JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 November 2010

LONJAKAN KLCI PETUNJUK KESAN PROGRAM PEMULIHAN EKONOMI

BURSA saham Malaysia menunjukkan keceriaan apabila mencatatkan rekod kenaikan, keuntungan besar dan suasana peningkatan indeks komposit paling tinggi sejak 2008. Pada penutup kelmarin, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) meningkat 8.1 mata atau 0.54 peratus kepada 1,519.84, mengatasi paras penutup tertinggi sebelum ini iaitu pada 1,516.22 mata yang dicatat pada 11 Januari 2008. Semalam, pasaran kita melonjak lagi kepada 1521.71 mata semasa bursa dibuka dan ditutup pada 1526.53 mata - naik 6.69 peratus. Perkembangan ini didorong oleh aliran cergas dana asing ke pasaran tempatan berikutan jangkaan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih cerah serta peningkatan berterusan nilai ringgit.

Pencapaian ini juga amat memberangsangkan. Peningkatan Indeks Komposit ini merupakan khabar berita yang amat baik. Kita yakin ia adalah petanda positif terhadap kekukuhan dan pencapaian pasaran kita berbanding dengan beberapa tahun lalu. Melalui aktiviti kempen pelaburan ke negara luar, hasilnya mula dirasai apabila pasaran modal negara kita menjadi tumpuan pelabur asing. Bursa saham kita menawarkan pelbagai tarikan antaranya saham-saham perladangan yang mampu menjana pulangan pelaburan tinggi serta nilai mata wang tempatan yang terus kukuh. Lonjakan dalam Indeks Komposit ini turut disokong oleh beberapa langkah kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi negara.

Mahu tak mahu kita perlu akui pengurusan ekonomi negara sekarang kembali stabil dan kukuh. Ini menyebabkan pelabur-pelabur kembali yakin untuk melabur di pasaran Malaysia. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan yang terus melahirkan idea untuk menjana ekonomi negara melalui Pelan Transformasi Ekonomi, Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan banyak lagi program ekonomi. Perkembangan ini menunjukkan usaha berterusan kerajaan bagi menangani kegawatan ekonomi sudah berkesan apabila terdapat tanda-tanda ekonomi negara semakin pulih. Kita yakin bahawa langkah pemulihan ekonomi negara kini berada dalam fasa memberangsangkan, berdasarkan perkembangan positif Indeks Komposit sebagai petunjuknya.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) merupakan indeks pasaran saham umumnya diterima sebagai kayu pengukur pasaran saham tempatan begitu juga dengan ekonomi Malaysia. Apa pun usaha itu bagaimanapun belum mencukupi dan perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih banyak pelabur untuk membuat pelaburan di negara ini. Kita berdoa agar Malaysia akan terus menjadi pilihan pelabur asing berdasarkan keadaan politik dan ekonomi negara ini yang semakin pulih dan stabil.

ISU SOSIAL : SUKARNYA PERANGI RASUAH PADA MASA INI

Banyak pandangan mengatakan bahawa zaman kegemilangan usaha memerangi jenayah rasuah adalah zaman ketika Tan Sri Harun Hashim memegang tampuk kepimpinan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di era awal 1970-an. BPR ketika itu, digambarkan sebagai amat berkesan, digeruni dan semua tindakannya dikatakan memberi impak yang cukup besar kepada masyarakat. Tambahan pula kejayaannya mengheret seorang Menteri Besar ke muka pengadilan sehingga dijatuhi hukuman penjara. Berasaskan kejayaan tersebut, imej dan kredibiliti BPR berada di puncak sehingga masih dijadikan asas perbandingan sehingga hari ini. Sebenarnya banyak faktor yang perlu diambil kira untuk membuatkan perbandingan antara dua zaman ini menjadi perbandingan yang benar-benar adil. Antaranya yang paling utama adalah senario politik semasa, kemajuan ICT, sosiobudaya masyarakat pada hari ini adalah amat jauh bezanya berbanding zaman 1970-an.

