JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Oktober 2011

ISU SOSIAL : PROGRAM PERUMAHAN 1MALAYSIA BUKTI KERAJAAN PRIHATIN


KUIL KARNAK, DI EGYPT

Impian  yang menjadi kenyataan, begitulah reaksi 560 pemohon yang berjaya dalam undian Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Presint 11, Putrajaya kelmarin. Mereka adalah antara lebih 7,000 pemohon pertama skim perumahan rakyat itu yang diilhamkan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagi yang gagal, mereka masih ada peluang untuk memohon semula kerana lebih banyak projek PR1MA akan dilaksanakan kerajaan pada masa akan datang. Sejajar dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, program berkenaan menyasarkan golongan berpendapatan sederhana, di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ketika ini, sebahagian besar golongan berkenaan di kawasan bandar didapati bukan saja terpaksa menanggung kos kehidupan yang tinggi, malah tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harganya yang terlalu tinggi. Mereka juga tersepit di tengah-tengah kerana tidak layak memohon rumah kos rendah yang diperuntukkan untuk golongan berpendapatan rendah. Kita percaya program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu sudah tentu sesuatu yang dinanti-nantikan oleh golongan berpendapatan sederhana ini, yang kebanyakannya terpaksa ‘mengikat perut’ kerana terpaksa membayar kadar sewa rumah dan kos pengangkutan yang tinggi di kawasan bandar.

Pada tahun ini sebanyak 1,880 unit rumah di bawah skim berkenaan akan dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, sementara 7,700 unit lagi akan dibina pada tahun depan di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja di Klang. Harga rumah yang ditawarkan juga dalam lingkungan kemampuan golongan sederhana iaitu di antara RM120,000 dan RM150,000 seunit berbanding harga pasaran yang lebih tinggi. Pada masa ini, terdapat jurang besar dalam pembinaan rumah kos sederhana di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru memandangkan pemaju lebih suka membina projek sederhana-tinggi dan tinggi bagi meraih keuntungan besar. Hakikatnya, pelancaran PR1MA itu memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri dengan cara lebih mudah termasuk tawaran pinjaman fleksibel oleh institusi kewangan. Tempoh bayaran balik yang dilanjutkan sehingga 30 tahun juga sudah tentu dapat membantu meringankan beban pembeli, menjadikannya sebagai program yang begitu dekat di hati rakyat. Ini membuktikan kerajaan bukan sekadar berjanji kosong atau melakukannya hanya atas kepentingan politik semata-mata.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
17 OKTOBER 2011


ISU UMUM : PEMBANGUNAN BAKAT PERLU MENYELURUH

Oleh NIZAM YATIM


SAGRADA  FAMILIA,  SEPANYOL

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Perbadanan Bakat (TC) yang berperanan meneraju inisiatif menarik 700,000 rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang kini bekerja di luar negara untuk pulang berkhidmat di tanah air. Susulan itu, pada Januari 2011, perbadanan berkenaan telah memulakan operasi secara rasmi dengan lepasan Universiti Cambridge, Johan Mahmood Merican telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya. Perbadanan terbabit turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan perwakilan Malaysia di luar negara bagi menarik ekspatriat dan diaspora Malaysia untuk menetap dan bekerja di negara ini. Bagaimanapun, segala perancangan yang dibuat oleh perbadanan itu masih lagi mempunyai kelemahan yang perlu diatasi bagi memastikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi tercapai. Menyentuh perkara itu, Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik, Kreativiti dan Inovasi (FLCCI), Prof. Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid berkata, kelemahan dasar sedia adalah ia tidak memberikan tumpuan untuk membangunkan bakat secara menyeluruh. Beliau berkata, sudah sampai masanya kerajaan memberi tumpuan untuk membangunkan bakat dalam segenap aspek termasuk di luar daripada sektor pekerjaan dan kerjaya seperti bidang pendidikan, institusi keluarga dan politik.

