JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Februari 2012

ISU KEWANGAN : TETAPKAN GAJI BERSIH 70:30


Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meminta supaya had kelayakan permohonan pinjaman bank mengikut Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab ditetapkan pada kadar munasabah sekurang-kurangnya pada nisbah 70:30. Presidennya, Datuk Mohd Ali Baharum berkata, pihaknya meminta BNM mengkaji semula garis panduan berkenaan dan berharap agar kadar kelayakan dapat ditingkatkan bagi memberi ruang kepada peminjam mendapatkan pinjaman mengikut keperluan masing-masing. Garis panduan ini baik untuk mengekang masalah keberhutangan di kalangan peminjam, namun pada masa sama ia mengundang masalah lain kerana ada beberapa perkara yang memerlukan seseorang itu mendapatkan pinjaman, tetapi tidak dapat dilakukan disebabkan tidak melepasi syarat kelayakan baru ditetapkan BNM,” katanya. Menurutnya, Angkasa sudah mengguna pakai garis panduan seumpama itu dengan menetapkan nisbah 60:40 daripada gaji bersih. “Kami menggunakan nisbah 60:40 apabila pembiayaan hanya diberikan berdasarkan 60 peratus daripada gaji bersih peminjam dan lebihan 40 peratus adalah gaji yang diterima untuk menampung keperluan sampingan,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
HARIAN METRO
9 FEBRUARI 2012

ISU KEWANGAN : KEKAL SYARAT PINJAMAN ASAL UNTUK KEBAIKAN SEMUA


Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk kelayakan permohonan pinjaman perlu berdasarkan pendapatan bersih dijangka memberi kesan tidak langsung kepada penjawat awam. Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, garis panduan berkenaan dijangka memberi kesan baik kepada penjawat awam untuk jangka masa panjang, namun dalam masa sama ia boleh memberi tekanan sekiranya ada di kalangan mereka yang benar-benar memerlukan pinjaman. Kita tahu langkah BNM adalah untuk mendidik orang ramai daripada membuat pinjaman melebihi kemampuan kewangan mereka, namun ia seharusnya diperhalusi dan sepatutnya diguna pakai hanya untuk segelintir kumpulan saja. Ini kerana ada di kalangan penjawat awam yang menerima gaji bersih sekitar RM200 hingga RM400 saja dan berapa pula pinjaman yang mereka boleh dapat daripada jumlah berkenaan sedangkan ia perlu untuk menampung perbelanjaan lain,” katanya.

Menurutnya, garis panduan berkenaan sesuai diguna pakai untuk individu yang mempunyai pendapatan tinggi sebaliknya ia tidak sesuai untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Mana-mana individu pasti akan berhutang dan ia bergantung kepada usaha mereka untuk melunaskan hutang berkenaan walaupun terpaksa mencari pendapatan sampingan bagi menampung hutang itu. Pada pendapat saya, pihak bank seharusnya kekal dengan kelayakan pinjaman mengikut gaji kasar kerana ia lebih relevan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya. Omar berkata, sekiranya syarat kelayakan itu tidak dikaji semula, pihaknya bimbang lebih banyak individu akan beralih kepada pemberi pinjaman tidak berlesen yang menawarkan pinjaman lebih mudah tanpa syarat ketat. Kita bimbang lebih ramai akan memilih pinjaman tidak berlesen yang menawarkan pelbagai pinjaman mudah hanya kerana mahu membeli kenderaan untuk ke tempat kerja kerana gagal membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen,” katanya.

BNM mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 Januari lalu, pihaknya menetapkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang menetapkan kelayakan permohonan pinjaman bank perlu berdasarkan pendapatan bersih dan bukan lagi pendapatan kasar pemohon. Dalam usaha mengurangkan hutang isi rumah di negara ini yang masih terkawal, BNM juga mengehadkan tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan hanya selama sembilan tahun berbanding 11 tahun sebelum ini. Di bawah garis panduan tanggungjawab pembiayaan baharu itu, permohonan pemohon juga dinilai berdasarkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai serta mengambil kira semua tanggungan hutang semasa. Bagaimanapun, permohonan itu hanya membabitkan segmen runcit seperti pembiayaan kediaman, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pinjaman peribadi termasuk kemudahan overdraf serta pembiayaan bagi pembelian sekuriti kecuali pembiayaan margin saham.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
HARIAN METRO
9 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : KAWAL GELARAN PROFESOR


Negara perlu mempunyai satu badan profesional bagi mengawal penganugerahan gelaran profesor dan doktor falsafah untuk mengelak disalah gunakan segelintir pihak yang menyamar sebagai profesor bagi menjalankan aktiviti penipuan. Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, badan terbabit juga boleh bertindak sebagai badan akreditasi bagi gelaran itu selain semua maklumat mengenai profesor bertauliah boleh didapati daripada badan berkenaan. “Ini boleh mengelakkan sesetengah pihak sewenang-wenangnya menggunakan gelaran profesor termasuk doktor falsafah untuk menipu hingga mencemarkan nama baik pensyarah yang mempunyai gelaran itu,” katanya. Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai dakwaan seorang lelaki yang mengaku dirinya profesor serta saintis dalam bidang perubatan menggunakan teknologi nuklear yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
HARIAN METRO
9 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : INSENTIF KHAS UNTUK GALAK DOKTOR PAKAR BERKHIDMAT DI PEDALAMAN


Antara inti pati penting terkandung di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu ialah ‘Mentransformasi Penjagaan Kesihatan Untuk Mempertingkat Kualiti dan Menyedia Aset Sejagat’. Menerusi proses transformasi itu, penjagaan kesihatan yang bertambah baik diharap akan menyumbang kepada tenaga kerja lebih produktif, yang juga teras menjadikan Malaysia sebagai tempat lebih baik untuk didiami. Dalam RMKe-10 itu juga, kerajaan mahu penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sekunder dan tertiari diperkukuh, manakala perkhidmatan penjagaan primer akan diperluas ke kawasan yang kurang mendapat liputan perkhidmatan. Untuk itu, kerajaan menyediakan Klinik 1Malaysia dan Inisiatif Klinik Bergerak 1Malaysia bagi memberikan perkhidmatan kesihatan asas yang pantas dan murah kepada golongan berpendapatan rendah. Langkah Kementerian Kesihatan mewajibkan doktor pakar berkhidmat di luar bandar dan pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak selama enam bulan sebelum dihantar bertugas di kawasan lain seperti dilaporkan akhbar ini kelmarin memperlihatkan kerajaan benar-benar mahu setiap rakyat menerima perkhidmatan perubatan terbaik dan pada masa sama dapat mengimbangi penempatan doktor di kedua-dua kawasan berkenaan. Kita percaya langkah itu selain meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan di pedalaman, ia juga memberi pengalaman dan pendedahan berharga kepada doktor pakar. Kesediaan mereka berkhidmat di mana saja, walaupun sudah bergelar pakar menaikkan imej profesion itu.

Oleh itu adalah wajar pengorbanan doktor pakar itu dihargai. Kerajaan patut menyediakan insentif perkhidmatan dan keistimewaan lain kerana bukan mudah bagi mereka mengharungi cabaran apabila berada di pedalaman. Selain berkemungkinan terpaksa bertugas lebih masa setiap hari merawat pesakit dan menempuh pelbagai dugaan seharian kerana kekurangan kemudahan infrastruktur, tidak mustahil mereka juga mudah mengalami tekanan emosi sehingga boleh menjejaskan perkhidmatan. Kita berharap kerajaan dapat menimbang mewujudkan insentif atau elaun tertentu kepada mereka yang dihantar bertugas di pedalaman sebagai tarikan untuk menabur bakti di sana. Pada masa sama, kita berharap tidak berlaku ‘pembaziran tenaga doktor pakar’ di kawasan tertentu jika nisbah jumlah pesakit yang mendapat rawatan di luar bandar lebih rendah berbanding di bandar. Kerajaan juga perlu membekalkan kelengkapan perubatan moden di hospital atau klinik tempat doktor terbabit bertugas bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan sebaik mungkin. Tanpa peralatan yang baik, matlamat menghantar mereka bertugas di pedalaman tidak mungkin tercapai.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
BERITA HARIAN
Ruangan Minda Pengarang
9 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : BERHATI-HATI DENGAN AGENDA NGO PRODEMOKRASI

Azmi Hassan
GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM 
dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Mungkin ramai masyarakat antarabangsa terpinga-pinga dengan keputusan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) Mesir untuk mengenakan tuduhan kesalahan jenayah ke atas 43 pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ia bertentangan dengan aspirasi revolusi rakyat yang mahukan Mesir ditadbir secara demokrasi. Menjadi kemusykilan adalah ke semua NGO tersebut sedikit sebanyak terlibat dalam usaha memperkenalkan demokrasi kepada rakyat Mesir dan secara dasarnya SCAF sepatutnya menerima baik kehadiran mereka. Menjadi lebih menarik lagi adalah 19 daripada yang dituduh terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat (AS) yang bertugas dengan empat NGO Amerika iaitu Institut Demokrat Kebangsaan (NDI), Institut Republikan Antarabangsa (IRI), Pusat Pemberita Antarabangsa (ICJ) dan Freedom House (FH). Tidak menghairankan jika tuduhan tersebut berlaku sama ada di Rusia, China atau Venezuela kerana beberapa NGO terutama sekali seperti NDI dan IRI dipandang serong tentang niat sebenar mereka menabur bakti demokrasi di negara asing.

Sememangnya kedua-dua NGO ini telah beroperasi di Mesir sejak dari era Hosni Mubarak lagi tetapi inilah kali pertama pekerja NGO tersebut dituduh melakukan kesalahan jenayah yang antara lain beroperasi tanpa permit dan membantu rakyat Mesir untuk kepentingan asing. Tuduhan kedua dianggap begitu sensitif kerana inti patinya ada kena-mengena dengan kegiatan subversif yang boleh menggugat kedaulatan sesebuah negara. Perlu ditekankan bahawa syak wasangka sebegini sebenarnya yang menjadi masalah utama dengan kehadiran NDI atau IRI di negara luar AS. Perlu diingatkan kembali pada tahun lepas beberapa parti politik dan NGO Malaysia telah disyaki ada menerima dana kewangan dari NDI dan IRI untuk menjalankan aktiviti harian mereka. Tindakan SCAF Mesir dianggap begitu terdesak kerana Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton telah memberi amaran bahawa bantuan ketenteraan AS$1.3 bilion dan ekonomi berjumlah AS$250 juta yang telah diperuntukan oleh Washington akan ditarik balik jika tuduhan tersebut tidak dibatalkan.

Jika kedua-dua bantuan tersebut ditarik balik, maka tentera Mesir bakal menerima kesan yang paling ketara kerana selama lebih dari tiga dekad organisasi tentera tersebut amat bergantung kepada dana Amerika. Untuk menyelami mengapa SCAF mengambil tindakan begitu drastik yang boleh memudaratkan diri sendiri adalah dengan meneliti agenda NDI dan IRI itu sendiri. Kedua-dua NGO tersebut mempunyai kaitan yang agak rapat dengan parti politik Demokrat dan Republikan AS dan sudah pastinya setiap agenda akan menjaga kepentingan Amerika. Tetapi apa yang lebih penting adalah kedua-dua NGO tersebut yang ditubuhkan pada 1980an oleh pentadbiran Presiden Ronald Reagan adalah untuk mengambil alih peranan aktiviti politik negara asing yang dipelopori oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA). Pada 1960an dan 70an agensi tersebut bergiat aktif untuk mewarnai suasana politik negara asing dengan memberi sogokan wang kepada ahli politik yang boleh dibeli. Setelah kegiatan CIA itu terbongkar, Reagan mengambil keputusan menubuhkan NDI dan IRI untuk melakukan tugas yang agak selari dengan CIA tetapi secara terbuka dan mengikut lunas undang-undang tempatan.

Kegiatan aktiviti demokrasi NDI dan IRI di Mesir bukan calang-calang kerana mereka mempunyai dana yang begitu lumayan untuk diagihkan kepada NGO lain di Mesir. Pada Mac lepas, Washington memperuntukan geran sebanyak AS$65 juta untuk NGO Mesir dan sebahagian besarnya adalah untuk NDI dan IRI. SCAF merasa begitu curiga terhadap kegiatan NDI dan IRI kerana begitu percaya ia boleh menggugat kestabilan Mesir. Sebabnya demonstrasi yang berterusan masih berlaku terutama sekali di Dataran Tahrir disyaki angkara dan dorongan kedua-dua NGO ini. Terdapat tuduhan bahawa operasi NDI dan IRI adalah begitu licik sehinggakan mampu mencetuskan huru-hara atau menjatuhkan sesebuah kerajaan negara asing. Tumbangnya pemerintahan Yugoslavia Slobodan Milosevic pada tahun 2000 disyaki didalangi oleh NDI dan IRI. Begitu juga dengan meletusnya Revolusi Mawar rakyat di Georgia pada 2003 dan Revolusi Orange rakyat Ukraine pada tahun berikutnya, ramai yang menuduh NDI dan IRI menjadi dalang di sebalik tabir. Sebab itu pada 2006, Presiden Rusia pada ketika itu Vladimir Putin memperkenalkan undang-undang mengekang NGO asing yang berkait dengan aktiviti demokrasi.

Ada yang menuduh tindakan SCAF adalah kerana pertembungan kuasa dengan kumpulan Ikhwan Muslimin yang mengusai sebahagian besar Parlimen Mesir. Mungkin SCAF ingin mempamerkan bahawa mereka tidak mengikut telunjuk Washington dan berani mengambil tindakan menongkah arus. Tetapi mungkin ada juga kebenaran kebimbangan SCAF terhadap aktiviti NDI dan IRI kerana di Mesir terdapat 69 NGO antarabangsa dan 23 daripadanya adalah berpengkalan di AS dan tindakan undang-undang hanya dikenakan pada empat NGO Amerika iaitu NDI, IRI, ICJ dan FH yang dikatakan beroperasi secara haram. Apa yang dilakukan oleh SCAF adalah mengikut lunas undang-undang Mesir dan sebab itu pekerja NGO tersebut bakal dibawa ke pengadilan mahkamah. Adalah begitu ironis sekali jika NDI dan IRI begitu gah dengan aktiviti demokrasi mereka tetapi menjalankan aktiviti mereka secara tidak sah di Mesir. Adalah begitu mengaibkan sekali jika NGO Amerika itu cuba memberi tunjuk ajar demokrasi kepada rakyat Mesir sedangkan pertubuhan tersebut langsung tidak menghormati kehendak undang-undang Mesir.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 FEBRUARI 2012