27 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : FOTOKOPI, BUAT MEMANG MUDAH,TANGGUNG DOSA ITU PAYAH


Jurulatih Utama Bahasa Melayu BM STPM Malaysia

Fotokopi merupakan proses membuat salinan foto, bahan-bahan bertulis atau kerja-kerja grafik dengan menggunakan mesin zeroks. Sejarah fotokopi ini bermula sejak sekian lama di dunia ini. Senario fotokopi ini memang meluas terutama di sekolah, kolej, dan universiti. Buku-buku rujukan ilmiah telah difotokopi dalam puluhan naskah untuk kegunaan para pelajar. Alasannya, fotokopi ini lebih mudah, murah, dan menjimatkan masa. Bayangkan buku yang setebal 200 halaman, yang dijual dengan harga RM30.00, setelah difotokopi kosnya tidak sampai RM10.00. Ini amat menguntungkan. Bagi mereka yang berniaga, mereka hanya memerlukan sebuah buku yang orginal dan membuat salinan fotokopi sehingga 100 salinan. Jika setiap salinan fotokopi itu dia untuk RM3.00 maka bagi sebuah buku dia boleh mengaut untung sebanyak RM300.00. Fotokopi menguntungkan pelanggan dan peniaga. Alangkah bertuahnya hidup mereka. Mereka meraih untung atas susah payah dan pengorbanan orang lain. Orang lain berhuma, berpanas, dan berhujan manakala mereka cuma datang mengambil beras untuk dimasak dan dimakan tanpa mengucapkan "Terima Kasih". Mudah hai mudah. 

PENGALAMAN YANG MEMILUKAN

Saya pernah berhadapan dengan manusia yang suka melakukan fotokopi ini. Saya sendiri menjadi saksi kepada Modul Bahasa Melayu STPM yang saya tulis dan difotokopi oleh seorang guru untuk kegunaan pelajar-pelajarnya. Modul itu mengandungi 100 buah karangan yang saya tulis dengan memerah otak siang dan malam semata-mata untuk membantu para guru dan pelajar yang masih tercari-cari teknik menulis karangan STPM yang betul. Dengan segala pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, saya berusaha membuat modul yang khusus untuk membantu mereka. Saya sebarkan modul itu untuk semua secara percuma tanpa mengenakan bayaran walau satu sen pun. Pada suatu hari, mungkin Tuhan hendak tunjukkan sesuatu yang salah berlaku di depan mata saya. Semasa singgah di sebuah kedai fotostat, saya melihat modul saya  itu sedang difotokopi oleh seorang pekerja manakala seorang lagi pekerja sedang membuat binding kepada beberapa modul yang telah siap di fotokopi. Saya yang pura-pura tidak mengetahui minta untuk membeli sebuah. Tauke kedai itu menyatakan bahawa harga modul itu ialah sebanyak RM15.00. Saya tanya, siapakah penulisnya? Tauke itu sebut penulisnya merupakan seorang guru yang tekenal dan pandai bahasa Melayu. Nasib baik bukan nama saya yang disebut tetapi nama guru lain yang saya kenal. Saya bukanlah guru pandai bahasa Melayu seperti guru itu. Betapa hancurnya hati kita apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Niat kita ikhlas untuk membantu tetapi orang yang dibantu pula sewenang-wenangnya mencari duit dengan bahan yang kita bagi. Dia tidak perlu bersusah payah menulis. Dia hanya perlu padamkan nama kita dan gantikan nama kita dengan nama dia tanpa rasa bersalah.


Jurulatih Utama Bahasa Melayu Malaysia - Wanita

Pada tahun 2013, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah Bahasa Melayu STPM di sebuah sekolah. (Nama sekolah dan lokasi sekolah biarlah rahsia) Semasa saya menyampaikan ceramah saya amat terkejut apabila pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya semua mengeluarkan buku yang difotokopi. Buku itu pula merupakan buku yang ditulis oleh saya dan rakan-rakan saya. Pelajar-pelajar ini, tanpa rasa bersalah merujuk buku-buku fotokopi itu apabila saya mengaitkan isi ceramah dengan perkara yang ada dalam buku itu. Saya mahu berhenti daripada memberikan ceramah tetapi disebabkan rasa minat untuk membantu dan menolong saya teruskan juga sehingga ke penghujung. Saya cuba bertenang dan memohon diri supaya tidak memarahi sesiapa pada masa itu. Mereka tidak pernah memikirkan tentang susah payah kami menulis buku. Kami membuat pelbagai rujukan dan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk mengadakan sesi panel dan membayar kos cetakan buku yang kami hasilkan. Niat kami menulis cuma untuk membantu para guru dan pelajar di seluruh Negara demi meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan STPM Penggal 1, 2, dan 3. Kami tidak mengimpikan keuntungan berjuta-juta. Cukuplah hanya keuntungan yang sedikit untuk membolehkan kami menerbitkan buku lain pula suatu masa nanti.

Terlalu banyak kisah sedih yang tersembunyi di sebalik keghairahan orang yang suka melakukan fotokopi. Saya gelarkan golongan ini sebagai perompak hak intelek orang lain tanpa sekelumit pun rasa bersalah dalam diri mereka. Mereka mencari kesenangan dan menjana keuntungan melalui hasil karya dan susah payah orang lain. Mereka tidak menghargai perasaan orang lain. Mereka hanya mementingkan diri sendiri. Yang penting bagi mereka ialah dapat duit untuk menyara hidup tanpa memperdulikan rezeki itu halal atau tidak. Sememangnya bagi golongan ini hidup amat mudah. Semudah memfotokopi! Beli sebuah buku, mereka mampu memfotokopi berpuluh-puluh buku, mereka pun boleh menjana keuntungan beribu-ribu.

DOSA TANGGUNG SENDIRI

Semua agama di dunia ini menekankan konsep halal dan haram bagi setiap rezeki yang kita peroleh saban hari. Orang yang melakukan fotokopi tanpa kebenaran daripada penulis buku atau modul yang sebenar, perbuatan itu adalah haram. Apatah lagi kalau orang tersebut tidak menghalalkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. Kita harus ingat hati mana yang tidak terluka, jiwa mana yang mampu bersabar, naluri mana yang sudi merelakan apabila melihat hasil titik peluh sendiri difotokopi tanpa memohon keizinan. Mereka mungkin tersenyum di hadapan kita kerana mereka merupakan golongan professional dan berakal. Akan tetapi, jauh di sudut hati mereka mungkin mendoakan agar perbuatan kita itu diberikan pembalasan yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, saya tidaklah beranggapan semua penulis buku akan berlaku kejam sebegitu. Mereka tidak akan mendoakan yang buruk-buruk kepada pesalah fotokopi ini. Saya sendiri selalu memanjatkan doa kepada Allah Yang Maha Esa agar golongan yang suka melakukan fotokopi ini diberikan sinar keinsafan dan keampunan agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Saya tidak menyimpan dendam namun di sudut hati yang terluka saya amat berharap agar mereka sedar akan kesalahan diri kerana perbuatan fotokopi ini boleh menutup pintu hati untuk seseorang menulis lagi. Kenapakah kita perlu melakukan fotokopi jika kita tahu perbuatan itu merupakan satu dosa besar? Jika ditangkap mungkin kita boleh dikenakan tindakan mahkamah. Perbuatan yang salah memang salah dan hukuman akan dikenakan terhadap kita. Itu hukuman yang kita terima di dunia. Bagaimanakah dengan hukuman di akhirat pula? Adakah kita akan terlepas? Tepuk dada tanyalah selera. Perbuatan kita melakukan fotokopi tanpa kebenaran memang salah di sisi agama. Dalam agama kita tidak dibenarkan mengambil hak cipta orang lain tanpa kebenaran. Perkara yang salah, jika kita lakukan juga maka di akhirat nanti kita akan diadili atas setiap perbuatan yang kita lakukan itu.

