28 November 2010

ISU KESIHATAN : HOSPITAL SWASTA MESTI TELUS PERJELAS KOS RAWATAN KEPADA PESAKIT

CAJ rawatan hospital swasta yang tinggi bukan isu baru diketengahkan media, malah sebelum ini banyak rungutan dan aduan membabitkan caj tidak munasabah dipaparkan. Ketua Pengarah Kesihatan yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam jawapannya kepada wartawan Edisi Mingguan, FAIZA ZAINUDIN menjelaskan mengapa keadaan itu terjadi. 

Adakah benar dakwaan orang ramai mengenai caj rawatan dan ubat hospital swasta mahal, tidak munasabah dan melampau walaupun perkhidmatan tidak jauh berbeza dengan hospital kerajaan.  

Caj rawatan dan ubat di hospital swasta berbeza daripada caj hospital kerajaan antaranya kerana ketiadaan subsidi. Caj rawatan dan ubat hospital swasta juga boleh berbeza mengikut kemudahan disediakan, lokasi dan kepakaran. Secara amnya, bayaran profesional dikenakan doktor dikawal oleh Jadual Ke-13 kepada Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006. Caj lain hospital swasta ialah bayaran penginapan, sewa peralatan dan kemudahan seperti bilik bedah dan alat guna pakai atau pakai buang termasuk ubat yang belum dikawal buat masa ini. Antara Januari hingga Oktober lalu, Kementerian Kesihatan menerima 28 aduan mengenai caj melampau dikenakan pihak swasta dan semakan atau hasil siasatan ke atas semua aduan mendapati 16 atau 57.1 peratus daripadanya berasas. Kementerian juga mendapati 59.6 peratus aduan secara keseluruhannya membabitkan dakwaan caj melampau.  

Ada juga mendakwa hospital swasta memberi ubat atau produk kesihatan tambahan yang tidak perlu kepada pesakit dan menggunakan status pakar untuk menaikkan caj sedangkan yang merawat itu ialah doktor sambilan dari hospital kerajaan.  

Hospital swasta tidak berhak mengarah doktor yang merawat, memberi ubat atau produk kesihatan tambahan kepada pesakit. Preskripsi atau pemberian ubat adalah mengikut pertimbangan doktor bagi kepentingan pesakit dan berdasarkan etika profesional kedoktoran. Pemberian ubat tambahan yang tidak berkenaan atau polifarmasi adalah tidak perlu, malah boleh memudaratkan pesakit. Bayaran profesional dikenakan doktor yang merawat sama ada bertugas sepenuh masa di hospital swasta atau doktor sambilan mahupun lokum dari hospital kerajaan, hendaklah tidak melebihi apa yang diperuntukkan di bawah Jadual Ke-13 kepada Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.  

Apakah nisbah pesakit atau mereka yang ingin mendapat rawatan di hospital kerajaan berbanding hospital swasta.  

Kementerian tiada data bilangan atau nisbah pesakit yang ingin mendapat rawatan di hospital kerajaan berbanding hospital swasta. Bagaimanapun, pada 2009, kemasukan ke 130 hospital kerajaan (33,083 katil) adalah 2,130,784 atau 2.6 kali lebih banyak berbanding 828,399 kemasukan ke 209 hospital swasta (12,216 katil dan respons 97.1 peratus).   

Apakah faktor menyebabkan kos rawatan di hospital swasta tinggi. 

Antara faktor yang boleh menyebabkan kos rawatan di hospital swasta lebih mahal ialah kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi; kemudahan canggih dan terkini bertaraf lima bintang ke atas; bayaran tatacara perubatan atau pembedahan dipecahkan dan dikenakan bayaran berbeza; caj berganda; bil terperinci di mana setiap item digunakan, sewa peralatan dan kemudahan lain dikenakan caj berasingan; bayaran perkhidmatan seperti jururawat serta bayaran alat guna pakai atau pakai buang dan ubat yang lebih mahal atau berganda daripada harga pasaran. 

Apakah usaha kerajaan dalam meneliti atau memantau keadaan ini bagi mengawal caj perubatan yang dikenakan hospital swasta.

Dalam mengawal kadar caj perubatan hospital swasta, kerajaan mengambil inisiatif berikut; Memastikan hospital swasta mempamerkan pernyataan dasar mengenai tatacara bil perubatan dan hak pesakit untuk mendapat maklumat rawatan dan jagaan perubatan pesakit di bahagian yang mudah dilihat. Ini termasuk hak pesakit untuk mendapat maklumat mengenai caj dianggarkan bagi perkhidmatan yang lazim dikenakan dan juga caj yang tidak dijangka apabila diminta oleh pesakit sebelum jagaan atau rawatan dimulakan;
Memastikan hospital melaksana tatacara ketidakpuasan hati dengan memastikan semua ketidakpuasan hati termasuk aduan mengenai caj hospital yang melampau dikendalikan dengan baik; Menugaskan satu unit mengendali ketidakpuasan hati daripada semua pihak mengenai kemudahan dan perkhidmatan termasuk aduan mengenai caj melampau; Mengadakan perbincangan awal untuk mengawal beberapa bayaran dikenakan hospital swasta selain bayaran profesional; dan  Menggalakkan hospital swasta memberi sumbangan sosial dan kebajikan termasuk menyediakan dana khas untuk pesakit atau memberikan diskaun bagi bayaran keseluruhan yang dikenakan ke atas pesakit. 

Bagaimana perkembangan perbincangan menyeluruh dengan semua pemilik hospital swasta negara ini berhubung kos perubatan yang dikatakan terlalu tinggi. 

Beberapa perbincangan dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) yang mewakili sebahagian besar hospital swasta yang dilesenkan dijalankan sejak awal pelantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Kesihatan. Kali terakhir perbincangan diadakan pada Jun lalu dengan APHM diminta merangka jadual bayaran bagi mengawal beberapa komponen caj hospital selain bayaran profesional. Langkah juga sedang diambil untuk menyemak semula Jadual Ke-13 bagi memastikan bayaran profesional yang boleh dikenakan oleh doktor tidak disalah tafsir atau disalah guna bagi mengelak caj berlebihan.  

Apakah usaha pesakit sebagai pengguna dalam usaha mendapat penjagaan kesihatan yang berkualiti. 

Selain inisiatif yang diambil pihak kerajaan dalam mengawal caj hospital swasta, setiap pesakit juga mesti mengetahui hak mereka. Pesakit digalak berbincang secara terperinci dengan doktor mengenai jangkaan kos dan prosedur yang akan dijalankan termasuk kos rawatan di unit jagaan intensif (ICU) atau unit jagaan koronari (CCU) jika berlaku komplikasi. Pastikan pesakit, jika pencarum premium, tahu mengenai kelayakan insurans yang ditandatangani seperti had siling liputan insurans serta kriteria insurans. Selain itu, pesakit perlu tahu tahap kemampuan membayar dan perlu bertanya caj dianggarkan bagi perkhidmatan jagaan kesihatan yang akan diberikan.

ISU KESIHATAN : SKIM BIAYA KESIHATAN NASIONAL PERLU ADIL

 
Isu caj hospital swasta yang tinggi hangat diperkatakan semula ekoran kenyataan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bahawa kos perubatan yang tinggi di hospital swasta adalah punca utama mendorong seseorang berhutang bank dan menggunakan kad kredit sehingga melebihi kemampuannya. Sejak itu, pelbagai pihak mula membicarakan semula mengenai caj hospital, termasuk Kementerian Kesihatan, yang mengatakan akan mengkaji semula caj itu dengan mewujudkan satu garis panduan khusus mengenai caj hospital kerajaan. Kenyataan seperti ini sering diutarakan oleh kementerian apabila timbulnya isu caj hospital yang tinggi ini. Tetapi apabila isu ini reda diperkatakan, cadangan mengenai garis panduan itu juga hilang begitu saja.

Malah, caj hospital swasta adalah antara aduan yang sering diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), iaitu bahagian aduan FOMCA. Hampir 50 aduan diterima NCCC setiap bulan mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan, yang sebahagian besarnya berkaitan caj hospital swasta yang tidak munasabah. Aduan lain ialah pengendalian pesakit yang kurang profesional, kecuaian doktor dan pegawai hospital, maklumat perubatan tidak jelas dan sebagainya. Aduan ini bukan saja terhadap hospital swasta, malah juga hospital kerajaan dan antara masalah sering berlaku adalah masa menunggu rawatan yang lama, kurangnya doktor pakar, layanan kurang mesra dan sebagainya. Perkhidmatan penjagaan kesihatan adalah hak pengguna untuk mendapatkan keperluan asas. Semua orang berhak menikmati kemudahan penjagaan kesihatan tanpa mengira kedudukan. Cuma yang membezakan ialah keselesaan diperoleh ketika proses rawatan itu.

Jika mereka ingin mendapat keselesaan di samping menjalani rawatan, maka mereka perlulah membayarnya. Namun dari segi kepakaran dan kelengkapan perubatan, tidak sewajarnya wujud standard yang berbeza. Profesion perubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dianggap sebagai perkhidmatan yang mulia kerana membantu menyembuhkan penyakit. Jika rawatan tidak diberikan, kemungkinan akan berlaku kematian. Namun, kini perkhidmatan penjagaan kesihatan dianggap sebagai `lubuk wang’, seolah-olah `penyakit’ menjadi sebagai bahan dagangan. Syarikat pula berlumba-lumba memasuki industri ini kerana ia memberi laba besar kepada syarikat dan pemegang sahamnya. Caj hospital swasta yang tinggi ini juga menjadikan ia hanya boleh dinikmati golongan berada, kakitangan syarikat atau agensi kerajaan yang mempunyai hospital panel atau yang mempunyai insurans kesihatan.

Bagi yang tidak berkemampuan, mereka tidak dapat menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh hospital swasta, walaupun hanya hospital itu saja yang mempunyai kepakaran dan kemudahan untuk merawat penyakit yang mereka hadapi. Caj hospital swasta tidak dikawal oleh kerajaan. Hanya caj rawatan klinik swasta saja yang mempunyai garis panduan ditetapkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Perkhidmatan hospital dan pusat perubatan swasta, dikawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998. Mengikut akta ini, iaitu fasal 106 (1) Jadual Fi, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk menetapkan jadual Fi bagi kemudahan atau perkhidmatan jagaan kesihatan swasta. Namun ini masih belum dilakukan. Dengan timbulnya pertikaian mengenai caj hospital yang tinggi ini, sewajarnya Menteri Kesihatan menggunakan kuasanya untuk mewujudkan satu garis panduan bagi caj rawatan. Ini bagi menentukan kaedah caj yang boleh dikenakan termasuk juga makluman lebih awal anggaran caj yang akan dikenakan sebelum mendapat rawatan.

Apa yang diamalkan pada masa ini ialah, pesakit hanya mengetahui jumlah caj selepas menjalani rawatan. Ini menyebabkan mereka berasa terkejut apabila mendapati caj yang dikenakan terlalu tinggi. Ada juga aduan mengatakan peralatan di dalam bilik seperti kerusi dan meja turut dikenakan caj. Untuk membayar caj yang tinggi itu, ada yang terpaksa berhutang atau membayar menggunakan kad kredit. Keadaan inilah yang berlaku berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit. Penambahbaikan terhadap kepakaran dan kemudahan di hospital awam perlu sentiasa dilakukan agar perkhidmatan kepakaran dan kemudahan perubatan disediakan setanding dengan hospital swasta. Kepakaran, peralatan dan teknologi perubatan sentiasa dikemas kini mengikut perubahan semasa dan penularan penyakit. Selain itu, usaha mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional perlu diteruskan dengan jaminan bahawa pelaksanaannya dibuat secara telus dan tulus, tidak wujud ketirisan sehingga akhirnya membebankan rakyat.

Apabila dilaksanakan nanti, mereka yang mencarum mengikuti skim ini boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta atau hospital kerajaan dengan dibiayai Lembaga Pembiayaan Kesihatan Nasional. Kewujudan hospital yang berasaskan kebajikan perlu diperluaskan seperti dilaksanakan oleh Perbadanan Johor melalui Waqaf An-Nur Corporation Berhad. Waqaf An-Nur sudah mewujudkan rangkaian klinik, pusat dialisis dan hospital yang memberi rawatan perubatan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Kos operasi klinik, pusat dialisis dan hospital ini dibiayai beberapa organisasi kerajaan dan swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat mereka. Sistem penyampaian hospital kerajaan dan swasta juga perlu diberikan perhatian. Pada 1 Mac 1993, FOMCA, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sudah melancarkan Piagam Pesakit, dengan disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu.

Piagam Pesakit memperincikan hak dan tanggungjawab pesakit apabila mendapat rawatan di klinik dan hospital. Ia diwujudkan dengan tujuan supaya dipamerkan di klinik dan hospital untuk makluman pengguna. Namun sehingga kini Piagam Pesakit masih belum mencapai matlamatnya kerana kurangnya sokongan daripada pihak berkaitan, khususnya Kementerian Kesihatan sendiri. Perkhidmatan penjagaan kesihatan tidak sewajarnya dilihat daripada aspek keuntungan semata-mata, sebaliknya sebagai profesion yang mulia demi kesejahteraan hidup manusia.

Oleh Mohd. Yusof Abdul Rahman
Pengarah Komunikasi Kumpulan, 
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Berita Minggu
28 November 2010

ISU SOSIAL : USAH BIAR PENDERA KANAK-KANAK BERMAHARAJALELA


Pada awal tahun ini, seorang kanak-kanak Malaysia menemui ajalnya terlalu awal. Beliau meninggal dunia bukan kerana sakit atau kemalangan, sebaliknya disebabkan kecederaan otak, perut dan buah pinggang, gara-gara salah laku penjaganya, iaitu seorang yang sepatutnya boleh percayai sebagai tempat bergantung. Berdasarkan bedah siasat, didapati ada luka dan kesan lebam pada keseluruhan badan mangsa yang menunjukkan kanak-kanak itu didera berkali-kali. Ini bukan kes terpencil.   Merujuk statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, kes penderaan semakin meningkat malah kekerapan penderaan berlaku pada kadar purata tujuh kanak-kanak setiap hari di Malaysia. Malangnya, jumlah ini hanya kes yang dilaporkan. Ramai lagi kanak-kanak yang berselindung di sebalik angka itu dan jika kes mereka dilaporkan, besar berkemungkinan ia sudah pun terlambat. 

Mampukah kita mencegah penderaan ini daripada berlaku? Ya, saya yakin kita mampu. Bagi mencapai matlamat ini, semua lapisan masyarakat harus sedar penderaan kanak-kanak adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dan harus bersedia untuk mengambil tindakan dan campur tangan jika perlu. Dalam kes kanak-kanak ini, ada beberapa orang sudah menyaksikan mangsa didera berhampiran rumahnya. Tiada siapa yang ambil peduli. Saya tidak percaya mereka menganggap perbuatan itu sebagai sesuatu yang boleh diterima. Masih ada keraguan di kalangan masyarakat untuk mentafsir apa yang dilihat dan bagaimana untuk bertindak dan campur tangan secara positif bagi membantu kanak-kanak itu. Jika mereka tahu cara bertindak, nyawa anak kecil ini mungkin masih boleh diselamatkan. 

Ada mekanisme yang dapat menyokong tindakan itu. Polis dan agensi kerajaan dilatih untuk menangani kes ini. Laporan serta-merta membolehkan sekumpulan penguat kuasa undang-undang menyelamatkan anak kecil itu daripada terus didera dan dalam kes ini, mangsa meninggal dunia. Campur tangan pihak berkuasa bergantung kepada keprihatinan keluarga, jiran dan orang awam bagi memastikan penderaan kanak-kanak dihentikan sebelum terlambat. Selaras Konvensyen Hak Kanak-Kanak, Malaysia sudah memperkenalkan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk menjamin perlindungan mereka. Dengan rang undang-undang ini, pendera bukan saja boleh disabit atas perbuatannya malah identiti pengadu dijamin akan dilindungi di bawah undang-undang.

Tidak ketinggalan, Childline Malaysia, satu inisiatif masyarakat umum sudah bergabung tenaga dengan kerajaan untuk menghasilkan talian khas, 15999, membolehkan orang awam dan kanak-kanak membuat panggilan bagi mendapatkan nasihat atau aduan mengenai penderaan. Sangat penting untuk meningkatkan kepekaan dalam komuniti supaya menggunakan khidmat yang disediakan dan kesedaran bahawa mereka dapat membawa perubahan. Sebagai ahli masyarakat, kita harus memperkasakan pengetahuan mengenai penderaan kanak-kanak dan melaksanakan tanggungjawab sebagai individu atau secara berkumpulan untuk menghentikannya. Untuk membuka peluang ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyediakan laman web, www.uniteagainstabuse.my.

Sesiapa saja boleh mengetahui lebih lanjut mengenai isu dan apa yang boleh dilakukan untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan. Laman web ini sebahagian daripada kempen Get On Board oleh UNICEF untuk menggalak masyarakat bertindak dan bertanggungjawab terhadap kanak-kanak di sekeliling mereka sama ada di dalam rumah, keluarga atau dalam komuniti. Kita memainkan peranan penting, walaupun ia semudah bersuara untuk menunjukkan yang anda mengambil berat atau dengan membuat panggilan meminta bantuan. Kempen Get On Board jelas sekali melihat cabaran yang dilalui ibu bapa dalam membesarkan anak dan menyediakan jaringan bagi perkhidmatan khas yang disediakan kerajaan bagi membantu mengatasi masalah tekanan dalam memenuhi tanggungjawab sebagai ibu bapa.

UNICEF juga memohon setiap komuniti menyediakan aktiviti sokongan bagi ibu bapa untuk menangani masalah ini. Sifat masyarakat yang sentiasa berubah, antaranya murung dan menyendiri, tekanan ekonomi, perceraian, hilang pekerjaan dan kemiskinan antara faktor yang mendorong kepada sikap pendera. Dengan memfokus usaha untuk menstabilkan keluarga dan menyediakan sokongan untuk kesihatan pembangunan kanak-kanak secara kolektif menyediakan persekitaran yang dapat mengurangkan kebarangkalian berlaku penderaan kanak-kanak. Setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran selamat dan dilindungi daripada segala jenis penderaan, sama ada dalam bentuk fizikal, seksual atau pengabaian. Persekitaran ini mungkin terlaksana jika masyarakat bersatu menegakkan hak asasi kanak-kanak, bercakap mengenai keganasan secara terbuka dan membela hak perlindungan untuk mereka.

Sementara kerajaan bertanggungjawab dalam merealisasikan Konvensyen Hak Kanak-Kanak, ibu bapa dan penjaga lain seperti guru, kakitangan kesihatan, pemimpin belia dan kanak-kanak sendiri mempunyai peranan yang amat penting untuk melindungi hak ini Kanak-kanak terlalu muda yang tidak berupaya untuk melaporkan penderaan atau kanak-kanak lebih tua yang takut kepada pendera seharusnya boleh bergantung kepada orang lain untuk mengambil tindakan. Apa yang dilihat melalui statistik, kes yang dilaporkan hanya memberi gambaran kecil mengenai realiti penderaan kanak-kanak di Malaysia. Kita perlu lebih maklumat. Kajian secara mendalam amat diperlukan untuk membantu kerajaan menentukan tahap untuk dijadikan ukuran bagi membendung penderaan kanak-kanak.

Data daripada kajian ini juga akan dijadikan asas bagi mengawasi sikap pendera terhadap kanak-kanak pada masa depan dan pendekatan masyarakat terhadapnya. Campur tangan berasaskan bukti ini sama pentingnya dengan intervensi individu oleh ahli keluarga dan komuniti. Kita tidak boleh menunggu untuk lebih ramai lagi kanak-kanak meninggal dunia atau disakiti sepanjang hayat. Kita harus bersedia untuk mengambil tindakan dan sikap mendiamkan diri ini perlu dihentikan. Saya menyeru masyarakat Malaysia untuk bersama kami, berganding bahu untuk menghentikan terus penderaan terhadap kanak-kanak.



Oleh Hans Olsen
Penulis ialah Wakil UNICEF di Malaysia
Berita Harian
28 November 2010

ISU EKONOMI : EKONOMI MELAYU PERLU BERSIFAT STRATEGIK


Dalam tempoh 53 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memberi impak yang besar kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Jangan dinafikan kemajuan yang dicapai. Hidup kita lebih selesa. Pada tahun 2009, pendapatan bulanan purata isi rumah bumiputera ialah RM3,624.

Benar, dari segi jumlah masih lebih rendah dari bangsa Cina (RM5,011) dan India (RM3,999). Ini bukan bererti kita lemah. Jangan salah tafsir data purata ekonomi ini. Bumiputra merupakan komposisi terbesar dan begitu tersebar sifatnya. Yang lebih penting walaupun komposisi kita besar, dalam tempoh lima tahun yang lepas (2004-2009), berbanding bangsa lain, pertumbuhan tahunan purata pendapatan bumiputera mencatat kadar tertinggi iaitu enam peratus (China: 2.5 peratus dan India:3.0 peratus). Ini petanda yang amat baik menuju ke arah keserataan nilai.

DEB serampang bermata dua. Yang pertama jelas kemajuannya. Pada tahun 2009 kadar kemiskinan ialah 3.8 peratus jauh menurun dari lebih dari 50 peratus awal 70-an. Usaha membasmi kemiskinan perlu diteruskan. Perhatian dan tenaga kita perlu dikerah pada yang mata yang kedua, perihal struktur dan penguasaan kek ekonomi rakyat Malaysia.

Agenda ekonomi Melayu perlu bersifat strategik. Keberhasilan apa jua langkah memajukan ekonomi orang Melayu perlu menuju ke matlamat akhir yang sama iaitu mencapai kedudukan ekonomi yang mantap dan lestari, mempunyai organiknya yang tersendiri untuk terus mengukuh. Dengan pencapaian ini kita perlu secara teratur dan dan terancang berani melepaskan tongkat polisi afirmatif kerajaan tanpa menjejaskan apa yang telah dicapai. Polisi afirmatif jangan dibuang langsung tetapi digunakan sebagai jaringan keselamatan bagi yang memerlukan. Untuk menjadi strategik dan membenih sifat organik, agenda ekonomi Melayu perlu mensasarkan kepada 3P: Penyertaan, Pemilikan, dan Penguasaan.

Konsep 3P mesti berlaku serentak. Setiap elemen 'P' saling bergantung antara satu sama lain bagi mewujudkan kekuatan ekonomi yang mantap. Pencapaian kita hari ini tidak strategik. Sebagai contoh (merujuk pada takrifan Bumiputera): Tahun 2006: Sekitar 68 peratus daripada operator mesin adalah Bumiputera tetapi sebaliknya hanya 19 peratus daripada ketua pegawai eksekutif (CEO) merupakan individu Bumiputera. Tahun 2008: Sekitar 25 peratus daripada akauntan adalah Bumiputera tetapi hanya 7 peratus akauntan bertauliah terdiri daripada individu Bumiputera.

Menyertai tanpa memiliki tidak menjamin kelestarian. Ramai orang Melayu menyertai sektor perniagaan tetapi dalam tahun 2007 hanya 16 peratus daripada bangunan dan empat peratus daripada premis perindustrian dimiliki Bumiputera. Pemilikan yang rendah menggugat penyertaan yang berpanjangan. Penyertaan dan Pemilikan juga masih belum mencukupi. Kita perlu penguasaan iaitu kita menjadi pemain utama dalam sektor yang strategik.

Pemilikan perlu strategik. Pemilikan yang banyak tetapi kecil setiap satu akan tewas pada bilangan yang kecil tetapi besar kuasa pasarannya. Kita semua sedia maklum bahawa Bumiputera banyak menyertai sektor pembinaan dan memiliki lesen kontraktor Kelas F tetapi siapa yang menguasai sektor pembinaan? Penguasaan mesti di bentuk dalam setiap peringkat rantaian pengeluaran. Inilah penguasaan strategik. Inisiatif mewujudkan rantaian ekonomi Bumiputera yang kukuh perlu disegerakan.

Data yang digunakan di atas mungkin berubah sedikit hari ini tetapi ia jelas memberi gambaran sejauh mana pencapaian kemajuan kita mampu bertahan. Kita ada pencapaian tetapi tidak strategik. Sifat organik yang menjamin pengukuhan ekonomi yang berpanjangan memerlukan kita meningkatkan Penyertaan pada setiap peringkat perjawatan (khususnya jawatan pertengahan dan atasan) dalam sektor strategik yang kita ada pemilikan yang tinggi dan penguasaan yang besar.

Mesti ada badan yang bertanggungjawab secara khusus mengumpul data, mengukur dan melapor pencapaian ekonomi orang Melayu secara tuntas. Kita perlu mengukur dan menilai pencapaian orang Melayu secara strategik tidak boleh tangkap muat sahaja. Model pelaksanaan berdasarkan keberhasilan.

Bagaimana untuk mencapai 3P? Model pelaksanaan yang efektif perlu dibentuk. Pada hemat saya, model logik berdasarkan keberhasilan (outcome-based model) ala NKRA yang disarankan oleh Perdana Menteri amat bersesuaian. Penumpuan ke atas keberhasilan memastikan kita mengambil kira beberapa bidang keberhasilan utama yang dianggap 'mesti' dicapai bagi memastikan kita berjaya bergerak ke destinasi pencapaian yang kita semua persetujui. Pelaksanaan tidak boleh berdasarkan urutan. Mesti serentak. Sebuah kereta hanya mampu bergerak kalau keempat-empat tayarnya dipasang serentak. Tidak boleh satu-satu.

Agenda ekonomi Melayu perlu digerakkan secara sistematik umpama seekor labah-labah berkaki lapan. 

Mingguan Malaysia
28 November 2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...