Guru yang memiliki seni mengajar sentiasa menghidupkan susana dengan keikhlasannya memegang amanah yang terpikul di bahu kerana dia tahu rezeki mengajar itulah yang digunakan untuk membiayai hidup diri dan keluarga. Dia sedar jika dia ingkar dengan amanah dia akan disoal dan terpaksa menjawab di penghakiman nanti. Guru seperti ini mengenali murid-muridnya bukan sahaja hanya pada nama dan tingkah laku malahan alamat tempat tinggal mereka pun dihafalnya. Murid yang tidur dibangunkan. Yang nakal dijinakkan. Yang malas selalu dipesan. Yang cuai selalu dibetulkan. Yang suka bercakap kosong dimatangkan. Yang selalu ponteng disekolahkan. Buruk bertukar baik. Baik bertukar cemerlang. Cemerlang terjana gemilang. Hal ini dikatakan demikian kerana seni mengajar yang dimilikinya mampu melembutan kedegilan dan membijaksanakan kebodohan.
Seni mengajar ini dapat dikuasai oleh sesiapapun guru asalkan rajin menuntut ilmu dan rajin berkongsi ilmu. Seni mengajar ini boleh diasah dan ditambah seiring dengan perkembangan semasa dunia pendidikan dan teknologi. Walau bagaimanapun, jika kita leka menjamah media sosial dan randau kosong dengan rakan-rakan kita mungkin tertinggal untuk dikurniakan seni mengajar oleh-Nya. Oleh sebab itu, biarpun berpuluh-puluh tahun mengajar masih ramai guru yang teraba-raba membaca buku apabila mengajar subjek yang sama. Dia tidak dikurniakan nikmat mengajar! Senario ini berlaku di mana-mana dan melibatkan ramai guru. Puncanya, mereka masih belum memahami tugas hakiki diri dengan rasa yang mendalam, menyelam tidak sampai ke dasar!
Hakikatnya, guru yang benar-benar menguasai seni megajar sentiasa menikmat keseronokan mengajar. Dia tidak akan mengeluh dan mempersoalkan itu ini dengan lantang. Dia susah telalu dewasa untuk bersikap seperti kebudak-budakan. Guru yang memiliki seni mengajar, kehadirannya sentiasa dirasai, pemergiaannya selalu dirindui, kehilangannya sentiasa dicari. Sentuhannya seperti sentuhan ibu yang melahirkan. Nasihatnya persis amanat ayah yang membesarkan. Berdoalah kita agar dikurniakan nikmat menguasai seni mengajar agar kehadiran kita ke sesebuah sekolah akan dirasai. Jangan sampai datang tidak dijemput, pindah pun tiada ribut kasih yang bertiup. Ada ketikanya kita perlu buat refleksi, apakah aku ini seorang guru yang baik? Jika mahu tahu jawapannya, edarkan kertas kosong kepada semua rakan sejawat dan murid kelas yang diajar, suruh mereka tulis 3 perkataan untuk menggambarkan tentang diri kita. Jangan pula terasa melihat jawapan mereka, ambilkan itu sebagai ikhtibar kerana kita sedia maklum, kita tidak dapat mengubah diri hanya dengan melihat cermin. Kita harus bercerminkan mata asli orang yang banyak mengharapkan kita menunjuk ajar mereka.