JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Oktober 2011

ISU BAHASA : LUPAKAN PPSMI, GERAKKAN MBMMBI

Oleh Sidek Baba


GIANT'S CAUSEWAY, IRELAND UTARA

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya sudah selesai. Persiapan melancarkan program pendidikan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) sedang rancak berjalan. Sebelum pendekatan MBMMBI diambil, perbincangan dilakukan melibatkan banyak kelompok yang berkepentingan. Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencari kebijaksanaan atas aspirasi Perlembagaan, Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 memperkenalkan jalan keluar ‘menang-menang’ supaya bahasa Melayu diperteguhkan dan Bahasa Inggeris diperkukuhkan. Amat pelik terdapat sebahagian kecil orang Melayu yang mencadangkan supaya persekolahan dua aliran bahasa iaitu satu bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa Melayu supaya memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar sekolah mana yang mereka suka. Cadangan ini tidak mendukung aspirasi nasional yang menjadikan faktor bahasa Melayu sebagai faktor pemersatu. Bakal berlaku jurang dan strata sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi. Akan lebih terserlah golongan elitis seperti yang terjadi di awal 1970-an dahulu.

Ada juga kelompok yang ingin membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seolah-olah kepemimpinan negara ini dan pemimpin yang mempunyai kepentingan mengenai isu bahasa Melayu tidak memiliki kekuatan ilmiah yang tinggi dan tidak pandai membuat keputusan bijaksana sehingga perlu meminta bantuan pihak lain. Ada juga yang berpendapat bahawa bahan-bahan rujukan mengenai sains dan matematik banyak dalam bahasa Inggeris dan usaha menterjemahkannya memakan masa. Bagaimana Cina, Korea Selatan dan Jepun mengatasi perkara ini harus memberi contoh kepada kita di Malaysia, bukan bersifat mengalah. Lebih penting lagi seperti yang diungkapkan oleh Sapir 1949 dan Whorf 1956, dalam bahasa apakah kita hendak anak-anak melihat dan berfikir tentang dunia dan alamnya. Bahasa bukannya sekadar alat perantara ilmu dan kemahiran berfikir, ia membawa nilai dan budaya, mewarnai jati diri, memberi makna kepada hati budi dan turut mencorakkan pandangan kesemestaan yang akan memandunya dalam mengharungi kehidupan. Muhyiddin baru-baru ini membuat penegasan bahawa MBMMBI akan diteruskan dan ia suatu ketegasan yang amat ditunggu-tunggu. Tekanan yang dihadapi oleh beliau memang tidak pernah reda.

Tapi tekadnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris adalah suatu tindakan yang betul dan berhemah. Pelaksanaan PPSMI yang berlaku pada tahun-tahun terdahulu tidak dibuat dengan persiapan yang rapi. Terdapat guru Bahasa Inggeris yang mengajar bahasa Inggeris dan terdapat sebahagian besar guru Sains dan Matematik yang tidak cekap berbahasa Inggeris yang disuruh mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dari sudut pedagogi ia adalah sesuatu yang salah. Akhirnya penguasaan ilmu di kalangan murid ibarat pakai kain singkat, tarik ke atas nampak lutut dan tarik ke bawah nampak pusat. Dengan tekad Kementerian Pelajaran untuk mengambil guru-guru yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris dari luar, melatih anak-anak yang berbakat dalam bahasa Inggeris menjadi guru bahasa Inggeris yang terlatih, menyusun semula kurikulum bahasa Inggeris supaya sesuai dengan etos Malaysia, menyediakan makmal bahasa yang mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris, menyemak kembali pendekatan pedagogi yang lebih dinamik adalah langkah-langkah berdaya maju yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan berkesan.