"Kenapa apabila kita membaca sebuah buku yang kita fotokopi kita gagal mengingat segala fakta yang dibaca? Ada ketikanya kita telah hadam ilmu itu tetapi apabila berhadapan dengan soalan dalam peperiksaan kita tidak ingat jawapannya? Mungkin inilah bahana yang diterima apabila kita melakukan fotokopi"

TIDAK MAMPU MEMBELI BUKU?

Apabila melihat penampilan kita yang mewah dan bergaya, ada rumah besar, kereta besar, telefon pintar jenama terkenal sentiasa di tangan, tetapi sebuah buku yang berharga RM10 hingga RM30 pun kita tidak mampu beli, itu ‘pelik bin ajaib’. Bagi golongan pelajar juga, pendapatan ibu bapa melebihi RM3000.00 dan semua kelengkapan di bawa ke sekolah mahal-mahal belaka, tetapi apabila disuruh membeli buku, alasannya “Saya tiada duit, Cikgu”. Ini merupakan suatu pembohongan yang tidak boleh dimaafkan. Sebenarnya, fotokopi ini sudah menjadi suatu budaya yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat. Soal mampu atau tidak mampu itu bukan persoalan tetapi apabila perkara yang salah itu telah sebati dalam diri kita, maka kita akan melakukannya tanpa rasa bersalah. Perkara ini merupakan suatu bencana yang direlakan apatah lagi apabila guru-guru pula mencadangkan dan menguruskan urusan fotokopi ini. Sukar untuk menjawab sama ada perbuatan fotokopi ini lebih mudah atau membeli buku itu lebih mudah? Yang saya tahu, orang yang tergamak melakukan fotokopi ini merupakan golongan yang ketagih untuk melakukan fotokopi. Soal mampu atau tidak mampu itu bukan perkara utama yang difikirkan.


Jurulatih Utama Bahasa Melayu dari Perlis hingga ke Sabah

Bagi golongan pelajar pula, apabila yang tua meminta supaya melakukan fotokopi mereka memang suka kerana boleh menjimatkan wang belanja untuk membeli kad prabayar Internet. Mereka meminta duit sebanyak RM30.00 daripada ibu bapa untuk membeli buku tetapi apabila datang di sekolah, mereka cuma membayar RM10.00 sahaja manakala RM20.00 lagi boleh dibelanjakan untuk tujuan lain. Kebanyakan ibu bapa mudah untuk memberikan wang jika alasannya untuk membeli buku tetapi mereka akan marah jika anak minta wang untuk membeli barang-barang yang tidak bersangkutan dengan pelajaran. Pelajar-pelajar yang fotokopi ini tidak sedar mereka telah melakukan dua dosa besar iaitu, membohongi ibu bapa mereka dan merompak hak cipta orang lain. Saya tidak menafikan memang ada pelajar yang tidak mampu membeli buku tetapi bukan semua. Yang tidak mampu ini bolehlah memikirkan cara lain untuk mendapatkan buku tersebut. Namun begitu, para guru diingatkan supaya jangan mengarahkan semua pelajar untuk tidak membeli buku dan membuat salinan fotokopi.

“JOM CEGAH, JOM UBAH”

Perkara yang tidak elok apabila dibudayakan akan membawa pelbagai malapetaka pada masa hadapan. Isu fotokopi ini tidak akan habis sekiranya semua pihak tidak menanamkan kesedaran dalam diri masing-masing untuk mencegah dan mengelakkan diri daripada melakukannya. Ibu bapa harus menyediakan wang yang mencukupi untuk membeli segala keperluan persekolahan anak-anak di sekolah. Guru-guru pula harus menyampaikan maklumat yang betul kepada pelajar. Fotokopi merupakan suatu perubatan yang salah. Jadi, tidak molek sekiranya kita mengajar perkara yang salah itu berulang-ulang kali kepada pelajar-pelajar kita. Bagi golongan pelajar pula, perbuatan fotokopi ini boleh menjadi suatu budaya yang tidak elok. Jika kita lakukannya terhadap orang lain pada hari ini, tidak mustahil kita sendiri akan menghadapi situasi tersebut, kalau bukan kita, perkara itu akan berlaku terhadap anak cucu kita pula. Itulah namanya kehidupan!


Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 3 di Mini Putrajaya Kota Kinabalu
Yang cantik itu namanya Cikgu Lily

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

26 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : IMEJ SESEBUAH SEKOLAH, HITAM PUTIH WARNANYA KITA YANG MENCORAKKAN. SIAPA KITA?


Sekolah merupakan institusi yang khusus untuk kita menimba ilmu secara formal. Seawal usia 5 tahun kita telah dihantar ke tadika oleh ibu bapa kita. Tujuannya hanya satu iaitu, mereka mahu kita menjadi insan yang berilmu kerana anak merupakan pelaburan yang paling bermakna bagi insan yang bergelar suami isteri. Semua ibu bapa di dunia ini menginginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mereka mahu anak mereka belajar di sekolah yang terbaik. Mereka mahu anak mereka diajar oleh guru-guru yang terbaik. Mereka mahu anak-anak mereka mempelajari sesuatu yang terbaik. Itu impian mereka sebagai ibu bapa. Namun demikian, harapan tidak semestinya menjadi realiti. Kadang-kadang kita bermimpi untuk mengenggam seketul emas berharga, apabila terjaga kita sedar yang digenggam itu bukan emas tetapi telefon pintar yang tidak pernah terlepas dari tangan kita. Begitulah dengan impian jutaan ibu bapa di dunia ini, anak yang diharapkan menjadi doktor, jurutera, saintis, pilot, peguam, profesor, dan sebagainya tidak semuanya menjadi nyata. Ramai yang tersadung kaki setelah diuji di peringkat SPM, STPM, dan Universiti.

IMEJ SEKOLAH

Apabila anak berjaya mendapat banyak A dalam peperiksaan maka imej sekolah pun akan meniti dari bibir ke bibir masyarakat. Semua yang diperkatakan adalah yang baik-baik belaka. Cikgu di sekolah itu rajin. Pengetua sekolah itu tegas. Pelajar-pelajar di sekolah itu semuanya baik-baik. Walaupun dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah itu, dia mampu bercerita dari pagi hingga ke senja tentang kehebatan sekolah itu. Oleh itu, dia akan membantu sekolah itu menjadi popular dalam kalangan masyarakat setempat. Implikasinya, imej sekolah itu akan meningkat di mata masyarakat setempat. Pada tahun berikutnya, orang akan berduyun-duyun menghantar permohonan masuk ke sekolah itu. Inilah realiti yang memang terjadi dalam masyarakat kita. Penyakit ini bukan sahaja melibatkan sekelompok surirumah yang kerjanya hari-hari bercerita dengan jiran sebelah malah menular ke pejabat termasuklah dalam kalangan guru sendiri. Sindrom menghukum ini merupakan penyakit yang tiada penawarnya.

Apabila prestasi sesebuah sekolah itu jatuh atau tercorot dalam rangking yang dikeluarkan oleh pihak berwajib maka hal-hal negatif tentang sekolah tersebut akan menjadi tajuk utama para wartawan yang menghabiskan masa bersembang di kedai kopi. Mereka akan minum berpuluh-puluh cawan kopi untuk melayan cerita tentang guru malas, pelajar malas, pentadbir teruk, dan pelbagai lagi keburukan yang berjaya ditelanjangi oleh mereka. Pendek kata, semua yang buruk-buruk pada pandangan mata akan diungkit sehingga pintu pagar sekolah yang rosak pun dijadikan alasan prestasi teruk itu. Inilah dunia ciptaan masyarakat setempat. Secara tidak langsung, sembang kedai kopi ini akan merebak ibarat penyakit berjangkit sehingga beribu-ribu kilometer. Orang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun percaya dan menyambung cerita kepada kelompok senasibnya. Cerita-cerita ini akan menutup segala yang baik tentang sekolah tersebut. Cerita-cerita ini pula akan diingat sehingga tujuh keturunan anak cucu mereka. Walaupun sekolah itu naik, namun kerana CPU yang ditanam di kepala mereka sudah ‘save’ yang buruk-buruk, maka buruklah yang terluah dari mulut mereka.

