JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : GAGAL DALAM SPM, JALAN HIDUP BELUM TERTUTUP


Senario yang dipandang sebaik sahaja pelajar-pelajar lepasan SPM menerima slip keputusan amat indah. Yang berjaya akan melonjak keriangan, bibirnya tidak henti-henti mengukir senyuman sehinggakan orang yang tidak mengenalinya pun akan mendekati untuk mengucapkan syabas dan tahniah. Guru-guru yang mengajarnya tanpa diminta pun turut mendampingi kerana kejayaannya membantu mengharumkan nama sekolah dan membuktikan usaha mereka selama ini membuahkan hasil yang membanggakan. Orang yang paling gembira ialah kedua-dua ibu bapa yang melahirkan, membesarkan, dan menjaganya hingga dewasa. Sesungguhnya, anak merupakan pelaburan bagi setiap ayah dan ibu. Bagi yang gagal pula, senario yang berbeza akan dilihat. Mereka kelihatan seolah-olah menahan tangisan dan didada berombak rasa kesal kerana tidak menggunakan peluang dengan sebaik-baiknya. Bibir mereka tetap mengukir senyuman tawar dan hambar. Hati dan jiwa mereka rapuh dan goyah. Masa depan dilihat gelap dan kelam. Benarkah begitu?

Ingatlah, ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, ada lagi pintu yang lain dibukakan untuk kita. Akan tetapi, kita sering kali terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan untuk kita. Tuhan telah menentukan perjalanan hidup setiap insan. Mungkin laluan hidup kita bukan di laluan akademik kerana ada laluan lain yang sesuai buat kita.

MENANGISI KEGAGALAN

Jangan menangis. Simpan air mata itu untuk meraikan kejayaan yang bakal dikecapi pada masa hadapan. Jadikan kegagalan itu sebagai pembakar semangat untuk membuka lembaran baharu dalam hidup anda. Tuhan tidak akan biarkan kita gagal selama-lamanya dalam hidup ini andai kita berusaha untuk membaiki diri demi menjadi orang yang berjaya. Bumi ini amat luas untuk kita meraih rezeki. Kegagalan itu biarlah jadi sejarah. Gantungkan slip kegagalan itu di dinding hati supaya apabila kita melihatnya kita akan jadi lebih bersemangat untuk mengejar impian. Jika kita gagal disebabkan sikap nakal dan degil serta sering ponteng sekolah, janganlah disesali lagi. Kita harus mengakui itu kesilapan disebabkan ketidakmatangan kita dalam berfikir. Yang penting, kita tahu itu salah dan berjanji kita tidak akan lakukan kesalahan sebegitu lagi. Kita telah merasai sakitnya gagal. Janganlah sampai pisang berbuah dua kali. Sesungguhnya, seseorang manusia harus cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya, cukup bijak untuk mengambil manfaat daripada kegagalannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya.

Lihatlah manusia yang berjaya di sekeliling kita. Mereka juga gagal dalam SPM. Namun begitu, mereka mampu mengubah hidup kerana peritnya menderitai barah kegagalan amat pedih dan menyakitkan. Tidak ada sesiapapun yang mengundang kegagalan untuk bertamu dalam hidup mereka. Kegagalan itu datang tanpa dikhabarkan alamat dan arah jalan menuju kepada diri seseorang. Khilaf kita pelbagai bentuk dan rupa. Adakalanya kerana terlalu terpengaruh dengan kawan dan kalah dengan hasutan nafsu kita jadi haru-biru semasa zaman sekolah. Orang sibuk belajar kita sibuk bercinta seolah-olah perempuan dan lelaki di sekeliling kita akan pupus selepas habis SPM nanti. Orang sibuk belajar kita sibuk tidur di dalam kelas sehingga meja pun reput dibasahi air liur kita. Orang sibuk belajar kita sibuk melakukan masalah disiplin dan melawan guru sebab hendak tunjuk kepada semua orang bahawa kita kuat seperti Captian Amerika. Setelah gagal dalam SPM baru padan muka! Akan tetapi, kesilapan-kesilapan kita yang lalu itu biarkan menjadi debu untuk diterbangkan ke langit biru. Lihat ke hadapan, mulakan perjalanan dengan harapan. Percayalah, Tuhan akan bukakan jalan untuk kita.

KISAH KAWAN SAYA
GAGAL SPM TETAPI BERJAYA

Saya ada seorang kawan yang gagal dalam SPM. Kami memang rapat semasa zaman persekolahan sehingga orang menganggap kami adik beradik. Ibu bapanya menganggap saya seperti anaknya sendiri. Apabila cuti sekolah, saya selalu balik ke kampungnya sehinggakan perbelanjaan persekolahan saya pun ditanggung oleh keluarganya. Semasa keputusan SPM diumumkan, saya lulus dengan cemerlang. Kawan saya pula hanya mendapat pangkat tiga. Dia tidak layak meneruskan alam persekolahan. Akan tetapi, dia tidak menyesali kegagalannya. Hubungan kami terputus selepas saya melanjutkan pelajaran. Masa terus berlalu. Selepas 25 tahun tidak bertemu, disebabkan kemajuan teknologi, pada suatu hari saya menerima pesanan WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali. Rupa-rupanya, mesej yang saya terima itu adalah daripada orang yang paling saya rindui selama ini. Apabila kami berjumpa, kami bercerita dari pagi hingga ke lewat malam sehingga isterinya terbiar tidur sendirian. Kini, dia mampu memiliki rumah sendiri dan kereta sendiri. Hidupnya bahagia bersama isterinya yang jelita dan anak-anaknya yang cerdik. Itulah namanya kebahagiaan. Walaupun hanya menjadi pekebun lada, dia berjaya membina kehidupannya. Dia juga memiliki lading kelapa sawit yang luas serta kolam ikan tilapia yang menjanjikan ribuan duit pada setiap bulan. Hidupnya amat sempurna malahan lebih sempurna daripada saya. Dia sengaja tidak menghubungi saya untuk bertanya khabar kerana dia tahu saya tidak akan gagal dan laluan masa depan saya sudah terjamin. Apabila dia menceritakan rasa malu apabila selalu diperli dan disindir oleh ibu bapanya kerana gagal dalam SPM saya rasa amat sebak dan terharu. Kegagalan itu bukan dia yang minta. Dia rajin belajar. Dia baik semasa di sekolah. Dia sentiasa bertanya apabila tidak faham akan sesuatu. Akan tetapi, inilah hakikat segelintir ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam bidang akademik sehingga mereka buta untuk melihat laluan lain untuk anak mereka. Bukan semua orang dilahirkan untuk cemerlang dalam bidang akademik. Tiada hinanya orang yang bekerja sendiri jika dibandingkan dengan orang yang makan gaji dengan kerajaan mahupun swasta. Setiap orang harus ada perancangan hidup yang tersusun dan teratur. Jangan ingat orang yang berjaya dalam bidang akademik, berjawatan tinggi, dan bergaji sehingga enam angka sebulan tiada masalah. Semua orang akan menghadapi masalah dalam hidup jika gagal merancang.

Seorang lagi kawan, kini menjadi pengusaha roti kerana kegigihannya dalam membina hidup selepas gagal dalam SPM. Semasa zaman sekolah, dia amat nakal dan boleh dikategorikan sebagai “jahat”. Dialah kaki ponteng dan suka melawan guru sehinggakan hendak duduk di sebelahnya pun rasa benci. Walau bagaimanapun, dia ini suka berkawan dengan saya. Saya tidak tahu mengapa? Jika saya sakit, dia akan bantu ambilkan makanan dan bawa ke asrama. Dia akan bagi saya makan. Sesekali, ada juga saya ikut dia ponteng sekolah. Saya rasa amat selesa untuk berkawan dengan dia. Dalam kelas, dia selalu meniru semua kerja rumah yang saya buat. Namun begitu, satu sahaja sikap dia yang saya tidak berkenan ialah dia akan melawan apabila ditegur oleh guru. Kata-kata yang keluar dari mulutnya memang menyakitkan sehinggakan guru hilang sabar. Saya masih ingat, semasa keputusan SPM diumumkan, dia gagal. Yang lulus cuma subjek Bahasa Melayu, Sejarah, dan Matematik. Yang lain semua gagal. Dia dekati saya dan ucapkan tahniah. Dia nasihati saya jangan main-main masa belajar di Tingkatan Enam. Dia mahu saya jadi guru. Saya tanya dia, selepas ini dia akan buat apa? Dia suruh saya jangan risau akan dirinya. Dia akan kerja kontrak di Bintulu. Setelah 25 tahun, kami berjumpa dalam Group WhatsApp. Kini, dia memiliki sebuah kedai roti. Hidupnya amat bahagia dan sejahtera. Saya kagum dengan cara dia mengatur kehidupannya. Anak-anaknya semua comel dan bijak semasa di sekolah. Dalam usia yang masih dalam lingkungan 40-an, dia sudah mampu memiliki apa yang orang lain miliki. Itulah kejayaan sebenar seorang insan yang gagal dalam SPM.

Masa depan yang cerah akan muncul daripada kegagalan masa lalu yang telah dilupakan. Kita tidak akan dapat melangkah dengan baik ke hadapan jika kita tidak melupakan kegagalan lalu dan rasa sakit hati akibat kegagalan itu. Jadikannya sebagai sumber kekuatan untuk kita membuat lantunan demi mencapai kejayaan.