Mengapa tidak dibenarkan strategi ini mengambil tempat dan penilaian terhadapnya boleh dilakukan selepas ia dilaksanakan beberapa tahun akan datang. Ia adalah lebih adil dan demokratik. Mengadakan referendum juga adalah tidak perlu. Strategi MBMMBI adalah selari dengan semangat Perlembagaan negara dan ia tidak bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996. Melainkan dasar ini bercanggah dengan dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan 152 dan Akta Pendidikan 1996 maka referendum boleh menjadi salah satu kayu ukuran terhadap isu ini. Mengikut sumber yang saya petik daripada Prof. Dr. Ahmad Termizi, seorang sarjana fizik dari Universiti Teknologi Malaysia menyatakan penukaran bahasa pengantar di sekolah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu telah menghampirkan kepada matlamat mewujudkan peluang yang lebih saksama. Pencapaian pelajar bumiputera, secara keseluruhannya, lebih setara dengan pencapaian pelajar bukan bumiputera, jika dibandingkan dengan pencapaian sebelum 30 tahun yang lampau iaitu semasa pengajaran menggunakan bahasa Inggeris. Buat pertama kalinya dalam sejarah, jumlah pelajar bumiputera yang memperoleh gred cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran Fizik telah melebihi jumlah pelajar bukan bumiputera dalam peperiksaan SPM 2001 iaitu bumiputera 23,157 orang dan bukan bumiputera 22,929 orang.

Kini jumlahnya setara dengan jumlah pelajar bukan bumiputera. Dari segi kuantiti, matlamat kesaksamaan ini hampir dicapai walaupun dari segi kualiti masih banyak usaha gigih perlu dilakukan. Kestabilan relatif yang telah memberi peluang yang saksama antara pelajar bumiputera ini tidak wajar diganggu-gugat dengan sesuatu yang masih tidak menentu kesannya dan mengandungi unsur risiko yang tinggi. Berdasarkan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang masih berlaku kini di kalangan pelajar bumiputera, kerisauan bahawa penggunaan bahasa Inggeris secara tunggal bagi mata pelajaran Sains dan Matematik berkemungkinan akan merencatkan pencapaian pelajar bumiputera, mempunyai asas yang wajar diambil kira dan tidak boleh diketepikan begitu saja. Kita memerlukan tekad politik dan azam memartabatkan bahasa Melayu yang tinggi supaya akhirnya bahasa Melayu mampu menempatkan diri sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Kalaulah isu globalisasi dijadikan faktor utama bahasa Inggeris perlu didaulatkan betapa nanti Tanah Besar Cina bakal menjadi kuasa besar, apakah di waktu itu nanti kita bakal beralih kepada bahasa Cina pula dan meninggalkan bahasa Inggeris. Mempelajari bahasa Cina tidak salah tetapi menolak pemartabadan bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia adalah suatu langkah yang silap.  Ilmuwan Islam terdahulu menguasai berbagai bahasa tamadun tetapi penggunaan bahasa Arab tetap menjadi keutamaan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 OKTOBER 2011


ISU UMUM : MAHALNYA HARGA MAKANAN DI CHINA

DATUK RUHAIDINI ABD KADIR
Beijing Language and Culture University, China.


Bagi  saya, ada banyak rahmat yang tersembunyi di sebalik semua takdir yang saya lalui termasuklah keputusan melanjutkan pengajian ke China, sebuah negara di Asia Timur yang merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan jumlah lebih 1.3 bilion orang. Hidup merantau pada usia sedewasa ini mendidik saya untuk menjadi lebih 'mengerti dan berani' menghadapi segala macam rintangan sementelah saya 'sebatang kara' di bumi China yang diperintah Parti Komunis China, di bawah sistem satu parti. Antara rencam cabaran yang terpaksa saya hadapi ialah kesan harga makanan yang tinggi dan meningkat di China yang bukan sahaja menjadi masalah utama rakyat miskin di tanah besar ini tetapi tempiasnya turut dirasai oleh saya (yang mengambil cuti belajar tanpa gaji). Ironinya, harga makanan yang tinggi di China meningkatkan inflasi dan menyumbang kepada penurunan yang ketara dalam pendapatan sebenar golongan miskin yang membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk makanan. Terkini, indeks harga pengguna China (September) berada pada paras 6.1 peratus berbanding 6.5 peratus pada Julai lalu sekali gus mengakibatkan kadar inflasi China meningkat lebih 5 peratus untuk tiga bulan berturut-turut, lebih tinggi daripada sasaran kerajaan iaitu empat peratus setahun.

Menurut Biro Statistik Negara (NBS), harga makanan yang meningkat 14.8 peratus di China pada Julai lalu dan terbaru pada paras 13.4 peratus dilihat mampu menyusahkan rakyat berpendapatan rendah yang mana makanan merangkumi satu pertiga daripada perbelanjaan bulanan bagi purata pengguna di China. Kos makanan melonjak, sebahagiannya berpunca akibat cuaca buruk misalnya ekoran banjir selama berminggu-minggu disebabkan hujan berpanjangan di seluruh selatan China mengakibatkan banyak kawasan di wilayah Hubei dan Zhejiang, termasuk lebih 432,200 hektar tanah pertanian ditenggelami air. Banjir tersebut menyusuli kemarau buruk selama kira-kira 200 hari yang melanda tengah China di sepanjang Sungai Yangtze, menjejaskan lebih 1.3 juta hektar tanah pertanian di tujuh wilayah yang menjadi pengeluar utama makanan di China. Justeru, dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi di Beijing, saya mengamalkan kehidupan bersederhana dan berjimat cermat dalam berbelanja. Setiap hari ke sekolah, saya membawa bekal makanan yang saya masak sendiri - nasi goreng, mi hon goreng atau paling tidak, roti telur (French Toast) sebagai sarapan pagi sekali gus menu makan tengah hari. Boleh dibilang dengan jari berapa kali saya mengunjungi kantin atau menjamu selera di kedai-kedai makan (Muslim) sekitar kampus.

Bukan kedekut, tetapi saya 'tidak sanggup' membayar harga makanan siap dimasak yang agak mahal jika dibandingkan dengan di Malaysia. Pengalaman pertama kali makan di sebuah kedai makan (Muslim) memeranjatkan saya apabila saya terpaksa membayar RMB32 (sekitar RM16) untuk semangkuk nasi putih dengan lauk ayam dan sayur goreng. Harga semangkuk 'lamian' (mi sup dengan campuran sayur dan 3,4 hiris daging lembu) ialah RMB22 (sekitar RM11) manakala harga secawan teh susu (paling murah) yang pernah saya jumpa di Beijing ialah RMB12 (RM6). Harga makanan dan minuman yang saya sebut itu merupakan harga di kedai makan yang bertaraf 'biasa-biasa sahaja' bukan hotel atau restoran lima bintang. Justeru, ada satu hal yang tidak boleh dinafikan bahawa rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertuah kerana kerajaan prihatin dalam memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia. Dengan harga maksimum RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari, Menu Rakyat 1Malaysia menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang sangat berpatutan yang tidak mungkin kita jumpa di mana-mana negara di dunia ini termasuk di Beijing.

Pada waktu ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang giat berusaha memastikan penglibatan 700 pengusaha yang telah mengambil bahagian dalam projek Menu Rakyat 1Malaysia diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini, kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia. Bertuahnya kita! Hakikatnya, makanan merupakan bahagian yang besar dalam perbelanjaan sesebuah keluarga termasuklah sesebuah keluarga yang miskin di sesebuah negara. Justeru, peningkatan harga makanan merupakan ancaman kepada pembangunan sedunia dan kestabilan sosial. Melalui cabaran besar ini, saya tidak dapat bayangkan bagaimana sesebuah keluarga yang miskin di China menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat dengan harga barangan keperluan harian yang sangat tinggi. Di China, harga sekilogram gula ialah RMB21 (sekitar RM10.50) dan angka itu berkali-kali ganda lebih mahal berbanding di Malaysia iaitu RM2.30 sekilogram (harga pasaran RM2.50 - subsidi kerajaan 20 sen bagi setiap kilogram). Bagi sekilogram tepung di China dijual pada harga RMB5 (RM2.50) berbanding RM1.35 dijual di Malaysia (harga pasaran RM1.90 - subsidi kerajaan 55 sen).

Minyak masak berasaskan sawit seperti skim subsidi kerajaan Malaysia yang dijual RM2.50 sekilogram (harga pasaran RM3.90 - subsidi kerajaan RM1.40 bagi setiap kilogram) tidak popular di China berbanding minyak masak berasaskan kacang soya yang dijual pada harga RMB16 sekilogram (RM8) atau minyak masak berasaskan kacang tanah RMB23 sekilogram (RM11.50). Jika dibandingkan dengan China, harga petrol di Malaysia juga masih jauh lebih murah. Harga Petrol RON95 di Malaysia dijual RM1.90 seliter (harga pasaran RM2.75 subsidi kerajaan 85 sen bagi setiap liter) manakala Petrol RON97 dijual pada harga RM2.80 seliter. Harga Petrol RON93 di China dijual RMB7.79 seliter (kira-kira RM3.90 seliter) manakala Petrol RON95 dijual pada harga RMB8.29 seliter (kira-kira RM4.15 seliter). Sebagai bukti keprihatinan kepada rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia juga salah satu langkah membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan miskin. Hakikatnya, kenaikan harga barangan dan petrol merupakan satu fenomena global. Pun begitu, kerajaan sentiasa prihatin memberi perhatian kepada isu-isu yang menjadi keluh-kesah rakyat terutama mengurangkan bebanan peningkatan kos sara hidup di Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : BUANG ANAK, JAGA ANAK

Oleh Fauziah Arof


BIG BEN AND PARLIAMENT SQUARE, UNITED KINGDOM

Dia baru saja mahu bernafas di dunia ini dan mahu cepat-cepat membuka mata agar dapat melihat wajah ibunya yang sentiasa bersamanya selama sembilan bulan sebelum dilahirkan. Tetapi, tiba-tiba ada tangan-tangan dengan kasar menyakitinya, tanpa rasa belas mendesak nyawanya dihentikan setakat itu dan riwayatnya diakhiri dengan kesakitan yang amat sangat. Di manakah letaknya perikemanusiaan, sedangkan haiwan pun tidak sanggup melakukan sebegitu, malah melindungi anaknya dengan kasih sayang, sekiranya menangis akan dipeluk sehingga nyenyak tidur, lapar diberi makan dan hilang akan dicari-cari. Memang amat menyedihkan apabila melihat satu demi satu bayi yang tidak berdosa dibunuh atau dibuang seperti nyawa itu tiada nilainya, akibat keterlanjuran si ibu dan pasangannya. Sedangkan bayi itu berhak untuk hidup. Kelmarin, seorang lagi bayi yang dipercayai dilahirkan di asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Layar, Betong, Sarawak ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dan tikaman di perutnya sehingga terburai. 

Bayi perempuan yang malang itu dilahirkan oleh pelajar yang baru berusia 16 tahun. Dan pada hari yang sama juga, seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui oleh seorang surirumah yang ditinggalkan di hadapan rumahnya di Baling, Kedah. Untungnya, bayi itu masih hidup. Sebelum ini, kita juga digemparkan dengan tindakan hilang akal seorang remaja yang mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya dari tingkat dua di sebuah flat di Selayang, Selangor. Mayat bayi itu ditemui dalam keadaan ngeri dan menyayat hati di dalam longkang. Statistik kes pembuangan bayi yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga tahun lalu. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008), 79 kes (2009) dan 91 kes (2010). Bagi tahun ini, pada Januari sahaja sebanyak 34 kes buang bayi dilaporkan. Banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan dan dibantu oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani masalah ini. Pelbagai kempen pencegahan berterusan diadakan, tetapi kejadian ini terus meningkat. 

Pada saya, walau setegas mana atau seberat apa pun hukuman yang dikenakan dan berapa banyak siri kempen kesedaran yang diadakan, kembali kepada akar iaitu agama dan pengawasan ibu bapa adalah kunci kepada segala-galanya. Awasilah pergerakan anak-anak remaja kita mahupun yang perempuan atau lelaki. Selain berada di sekolah atau di kolej, ketahuilah di mana mereka berada dan siapa rakan-rakan mereka. Jangan biarkan mereka bebas ke hulu ke hilir ke rumah kawan, melepak di kompleks membeli-belah atau pusat hiburan dan pulang sehingga lewat malam. Kelonggaran yang diberikan bersama rakan-rakan perlu ada hadnya. Dan dengarlah ‘cerita’ dan masalah-masalah mereka. Supaya mereka tidak terumbang-ambing mengambil keputusan sendiri dan memilih jalan yang salah.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 OKTOBER 2011