Rencana ini ditulis
oleh:
Oleh DR. AHMAD ZAKI
ISMAIL
PENULIS ialah
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Musim perayaan sudah
menghampiri. Hanya tinggal dua atau tiga hari lagi. Tentu banyak keperluan
sudah tersedia. Tahun ini agaknya persiapan dan persediaan sudah tentu lebih
meriah daripada sebelumnya. Maklumlah banyak yang menerima durian runtuh baik
di sektor awam mahupun para peneroka. Cuma yang tidak jelas adalah pekerja
swasta dan para peniaga serta penjaja. Apakan daya, inilah yang dikatakan nasib
kita tidak serupa. Bagaimanapun, kita merasa lega apabila pengumuman dibuat
oleh Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa pemegang konsesi setuju menurunkan
tarif tol sehingga 37 peratus meskipun sebenarnya gimiknya lebih daripada apa
yang dinyata. Maklumlah yang 37 peratus itu bukannya lebuh raya PLUS yang
memang kita semua gunakan untuk pulang berhari raya. Walau apa pun setiap
pengurangan kos meskipun sekadar lima ke 10 peratus pun tetap mengurangkan
beban kita semua. Ia amat dialu-alukan dan dihulurkan ucapan terima kasih.
Kemudian, PDRM pula
membatalkan Ops Sikap. Nah terasa senang sikit hati bila membacanya di dada
media. Malangnya, di masa sama turut diumumkan penurunan kadar had laju
sebanyak 10 kilometer (km). Lantas terdetik dalam fikiran, bahawa negara kita
sudah sampai ke tahap pening. Kerana kita seolah-olah tidak menyedari bahawa
undang-undang bukan boleh dilaksanakan secara berkala dan diubah mengikut
situasi. Sekiranya pemandu mengikut kelajuan 110 km sejam di hari biasa adalah
tidak melanggar peraturan tetapi di musim perayaan ia sudah ditakrif sebagai
melanggar peraturan. Kemudian, Ops Selamat yang dilancarkan membawa mesej yang
hampir sempurna. PDRM mahukan semua rakyat merasa meriah dan selamat dalam
meraikan musim perayaan. Memang begitulah sepatutnya tugas agensi yang
dihormati itu, bukan sekadar menjadi penguat kuasa tetapi memberikan
perkhidmatan di luar kotak seperti yang dilaksana oleh negara hasil strategi
lautan biru yang ternyata memberikan impak segera.
Selepas itu ada pula
pengumuman yang menyatakan bahawa kamera perangkap had laju sudah dipasang dan
dikuat kuasa di seluruh lebuh raya tentu menyentak benak pengguna tentang apa
sebenarnya yang ingin ditawarkan kepada kita? Apabila kita kumpulkan kesemua
senarai di atas dalam satu pakej dan difikirkan semula seolah-olah rakyat kini
sedang disajikan dengan umpan enak yang bakal direntap melalui cara lembut
tetapi amat menyakitkan. Kita kena kembali kepada asas undang- undang
diwujudkan iaitu mewujudkan peraturan, serta mendidik. Ia bukan mempunyai tujuan
lain yang seolah-olah untuk menjadi sumber pendapatan. Bayangkan di lebuh raya
ada kawasan yang menuruni bukit diletakkan had laju 80 atau 90 km yang mana
menunggu di hadapan adalah kamera penguat kuasa. Sekiranya pemandu menyedari
kehadiran anggota polis di hadapan mereka dan tiba-tiba membrek bagi
mengelakkan disaman fikirlah apa yang bakal berlaku pada kenderaan yang
mengekori di belakang yang tidak menyedarinya.