Bumi ini amat luas untuk orang yang tidak kenal makna putus asa. Orang yang gagal dalam SPM harus bersikap positif untuk melihat masa hadapan dan mencari jalan yang sesuai untuk memulakan langkah baharu. Jangan memerap di dalam bilik, tidur dan makan sahaja! Bangkitlah dan keluarlah dari kepompong malas dan lesu itu. Jika malas itu punca kita gagal maka nyahkan sifat mala situ dari diri kita. Sifat malas itu bukan warisan atau keturunan tetapi nafsu, andai dilayan boleh menyebabkan kita karam dalam pelayaran menuju masa hadapan yang masih jauh. Akan tetapi, kawan saya yang seorang lagi ini lain nasibnya. Dia gagal SPM bukan disebabkan dia malas. Dia amatlah rajin sehingga kerajinannya menjadi bualan guru dan rakan-rakan di sekolah. Masa itu kami sekolah di asrama kerana kami semuanya berasal dari pedalaman. Kawan saya ini, hidupnya sentiasa belajar dan belajar sahaja. Jika api asrama sudah dipadamkan, dia akan belajar menggunakan lilin. Dia memang rajin. Saya jadi takut dan serba salah apabila melihat tabiatnya itu. Yang menghairankan, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, dia tetap mendapat tempat tercorot. Buku laporannya banyak tulisan merah. Dia selalu meminta petua daripada saya tentang cara mengingat fakta penting. Akan tetapi, saya tidak dapat membantunya pada masa itu. Semasa keputusan SPM diumumkan, nasibnya amat malang. Dia gagal dalam subjek Bahasa Melayu. Gagal subjek Bahasa Melayu bermakna dia tidak layak mendapat sijil SPM. Aduh, kasihannya! Orang yang rajin sepertinya tidak sepatutnya mendapat keputusan seteruk itu. Kami semua amat bersimpati. Walau bagaimanapun, baru-baru ini kami berhubung menggunakan Facebook. Saya tidak mengenalinya. Dia menghantar mesej untuk bertanya khabar. Kami berjumpa di sebuah restauran di Sibu. Kawan saya ini merupakan seorang kontraktor. Sekali lagi saya kagum dengan mereka yang gagal dalam SPM tetapi mampu berdiri gagah malahan lebih gagah daripada orang yang memiliki ijazah seperti saya.

HIDUP INI PERJUANGAN

Kita mesti berani menerima kegagalan kerana dari kegagalan itu kita akan sedar bahawa laluan untuk menjadi orang yang berjaya itu bukan mudah. Dalam hidup, ada masanya kita lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita inginkan. Ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan, akhirnya kita tahu bahawa yang kita inginkan itu kadang-kadang tidak dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia. Sikap kita yang paling utama. Jika kita sentiasa bersikap positif maka laluan kita untuk mara ke hadapan akan dipermudah dan dilimpahi rahmat Tuhan Yang Maha Esa. Jika kita bersikap negatif, laluan hidup kita akan kusut dan penuh ranjau duri sehingga menyebabkan kita terluka sampai parah membusung nanah. Semua ini kita yang tentukannya, bukan orang lain. Guru dan ibu bapa hanya hadir sementara disisi kita dengan kata-kata nasihat dan amanat, jika kita tidak pedulikan kata-kata mereka, haluan hidup kita tidak akan kemana jua, kita akan karam di lautan persaingan yang semakin sempit dan sengit. Orang lain mungkin boleh membantu menghulurkan tangan untuk menarik kita naik ke atas andai kita terjatuh ke dalam gaung yang dalam, tetapi setelah kita sampai di atas, kitalah yang akan menentukan arah yang hendak dituju. Jika kita hanya mengharapkan diri untuk disuap dan dimandikan, selama-lamanya kita akan hidup dihempap batu kegagalan sehingga patah tulang-tulang perjuangan kita.

Kesedaran diri itu penting. Jika kita hidup hanya sekadar mampu memandu kereta Proton Saga. Jangan ghairah membeli kereta Land Cruser. Bulan pertama dan bulan kedua kita mungkin mampu membayar ansuran bulanan. Bulan seterusnya kita mungkin tak makan dibuatnya. Harga insuran dan tayar sahaja pun mencecah ribuan ringgit. Orang tak pandang apa jenis kereta yang kita pakai. Orang pandang usaha kita untuk melepaskan diri daripada kegagalan itu. 

Laluan hidup selepas gagal SPM pun terbuka luas seperti mereka yang lulus dengan cemerlang dalam SPM. Laluan itu mungkin berbeza tetapi jumlahnya sama dan setara. Kerajaan berlaku adil kepada kedua-dua belah pihak baik yang gagal mahupun yang berjaya. Yang gagal disediakan dengan pelbagai institut kemahiran dalam pelbagai bidang. Ruang pekerjaan terbuka luas untuk mereka. Jangan ingat orang yang kerja di salon pendapatannya kurang daripada seorang guru yang mengajar di sekolah. Selagi manusia ada rambut, selagi itulah khidmat mereka diperlukan. Jika seorang pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM10.00, bayangkan pendapatannya jika dia hanya mengunting rambut 20 orang pelanggan sehari. Begitu juga dengan mekanik kereta dan motosikal, tukang jahit, pembuat roti, chef, dan pelayan tetamu di hotel-hotel. Mereka semua dilahirkan dari pelbagai institut kemahiran yang ada di Malaysia. Kadang-kadang kita lihat orang yang menjual sayur di pasar tamu itu hina tetapi kita tidak pernah ambil tahu pendapatan bulanan yang mereka dapat daripada hasil jualan mereka. Jika kita tahu, mungkin air yang diminum pun boleh tersembur keluar dari mulut kita. Itulah keajaiban dunia. Kejayaan itu bukan hanya diperoleh daripada segulung ijazah semata-mata.


Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin