JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Ogos 2011

ISU SOSIAL : PEMERIKSAAN PEMANDU BAS EKSPRES BIAR BERTERUSAN, BUKAN BERMUSIM



Bagi kebanyakan pengguna lebuh raya, pengalaman menyaksikan bas ekspres dipandu di lorong laju adalah satu perkara biasa. Malah, sesetengah pemandu bas ini tidak teragak-agak mengikuti dengan rapat dan menyalakan lampu kepada kenderaan di hadapannya yang enggan memberi laluan. Pengalaman seperti ini sudah cukup untuk menginsafkan kita bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan lebuh raya di negara ini dapat dijadikan lebih selamat, melainkan jika tindakan lebih tegas diambil pihak berkuasa. Berikutan itu, hasrat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti dilaporkan dalam akhbar ini semalam untuk memastikan hanya pemandu dengan rekod bersih dibenarkan memandu sepanjang musim perayaan ini amat dihargai. Memang benar tindakan ini amat tegas kerana ia akan bermakna ada pemandu yang rata-ratanya orang Melayu yang akan hilang punca rezeki pada musim perayaan ini. Namun, demi keselamatan penumpang bas dan pengguna jalan raya yang lain, ia harus dilaksana tanpa sebarang kompromi. Malah JPJ tidak harus menunggu kedatangan musim perayaan untuk melakukan langkah ini, sebaliknya melakukannya sepanjang tahun agar pemandu sentiasa akan terasa diawasi. Pihak berkuasa seperti JPJ memang memainkan peranan besar dalam memastikan lebuh raya di negara itu tidak terus dijadikan litar lumba bagi segelintir pemandu bas yang tidak bertanggungjawab ini.

Namun, beban ini tidak harus hanya dipikul oleh agensi kerajaan ini. Syarikat bas juga harus sama-sama memainkan peranan dengan memastikan pemandu mereka benar-benar terlatih dan berhemah di jalan raya. Antara langkah yang boleh dilakukan syarikat bas adalah melakukan pemantauan sendiri terhadap prestasi pemandu masing-masing. Pemantauan ini boleh dilakukan menerusi penggunaan alat seperti Sistem Posisi Global (GPS) atau mewujudkan pasukan untuk membuat pemeriksaan mengejut terhadap pemandu masing-masing. Syarikat bas tidak harus hanya bergantung kepada agensi kerajaan bagi melaksanakan apa yang secara hakikatnya adalah tanggungjawabnya. Mereka sepatutnya bersedia membuat pelaburan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan sentiasa terjamin dan bukan hanya bersedia mengaut keuntungan. Tanpa kerjasama syarikat bas ini dan juga pengusaha kenderaan komersial lain, serta pemandu persendirian, tidak mungkin tahap keselamatan jalan raya di negara ini mampu ditingkatkan ke tahap memuaskan. Negara akan terus digemparkan dengan kemalangan ngeri pada musim perayaan dengan jumlah korban yang tinggi dan pada ketika itu muncullah pelbagai cadangan yang kemudian seperti biasa dilupakan selepas berita kemalangan itu tidak lagi menjadi tajuk utama akhbar.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
9 OGOS 2011

ISU PERGURUAN : TIADA LAGI SENTUHAN KASIH SAYANG, BEZA GURU DAHULU DAN GURU SEKARANG

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my



Guru dulu tegas dan komited sewaktu menjalankan tugas, namun di sebalik ketegasan itu ada hati yang bersih dan ikhlas mendidik pelajar menjadi anak bangsa berjaya. Disebabkan sikap bertanggungjawab itu, mereka bukan saja dihormati malah mulia kedudukannya dalam kalangan masyarakat. Kini, ketegasan, integriti, profesionalisme, hak bersuara serta taraf guru semakin suram dan merudum di mata masyarakat malah menyedihkan kerana golongan itu mudah diperkotak-katikkan pelajar sendiri. Ini menjadikan hubungan antara guru-pelajar semakin jauh, dingin dan bergolak. Kesannya, semangat guru kian pudar melaksanakan tanggungjawab lebih dedikasi.Disebabkan tidak mendapat sokongan selain bebanan tugasan semakin bertambah, motivasi sebahagian guru mulai luntur dan culas melaksanakan tanggungjawab. Mereka tidak lagi memegang falsafah ingin bertanggungjawab memberi pendidikan, tetapi lebih kepada mengajar semata-mata. Mengajar lebih menjurus kepada kaedah 2M iaitu membabitkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dari guru kepada pelajar dan lebih menumpukan kepada pembangunan intelektual atau akademik.

Manakala mendidik membentuk sahsiah atau akhlak dan memerlukan tempoh masa panjang untuk membentuk akhlak pelajar yang baik. Persoalannya apakah beza mendidik dan mengajar? Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan. Beliau berkata, mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai ‘sentuhan’ emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar. Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan. Tiada lagi ‘sentuhan’ atau perasaan kasih sayang telus seperti ditunjukkan golongan guru dulu. Guru dan pelajar kurang berinteraksi, sentiasa mencipta konflik. Bagaimanapun, menuding jari pada guru semata-mata adalah tidak adil kerana kita terpaksa menerima keadaan itu kerana senario hari ini tidak semuanya memihak kepada mereka.

Katanya, kadangkala guru dibebani kerenah pelajar yang pelbagai menyebabkan ada yang sukar menumpukan perhatian. Akibatnya, akan ada pelajar yang terabai terutama mereka yang bermasalah. Tambah memburukkan keadaan, ibu bapa pula datang menyerang dan mempersoalkan kredibiliti guru. Apabila semua pihak menghentam, tidak mustahil ada yang mengambil langkah drastik bersikap sambil lewa dan enggan mengambil tahu. Menurutnya, kebanyakan ibu bapa hanya tahu mengambil pendekatan ‘lepas tangan’ atau bertindak secara melulu tanpa usul periksa. Secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru untuk mencorakkan gaya pembelajaran mereka. Jalan mudah, mereka hanya mengajar dan tidak mahu mendidik. Ironinya, guru berpendapat, tidak perlu menjalin atau mengambil berat mengenai pelajar kerana ibu bapa sendiri kurang memberi sokongan. Mengapa mesti menanggung beban sedangkan ibu bapa hanya relaks. Ia seperti barah hingga akhirnya menghakis sikap profesionalisme guru yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap tugas dan tanggungjawabnya.

Ditanya mengapakah guru zaman dulu mempunyai nilai ‘sentuhan’ ajaib hingga menerbitkan hubungan rapat dengan pelajar, beliau berkata tugas guru dulu jarang ‘diganggu’ atau digugat pelbagai tugas sampingan lain. Menurutnya, guru dulu boleh menumpukan perhatian pada tanggungjawab hakiki kerana semua pihak faham makna pendidikan dan menuntut ilmu. Masalahnya hari ini guru atau pihak berkenaan kurang memahami makna itu tapi lebih mementingkan keputusan akademik. Malangnya itu bukan jaminan cemerlang sahsiah diri. Secara tidak langsung, menggambarkan bagaimana proses mendidik gagal dilaksanakan sedangkan untuk berjaya, gabungan keduanya perlu seimbang supaya dapat menampung kekurangan yang ada,” katanya. Guru pula sebaliknya ada yang tidak mampu mempunyai komitmen tinggi terhadap tugas kerana segelintirnya menjadi guru semata - mata mahu mempunyai gaji dan pendapatan samping yang lebih berbentuk material. Dibandingkan guru dulu, mereka ikhlas dan tidak berkira mengenai bayaran, guru sekarang sebaliknya malah ada yang terus melanjutkan tugas di luar dengan harapan memperoleh pendapatan sampingan, misalnya tuisyen.

Itu tidak salah namun sejauh manakah guru mampu membina hubungan baik dan mesra dengan pelajar. Adakah mereka mengambil berat dengan bertanya khabar atau masuk kelas, mengajar, beri kerja rumah kemudian keluar? Suasana seperti ini tidak sihat kerana perhubungan guru - pelajar hanya termaktub dalam kelas semata - mata. Guru tidak mengenali pelajar, begitu sebaliknya, justeru bagaimanakah sentuhan kasih sayang itu boleh menerbitkan hubungan yang erat. Guru, katanya, perlu berusaha mengembalikan semula martabat sebagai golongan dihormati manakala masyarakat termasuk ibu bapa perlu memberi peluang golongan itu mencorakkan proses pendidikan mengikut acuan tersendiri asalkan tidak menyalahi peraturan. Guru jadilah golongan bertanggungjawab, kembalikan semula maruah yang sudah lama tercalar. Proses melahirkan masyarakat dan bangsa berguna tidak boleh dizahirkan melalui satu mekanisme semata-mata. Boleh mengajar tapi tekankan juga kepentingan mendidik. 