PERANAN IBU BAPA

Yang pelik dan yang ganjilnya, yang rancak mengutuk itulah yang menghantar anak-anaknya bersekolah disitu. Alasannya, tiada sekolah lain untuk saya menempatkan anak saya. Saya terpaksa hantar dia ke sini. Secara tidak langsung, dia termakan dengan fitnah dan cacian yang telah dia sebarkan selama ini. Tugasnya cuma satu sahaja, hantar anak ke sekolah dan apabila anak balik ke rumah dia buat tidak kisah. Dia tidak kisah sama ada anaknya hadir kelas tambahan atau tidak? Apabila anak minta supaya dihantar menghadiri kelas tambahan di sekolah, mereka tidak mahu. Alasannya, harga minyak naik. Yang lebih teruk lagi, cikgu pun turut terkena tempias kemarahan mereka wahal kelas tambahan itu diadakan untuk membantu anak mereka. Mereka juga tidak pernah memantau pergerakan anak-anak di luar waktu persekolahan. Anak-anak dibiarkan melepak sepanjang petang hingga ke malam. Mereka tidak pernah bertanyakan kepada anak tentang tugas-tugas yang diberikan oleh guru untuk disiapkan di rumah, sudah siap ke belum? Mereka tidak pernah menemani anak mengulang kaji pelajaran. Yang mereka tahu, apabila anak tidak duduk bersama-sama mereka menonton slot akasia di TV3, mereka akan memanggilnya supaya menonton bersama-sama.


Apabila dijemput menghadiri mesyuarat PIBG, ramai ibu bapa yang tidak pernah datang tetapi apabila anaknya melaporkan dia dihukum guru menyapu parit, langkahnya laju ke sekolah untuk mencari guru itu. Tujuannya untuk memarahi guru yang menghukum itu. Mereka tidak pernah terfikir hendak ke sekolah untuk bersembang tentang prestasi anak-anak mereka dalam bidang akademik dengan guru. Jemputan untuk hadir ke Hari Permuafakatan pun tidak dilayan. Sokongan kepada sekolah amatlah hambar dan tawar. Mereka hanya aktif apabila sesuatu yang buruk atau tidak dipersetujui berlaku. Itulah sikap ibu bapa pada zaman ini. Walaupun bukan semuanya bersikap begitu, tetapi realiti ini tidak boleh kita singkirkan dalam membicarakan imej sesebuah sekolah.

BEKAS PELAJAR

Peribahasa Melayu mengatakan tempat jauh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Bekas pelajar terutamanya yang sudah berjaya seharusnya datanglah melawat ke sekolah lama untuk bertanya khabar. Semua sekolah amat memerlukan sumbangan dan sokongan daripada bekas pelajar sekolah tersebut untuk menaikkan imej sekolah. Bekas pelajar yang sudah bekerja bolehlah menghulurkan ‘seringgit dua’ untuk membantu menceriakan kawasan sekolah. Kecerian kawasan sekolah amatlah penting untuk membina sebuah sekolah yang kondusif dan ceria bagi membangkitkan semangat belajar dalam kalangan anak-anak didik kita. Sekurang-kurangnya dengan sumbangan kita yang sedikit itu kita berjaya membangkitkan semangat kepada adik-adik kita yang masih tercari-cari arah tuju hidup mereka. Bagi bekas pelajar yang masih di universiti pula, tidak salah datang ke sekolah untuk memberikan ceramah motivasi kepada sekumpulan pelajar agar mereka lebih berdaya saing dan berkeyakinan untuk menjadi seperti diri kita yang telah berjaya.

Sebagai bekas pelajar kita harus menghindarkan diri daripada membicarakan sesuatu yang negatif tentang sekolah tempat kita belajar walaupun kita sudah tidak berada di situ lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana kita lebih tahu tentang sekolah tempat kita belajar selama bertahun-tahun. Kita menjadi seperti hari ini kerana bertapa bertahun-tahun menuntut ilmu di sekolah itu. Walaupun kita bekerja sebagai kerani atau tukang cuci, kita harus ingat asal usul kita dan sejarah hidup kita bermula dari sekolah itu. Oleh itu, jika imej sekolah kita jatuh, kita jangan menghentaknya dengan kaki hingga tenggelam di dalam lumpur. Kita harus berusaha memapahnya dan merawat lukanya sehingga sembuh dan pulih kembali. Kita harus percaya kepada azimat yang selalu diperkata, hidup ini umpama roda, terkadang kita di atas, terkadang kita di bawah. Baik di atas mahupun di bawah, kita tetap memerlukan sokongan dan dukungan daripada orang terdekat untuk terus membantu kita terus gah dan gagah merentasi cabaran dan rintangan yang mendatang.

PERANAN PELAJAR

Pelajar merupakan tulang belakang kepada imej sesebuah sekolah, apatah lagi bagi sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang ramai, yakni melebihi 1500 orang ke atas. Bukannya senang untuk menjaga sekumpulan pelajar yang mempunyai pelbagai ragam dan darjah kenakalan yang berbeza. Semua pelajar harus tahu tujuan mereka datang ke sekolah. Mereka datang ke sekolah untuk belajar bagi menjadi insan yang berilmu serta berjawatan tinggi pada suatu masa nanti. Jika pelajar hanya sekadar datang ke sekolah tetapi tidak tahu tujuan serta tidak ada cita-cita maka golongan inilah yang akan mencipta pelbagai masalah di sekolah. Golongan ini tidak tahu menjaga imej sekolah. Golongan ini tidak ramai tetapi kesannya amat besar terutama kepada sekelompok masyarakat yang menjadi hakim tak berkelulusan. Pelajar-pelajar yang tidak tahu tujuan dia datang ke sekolah ini akan menghabiskan waktu selepas waktu persekolahan dengan merokok, melepak, lumba haram, bergaduh, dan sebagainya. Masyarakat yang menyaksikan drama hidup mereka yang sedih ini pula akan mudah menuduh dan menghukum. Yang buruknya nanti nama sekolah. Yang salahnya nanti ialah guru. Yang turut disalahkan ialah pihak polis. Ibu bapa tidak pernah salah.

Pelajar-pelajar harus ingat imej sekolah amat penting untuk dijaga. Apabila tamat alam persekolahan segala sijil yang ditayangkan akan tercatat nama sekolah tempat kita belajar. Majikan pula lebih cenderung untuk memilik produk yang dikeluarkan dari kilang yang baik dan cemerlang. Pelajar harus tahu akan hakikat ini. Ibu bapa mereka juga perlu sedar akan perkara ini. Apa yang kita buat semuanya akan diadili oleh penilai-penilai yang berada di sekitar kita tanpa kita sedari. Semasa berada di alam persekolahan, kadang-kadang kita terlupa pada tanggungjawab untuk menjaga imej sekolah kita. Kita biarkan diri kita melakarkan dan mencalarkan imej sekolah kita dengan pelbagai perkara negatif yang menjengkelkan. Suatu ketika baru kita sedar bahawa itu salah tetapi sukar untuk kita berpatah lagi kerana masa terlalu cepat berlaku untuk orang-orang yang dangkal seperti kita.