Kalau di awal zaman 1970-an, masyarakat hanya bergantung pada akhbar dan radio untuk mendapatkan maklumat. Peti televisyen hitam putih hanya mampu dimiliki oleh segelintir masyarakat sahaja. Tetapi pada hari ini, televisyen yang dulunya hitam putih berkembang menjadi 3-dimensi. Adanya Internet, perkhidmatan jalur lebar, Facebook, blog, Twitter, Youtube dan sebagainya. Maklumat disalurkan sekelip mata ke serata pelosok dunia tanpa sebarang sekatan mahupun sempadan. Era globalisasi dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi memacu daya pemikiran masyarakat pada hari ini. Masyarakat menjadi semakin terbuka, kritis dan berani menyuarakan pandangan dan hak masing-masing. Semuanya ini berbeza antara zaman 1970-an dengan zaman era milenium.

SPRM wajar muhasabah diri dengan menilai kekurangan dan kekuatan yang ada untuk menggalas tanggungjawab yang semakin berat dan mencabar ini. Strategi dan pendekatan harus dikaji untuk menyesuaikan senario semasa. Globalisasi, situasi politik, kecanggihan teknologi, perubahan budaya dan corak pemikiran masyarakat, tingkah laku dan modus operandi penjenayah yang semakin kompleks menjadi elemen-elemen penting yang harus difahami agar strategi dan pendekatan tidak tersasar. Persoalan-persoalan ini wajar dikupas untuk memastikan kelangsungan dasar-dasar pencegahan rasuah yang diperkenalkan kerajaan dimanfaatkan serta dinilai masyarakat sebagai suatu perjuangan yang memerlukan penglibatan serta kerjasama segenap lapisan masyarakat.

Ucapan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Tun Abdul Hamid Mohammed, menjelaskan bahawa usaha dan tindakan memerangi rasuah pada hari ini amat mencabar. Sekiranya Harun Hashim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada hari ini sekalipun, beliau tidak akan berjaya sebagaimana yang telah dilakukannya pada zaman 1970-an. Kedua-dua zaman adalah amat berbeza sama sekali. Kesungguhan kerajaan sebenarnya tidak harus dipertikaikan. Ini kerana telah banyak inisiatif dan dasar dilaksanakan bagi mengekang masalah rasuah. Seminar "Crimilinalization of Bribery" yang dianjurkan SPRM dan ADB/OECD dalam bulan September 2010 memperlihatkan maklum balas yang cukup positif masyarakat antarabangsa terhadap usaha kerajaan dan SPRM dalam memerangi rasuah di negara ini.

Namun masih ada segelintir masyarakat yang memandang remeh usaha-usaha yang telah dilaksanakan selama ini. Bagi SPRM pujian bukanlah suatu perkara yang dijadikan KPI untuk menentukan keberkesanannya. Apa yang penting, kesungguhan dan sokongan sebilangan besar masyarakat merupakan faktor yang menjadi keutamaan. Jika diukur dasar dan kesungguhan Kerajaan Malaysia terhadap usaha memerangi rasuah berbanding negara-negara lain termasuk negara-negara yang sering dijadikan tanda aras seperti Hong Kong dan Singapura, dasar dan program yang diperkenalkan di Malaysia adalah jauh lebih baik. Cabaran yang paling getir dalam kita memerangi rasuah di alaf ini ialah apabila isu rasuah dipolitikkan. Rasuah dijadikan senjata untuk menghentam dan memburuk-burukkan pihak lawan khususnya pemimpin-pemimpin kerajaan. SPRM sering dijadikan 'makanan yang sedap diratah.' Dalam erti kata lain, SPRM adalah antara institusi terbaik untuk dihentam, dicaci dan ditaburkan kebencian. Ini kerana sifat SPRM sendiri berkait dengan isu integriti dan ketelusan kerajaan. 

SPRM juga adalah kredibiliti dan imej kerajaan. Menghentam SPRM bermakna menghentam kerajaan. Sekiranya rakyat sudah tidak mempercayai SPRM maka rakyat juga tidak akan mempercayai kerajaan. Perbuatan segelintir pimpinan politik yang menjadikan rasuah sebagai bahan politiknya untuk memburuk-burukkan sesetengah pihak yang lain wajar dihentikan. Ini kerana ia amat berbahaya kepada aspek ketenteraman dan keharmonian negara. Maka itu banyak cerita bohong, fitnah dan tohmahan liar direka untuk mewujudkan kebencian rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan. Mempolitikkan isu rasuah juga sering dijadikan strategi untuk mengelakkan tindakan pihak berkuasa khasnya SPRM. Siasatan dan tangkapan kes-kes rasuah di pihak parti pembangkang dikatakan sebagai konspirasi menjatuhkan mereka. 

Terasa begitu pelik apa yang berlaku pada hari ini di mana suspek yang disiasat agensi penguat kuasa tanpa segan silu memanggil media massa untuk diadakan sidang akhbar bagi menjelaskan bahawa beliau disiasat dan konspirasi sentiasa dijadikan alasan bagi mengaburi dan memindahkan kesalahan yang dilakukannya. Kesannya, rakyat berasa simpati dengan si penjenayah dan menghentam agensi yang menyiasat. Masyarakat harus sedar dengan mainan kotor ahli-ahli politik sebegini. Petikan berikut wajar direnungi iaitu Corruption is not about who, but is about harm. Rasuah bukan mengenai kedudukan atau pangkat seseorang, ia harus dilihat berdasarkan kesan atau impak yang diwujudkannya. Dalam erti kata lain, isu ikan besar atau ikan bilis tidak penting, tetapi masyarakat harus melihat dari perspektif yang lebih besar iaitu kesan akibat daripada perlakuan rasuah yang berlaku.

Mengambil contoh beberapa kes kebelakangan ini iaitu berkaitan kecurian pasir di seluruh negara. Yang ditangkap hanya ikan bilis tetapi kesan persekitaran dan kerugian kewangan yang dialami kerajaan adalah besar. Begitu juga kes Imigresen di Pulau Ketam. Beberapa orang yang ditangkap dan didakwa hanya berjawatan Kumpulan Sokongan, tetapi kesan membenarkan warga asing masuk tanpa pengenalan perjalanan yang sah menyebabkan lain-lain jenayah berlaku dan seterusnya mengancam keselamatan negara. Rasuah adalah jenayah. SPRM bukanlah badan politik. Tindakan SPRM berlandaskan undang-undang. Tindakan SPRM bukan dek desakan atau bermotifkan politik. SPRM tidak tunduk kepada arahan atau telunjuk mana-mana pihak. Oleh itu, ahli-ahli politik jangan menggunakan SPRM atau rasuah sebagai senjata untuk menjatuhkan lawan masing-masing. Banyak kesan buruk boleh berlaku sekiranya rasuah dipolitikkan, antaranya: SPRM tidak lagi boleh berfungsi sebagai agensi yang berkesan kerana semua tindakannya dipolitikkan; SPRM akan lebih menumpukan strateginya kepada isu imej dan keyakinan masyarakat daripada menumpukan kepada siasatan kes rasuah; Penjenayah dengan mudah mengelakkan tindakan undang-undang dengan menjadikan konspirasi sebagai asas mengalih pandangan masyarakat; Menimbulkan kebencian rakyat kepada SPRM.

Datuk Ahmad Khusairi Yahaya
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Utusan Malaysia
10 November 2010

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA YANG BARU : DATUK ABDUL GHAFAR MAHMUD


Ketua Pengarah Pelajaran yang baru, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berazam menambah baik skim perkhidmatan pendidikan dan mengangkat profesion keguruan ke tahap lebih tinggi dalam perkhidmatan awam. Beliau berkata, dengan memartabatkan profesion itu maka ia akan memperkemaskan lagi sistem penyampaian dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini secara menyeluruh. ''Saya menyeru semua warga guru di Malaysia supaya meneruskan usaha bakti mendidik anak bangsa dengan memastikan setiap murid dapat menerima pendidikan berkualiti dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas. ''Guru mulai sekarang semestinya berusaha dengan gigih untuk meningkatkan pengetahuan dan kualiti pengajaran mereka. Diharapkan sumbangan mereka dapat melahirkan warganegara yang kreatif dan inovatif ke arah Wawasan 2020," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Abdul Ghafar, 56, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang bersara wajib. Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat; Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum serta Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran. Abdul Ghafar berkata, Alimuddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang merupakan mentor untuk meneruskan agenda transformasi pendidikan. ''Saya akan memberi komitmen yang tinggi dalam meningkatkan imej pendidikan negara selaras dengan Model Baru Ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepercayaan yang diberikan. ''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayaan untuk menjalankan tugas ini. ''Sesungguhnya pelantikan ini merupakan amanah yang besar dan saya sangat menghargainya," katanya.

SELAMAT BERTUGAS DATUK!