Barulah lengkap pakej untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik, budi dan peribadi seperti termaktub dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pula berpendapat teknik mendidik dan mengajar guru berbeza dibandingkan guru zaman dulu. Menurutnya, guru dulu mengajar berasaskan kasih sayang dan semangat patriotisme juga menerima kepercayaan tinggi daripada ibu bapa yang rela ‘menyerahkan’ anak untuk dididik. “Mereka tidak kisah anak ‘dipukul’ kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya. Malangnya hari ini tidak boleh kerana banyak akta atau peraturan perlu dipatuhi. Bayangkan, kalau pelajar bermasalah, tapi tangan guru ‘terikat’, apakah boleh pelajar itu diasuh menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit.

SUMBER
HARIAN METRO
9 OGOS 2011

ISU SOSIAL : KERAJAAN PERLU TEGAS KAWAL PENDATANG ASING



Pada setiap hujung minggu, kompleks beli-belah di bandar raya Kuala Lumpur dan bandar besar lain di negara ini dibanjiri oleh warga asing, sehingga kadangkala merimaskan penduduk tempatan. Keadaan itu mencerminkan kehadiran pendatang asing yang begitu ramai di negara ini, seolah-olah kemasukan mereka tidak dikawal atau sukar dikawal oleh pihak berkuasa. Lambakan pendatang asing ini, tidak kira sama ada yang masuk secara sah atau membolosi sempadan negara, sudah tentu membawa masalah kepada kehidupan sosiobudaya rakyat di negara ini serta menjejaskan keselamatan. Menurut laporan akhbar semalam, sejak 1992, ada kira-kira empat juta jumlah pendatang di Malaysia. Sebahagian besar bekerja di sektor peladangan dan perkilangan, sekali gus mengecilkan lagi peluang pekerjaan penduduk tempatan. Hasil kajian Prof Dr Azizah Kassim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati majikan lebih cenderung mengambil pekerja asing kerana boleh membayar gaji lebih rendah, senang dikawal dan tiada tanggungjawab sosial. Mereka juga lebih suka mengambil Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan terikat dengan sebarang komitmen.

Isu paling besar dalam pendedahan ini ialah kawalan keselamatan yang tidak ketat dan mudah dibolosi, terutama di kawasan perairan negara. Melihat pada tahap masalah ini, sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara dan mengatasi apa juga punca yang boleh menyebabkan kawasan berkenaan dibolosi dengan mudah oleh pendatang asing ini. Tindakan tegas hendaklah dikenakan ke atas mana-mana pegawai keselamatan atau agensi penguatkuasaan yang terbabit menerima rasuah sehingga menyebabkan pendatang yang tidak diundang itu masuk dengan mudah ke negara ini. Langkah tegas juga hendaklah diambil menerusi peruntukan undang-undang bagi mewajibkan majikan mengambil pekerja tempatan bekerja dalam sektor tertentu di negara ini sebelum diberi kebenaran untuk menggaji pekerja asing. Kita juga bersetuju dengan pendirian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa satu mekanisme baru perlu diwujudkan bagi menentukan agar kehadiran pekerja asing tidak melebihi keperluan. Apapun, kerajaan perlu bersikap tegas dan berpegang pada dasar serta keputusan yang dibuat, agar tidak dimomokkan oleh pendatang asing bahawa pihak berkuasa di negara ini lemah dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturannya.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
9 OGOS 2011

ISU UMUM : MAS DAN AIR ASIA, DAHULU SETERU KINI SEKUTU

Oleh NURANI


Jika rancangan kerjasama strategik MAS dan AirAsia yang dijadual memeterai perjanjian hari ini menjadi kenyataan, ia merupakan satu catatan sejarah yang bakal mengubah landskap industri penerbangan negara. Sedang gergasi penerbangan antarabangsa serius mengambil langkah penggabungan, kerjasama MAS-AirAsia yang diketahui umum sejak sekian lama bercakaran, adalah selari dengan perubahan operasi syarikat-syarikat penerbangan lain. Melalui kerjasama itu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menyerahkan 20 peratus saham MAS kepada pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun. Sebagai timbal balik, Khazanah akan menguasai peratusan jumlah saham yang hampir sama dalam AirAsia Berhad dan AirAsia X Sdn. Bhd. Bagaimanapun, Khazanah masih memiliki kira-kira 49 peratus saham MAS untuk terus mengekalkan penguasaan tunggal di dalam syarikat penerbangan itu. Kesepakatan pertukaran saham ini akan merintis jalan bagi hubungan yang mesra dan harmoni antara kedua-dua keluarga besar MAS dan AirAsia yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Tidak ada lagilah tuduh menuduh, curiga mencurigai dan dengki mendengki. Tidak ada lagilah orang MAS bercerita buruk AirAsia dan orang AirAsia pula membesar-besarkan keburukan MAS. Kini mereka ibarat satu keluarga yang diikat melalui kepentingan pemilikan saham. Jika MAS gagal, ia akan turut mengheret AirAsia, begitu juga sebaliknya. Umpama cubit paha kanan terasa paha kiri. Jadi, kedua-duanya tidak boleh gagal dalam menjayakan kesepakatan itu tetapi perlu saling bekerjasama khususnya dari aspek hak dan pembahagian laluan yang sebelum ini menjadi isu besar antara MAS dan AirAsia. Untuk misi yang lebih besar, kesepakatan ini akan memudahkan MAS dan AirAsia merangka pelan dan strategi menghadapi persaingan serantau dan antarabangsa termasuk dari syarikat penerbangan Asia Barat yang kini melambakkan pasaran ke Asia selepas peristiwa 911. Begitu juga seharusnya tidak timbul lagi isu 'budak nakal' atau 'kaki buli'. Dengan ikatan pertukaran pemilikan saham ini, MAS akan diasak untuk berfikir seperti AirAsia. Begitu juga AirAsia akan lebih memahami rentak tari MAS yang umumnya perlu mendahulukan kepentingan negara.

