JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Jun 2011

ISU EKONOMI : PUNCA PENURUNAN PELABUR ASING

Oleh DR. MUHAMED ABDUL KHALID
PENULIS ialah felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia



Kebelakangan ini, pelbagai pihak menyoal, terutamanya di media alternatif, berkenaan kesan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terhadap ekonomi negara. Rata-rata membuat kesimpulan DEB itu buruk untuk ekonomi. Terbaru, Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam (The Star, 31 Mei 2011) menggunakan penurunan Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment, FDI) sebagai indikator bahawa DEB adalah penyebabnya. Amatlah mendukacitakan kerana hujah-hujah Ramon agak kurang tepat dari segi fakta. Ini kerana kebanyakan syarikat asing yang beroperasi di Malaysia tidak lagi tertakluk kepada syarat pemilikan ekuiti DEB semenjak beberapa tahun yang lalu. Sebagai contoh, semenjak 1998 Malaysia meliberalisasikan sepenuhnya sektor pembuatan (manufacturing) dengan membenarkan 100 peratus pemilikan ekuiti asing tanpa sebarang syarat.

Tambahan kepada fakta di atas, syarikat yang berorientasikan eksport mula dibenarkan pemilikan sepenuhnya secara bersyarat semenjak dari 1986 lagi. Harus diperhatikan juga, 27 subsektor perkhidmatan telah pun diliberalisasikan semenjak 2009, tanpa sebarang kekangan ekuiti. Harus diingatkan bahawa sektor perkhidmatan menyumbangkan hampir 60 peratus Keluaran Negara Kasar (GDP) Malaysia. Dalam Industri Teknologi Tinggi pula , syarikat-syarikat yang berstatuskan Multimedia Super Corridor (MSC) dibenarkan pemilikan ekuiti asing sepenuhnya. Ini menunjukkan dua perkara penting; Pertama, fakta-fakta di atas menyanggah hujah-hujah Ramon. Malaysia telah pun melonggarkan dan seterusnya memansuhkan syarat-syarat penyertaan ekuiti bumiputera semenjak beberapa tahun dahulu. Kedua, diperhatikan bahawa semakin longgar syarat penyertaan ekuiti, semakin susut aliran masuk FDI.

Pemerhatian ini mencadangkan bahawa terdapat faktor selain DEB yang merencat aliran FDI ke negara kita. Kita dapat menyimpulkan bahawa DEB bukanlah isu besar bagi pelabur asing. Apa yang lebih penting ialah kestabilan politik, infrastuktur baik, insentif menarik, bekalan buruh murah dan terpelajar yang dapat ditawarkan oleh negara. Katalah DEB merupakan penghalang aliran masuk FDI, mana mungkin Malaysia mendapat aliran pelaburan yang besar pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an? Ini adalah tempoh di mana polisi-polisi DEB rancak dilaksanakan. Pada tempoh tersebut, aliran masuk FDI Malaysia bukan sahaja positif tetapi antara yang tertinggi di rantau ini! Buktinya ialah nisbah FDI dan GDP yang meningkat dua kali ganda kepada 6.6 peratus pada 1991-1996 dari 3.3 peratus pada 1970-1984; dengan rekod tertinggi aliran FDI sebanyak 23 peratus dicatat pada 1992. Peningkatan dalam pelaburan ke negara kita begitu tinggi pada pertengahan tahun 1990-an sehinggakan nisbah pelaburan swasta dan GDP melonjak melebihi 40 peratus!

Tiada penjelasan yang lebih tepat dalam menggambarkan aliran masuk yang begitu baik di atas selain kombinasi faktor politik dan faktor ekonomi yang mantap. Perhatikan juga dalam tempoh 1990-1999, aliran masuk FDI Malaysia melonjak pada kadar yang jauh lebih tinggi (19.5 peratus) berbanding dengan negara ASEAN yang lain seperti Thailand (10.8 peratus), Filipina (14.2 peratus), dan Singapura (11.3 peratus). Harus diakui bahawa aliran masuk FDI Malaysia mulai merosot semenjak tahun 2007. Fenomena ini berpunca daripada pelbagai faktor dan yang utama ialah peningkatan kos buruh. Daya tarikan Malaysia dalam menyediakan kos buruh yang murah telah beransur suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Negara jiran kita, Singapura pun mengalami kemerosotan nisbah FDI dan GDP kepada 9.2 peratus pada 2009 dari 19.1 peratus pada 2006 walaupun mempunyai ekonomi yang jauh lebih liberal.

Thailand juga mengalami masalah yang serupa, nisbah FDI dan GDP merosot menjadi separuh kepada 2.3 peratus untuk tempoh yang sama. Negara rantau ASEAN yang lain seperti Vietnam, Kemboja dan Indonesia masih menawarkan pelbagai faktor yang menarik aliran masuk pelabur asing seperti upah buruh murah, tanah pamah yang luas dan pasaran domestik bersaiz 'raksasa'; faktor-faktor yang payah untuk Malaysia saingi. Yang paling kritikal ialah negara-negara tersebut menyediakan pelbagai insentif untuk aktiviti-aktiviti intensif buruh; aktiviti yang tidak lagi diberi perhatian di Malaysia. United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), dalam laporan tahun 2009, menegaskan bahawa pelabur asing melihat kadar pertumbuhan pasaran sebagai faktor terpenting dalam pemilihan destinasi pelaburan, diikuti oleh bekalan buruh murah dan kesediaan bekalan mentah.

Laporan UNCTAD mendapati bahawa walaupun kelicinan pemerintahan, kualiti perundangan, kesaksamaan undang-undang dan rasuah adalah antara ciri-ciri pemilihan; kesemua itu bukanlah yang terpenting bagi para pelabur asing. Ini menjelaskan mengapa aliran masuk FDI yang melimpah-ruah ke India, China dan Vietnam, walaupun mereka menduduki tempat yang corot berbanding Malaysia dalam World Bank's Ease of Doing Business Index; (Malaysia di tempat ke-21 daripada 183 negara; Vietnam (78), China (79) dan India ditangga ke-134). Jika dihalusi komponen FDI, kita dapati perkembangan yang merosot dalam aliran bersih FDI Malaysia disumbangkan oleh aliran keluar yang besar. Aliran ini disebabkan penghantaran balik untung oleh pelabur asing dan juga aliran keluar dana oleh pelabur tempatan. Buktinya ialah peningkatan jumlah yang dikategorikan sebagai Pelaburan Langsung Luar Negara (Direct Investment Abroad, DIA) yang kian meningkat semenjak awal milenium ini; ia meningkat dari 0.3 peratus daripada GDP pada 2001 kepada 5.6 peratus pada 2010.

Akibatnya, jumlah bersih Kedudukan Pelaburan Asing (Net International Investment Position, IIP) menunjukkan baki positif sejak dua tahun kebelakangan ini, menggambarkan peningkatan aset di luar negara oleh syarikat-syarikat tempatan. Perkembangan positif IIP, bagaimanapun dari segi kira-kira (accounting), menyumbang kepada perkembangan negatif dalam pengiraan akaun FDI. Mendakwa DEB sebagai punca kemerosotan aliran FDI Malaysia adalah tuduhan yang lari daripada fakta. Tiada salahnya bersikap kritikal terhadap kerajaan tetapi ia wajar diimbangi dengan objektiviti. Saya sependapat dengan Ramon, dalam pentingnya kita menangani kelemahan menarik pelaburan asing; tetapi marilah bersama melihatnya dengan lensa yang objektif bersama kejujuran intelektual.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 JUN 2011

ISU NEGARA SERANTAU : TETANGGAKU MASIH CEMBURU!

Oleh Zulkefli Hamzah


Jika komen-komen pembaca akhbar di Indonesia dijadikan ukuran, boleh disimpulkan bahawa kecemburuan rakyat republik itu terhadap Malaysia umumnya masih tebal. Bahkan kecemburuan itu boleh dilihat daripada tindakan-tindakan berbentuk provokasi oleh media, badan bukan kerajaan dan penguat kuasanya. Bagaimanapun diakui, ramai yang bersikap terbuka, berbangga dan sedia berkongsi dengan pencapaian Malaysia. Tak kurang, ramai pula menggunakan kecemburuan itu sebagai senjata untuk mengecam dan mengkritik pemerintah mereka. Contohnya apabila Proton Exora yang melancarkan edisi terbaru Exora Star, Selasa lalu ada pembaca dalam sebuah akhbar tempatan berkomentar apa perlunya MPV tujuh penumpang itu berada di pasaran Indonesia. Reaksinya itu kemudian ditempelak supaya dia jangan cemburu dan dengki dengan kehadiran MPV yang ditawarkan dengan harga paling murah sekitar RM55,000 itu.

Reaksi lain lebih banyak tertumpu kepada kritikan kepada kesungguhan pemerintah mengurus industri automotif tempatan. Dan, apabila Mahkamah Tinggi Pekan Baru, Indonesia pada 11 Jun lalu mengekalkan hukuman penjara 30 bulan ke atas enam nelayan Malaysia yang didakwa menceroboh perairan republik itu, aroma kecemburuan dan mungkin balas dendam begitu dirasai. Walaupun mereka hanyalah nelayan dan pertuduhan pun telah dinafikan, masih tiada ampun untuk mereka. Hakim mahkamah itu nampaknya begitu tegas sehinggakan permohonan rasmi Malaysia supaya nelayan dibebaskan, tidak diendahkan. Tiada kecaman, ugutan dan demonstrasi terhadap hukuman itu menjadi bukti rakyat Malaysia sentiasa menghormati undang-undang Indonesia. Bukanlah maksudnya NGO mahupun kerajaan Malaysia tidak peka atau tidak patriotik. Tetapi selalunya kita mendahulukan rundingan dan muafakat untuk menyelesaikan masalah.

Kita amat memahami ketegasan mahkamah Indonesia sebagai sebuah institusi yang menentukan keadilan. Tetapi yang sukar difahami ialah penguat kuasanya yang berkeras mahu membawa kes nelayan yang ditangkap pada 8 Mac lalu di 12.5 batu nautika dari perairan Senggarang, Batu Pahat, Johor itu ke mahkamah. Sedangkan pak menteri kedua-dua negara pada tahun lalu telah sepakat untuk bertolak ansur dengan aktiviti menangkap ikan oleh nelayan di kawasan sempadan maritim yang masih dalam pertikaian. Ada kecemburuan apa sebenarnya? Banyak implikasi buruk daripada tindakan penguat kuasa Indonesia itu. Dalam keadaan sempadan yang masih menjadi pertikaian, bukanlah masalah besar untuk membiarkan nelayan kedua-dua negara terutama di kawasan Pekan Baru dan Johor berkongsi rezeki. Malaysia selama inipun mengamalkan sikap bertolak ansur terhadap nelayan Indonesia yang sering menceroboh perairan negara.

Mereka hanya diambil keterangan sebelum dibebaskan. Wajarkah toleransi Malaysia ini diteruskan sebagai mengambil kira ketegasan Indonesia menegakkan undang-undangnya? Apa kata, jika sebaliknya insiden itu berlaku ke atas nelayan Indonesia. Benar, bermacam alasan boleh diberi tetapi asasnya Malaysia juga mempunyai undang-undang yang harus ditegakkan dan dihormati. Jika ini berlaku kepada nelayan Indonesia, yang kita boleh jangka akan berlaku ialah protes besar-besaran rakyatnya. Malaysia akan diminta memohon maaf, penguat kuasa kita dituduh kejam dan tidak perikemanusiaan. Mereka tidak akan peduli pun soal keluhuran undang-undang. Yang juga akan berlaku ialah kumpulan NGO dan ahli politik negara itu menekan pemerintah Indonesia supaya mendesak Malaysia membebaskan nelayan mereka. Gegak gempitanya tentu luar biasa dan mungkin sekali lagi akan ada aksi ‘sweeping’ rakyat Malaysia.

Mengapalah hal mudah ini, yang boleh diselesaikan di peringkat bawah lagi sengaja dipersulit? Apa perlunya membakar rasa tidak puas hati rakyat atas tuduhan yang masih samar itu? Isu ini jika disalah urus boleh disalahguna oleh pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungan kedua-dua negara. Ramai pihak yang kini hanya menunggu waktu untuk merosakkan hubungan baik Malaysia-Indonesia atas kepentingan-kepentingan tertentu. Apa yang berlaku di Pekan Baru itu sangat bertentangan dengan tindakan pelbagai pihak di Indonesia baru-baru ini berhubung nasib sekurang-kurangnya 30 rakyat Indonesia yang menanti hukuman mati di Malaysia, antaranya atas kesalahan dadah. Mereka yang kebanyakannya pejuang hak asasi manusia pun menghantar perwakilan ke negara ini. Mereka kelam-kabut mencari jalan keluar agar hukuman itu tidak dilaksanakan. Jika kes di Pekan Baru dijadikan ukuran, apalah perlunya untuk mereka menghalang pelaksanaan undang-undang di Malaysia dan mencampuri urusan hakim untuk menjatuhkan hukuman.

Jika alasannya demi kemanusiaan, mereka juga harus memperjuangkan nasib kumpulan nelayan itu yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 30 tahun. Terlebih lagi mereka hanyalah nelayan, bukan pembunuh mahupun pengedar dadah. Kini Indonesia diuji lagi apabila seorang pembantu rumah, Ruyati Satubi dihukum pancung di Arab Saudi pada Sabtu lalu, atas kesalahan membunuh majikannya. Sebahagian rakyat dan NGO Indonesia marah dengan hukuman ke atas janda beranak tiga berusia 54 tahun itu. Apatah lagi kini terdapat 23 warga negara Indonesia sedang menanti hukuman pancung itu. Sebahagian lagi menyedari keluhuran undang-undang di Arab Saudi dan menyalahkan pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang lalai untuk memperjuangkan nasib rakyatnya. Sambil bersimpati dengan nasib Ruyati, kita juga ternanti-nanti reaksi rakyat Indonesia. Apakah akan ada aksi menyapu warga negara Arab Saudi? Kita juga tertanya-tanya, apa akan berlaku sekiranya hukuman mati itu berlaku di Malaysia?

UTUSAN MALAYSIA
21 JUN 2011



ISU SOSIAL : RESOLUSI MENGIKTIRAF HUBUNGAN SEJENIS PERLU DITEPIS



PADA 17 Jun lalu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Hak Asasi (UNHRC) meluluskan resolusi mengiktiraf hak asasi lesbian, gay, bisexual, transsexual (LGBT). Resolusi ini mengiktiraf hak berkaitan orientasi seksual dan kesamarataan jantina dan gender. Ia seterusnya mengiktiraf perkahwinan sejenis.  Saya sebenarnya tidaklah begitu terkejut dengan resolusi itu. Ini kerana, ‘promosi’ terhadap ‘hak asasi’ ini sudah lama mendapat tempat. Resolusi ini sudah tentu bertentangan dengan ajaran Islam dan fitrah manusia. Ajaran Islam tidak akan sekali-kali mengiktiraf hubungan sejenis atau perkahwinan sejenis. Ini amat jelas kedudukannya di dalam al-Quran yang memberi peringatan berkaitan penghapusan kaum Nabi Lut. Menurut perspektif Islam apa yang dikatakan ‘hak asasi’ dalam resolusi ini bukan hak dalam erti kata sebenar. Negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), termasuk Malaysia tetap tegas menentang resolusi ini.

Negara Afrika dan Russia juga berpendirian sama. Lantas, resolusi terbabit diluluskan dengan 23 negara menyokong, 19 menentang dan tiga lagi negara mengambil pendirian berkecuali (termasuk China).  Amerika Syarikat pada mulanya menentang atas alasan cadangan resolusi itu bertentangan dengan prinsip hak kebebasan negara terbabit walaupun tidak dihuraikan dengan jelas. Namun, pada peringkat akhir, Amerika Syarikat menjadi pemangkin kepada kelulusan resolusi ini. Cadangan resolusi hak-hak golongan LGBT ini dibawa kepada perhatian PBB pada Disember 2008 oleh Belanda dan Perancis. Terdahulu, pendirian UNHCR dapat dilihat di dalam keputusan kes Toonen lawan Australia pada 1994. Jawatankuasa Hak Asasi PBB menyatakan bahawa undang-undang Tasmania (satu wilayah Australia) yang menjenayahkan homosexual adalah satu diskriminasi yang bertentangan dengan Perkara 2, 17 dan 26 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR).

Ekoran keputusan itu, Tasmania diarah memansuhkan undang-undang itu kerana Australia hendaklah sentiasa patuh kepada peruntukan ICCPR yang sudah ditandatanganinya. Inilah kesan sekiranya kita menandatangani ICCPR – segala undang-undang yang bertentangan dengan instrumen ini akan mudah untuk diarah mansuh, walaupun ia amat bertentangan dengan nilai agama, budaya, falsafah dan ideologi negara. Oleh itu, kita tidak harus termakan pujukan untuk mengiktiraf instrumen ini. Berbalik kepada resolusi LGBT, Brazillian Resolution 2003 dan Yogyakarta Principles 2006 boleh dikatakan dasar kepada cadangan 2008 itu. Kedua-dua ini mempunyai objektif yang sama, iaitu mengiktiraf orientasi seksual dan kesamarataan. Sejak itu pelbagai ‘promosi’ dibuat seluruh dunia, bagi menyokong usul terbabit. Negara kita juga tidak terkecuali daripada menerima ‘promosi’ PBB itu.

Sebagai makluman kepada pembaca, negara kita mempunyai beberapa peruntukan undang-undang yang menghukum perlakuan seumpama itu di dalam Kanun Keseksaan, sebagai contoh, lihat seksyen 377A, 377C serta 377D. Undang-undang jenayah Syariah juga menjadikan hubungan sejenis seperti liwat dan musahaqah (lesbian) sebagai satu kesalahan. Sementara itu Seksyen 69 Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perkahwinan) 1976 menegaskan bahawa perkahwinan hendaklah antara pasangan lelaki dan perempuan saja. Ini dengan jelas menolak perkahwinan sejenis. Kedudukan undang-undang keluarga Islam berkaitan syarat sah perkahwinan ini juga begitu jelas. Perlu ditegaskan bahawa resolusi PBB ini tidak boleh memaksa kita untuk tunduk kepadanya. 


Namun begitu, walaupun Malaysia tidak menyokong resolusi ini dan dari segi perundangan ia tidak mengikat negara kita, kebimbangan saya ialah resolusi ini akan dijadikan tiket untuk mengembang ‘hak asasi’ LGBT di negara ini. Asas kebimbangan saya ialah, ada sesetengah golongan yang menganggap resolusi PBB sebagai pegangan majoriti masyarakat dunia yang bersifat universal dan harus diterima Malaysia. Golongan ini akan seterusnya memberi hujah dan tekanan kepada negara untuk mengambil perhatian kepada resolusi itu dan membuat perbandingan berkenaan kedudukan ‘hak asasi’ dengan negara lain.  Selain itu kebimbangan saya ialah, kemungkinan pihak yang mendokong fahaman ini akan meneruskan perjuangan mereka sehingga akan terhasilnya satu triti antarabangsa di PBB mengenai perkara ini.


Sekiranya ini berlaku ia akan mengukuhkan lagi pendirian mengenai apa yang dikatakan sebagai ‘hak asasi’ yang universal ini. Walaupun proses ini mungkin akan memakan masa yang lama, Malaysia akan terus berhadapan dengan ‘promosi’ berkaitan dan ini sesungguhnya memerlukan kekuatan hujah undang-undang dan nilai agama, budaya, falsafah dan ideologi negara yang konsisten. Maksud saya, kita harus terus bekerja keras menghadapi persoalan dan tekanan untuk menangani isu ini. Suka saya sebut bahawa, saya amat yakin dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi negara kita serta kedudukan nilai agama, moral, budaya, falsafah dan ideologi negara tidak akan membolehkan ‘hak asasi’ ini diterima pakai di negara kita. Namun, saya tidak memandang mudah perkara ini kerana sesungguhnya pengaruh ‘hak asasi’ ini akan terus menghimpit kita dan ‘promosi’nya akan berlanjutan.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BERITA HARIAN
21 JUN 2011