JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 September 2010

JENIS-JENIS AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN

1. KETERANGAN MUSABAB

PENDEFINISIAN

Keterangan musabab dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab yang digunakan adalah seperti kerana, lantaran, dan oleh sebab.

CONTOH AYAT

a. Saya tidak dapat hadir ke sekolah kerana saya sakit perut.
b. Oleh sebab terlalu malas Ali gagal dalam peperiksaan.
c. Pelajar itu cemerlang lantaran usaha yang bersungguh- sungguh.



2. KETERANGAN AKIBAT

PENDEFINISIAN

Keterangan akibat didefinisikan sebagai unsur yang menerangkan kesan atau hasil sesuatu perbuatan. Kebiasaannya, kata hubung adalah seperti hingga dan sehingga.

CONTOH AYAT

a. Pelajar itu belajar bersungguh- sungguh sehingga ia berjaya.
b. Dia terlalu memanjakan anaknya sehingga menjadi terlalu nakal dan sukar dikawal.
c. Dia berjaja di situ dari pukul 6.30 pagi hingga 8.00 petang.




3. KETERANGAN SYARAT

PENDEFINISIAN

Keterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntutan yang mesti dipenuhi. Kata hubung keterangan syarat adalah seperti sekiranya, andai kata, jikalau, jika dan kalau

CONTOH AYAT

a. Sekiranya dia setuju menolong saya akan mengadakan kenduri kesyukuran.
b. Andai kata mereka berbaik-baik pasti semua kerja akan siap dengan jayanya.
c. Jika diizinkan Allah saya akan pergi lagi ke Pulau Tioman.


4. KETERANGAN WAKTU

PENDEFINISIAN

Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan waktu adalah seperti sejak, semenjak, sementara, tatkala, dan ketika

CONTOH AYAT

a. Polis segera tiba setelah mendapat maklumat tentang pergaduhan itu.
b. Sementara menunggu jagung masak petani itu menanam tebu
c. Tatkala hujan membasahi bumi mereka masih di sawah.


5. KETERANGAN PERTENTANGAN

PENDEFINISIAN

Keterangan pertentangan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang berlawanan. Kata hubung keterangan pertentangan adalah seperti walaupun, meskipun, kendatipun, biarpun, walau bagaimanapun, namun, sekalipun dan sedangkan.

CONTOH AYAT

a. Sekalipun dia sudah lanjut usia, dia masih bersemangat
b. Meskipun hari sudah lewat pemuda itu masih enggan berganjak.
c. Mereka berpindah juga ke bandar sedangkan hati mereka masih di kampung.


6. KETERANGAN HARAPAN

PENDEFINISIAN

Keterangan harapan merupakan unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan ini adalah seperti supaya, agar, semoga, moga- moga, dan kalau- kalau.

CONTOH AYAT

a. Kita mesti bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati.
b. Cuba berusaha dahulu, kalau- kalau kita berjaya menyelesaikan masalah ini.


7. KETERANGAN CARA

PENDEFINISIAN

Keterangan cara dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara ialah dengan

CONTOH AYAT

a. Pemuda itu datang dengan menaiki kapal terbang
b. Dia menangkap tikus itu dengan menggunakan perangkap tikus
c. Mereka ke sekolah dengan menaiki bas

8. KETERANGAN TUJUAN

PENDEFINSIAN

Kata keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau menjadi. Kata hubung keterangan tujuan ialah untuk, demi, bagi

CONTOH AYAT
a. Para pelajar berusaha bersungguh- sungguh untuk berjaya di dalam peperiksaan
b. Demi menyatukan rakyat yang berbilang kaum, semua orang harus bekerjasama.


9. KETERANGAN PERBANDINGAN

PENDEFINSIAN
Keterangan perband
ingan dapat didefinisikan sebagai unsur yang menerangkan kejadian yang menjadi persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan adalah seperti, macam, seolah- olah, seakan- akan, ibarat, bagaikan, dan bak

CONTOH AYAT

a. Ali bermain seolah- olah dia bukan lagi seorang pelajar sekolah.
b. Hidupnya amat bertuah ibarat bulan jatuh ke riba


INFO PENTING

Ayat majmuk keterangan dibina untuk pelbagai tujuan dengan menggunakan kata hubung- kata hubung yang tertentu mengikut kesesuaian penggunaannya di dalam konteks ayat.

KARANGAN STPM: TANAH RUNTUH



TAJUK KARANGAN
Masalah tanah runtuh kerap berlaku di negara ini. Kejadian tersebut bukan sahaja boleh merosakkan harta benda malah boleh meragut nyawa. Jelaskan punca yang menyebabkannya dan langkah yang perlu diambil untuk mengelakkannya.

Masalah tanah runtuh merupakan salah satu bencana alam yang biasa kita alami di Malaysia. Walaupun negara ini terselamat daripada bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami namun kita masih tidak mampu mengelak dari kejadian tanah runtuh. Hal ini membawa rasa bimbang kepada rakyat dan pihak pemaju kerana tidak ingin menanggung kos kerugian kesan daripada bencana tersebut. Oleh itu sebagai rakyat yang berpendidikan kita harus tahu bagaimana untuk mengenal pasti punsa berlakunya tanah runtuh. Pengetahuan ini penting agar kita dapat memikirkan langkah yang terbaik untuk mengatasi masalah tanah runtuh.

Dalam kebanyakan kes, faktor semula jadi yang paling besar menyumbang kepada kejadian tanah runtuh ialah faktor hujan. Malaysia terletak di garisan khatulistiwa yang menerima iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Cuaca ini menyebabkan Malaysia menerima hujan pada kadar 2600mm setahun . Air hujan yang turun menyerap ke dalam tanah dan menyebabkan perubahan kepada kestabilan tanah di samping melemahkan butiran tanah, kesannya tanah runtuh mudah berlaku. Sebagai contohnya kes tanah runtuh di KM 38 Lebuh Raya Karak- Genting Highland dan tanah runtuh akibat ribut tropika Greg di Keningau, Sabah yang berpunca daripada faktor hujan.

Faktor kedua menjadi penyebab kepada tanah runtuh ialah perubahan gradien sesebuah cerun. Perubahan gradien ini biasanya berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia di lereng bukit. Aktiviti manusia di lereng bukit akan mengakibatkan tanah menerima bebanan dan pemecahan butiran tanah dilakukan. Sebagai contohanya aktiviti pertanian dan perladangan teh di Cameron Highland menyebabkan kawasan Cameron Highland kerap mengalami kejadian tanah runtuh. Hal ini disebabkan aktiviti di lereng bukit telah memberi tekanan dan menguraikan ikatan butiran tanah dan akhirnya menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya runtuh.

Aktiviti pembangunan yang tidak terancang turut menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Kekurangan kawasan untuk membina petempatan menyebabkan kawasan bukit menjadi pilihan terakhir untuk dibangunkan sebagai kawasan petempatan. Hal ini berlaku terutamanya di kawasan bandar yang pesat seperti di kawasan bandar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya. Hakisan air hujan yang berterusan menyebabkan tanah di kawasan bukit dihakis. Hakisan yang berterusan menyebabkan sebahagian tanah lembut di cerun dihanyuti air. Keadaan ini menyebabkan tanah menjadi poros dan tidak mampu menampung beban di atas tanah. Sebagai contohnya, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang disebabkan pembangunan lereng bukit yang tidak terancang.

Langkah utama yang wajar diambil untuk mengatasi masalah tanah runtuh ialah melalui pelaksanaan laporan penilaian kesan alam sekeliling (EIA). Setiap pemaju telah diwajibkan untuk menyediakan satu laporan EIA sebelum, semasa dan selepas aktiviti pembangunan di kawasan tanah tinggi dijalankan. Laporan ini penting untuk memastikan setiap projek pembangunan yang dilakukan adalah menepati syarat-syarat penjagaan alam sekitar dari segi kecerunan, kawasan tadahan hujan serta pengekalan kawasan hijau. Langkah ini wajib bagi memastikan risiko berlakunya tanah runtuh dapat diminimakan bagi menjamin keselamatan penghuni bangunan dan rumah.

Langkah kedua yang boleh diambil bagi mengatasi masalah tanah runtuh ialah melalui kaedah penanaman tanaman tutup bumi. Sistem akar tumbuhan yang kompleks akan mencengkam dan mengikat butiran tanah di sesebuah cerun daripada dihakis-angkut dan diruntuhkan. Melalui kaedah ini kestabilan tanah bukan sahaja dipertingkatkan malahan lapisan daun-daun tumbuhan akan mengurangkan impak tenaga kinetik titisan air hujan yang turun dari mengenai terus ke lapisan permukaan tanah dan menghakis permukaan tanah. Langkah ini akan mengurangkan hakisan tanah terutamanya di cerun bukit.

Langkah yang terakhir yang boleh dijalankan ialah memperbaiki dan membina sistem saliran serta laluan air di permukaan cerun. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan air daripada mengalir dan menghakis permukaan tanah secara meluas dan terus-menerus. Pembinaan saliran dan laluan air ini penting agar air dapat disalurkan terus ke dalam longkang atau sungai. Dengan ini hakisan air permukaan dapat dikurangkan ke tahap yang minimum dan menjamin kestabilan cerun. Tambahan lagi, benteng juga boleh dibina di kaki cerun yang dikenal pasti sebagai tidak stabil dan berisiko untuk runtuh. Dengan ini kaki cerun tersebut perlu distabilkan dan diperkuat dengan sokongan buatan manusia untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh daripada berlaku.

Kesimpulannya kejadian tanah runtuh dapat dielakkan sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak terutamanya pihak pemaju. Pihak pemaju harus bersikap jujur dan amanah kerana sebarang kesilapan dalam pembinaan akan membawa bahaya kepada penghuni kawasan tanah tinggi. Pihak yang bertanggungjawab tidak harus hanya memikirkan keuntungan yang diperolehi daripada sesuatu projek pembinaan sebaliknya memikirkan keselamatan penduduk dan tidak harus bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugas. Hal ini penting agar sebarang kemalangan jiwa yang disebabkan kejadian tanah runtuh dapat dielakkan pada masa hadapan.

Hasil Kerja Pelajar
Nama : Razeela Arvina

Tingkatan : U6A1
Tahun : 2009