Mengikut ceritanya, bukanlah mudah untuk menyatukan kelompok MAS dan AirAsia ini. Ada tembok pemisah yang perlu dipecahkan terlebih dahulu. Masing-masing mempunyai ego sehingga perundingan dikatakan memakan masa bertahun sebelum mencapai tahap menyepakati persefahaman. Begitulah lumrah apabila terlalu lama bercakaran. Kalau ada luka, ia memakan masa untuk disembuhkan. Permohonan maaf sahaja belum tentu mencukupi. Sebab itu, perjanjian ini diharap dapat menjadi ubat yang dapat menyembuhkan luka yang mungkin ada. Manfaat daripada perjanjian ini sekali gus akan terus memartabatkan jenama Malaysian Hospitality (MH) dan Kini sesiapa pun boleh terbang. Begitupun persoalan lebih besar yang perlu tercermin daripada kesepakatan itu ialah apakah manfaatnya kepada rakyat dan negara ini? Mungkinkah tambang akan lebih kompetitif berikutan kesepakatan ini secara tidak langsung membentuk ikatan seperti monopoli? Juga persoalan mungkinkah kedua-dua penerbangan akan lebih efisien dan mampu memenuhi mutu perkhidmatan bertaraf antarabangsa?

Mungkinkah rungutan khususnya mengenai sistem AirAsia yang 'mendera' penumpang dengan alasan klise 'tambang murah' boleh diatasi? Yang jelas, hasil daripada kesepakatan ini MAS dan AirAsia walaupun kekal sebagai entiti berbeza, akan saling melengkapi. Salah satunya, MAS boleh belajar daripada kecekapan AirAsia yang kini menjadi peneraju dalam industri penerbangan. Sumber manusia AirAsia yang disifatkan lebih jitu dan komited tentu sekali boleh mengubah sikap dan mentaliti sebilangan kakitangan MAS yang selalu digembar-gemburkan kurang bersemangat itu. Kehadiran kelompok bertenaga AirAsia ini barangkali mampu mengubah sikap dan cara kerja sebilangan kakitangan MAS itu yang didakwa turut menjadi faktor penghalang kepada kejayaan pelan-pelan transformasi MAS sebelum ini, selain faktor usia pesawat. Begitu juga syarikat tambang murah itu boleh berkongsi kepakaran kejuruteraan canggih yang dimiliki oleh MAS. 


Dalam aspek ini, sumber MAS dapat dimanfaatkan dengan pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya di dalam negara bukan seperti amalan sekarang. Mungkin juga kesepakatan ini dapat memulihkan MAS yang selalu dibelenggu dengan masalah kerugian. Bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu, MAS mencatatkan kerugian bersih RM242.3 juta berbanding keuntungan RM310.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Jika langkah drastik tidak dilakukan segera, menjelang penghujung tahun nanti tidak mustahil kerugian MAS boleh mencecah RM1 bilion - sesuatu yang perlu dielakkan. Secara perbandingan pula, AirAsia mencatatkan keuntungan RM171.9 juta bagi suku pertama tahun ini dan merekodkan keuntungan RM1.5 bilion bagi keseluruhan tahun kewangannya tahun lalu. Dari segi nilai AirAsia juga jauh lebih baik iaitu RM11 bilion berbanding MAS yang bernilai RM5.3 bilion. Dalam kedudukan ini, AirAsia dilihat dalam kedudukan 'menang'. Tetapi mengambil semangat kesepakatan itu, sebenarnya pihak yang menang adalah Malaysia yang kesan akhir akan memberi manfaat kepada rakyatnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 OGOS 2011