SEMUA PIHAK PERLU BERSATU


Imej sekolah tanggungjawab semua pihak. Guru, ibu bapa, PIBG, bekas pelajar, pelajar, dan masyarakat setempat harus bersatu demi menaikkan dan menjaga imej sesebuah sekolah. Apabila kita bersatu, segala yang susah akan menjadi mudah. Segala yang mudah akan berjaya dipermudahkan lagi agar mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Kita tidak boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja. Orang yang menghukum memanglah akan terus menghukum tetapi kita yang dihukum harus berusaha membuktikan yang terbaik agar golongan ini tidak akan terus menerus menghukum kita. Tuhan akan selalu merahmati perjalanan orang yang bersatu dan berpadu dalam menghadapi apa-apa jua situasi baik dalam duka atau suka, bahagia atau sengsara. Hakikatnya, semua sekolah di dunia ini adalah sama visi, matlamat dan wawasannya. Guru-guru yang ditempatkan di sekolah juga sama kelulusan dan ilmunya. Yang menentukan prestasi sesebuah sekolah dalam peperiksaan awam ialah pencapaian pelajar yang cemerlang. Akan tetapi, kecemerlangan itu masih menjadi persoalan? Cemerlang dalam bidang akademik tidak semestinya cemerlang dalam aspek sahsiah dan tingkah laku.  Orang yang tidak cemerlang dalam akademik pun boleh berjaya jika segalanya lengkap dan sempurna. Yang paling penting ialah sokongan daripada semua pihak. Kek lapis Sarawak tidak akan sedap jika ramuannya tidak lengkap. Begitulah dengan imej sesebuah sekolah, tanpa sokongan semua pihak, sukar untuk satu pihak sahaja menggerakkan usaha ke arah itu.






Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

CATATAN CIKGU ZUL : CIKGU GARANG, I LOVE YOU SAYANG, MAKIN AWAK GARANG MAKIN SAYA SAYANG



Bersama Jurulatih Utama BM STPM negeri Melaka (Kak Ramlah), Perak (Kak Midah), Selangor (Kak Wahida) dan Johor (Kak Noraini). Semua cantik-cantik belaka. 

Sepanjang melayari bahtera alam persekolahan, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, kita akan bertemu dengan ramai guru. Guru merupakan golongan yang banyak berjasa kepada setiap manusia kerana merekalah arketik yang terhandal di dunia yang menjana jutaan cendikiawan dan ilmuan pada hari ini. Saban tahun jutaan manusia dikeluarkan dari kilang-kilang tempat guru bekerja setelah menamatkan pengajian untuk menjawat pelbagai jawatan bagi memacu ekonomi negara dan memahat nama negara sehingga ke persada antarabangsa. Bagi golongan pelajar yang masih menempuh alam persekolahan, guru merupakan ibu bapa kedua mereka. Gurulah yang akan mendengar masalah mereka. Apabila mereka sakit gurulah yang bersusah payah menelefon ibu bapa mereka dan mengisi borang kebenaran balik ke rumah. Gurulah yang akan menjaga mereka sehinggalah ibu bapa mereka datang. Saban hari, mulut guru memberikan nasihat dan amanat di samping menyampaikan ilmu pelbagai cabang kepada mereka tanpa jemu-jemu.

Guru dan pelajar ibarat irama dan lagu, kopi dan gula, gulai dan garam. Saat suka mereka akan ketawa bersama. Saat sedih mereka akan menangis bersama. Mereka ibarat isi dengan kuku kerana saling memerlukan. Kehilangan pelajar akan dicari, ketiadaan guru akan dirindui. Pemergian guru akan ditangisi, pemergian pelajar akan dikesali. Hubungan yang terlalu dekat ini bagai cubit paha kanan, paha kiri turut terasa. Guru selalu bercerita tentang karenah pelajar-pelajar mereka manakala pelajar juga selalu bercerita tentang karenah guru-guru mereka. Biar apa pun cerita yang diceritakan, baik negatif mahupun positif, itu melambangkan mereka saling mengambil berat dan tujuannya hanya satu iaitu tanda wujudnya rasa cinta, kasih, dan sayang. Begitulah istimewanya hubungan antara pelajar dan guru-guru mereka.

GURU GARANG

Guru garang ini merupakan gologan guru yang paling ditakuti oleh pelajar-pelajarnya. Apabila tiba waktu guru garang ini masuk ke dalam kelas, tidak ada pelajar yang berani keluar ke tandas. Semua orang akan fokus dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Pelajar-pelajar yang menganggu proses pengajaran dan pembelajaran akan menerima hadiah daripada guru garang ini. Semasa zaman persekolahan saya dahulu, hadiah yang diberikan ialah sebatan dengan rotan. Jumlah sebatan mungkin sekali, dua kali, tiga kali atau berkali-kali, ikut darjah kemarahannya pada ketika itu. Yang dirotan bukan sahaja kita, meja dan papan hitam pun akan dirotan bagi melepaskan kemarahannya yang teramat sangat. Saya masih ingat, guru Matematik saya semasa Darjah 5 yang memang garang. Kami pula amatlah lemah dalam subjek Matematik. Jika kami gagal menyelesaikan masalah yang disoal dan subjek Matematik itu kami akan dirotan dan disuruh memadamkan papan hitam menggunakan hidung. Kalau zaman ini, hukuman begini sudah dikira kes dera, silap-silap guru itu akan dihadapkan ke mahkamah.


Sambutan Tahun Baru Cina SMK Sibu Jaya, 2017

Akan tetapi, kami tidak seperti murid-murid zaman sekarang. Kami terus belajar untuk menguasai subjek Matematik itu. Kami tidak ceritakan hukuman yang kami terima kepada ibu bapa kami. Kalau kami bercerita, silap-silap akan dirotan juga oleh ibu atau ayah. Pada masa itu, semua orang tak sayang pada kanak-kanak seperti kami. Pedih dirotan terpaksa kami rawat dan tahan kesakitannya sendiri. Kadang-kadang kesan rotan akan meninggalkan luka dan berdarah di betis dan di buntut. Tidur malam terpaksa menahan sedu sedan kerana kesakitan. Itulah nasib kami. Namun begitu, apabila menginjak kaki kea lam dewasa, jauh di sudut hati saya amat berterima kasih kepada guru garang itu kerana hasil didikannya saya tidak pernah gagal dalam subjek Matematik. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi masih segar diingatan saya sehingga ke hari ini.

Masa itu saya telah dilantik menjadi pengawas sekolah. Pada suatu hari, saya dan kawan saya melaporkan kes pelajar bergaduh semasa kami belajar petang kepada guru garang itu. Yang dirotan bukan sahaja pelajar yang bergaduh, saya dan kawan saya juga turut dirotan kerana tidak dapat mengawal keadaan di dalam kelas. Aduh, sakitnya! Namun begitu, dia tidak pernah membenci kami. Dia garang dan tegas apabila kami gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan. Dia marah apabila kami malas dan selalu berbuat bising di dalam kelas. Kadang-kadang pada hujung minggu, dia panggil semua pelajar pergi ke rumahnya untuk menonton televisyen. Dia jamu kami dengan makanan. Dia duduk diam sambil menyemak buku latihan di depan kami. Dia Nampak amat baik sekali. Pada waktu malam, dia akan melihat kami tidur di asrama. Yang tidak berselimut, dia selimutkan. Yang bising, memang dia akan rotan. Semua pelajar takut pada guru itu. Dialah Guru Besar, dialah ayah, dialah ibu, dan dialah segala-galanya buat kami.