Pada masa sama, kita
melihat bahawa anggota penguat kuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan
Jalan sebenarnya agak longgar terhadap kenderaan komersial termasuk lori dan
bas. Seperti wujudnya semacam persetujuan terancang apabila kelihatan kenderaan
komersial sekarang ini semakin bermaharaja lela meskipun pelbagai teguran,
aduan, pendedahan dan tragedi yang berlaku disebabkan kedegilan para pemandu
kenderaan komersial ini. Akhirnya perasaan aman dan selamat serta gembira untuk
pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan diwarnai dengan perasaan
geram, marah, benci dan tekanan yang membawa kesan yang buruk jika dipendam
dalam tempoh lama. Ia bukan sahaja buruk kepada peribadi, tetapi pada keluarga,
anggota masyarakat dan paling buruk kepada kerajaan sendiri. Kerana itu, pihak
yang berkaitan sebenarnya perlu lebih peka dalam melaksanakan sebarang
keputusan supaya ia tidak memberi impak berbeza daripada apa yang diharapkan.
Setiap perbelanjaan yang dikeluarkan biarlah berbaloi dan biarlah memberikan
mesej yang betul serta meninggalkan kesan yang positif bukan sebaliknya.
Saman menyaman ini
sebenarnya biarlah menjadi perkara yang terakhir yang perlu dilaksanakan dalam
suasana syahdu musim perayaan. Sebaliknya, kalau PDRM benar-benar ingin
mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan mereka, inilah masanya. Di masa
sama, apa salahnya kalau pemegang konsesi semuanya memberikan diskaun pada
kadar 50 peratus untuk tempoh seminggu musim perayaan berkenaan. Kerana dari
segi congak pun orang sudah boleh menganggarkan berapa hasil pungutan di musim
perayaan yang mampu mereka kutip saban tahun. Bukanlah diminta sampai sebulan,
cuma sekadar seminggu sebagai tanda ucapan terima kasih kepada para pengguna
yang tidak pernah jemu menggunakan dan membayar perkhidmatan mereka.
Inilah yang dikatakan
sebagai tanggungjawab sosial yang sebenar bukan sekadar memberi ole-ole di
lorong tol berbayar dengan tiga biji kurma dan sebotol air mineral, sedangkan
di lorong smart tag dan touch n go cuma menjadi pemerhati sahaja. Walhal,
kumpulan ini sudah membayar dahulu sebelum guna. Menyentuh mengenai had laju
pula, pada persepsi yang berbeza tentu kita bersetuju bahawa ia bukannya
menjadi satu faktor sahaja yang menyumbang kepada kemalangan. Statistik dengan
nyata menunjukkan bahawa kemalangan maut banyak berlaku di Jalan Persekutuan
berbanding di lebuh raya. Apakah Majlis Keselamatan Jalan Raya tidak peka
mengenainya?
Ia sebenarnya lebih
kepada sikap, kecekapan dan juga keadaan jalan serta cuaca. Pemandu yang
memandu laju secara konsisten sebenarnya adalah pemandu yang cekap dan boleh
dirujuk rekod kemalangan mereka yang rata-ratanya hampir tiada. Kerana golongan
ini sentiasa siap siaga dan cekap mengemudi sebab tahu akan risikonya. Hujahan
ini bukan bererti menyokong memandu lebih laju tetapi sekadar menjelaskan
keadaan. Bayangkanlah memandu di lebuh raya di waktu malam dengan kadar kurang
110 km sejam pada jarak perjalanan tiga jam. Mungkin anda mudah terlena
sekiranya tidak cuba memecut sekali sekala bagi mengurangkan tekanan dan rasa
jemu. Itulah sebenarnya hakikat dan realiti yang perlu kita ambil kira untuk
memahami pola pemanduan dan kemalangan yang berlaku sebelum membuat sebarang
rumusan.
Oleh itu, dalam
kemeriahan suasana menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma ini marilah kita
semua mengambil sikap yang saling menguntungkan semua pihak. Pihak pemerintah
dan rakyat jelata saling memerlukan, begitu juga anggota perkhidmatan awam,
para peniaga, kuli atau tauke kaya semua mempunyai peranan dalam sebuah negara.
Semoga hari raya tahun ini akan memberikan rasa insaf, rasa selamat dan rasa
sejahtera kepada kita semua yang seharusnya sentiasa bersyukur dengan apa yang
sudah kita nikmati selama ini. Sebuah negara yang merdeka, aman dan makmur.
Sumber :
Utusan Malaysia
18 Ogos 2012