JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : TUBUH KELAB PENCEGAHAN JENAYAH DI SEKOLAH

OLEH : TAN SRI LEE LAM THYE


Sejak  kebelakangan ini, masyarakat didedahkan dengan pelbagai perbuatan jenayah dan salah laku pelajar. Perlakuan jenayah pelajar berbentuk perbuatan mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, membuli, mencederakan murid lain, memeras ugut wang malah ada yang berani hingga mengancam para guru. Penglibatan murid sekolah dalam kegiatan salah laku disiplin merupakan perbuatan yang perlu dilihat secara serius oleh semua pihak khususnya pengurusan sekolah. Gejala tersebut boleh memberikan impak yang negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani secara segera dan berkesan di peringkat awal. Menurut Polis Bukit Aman pada tahun 2010 jumlah pelajar yang terlibat dalam jenayah adalah sebanyak 1,610 iaitu 0.9 peratus daripada jumlah indeks jenayah yang dicatatkan di negara ini. Statistik salah laku disiplin murid yang direkodkan oleh Kementerian Pelajaran dalam tempoh tiga tahun (2008 hingga 2010) pula menunjukkan ia berada pada kadar purata 2.06 peratus.

Kes-kes disiplin yang disebutkan termasuklah kes-kes yang berat seperti memukul, bergaduh, ponteng sekolah serta kes-kes disiplin yang ringan seperti kekemasan diri. Ini menunjukkan lebih daripada 97 peratus murid sebenarnya tidak terlibat dengan masalah tersebut. Bermakna sekitar 2 hingga 3 peratus bilangan murid yang masih perlu diberi perhatian sewajarnya. Dalam tempoh 2010, seramai 111,484 (2.06 peratus) murid telah terlibat dalam salah laku disiplin. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 72,557 (65.08 peratus) adalah murid sekolah menengah dan sebanyak 38,927 (34.92 peratus) adalah murid sekolah rendah. Dalam tempoh tersebut, didapati jumlah murid rendah yang terlibat dengan kes ponteng sekolah adalah sebanyak 8,313 (0.15 peratus) berbanding murid menengah sebanyak 11,232 (0.21 peratus). Manakala bagi kategori tidak pentingkan masa dan kurang sopan didapati ramai melibatkan murid menengah.

Isu ponteng sekolah masih merupakan isu utama yang perlu diberi perhatian kerana masalah itu boleh menyebabkan mereka terlibat dengan gejala-gejala negatif yang lain seperti dadah, gengsterisme, minum arak, seks bebas, buli, perjudian atau lain-lain. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemunculan gejala negatif semakin serius melanda golongan pelajar. Faktor pertama keruntuhan institusi kekeluargaan untuk memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif. Faktor kedua ialah kemerosotan moral dan akhlak yang berleluasa akibat kesan arus pembangunan negara dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Faktor ketiga ialah masalah tekanan ekonomi dan sosio budaya yang mengakibatkan krisis dalam keluarga yang mempengaruhi remaja sekolah. Akhir ialah pengaruh negatif rakan sebaya. Memandangkan kes-kes salah laku dan kadar jenayah di kalangan remaja masa kini meningkat, penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah-sekolah difikirkan perlu bagi memberi kesedaran pencegahan jenayah di peringkat awal di kalangan pelajar sekolah.

UTUSAN MALAYSIA
05.05.2011