PENGETUA TERGARANG DI DUNIA

Apabila saya masuk ke alam sekolah menengah, saya dipertemukan dengan seorang Pengetua yang garang pula. Suaranya garau dan amat kuat sekali. Apabila pelajar melakukan kesalahan, tangan dan kakinya akan singgah di badan tanpa rasa simpati. Dia tak perlu melawat dari kelas ke kelas. Dia hanya perlu menjerit dari pejabatnya, seluruh kawasan sekolah akan senyap dan sunyi. Pada masa itu, guru-guru sendiri pun takut padanya. Saya masih ingat, seluruh pelajar asrama tempat saya tinggal dihukum berlari di tengah-tengah padang kerana beberapa orang pelajar bising dan bermain kejar mengejar di waktu tengah malam. Hukumannya tidak boleh diingkari. Walau bagaimanapun, saya lihat sebilangan pelajar nakal langsung tidak terkesan dengan hukuman yang diberikan. Mereka tetap melakukan perbuatan tersebut. Yang turut menjadi mangsa ialah pelajar-pelajar seperti kami. Kami terpaksa juga menerima hukuman jika mereka dihukum.

Pengetua kami yang satu ini memanglah garang tetapi kebajikan pelajar tidak pernah dia abaikan. Makanan kami cukup, malahan dialah yang membina 3 buah kolam ikan di kawasan sekolah kami. Di kolam ikan itu, dia ternak ikan patin dan tilapia. Saya masih ingat apabila ikan itu besar, dia arahkan pelajar-pelajar senior menangkap ikan itu. Pada sebelah malamnya pula, kami BBQ di tepi pantai. Dia nampak amat baik kepada kami. Sifat garang dan bengisnya hilang tiba-tiba. Kini, setelah saya sendiri menjadi guru, barulah saya faham. Pelajar-pelajar nakal tidak boleh dibiarkan terus nakal kerana sikap membiarkan itu hanya kan menjadikan mereka sebagai ‘sampah masyarakat’. Apabila saya ditempatkan menjadi guru di Daerah Sibu, saya bertemu beberapa kali dengan Pengetua Tergarang Di Dunia itu. Dia masih garang. Kegarangannya masih menjadi sebutan sehinggalah dia bersara. Namun begitu, jauh di sudut hati saya amat menyanjunginya. Walaupun saya tidak pernah menerima hukumannya atas kesalahan yang saya sendiri lakukan, saya masih juga berterima kasih kerana apa yang dia lakukan terhadap kawan-kawan saya sentiasa mengingatkan diri saya supaya jangan melakukan kesalahan itu. Saya bukanlah pelajar yang popular di sekolah pada masa itu, saya lebih banyak pasif di luar kelas kerana takut dirotan. Saya hanya aktif jika di dalam kelas. Kini, beliau telah bersara. Semoga Tuhan terus melimpahkan rahmat kepada beliau. Semoga beliau terus sihat walafiat dan bahagia di samping keluarga tersayang.

SAYA SENDIRI JADI CIKGU GARANG

Saya berasal dari sebuah keluarga yang amat miskin. Hidup di kawasan pedalaman di Katibas, Song. Selepas menamatkan kursus perguruan di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, saya ditempatkan di SMK Sacred Heart, Sibu. Sekolah itu satu-satunya sekolah lelaki yang terdapat di daerah Sibu. Pada tahun pertama, saya Cuma ditugaskan mengajar Pendidikan Moral Tingkatan 2 dan Sejarah Tingkatan 1. Apabila mengajar pelajar-pelajar lelaki, kita tidak boleh tidak garang. Guru-guru senior mengingatkan saya supaya sentiasa membawa rotan ke dalam kelas. Pelajar-pelajar lelaki tidak boleh dilayan sangat, takut mereka naik kepala. Itulah nasihat daripada guru-guru senior. Saya bawa juga rotan tetapi rotan itu cuma saya gunakan untuk memukul meja dan papan hitam. Saya tidak pukul pelajar. Bukan tak berani tetapi tak sampai hati. Saya ambil pendekatan lain untuk menarik perhatian pelajar, saya mengajar dengan bersungguh-sungguh semasa di sesi P&P. Pelajar yang nakal yang pada mulanya berbual-bual dan berjalan-jalan mula memberikan perhatian apabila saya dekati mereka dan sentiasa memanggil nama mereka di dalam kelas. Saiz badan pelajar Tingkatan dua lebih besar daripada saiz badan saya! Semuanya sihat-sihat sebab kebanyakannya anak orang berada.


Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 2 di SMK Bandar Tasik Tenggara, Johor pada bulan Ogos, 2016

Tahun kedua, saya ditugaskan mengajar subjek Bahasa Melayu. Saya diberikan mengajar kelas pelajar-pelajar pandai. Saya tidak tahu kenapa? Cabarannya lain, saya kena banyak menyemak dan bersedia sebelum masuk ke dalam kelas. Pelajar-pelajar ini telah menghadiri kelas tuisyen di luar waktu persekolahan. Mereka perlukan maklumat lain daripada yang mereka pelajari di luar. Sewaktu menyemak buku latihan pula, saya harus berhati-hati kerana hasil kerja saya turut dipantau oleh ibu bapa mereka. Jika silap, mereka boleh menghubungi pihak sekolah. Pelajar-pelajar pula amat menghormati saya. Apabila saya masuk, mereka akan tunduk memberikan hormat. Mereka belajar dengan penuh tumpuan. Kerja yang diberikan siap pada masa yang ditetapkan. Kelas pelajar pandai ini biasanya memiliki jumlah pelajar yang ramai, yakni lebih daripada 40 orang. Jadi, tugas saya pada setiap hati ialah menyemak dan menyemak sahaja. Pelajar-pelajar ini pula, apabila saya suruh menulis satu karangan, mereka pula akan hantar tiga hingga 5 buah karangan sebab terlajak rajin. Saban tahun saya ditugaskan untuk mengajar pelajar dalam kategori ini sahaja. Oleh sebab itu, saya tidak pernah berhadapan dengan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

Tahun 2006, saya diarahkan mengajar di sesi pagi. Saya diberikan kelas Tingkatan Enam dan Tingkatan 5 aliran sastera. Kelas tingkatan 5 yang saya ajar memang kelas yang terkenal dengan sifat nakal mereka. Namun begitu, saya memang ada pengalaman mengajar mereka semasa mereka masih di tingkatan satu. Mereka amat menghormati saya. Mereka sentiasa melakukan kerja yang saya suruh. Perkara yang paling menakjubkan, keputusan SPM mereka dalam subjek Bahasa Melayu amat cemerlang. Kelas paling nakal yang pelajarnya hanya 12 orang sahaja, hanya seorang sahaja gagal Bahasa Melayu. Yang lain semua kredit. Tahun berikutnya, sehingga saya berpindah ke SMK Sibu Jaya, saya diberikan mengajar kelas pelajar aliran sains dan Tingkatan enam sahaja. Mereka tiada masalah disiplin. Jadi, saya tak garang! Saya hanya akan garang kalau saya lihat pencapaian pelajar dalam peperiksaan tidak memuaskan atau tidak mencapai sasaran. Saya akan kuatkan suara apabila marah. Semua pelajar akan diam dan rasa bersalah. Saya paling pantang kalau pelajar tidak dapat menjawab perkara yang telah saya ajar di dalam kelas. Saya paling marah kalau pelajar tidak menjawab soalan dan membiarkan tepat itu kosong sahaja. Saya anggap mereka menghina diri saya dan tugas mulia seorang pendidik. Saya akan tuduh mereka berdosa kepada ibu bapa mereka. Saya akan gelar mereka pengkhianat yang tidak tahu menghargai jasa guru dan ibu bapa. Kebanyakan pelajar-pelajar ini akan saya panggil setiap hari untuk dinasihati sehingga mereka berubah. Alhamdulillah, mereka berubah.

