PROF. DR. SHAHNOR BASRI
Profesor Kanan dalam bidang
Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang
dan Felo Akademi Sains Malaysia.
Menelaah buku tulisan Dr. Judith
McLaughlin dan Dr. David Riesman (1990) bertajuk Choosing a College President:
Opportunity and Constraints menimbulkan persoalan kepada penulis mengenai
pemilihan peneraju utama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negara
kita. Ini termasuklah dari sudut integriti, kepimpinan, kriteria dan proses
pemilihan. Penulis buku ini, Dr. McLaughlin adalah ahli akademik kanan di Sekolah
Pengajian Siswazah Pendidikan, Universiti Harvard manakala Dr. Riesman ialah
Profesor Sains Sosial di universiti yang sama. Dr. Riesman juga pemegang Kursi
Kersarjanaan Henry Ford II yang pertama di universiti yang sama. Tulisan mereka
membahaskan secara panjang lebar mengenai kepentingan proses pencarian dan
pemilihan Naib Canselor atau Presiden sesebuah universiti dari sudut ketelusan,
keterbukaan, kriteria calon yang cemerlang dan keperluan mendapat pandangan
warga universiti mengenai kepimpinan yang mereka mahukan.
Walaupun Kementerian Pendidikan
sejak beberapa tahun lalu membentuk pasukan pencarian setiap kali berlaku
kekosongan Naib Canselor mahupun Timbalan Naib Canselor IPTA, namun prosesnya
masih menjadi persoalan dari sudut ketelusan, calon pilihan serta kriteria
pemilihan. Tulisan Dr. McLaughlin dan Dr. Riesman telah membahaskan isu-isu
yang turut menjadi perbahasan malah kerap kali menimbulkan kontroversi dalam
kalangan sarjana Amerika Syarikat (AS) mengenai kepimpinan universiti. Dalam
Bab Pertama buku itu, bertajuk Do Searches Matters?, pengarang merumuskan
bahawa proses pemilihan yang telus berasaskan kesarjanaan, integriti dan
kepimpinan merupakan keperluan mandatori bagi sesebuah institusi pengajian
tinggi.
Naib Canselor, Rektor atau
Presiden merupakan tonggak utama yang akan menentukan hala tuju dan masa depan
generasi keilmuan sesebuah negara. Pengarang telah mengambil contoh ketika
Kenneth Keller mengambil alih kepimpinan Universiti Minnesota pada 1985, akibat
kesilapan dalam pemilihan Keller yang gagal mengetengahkan polisi akademik yang
cemerlang. Malah kemudian didedahkan telah menghabiskan lebih satu juta dolar
Amerika untuk pengubahsuaian pejabat dan kediaman rasmi presiden universiti.
Kesilapan dalam penentuan calon berakhir dengan 'tragedi' yang pada ketika itu
meruntuhkan imej Universiti Minnesota dan menyebabkan ahli lembaga universiti
berkenaan menetapkan kriteria dan saringan yang lebih ketat terhadap pengganti
Keller. Maka, proses pemilihan adalah satu yang mesti dilakukan secara serius
dan begitu juga dengan hasil daripadanya.
Di AS keterbukaan pemilihan ini
begitu ketara sekali. Hinggakan pada 1983 apabila ahli Lembaga Pencarian dan
Pemilih Presiden Universiti Florida membawa calon-calon finalis presiden
melawat kampus, ramai ahli akademik mempersoalkan pula mengapa mereka tidak
diberi peluang untuk mengadakan perjumpaan khas dengan calon tersebut. Mereka
ingin berkongsi visi, harapan dan melihat ketokohan calon dalam menghadapai
survival akademik di institusi berkenaan. Akhirnya sesi perbahasan terbuka
turut diadakan dengan calon-calon ini dengan disertai oleh ahli akademik dan
pimpinan mahasiswa yang turut memberikan sedikit pengaruh kepada keputusan
Lembaga Pencarian dan Pemilih Presiden universiti berkenaan.
Jika kita meneliti pula
pengalaman Universiti Rice sebuah universiti swasta tersohor di AS, di mana
pada satu ketika berlaku kesukaran untuk mencari pengganti Prof. Norman
Hackerman yang telah 15 tahun sebagai presiden. Sepanjang perkhidmatannya
Hackerman bukan sahaja sebagai presiden universiti berprestij tersebut tetapi
beliau masih mengekalkan aktiviti kesarjanaannya di dalam makmal penyelidikan
dan masih terlibat penulisan dan penerbitan ilmiah. Sebagai presiden, beliau
menjadi role model di universiti itu. Beliau tidak menghabiskan masanya untuk
menandatangani puluhan memorandum persefahaman (MOU) sahaja tetapi sebagai
pemikir yang terbuka, pemimpin yang disenangi, penyelidik yang agresif. Beliau
membina hubungan strategik dengan pelbagai industri ternama AS di samping
menjadi seorang sarjana contoh yang menjulang Universiti Rice sebagai
universiti penyelidikan.
Apabila Prof. Richard Levin
mengumumkan persaraan beliau sebagai Presiden Universiti Yale, Lembaga Pengarah
universiti berkenaan mendapati sukar mencari tokoh setanding dengannya.
Sepanjang 20 tahun perkhidmatannya, Prof. Levin dikenali sebagai peneraju yang
amat berjaya. Dalam kesukaran mencari pengganti Levin, ahli-ahli komuniti Yale
telah menetapkan piawaian yang tinggi bagi pengganti Richard Levin; antaranya
memiliki etika dan moral yang tinggi dalam tadbir urus dan kepimpinan, presiden
mestilah seorang sarjana yang dihormati dan mempunyai nilai integriti
kesarjanaan, mampu mengekalkan Yale sebagai rakan strategik kepada komuniti New
Haven serta dapat meluncurkan Yale dengan pantas di persada antarabangsa. Oleh
itu, pengganti Richard Levin hendaklah mentadbir secara efektif, menolak sama
sekali amalan kronisme dalam pelantikan mana-mana ahli fakulti terutamanya
dalam proses kenaikan pangkat. Komuniti Yale mahukan juga presiden baru mesti
merupakan pimpinan kepada inovasi pendidikan, presiden mestilah pendukung kuat
kepada nilai pendidikan tinggi dan penyelidikan, dan beberapa nilai
kegemilangan lagi yang diharapkan oleh komuniti Yale.
Begitulah nilai dan kriteria
utama yang menjadi pengharapan bagi institusi pengajian tinggi dunia demi
menjaga integriti institusi dan kepimpinannya serta kesinambungan universiti
sebagai menara keilmuan dan kesarjanaan.Dari sisi lain pula, jika kita meneliti
bagaimana pula calon presiden atau naib canselor universiti ternama apabila
mereka dinamakan, kita akan mendapati bahawa mereka amat serius menerima amanah
tersebut dan menyatakan dengan penuh tekat visi dan misi mereka. Perhatikan
kenyataan Rebecca Blank yang pada satu ketika merupakan Pemangku Setiausaha
Negara bagi Hal-Ehwal Perdagangan AS yang dicalonkan sebagai Canselor
Universiti Wisconsin menyatakan: "Universiti merupakan sebahagian penting
kepada masa depan ekonomi negara dan mestilah menjadi rakan kongsi strategik
dalam usaha untuk menstimulasi perkembangan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan
baru".
Maka, bagi negara kita terutama
dalam usaha meningkatkan penarafan dan kedudukan IPTA dan IPTS maka persoalan
kepimpinan harus tidak dipandang mudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dalam ucapannya di Pekan pada 12 Mac 2011 pernah menyuarakan keresahan
beliau dengan meminta supaya warga akademik mengurangkan 'politiking' dalam
perebutan jawatan naib canselor (Utusan Online, 13 Mac 2011). Beliau sendiri
menekankan proses pemilihan naib canselor hendaklah melalui proses pencarian
dan pemilihan. Cuma persoalan besar adalah sama ada Jawatankuasa Pencarian dan
Pemilih ini merupakan satu realiti dan berfungsi sepenuhnya. Namun, masih ramai
yang mempersoalkan fungsi dan kewujudannya.
Sudah sampai masanya, kita
melakukan satu lonjakan besar dalam dunia pendidikan negara. Negara memerlukan
juga transformasi dalam soal kepimpinan pendidikan tinggi demi melonjakkan
penarafan dan kedudukan universiti dalam negara ini agar setanding dengan
Oxford, Yale dan MIT. Maka, kepimpinan yang kita mahukan juga harus yang
setanding dari sudut kriteria dan proses pemilihannya.
Kita mahukan kepimpinan IPT yang
berdaya fikir inovatif, dalam kalangan akademia terpilih, mempunyai semangat
keusahawanan, memiliki integriti kepimpinan yang tinggi dan mampu melonjakkan
negara ini sebagai hub pendidikan utama dunia. Dasarnya sudah ada dan
infrastrukturnya sudah tersedia, maka kita perlulah serius mengenainya. Maka,
pembentukan Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih yang terdiri dalam kalangan ahli
akademik kanan, usahawan, warga dalaman universiti, wakil industri dan ahli
akademik tersohor antarabangsa perlulah direalisasikan. Proses pencarian dan
pemilihan juga hendaklah telus, kriteria yang dikemukakan hendaklah jelas dan
terlaksana ketika proses pemilihan dan pengiklanan terbuka juga hendaklah
dilakukan. Jika ini dapat dilaksanakan dengan penuh keadilan dan integriti,
maka ia akan menjadi salah satu pemangkin peningkatan institusi pengajian
tinggi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 JULAI 2013