JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : CABARAN BERI TEMPAT IKUT MINAT


SESI akademik 2012 / 2013 yang akan bermula September ini menyaksikan seramai 85,247 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / setaraf memulakan sesi pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu menunjukkan pertambahan lebih baik berbanding tahun lalu terutama membabitkan kemasukan ke aliran Sains iaitu sebanyak 57 peratus berbanding 55 peratus pada tahun lalu, iaitu menghampiri sasaran 60:40 antara aliran Sains dan Sastera.

Wartawan Utusan Malaysia, SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM menemu bual Menteri Pengajian Tinggi, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN mengenai kemasukan pelajar baru ke IPTA dan isu-isu berkaitan dunia pengajian tinggi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.


Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai jumlah kemasukan sesi akademik 2012 / 2013 tahun ini?

MOHAMED KHALED: Sesi akademik 2012 / 2013 yang akan bermula September ini menyaksikan seramai 85,247 pelajar lepasan SPM, STPM / setaraf memulakan sesi pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu melibatkan 46,698 (SPM/setaraf) dan 38,549 (STPM/setaraf) calon berjaya ditawarkan tempat pengajian berbanding jumlah permohonan yang diterima masing-masing sebanyak 218, 931 dan 101,864 pemohon. Boleh dikatakan pertambahan lebih baik dari tahun lalu, pertama dari segi memberi tempat kepada pelajar jurusan Sains berbanding Sastera. Jika dulu Sains tidak sampai 55 peratus tetapi kali ini kita capai keseluruhan 57 peratus, iaitu menghampiri sasaran 60:40. Begitu juga pertambahan pelajar lelaki, tetapi tidak bermakna mengurangkan tempat perempuan. Ia bagi menentukan lelaki juga adalah modal insan untuk negara, perkara ini akan diteruskan. Begitu juga pelajar luar bandar, seramai 13,484 pelajar dari kawasan tersebut berjaya ditawarkan tempat pengajian dan ia membuktikan usaha kita untuk memastikan tidak ada pelajar dari kawasan pedalaman tidak mendapat peluang.

Bagaimana pula jumlah kemasukan ke program teknikal?

Jumlah pelajar yang memohon dan ditawarkan kemasukan ke program teknikal dan teknologi menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu seramai 1,555 pelajar berjaya ditempatkan mengikuti program itu berbanding 950 pelajar pada sesi akademik lalu. Indikator yang kita ukur selain gender, Sains dan Sastera, teknikal dan kemahiran juga diambil kira kerana untuk mencapai negara maju adalah dengan membuat pengimbangan baik antara pelajar teknikal bukan semata-mata akademik. Ia sekali gus membuktikan usaha kementerian untuk mengarus perdana program kemahiran apabila pelajar-pelajar yang mendapat keputusan baik juga memohon program ini sebagai pilihan utama, ini satu perkembangan baik.

Bagaimana pula langkah kementerian untuk memastikan semua pelajar yang memperolehi Purata Nilai Gred Keseluruhan ( PNGK ) 4.0 mendapat program pengajian mengikut pilihan pertama mereka?

Bermula tahun ini, seramai 600 pelajar cemerlang menjadi kumpulan pertama yang akan ditempatkan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mengikuti program pengajian perubatan, pergigian dan farmasi. Langkah itu dibuat berikutan tiada kekosongan di IPTA sekali gus memenuhi impian pelajar yang memperolehi PNGK 4.0 untuk mengikuti program berkenaan memandangkan ia merupakan pilihan pertama mereka. Penempatan mereka di IPTS itu akan dibiayai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Apa yang penting seramai 3,536 pelajar yang memperolehi PNGK 4.0 sebahagian besarnya mendapat program pengajian mengikut pilihan pertama mereka. Kita mahu pelajar ini mempunyai kesungguhan, keghairahan dan komitmen untuk belajar sebab ia merupakan pilihan pertama mereka. Buat pertama kali juga kita turut memberi tempat kepada semua pelajar lepasan matrikulasi dan pusat asasi yang mendapat PNGK 2.8 ke atas, dengan syarat tidak memilih.

Pengambilan pelajar bagi peringkat Ijazah Pertama berkurangan berbanding tahun lalu, kenapa ia berlaku?

Ia berlaku berikutan tiada unjuran khusus untuk program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) oleh Kementerian Pelajaran selain penyelarasan unjuran Universiti Penyelidikan meningkatkan pelajar pasca siswazah. Bagaimanapun, kementerian merancang untuk menampung kekurangan tempat di Universiti Penyelidikan bagi peringkat Ijazah Pertama untuk ditempatkan di IPTA lain yang melibatkan perancangan, peruntukan dan kesediaan infrastruktur serta tenaga pengajar. Ketiadaan unjuran daripada Kementerian Pelajaran menyebabkan pelajar yang mengikuti program pendidikan di IPTA tiada jaminan pekerjaan apabila keluar kelak. Oleh itu, kita mengambil pelajar setakat 2,304 di sembilan IPTA berbanding 3,002 di 11 IPTA sesi sebelumnya.

Apakah sistem meritokrasi masih menjadi amalan dalam pengambilan pelajar kali ini?

Sistem meritokrasi ini kita akan kekalkan. Kita perlu terima hakikat bahawa pelajar luar bandar ada di kalangan mereka tidak mendapat keputusan yang begitu baik. Oleh itu, kalau sistem meritokrasi tidak diberi perhatian mungkin mereka akan tercicir, jadi kita mahu fikir bagaimana nak bantu golongan seperti ini. Setakat hari ini kita tidak berhadapan cabaran besar, kita berupaya untuk memberi tempat kepada pelajar mengikut bidang dan universiti yang mereka pilih. Cabaran kita adalah tidak cukup tempat terutama bidang kritikal. Bagaimanapun, masalah itu tidak boleh diatasi sewenang-wenangnya kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditentukan oleh badan profesional masing-masing seperti bidang perubatan, farmasi, pergigian atau kejururawatan. Atas sebab itulah cabaran kita bukan semata-mata kepada asas yang kita gunakan iaitu meritokrasi.

Apakah nasihat Datuk Seri kepada pelajar setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bakal dilaksanakan pada sesi akademik kali ini dan pilihan raya kampus yang akan diadakan September ini?

Pindaan AUKU membolehkan pelajar menyertai kegiatan politik kepartian di luar kampus dalam masa sama mereka perlu tahu universiti adalah tempat di mana proses pendidikan berjaya dilaksanakan. Universiti perlu bebas daripada politik kepartian. Pelajar perlu mematuhi akta itu supaya universiti tidak dijadikan gelanggang politik. Ia bagi membolehkan proses pendidikan dilaksanakan secara sempurna dalam universiti, oleh itu mereka perlu menghormati segala perkara yang ditetapkan pihak universiti. Begitu juga dengan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui pilihan raya kampus September ini, saya percaya pelajar akan memilih yang boleh menjaga kedudukan dan kebajikan mereka, bukan ada hubung kait dengan perkara luar. Saya percaya MPP merupakan gerakan bebas dan bermaruah dan tidak membenarkan mana-mana pihak memperalat mereka.

Bagaimana akses pengajian tinggi di masa hadapan? Apakah IPT yang sedia ada mampu menampung permintaan?

Kita bernasib baik kerajaan melihat sektor pengajian tinggi sebagai satu pelaburan dan memberi fokus soal pembangunan modal insan dan meletakkan golongan muda sebagai sasaran fokus itu. Kerajaan juga berusaha untuk memberi peluang kepada pelajar kita dalam meneruskan pengajian di peringkat tinggi.

Ini bermakna soal akses itu menjadi satu perkara berterusan kerajaan sediakan. Dalam usaha ke arah itu kerajaan akan meningkatkan kedudukan IPTA sedia ada selain memberi peluang pihak swasta melengkapkan peranan kerajaan bagi membolehkan mereka mewujudkan institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Selain itu, beberapa cawangan IPTA akan dibuka dan mewujudkan hab pendidikan di Pagoh, Johor serta menyiapkan beberapa politeknik baru. Kerajaan juga memberi jaminan kadar yuran pengajian di IPTA tidak akan dinaikkan termasuk mengekalkan subsidi 90 peratus untuk menanggung kos yuran pengajian itu dan mengekalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai sebuah badan yang akan memberi pinjaman kepada pelajar bagi menampung kos yuran dan sara hidup pelajar.

Mengenai isu Unisel, ada sesetengah pihak berpendapat agar kementerian dapat mengambil alih pengurusan supaya masalah dapat diselesaikan, apa pendapat Datuk Seri?

IPTS diwujudkan berasaskan kepada kemampuan dan keupayaan pihak yang mewujudkannya, ini kerajaan negeri yang mewujudkan Unisel. Saya tidak lihat penyelesaian kepada semua itu adalah Kerajaan Pusat ambil alih. Jika begitu, kita tidak akan membangunkan kesungguhan dan keupayaan mencari penyelesaian masalah dan cabaran akhirnya longgok kepada Kerajaan Pusat. Kerajaan Selangor perlu ada kesungguhan dan komitmen untuk menentukan Unisel berdaya tahan dan berdaya saing agar terus kekal maju sebagai penyumbang kepada sektor pengajian tinggi negara. Kerajaan setakat ini akan membuat keputusan memindahkan pelajar ke IPTS lain jika keadaan memerlukan supaya mereka tidak teraniaya dan bukannya Kerajaan Pusat ambil alih sebab kita dah cukup dengan 20 IPTA. Sepatutnya isu ini tidak timbul apatah lagi ia dimiliki oleh kerajaan negeri dan sudah tentu dapat menyediakan kemudahan lebih baik. Saya percaya pelajar membuat bayaran mencukupi, jadi saya tidak nampak perkara ini tidak diurus dengan baik oleh kerajaan negeri.

Apa nasihat Datuk Seri terutama kepada pelajar baru yang bakal memasuki alam baru pengajian?

Saya berharap agar sepanjang mereka berada di IPT, mereka dapat mencapai apa matlamat mereka berada di universiti, apabila mereka keluar kelak dapat menjadi seorang yang sempurna, berguna kepada bangsa, agama dan negara. Saya berharap supaya mereka yakin dari segi segala kemudahan yang kerajaan sediakan dan peluang pembelajaran yang ada untuk mereka kerana mereka menjadi sebahagian daripada misi nasional iaitu modal insan yang berguna kepada negara sehingga membolehkan negara bersaing di peringkat dunia.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
30 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : FAHAMI, HAYATI SEPENUHNYA ERTI KEMERDEKAAN


Rencana ini ditulis oleh :
TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia


Dalam kita menyambut dan memperingati Hari Kemerdekaan yang ke-55 esok, adalah amat wajar bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memberi tumpuan dan perhatian terhadap pengukuhan patriotisme dan perpaduan. Patriotisme dan perpaduan paling penting dalam proses pembinaan negara selain daripada isu ekonomi dan pembangunan sosial. Setiap tahun dalam meraikan Hari Kemerdekaan, rakyat Malaysia dapat menyemarakkan semula semangat patriotik melalui pelbagai cara dan pendekatan. Menyemai kebanggaan pada bendera Jalur Gemilang merupakan satu ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara. Salah satu cara menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Menganjurkan kempen 'Cintai Bendera Kita' di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan.

Bagi generasi warga emas, hari kemerdekaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang dan menghapuskan cengkaman pihak penjajah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas dan berdaulat. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dulu menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan. Bagi mereka hari kemerdekaan hanya merupakan satu lagi cuti am - di mana mereka berpeluang bersantai dan beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud hari kemerdekaan ini. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan.

Memastikan anak-anak kita menghormati dan mencintai bendera negara adalah penting demi untuk membina generasi rakyat Malaysia akan datang yang berteraskan semangat utuh patriotik dan kebanggaan nasional. Pada masa sama, saya juga perlu menegaskan mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah hanya cara untuk meluahkan semangat patriotik seseorang. Patriotisme datang dalam pelbagai bentuk. Apabila kita bersuara demi mempertahankan negara di dalam konteks kepentingan negara, ia adalah satu tindakan yang patriotik. Apabila kita tidak melakukan perbuatan vandalisme ke atas harta benda awam atau membuang sampah di merata tempat ia boleh dilihat sebagai tindakan patriotik. Rakyat Malaysia boleh mempamerkan semangat patriotik melalui kata-kata, pemikiran dan tindakan demi kepentingan dan pembangunan negara. Menjadi Patriotik juga bermakna menyumbang pandangan dalam bidang-bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Walaupun hubungan antara kaum di negara ini memuaskan secara umumnya, kita tidak seharusnya mengambil mudah soal hubungan antara kaum dan keharmonian beragama. Perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai dan simbol kepada kemanusiaan sejagat. Ia adalah asas kepada suatu perhubungan, kekeluargaan, masyarakat dan bangsa. Ia juga adalah ikatan yang erat dalam jati diri rakyat Malaysia. Perpaduan seharusnya bermula dari pemikiran, emosi dan kelakuan seorang individu dan ini akan diterjemahkan melalui layanan dan khidmat yang diberikan kepada orang lain. Kebanyakan orang mengambil mudah soal perpaduan. Perkembangan ini tidak sihat untuk sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Usaha berterusan harus digalas oleh seluruh rakyat demi memperkukuhkan perpaduan. Marilah kita melibatkan seluruh rakyat Malaysia dalam membina perpaduan nasional. Kita harus bercakap dalam satu suara yang mewakili suara setiap kaum di Malaysia. Kita semua menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara ini.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
30 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : ERTI MERDEKA KEPADA YANG FAHAM


Rencana ini ditulis oleh :
Sidek Baba
Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Kemerdekaan adalah sesuatu yang amat bermakna. Ia membebaskan diri insan daripada belenggu dan memberi ruang untuk warga sesuatu negara membangunkan negaranya berasaskan acuan sendiri.

Pengorbanan Masyarakat Pribumi

Malaysia mencapai kemerdekaan dengan kompromi yang sangat tinggi. Memberikan kerakyatan kepada pihak imigran untuk tinggal di Tanah Melayu dan sekarang ini Malaysia dengan jumlah yang besar adalah suatu pengorbanan luar biasa daripada orang Melayu. Secara timbal-baliknya pendukung kemerdekaan terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum memahami bahawa hak-hak fundamental orang Melayu seperti bahasa, agama dan hak istimewa perlu dihormati dan menjadi asas penting dalam Perlembagaan. Ia bermaksud supaya asas perpaduan wujud dan asas keseimbangan orang Melayu dengan kaum-kaum lain dapat dirapatkan. Sekiranya orang Melayu terasa dirinya ketinggalan dalam pencapaian ekonomi, pendidikan dan sosial, ia memberi kesan terhadap kesejahteraan dan keselamatan negara.

Justeru ia menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi di kalangan setiap warganegara Malaysia supaya kedudukan orang Melayu dapat ditingkatkan dan dalam masa sama masyarakat bukan Melayu mempunyai kebebasan untuk hidup dan menikmati peluang ekonomi yang meningkat. Setelah lebih setengah abad kemerdekaan dicapai, ekuiti atau pegangan orang Melayu di paras 20 peratus (%) dan selebihnya dimiliki oleh orang bukan Melayu. Dalam zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran ini orang Melayu dan pribumi tidak harus rasa selesa dan hilang daya saing untuk maju dan terus mengukuh mentaliti subsidi kerana ia boleh menyebabkan keciciran yang lebih parah terjadi. Ketirisan yang berlaku dalam pelaksanaan dasar kerajaan mesti diperbaiki supaya masa depan Malaysia memberi titik keseimbangan yang lebih baik untuk generasi hari depan.

Kemerdekaan Lebih Separuh Abad

Kemerdekaan lebih separuh abad ini kalau diibaratkan seorang manusia, tentunya sudah banyak jasa kepada diri, keluarga dan masyarakat serta menempuh tempoh matang dengan memiliki banyak pengalaman yang berguna. Dalam konteks sebuah negara seperti Malaysia terdapat jurang antara generasi dulu dengan generasi penerus terutama dalam pemahaman terhadap perjalanan sejarah dan budaya. Generasi dulu dan kini sepatutnya seperti mata rantai yang sifatnya sambung menyambung. Perjuangan kemerdekaan ialah perjuangan mengisi makna kemerdekaan. Ia tidak saja berlegar sekitar isu-isu pembangunan fizikal dan prasarana, sains dan teknologi supaya perubahan kelihatan semasa tetapi ia menuntut keteguhan peribadi dan kekuatan sahsiah kerana tanpa acuan sendiri dalam pembangunan dan perubahan kita hanya menjadi penciplak kepada kekuatan Barat dan orang lain. Tidak salah mengambil manfaat yang memberi dukungan terhadap pembangunan dan perubahan yang sihat daripada Barat dan Timur tetapi saripati tamadun yang dimiliki oleh bangsa-bangsa di Malaysia harus dapat diolah dengan bijaksana supaya ia menyumbang ke arah masyarakat yang lebih sejahtera.

Jati Diri Yang Utuh

Rukunegara yang terasas selepas Peristiwa 13 Mei harus dijadikan rujukan falsafah bagi setiap warga Malaysia sekiranya keamanan dan kesejahteraan ingin dicapai. Memang perbezaan dari sudut budaya dan pemikiran terdapat dalam proses bina negara. Tetapi ada asas yang fundamental seperti yang terkandung dalam Rukunegara yang sepatutnya menjadi rujukan asasi warga Malaysia. Asas-asas ini sewajarnya menjadikan setiap warga Malaysia memiliki jati diri yang asasi supaya falsafah dari Rukunegara itu dapat menjadi landasan saling memahami dan menghormati dan dijadikan tunjang untuk memajukan Malaysia dalam acuan kita sendiri. Penulis sewaktu belajar di Amerika Syarikat sekitar hujung tahun 1980-an berada dalam gelombang ‘Desert Storm’ iaitu peperangan kuasa besar Amerika Syarikat dengan Iraq dan sekutunya. Walaupun dukungan terhadap Parti Demokrat dan Republikan di kalangan warga Amerika mempunyai perbezaan tetapi dalam soal maruah dan keselamatan Amerika menjadikan mereka memiliki rasa patriotisme yang tinggi.

Tetapi bagi Malaysia ada semacam kenipisan bagi warganya bila asas-asas fundamental yang menyentuh jati diri ini berbangkit. Sudah kedapatan di kalangan sesetengah pihak tidak merasa bangga dan bersyukur menjadi warga Malaysia. Elemen perpecahan dan peminggiran kerap terjadi dan menyebabkan jati diri terhakis dan menghasilkan warga Malaysia yang cenderung memikirkan kepentingan kelompok dan tidak mendukung agenda muafakat yang menjadi syarat penting kepada persefahaman dan pengertian terhadap titik persamaan yang terlalu banyak dan titik perbezaan yang menuntut kesabaran tinggi. Ramai dalam kalangan kita yang menjadi kaya dan senang, berharta dan menambah harta sehingga menjadikan kelompok kelas menengah semakin meningkat jumlahnya. Namun terdapat golongan yang tidak bersyukur, sebaliknya mengutuk negara sendiri di tempat orang atau meninggalkan Malaysia dan membawa kekayaan ilmu dan harta ke tempat orang lain. Mereka melihat Malaysia dalam keadaan serba cela dan tidak nampak langsung kebaikan sedangkan kekayaan yang mereka kecapi dan ilmu yang mereka terima asasnya bermula di negara ini. Sebahagian mereka berfikir cara orang Barat atau orang Amerika. Mereka lupa sejarah Malaysia baru melepasi setengah abad dan sejarah kemerdekaan dan kemajuan Amerika dan kuasa-kuasa Barat sudah terjadi ratusan tahun.

Mengimbangi Idealisme dan Realiti

Mutakhir ini timbul dua kecenderungan yang saling meresahkan. Satu, menukar sistem di Malaysia atas nama negara Islam yang didekati secara simplistik dan retorik yang penuh emosional. Ia dijadikan pancing untuk mendapat pengaruh dan dukungan politik sempit. Islam dalam Perlembagaan adalah agama Persekutuan. Daripadanya Islam diperkasa dalam pendidikan, ekonomi, pembaikan bidang syariah, pengukuhan asas-asas pembangunan sosial dan pentadbiran negara. Realiti Malaysia memerlukan pendekatan bijaksana dengan memahami maqasid syariah secara mendalam dan strategik supaya aplikasi syariah dalam sistem terjadi. Pendekatan ke arah ketamadunan ini perlu supaya dengan tenaga modal insan yang cukup terlatih dengan ilmu-ilmu diniah (agama) terhubung dengan kepakaran yang pelbagai, ia mampu memberi pendekatan baru terhadap ilmu turath atau tradisional supaya wujud penyegaran yang seiring dengan zaman. Kecenderungan kedua ialah terdapat pihak yang satu ketika dulu memperjuangkan cita-cita Islam cuba membawa fahaman liberal dan pluralisme Barat sehingga rupa dan warna hak asasi Barat hendak dijadikan celupan baru dalam wajah Islam di Malaysia. Ia jauh lebih bahaya kerana pendekatan ini boleh mengelirukan umat Islam dan menjadikan perpecahan di kalangan fikrah umat lebih ketara lagi.

Di mana Bumi Dipijak
Di situ Langit Dijunjung

Bagi sesetengah kumpulan pendesak yang berhajat merungkai asas-asas fundamental dalam Perlembagaan seperti Islam, bahasa Melayu, hak istimewa dan sebagainya harus berfikir banyak kali kerana asas-asas fundamental itu bermaksud baik bagi kestabilan Malaysia. Kemerdekaan yang dinikmati sejak 55 tahun lalu seharusnya memberi kita keyakinan ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’. Malaysia adalah rumah kita. Di sinilah tempat kita berlindung, mencari rezeki dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi. Setiap warganya harus berfikir secara muafakat dan tolak ansur kerana tidak mudah untuk mengurus sebuah masyarakat majmuk. Harus ada pengorbanan dan kecenderungan untuk mencari titik persamaan lebih dari titik perbezaan supaya kelebihan yang dinikmati dan kekurangan yang dirasai dikongsi bersama dengan keinsafan dan tekad untuk terus menyumbang ke arah kebaikan dan kemajuan Malaysia.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
30 Ogos 2012