Rencana ini ditulis
oleh :
DATUK RUHANIE AHMAD
Mantan Ahli Parlimen
Parit Sulong
Menurut kajian
keselamatan, rakyat, tanah air dan pemerintah adalah jasad fizikal negara.
Tanpa rakyat, wilayah dan pemerintah, sebuah negara hanya wujud sebagai satu
gagasan. Ambil contoh Iraq sebelum ditakluki Amerika Syarikat (AS) atas alasan
menghapuskan Saddam Hussein dan senjata pemusnahnya. Berdasarkan konsep gagasan
negara, Iraq sebelum perang dengan Iraq sesudah ditakluki AS tetap bernama
Iraq. Namun kerana rakyat, wilayah dan pemerintahnya adalah jasad lahiriah
kepada Iraq, ini bermakna yang ditakluki AS secara fizikal adalah bumi Iraq,
yang dibinasakan adalah pemerintah Iraq, yang dibunuh adalah rakyat Iraq. Hari
ini, AS sudah belanja ribuan juta dolar, setiap padang bola sudah digali,
setiap masjid sudah diselongkar, namun senjata pemusnah tidak ditemui, Saddam
Hussein dibunuh di tali gantung.
Apa terjadi di Iraq
adalah angkara tali barut asing di negara tersebut yang memperjudikan
keselamatan negaranya untuk lakukan regime change (guling kerajaan). Akhirnya,
Iraq dilanda perang saudara sejak Mac 2003 hingga sekarang. Demikian kaitan
keselamatan nasional dengan negara. Dalam konteks Malaysia, rakyat Malaysia,
muka bumi Malaysia dan pemerintah Malaysia adalah jasad fizikal Malaysia. Apa
jua keganasan, kehuru-haraan dan kebinasaan yang terjadi, Malaysia tetap
Malaysia. Jasad lahiriah negara yang rosak binasa adalah pemerintah, rakyat dan
bumi Malaysia. Ketiga-tiganya adalah elemen yang menzahirkan negara bernama
Malaysia. Elemen batiniah Malaysia yang jadi mangsa adalah nilai-nilai
terasnya, iaitu ketenteraman, keamanan, kesejahteraan, keharmonian, kemakmuran,
perpaduan dan ketahanan yang dilandasi Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara,
Wawasan 2020 dan Konsep 1Malaysia.
Ini sebabnya bila
pakatan pembangkang mengaktifkan pertukaran kerajaan atau regime change, kerana
orang besarnya gairah merampas takhta di Putrajaya, perbuatan ini ditujukan
kepada rakyat, muka bumi, pemerintah serta nilai-nilai teras Malaysia. Namun
kerana regime change ini dilandasi budaya ganas, lazimnya didalangi anasir luaran,
keganasan ini juga disasarkan kepada rakyat, muka bumi, pemerintah serta
nilai-nilai teras Malaysia. Kelompok tali barut ini disyaki menerima dana asing
melalui organisasi topeng, khususnya pengangkara Bersih. Niatnya bukan
perjuangkan demokrasi. Tujuan tersiratnya mahu cetuskan anarki. Topeng-topeng
ini menyasarkan matlamatnya kepada rakyat, muka bumi dan pemerintah Malaysia
supaya boleh dipajakkan secara politik kepada pihak pemberi dana.
Topeng-topeng ini
jahil tentang keselamatan nasional. Jika tanpa hujung pangkal yang sah, nyata
dan demokratik, rakyat diadu-dombakan, wilayah dihuru-harakan dan pemerintah
dikucar-kacirkan, perbuatan ini adalah tindakan menggugat negara. Bila rakyat
pecah-belah, muka bumi huru-hara dan pemerintah kucar-kacir, inilah saatnya
kuasa asing, khususnya negara besar yang mahu kuasai geostrategik Malaysia,
campur tangan dalam urusan negara kita. Ini sebabnya Al-Mashat (1985), Azar
& Moon (1988), McLaurin (1988), Buzan (1988), Ayoob (1995), Sity Daud &
Zarina Othman (2005), dan Kamarulnizam Abdullah (2010) merumuskan, negara
majmuk dan negara membangun, termasuk Malaysia, perlu titik beratkan
kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi, kedaulatan dan survivalnya.
Menurut Al-Mashat,
kesejahteraan wujud bila rakyat berjaya menangkis kebinasaan sosio-ekonomi.
Menurut Buzan, negara membangun dan majmuk mesti titikberatkan pemerintah yang
kukuh supaya berupaya menangkis dominasi asing. McLaurin berkata, keruntuhan
ekonomi boleh cetuskan keganasan rakyat dan kehuru-haraan negara. Azar &
Moon menegaskan, huru-hara di negara majmuk mendorong gerakan pemisah dan
mungkin wilayah baru seperti Yugoslavia yang terbelah kepada Bosnia, Serbia dan
Croatia di awal tahun 1990-an. Dalam konteks ini, jangan kita lupa, Malaysia
menyingkirkan Singapura pada tahun 1965 sebab ketika itu ada pihak berusaha
mencetuskan konflik dan anarki. Rujuk Ghazali (1990), Lau (2001) dan Keith
(2005).
Ayoob menghuraikan,
selamat atau tidaknya sesebuah negara bergantung pada tahap keterdedahan
rakyatnya kepada ancaman dalaman dan luaran yang membinasa dan meruntuhkan
seluruhnya. Sity & Zarina (2005) merumuskan, pengukuhan ekonomi dan
memperbaiki keadaan sosial menjadi mekanisme keselamatan. Kepincangannya jadi
punca ketidakamanan dan mengancam keselamatan negara. Kamarulnizam (2010) pula
menyimpulkan, keselamatan nasional Malaysia menitikberatkan faktor struktural
dan sosial untuk memelihara survival rakyat majmuk dan kedaulatan negara yang
mempunyai kekuatan geostrategik di Asia Tenggara.
Iktibarnya, setiap
perilaku melibatkan keselamatan. Umat Islam beratkan keselamatan dunia akhirat.
Bukan Islam dan golongan susah, pilih keselamatan ekonomi. Rakyat majmuk
utamakan keselamatan identiti. Pemerintah perlukan keselamatan nasional. Seluruh
corak keselamatan ini saling berkait. Rosak satu, binasa semua. Jangan
perjudikan dan kompromi keselamatan negara. Memelihara keselamatan bukan hanya
tugas pemerintah, polis dan tentera. Ia tanggungjawab semua, termasuk pemimpin
dan ahli pembangkang serta organisasi topengnya. Kesimpulannya, orang besar
pembangkang dan topeng-topengnya, jangan perjudikan keselamatan Malaysia,
kedaulatan dan kelangsungannya. Akhir sekali, usah diamalkan budaya politik
asing dan ganas di Malaysia. Sebaik-baik siasah adalah yang serasi dengan
lasnskap budaya Malaysia, demi rakyat, demi tanah air tercinta!
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Utusan Malaysia
26 Mei 2012