JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 September 2012

ISU EKONOMI : TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA


Rencana ini ditulis oleh :
Norizan Sharif
Pengarah Kanan, Pengurusan Stakeholder,
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju),
Jabatan Perdana Menteri


Semalam negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-55. Sejak merdeka, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan impak kepada ekonomi bumiputera di negara ini. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971 banyak mengangkat taraf hidup bumiputera di negara ini. Kadar kemiskinan turun dari 64.8% pada 1970 kepada sekitar 5.3% pada tahun 2009; dan bilangan profesional bumiputera meningkat dari 5% kepada 45% (51,306 orang) daripada jumlah keseluruhan profesional dalam tempoh yang sama. Begitu juga peratusan bumiputera dalam pengurusan meningkat daripada 22% pada 1970 kepada 43% pada 2009; walaupun sebahagian besar mereka menjawat jawatan ini dalam sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sementara kita berbangga dengan pencapaian ini, masih ada isu dalam ekonomi bumiputera yang perlu diberikan perhatian. Antaranya ialah penglibatan bumiputera dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. SME Corp mentakrifkan PKS sebagai syarikat yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM25 juta atau pekerja sepenuh masa di bawah 150 orang. Menggunakan takrifan ini, sekitar 99.2% atau 548,267 buah syarikat dikategorikan sebagai PKS. Secara keseluruhannya, 79% PKS adalah dalam kategori mikro, iaitu mencatat jualan tahunan di bawah RM250,000 atau mempunyai lima orang pekerja dan ke bawah.

Bagaimanapun, hampir sembilan daripada 10 syarikat bumiputera berada dalam kategori mikro. Sekiranya dilihat secara keseluruhan, jumlah sebenar syarikat bumiputera (termasuk mikro) lebih kecil disebabkan daripada kesemua syarikat yang berdaftar di negara ini, hanya satu per empat saja dimiliki oleh bumiputera. Implikasi yang ketara daripada senario ini adalah walaupun ada peningkatan daripada 2.4% daripada 1970 kepada 21.9% pada 2008 dan seterusnya 23.09% pada 2010, namun pemilikan ekuiti korporat bumiputera secara relatifnya masih rendah. Apabila kekayaan tidak berlegar di kalangan bumiputera, ia memberikan impak ekonomi dan sosial yang melebar.

Dalam sektor ekonomi, bumiputera tidak menguasai entiti perniagaan besar atau rantaian nilai dalam banyak sub-sektor ekonomi. Malah, penyertaan bumiputera dalam sub-sektor seperti halal (makanan dan bukan makanan) adalah terlalu rendah. Sementara dalam sektor sosial ia memberikan kesan kepada peluang untuk bumiputera memegang jawatan kanan dalam sektor swasta, mobiliti sosial dan akses kepada pendidikan di luar sektor awam. Cabaran bumiputera sekarang adalah persekitaran di mana kita beroperasi sudah berubah. Perubahan landskap sosio-politik dan peningkatan globalisasi memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi bumiputera secara keseluruhannya. Ini bermaksud bumiputera tidak lagi boleh berfikir dan bertindak seperti sebelumnya. Maka, di sinilah letaknya keperluan kepada transformasi ekonomi bumiputera.

Sebagai satu inisiatif kepada anjakan paradigma ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera" pada 26 November lalu. Ia merupakan sebahagian program transformasi negara yang diperkenalkan Najib sejak memegang jawatan itu. Dokumen hala tuju ini yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai satu “living document" menggariskan enam prinsip transformasi ekonomi iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, berdasarkan merit, telus, pro-pertumbuhan dan mampan. Sebarang inisiatif pembangunan ekonomi bumiputera harus dilakukan dengan mengambil kira prinsip-prinsip ini. Hala Tuju Transformasi Ekonomi bumiputera" juga mempunyai aspirasi untuk melihat perubahan kepada instrumen polisi dan rasionalisasi sistem penyampaian, mengukuhkan pendidikan dan kapasiti bumiputera, dan membangunkan perniagaan yang mempunyai skala yang mencukupi untuk menghadapi persaingan.

Ini bermaksud, kita perlu melakukan penilaian semula kepada program pembangunan ekonomi bumiputera dan koordinasi yang lebih baik antara agensi-agensi kerajaan, sekali gus mengelakkan pertindihan fungsi dan kumpulan sasar. Berdasarkan analisis awal, sebahagian besar program pembangunan dan pembiayaan perniagaan bertumpu kepada keperluan dan peluang (necessity and opportunity driven); manakala yang dipandu oleh inovasi (innovation driven) masih kurang. Sejak 2006, sejumlah 26.3% atau RM16.1 bilion untuk pembangunan PKS diperuntukan khusus untuk bumiputera. Untuk 2012, sejumlah RM5.7 bilion daripada jumlah keseluruhan RM19.9 bilion diperuntukan untuk syarikat dan usahawan bumiputera; menjadikannya jumlah paling tinggi dalam tempoh enam tahun. Persoalannya, apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi meningkatkan impaknya kepada usahawan bumiputera?

Perdana Menteri juga menyebut mengenai pembinaan kapasiti dan ini juga merupakan asas yang penting dalam transformasi ekonomi bumiputera. Dengan perubahan landskap yang disebutkan terdahulu, bumiputera harus bersaing di pasaran terbuka dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan. Penubuhan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) sebagai contoh, adalah merupakan satu inisiatif “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera" bagi membina kapasiti bumiputera. Dalam tempoh kurang setahun sejak dilancarkan, ia menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari persekitaran mencabar di seluruh negara. Manakala program pembangunan profesional dalam bidang-bidang terpilih seperti akauntan baru dimulakan; sementara beberapa siri pembangunan skil tinggi akan dimulakan pada tahun depan.

Satu lagi aspek penting dalam hala tuju ini adalah membangunkan perniagaan berskala mencukupi dan menyediakan mereka untuk menghadapi persaingan. Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) yang dilaksanakan oleh Teraju bertujuan mengangkat syarikat-syarikat ini ke tahap yang lebih tinggi dan menyediakan mereka untuk persaingan terbuka. Pelupusan aset syarikat berkaitan kerajaan kepada bumiputera yang sedang dilaksanakan melalui Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad adalah satu lagi inisiatif “quick win" untuk meningkatkan pemilikan ekuiti dan membangunkan perniagaan berskala besar. Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri memutuskan untuk kedua-dua agensi ini melupuskan 10 aset bukan teras kepada syarikat bumiputera yang layak.

Apa yang disebutkan di sini hanyalah sebahagian inisiatif “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera." Dalam tempoh satu setengah tahun, Teraju menyediakan peluang perniagaan dan pembiayaan untuk bumiputera melebihi RM13 bilion. Pun begitu, agenda transformasi ekonomi bumiputera bukanlah dilaksanakan oleh Teraju atau mana-mana agensi secara terpinggir. Transformasi ini harus dilakukan merentasi sektor dan kementerian. Atas sifat itulah, transformasi ekonomi bumiputera harus menjadi agenda nasional!

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
01 September 2012

ISU KENEGARAAN : MEMERDEKAKAN DIRI DARIPADA KETAKSUBAN


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Sambutan Kemerdekaan Ke-55 negara ini sepatutnya membuka mata kita untuk bersikap lebih matang dalam tindakan. Tema 'Janji Ditepati' walaupun tidak disenangi sesetengah pihak sewajarnya menjadi sumber muhasabah diri dalam menilai kematangan diri dan kesediaan kita untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai apa jua yang dicita-citakan. Muhasabah diri hanya boleh dilakukan jika kita berupaya keluar dari sikap taksub yang keterlaluan terhadap banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sikap taksub atau sesetengah orang menganggap sebagai kepercayaan ekstrem menyebabkan kita gagal membuka mata hati dalam membuat penilaian sewajarnya.