''Misalnya dalam bidang politik, pembangunan bakat adalah amat penting bagi memastikan ahli politik kita menjadi pemimpin yang lebih baik sesuai dengan status kita sebagai negara maju pada masa depan. Salah satu syarat untuk memastikan kita mempunyai ahli politik terbaik ialah memastikan mereka mereka mempunyai kelulusan akademik tertinggi sekurang-kurangnya di peringkat universiti. ''Sekarang bukan masanya mereka yang tidak berpelajaran atau lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi ahli politik kerana ia tidak sesuai dengan status kita sebagai sebuah negara maju," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau berkata, ahli politik berkelulusan tinggi dan berbakat mampu membawa lebih banyak perubahan kepada masyarakat kerana mereka lebih kreatif dan inovatif berbanding yang tidak berpendidikan tinggi yang kebiasaannya hanya mengikut segala dasar yang telah ditetap kerajaan walaupun ia telah lapuk. Dalam pada itu, katanya, pembangunan bakat di institusi pengajian tinggi juga perlu diberi tumpuan bagi memastikan tidak wujud 'diskriminasi' terhadap modal insan berkemahiran tinggi sehingga menyebabkan mereka berhijrah ke luar negara. ''Sebelum kerajaan meningkatkan had umur persaraan kepada 60 tahun, para pensyarah yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari luar negara perlu bersara pada usia 55 tahun dan bagi saya ini adalah pembaziran bakat kerana mereka sebenarnya masih kuat untuk bekerja," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan peraturan lapuk yang menghalang golongan berbakat untuk menonjolkan daya kreativiti dan inovasi mereka dihapuskan. ''Orang berbakat tidak boleh bekerja dalam persekitaran yang bersifat rutin dan mereka juga tidak suka majikan memutuskan kenaikan pangkat dan tangga gaji seseorang itu berdasarkan berapa lama dia bertugas dan bukannya berasaskan prestasi kerja," katanya. Sementara itu, Abd. Rahim memberitahu, FLCCI akan menganjurkan Seminar Nasional Pembangunan Talent Abad Ke-21 di Malaysia pada 25 dan 26 Oktober ini bagi membincangkan pembangunan bakat secara menyeluruh di negara ini. Seminar yang akan diadakan di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur melibatkan pembentangan 12 kertas kerja yang meliputi tajuk-tajuk berkaitan pembangunan bakat dalam bidang seni, muzik, sukan, sains serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Pembentang kertas kerja terdiri daripada kalangan pensyarah universiti dan wakil agensi kerajaan. Segala pandangan pembentang kertas kerja dan para peserta akan dipanjangkan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan lanjut. Orang ramai yang berminat untuk menghadiri seminar berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 03-61502252 atau 012-2457793. Yuran penyertaan yang dikenakan adalah sebanyak RM450 yang meliputi kertas kerja dan fail peserta, sijil penyertaan serta makan dan minum.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OKTOBER 2011


ISU UMUM : TRANSFORMASI PENERBANGAN NEGARA

Oleh ZULKIFLI JALIL


IMAN MEIDAN-E DI ISPAHAN, IRAN

Laporan buletin suku pertama 2011 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa merungkaikan bahawa Malaysia mencatatkan pertumbuhan dari segi penumpang suku pertama (perbandingan tahun ke tahun) sekitar 11.8 peratus. Peratus itu merupakan pertumbuhan yang sangat memberangsangkan jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan secara purata 4.3 peratus di dunia. Buletin itu mencoretkan lagi: "Pertumbuhan dalam industri penerbangan perlu disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, kestabilan politik dan bebas daripada malapetaka semula jadi dan buatan manusia. Faktor-faktor tersebut menentukan kesihatan perdagangan dan pergerakan manusia." Tambah buletin itu: "Kuala Lumpur mempunyai potensi tinggi untuk menjadi hab penerbangan serantau kerana bebas daripada bencana alam, mempunyai lapangan terbang moden yang disokong oleh penerbangan nasional iaitu Penerbangan Malaysia (MAS) dan penerbangan tambang murah AirAsia. "Dan yang paling penting memenuhi kestabilan politik dan ekonomi. Juga, Kuala Lumpur tidak pernah mengalami kudeta atau banjir besar seperti Bangkok dan Kuala Lumpur terletak di luar kawasan gempa bumi seperti di Jawa." Catatan buletin terkemuka itu menggambarkan betapa signifikannya majlis sambutan 100 tahun penerbangan Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hangar 6, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.

Sejak penerbangan pertama di negara ini dilakukan oleh GP Fuller yang mendaratkan pesawat Antoinette Monoplane miliknya di lapangan lumba kuda di Ampang pada 1911, industri penerbangan negara terus mengalami transformasi membanggakan. Ia meletakkan industri penerbangan kita setaraf United Kingdom dan Amerika Syarikat. Diimbas sejarah penerbangan negara, era 1960-an menyaksikan perubahan dalam bidang pengangkutan udara. Penubuhan Malaysia pada 1963 membawa kepada penukaran nama Malayan Airways kepada Malaysian Airlines Limited (MAL). Dan sebagai penerbangan kebangsaan, MAL bertanggungjawab menghubungkan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak dengan Malaysia Barat iaitu Semenanjung dan Singapura. Melihatkan pentingnya integrasi di antara Borneo dan Semenanjung, maka Borneo Airways bergabung dengan MAL pada 1963 dan membeli lima pesawat F27. Berikutan kemerdekaan Singapura pada 1966, kerajaan Malaysia dan Singapura menjadi pemegang saham utama di dalam MAL, menyebabkan penukaran MAL kepada Malaysia-Singapore Airlines atau MSA. MSA memperkembangkan sayapnya dengan memulakan perkhidmatan ke Manila, Perth, Sydney dan Taipei. MSA turut menambah pesawatnya dengan pembelian tiga Boeing 707 dan dua F27 dan mendirikan ibu pejabatnya di Robinson Road, Singapura. Pada 1968, MSA memulakan penerbangan ke Tokyo dan Bali pada 1969.

Dalam masa setahun saja, MSA mengembangkan sayapnya ke Madras dan Colombo. Tahun 1971 merupakan cukup penting bagi MSA di mana pada tahun itu kerjasama di antara Malaysia dan Singapura berakhir. Perpecahan ini berikutan perbezaan pendapat di antara dua kerajaan. Begitu pun Malaysia Airline System atau MAS ada acuannya yang tersendiri. Pada 1972, ia terbang ke 34 destinasi domestik dan enam destinasi antarabangsa. Pada November 1972, MAS menjadi ahli Orient Airlines Association (OAA). Tahun berikutnya, dengan perkembangan yang pesat menyaksikan MAS menerbangkan dua juta penumpang. Pada tahun 1975, MAS memperkenalkan majalah Wings of Gold dan tahun berikutnya ia memasuki era informasi di mana MAS menggunakan teknologi komputer untuk operasinya. Pada 1985, melalui Dasar Penswastaan, MAS memasuki sektor korporat dengan menawarkan 70 juta saham untuk didagangkan. Dalam proses permodenan, MAS membina kemudahan membaiki dan membaik pulih pesawat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Pada tahun 1986, MAS memulakan servis untuk sektor Los Angeles, Amerika Syarikat dan pada akhir 1986, MAS menukar indentitinya kepada Malaysia Airline atau Penerbangan Malaysia. 


Bermula dari sini, Penerbangan Malaysia berkembang dan kini terbang ke 100 destinasi di seluruh dunia dan menggunakan pesawat-pesawat termoden di dunia. Penerbangan Malaysia juga dipilih untuk sebagai 10 penerbangan terbaik dunia dan dianugerahkan sebagai penerbangan lima bintang oleh Skytrax. Kini, menerusi KLIA, seramai 16,387,426 penumpang udara dikendalikan oleh lapangan terbang tersebut, tidak termasuk penumpang transit pada suku kedua 2011 berbanding 15,183,411 pada suku pertama 2011. Selain KLIA, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Langkawi merupakan lapangan terbang paling sibuk di negara ini. Dari segi kargo pula, sebanyak 220,642,141 kilogram dikendalikan lapangan terbang Malaysia pada suku kedua 2011 berbanding 210,964,798 kilogram pada suku pertama 2011. KLIA muncul sebagai salah sebuah lapangan terbang terbaik dunia dengan menduduki tangga kesembilan. Laporan suku tahun pertama 2011 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa menyenaraikan KLIA sebagai antara 20 lapangan terbang paling sibuk di dunia. 


Bagaimanapun Kuala Lumpur masih di belakang Bangkok dan Singapura yang terkenal sebagai hab penerbangan utama untuk Asia Tenggara Industri penerbangan di mana-mana negara pun merupakan industri sensitif yang akan menerima implikasi besar sekiranya berlaku kegawatan ekonomi dan wabak penyakit berjangkit. Banyak kejayaan dengan rekod cemerlang ditempa industri penerbangan negara. KLIA tersenarai di lima teratas lapangan terbang di dunia serta terpilih empat kali bagi kategori lapangan terbang terbaik dunia. Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pula dipilih Pusat Penerbangan Asia Pasifik sebagai Lapangan Terbang Tambang Murah bagi 2006. MAS pula meraih lebih 100 anugerah pelbagai rekod amalan dan perkhidmatan sejak sedekad lalu. AirAsia pula mengalami kemajuan drastik dan kini memperluaskan liputan destinasi ke seluruh dunia. Terbaru pada 12 April lalu di Copenhagen, Denmark, KLIA dianugerahkan Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia pada Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax. Sebab itu majlis malam ini di Hangar 6, KLIA cukup signifikan kepada negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OKTOBER 2011