JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 November 2010

ISU KESIHATAN : BAHANA ROKOK


Hampir 600,000 orang yang tidak merokok, dengan satu pertiga daripada mereka kanak-kanak, meninggal dunia setiap tahun akibat menyedut asap rokok daripada mereka yang mengamalkan tabiat itu. Angka itu diperolehi daripada kajian pertama yang diadakan di seluruh dunia mengenai kesan asap rokok ke atas golongan bukan perokok. Berlainan dengan penyakit 'gaya hidup' yang banyak berpunca daripada pilihan individu, mangsa yang dikenali sebagai perokok pasif itu menanggung akibat daripada tabiat merosakkan kesihatan yang diamalkan oleh orang lain, terutamanya ahli keluarga. Di kalangan bukan perokok di seluruh dunia, 40 peratus kanak-kanak, 35 peratus wanita dan 33 peratus lelaki terdedah kepada asap rokok pada 2004, tahun terakhir di mana data boleh didapati di kesemua 192 negara yang terlibat dalam kajian itu. Apabila ditambah kepada 5.1 juta kematian melibatkan perokok aktif, jumlah kematian akibat amalan merokok bagi 2004 melebihi 5.7 juta orang di seluruh dunia, menurut kajian itu. Hampir separuh daripada bilangan perokok pasif yang maut adalah wanita, manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak dan lelaki dalam bilangan yang hampir sama, menurut kajian yang disiarkan hari ini dalam jurnal perubatan Britain, The Lancet. 

Kira-kira 60 peratus kematian itu disebabkan penyakit jantung, manakala 30 peratus lagi akibat jangkitan paru-paru, dan bakinya disebabkan asma dan kanser paru-paru. Keseluruhannya, kematian akibat menjadi perokok pasif menyamai satu peratus daripada kematian di seluruh dunia pada 2004. Kematian orang dewasa akibat menyedut asap rokok orang lain adalah hampir sama di semua negara tidak kira negara miskin atau kaya. Namun bagi kanak-kanak, kemiskinan menjadikan keadaan bertambah buruk, menurut kajian itu. Misalnya di Eropah yang berpendapatan tinggi, nisbah kematian orang dewasa berbanding kanak-kanak adalah sebanyak 35,388 berbanding 71. Nisbah di Afrika hampir terbalik iaitu 9,514 kematian orang dewasa berbanding 43,375 kematian kanak-kanak.

ISU EKONOMI : KERAJAAN PERLU SOKONGAN SWASTA


Seperti yang kita sedia maklum, ada beberapa program transformasi yang sedang berjalan. Bermula dengan Program Transformasi Kerajaan yang meliputi Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang terdiri daripada mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan prestasi pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah yang berpendapatan rendah, memperbaiki prasarana asas luar bandar dan memperbaiki pengangkutan awam bandar. Diikuti pula Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang merangkumi sasaran mikro-ekonomi dan sosio-ekonomi peruntukan perbelanjaan pembangunan dalam kerangka ‘10 Idea Besar’. Secara khususnya, sasaran RMK-10 adalah untuk menghidupkan kembali pelaburan swasta, meningkatkan produktiviti dan rasionalisasi peranan kerajaan.

Berikutnya ialah Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan pada Oktober 2010 dengan huraian sebanyak 131 Projek Titik Kemasukan serta 60 Peluang-peluang Perniagaan. Keseluruhannya dinilaikan sebanyak RM1.3 trilion dan menjana pekerjaan untuk seramai 3.3 juta orang. Bermula dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diumumkan pada April 2010, ia bertujuan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Agaknya bagaimana rakyat biasa melihat kesemua program-program ini? Apakah boleh kita katakan ramai dalam kalangan rakyat kita faham apa yang sedang berlaku? Langkah transformasi besar-besaran ini mempunyai tujuan untuk mengembalikan zaman kegemilangan kita. Pada masa ini, industri kita terikat dengan teknologi lama, kita tidak dapat berganjak ke arah teknologi tinggi kerana kita kurang mempunyai tenaga kerja yang mahir, pelaburan swasta tempatan kita telah merosot daripada 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar sejak 10 tahun lalu. Selain itu, pelaburan asing kita pun sudah merosot dan pendapatan pekerja tersekat di paras yang rendah.

Dengan usaha kerajaan yang ingin membawa negara ke arah negara berpendapatan tinggi, kita merasakan sektor swasta masih ingin meneruskan amalan memberi gaji dan upah yang rendah kepada pekerja. Walaupun pekerja asing dibawa masuk dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah pekerja di ladang-ladang, tetapi kita lihat semua aktiviti perniagaan menggaji buruh asing termasuklah kedai-kedai minyak dan restoran. Di syarikat besar-besaran, keghairahan untuk membuat keuntungan yang besar membuatkan amalan memberi gaji rendah kepada pekerja berterusan. Ditambah pula dengan amalan mengenakan waktu kerja yang berlebihan membuatkan keadaan pendapatan rendah ini agak sukar untuk diatasi. Salah satu perkara yang menjadi tanda tanya kebanyakan orang ialah apakah jentera kerajaan bersedia mendukung segala program transformasi ini supaya terlaksana dengan baik. Selain daripada risiko pelaksanaan, terdapat juga risiko kewangan yang terbabit. Untuk anggota kerajaan, segala program yang bakal dilakukan ini perlu difahami dan dihayati oleh mereka berada di jawatan paling tinggi kepada mereka yang berjawatan paling rendah.

Di sektor swasta pula, langkah yang diambil oleh kerajaan ini memerlukan sokongan kuat daripada sektor swasta daripada segala aspek, bukan saja bergerak ke arah teknologi yang berteraskan pengetahuan tetapi melengkapi peralatan industri mereka dengan peralatan yang menuju ke arah pendapatan tinggi untuk pekerja. Sektor swasta perlu sama mengambil berat melatih pekerja daripada tahap kemahiran rendah atau tiada kemahiran kepada kemahiran tinggi. Kalau dilihat daripada Laporan Bank Dunia untuk November 2010, masih terdapat ketidaksamaan antara satu kaum dengan kaum yang lain dan antara negeri-negeri dalam negara sendiri. Misalnya tahap kemiskinan di Sabah dan Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung seperti Kelantan dan Terengganu tidak sama dengan negeri-negeri yang lain. Selain daripada itu, jurang pendapatan antara kaum masih luas dan dalam kalangan sesuatu kaum sendiri seperti Bumiputera.

Salah satu strategi dalam MBE, kita difahamkan ialah dasar keterangkuman (inclusiveness). Segala usaha untuk mengubah struktur ekonomi negara ini harus membabitkan semua rakyat tidak mengira kaum. Disebabkan telah wujud ketidaksamaan, tentulah penyertaan golongan yang ke hadapan dengan golongan yang terkebelakang berlainan. Bagi yang ke belakang tentulah agak terhad.

Utusan Malaysia
27 November 2010

ISU BAHASA : JAWATANKUASA BAHASA KEBANGSAAN HARUS DISERTAI GOLONGAN MUDA


Penubuhan Jawatankuasa Bahasa Kebangsaan (JBK) membuktikan komitmen jitu kerajaan dalam mendaulatkan bahasa Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Ia bukan sekadar retorik untuk meraih sokongan politik semata-mata. Mesyuarat pertama JBK akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 November ini. Setakat ini, keanggotaan ahli JBK masih belum didedahkan kepada umum. Bagaimanapun, suara dan aspirasi anak muda untuk memperkasa bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan. Justeru, perlu ada wakil dari kelompok anak muda dalam JBK. Dalam konteks ini, Exco Pemuda UMNO Pusat merupakan pilihan terbaik kerana sebahagiannya turut terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar kerajaan sama ada secara langsung atau melalui perkongsian idea.

Sebagai contoh dalam laporan Utusan Malaysia pada 13 Oktober lalu, Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian pergerakan itu, Jamawi Jaafar mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan (SBK) sebagai pelengkap kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menurut Jamawi, SBK akan berperanan sebagai penguat kuasa yang boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang supaya bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh dalam semua urusan. Manakala DBP berperanan untuk memperkasa usaha pengembangan dan pengukuhan bahasa Melayu tanpa dibebani dengan tanggungjawab penguatkuasaan. Berdasarkan idea bernas ini, wajar untuk JBK membuka pintu keahlian kepada generasi muda yang berjuang secara tertib, bukan mengikut emosi seperti kebanyakan sayap pemuda parti pembangkang. Tambahan pula, Exco Pemuda UMNO juga mempunyai maklumat menyeluruh tentang situasi atau senario di negara kita sama ada dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial.

Oleh sebab itu, mereka tidak akan berhujah atau memberi pendapat secara semberono mengikut darah muda semata-mata tanpa memikirkan akibatnya kepada kestabilan dan keamanan negara. Dari aspek lain, dengan adanya suara anak muda maka pendekatan yang kreatif dan inovatif dapat disuntik dalam memperkasa serta mendaulatkan Bahasa Kebangsaan. Golongan ini banyak terdedah dengan kemajuan teknologi canggih masa kini yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh JBK. Misalnya menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk kempen penggunaan bahasa Melayu betul ketika berborak di dunia siber atau berutus mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Malah mungkin banyak lagi pendekatan yang boleh disyorkan oleh anak muda kita. Apa yang penting adalah memberi ruang dan peluang untuk mereka bersuara melalui saluran yang betul.

ISU SOSIAL : PEMBANTU RUMAH : PAHLAWAN ATAU HAMBA ZAMAN MODEN?