PERLUKAN JADI GURU GARANG

Guru juga manusia. Setiap manusia mempunyai perangai yang berbeza-beza. Mereka harus menjadi diri mereka sendiri. Walau bagaimanapun, siapa pun guru anda, mereka tetap mempunyai mimpi yang sama iaitu bermimpi untuk melihat pelajar-pelajar mereka berjaya. Sebagai pelajar, kita tidak boleh berdendam atau membenci guru serta ibu bapa kita. Perbuatan sebegini merupakan suatu dosa besar kerana mereka merupakan golongan yang paling banyak berjasa kepada kita. Jangan kata guru tak sayang apabila dia selalu memarahi dan menegur silap kita. Dia buat begitu kerana dia sayang kepada kita. Jangan kata guru benci apabila dia selalu mengungkit kesalahan lalu yang kita lakukan. Dia buat begitu kerana dia tidak mahu kita mengulanginya lagi. Silap guru kita maafkan, jangan viralkan di media sosial. Kita harus ingat, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Begitu juga dengan silap pelajar, guru akan simpan dan pendam dihati. Mereka tidak akan melihat masa lalu kita andai kita berubah untuk menjadi yang lebih baik dan lebih baik lagi.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jay
Sibu Sarawak

25 Februari 2017

BUKU "PENDEKATAN EFEKTIF MEMAHAMI TATABAHASA BAHASA MELAYU"


BARISAN PENULIS

Nawi Ismail
Raminah Hj Sabran
Wahida  Abd Wahid
Mohd Sis Mohd Yatim
Zulkarnain Farihin Abdullah

SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG

Kami bersyukur ke hadrat Allah swt kerana atas limpah kurnia-Nya, kami berjaya menyiapkan satu lagi buku yang diharapkan dapat membantu pembaca, khususnya pelajar tingkatan enam yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu untuk mempelajari dan menguasai aspek-aspek tatabahasa bahasa Melayu.
           
Sesuai dengan tajuknya, buku ini kami hasilkan dengan menggunakan pedekatan yang difikirkan mudah dan berkesan untuk mempelajari tatabahasa bahasa Melayu. Perkara ini kami usahakan kerana berdasarkan  pengalaman kami mengajarkan tatabahasa dalam kalangan pelajar, khususnya pelajar tingkatan 6, kami mendapati kebanyakan pelajar beranggapan bahawa tatabahasa  sukar untuk dipelajari dan diingati. Hal ini menyebabkan pelajar kurang berminat untuk mempelajari tatabahasa. Akibatnya, mereka tidak menguasai aspek bahasa yang penting ini dengan baik dan akhirnya  gagal menggunakan bahasa Melayu secara berkesan.
           
Dengan tujuan untuk membantu pelajar,  buku ini dihasilkan dengan satu kelainan, iaitu kami mempersembahkan kandungan buku ini dengan mengurangkan ciri-ciri  keilmiahannya. Tujuan kami adalah supaya aspek-aspek tatabahasa yang hendak disampaikan itu mudah difahami. Untuk itu, kami menggunakan pendekatan yang menekankan pembelajaran secara  visual dengan menggunakan unsur-unsur grafik, seperti carta, jadual, dan gambar rajah pada tempat-tempat yang sesuai. Langkah ni bertujuan supaya sesuatu yang hendak disampaikan itu dapat dilihat dengan lebih jelas dan seterusnya aspek itu dapat diingat dengan lebih mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana pembelajaran yang sedemikian terbukti mampu meninggalkan kesan yang lebih baik. Kami juga cuba menghuraikan sesuatu konsep atau istilah dengan menggunakan ayat yang ringkas dan mudah, disertai contoh-contoh yang dekat dengan pelajar. Dengan kata lain, kami cuba untuk mengelakkan  pelajar daripada tertekan oleh kesukaran  memahami konsep, istilah dan huraian  yang persembahannya yang terlalu ilmiah. Dengan demikian, diharapkan minat pelajar untuk mendalami tatabahasa bahasa Melayu akan bertambah.
           
Walaupun pada dasarnya buku ini dihasilkan   untuk membantu pelajar tingkatan 6 tetapi kami mengharapkan agar buku ini juga dapat  digunakan oleh  umum (orang awam). Oleh itu,  bagi sesetengah tajuk, liputannya  agak  mendalam dan di luar cakupan sukatan pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 6. Bagi mengelakkan pelajar tersasar daripada kehendak sukatan, maka kami sertakan catatan kandungan sukatan pelajaran dan hasil pembelajaran pada permulaan setiap bab. Catatan tersebut bolehlah  dijadikan panduan  oleh guru dan pelajar tingkatan 6. Tegasnya, untuk pelajar yang berkenaan, tumpuan mereka mestilah  pada perincian tajuk yang terkandung dalam sukatan pelajaran dan penguasaan kemahiran yang dinyatakan dalam hasil pembelajaran sahaja. Maksudnya, mereka boleh mengesampingkan  bahagian yang tidak berkaitan dengan sesuatu yang perlu dikuasai oleh mereka.

PENGALAMAN CIKGU ZUL

Saya merupakan insan yang paling kerdil yang serba kekurangan jika dibandingan dengan rakan-rakan penulis yang lain. Oleh sebab itu, saya amat bersyukur kepada Allah kerana diberikan peluang untuk bekerjasama dengan mereka. Puan Hajah Raminah binti Haji Sabran merupakan seorang pakar bahasa Melayu yang banyak pengalaman. Kami amat mengagumi beliau kerana setiap kata yang diujarkan dari bibir beliau merupakan mutiara yang amat berharga. Beliau sentiasa merendah diri dan memberikan bimbingan kepada kami tanpa jemu dan putus asa. Jika kami menemui jalan buntu dalam sesuatu perbincangan, beliaulah yang akan membawa kami keluar dari kekusutan itu dan pastikan kami tidak akan tersesat lagi. Saya secara peribadi amat mengagumi beliau kerana bukan sedikit pengalaman yang saya ceduk dan ilmu yang saya pelajari sepanjang mengenali beliau dari 2012 hingga kini.

Pelantikan saya sebagai wakil Sarawak menjadi Jurulatih Utama STPM pada Januari 2012 merupakan detik bersejarah yang tidak akan saya lupakan hingga ke detik ini. Bermula dari saat itu saya mengenali Tuan Haji Nawi Ismail, Guru Cemerlang Bahasa Melayu Gred Khas C, Tuan Haji Sis bin Mohd. Yatim, dan Puan Hajah Wahida binti Abdul Wajid. Saya sebenarnya telah lama mengagumi Tuan Haji Nawi. Saya pernah menjemput beliau memberi ceramah di sekolah lama saya SMK Sacred Heart. Saya mengajar Bahasa Melayu menggunakan buku-buku yang ditulis oleh beliau. Artikel-artikel yang ditulis oleh Tuan Haji Nawi dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa saya baca. Saya kagum dengan kebolehan Tuan Haji Nawi. Saya selalu bercita-cita untuk menjadi guru Bahasa Melayu sehebat beliau. Begitu juga dengan Tuan Haji Sis dan Puan Hajah Wahida, sepanjang mengenali mereka saya memang kagum dengan ilmu dan cara mereka bekerja. Alhamdulillah, saya bepeluang untuk bekerjasama dengan mereka.

Perjalanan saya sebagai seorang guru Bahasa Melayu amat indah. Saya selalu bercita-cita untuk menjadi Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Alhamdulillah, saya mendapat menjadikan mimpi itu menjadi realiti. Saya selalu bercita-cita menghasilkan modul atau buku bahasa Melayu yang digunakan oleh guru dan pelajar. Mimpi ini pun jadi realiti. Saya berasa amat bersyukur dengan setiap peluang dan ruang yang diberikan kepada saya. Terima kasih Allah kerana selalu menempatkan diri saya pada kedudukan yang betul pada setiap masa dan ketika. Insyallah, saya akan terus aktif selagi masih diberikan kekuatan untuk menjadi pendidik Bahasa Melayu yang berilmu. Walau bagaimanapun, saya akui saya masih perlu banyak belajar dan belajar terutama dalam aspek tatabahasa. Saya percaya, proses pembelajaran yang berterusan akan menjadikan saya semakin matang untuk menyampaikan ilmu kepada rakan-rakan guru dan anak-anak didik saya.

