JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Jun 2017

CATATAN CIKGU ZUL : BUDAYA BULI BUKAN BUDAYA ORANG TERPELAJAR



Kes penderaan salah seorang pelajar di sebuah universiti yang berlaku baru-baru ini sehingga mengakibatkan kematian, amat mendukacitakan bagi kita yang mempunyai rasa kemanusiaan. Kes ini dikhabarkan berlaku gara-gara sebuah laptop sehingga mangsa terpaksa menanggung kesakitan yang amat dahsyat sampai menitiskan air mata kita apabila membayangkan bagaimana mangsa menahan kesakitan apabila dipukul dengan tali pinggang, getah paip, dan penyangkut baju. Yang paling menyakitkan sekali ialah pembuli yang tidak berhati perut ini menekap badan mangsa dengan sterika stim sehingga melecur badannya. Walaupun kes ini masih dalam siasatan dan sekumpulan pelaku yang didapati terlibat telah ditangkap namun peristiwa ini menuntut pihak pentadbir sekolah asrama, kolej, dan universiti agar peka dengan kes-kes dera yang melibatkan pelajar-pelajar di bawah jagaan mereka. Kes-kes sebegini biasanya disembunyikan dan apabila berlaku kematian sebegini barulah terbongkar segala perlakuan kejam anak-anak kita. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana hancur dan luluhnya hati kedua-dua orang tua mangsa apabila menyaksikan anak tersayang mati dalam keadaan yang sebegitu.

Anak merupakan anugerah Tuhan kepada pasangan suami isteri. Semua pasangan yang berkahwin berusaha untuk mendapatkan anak bagi menyambung warisan keturunan mereka di muka bumi ini. Mereka akan berusaha untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak mereka kerana anak merupakan harta yang paling berharga bagi mengubah nasib keluarga pada masa depan. Oleh itu, walau semiskin manapun ibu bapa, mereka sedaya upaya menghantar anak ke sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan. Harapan mereka biarlah anak tersayang berjaya dalam pelajaran dan berkerjaya mulia serta menyumbang bakti kepada masyarakat. Kejayaan anak merupakan kepuasan bagi ibu bapa. Mereka mengorbankan segala-galanya untuk anak tersayang. Biar makan nasi berlaukkan garam, mereka rela, asalkan anak menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya membawa pulang segulung ijazah. Akan tetapi, kehidupan di universiti tidak seindah mimpi kerana kita tidak dapat melihat perjalanan hidup sehari-hari anak tersayang. Kita beranggapan kehidupan di kampus yang dihuni oleh golongan terpelajar itu indah tetapi itu hanyalah fantasi kerana di alam realiti banyak perkara bobrok yang tersembunyi. Salah satunya ialah kes buli yang berbentuk penderaan sebegini.


OTAK TAK WARAS

Pembuli yang sanggup melakukan penderaan kejam ke atas mangsa buli ini saya anggap sebagai golongan yang otaknya sudah tidak dapat berfungsi atau “banyak wayar sudah putus”. Hal ini dikatakan demikian kerana hanya orang yang tidak mempunyai perasaan sahaja yang sanggup melihat mangsa meraung kesakitan apabila dipukul dengan tali pinggang atau ditekap dengan sterika panas. Binatang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun tidak akan memperlakukan binatang lain lebih-lebih lagi anak bangsa sendiri sebegitu. Sejahat-jahat manusia, di hatinya masih tersimpan sekelumit rasa simpati dan sedih apabila melihat manusia lain berada dalam kesakitan yang maha dahsyat. Apabila yang melakukannya merupakan manusia yang berpendidikan (Bukan semua orang boleh melanjutkan pelajaran ke universiti) kita tertanya-tanya, apakah sistem pendidikan kita silap kayu pengukurnya? Kita juga tertanya-tanya, apakah peranan ibu bapa dalam memanusiakan anak-anak mereka gagal? Kita tertanya-tanya, tidak cukupkan ajaran guru di sekolah selama mereka menuntut dari darjah 1 hingga ke Tingkatan 5? Mengapakah mereka sanggup berlaku kejam sebegitu ke atas rakan sendiri? Persoalan demi persoalan terus menerjah ruang fikir kita tetapi jawapannya tetap tidak ditemui. Saya percaya ibu bapa pembuli-pembuli inipun tidak mahu anak mereka berperangai sebegitu kerana mereka juga mempunyai impian yang sama. Mereka juga tidak mahu pengakhiran hidup anak mereka di tali gantung atau di kandang penjara setelah berkorban segalanya untuk mereka.

Apabila perlakuan buli ini dilakukan secara berkumpulan kehairanan bertambah tinggi. Sampainya hati mereka menyaksikan beramai-ramai seorang manusia diseksa di depan mata tanpa membalas tetapi hanya menahan dan menyerah diri untuk didera dan diseksa. Tidak dapat saya bayangkan apabila ketuanya menekap sterika ke badan mangsa, yang lain mungkin ketawa atau hanya melihat begitu sahaja. Tidak dapat saya bayangkan apabila sekumpulan manusia yang tidak beperasaan ini memegang tali pinggang, getah paip, dan penyangkut baju dan serentak memukul mangsa tanpa ada perasaan simpati, sayu, dan pilu. Apakah mereka kurang didikan moral dan agama? Apakah mereka sudah hilang kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa? Apakah mereka lupa bahawa negara ini ada undang-undang? Apakah mereka lupa maruah diri dan keluarga? Semua ini tidak akan terjawab kerana yang tahu jawapannya hanya mereka sendiri. Saya yakin, perlakuan buruk sebegini bukan dipelajari daripada guru dan ibu bapa. Perkara-perkara jahat sebegini datang dari hati mereka yang busuk dan mudah mengikut hawa nafsu sehingga membawa malapetaka kepada semua pihak. Mereka mungkin puas melakukan penderaan secara beramai-ramai kepada orang lain tetapi mereka lupa dengan pembalasan takdir, setiap perkara keji dan jahat itu pasti akan terbongkar juga pada suatu hari. Sayang seribu kali sayang, kes ini berakhir dengan kematian mangsa yang menyayat hati segenap insan yang mempunyai perasaan kasih dan sayang.


SEDARLAH ANAK-ANAK

Saya amat berharap agar semua penuntut baik di universiti dan kolej mahupun di sekolah-sekolah berasrama (tempat bersarangnya pembuli) berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. Kita mungkin mendapat kepuasan dengan menyakiti dan menzalimi rakan kita tetapi jangan lupa Tuhan sentiasa melihat dan menghukum setiap perlakuan kita di dunia ini. Sebelum berlaku kejam ke atas orang lain, kita harus bayangkan jika diri kita sendiri diperlakukan sebegitu. Jika kita tidak sanggup menanggung kesakitan akibat dipukul dengan tali pinggang, kita jangan melakukannya ke atas orang lain. Jika kita tidak sanggup menahan azab sengsara ditekap dengan sterika panas di badan, kita jangan memperlakukan orang lain begitu. Kita tahu perkara yang kita lakukan itu amat menyakitkan dan boleh membawa maut ke atas orang lain, jadi mengapakah kita terus melakukannya? Sebelum melakukan sesuatu, fikirkan dahulu masa depan diri sendiri dan keluarga yang turut terkena tempias akibat perbuatan jahat kita? Fikirkan juga hati dan perasaan keluarga mangsa apabila mereka tahu anak mereka diperlakukan sebegitu. Cuba bayangkan kalau perkara yang kita lakukan berlaku ke atas ahli keluarga kita sendiri. Apakah kita rela melihatnya? Apakah kita akan tertawa melihatnya mati dalam keadaan yang amat seksa sebegitu? Sudah tentu tidak! Jika begitu, berhentilah daripada membuli. Perbuatan itu tidak membawa manfaat terhadap sesiapa.

Gunakan peluang semasa menuntut untuk meraih kejayaan yang membanggakan semua pihak. Setiap waktu yang menyapa, isilah dengan pekerjaan yang mendatangkan kemaslahatan terhadap diri, keluarga, bangsa, dan negara. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencipta dan merangkul kejayaan bukannya melibatkan diri dengan kes-kes buli yang keji. Bersainglah secara sihat dengan semua pelajar-pelajar yang lain. Jika ada masalah, selesaikan secara rundingan supaya semua pihak akan mendapat manfaat dan kepuasan. Sebagai golongan terpelajar, tidak wajar jika kita menggunakan khidmat bomoh untuk mencari pencuri laptop dan kemudian bertindak melulu menjatuhkan hukuman ke atas mangsa yang dituduh. Saya percaya setiap universiti atau kolej di negara ini memang ada peraturannya untuk menyelesaikan setiap masalah penuntut, jadi gunakanlah saluran tersebut untuk menuntut hak dan ketidakadilan serta segala permasalahan. Tindakan menghukum orang lain yang dituduh tanpa bukti yang sahih sehingga tergamak melakukan penyeksaan amatlah kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kita mungkin bangga kerana kita rasa kita hero dunia, tetapi kesudahannya jarang memihak kepada kita kerana Tuhan itu Maha Berkuasa.


SUBURKAN KASIH SAYANG

Golongan pintar dan terpelajar harus menghiasi kepintaran dan keintelektualan mereka dengan rasa kasih dan sayang yang melimpah demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Kepandaian dan kepintaran tiada gunanya jika hati kita penuh dengan rasa kejam dan zalim dan sentiasa ingin melakukan kejahatan terhadap orang lain. Insan terpelajar sepatutnya tahu bahawa negara Malaysia yang tercinta ini ada undang-undang. Insan terpelajar juga tahu bahawa setiap penuntut di universiti itu mempunyai ibu bapa yang menyayangi dan menaruh harapan yang tinggi ke atas mereka. Insan terpelajar juga harus tahu, pangkat dan kedudukan ibu bapa kita bukan tiket untuk membolehkan kita melakukan penyeksaan ke atas anak-anak orang miskin yang tidak berdaya. Hidup ini akan jadi lebih indah jika kita membuang rasa jahat dan benci terhadap sesiapa sebaliknya kita tanamkan rasa kasih dan sayang yang tidak bertepi terhadap semua orang yang hadir dalam hidup kita. Jika semua penuntut universiti memiliki budaya menjalin silaturrahim tanpa mengira pangkat, darjat, kedudukan, budaya, bangsa, dan agama saya yakin akan wujud keharmonian dan munculnya sebuah institusi ilmu yang gah di mata dunia. Saya juga yakin, suatu masa Malaysia yang tercinta ini akan dipenuhi oleh cendikiawan yang berdedikasi, berketrampilan, serta berpersonaliti. Jika perlakuan buli ini terus menerus menghantui kita, tidak mustahil golongan penjenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan akan beranak pinak dalam masyarakat kita. Golongan ini akan menumpahkan air mata kesedihan ribuan ibu yang melahirkan anak tersayang akibat diseksa, didera, dan dizalimi oleh anak-anak hingusan sebaya yang tidak berperikemanusiaan. Harapan saya, belajarlah untuk menjadi manusiawi yang penyayang supaya kita akan disayangi oleh orang lain.

Cetusan Pendidik Bestari
Cikgu Zulkarnain Farihin

Sibu, Sarawak.