JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) TERUS MENJADI DURI DALAM DAGING


Setiap kali penggal persekolahan bermula, isu yuran dan ketidakcukupan guru, termasuk membabitkan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) akan mendominasi perbualan di kalangan ibu bapa dan guru. Bagaimanapun, kali ini isu yuran ditangani Kementerian Pelajaran dengan baik, termasuk menge-luarkan ‘nasihat’ kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya mematuhi pekeliling ditetapkan kerajaan, menyebabkan hampir dikatakan tiada langsung rungutan ibu bapa mengenai soal ini ketika mendaftar anak masing-masing di sekolah rendah atau menengah.

Bagaimanapun, kelemahan Kementerian Pelajaran menangani soal GSTT, termasuk membiarkan guru terbabit tidak tahu status masing-masing sama ada khidmat mereka diperlukan atau tidak di sekolah sebelumnya menyebabkan isu ini menjadi ‘besar’. Seharusnya, Jabatan Pelajaran negeri bertindak proaktif mengatasi soal ini, bukannya memberikan keutamaan menyelesaikan isu seminggu dua lagi sesi persekolahan mahu bermula. Ketika 12,000 GSTT di seluruh negara tidak tahu status mereka, pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa seramai 1,614 GSTT akan disambung semula kontrak mereka pada 2011 adalah satu perkhabaran yang amat dinanti-nantikan. 

Beliau berkata, kerajaan hanya menyambung kontrak GSTT yang berkhidmat selama tiga tahun berturut-turut, selain dalam proses untuk menyerap GSTT yang masih dalam kontrak dan sudah bertugas lebih tiga tahun ke jawatan guru tetap melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC). Penjelasan beliau itu sekali gus menjelaskan bukan semua GSTT akan diambil berkhidmat semula, termasuk 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak tahun lalu disebabkan sebahagian besar daripada mereka hanya berkhidmat selama dua tahun.  Fungsi GSTT yang mahu menampung kekurangan guru di sesebuah sekolah tidak akan berjaya jika soal penempatan mereka tidak diuruskan dengan baik oleh Jabatan Pelajaran negeri. Malah, isu GSTT akan menjadi ‘duri dalam daging’ selagi soal penempatan ini tidak diselesaikan dengan jujur, baik pada peringkat pentadbir sekolah yang memohon khidmat GSTT dengan memberi alasan kekurangan guru, manakala pada peringkat jabatan pula, penempatan dibuat bukan mengambil kira soal keperluan yang mendesak di sesebuah sekolah, sebaliknya atas dasar ‘kenalan’.

Sama ada mahu mengakui atau tidak, kewujudan GSTT menimbulkan sedikit kecelaruan dalam sistem perjawatan perguruan, apatah lagi perguruan sudah dianggap satu kerjaya profesional. Seharusnya tidak wujud lagi ‘sandaran tidak terlatih’ dan jawatan sebegini tidak ada pada kerjaya lain bertaraf profesional seperti perubatan, guaman dan akauntan. Faktor kekurangan guru bukan lagi alasan sesuai ketika ini, apatah lagi keperluan terhadap sistem pendidikan yang amat tinggi serta kritikal dan sewajarnya usaha penambahbaikan dilakukan terhadap profesion ini. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 sudah berakhir dan sewajarnya pelan induk baru yang dirangka akan mengambil kira keperluan ‘sifar GSTT'.  Hakikatnya, soal pendidikan melingkari kehidupan seharian masyarakat di Malaysia. Isu berbangkit juga hampir sama – baik di sekolah kebangsaan atau sekolah menengah dan di sekolah jenis kebangsaan sama ada Tamil atau Cina.

Sedikit masa lalu, timbul ura-ura kemungkinan kerajaan menubuhkan satu badan atau jawatankuasa khas untuk menyelesaikan masalah dan isu berkaitan perkhidmatan perguruan yang kini melebihi 400,000 orang. Perkara ini dibangkitkan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman kepada pegawai tertinggi kesatuan itu selepas merasmikan konvensyen CUEPACS, akhir tahun lalu.  Walaupun tiada perkhabaran lanjut mengenainya, cadangan penubuhan satu badan atau jawatankuasa khas ini adalah rentetan daripada usaha kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas mengkaji beban tugas guru yang terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pada April 2010.  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengumumkannya, berkata cadangan itu berdasarkan aduan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

Semua masalah ini ditimbulkan ketika khidmat 12,000 GSTT masih digunakan. Dengan pengurangan GSTT tahun ini, masalah ‘kerja berlebihan’ akan terus menjadi isu di sekolah, selain soal sekatan pelbagai tuntutan, termasuk perbatuan menghadiri mesyuarat dan kursus serta catuan perbelanjaan makanan dan minuman ketika berkursus.  Walau apapun kerenah pentadbiran yang timbul, kesetiaan guru terhadap kerajaan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Tindakan seorang bekas guru untuk menjadi calon PAS, Normala Sudirman, 38, menentang calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim, 39, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Labis pada 30 Januari ini, adalah kes terpencil.

Ini diakui sendiri Muhyiddin di Pagoh, baru-baru ini bahawa kerajaan tidak pernah mempersoalkan kesetiaan guru, tetapi mahu mereka terus komited membantu melaksanakan dasar kerajaan ke arah pembangunan pendidikan negara. Malah, beliau mengakui peranan dan komitmen guru penting bagi membantu kerajaan mencapai empat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan sektor pendidikan.  Tidak dinafikan, ada guru bersimpati kepada perjuangan pembangkang, namun jumlah mereka tidak sebesar mana. Memang sedap mendengarnya tetapi tidak mungkin golongan guru terpedaya dengan janji imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BERITA HARIAN
24 JANUARI 2011

ISU ICT : SKMM PERLU PANTAU PENULIS BLOG UNTUK ELAK MUNCUL "PENULIS UPAHAN"

Kemunculan media baru, khususnya blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter kini menjadi alternatif masyarakat dalam mendapatkan maklumat, selain media konvensional seperti akhbar dan saluran televisyen. Kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya internet memudahkan orang ramai mencapai maklumat secara lebih pantas dan mudah. Apatah lagi penembusan jalur lebar negara kita kini mencecah lebih 50 peratus. Kita tidak dapat menolak media baru mempunyai tarikan tersendiri mempengaruhi orang ramai. Justeru, jika seseorang itu mampu mengeksploitasi blog ini dengan menjadikannya medan perniagaan seperti menawarkan perkhidmatan, jualan dan pengiklanan secara kreatif, sudah pasti ia satu bentuk perniagaan baru yang menguntungkan. Akhbar ini kelmarin mendedahkan penulis blog mampu meraih keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit setahun. Pengendali blog yang konsisten, termasuk menggunakan kisah peribadi sebagai tarikan utama, mampu memperoleh pendapatan purata RM500,000 hingga RM700,000 dalam tempoh tujuh bulan atau purata hingga RM70,000 sebulan. Tawaran perniagaan di blog menyusul selepas kisah politik, peribadi dan komuniti, malah ia amat berkesan dalam menyampaikan mesej dalam dunia moden serta pantas dalam pencarian maklumat. Kita percaya jika penulis blog ini memanfaatkan kemahiran, daya kreativiti, potensi dan populariti mereka, ia mampu menjana pendapatan yang tinggi. Selain artis yang dapat menjana pendapatan tinggi dengan populariti mereka ketika ini, kini penulis blog juga boleh melakukan perkara sama melalui media alternatif ini. 

Yang pasti kemunculan blog ini berupaya mempengaruhi pandangan dan pendapat orang ramai dalam memperkatakan mengenai sesuatu isu. Ia jelas kelihatan, terutama ketika negara berhadapan dengan sesuatu pilihan raya umum atau kecil. Mahu atau tidak, kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang akan menggunakan sepenuhnya blog ini untuk menjelaskan sesuatu perkara atau menangkis tohmahan lawan. Namun, pada masa sama kita bimbang ada laman blog yang disalahgunakan untuk tujuan memfitnah, membuat tohmahan dan menyebarkan pemikiran, malah ideologi yang bertentangan dengan kerukunan hidup masyarakat majmuk dan beragama di negara ini. Kita dapati ada penulis blog yang memaparkan pelbagai fitnah dan tuduhan tidak berasas bagi memenuhi agenda pihak tertentu walaupun tanpa bukti kukuh. Lebih buruk ia bebas menggunakan bukti palsu bagi menimbulkan kebencian kepada pihak lain. Malah, dalam dunia tanpa sempadan, kita turut berhadapan dengan cabaran pendedahan maklumat seperti isu kebocoran maklumat sulit menerusi laman WikiLeaks yang membabitkan penyaluran keluar pelbagai rahsia di beberapa negara. Laman WikiLeaks diasaskan pada 2006 oleh Julian Assange mencetuskan kontroversi global apabila ia mendedahkan rahsia diplomatik dan dokumen tentera kerajaan Amerika Syarikat. Justeru, apa yang kita harapkan penulis blog lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan pandangan dan idea mereka. Kita mahu mereka lebih beretika serta mengambil kira kesan yang mereka boleh cetuskan jika pandangan mereka membabitkan unsur provokasi. Kita tidak mahu wujudnya ‘penulis blog upahan’ bagi melaksanakan agenda pihak yang berkepentingan. Walaupun akhirnya orang ramai yang akan menentukan kesahihan sesuatu berita, adalah tidak adil bagi mereka untuk membuat pertimbangan jika terlebih dulu disogokkan dengan bukti palsu. Apapun kita mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau kegiatan penulis blog ini. Kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat, bukanlah satu kebebasan mutlak sehingga boleh memporak-perandakan negara.

RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
24 JANUARI 2011

ISU ALAM SEKITAR : BANDAR MESRA ALAM PALING BESAR DI DUNIA


Pentadbiran bandar Abu Dhabi di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memajukan bandar mesra alam terbesar di dunia dengan menggunakan teknologi paling canggih. Bandar mesra alam itu dikenali sebagai bandar Masdar yang boleh menempatkan 40,000 penduduk dan projek tersebut bermula sejak 2006. Dibina di pinggir bandar Abu Dhabi, bandar Masdar yang langsung tidak mengeluarkan gas karbon bakal menjadi contoh kepada bandar mesra alam pada masa depan. Bandar itu memperoleh penghuni pertamanya pada Oktober lalu apabila sekumpulan 175 orang pelajar menyertai projek Masdar. Institut Sains dan Teknologi Masdar turut dibangunkan dengan kerjasama Institut Teknologi Massachusetts. Sebuah kereta tanpa pemandu yang dikendalikan sistem navigasi canggih turut digunakan di kampus tersebut.

Buat masa sekarang, apa yang ada hanyalah kampus institut pengajian yang meliputi satu kluster bangunan dengan bumbungnya dipenuhi dengan panel solar serta sebuah ladang yang memperoleh tenaga solar. "Kami memiliki sistem fotovolta berkuasa 10 megawatt di tapak yang mampu menjana banyak kuasa elektrik yang perlu disalurkan menerusi grid," kata Pengarah Masdar Power, Frank Wouters. Masdar turut membangunkan loji kuasa solar berkapasiti 100 megawatt dengan kerjasama syarikat Total dari Perancis dan Abengo Sepanyol yang diberi nama Shams 1. Ia dikatakan sebagai loji kuasa solar terbesar di dunia dan menelan kos sehingga AS$600 juta (RM1.83 bilion). Abu Dhabi ialah antara negara Arab yang memiliki simpanan minyak paling banyak di dunia.

HARIAN KOSMO
24 JANUARI 2011

ISU ALAM SEKITAR : KENAPA KEMPEN PEMBUANGAN SAMPAH TERUS GAGAL?


Masalah pembuangan sampah yang semakin tinggi oleh rakyat Malaysia nampaknya masih tidak ada jalan penyelesaian. Program kesedaran yang dilancarkan dan yang digerakkan oleh agensi kerajaan yang diamanahkan masih gagal menyedarkan rakyat. Sikap keprihatinan rakyat terhadap masalah sampah yang semakin meruncing, nampaknya tidak wujud di hati rakyat. Tong-tong sampah kitar semula yang diletakkan di beberapa tempat, juga tidak mendapat sambutan rakyat. Di manakah silapnya? Adakah ketamadunan rakyat Malaysia terhadap kebersihan sudah terhakis atau kempen-kempen kesedaran yang dilancarkan tidak sebaik seperti kempen 'Tak Nak' yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Saya sebagai rakyat yang prihatin terhadap masalah sampah, amat kecewa dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang suka membuang sampah di merata-rata. Mereka tidak memikirkan akibat di kemudian hari, jika sampah-sampah yang dibuang akan tersangkut di dalam longkang dan ia boleh menyebabkan longkang-longkang tersebut tersumbat. Jika hujan lebat berterusan, ia akan mengakibatkan masalah banjir jika masalah longkang tersumbat tidak diatasi segera. Kemudian, rakyat yang menghadapi masalah banjir akan memarahi dan menuduh kerajaan gagal menjalankan tugas sehingga mengakibatkan banjir, sedangkan sebahagian punca banjir adalah kerana aliran longkang dan sungai tidak teratur akibat banyaknya sampah yang tersangkut di dasar sungai dan longkang. Walaupun kerajaan telah berbelanja ribuan dan jutaan ringgit bagi menangani masalah banjir, namun kerana ada segelintir rakyat yang tidak prihatin ini (suka membuang sampah di merata-rata tempat), ia telah mengakibatkan sebahagian besar rakyat merana kerana masalah banjir yang berpunca daripada aliran air yang tersangkut dari longkang-longkang yang sepatutnya mengalirkan air terus ke sungai dan kawasan tadahan. Namun, saya tidak hanya ingin menyalahkan 'segelintir rakyat yang tidak prihatin' ini, tetapi kesalahan juga harus dipikul dan ditanggung bersama oleh agensi kerajaan yang telah diamanahkan oleh kerajaan persekutuan untuk menangani masalah sampah ini. Kempen kesedaran pembuangan sampah yang kosnya berharga ratusan dan jutaan ringgit telah dihabiskan oleh agensi tersebut, namun impaknya masih gagal dan tidak berjaya menukar minda rakyat mengenai masalah pembuangan sampah yang betul. 

Malah saya difahamkan masalah ketidakmampuan mengurus sampah di beberapa tempat pengumpulan sampah juga semakin meruncing. Ini menunjukkan sikap rakyat dalam pembuangan sampah masih kekal sama dan gagal diperbetulkan. Soalnya, tidakkah pegawai-pegawai di agensi sisa pepejal negara tidak melihat perkara ini sebagai kegagalan dari agensi tersebut? Atau mereka ini tahu bahawa kerajaan akan sentiasa memberikan dana untuk mereka habiskan dengan membina beberapa lagi cadangan kempen kesedaran tanpa ingin mengetahui sejauh mana kempen tersebut berjaya. Inilah hakikatnya yang perlu kerajaan tahu iaitu sikap segelintir pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mementingkan kepuasan dan kepentingan rakyat. Yang mereka tahu dan lakukan setiap hari ialah membuat kerja bagi mencukupkan masa kerja harian sahaja dan menuntut bayaran lebih masa jika disambung kerja pada waktu petang tanpa melihat keberhasilan kerja yang dilaksanakan, 'adakah ia dapat menyelesaikan masalah kerajaan dan rakyat'?. Sikap tidak profesional segelintir ketua-ketua jabatan dan ketua pegawai eksekutif (syarikat berkaitan kerajaan, GLC) juga telah merencatkan perjalanan kerajaan dalam memastikan 'rakyat didahulukan' dan 'pencapaian diutamakan'. Kegagalan dan ketidakcekapan pegawai tertinggi ini juga telah menyebabkan rakyat 'menunjukkan' kemarahan kepada kerajaan, sedangkan 'mereka' ini yang sepatutnya dipersalahkan. Di sini saya tidak menyalahkan menteri atau timbalannya di kementerian tersebut kerana gagal menyedarkan rakyat kerana mereka ini silih berganti. Yang harus dipersalahkan ialah Ketua Setiausaha Kementerian tersebut dan Ketua Pengarah Jabatan yang seharusnya memikul tanggungjawab itu sepenuhnya.

Pegawai tertinggi kerajaan ini haruslah meletakkan jawatan atau mengambil tindakan drastik terhadap jabatan yang diamanahkan dengan menukar pengurusan agensi tersebut kepada pegawai yang lebih berdedikasi. Masalah pemborosan perbelanjaan pejabat, memberikan tender-tender berimpak tinggi kepada syarikat-syarikat kroni serta memberikan syarikat yang tidak berkelayakan dalam menjalankan urusan kempen haruslah dihentikan segera. Saya juga menyarankan pihak SPRM untuk melihat lebih mendalam terutamanya penglibatan agensi ini dalam pengurusan syarikat kerana kegagalan melaksanakan tugas yang diberi serta 'ada'nya pemberian tender yang tidak telus sehingga mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta. Apa yang diluahkan ini, tidak ada sekelumit pun irihati terhadap mana-mana pegawai di dalam kerajaan tetapi kerana kehabisan duit kerajaan yang keterlaluan tanpa ada banyak membantu rakyat, yang membuatkan kekecewaan terhadap kakitangan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.


Siti Nur Nadhirah Hazirah
Melaka

UTUSAN MALAYSIA
24 JANUARI 2011

ISU ALAM SEKITAR : INSENARATOR JALAN PENYELESAIAN LUPUS SAMPAH


Apabila menyebut tentang sampah, ia boleh ditemui di mana-mana pelosok di negara ini. Ia boleh ditemui di tepi-tepi jalan, berlonggok di belakang rumah, tersangkut di dalam sungai, terhampar di tepian pantai, malah di ceruk bukit-bukau dan gunung ganang sekalipun, sampah boleh ditemui. Ia bukan saja satu pemandangan yang menyakitkan mata, malah menyakitkan hati dan deria bau pula tidak terhidu dek busuknya sampah yang mula dimakan ulat. Itulah gambaran sebenar keadaan sampah di negara kita sehinggakan laporan muka depan akhbar ini semalam menyebut mengenai timbunan sampah yang dikumpul dalam masa lima hari boleh menutupi seluruh negeri Perlis!

Begitu sekali banyaknya sampah yang dibuang oleh penduduk negara ini. Kita tahu sampah-sarap yang berlonggok itu bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah mengeluarkan bau busuk serta mengundang pelbagai penyakit bawaan anjing atau kucing liar, tikus, lipas dan lalat. Ada beberapa penyakit yang boleh membawa maut seperti kencing tikus yang begitu berbahaya jika lambat dirawat. Lebih memburukkan keadaan kerana sampah yang dikumpul itu semakin bertambah dari sehari ke sehari, ekoran pertambahan isi rumah termasuk kehadiran pendatang asing yang kini dianggarkan berjumlah tiga juta orang. Ringkasnya, semakin bertambah penduduk maka semakin banyaklah sampah yang terpaksa dikutip, diangkut, dikumpul dan dilupuskan. Hari ini kita menyaksikan kira-kira 30,000 tan sampah dibuang oleh isi rumah sehari atau 10,950,000 tan sampah dalam setahun. Itu statistik sekarang melibatkan kira-kira 28 juta penduduk negara. Bayangkan, timbunan sampah yang lebih tinggi pada masa akan datang dengan penduduk yang bertambah berkali-kali ganda.

Tentu banyak pihak bingung memikirkan tentang bagaimana atau apa yang perlu dan sesuai dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Sebelum ini, banyak usaha telah dilakukan termasuk kempen kitar semula, kempen cintai sungai kita, pembinaan insinerator di beberapa lokasi di seluruh negara bagi melupuskan sampah secara moden dan lain-lain. Namun, boleh dikatakan kesemua kempen dan usaha itu gagal dilaksanakan. Hanya insinerator mini dibenarkan dan ia tentulah tidak cukup. Mahu membina insinerator bersaiz besar seperti di Kampung Broga, Semenyih, Selangor beberapa tahun lalu, masyarakat pula membantahnya. Campur tangan politik memburukkan keadaan dan akhirnya projek itu terpaksa dibatalkan dengan alasan kos terlalu tinggi. Bukan masanya sekarang untuk mengulas kenapa banyak usaha dan kempen yang dijalankan untuk memelihara alam sekitar daripada pencemaran sampah gagal. Yang lepas biarkan berlalu. Sebaliknya, kita perlu melihat jauh ke hadapan bagaimana menghadapi lautan sampah yang semakin menyesakkan itu. Sebagai permulaan awal, kanak-kanak perlu diberi pengetahuan tentang sampah.

Pendidikan berterusan mengenai pengurusan sampah yang betul dalam kalangan kanak-kanak akan membentuk jiwa yang menyayangi alam sekitar lebih daripada kepentingan lain. Ada orang sanggup mengadakan pelbagai demonstrasi di merata dunia untuk menyelamatkan alam sekitar. Banyak aktivis alam sekitar berjuang demi memastikan kelestarian kehidupan di muka bumi ini. Ia usaha individu dan kumpulan tertentu. Justeru, mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyelamatkan bumi daripada timbunan sampah, tentulah tidak memadai. Ia usaha setiap penduduk dan bagi pihak kerajaan pula, jangan mudah tunduk kepada tekanan politik untuk menjayakan projek besar demi penduduk. Hakikatnya, teknologi insinerator selamat digunakan di banyak negara termasuk Singapura di mana penghasilan gas dioksin yang menggusarkan sesetengah pihak adalah di bawah paras bahaya. Justeru, pembinaan insinerator untuk pelupusan sampah mungkin menjadi jalan penyelesaian. Sungguhpun begitu, insinerator yang dibina itu mestilah jauh dari penempatan penduduk dan itu bermakna kita perlu mencari kawasan yang tidak didiami oleh sesiapa bagi membinanya.

UTUSAN MALAYSIA
24 JANUARI 2011

ISU PELANCONGAN : MALAYSIA CANTIK TETAPI TAHAP KEBERSIHAN MASIH BELUM MEMUASKAN !


Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata majoriti pelancong asing ke negara ini mengakui Malaysia sebuah negara yang cantik, namun mempunyai masalah daripada segi kebersihan. Beliau berkata, antara aspek kebersihan yang sering dibangkitkan pelawat membabitkan gerai makan, longkang dan tandas. Bercakap kepada pemberita di sini, Ng berkata, aspek kebersihan itu akan kekal menjadi masalah jika rakyat negara ini tidak menjadikannya amalan kehidupan.

Kementerian Pelancongan mengambil kira aduan yang ditimbulkan pelancong. Jadi, kita perlu mengambil kira aspek kebersihan ini.  Mengenai pusat rekreasi itu, Ng berkata, kajian untuk menambah baik kawasan tersebut akan dilakukan bagi menarik perhatian pengunjung terutamanya rakyat Singapura.