Oleh Fauziah Arof
Bukan susah pun untuk mencari tempat
berkumpulnya warga asing di negara ini terutamanya di sekitar ibu kota Kuala
Lumpur dan Lembah Klang. Semua orang pun tahu, mereka sudah lama bertapak di
kawasan-kawasan tertentu. Ada tempat berniaga sendiri, berjualan di pasar-pasar
borong, kedai runcit termasuk berniaga di bazar-bazar Ramadan. Mereka pun sudah
ada kawasan perkampungan sendiri. Ada beberapa buah flat yang hampir
keseluruhan dipenuhi oleh warga asing. Kawasan Chow Kit, Ampang, Selayang,
Sunway dan Klang adalah antara lokasinya. Entah bagaimanalah rasanya rakyat
tempatan yang terpaksa berjiran dengan warga asing. Kiri kanan, depan, belakang
rumah penuh disewa oleh warga asing. Bagaimanakah agaknya anak-anak mereka
membesar dalam suasana yang begitu?
Dengan kejadian pecah rumah, ragut dan
samun yang meningkat di kawasan-kawasan perumahan yang didiami oleh warga asing
ini, kita pun terfikir, selamat dan selesakah rakyat kita yang tinggal di
kawasan-kawasan sebegini? Maka apabila Kementerian Dalam Negeri mengumumkan
akan mengadakan operasi bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (PATI)
selepas Hari Raya Aidilfitri ini, kawasan-kawasan inilah yang patut diserbu
dulu. Memang ramai warga asing yang berniaga dan tinggal di situ, cuba periksa
sama ada mereka mempunyai pasport dan dokumen perjalanan yang sah dan periksa
sama permit berniaga mereka. Selepas itu, barulah cari di pusat-pusat hiburan,
rumah urut, kawasan perladangan dan perkilangan. Membanteras kemasukan PATI di
negara ini harus dilakukan secara menyeluruh.
Sebabnya, kita sudah ada terlalu ramai
pekerja asing yang tinggal di negara ini. Yang berdaftar sudah mencecah 1.3
juta orang, itu belum dikira yang tidak berdaftar dan yang memasuki negara ini
secara haram. Kita pun sudah banyak membazir wang dan tenaga untuk menghantar
PATI ini pulang semula ke negara masing-masing. Banyak lagi perkara yang lebih
berfaedah dan bermanfaat untuk rakyat tempatan boleh dilakukan dengan wang yang
digunakan untuk menghantar mereka pulang. Jadi, sudah sampai masanya,
(sepatutnya dari dulu lagi dilakukan secara berterusan) pembersihan sepenuhnya
harus dilakukan. Kalau kita gemar menggunakan istilah pembersihan biarlah
dilakukan dengan sebersih-bersihnya dan kalau pemutihan biarlah menjadi
seputih-putihnya.
Dari dulu sampai sekarang masalah
sosial yang dicetuskan oleh pekerja-pekerja asing ini adalah masalah sama.
Mereka ini sesuka hati membuka penempatan mereka sendiri dan mewujudkan
kawasan-kawasan setinggan yang turut ada bekalan elektrik dan air. Mereka turut
menguasai kawasan perniagaan tertentu. Ini sehinggakan kita yang melalui
kawasan itu terasa berada di Indonesia, Myanmar atau kawasan perumahan di
Afrika. Bagi rakyat tempatan yang sudah membeli rumah di kawasan yang penuh
disewa dengan warga asing, mereka ini lagilah haru. Hendak menyewa di kawasan
lain, kadar sewa rumah di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ini paling rendah pun
RM700 sebulan di flat-flat yang sempit. Jadi setiap malam terpaksa tidur-tidur
ayam kerana bimbang rumah mereka dipecah masuk.
Bila sudah duduk beramai-ramai mereka
suka bergaduh sesama mereka atau dengan rakyat tempatan sekeliling. Bukan itu
saja, mereka ini juga gemar menganggu anak isteri orang. Sudah ada beberapa kes
anak dan isteri orang tempatan dilarikan bukan dekat-dekat jaraknya, dilarikan
terus ke kampung halaman mereka. Dan usaha membawa mangsa yang dilarikan pulang
semula bukannya mudah. Banyak rintangan dan prosedur perlu dilalui. Itu belum
diambil kira kes-kes jenayah yang besar-besar, seperti membunuh, merogol dan
merompak menggunakan senjata api. Kita juga mesti ingat setiap pekerja asing
perlu menjalani saringan dengan dikenakan pemeriksaan kesihatan untuk bekerja
di sini. Jadi kemasukan secara haram mereka ke negara ini mungkin membawa
penyakit. Kemungkinan PATI itu menghidap penyakit tibi, AIDS, penyakit kelamin
dan sebagainya. Mereka ini boleh menyebarkan penyakit-penyakit berkenaan.
Jadi sudah sewajarnya, isu kemasukan
pendatang asing di negara ini diberi perhatian khusus dan kemasukan mereka
ditapis. Dan majikan yang menggajikan PATI ini jangan dibiarkan terlepas.
Kenakan tindakan undang-undang sedia ada. Sekarang pun kita sudah melihat
kebanjiran warga asing di negara ini terutamanya pada hari cuti umum dan
perayaan, mereka menguasai pusat-pusat membeli-belah dan kawasan rekreasi di
ibu negara, kalau tidak disekat kemasukan mereka dari sekarang, setahun dua
lagi entah macam mana pula meriah pemandangannya!
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 JULAI 2013