Dalam soal pendidikan misalnya, ketaksuban terhadap apa yang dianggap hebat oleh orang lain, menyebabkan kita gagal membuka mata kepada kejayaan yang kita capai selama ini. Kita hanya menganggap apa yang kita capai itu hebat, hanya apabila pihak lain mengatakan yang kita hebat. Kerana itulah, apabila universiti kita tidak ditarafkan sebagai antara yang terbaik maka kita menganggap sistem pendidikan apatah pengajian tinggi kita bukan yang terbaik. Sedangkan hakikatnya negara kita membangunkan dalam tempoh 55 tahun ini sebahagian besarnya dilahirkan daripada cerdik pandai kita, sama ada yang mendapat pendidikan dari dalam mahu pun dari luar negara.

Mereka yang banyak mengkritik pengajian dan pendidikan kita pun sebenarnya lahir dari sistem pendidikan negara yang memberi peluang dan ruang yang amat jelas dalam memberikan kebebasan untuk menerokai segala yang kita ada dalam acuan dan dunia kita sendiri tanpa mengetepikan dunia luar dan proses globalisasi yang membawa kepada pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi sekarang ini. Dalam tempoh 55 tahun ini juga, banyak pencapaian besar yang hanya boleh diakui jika kita tidak taksub kepada apa yang kita percayai semata-mata, atau taksub kepada perspektif yang berteraskan kepada kumpulan atau mazhab yang kita anuti.

Kemerdekaan sebenar adalah apabila kita berupaya bersikap lebih terbuka, bersedia menerima pandangan orang lain dan pada masa sama mempertahankan nilai-nilai yang kita miliki dan yakini sebagai teras pembangunan negara bangsa yang bersifat mandiri dan mempunyai kedaulatannya yang tersendiri. Kita patut bersyukur, kerana dalam tempoh 55 tahun ini, banyak janji yang dilakarkan sejak 1957, kemudiannya diperbaharui melalui pelbagai dasar utama negara dari Rancangan Malaysia Pertama membawa kepada Wawasan 2020 dan teras Rukun Negara yang mencari citra bangsa yang berdaulat dan merdeka, jelas berupaya menjadikan kita satu bangsa progresif, berbudaya dan memandang jauh ke hadapan.

Walaupun pada asasnya bumiputera diberikan keutamaan dalam pembangunan negara, namun hakikatnya kaum-kaum lain tidak pernah diketepikan. Malah, dalam tempoh 55 tahun ini, tidak juga menunjukkan orang Melayu atau mana-mana bumiputera yang berada pada kedudukan tertinggi dalam senarai mereka yang terkaya, namun ini tidak pula bermakna yang terdapat kumpulan tertentu yang disisihkan. Oleh sedemikian janji-janji yang diberikan oleh mana-mana pihak yang kerap pula bijak menaburkannya, haruslah dilihat dengan realistik. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, janji-janji manis mudah ditaburkan untuk memenangi hati orang ramai, golongan muda dan pihak-pihak tertentu, namun hakikatnya, apa yang kita capai selama ini tidak harus dikorbankan hanya kerana mengejar pelangi yang tidak tercapai tangan.

Sikap taksub yang keterlaluan kerap menutup pandangan mata kita terhadap erti sebenar kejayaan dan pencapaian. Sikap taksub juga boleh merosakkan pembangunan negara disebabkan oleh sikap mengikut dan percaya secara buta tuli malah juga akan menjahanamkan satu bangsa dan mewujudkan penjajahan baru yang lebih berbahaya. Apatah lagi jika pihak atau individu yang diikut mempunyai kepentingan diri dan didalangi pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Kita telah pun melihat banyak negara yang hancur hanya kerana kesilapan yang dibuat akibat percayakan pihak tertentu. Walaupun pemimpin negara dijatuhkan disebabkan oleh pelbagai alasan, namun yang menderita akhirnya ialah rakyat apabila negara menjadi kucar kacir.

Tidak salah untuk membuat teguran terhadap kelemahan sesuatu sistem, namun teguran yang dibuat biarlah berhemah dan bersikap objektif tanpa dipengaruhi oleh sesuatu pihak yang mempunyai kepentingan tertentu. Rakyat dan masyarakat berhak melakukan perubahan dalam sesuatu sistem dan proses kerja yang ternyata perlu dilakukan penambahbaikan berterusan. Tetapi ia tidak wajar dilakukan atas kepentingan tertentu yang di luar batas agama, moral dan etika yang ada. Anak-anak muda kita pula tidak mudah dipengaruhi oleh segala yang ideal dan janji-janji manis yang hanya bermain dengan perasaan dan darah muda yang sentiasa inginkan perubahan dan sesuatu yang baru dan segar.

Misalnya, apabila terdapat gesaan mewujudkan proses demokrasi yang lebih bebas atau sistem yang dilakukan lebih "bersih", ia harus dilihat dengan berhati-hati. Kebebasan keterlaluan tidak akan menguntungkan sesiapa. Tiada kebebasan hakiki dalam apa jua yang dilakukan, sebaliknya ia harus terkawal dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Malah, hakikat sebenar dalam mana-mana sistem pun, terdapat kelemahan dan kekurangan yang tidak mungkin bersih sepenuhnya, namun kitalah yang akan menentukan apa yang dianggap bersih atau tidak. Biar secantik mana pun sesuatu sistem, jika manusia yang melaksanakannya tidak mempunyai integriti tinggi dan akauntabiliti, maka ia sukar dilaksanakan.

Proses penambahbaikan dalam apa jua pun yang mempunyai kepentingan masyarakat dan negara boleh dilakukan tetapi bukan berasaskan ketaksuban kepada pegangan politik atau untuk pemimpin tertentu tetapi mestilah berteraskan kepada kebaikan bersama dan kepentingan masyarakat, orang ramai dan negara. Seorang pemimpin dihormati kerana kepimpinannya yang terbukti jelas dan berupaya membawa masyarakat dan negara ke hadapan menghadapi segala cabaran, bukannya mereka yang hanya bijak berkata-kata, berani menabur janji dan bercakap berkobar-kobar membakar semangat dengan segala retorik, tetapi tidak berteraskan kepada realiti, tidak realistik dan hanya kata-kata manis yang payah diterjemahkan dalam tindakan.

Kerana itu, demi memastikan kelangsungan masa depan rakyat dan negara, adalah wajar kita memerdekakan diri dari segala ketaksuban, hingga menjadikan kita buta walaupun mampu melihat, pekak walaupun mampu mendengar kerana pada akhirnya sesebuah negara hanya berupaya mengekalkan kemerdekaannya dengan keupayaan menghadapi segala cabaran jika mempunyai jati diri, bersatu padu dan rakyat yang berilmu pengetahuan, bijaksana dalam pertimbangan dan tidak mudah kalah dengan segala hasutan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
01 September 2012

ISU KENEGARAAN : MENJULANG CITRA MALAYSIA


Ucapan Najib Tun Razak


Alhamdulillah, segala rasa syukur dipanjatkan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua, kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-55. Sudah lebih lima puluh tahun, dengan berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta berpandukan ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa. Maka, berteraskan muafakat dan kerjasama daripada semua pihak, hari ini saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa kemerdekaan yang telah dicapai lebih lima dekad yang lalu, hasil perjuangan bapa-bapa pengasas negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latar belakang ini, akan terus utuh.

Begitulah, perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua. Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik. Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan ekonomi melalui ETP (Program Transformasi Ekonomi) tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar. Sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.

Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari kenyataan di atas, setiap seorang daripada kita perlu kembali kepada susur galur sejarah. Hakikatnya pun, kita mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia. Terakam dalam kamar peristiwa, selama 55 tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambah baik, adalah meleset sama sekali.

Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai. Malah, dewasa ini, berkembang pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. Insya-Allah.

Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik. Semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. Walau apa pun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka.

Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Tujuh NKRA bagi fasa pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini. Sehubungan dengan itu, kerajaan akan melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa Ke-2 atau GTP-2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi. GTP-2 juga akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas sekali gus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor korporat. Namun, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.

Kesimpulannya, sekarang kita berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti. Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya. Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan rahmat-Nya.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
31 Ogos 2012