MAAFKAN SEGALA KEKURANGAN

Akhir sekali, kami berharap agar buku ini dapat mencapai matlamat penghasilannya, dan kami juga amat mengharapkan respons yang membina daripada pengguna agar buku ini dapat ditambah baik pada masa akan datang. Kami akui, dalam edisi pertama buku ini, memang akan terdapat kekurangan dan kecacatan yang kami lakukan. Walaupun kami mempunyai 10 mata untuk melihat berkali-kali setiap muka surat yang ditulis, pasti jua akan terlepas beberapa perkara yang boleh menjejaskan pemahaman pembaca yang menggunakan buku-buku kami. Oleh itu, saya mewakili penulis-penulis lain memohon ampun dan maaf. Segala yang baik itu datang daripada rahmat Allah yang maha esa, yang kurang itu datang daripada kami insan yang hina.


Sekian, terima kasih.

24 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : KOKURIKULUM PENJANA MODAL INSAN TERBILANG




Alam persekolahan tidak akan lengkap sekiranya kita tidak mahu melibatkan diri dalam apa-apa jua aktiviti kokurikulum di sekolah. Alangkah ruginya kita jika hanya sekadar menjadi penonton kepada beberapa aktiviti kokurikulum yang melibatkan rakan-rakan kita. Kenapa kita tidak mahu menjadi seperti mereka? Saya percaya niat untuk mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan, tarian, nyanyian, kawat kaki, bicara berirama memang ada dalam jiwa setiap pelajar tetapi niat itu terhalang oleh sebab rasa MALU yang amat tebal. Rasa malu ini wujud dalam jiwa setiap manusia. Namun begitu, rasa malu untuk menunjukkan bakat dan potensi diri adalah negatif. Jika kita ada rasa malu untuk tidak merokok, ponteng sekolah, melawan guru, membuli kawan dan sebagainya, itu malu positif. Saya sifatkan kegiatan kokurikulum ini dengan bait-bait lagu Sheila Majid yang berjudul “Jentayu”.

Jentayu, Patah sayap bertongkat paruh
Jentayu, Patah paruh bertongkat siku
Jentayu, Patah siku bertongkat dagu
Jentayu, Patah dagu bertongkat kuku

Pelajar yang aktif dalam bidang kokurikulum mampu membina jati diri yang mantap dan mampu berdikari jika berhadapan dengan apa-apa jua situasi sukar yang merintang hidup mereka ibarat burung Jentayu dalam lirik lagu di atas. Pelajar yang aktif dalam bidang kokurikulum merupakan pelajar yang amat beruntung kerana mereka dapat mempelajari pelbagai perkara yang berkaitan dengan kehidupan masa kini dan masa akan datang. Mereka dapat mempertajamkan minda dan mengasah kematangan akal demi membentuk diri menjadi insan yang berwawasan dan berguna kepada masyarakat. Nama mereka akan disanjung dan mendapat pelbagai pengiktirafan serta anugerah daripada pihak sekolah. Mereka akan dikenali dan dikagumi oleh semua pelajar dan disayangi oleh para guru serta masyarakat setempat. Nama alma meter mereka akan mengharum dan menjadi sebutan sepanjang masa. 

10% MARKAH KOKURIKULUM "TALI HAYAT" UNTUK MEMASUKI IPT

Sehingga kini prasyarat kemasukkan ke IPTA masih memerlukan 10% markah kokurikulum. Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya penglibatan dan pencapaian dalam bidang kokurikulum untuk memastikan kita berjaya dalam persaingan merebut tempat di IPTA. Kecemerlangan dalam bidang akademik bukanlah ukuran kecemerlangan total bagi setiap pelajar di negara kita. Pencapaian dalam bidang kokurikulum turut ditekankan. Hal ini disebabkan orang yang aktif dalam bidang kokurikulum mempunyai perwatakan yang berbeza dengan pelajar yang pasif atau ‘ulat buku’ sepanjang meneruskan alam persekolahannya. Saya masih ingat, semasa berada di Tingkatan 5 saya mewakili sekolah saya dalam pertandingan Pesta Pantun anjuran Berita Harian. Kami berjaya beraksi di pentas final di peringkat negeri. Kemudian, saya melibatkan diri dalam pertandingan pidato piala di raja, sehingga beberapa kali menjadi juara di peringkat Zon Sibu – Kapit pada masa itu. Sijil-sijil yang saya peroleh daripada pertandingan tersebut amat besar maknanya sehingga kini. Dahulu saya merupakan pelajar yang pasif dan tebal dengan rasa rendah diri. Sifat ini menjadikan saya seorang pelajar yang pendiam dan takut melontarkan pendapat mahupun cadangan. Saya selalu memencilkan diri apabila berada dalam satu kumpulan bersama-sama dengan pelajar lain. Guru-guru tidak mengenali saya. Kehadiran saya hanyalah ibarat melukut di tepian gantang. Ada tidak menambah, tiada tidak mengurang. 


Saya berasa amat bersyukur kerana segala rasa rendah diri itu telah hilang apabila saya melibatkan diri dalam aktiviti pidato. Saya mula berani memberikan pendapat. Saya mula aktif menulis di akhbar mahupun majalah. Pencapaian saya dalam subjek Bahasa Melayu semakin meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana saya berusaha membuat teks pidato sendiri dan mempersembahkan sendiri kepada audien semasa tiba hari pertandingan. Barang kali kerana sijil kokurikulum yang banyak laluan saya dalam mana-mana temuduga yang dihadiri amat mudah. (Jangkaaan saya sahaja). Dari seorang pelajar pemalu, saya diberikan kepercayaan menjadi juruacara majlis dan berucap di perhimpunan sekolah. Guru-guru dan pelajar-pelajar mula mengenali saya. Saya diberikan kepercayaan untuk menjadi Editor Majalah Sekolah, Pengerusi Persatuan, Pengerusi Badan Beruniform, Pengawas Kanan dan Ketua Tingkatan. Pencapaian saya dalam bidang akademik amat baik. Semasa Anugerah Kecemerlangan, saya menjadi pelajar terbaik subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Sastera, dan Geografi. Sijil-sijilnya masih saya simpan hingga ke hari ini. Cuma piala kemenangan yang saya peroleh lenyap menjadi debu disebabkan kebakaran. 

Begitulah hebatnya kokurikulum dalam membentuk jati diri seseorang pelajar. Saya amat berterima kasih kepada para guru yang banyak membantu melatih diri saya dalam arena debat, pidato, syarahan, dan pantun. Walau bagaimanapun, saya bukanlah pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan dan olahraga. Semasa zaman persekolahan saya memang tidak meminati bidang olahraga disebabkan saiz badan yang kecil. Saya tidak pernah mencuba dan bercita-cita menjadi olahragawan. Namun begitu, saya amat minat menonton acara sukan olahraga di televisyen. Bukan dongengan tetapi kenyataan, kini saya pula menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum! Terkadang saya tersenyum sendiri memikirkan perjalanan kerjaya saya dalam bidang perguruan. Suatu perjalanan yang amat sukar untuk diramal. 

PELAJAR PONTENG KOKURIKULUM 

Minggu pertama dan minggu kedua sesi persekolahan 2017, saya selalu berhadapan dengan beberapa orang pelajar yang tidak mahu menghadiri aktiviti kokurikululum. Pelbagai alasan dikemukakan oleh pelajar-pelajar ini. Namun begitu,  saya telah lebih awal mengesan dan meneka alasan-alasan yang bakal diberikan oleh golongan pelajar ponteng tersebut. Jumlah mereka tidak banyak, hanya 12 orang sahaja. Mereka akan berjalan-jalan seolah-olah mencari tempat perjumpaan. Mereka memberikan alasan tidak tahu bilik perjumpaan, tidak mengenali guru. Pada suatu pagi, saya kumpulkan mereka di tapak perhimpunan. Saya suruh mereka duduk dalam barisan. Tujuh orang pelajar perempuan dan lima orang pelajar lelaki itu saya berikan suntikan semangat dan motivasi yang dicampur sedikit dengan rasa marah dan ugutan. Saya lontarkan beberapa pertanyaan berikut:

1. Mengapakah kamu semua jauh berbeza daripada pelajar-pelajar sekolah ini?
2. Dari manakah kamu datang?
3. Apa tujuan kamu datang ke sekolah?
4. Tahukah kamu kepentingan kegiatan kokurikulum?
5. Adakah kamu mempunyai otak untuk berfikir?
6. Adakah kamu mempunyai rasa malu?
7. Adakah kamu sayang kepada ibu bapa kamu?
8. Sekarang, tutup mata kamu, sebut nama ibu, sebut nama ayah, sebutkan "saya berdosa terhadap papa dan mama kerana mengkhianati kepercayaan yang diberikan. Saya telah ponteng kegiatan kokurikulum"?
9. Adakah kamu mempunyai agama? Jika kamu pelajar yang taat kepada ajaran agama kamu tidak akan menyusahkan guru dan ibu bapa. Kamu akan rasa bersalah jika melakukan sesuatu yang dilarang begini. 
10. Berjanji pada diri kamu, kamu tidak akan mengulangi kesalahan ini. Kamu mesti sedar, yang rugi tetap kamu, bukan guru, bukan ibu bapa kamu.

Saya sifatkan pelajar yang tidak aktif dalam bidang kokurikulum ini merupakan kelompok pelajar yang paling malang di dunia. Mereka gagal memanfaatkan alam persekolah diri dengan sebaik-bainya. Saya sifatkan golongan ini sebagai golongan yang menjerut leher diri sendiri. Mengapakah saya beranggapan sebegitu? Pelajar-pelajar yang tidak minat dalam aktiviti kokurikulum ini merupakan golongan yang tidak mampu berfikir secara ikhlas dan waras terdapat kehidupan mereka pada masa muka. Sesuatu dasar yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia seperti mewajibkan pelajar mengikut kegiatan kokurikulum bukanlah dasar yang sia-sia kerana manfaatnya amat besar. Kita mahu manjadikan semua sekolah di Malaysia sebagai sebuah kilang yang berkemampuan mengeluarkan produk-produk bermutu yang mendapat sambutan hangat di pasaran. Kita tidak mahu generasi yang dijana dan ditempa di sekolah terus menerus menjadi warga subsidi yang lembik fizikal dan lembik akal, sehingga nak makan pun perlu disuap. Kita mahu memanusiakan manusia melalui kegiatan kokurikulum. 

"Berikan mereka pancing bagi membolehkan mereka memancing untuk mendapatkan ikan, jika kita beri ikan, lepas ikan habis, mereka minta lagi, tetapi bila kita beri pancing, mereka tidak akan minta ikan lagi. Mereka akan cari ikan sendiri," 

Kebanyakan pelajar yang bermasalah di sekolah merupakan pelajar yang tidak aktif dalam kegiatan kokurikulum. Mereka ibarat lauk yang tidak cukup garam. Hidup mereka rasa tawar dan hambar menyebabkan mereka sentiasa keluh kesah melalui hari-hari di sekolah. Mereka tidak berpengalaman menjadi pemimpin. Mereka tidak berpengalaman berkawat. Mereka tidak berpengalaman berkhemah. Mereka tidak berpengalam membuat ikatan dan melakukan pertolongan cemas. Kehidupan mereka sungguh bosan. Bagi menghilangkan rasa bosan itulah mereka mula melakukan perkara-perkara yang tidak baik sehingga menyusahkan guru dan ibu bapa. Peluang keemasan yang diberikan kepada mereka tidak digunakan sehingga ke tahap cemerlang. Penghujungnya, pencapaian mereka dalam kegiatan kokurikulum ibarat nyawa-nyawa ikan sahaja. Selepas itu baru mereka sedar. Namun begitu sayang seribu kali sayang, mereka gagal mendapatkan markah yang baik disebabkan sikap dan penampilan diri sendiri.

PILIH KEGIATAN KOKURIKULUM

Pada setiap hari Rabu, saya selalu didatangi oleh beberapa orang pelajar yang mahu berpindah ke kegiatan kokurikulum yang lain. Mereka ini terlalu memilih. Alasan perpindahan yang diberikan kadang-kadang sukar diterima akal. Saya terpaksa menahan senyum apabila pelajar mengatakan mereka tidak datang kegiatan kokurikulum kerana mereka tidak ingat apakah aktiviti kokurikulum mereka. Saya sifatkan golongan ini seperti seekor burung yang hanya hinggap beberapa minit pada satu dahan, kemudian terbang ke satu dahan tanpa berasa penat dan lelah. Mereka tahu tiga jenis aktiviti kokurikulum yang telah mereka pilih semasa hari pendaftaran. Mereka tahu lokasi perjumpaan. Mereka kenal guru penasihat. Akan tetapi, yang mereka tidak tahu ialah kegiatan kokurikulum merupakan pembentuk keperibadian mula bagi seseorang. Kegiatan kokurikulum mampu mengangkat imej dan kewibawaan. Anak-anak ku, budaya terlalu memilih kegiatan kokurilulum haruslah dinyahkan dari hati dan nurani. Pihak sekolah telah memberikan peluang dan ruang yang terbaik buat anda semua. Cuba ikuti perbualan saya dengan pelajar ini.

Cikgu Zul : Awak tak ikut kegiatan kokurikulum semalam.
Pelajar 1  : Saya tidak tahu aktiviti kokurikulum saya cikgu.
Cikgu Zul : Dah masuk minggu ke-7, awak masih tak tahu aktiviti kk awak.
Pelajar 1: Saya betul-betul tak ingat cikgu.

Saya buka komputer untuk lihat pendaftaran aktiviti kokurikulum pelajar. Saya bacakan aktiviti kokurikulum dia.

Cikgu Zul: Ingat tak aktiviti kokurikulum awak? 
Pelajar 1: Ingat cikgu.
Cikgu Zul: Apakah aktiviti Badan Beruniform awak?
Pelajar 1  : Saya ada terlibat dalam Kadet Majalah Sekolah.
Cikgu Zul : Bukan Kadet Majalah sekolah tetapi  Kadet Remaja Sekolah.
Pelajar 1 : Terima kasih cikgu Zul
Cikgu Zul :  Sama-sama. Semoga awak berjaya. Jangan lupa lagi. Kalau lupa, saya gantung manila kad di leher awak minggu depan. (Dia angguk dan berlalu)


Konklusinya, kegiatan kokurikulum amatlah penting bagi semua pelajar yang masih di bangku sekolah. Pelajar harus mempunyai tiga aktiviti kokurikulum, iaitu kelab dan persatuan, sukan dan permainan, dan Unit Badan Beruniform. Aktiviti kokurikulum ini merupakan jalan terindah untuk kita membaiki kekurangan diri  demi menjadikan diri kita sebagai insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Mengapakah kita harus menyorok semasa orang lain seronok mengikuti aktiviti kokurikulum. Ingatlah, penyesalan akan datang setelah kita gagal bukannya sebelum. Setiap aktiviti kokurikulum yang diikuti di sekolah merupakan kegiatan yang mendatangkan banyak kemaslahatan kerana kegiatan tersebut diiwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memanusiakan manusia.

                                   







Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails