JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Februari 2011

ISU SOSIAL : RAKYAT MALAYSIA SECARA PURATANYA HANYA MEMBACA DUA BUAH BUKU SAHAJA DALAM SETAHUN


Usaha melestarikan kecemerlangan sektor pendidikan negara bukan hanya memerlukan kewibawaan dalam melahirkan golongan bijak pandai malah merangkumi kepelbagaian aspek lain. Ukuran pencapaian bukan saja diukur melalui kejayaan mengeluarkan pensyarah atau graduan berstatus cemerlang, malah dinilai melalui aspek penghasilan bahan bacaan ilmiah. Sayangnya, penghasilan bahan bacaan ilmiah yang dianggap tulang belakang dalam proses pembudayaan ilmu itu masih gagal menepati cita rasa masyarakat yang lebih selesa dengan bahan bacaan ringan serta dianggap mampu merehatkan minda. Ini sekali gus bagai membenarkan tanggapan bahawa bahan bacaan ini memang tidak mampu dikomersialkan, namun dihasilkan bagi memenuhi tanggungjawab golongan tertentu semata-mata.

Persoalannya, mengapakah sukar menembusi minat masyarakat dan warga institusi pengajian tinggi, walhal kandungannya cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kepentingan wacana pengembangan ilmu berteraskan pendidikan sepanjang hayat. Pakar psikologi kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Sulaiman Selamat berkata, kecenderungan mahasiswa dan generasi muda memilih bahan bacaan ringan kerana terdedah dengan budaya generasi baru yang dilahirkan dalam persekitaran mudah, mewah, pantas dan selesa. Menurutnya, budaya ini menjadikan mereka generasi malas berfikir, kurang berilmu dan hanya memberi fokus pada pendidikan berorentasikan akademik dan peperiksaan semata-mata. Inilah timbal balas daripada arus kemodenan dan peralihan zaman yang memperlihatkan semua aspek hanya ditangani secara mudah dan tanpa inisiatif. Hasilnya, banyak perlu dikorbankan termasuk ilmu pengetahuan. Budaya membaca di kalangan masyarakat sangat rendah.

Bayangkan, jika membaca bahan berbentuk ringan pun tiada minat, bagaimana pula bahan ilmiah? Senario ini membimbangkan, apatah lagi sebahagian besarnya adalah golongan muda yang tentunya terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Jika kurang membaca, apakah lagi aspek yang boleh dijadikan taruhan? Berdasarkan kajian dilakukan Perpustakaan Negara pada 2005, secara purata keseluruhan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding purata sebelum ini dua halaman buku setahun , terendah antara negara di Asia. Dalam hal ini, rakyat India mendominasi dengan 35, Thailand (25) dan Indonesia (18). Dari situ, kita dapat melihat bagaimana penerimaan masyarakat terhadap aktiviti membaca. Jadi bagaimana ingin melonjakkan diri menjadi masyarakat berilmu jika aktiviti mudah ini sukar dilaksanakan? Pengarah Penerbit UTM Press, Profesor Hishamuddin Jamaluddin berkata, bahan bacaan ilmiah bukanlah menjadi kegemaran kerana fokus utama yang disasarkan lebih menjurus kepada keperluan pemprosesan ilmu berbentuk serius dan terhad.

Secara amnya, mereka lebih menggemari bahan berbentuk ringan dan santai kerana proses pemahaman maklumat menjadi lebih mudah, selain tidak memerlukan ketelitian mendalam bagi memahami fakta. Tidak hairanlah, bahan ilmiah sukar menembusi permintaan pasaran berbanding bahan bacaan lain kerana 'sifatnya' yang sangat serius, padat serta banyak membabitkan fakta saintifik. Jika diberi pilihan, ramai menolak bahan bacaan ilmiah kerana tidak mahu membebankan otak dengan penjanaan maklumat sangat kompleks. Namun tidak boleh salahkan mereka kerana pilihan di tangan individu. Cuma menyedihkan bahan ini seperti terpinggir jika dibandingkan dengan bahan lain berbentuk picisan. Bahan bacaan ilmiah cukup menguji kemampuan intelek seseorang selain menaikkan prestij pengetahuan ke tahap lebih baik.  Lambakan bahan ilmiah di pasaran kian membimbangkan golongan intelektual kerana bukan saja permintaan berkurangan malah merencatkan industri penulisan subjek kritikal kerana tumpuan lebih diberikan kepada bahan bacaan yang mampu menjana pulangan lumayan.

Dengan kata lain, bahan ilmiah sukar dikomersialkan, sekali gus menghadapi masalah lambakan di pasaran mahupun pengeluaran terhad kerana permintaan yang sedikit. Suatu ketika, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengehadkan cetakan buku untuk sesuatu tajuk kepada 1,000 hingga 3,000 naskhah saja berbanding 3,000 hingga 5,000 naskhah pada era 80-an. Mengulas mengenai kelesuan minat dan permintaan, beliau mengakui tiadanya daya tarikan terhadap kandungan mahupun cara susun atur selain penggunaan bahasa Inggeris sebagai antara faktor penyumbang terbesar. Bagaimanapun, katanya, faktor itu sukar dielak kerana penghasilan bahan bercetak berkenaan dibuat atas sasaran membudayakan peningkatan ilmu secara profesional, berilmiah dan fokus. Buku ilmiah memang membosankan, terlalu profesional dan korporat. Namun, itulah identitinya serta sukar dielak kerana tujuan ia diterbitkan untuk membudaya wacana ilmu serta meningkatkan daya intelek individu. Bagaimana boleh dikatakan ilmiah jika penyampaiannya dilakukan secara santai? Itu tidak akan mencapai matlamat penulisannya selain akan memporak-perandakan proses pengembangan ilmu yang berpaksikan fakta serta penyelidikan.

Mesti ada perbezaan, cuma kehendak masyarakat suka kepada buku berbentuk ringan mengehadkan penjualan dan permintaan biarpun susun aturnya menarik. Budaya masyarakat tempatan yang sukar membaca menjadikan bahan ilmiah semakin terpinggir, ditambah pula tanggapan hanya untuk golongan 'pandai'. Kebanyakannya pula dalam bahasa Inggeris. Masyarakat menjadikannya alasan untuk menolak sedangkan kini banyak bahan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hakikatnya, kita belum terbuka berbanding masyarakat antarabangsa yang sentiasa teruja dan terdedah dengan pelbagai bahan bacaan berat. Namun, mengatakan kita langsung tidak suka, itu tidak benar tetapi jumlahnya kecil. Bahan ilmiah berkaitan pertanian, landskap dan reka cipta dan perubatan sentiasa dicari. Mungkin kerana mudah difahami, bergambar atau lama di pasaran menjadikannya diterima dalam lingkungan masyarakat termasuk sebagai bahan rujukan. Usaha lebih padu perlu dilakukan bagi menjadikan bahan ilmiah diterima selain mendidik masyarakat jangan terlalu taksub pada bahan picisan," katanya.

INFO

PERANGKAAN 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun berbanding 180,000 judul di China, 116,000 (United Kingdom), 60,000 (Amerika Syarikat) dan 45,000 (India).

Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun itu, hanya 1,273 atau 32 peratus bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.

KINI kebanyakan institusi pengajian tinggi awam mempunyai bahagian penerbitannya sendiri selaras usaha memperkaya dan memperbanyakkan lagi penerbitan bahan berbentuk ilmiah kepada masyarakat. Antaranya Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

OLEH :
Ruhaiza Rusmin
HARIAN METRO

ISU KENEGARAAN : ALANGKAH HINANYA PEMIMPIN APABILA DIBENCI DAN DIKEJI OLEH RAKYAT SENDIRI


Apabila disebut tentang Mesir, salah satu tamadun paling lama di dunia, umum mungkin akan mengenang monumen-monumen popular seperti piramid Giza dan Sphinx, universiti Islam paling lama dan terkenal, Universiti Al-Azhar, bandar bersejarah Memphis dan banyak lagi. Mesir juga selama ini mempunyai nama baik sebagai sebuah negara yang aman dan stabil daripada semua aspek, termasuk politik. Tetapi siapa sangka, negara contoh seperti Mesir itu sebenarnya menyembunyikan imej sebenar apabila isi huninya tidak berpuas hati dengan kepimpinan negara itu. Ia kini mempunyai wajah yang berbeza. Imej Mesir sekarang bukan sahaja dicela dengan demonstrasi jalanan dan darurat, malah telah mengakibatkan pelbagai jenis perhubungan telekomunikasi tersekat serta pelbagai sumber mendedahkan bahawa ibu negara Mesir, Kaherah berada dalam keadaan membahayakan. Kesemua hiruk-pikuk yang wujud ini bukanlah terhadap sesuatu organisasi, parti politik atau tanda protes terhadap sesuatu negara.

Ia sebenanrnya merupakan serangan secara langsung oleh penduduk-penduduk Mesir yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan presiden mereka, Hosni Mubarak. Memegang tonggak kepimpinan nombor satu negara itu sejak 30 tahun yang lalu adalah satu tempoh yang sangat lama. Hosni, 82, terlalu kukuh atau berdegil dengan mengekalkan kuasa yang dipegang sejak tahun 1981 berikutan pembunuhan presiden sebelum itu, Anwar Sadat. Anwar Sadat yang mati dibunuh dalam satu acara perbarisan tentera memperingati Israel Arab, telah diganti oleh Hosni yang ketika itu berkhidmat dalam Tentera Udara Mesir dan Naib Presiden pada tahun 1975 di bawah Anwar. Hosni dilahirkan pada 4 Mei 1928 di Kafr-El-Meselha selepas tamat sekolah tinggi dan menyertai Akademi Militer Mesir, di mana beliau menerima Darjah Sarjana Muda dalam Sains Ketenteraan pada 1949. Pada tahun berikutnya, Hosni menyertai Akademi Tentera Udara Mesir dan akhirnya mendapat Sarjana Muda Sains Penerbangan dan di tugaskan dalam skuadron pengebom.

Selepas itu, Hosni diterima masuk ke sekolah latihan juruterbang Kean, Moscow dan sebaik menyempurnakan latihannya itu, Hosni menjadi pegawai Tentera Udara Mesir dan diberi mandat berkhidmat sebagai juruterbang dan naik pangkat menjadi panglima markas. Kerjaya tentera udara beliau sampai kemuncaknya pada 1972 apabila menjadi Komander Tentera Udara. Beliau kemudian mengahwini wanita kacukan berdarah Barat, Suzanne dan mempunyai dua orang anak lelaki, Alaa dan Gamal Hosni Mubarak. Media melaporkan Alaa dan Gamal dipercayai sejak sekian lama dipersiapkan sebagai pengganti Hosni kelak. Hosni mempunyai personaliti tersendiri apabila sering diibaratkan sebagai pemimpin Arab yang berkawan rapat dengan kuasa besar Barat, Washington selama berdekad-dekad tahun. Ekoran keakraban itu, beliau juga pernah beberapa kali menjadi sasaran pembunuhan kumpulan tertentu yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau. Namun, selepas 30 tahun memegang tampuk kuasa Mesir, 25 Januari lalu menjadi tarikh keramat rakyat Mesir bangun menentang Hosni.

Bermula dengan puluhan ribu, demonstrasi di seluruh negara dengan pusat utamanya terletak di Dataran Tahriri bertukar ngeri apabila limpahan penunjuk perasaan melonjakkan sehingga angka lebih 300,000. Ia dikatakan bakal bertambah satu juta orang sebagaimana yang diumumkan sejak awal. Yang pasti, demonstrasi itu kini bertukar rusuhan berdarah apabila pertembungan berlaku antara penyokong Hosni dan anti-Hosni. Pada hari kelapan dilaporkan seramai 300 nyawa terkorban manakala 3,000 lain tercedera. “Perubahan kuasa akan dilakukan secara aman.” Demikian kenyataan Hosni merujuk kepada hari-hari awal demonstrasi yang sebenarnya tidak membawa apa-apa erti. HOSNI tetap berdegil untuk meneruskan karier politiknya sehingga pilihan raya pada bulan September 2011, walaupun diminta meninggalkan jawatan itu segera oleh rakyat dan sekutunya sendiri, Amerika Syarikat. Berita-berita melaporkan ketegangan yang berpusat di ibu kota Mesir, Kaherah telah berkembang ke beberapa tempat di luar Kaherah dan ia semakin membahayakan orang awam termasuk lebih 14,000 warga Malaysia yang berada di sana.

Walaupun sebelum ini Hosni yang pernah dirujuk sebagai firaun moden Mesir, berjaya menyelamatkan diri daripada enam percubaan bunuh, namun, kebangkitan rakyat mungkin akan menjatuhkannya. Kebangkitan rakyat bukan sekadar melampaui sejarah silam terhadap ketidakpuasan yang ditunjukkan terhadap Hosni selama ini malah, menyebabkan dua sekutu kuatnya juga membuat langkah menjauhkan diri daripadanya. Pada 31 Januari, tenteranya mengumumkan tidak akan mencederakan peserta demonstrasi aman dan pada 1 Februari, Presiden Amerika, Barrack Obama menghantar maklumat melalui dutanya meminta Hosni supaya tidak menunggu pilihan raya. Bagaimanapun Hosni tetap nekad dengan keputusannya untuk menamatkan penggal pemerintahan sehingga September ini. “Saya akan berkhidmat ke arah bulan-bulan terakhir ini untuk membolehkan peralihan kuasa secara aman (dapat diadakan). “Ini tanah air saya... saya tinggal di sini, saya berjuang bagi negara ini dan saya mempertahankan negara ini, kedaulatan dan kepentingan negara ini.

“Di bumi ini, saya akan mati. Sejarah akan menilai saya dan kita semua,” ungkap Hosni. Hosni, presiden paling lama di Mesir sejak sistem beraja digulingkan pada tahun 1950-an. Dia juga satu-satunya pemimpin Arab yang terus mengekalkan kedamaian dengan Israel dan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dilihat pernah bertindak menahan dan memenjara pengkritik, menghapuskan parti pembangkang serta mengatur pilihan raya. Di sebalik ketidakhirauan orang awam, kemarahan terhadap pemimpin ini terus berkembang selari dengan keadaan ekonomi yang semakin lumpuh. Penunjuk perasaan menggunakan kemudahan Internet secara optimum untuk menjalan dan merancang demonstrasi. Mereka juga mendapat motivasi daripada pergerakan yang dilakukan di Tunisia, yang dilakukan sebulan sebelum berjaya mengguling tampuk pemerintahan 23 tahun pemerintah autokratik, Zine El-Abidine Ben Ali. Salah guna kuasa, korupsi dan penindasan hak asasi menjadikan orang awam Mesir bangkit secara besar-besaran.

Dalam pada itu Kosmo! yang sempat menemu bual wartawan akhbar Al-Ahram Weekly, Rasha Sadek melalui laman sesawang sosial diberitahu, keadaan penduduk di sana masih dalam stabil dan mereka baru memperoleh sambungan rangkaian Internet. “Beberapa hari yang lalu banyak pertubuhan politik dan awam yang memberikan pelbagai berita untuk kami terus aktif melapor keadaan huru-hara, rompakan, gangsterisme dan kecurian yang menjadi isu sebenar bagi orang awam di rumah. Kami membentuk satu jawatankuasa awam untuk melindungi rumah, aset dan harta benda. “Ia satu pengalaman yang baik. Saya bangga dengannya, Saya berpendapat apa yang berlaku di Mesir sebagai satu revolusi yang paling pantas dan berjaya untuk dinikmati. Ia mengambil masa 29 hari bagi Tunisia tetapi, hanya seminggu untuk kami bersatu dan berdemonstrasi secara besar-besaran.” “Media memberikan fokus terhadap apa yang berlaku. Bebas dan adil. Tetapi ia tidak akan berakhir. 

Apabila berlaku pembentukan kuasa, kita akan menghadapi lebih banyak peraturan,” jelas Rasha ketika dihubungi menerusi laman Facebook yang baru dibuka semula pada Rabu, lalu. Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Pengajian Strategik, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rashila Ramli, berkata, secara umumnya pemerintahan yang mengambil tempoh masa yang lama, semestinya memberikan satu persepsi yang tidak menyenangkan rakyat. “Ini kerana, pemerintahan yang lama akan ada elemen-elemen kekurangan praktis demokrasi. Mengikut penyelidikan, penggal sesuatu pemerintahan adalah selama enam tahun atau lapan tahun bagi dua penggal. Ada sebab mengapa ia dihadkan sebegitu. Ini kerana lebih lama seseorang memerintah, unsur pemerintahan yang tidak baik boleh wujud dan kepekaan kepada kehendak rakyat mungkin pudar,” ulas beliau.

SUMBER
HARIAN KOSMO
04 FEBRUARI 2011