Baru-baru ini Indonesia sekali lagi gempar dengan kejadian rakyatnya yang bekerja di Arab Saudi didera, bahkan terdapat satu lagi kes seorang pembantu rumah dibunuh dan mayatnya dibuang di kawasan pembuangan sampah di negara tersebut. Justeru, berbondong-bondong penduduk negara itu keluar rumah untuk mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Arab Saudi di Jakarta. Selain itu, pelbagai pihak membuat kenyataan mengecam perbuatan tersebut. Wanita malang itu, Kikim Komalasari, 36, dipercayai telah didera dan dirogol beberapa kali oleh majikannya sebelum dibunuh. Satu lagi kes wanita malang, Sumiati Salan Mustapa, 23, dipukul sehingga hampir lumpuh, bibirnya digunting dan kini sedang dirawat di sebuah hospital di Arab Saudi.

Berita menyayat hati itu mendapat perhatian Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang menyarankan pembantu rumah negara tersebut dibekalkan dengan telefon bimbit supaya mereka mudah menghubungi pihak berkuasa, khususnya kedutaan jika mengalami masalah atau didera. Saranan itu walaupun wajar, tetapi masih banyak yang boleh diperdebatkan. Di Indonesia, pembantu rumah yang keluar negara untuk bekerja dianggap sebagai pahlawan. Ini kerana mereka keluar meninggalkan keluarga semata-mata untuk memperbaiki taraf hidup di kampung mereka yang sangat rendah dan daif. Rata-rata di kampung-kampung di Indonesia, rumah masih lagi beratapkan rumbia dan berlantaikan tanah. Pendapatan pula sekitar RM2 sehari yang diperoleh daripada aktiviti pertanian. Demi memperbaiki taraf hidup keluarga, mereka mesti keluar sama ada ke Jakarta atau luar negara untuk bekerja dan kemudian mengirim wang ke kampung.

Di Jakarta sendiri yang kini dipenuhi kira-kira 12 juta penduduk tidak lagi mampu menyediakan pekerjaan kepada mereka yang berhijrah dari luar bandar, apatah lagi tanpa pendidikan formal yang mencukupi, memang sukar untuk memulakan kehidupan baru di kota metropolitan itu. Dengan itu, berbekalkan sedikit wang dan semangat, wanita berkenaan bertebaran ke serata dunia untuk mencari peluang pekerjaan sebagai pembantu rumah. Apabila berlaku kes-kes penderaan sedemikian, apa yang seharusnya keluar dari mulut Susilo adalah menghentikan sama sekali penghantaran pembantu rumah ke luar negara. Dengan itu juga, kerajaan Indonesia perlu berusaha lebih gigih untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 230 juta penduduk Indonesia supaya mereka tidak perlu lagi meninggalkan kampung halaman untuk bekerja di luar negara.

Pastinya tidak ada pihak berani mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia bukan sahaja akan menimbulkan masalah pengangguran di dalam negara, tetapi juga akan menghentikan tukaran wang asing yang dibawa pulang ke Indonesia oleh para pembantu rumah tersebut. Begitu juga bayaran yang dibuat oleh agen-agen pekerja asing kepada kerajaan tentu akan terjejas. Sebenarnya, tidak ada undang-undang yang dapat melindungi pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Arab Saudi, mahupun di Malaysia, Singapura atau negara mana sekalipun. Ini kerana apabila pembantu rumah itu menjejakkan kakinya ke rumah majikan, dia tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh majikannya. Tidak ada konvensyen antarabangsa yang dapat melindungi mereka. Tindakan hanya akan diambil setelah berlaku penganiayaan dan sebagainya terhadap mereka.

Dengan gaji yang kecil dan jadual kerja seawal terbit matahari sehingga terbenam matahari yang belum selesai, pekerjaan sebagai pembantu rumah tidak ada bezanya dengan sistem perhambaan, namun mengikut versi yang telah dipermodenkan.Kalau hitam kata majikan, maka hitamlah ia. Jika pembantu rumah berani melawan mengatakan putih, maka sakitlah jiwa dan raga mereka untuk menanggungnya. Mungkin mereka yang bernasib baik dapat bekerja dengan majikan yang baik dan diberikan layanan seperti ahli keluarga sendiri. Tetapi itu tidak bermakna para pembantu rumah tersebut bebas daripada sistem perhambaan moden. Sebenarnya, golongan majikan memang sangat memerlukan pembantu rumah kerana cara hidup zaman sekarang memerlukan suami dan isteri bekerja, selain lebih banyak pasangan suami isteri menghabiskan masa di luar rumah.

Jika pembantu rumah pulang ke kampung berhari raya, para majikan akan merungut keletihan dan tidak dapat memberi tumpuan kepada kerja, bahkan ada yang duduk di hotel semata-mata tidak sanggup melakukan kerja-kerja di rumah. Bagi penulis, ia cukup menyedihkan apabila melihat situasi di Indonesia sendiri. Setelah Soekarno dan pejuang lain berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk memerdekakan Indonesia daripada belenggu penjajah, tetapi selepas 64 tahun merdeka, sistem pendidikan Indonesia masih belum mampu melahirkan rakyat berpendidikan yang sewajarnya bagi membebaskan diri daripada terikat dengan sistem perhambaan. Lebih teruk, mereka juga dibelenggu dengan penjajahan minda, jiwa serta raga.