bencana mula dikesan.

Kelima, menjalankan kajian strategik secara lebih terperinci terhadap fenomena perubahan cuaca yang membabitkan aspek seperti bekalan air, kesihatan awam, risiko alam sekitar, penebatan banjir dan hakisan pantai dalam konteks dalam negeri dan serantau. Usaha juga perlu dipergiatkan untuk memajukan teknologi dan inovasi tempatan dari segi pengurangan risiko dan pelepasan gas-gas karbon dalam pelbagai sektor khususnya pengangkutan, pertanian dan pembuatan.


Perlu kita akui bahawa pelbagai ketidaktentuan bencana alam sejak kebelakangan ini – terutama banjir di sesuatu kawasan dan kemarau di kawasan lain – menunjukkan banyak inisiatif perlu diberi penyesuaian mengambil kira faktor ketidaktentuan cuaca. Justeru, kita perlu merangka ‘dasar ketidaktentuan’ untuk menghadapi ketidaktentuan cuaca sebagai asas penggubalan dasar perbandaran, perindustrian, pelancongan, pertanian dan pengangkutan.

Oleh Dr Zaini Ujang
Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia
Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia.

BERITA HARIAN
28 JANUARI 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails