JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Ogos 2011

MOTIVASI UNTUK ANDA : KANAK-KANAK INI HANYA MAKAN RUMPUT KE SEKOLAH


Ini adalah kisah benar yang menyayat hati iaitu kisah seorang kanak-kanak di China yang mendapat anugerah tinggi dari kerajaannya kerana dikatakan telah melakukan “PERBUATAN YANG LUAR BIASA”. Antara 9 orang penerima anugerah itu, dia merupakan satu-satunya kanak-kanak yang terpilih dari 1.4 billion jumlah penduduk China kerana kesukaran hidup dan pengorbanan menjaga bapanya. Sejak dia berusia 10 tahun kanak-kanak ini ditinggal oleh ibunya yang sudah tiada akibat tidak tahan hidup bersama suaminya yang sakit teruk dan sangat miskin. Sejak itu Zhang Da, demikian nama kanak-kanak itu, hidup dengan ayahnya yang tidak bekerja, tidak boleh berjalan dan sakit-sakit. Dia terlalu kecil untuk memikul tanggungjawab yang berat itu, namun dia tetap berjuang. Dia bersekolah dengan berjalan kaki melalui hutan kecil. Oleh sebab dia tidak bersarapan, semasa perjalanan itu dia makan daun-daun, biji-bijian dan buah-buahan yang dia temui. Dia juga mencuba memakan sejenis rumput, sehingga dia tahu mana yang masih boleh diterima lidahnya dan mana yang tidak. 

Pulang sekolah, dia bekerja memecah batu-batu besar. Upah sebagai tukang pecah batu digunakan untuk membeli beras dan ubat-ubatan untuk ayahnya. Setiap hari dia mendukung ayahnya ke bilik air dan juga memandikan ayahnya. Dia membeli beras dan membuatkan bubur untuk ayahnya. Segala urusan lain pun dia yang mengerjakannya sendirian. Ubat yang mahal dan jauh membuatkan Zhang memikir untuk menemukan cara terbaik untuk mengubati ayahnya. Dia pun belajar tentang ubat-ubatan melalui sebuah buku bekas yang ia beli. Dia belajar bagaimana seorang jururawat memberikan suntikan. Setelah berasa dia boleh, dia sendiri yang menyuntik ayahnya. Ketika acara anugerah tersebut berlangsung, pengacara bertanya apa yang diinginkan Zhang Da ”Apakah wang atau lainnya. Disini ada banyak pejabat, peniaga, juga ada ratusan juta penonton telivision, mereka boleh dan bersedia membantumu nak!” Namun apa yang dikatakan Zhang Da sangat sungguh mengejutkan kepada siapapun, dia hanya berkata, ”Aku tidak mahu apa-apa, aku hanya ingin ibuku kembali!.” Kisah di atas bukan saja mengharukan namun juga menimbulkan kekaguman. 

Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dapat menjalankan tanggung jawab yang berat selama 5 tahun. Kesulitan hidup telah membuatkan kanak-kanak tersebut menjadi kuat dan pantang menyerah. Zhang Da boleh dikatakan sangat berbeza dengan anak-anak kita. Dengan alasan sayang, kita selalu membantu anak-anak sudah mampu membuatnya sendiri.Ada kanak-kanak yang sudah bersekolah rendah pun masih disuap, dan memakai bajupun masih dibantu. Juga seperti ucapan Zhang Da, pesanan kepada kita yang berumahtangga supaya menyayanyi keluarga masing-masing. Jangan kerapa pentingkan diri sendiri, kanak-kanak yang kecil dan tidak berdosa menjadi mangsa.

ANDA MUNGKIN MENANGIS
ANDA MUNGKIN KETAWA
SETELAH MEMBACA CERITA INI
AKAN TETAPI PERCAYALAH
BANYAK IKHTIBAR 
YANG KITA PEROLEH
JIKA MENGHAYATINYA

ISU UMUM : PERBICARAAN MENYAYAT HATI DARI ATAS KATIL



Bagi kali pertama dalam sejarah moden dan mengejutkan ialah permulaan perbicaraan Hosni Mubarak yang menjadi Presiden Mesir selama 30 tahun. Kerana ia terbaring atas katil hospital dan dalam kandang besi mahkamah manakala mengucap “tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan yang diajukan”. Beliau telah dibawa dengan ambulans udara dari Hospital Sharm al-Sheikh setelah menyerah diri kira-kira enam bulan lalu. Tuduhan-tuduhan terhadapnya ialah bersabit pembunuhan 850 orang penunjuk perasaan yang ditembak oleh polis semasa rapat-rapat umum bantahan selama 18 hari. Di samping itu dua orang anaknya, Gamal dan Alaa menafikan tuduhan-tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-duanya berpakaian penjara warna putih dan berdiri di hadapan katil ayah supaya terlindung dari kamera juru-juru gambar yang sibuk mengambil gambar selama empat jam perbicaraan. Juga dibicarakan ialah Habib al-Adly, bekas Menteri Dalam Negeri dan enam pegawai kanan polis. Perbicaraan berlangsung dalam sebuah dewan akademi polis di pinggir Kota Kaherah dan kira-kira 3,000 askar berkawal menjaga keselamatan.

Tiada kelihatan orang ramai hadir dalam mahkamah. Meramaikan ruang dewan ialah para peguam yang mewakili keluarga-keluarga yang mati dalam demonstrasi demi demonstrasi. Mendapat perhatian kemudiannya ialah laporan dan komentar sesetengah akhbar Barat mengenai perbicaraan yang dianggap bersejarah bagi rakyat Mesir. Lalu dicatat betapa dalam masa pemerintahan Mubarak dulu pelbagai tindakan undang-undang darurat rejimnya menyebabkan lain-lain pembunuhan dan penindasan. Berjuta-juta rakyat dikatakan menjadi miskin akibat tindakan-tindakan ekonomi. Juga disiarkan ialah komentar yang menyentuh beberapa pemimpin negara-negara lain: “Bahawa Firaun yang tewas kini terpaksa menghadapi perbicaraan adalah berupa mesej yang jelas - bukan saja kepada yang masih menyabung nyawa untuk menikmati kebebasan, tetapi juga kepada lain-lain autokrat Arab yang masih menentang rakyat mereka. Negara-negara Barat yang selama 30 tahun dulu memejam mata kepada tindak-tanduk Mubarak mungkin merasa tidak senang bila bekas rakan mereka dibicarakan. Pun ada ulasan yang mengingatkan supaya perbicaraan Mubarak tidak melindungi kesalahan lain-lain pegawai masa lampau dan masih bebas. Juga disiarkan ialah hal-hal yang berlaku sejak Mubarak berkuasa hingga selanjutnya seperti berikut:

14 Oktober 1981: ketika itu Naib Presiden menjadi Presiden selepas pembunuhan Anwar Sadat.

22 Januari 2011: Para penunjuk perasaan mendesak Mubarak meletak jawatan selepas Presiden Tunisia, Zainal Abidin bin Ali digulingkan. (Telah pun dibicarakan tanpa kehadirannya dan dihukum penjara).

29 Januari: Mubarak membubarkan Kabinetnya, tetapi enggan meletak jawatan. Bantahan demi bantahan merebak di Medan Tahrir, Kaherah.

1 Februari: Mubarak mengumumkan ia tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

2 Februari: Pasukan-pasukan penyokong Mubarak menyerang para pembantah di Medan Tahir. Peristiwa berlarutan hingga 20 jam lamanya. Presiden kehilangan simpati rakyat.

10 Februari: Mubarak mengumumkan ia tidak akan melayan campur tangan pihak-pihak asing.

11 Februari: Mubarak mengumumkan pengundurannya dan meninggalkan tempat tinggalnya menuju ke Sharm al-Sheikh.

12 April: Media Mesir menyiarkan berita Mubarak diserang sakit jantung semasa disoal oleh para pegawai undang-undang.

13 April: Pegawai pendakwa negeri mengeluarkan perintah supaya Mubarak dan kedua-dua anaknya ditahan untuk disoal mengenai aduan-aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

24 Mei: Mubarak, 83, didakwa dan para peguamnya memberitahu bahawa beliau tidak begitu sihat untuk dibicarakan.

1 Jun: Pegawai-pegawai Mesir mengumumkan beliau dan kedua-dua anaknya akan dibicarakan mulai 3 Ogos. Demikian laporan Financial Times, London.

Sementara itu pihak Wikipedia melaporkan kenyataan peguam Farid al-Deeb bahawa Mubarak mengidap “sakit kanser perut yang masih merebak”. Beliau telah menjalani pembedahan di Jerman pada tahun lalu dan masih menghadapi sakit jantung.

Tan Sri Mazlan Nordin
Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
14 OGOS 2011

ISU UMUM : RUSUHAN YANG MEMUDARATKAN


Oleh Ku Seman Ku Hussain


Rusuhan tercetus di London baru-baru ini bukan kerana polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam di Tottenham pada 4 Ogos lalu. Tragedi itu tidak mungkin boleh membuatkan rakyat terutama kulit hitam mengganas hingga ke Liverpool, Manchester dan Birmingham. Terbunuhnya lelaki kulit hitam, Mark Duggan hanya percikan api pada minyak yang tumpah. Jadi, persoalannya kenapa minyak tumpah? Pada hari berikutnya lebih kurang 200 orang keluarga dan sahabat handai mangsa berarak ke balai polis sebagai protes. Sepatutnya adegan drama pembunuhan ini habis di situ saja. Perarakan itu terlalu kecil untuk menggegarkan Britain. Maka tentu ada faktor lain yang menjadi pemangkin kepada keganasan yang menyebabkan kerugian dianggarkan lebih 200 juta pound. Maknanya rusuhan itu bukan semata-mata kerana membalas dendam kepada polis. Dendam sahaja tidak cukup untuk mendorong keganasan yang melumpuhkan London. Sebaliknya banyak faktor utama yang menyumbang kepada kemarahan rakyat terutama yang bergelandangan kerana kemiskinan. Rusuhan ini bermula di Tottenham. Ini adalah antara kawasan termiskin dan pengedaran dadah dan pusat jenayah yang banyak dihuni oleh orang kulit hitam.

Mengikut perangkaan, hampir 10,000 penganggur mendiami kawasan gelandangan ini. Di bawah bayang bangunan pencakar langit di London, hakikatnya wujud rakyat hidup bergelandangan akibat kemelesetan ekonomi. Kebetulan yang banyak menganggur dan miskin adalah kulit hitam dan ini berjangkit menjadi isu kaum antara kulit putih dan kulit hitam. Tetapi penyebab utama yang jelas kelihatan adalah kemelesetan ekonomi yang melanda Eropah khususnya Britain. Meningkatnya kadar pengangguran, kecilnya peluang pekerjaan, luasnya jurang miskin kaya dan tindakan kerajaan yang banyak memotong belanjawan perkhidmatan awam adalah kuncinya. Jurang kaya miskin sangat luas, misalnya pada tahun 2010 harta yang dimiliki oleh 1,000 orang terkaya di Britain meningkat 30 peratus iaitu lebih 333.5 bilion pound. Memang tidak dinafikan rusuhan ini memberi tekanan paling hebat kepada Perdana Menteri David Cameron. Inilah api dalam sekam yang sebelum ini dilindung dari pandangan. Kemiskinan boleh membuat manusia hilang waras. Golongan muda tercicir dan mereka memprotes kepada sistem yang tidak adil kepada rakyat bawahan.

Kurang bersedia

Cameron ternyata kurang bersedia mendepani kebangkitan rakyat. Dia gagal membendung sentimen ini merebak hingga di luar London dan mengambil masa berhari-hari lamanya untuk bertindak tegas. Walaupun media sosial seperti facebook dan Twitter termasuk telefon pintar BlackBerry dikatakan menyebarluas tentang rusuhan ini, faktor utamanya rakyat marah kerana kemelesetan ekonomi. Cameron daripada parti Konservatif memegang tampuk kuasa selepas mendapat majoriti kecil pada pilihan raya 2010. Konservatif terpaksa bergabung dengan parti Liberal Demokrat yang lebih kecil untuk membentuk kerajaan. Cameron mengambil langkah drastik memotong belanjawan perkhidmatan awam untuk mengurangkan defisit. Langkah ini berjaya bagaimanapun ini mengorbankan banyak peluang pekerjaan dan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat. Ini adalah kali kedua rusuhan yang menggegarkan Britain. Tahun lalu ketika Cameron baru memegang tampuk kuasa, rusuhan pelajar tercetus kerana langkah Cameron memotong banyak peruntukan bagi pengajian lanjutan dan menaikkan yuran tuisyen.

Rakyat membantah langkah Cameron menangani masalah kewangan dengan mengorbankan keperluan pendidikan. Rusuhan yang disertai oleh lebih 50,000 orang itu digerakkan oleh Kesatuan Pelajar Kebangsaan (NUS) dan Kesatuan Kolej dan Universiti (UCU). Lebih memalukan perusuh juga menyerang kereta yang membawa Putera Charles dan Carmila semasa melintasi Regent Street di London. Bagaimanapun Cameron menolak rusuhan kali ini kerana pemotongan yang dilakukan oleh kerajaan. Alasannya sebahagiannya belum dilaksanakan lagi. Sebaliknya Cameron secara mudah menyalahkan penjenayah yang mengambil kesempatan daripada tragedi polis menembak lelaki kulit hitam itu. Parti Buruh memegang tampuk kuasa selama 13 tahun hingga tahun lalu bawah kepimpinan Tony Blair dan akhir sekali Gordon Brown menganggap langkah kerajaan mengurangkan belanjawan perkhidmatan awam agak melampau. Berikutan rusuhan ini parti Buruh meletakkan tanggungjawab kepada Cameron. Tidak dapat menolak bahawa pengaruh kejayaan beberapa rusuhan di Mesir, Tunisia, Libya dan Greece baru-baru ini menjadi pendorong rakyat memintas jalan singkat dengan tindakan tersebut.

Tetapi yang berlaku negara-negara itu kecuali di Greece adalah untuk menurunkan diktator yang banyak merompak wang rakyat. Rusuhan di Britain bukan kerana politik tetapi ketidakupayaan kerajaan mengurangkan kadar pengangguran. Akibatnya wibawa Cameron banyak terjejas. Sebelum ini dia dikaitkan dengan skandal penggodaman telefon mangsa serangan 11 September 2001 oleh akhbar News of the World milik Rupert Murdoch. Walaupun akhirnya akhbar yang berusia 165 tahun itu ditutup tetapi kontroversi skandal itu memberi peluang kepada pembangkang menyerang Cameron. Ini kerana Murdoch memang terkenal sebagai penentu kuasa politik dan orang yang paling berkuasa di dunia kerana menguasai media utama. Malah skandal itu juga membongkarkan pakatan untuk menjual syarikat penyiaran terbesar British Sky Broadcasting (BSkyB) kepada News Corps milik Murdoch. Walaupun rusuhan berjaya mencalarkan kerjaya politik Cameron tetapi tidak memberikan apa-apa hasil kepada rakyat, kecuali mereka boleh mencuri barang berharga di gedung-gedung mewah di London. Rusuhan tidak pernah berhasil kerana ia bertentangan dengan undang-undang.

Buktinya di Mesir yang membawa kepada kejatuhan diktator Hosni Mubarak. Tetapi hingga sekarang belum wujud kestabilan politik dan keamanan selepas diktator ditumbangkan. Biarlah ada pihak yang menamakan rusuhan itu sebagai demonstrasi secara aman dan sebagainya, semua itu tidak memberikan hasil yang baik melainkan kemusnahan yang menyusahkan rakyat. Lihatlah di London, sebanyak 16,000 pegawai polis terpaksa dikerahkan untuk mengekang rusuhan berbanding 2,500 orang pada suasana biasa. Ini juga satu pembaziran yang nilainya terpaksa ditanggung oleh rakyat. Dalam satu undian yang disiarkan oleh akhbar The Sun baru-baru ini mendapati satu daripada tiga orang mahu polis menggunakan peluru hidup terhadap perusuh. Walau apa sekalipun, London yang sebelum ini dianggap tempat yang aman telah tercemar dengan rusuhan ini. Buktinya seorang pelajar Malaysia cedera parah dipukul oleh perusuh yang merompaknya. Mungkin ini dilakukan oleh penjenayah tetapi orang hanya ingat tragedi ini berlaku ketika rusuhan golongan gelandangan yang mencari nafas untuk menyambung hidup. Mereka merusuh untuk mengubah hidup.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
14 OGOS 2011

ISU UMUM : TANDATANGAN LAMBANG KEPERIBADIAN


Oleh Hafizahril Hamid


Semasa kecil, kita sering membayangkan bagaimana untuk mencipta tanda tangan yang mampu menonjolkan karakter yang bersesuaian dengan personaliti diri. Ketika itu kita hanya dibenarkan menggunakan cap ibu jari sahaja setiap kali berurusan sama ada di sekolah atau mungkin ketika membuka akaun bank. Maka mulalah berangan mencipta tanda tangan yang seboleh mungkin dilihat unik dan berbeza daripada rakan-rakan lain. Namun bila meningkat dewasa, kita mungkin ketawa sendirian apabila terselak kembali surat atau dokumen lama yang pernah menampilkan tanda tangan kita buat kali pertama.

IDENTITI

Secara ringkasnya tanda tangan seseorang sedikit sebanyak melambangkan identiti dan keperibadian mereka. Ia mungkin juga tidak memberi sebarang makna memandangkan ada di antara kita yang tidak begitu serius mengenai soal ini dan sudah mencukupi satu tanda tangan ringkas sekadar cukup syarat. Namun bukan satu keperluan untuk kita mengeluarkan satu tanda tangan yang khusus, sudah cukup sekadar satu tanda atau simbol khas apatah lagi bagi mereka yang buta huruf. Bagaimanapun semakin meningkat usia seseorang maka tanda tangan ini akan menjadi antara identiti penting dalam menonjolkan imej diri. Begitu juga semakin tinggi jawatan dan kedudukan seseorang, tanda tangan mereka dilihat lebih kemas dan terampil. Ini mungkin untuk menunjukkan jawatan yang diduduki memandangkan tanda tangan mereka ini lebih ‘laku’ dan kerap dilakar.

PENTING

Kita perlu memahami kenapa tanda tangan penting dalam setiap urusan yang memerlukannya. Pertamanya tanda tangan adalah sebagai satu pengesahan identiti dalam setiap dokumen dan surat yang dikeluarkan dan keduanya ia bersandarkan pada niat dan tujuan dokumen atau surat itu dikeluarkan. Oleh itu jika tidak disertakan dengan tanda tangan atau simbol pengenalan diri maka adalah tidak sah sesuatu dokumen dan sebarang urusan mengenainya boleh dipertikai. Daripada sejarah, tidak dapat dikenal pasti bila manusia secara tepat mula menggunakan tanda tangan dalam urusan seharian mereka.

UKIRAN

Namun ia sangat berkait rapat dengan perkembangan tulisan itu sendiri. Tamadun Sumeria dan Mesopotamia lampau sekitar 3,500 tahun Sebelum Masihi yang bertanggungjawab mencipta tulisan terawal menggunakan ukiran membawa maksud tertentu pada dinding. Daripada ini, terciptalah apa yang dipanggil sebagai cap mohor berdasarkan simbol-simbol tertentu yang dianggap sebagai tanda tangan terawal dan ia masih digunakan sehingga kini dalam urusan tertentu. Penggunaan tanda tangan berbeza mengikut kerajaan ketika itu yang mana skrol menjadi pilihan masyarakat Kristian di Rom manakala cap mohor dari batu jed pula menjadi pilihan maharaja China dan Jepun. Tanda tangan menggunakan huruf yang terdapat sekarang berasal dari kerajaan Phoenician pada tahun ke sembilan Sebelum Masihi dan kemudian digunapakai oleh kerajaan Yunani dan kemudiannya Rom.

RASMI

Huruf-huruf ini ditambah baik oleh masyarakat Eropah dan mereka masih menggunakan skrol untuk urusan rasmi. Namun di bahagian bawah skrol ini terdapat bahagian kosong untuk mereka yang berkenaan meletakkan nama bersama cap mohor rasmi. Maka bermulalah sejarah penggunaan tanda tangan secara tidak langsung. Bezanya jika dahulu kebanyakan mereka hanya meletakkan nama asal di bahagian tersebut dan sejak era moden ia diubah mengikut cara yang dirasakan bersesuaian. Penggunaan tanda tangan peribadi ini semakin meluas penggunaannya ketika dunia memasuki zaman Renaissance walaupun pihak gereja menentang penggunaannya secara terbuka. Ini kerana kebanyakan pelukis ketika itu dikawal oleh pihak gereja yang menentang konsep individualisme dengan meletakkan nama di bahagian tertentu lukisan mereka.

KEBEBASAN

Dengan tindakan berani pelukis -pelukis ini antaranya Leonardo Da Vinci, ia semakin mengukuhkan kedudukan hak kebebasan individu yang bebas berkarya serta diterima ramai. Ini sekaligus menggalakkan penggunaan tanda tangan peribadi secara meluas dalam kehidupan selain meningkatkan status dan reputasi seseorang di kalangan masyarakat. Kini bersesuaian dengan kemajuan, manusia semakin berkemampuan bukan sahaja untuk mencipta tanda tangan yang menjelaskan karisma diri malah terdapat beberapa teori yang mampu mendedahkan rahsia tanda tangan seseorang. Berikut adalah antara contoh rahsia tanda tangan berkenaan.

ALBERT EINSTEIN 

Garis melintang huruf ‘t’ pada bahagian hujung atas menunjukkan beliau seorang yang mempunyai pekerti mulia dan bercita-cita tinggi dalam hidup. Einstein mempunyai tulisan dan tanda tangan kecil yang mengaitkannya dengan kerja yang rumit dan terperinci. Tulisannya padat dan konsisten menunjukkan tenaga yang amat tinggi. Tanda tangan ini juga menunjukkan keazaman yang kuat untuk mencapai kejayaan.

BILL GATES 

Garis melintang pada huruf ‘t’ yang memanjang ke kanan dan titik ‘i’ yang jelas menunjukkan dia seorang yang cepat naik darah. Tanda tangannya yang bersudut menunjukkan beliau mempunyai pemikiran tajam. Tulisannya juga mencondong ke kanan dan menunjukkan beliau seorang yang suka menguasai tetapi tidaklah terlalu jahat cuma dengan cara yang lebih tersusun.

GEORGE W. BUSH 

Tanda tangannya bermula dari dasar, menaik ke atas dan seolah-olah bersambung dengan huruf pertama nama seterusnya (Bush) menunjukkan dia seorang yang menyimpan perasaan marah, geram, dendam dan kekecewaan yang amat tinggi. Tanda tangannya yang bergaris tebal, menurun ke bawah dan tidak berapa jelas menunjukkan keghairahan menakluk dunia sesuka hati tanpa diplomasi. Ia juga menunjukkan beliau sanggup melakukan keganasan dan kekejaman untuk membalas dendam.

OSAMA BIN LADEN

Garisan tebal atau pekat pada tandatangannya menunjukkan dia seorang yang mempunyai keazaman yang tinggi. Manakala garisan melintang di bahagian atas dan lakaran seperti ketam pada tanda tangannya menunjukkan personalitinya yang keras. Ia juga menunjukkan seorang yang tidak gemar berkomunikasi tetapi suka merancang atau melakukan sesuatu secara rahsia. Lakaran ketam pula menunjukkan beliau tidak akan berputus asa sebaliknya ‘menggigit’ balik dengan ganas.

ADOLF HITLER 

Tanda tangan beliau yang condong ke bahagian kanan pula sering kali menggambarkan pemiliknya sebagai sukar mengawal emosi dan cenderung untuk bertindak di luar kawalan. Tulisan tangannya yang bersudut menunjukkan beliau seorang yang mempunyai pemikiran agresif. Tulisan yang meliuk-liuk ke bahagian kiri menunjukkan seorang yang tidak jujur dan mempunyai pemikiran seperti seorang penjenayah. Bersesuaian dengan tuntutan zaman, tanda tangan kini menjadi lebih daripada satu keperluan di atas kertas malah ia melambangkan tindakan berlandaskan pengaruh politik dan kuasa. Apatah lagi jika ia melibatkan tindakan berkumpulan yang mampu mendera mereka yang lemah walaupun ia bermula dengan tindakan kecil, hanya melalui penggunaan sebatang pen di atas kertas. Akhirnya seperti mana ciptaan manusia yang lain, tanda tangan turut menjadi mangsa eksploitasi segelintir manusia yang terperangkap dengan keegoan dan nafsu.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
14 OGOS 2011