Hubungan
guru dan pelajar ini ada pasang dan surutnya. Saya tidak ada pengalaman
mengajar di sekolah rendah tetapi kalau kita mengajar di sekolah menengah,
pelajar yang sudah menginjak usia remaja, perangai mereka memang memeningkan
kepala. Perangai pelajar inilah yang selalu membuatkan cikgu marah apabila
sabar semakin menipis dari hari ke hari. Ketika marah, ada ketikanya guru gagal
mengawal diri hingga mengujarkan kata-kata yang boleh menyinggung hati pelajar
atau kata-kata yang diucapkan itu langsung tidak ada kaitan atau tiada makna
untuk menginsafkan pelajar.
1.
Awak
tak nak belajar, saya tak rugi, gaji saya masuk setiap bulan
"Awak
nak belajar ke, awak tak nak belajar ke, gaji saya tetap masuk juga setiap
bulan, awak semua ini masa depan belum tahu lagi. Saya mengajar awak bercakap.
Ibu bapa awak tidak ajar awak cara hormat orang ke?
Ramai
guru selalu mengucapkan kata-kata ini di dalam kelas apabila pelajar tidak
memberikan tumpuan. Pada pendapat saya, dua frasa yang cuba dielakkan daripada
disebut ialah frasa "gaji saya tetap masuk juga setiap bulan" dan
frasa "ibu bapa awak tidak ajar awak cara hormat orang ke?". Walau
bagaimanapun, dalam masyarakat kita ungkapan "ibu bapa awak tak ajar ke?" sudah menjadi
kebiasaan. Frasa ini tidak elok disebut sebenarnya. Saya tahu semua ibu bapa
memang mendidik anak tentang adab dan budi bahasa dengan orang lain lebih-lebih
lagi guru tetapi kenakalan anak ada kalanya di luar kawalan terutama apabila
berjauhan dengan ibu bapa.
2.
Kata-kata
yang merujuk kepada bangsa, agama, keturunan, dan darjat
Yang
ini saya hanya nyatakan sahaja, iaitu kata-kata yang berkaitan dengan bangsa,
keturunan, agama, taraf hidup dan wilayah (tempat tinggal). Apabila marah kita
jangan sesekali mengaitkan kenakalan atau kebiadapan pelajar dengan asal usul
mereka. Mereka akan ingat kata-kata kita sampai bila-bila. Zaman kini zaman
media sosial, silap-silap mereka akan siarkan reaksi mereka di media sosial dan
kita akan menjadi sasaran natizen hingga menjatuhkan martabat bidang perguruan.
Kalau boleh apabila terlalu geram dan sakit hati, tarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan,
jangan terus marah pada masa itu. Walau bagaimanapun, saya faham guru juga
manusia, ada kalanya pelajar yang belum matang ini sengaja menyebut kata-kata
yang berbentuk penghinaan kerana mereka dengar dan belajar daripada masyarakat
melalui pergaulan seharian.
3.
Bodoh,
bebal, bengap
Bodoh,
bebal, bengap, dan seumpamanya tidak seharusnya diucapkan tetapi kalau terucap
jangan ego untuk memohon maaf dan mengakui kesalahan diri. Kata-kata sebegini
boleh meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa pelajar terutama jika
ditujukan kepada individu. Kita harus tahu pelajar datang ke sekolah untuk
belajar kerana mereka asalnya tidak tahu membaca, menulis, mengira, memahami,
dan tidak mengenali lagi potensi dan bakat diri. Memang tugas guru untuk menjadikan
mereka tahu. Namun begitu, tahap pelajar ini berbeza-beza. Yang bijak memang
mudah diajar tetapi yang lemah kita ajar sampai sebulan pun dia belum
menguasai. Dia tidak minta supaya dirinya lemah tetapi kejadian dirinya memang
begitu. Jika cikgu berjaya mendidik pelajar begini hingga cerdik dan pintar,
percayalah cikgu akan berasa puas dia pasti amat menghargai.
Guru
yang ikhlas mendidik dengan sabar, tabah, dedikasi, dan amanah pasti akan jumpa
jalan keluar apabila berhadapan dengan semua masalah bersama pelajar. Allah
Yang Maha Esa pasti akan membalas segala kebaikan dan pengorbanan guru baik
dalam bentuk tersurat mahupun tersirat. Nikmat hidup yang Allah bagi kepada
cikgu mungkin dalam bentuk anak-anak cikgu yang cemerlang, kesihatan cikgu yang
berkekalan, rumah tangga yang bahagia, kemajuan dalam kerjaya dan rezeki yang
tidak putus-putus. Penghujung perjalanan hidup cikgu Allah sudah janjikan
syurga. Insya-Allah. Saya akui semakin lama tugas mendidik ini semakin mencabar
kerana nilai hormat ibu bapa dan pelajar terhadap guru sudah menipis tetapi
yang seperti ini tidak ramai, jumlahnya mungkin 5 daripada 50 orang ibu bapa.
Ramai lagi ibu bapa yang masih hormat dan mendoakan guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan