JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Februari 2012

ISU UMUM : "3.7 JUTA YANG MENAKUTKAN"

Oleh ZULKIFLI JALIL


Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh lagi mengharapkan parti-parti politik, agensi kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan pengundi baru. Ini apa lagi untuk memujuk kalangan orang Melayu mendaftar diri. Bukan niat untuk memperkecil atau memperlekehkan komitmen parti, agensi atau suruhanjaya berkenaan, tetapi kalau dilihat daripada 3.7 juta orang yang layak mendaftar namun tidak berbuat demikian, kita semua maklum majoriti hampir 2 juta ialah orang Melayu. Untuk orang Melayu, pihak yang akan pergi kepada mereka dalam memujuk termasuk merayu supaya mendaftar tidak lagi boleh bersandarkan kaedah lama - 'anda kena mengundi untuk negara atau di manalah tanggungjawab anda'. Tidak, tidak lagi pendekatan cara itu. Sebaliknya, mereka kenalah menerjah kedai-kedai kopi, restoran, khutbah-khutbah Jumaat dengan menggunakan saluran-saluran NGO, Jawatankuasa Kawalan dan Keselamatan Kampung atau apa sahajalah cara yang melibatkan sentuhan dari hati ke hati untuk menggesa mereka mendaftar. Sebab - realitinya politik masa depan Malaysia banyak bergantung kepada orang Melayu, lantaran bilangan mereka sudah melebihi 54 peratus.

Namun malang sekali, sikap sebilangan besar orang Melayu dikesan tidak ambil peduli tentang kepentingan mendaftar sebagai pengundi apabila mencapai usia 21 tahun atau lebih. Padahal mendaftar sebagai pengundi hanya mengambil masa kurang dari 15 minit. Apatah lagi kali ini meskipun bilangan orang Melayu sudah melebihi 54 peratus tadi namun kaum itu berpecah pula kepada UMNO, Pas dan PKR. Dalam aluran ini, Melayu kena wajib berfikir secara tuntas kalau terus mahu mengepalai kepimpinan kerajaan di negara ini. Antara yang turut risau dengan sikap longlai lesu orang Melayu bila tiba 'bab mendaftar ini' ialah Mohd. Jurit Ramli yang mengetuai Gabungan NGO Malaysia (GNM) selaku setiausahanya. Beliau mengirimkan coretan menerusi SMS kepada penulis, yang katanya perlu direnung-renungkan oleh orang Melayu. "Orang Melayu Islam yang tidak mengundi menanggung dosa dan perlu bertanggungjawab atas sebarang kehilangan kuasa orang Melayu dan sebarang penghinaan terhadap Islam apabila orang Melayu kehilangan kuasa politik.

"Ini disebabkan 3 juta orang Melayu yang belum berdaftar, maka seluruh orang Melayu harus bertanggungjawab memberi penjelasan kepada setiap orang Melayu yang tidak mengundi. Rayu dan jelaskanlah kepada mereka," kata Mohd. Jurit yang juga bekas anggota MALBATT yang pernah bertugas di Bosnia Herzegovina dalam kancah perang Balkan pada era 1990-an. Hakikatnya, kalau diimbas balik kenyataan Pengerusi SPR tempoh hari tentang pendedahannya bahawa sebahagian besar orang Melayu yang layak tetapi enggan mendaftar - memang menakutkan. Alasan terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga tiada masa untuk mendaftar dan lebih teruk dan dangkal lagi 'tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu undi' memang agak sukar untuk diterima rasionalnya. Jika secara sinis dan kritis, kita boleh sebutkan di sini kepada orang Melayu tentang real politik dan keadaan politik semasa negara yang memang menyaksikan orang Melayu semacam cemas, bimbang dan keliru dengan politik semasa. Kerana itu, orang Melayu harus insaf, sedar tentang masa depan yang tidak menentu dan di kala pecahan parti-parti Melayu ketika ini yang dibimbangi akhirnya akan gagal mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu dan agama.

Dan walaupun politik di negara ini sedang merangka pembaharuan atau transformasi, namun kematangan politik dilihat masih pada tahap yang rendah. Dengan jelas lagi - ia masih lagi berada dalam kerangka politik perkauman. Apabila melihat perkembangan parti tertentu mengatur sokongan kaum Cina termasuk dikatakan berlaku 'penghijrahan atau sebenarnya pemindahan besar-besaran pengundi ke Selangor', maka jelaslah 'mereka' masih berpaksikan kepada politik perkauman yang dimanipulasikan sebagai demokrasi total. Sedangkan BN atau UMNO dikatakan masih terikat kepada perjuangan realiti untuk mengubah negara dengan kemajuan yang lebih pesat. "Sehingga hari ini, dominan Cina dalam politik semakin terserlah. Kehadiran parti berkenaan dikatakan sudah diterima dan mereka telah dikatakan sebagai pejuang kaum yang lebih signifikan daripada parti-parti komponen dalam BN sendiri," kata seorang pemerhati kepada penulis. Kata pemerhati itu lagi: "Banyak petunjuk telah ada. Memberi mereka apa yang mereka mahu tidak menjamin sokongan. Dan toleransi Melayu dilihat pula masih di tahap tertinggi dan sanggup sekali lagi akur kepada kehendak.

"Dengan parti terbabit yang semakin jelas membawa sentimen perkauman dan mendapat sokongan kaum Cina, maka BN perlu segera mencari formula bagi mengaut kembali sokongan khususnya orang Melayu bagi mengimbangi sokongan menyeluruh kaum Cina terhadap parti berkenaan." Realitinya, orang Melayu masih belum terlambat untuk mendaftar diri sebagai pengundi. Tetapi anda kenalah 'bergerak terus ke pejabat pos' mulai pagi ini. Berdasarkan rekod terkini SPR, dianggarkan kira-kira 300,000 berdaftar sebagai pengundi baru termasuk menukar alamat bermastautin dalam setiap suku tahun. Namun itu bukan bermakna apabila mereka berdaftar, terus serentak atau sekali gus disahkan untuk menjadi pengundi pada PRU13. Dan katakanlah Parlimen dibubarkan sekitar bulan depan atau April ini untuk memberi laluan kepada PRU-13, maka mereka yang mendaftar dalam suku keempat 2011 akan menjadi pengundi yang paling bernasib baik untuk menentukan pucuk kepimpinan negara masa depan. Tetapi bagi 300,000 orang yang baru berbuat demikian pada Januari, bulan ini dan Mac depan, 'alamatnya wasalamlah'.

Sebabnya, apabila habis pendaftaran dalam tiga bulan ini, nama mereka hanya boleh dipamerkan pada Mei dan pada hujung bulan itu sahaja, senarai nama berkenaan akan disahkan sebagai pemilih berdaftar. Itupun kalau bernasib baik jika nama tidak ada dalam proses bantahan. Dalam erti kata lain, mereka yang baru mendaftar dalam bulan ini (Januari), memerlukan sekurang-kurangnya lima bulan setengah, yakni pada Jun nanti untuk disahkan sebagai pengundi. Jadi, janganlah kata tidak ada makluman mengenai perkara ini atau sememangnya sengaja tidak mahu cari maklumat. Kalau tiba-tiba Parlimen dibubarkan, jangan nak membising pula. Realitinya juga, lagi dekat 'tarikh' PRU13, akan lagi banyak proses bantahan terhadap daftar pemilih. Meskipun tarikhnya itu masih belum pasti, namun daftar pemilih mutakhir suku keempat 2011 dan daftar pemilih suku pertama 2012 kini menjadi tumpuan parti-parti politik dan orang ramai di seluruh negara. Ingatan mengenai peri pentingnya mendaftar sebagai mengundi oleh setiap warganegara telah diperingkatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata beliau, kegagalan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi secara langsung telah menafikan hak mereka untuk terlibat dalam proses demokrasi negara. Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana hak mengundi adalah satu keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan negara dan semua rakyat wajar menggunakan hak tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini penting supaya golongan terbabit tidak ketinggalan untuk turut sama mencorak kerajaan serta menentukan parti yang bakal memerintah pada pilihan raya umum akan datang. Mohd. Jurit semalam menutup SMSnya dengan kata-kata: "Wahai ketua keluarga, ibu bapa, ketua kampung, ketua jabatan, polis dan tentera, kedai kopi, surau, masjid dan khutbah. "Ini (mendaftar sebagai pengundi) tuntutan amanah. Janganlah diharapkan apa-apa bayaran tetapi haraplah ganjaran pahala di atas usaha ini. Berjihad ke jalan Allah."

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 FEBRUARI 2012

ISU SOSIAL : BERDAKWAH MELALUI FILEM

Oleh MANSOR PUTEH


Ia bukan sebuah pesta filem antarabangsa yang sebarangan. Tidak mengikut corak yang diguna oleh penganjur pesta filem antarabangsa lain. Ia adalah pesta filem yang paling besar dan berprestij di seluruh dunia Islam. Malangnya, Pesta Filem Antarabangsa Fajr yang sudah menjangkau 30 tahun Februari lalu seperti tidak menghargai penerbitan filem-filem tempatan, iaitu dari Malaysia. Kurang sangat filem Melayu yang dijemput menyertainya walaupun bukan untuk pertandingan tetapi tayangan biasa. Tahun ini cuma sebuah dokumentari saya sahaja yang dijemput, sedangkan pada tahun sebelum ini boleh dikira filem yang diterima. Masalahnya, kebanyakan filem Melayu yang diterbit sejak kebangkitan pertumbuhan perusahaan industri filem Melayu atau Malaysia tidak menepati hukum syarak. Di Iran penerbitan filem tidak terlepas dari hukum ini; dan ia bukan seperti di negara yang mengaku Islam lain yang mengendahkannya. Mereka anggap filem adalah filem. Di Iran filem bukan filem kalau ia tidak ada unsur dakwah atau pengajaran bukan sahaja dari segi agama tetapi dari segi akhlak dan keperibadian.

Malangnya, atau yang sedihnya, inilah yang membuat banyak filem dari Iran diterima oleh pesta filem antarabangsa di Barat. Sedangkan filem-filem dari negara Islam lain yang tidak mempamerkan nilai ini tidak dianggap penting. Kebetulan pula semasa di Tehran dari Januari dan Februari lalu tersiar berita sebuah filem Iran berjudul, 'A Separation' mendapat pencalonan filem asing terbaik oleh Anugerah Akademi yang memberi Oskar. Ia mungkin filem Iran pertama yang mendapat pengiktirafan ini setelah beberapa buah filemnya yang lain kecundang. Tetapi tidak menghairankan pula ada anggapan maupun tohmahan yang mengecam filem ini yang dikatakan tidak mengangkat nilai Islam yang baik; maka itu ia disenangi pula oleh pihak Anugerah Akademi di Los Angeles . Tidak menghairankan pula filem ini tidak dipilih oleh pesta filem Cannes tetapi Berlin yang memberinya anugerah filem terbaik. Jadi apa yang baik di Cannes atau mana-mana pesta filem antarabangsa itu, tidak semestinya baik untuk pesta filem lain yang bersaing, yang sengaja atau dengan tidak sengaja tidak mahu beri pengiktirafan kepada filem yang diberi anugerah oleh pesta filem pesaing untuk menyatakan sesuatu.

Sebagai peserta dan pelawat ke pesta filem Fajr saya sempat bergaul dengan ramai pengarah filem, pengkritik dan pengarah filem dari banyak negara yang mengambil bahagian dalam pesta filem Fajr ini. Ia dibahagikan kepada filem asing yang mana malam anugerahnya berlangsung pada 6 Februari dan bahagian tempatan untuk filem Iran sahaja pada 11 Februari lalu. Pemenang filem tempatan diberi trofi dan sijil dan setiap mereka juga menerima sebuah kereta tempatan berjenama Saba yang diletak sederet di luar Dewan Vahdat. Sudah 30 kali pesta filem Fajr dilangsungkan dan setiap tahun mereka mendapat ratusan filem yang dihantar seluruh dunia. Tahun ini sahaja mereka terima 553 filem yang mana cuma 60 buah filem, termasuk satu sahaja dari Malaysia . Acara sampingan diadakan adalah tayangan. Dan peserta yang dijemput menonton enam buah filem setiap hari yang ditayang di dewan di Menara Milad yang terletak satu jam dari Hotel Parsian Azadi di mana tetamu diletakkan sepanjang pesta filem itu.

Tidak tahu pula bila filem dari Malaysia disenangi oleh penganjur pesta filem Fajr, sama ada yang akhirnya mendapat pengiktirafan darinya sebelum ada pengarah mahu berangan-angan membawa balik Oscar yang kini merupakan angan-angan Mat Jenin bagi hampir semua pengarah filem tempatan. Tetapi tidak mengapa, sehingga ini berlaku, sekurang-kurangnya pihak penganjur secara tidak langsung memberi penghargaan dengan menjemput seorang dari Malaysia untuk menjadi ahli juri bagi bahagian filem-filem negara Islam, iaitu Dato Mahyiddin Mustakim, bekas Ketua Pengarah Finas. Beliau beserta dengan pelakon terkenal dari Indonesia, Christine Hakim yang pernah menjadi juri di beberapa pesta filem di Eropah. Terdapat juga wakil dari Pejabat Presiden Republik Timor-Leste, iaitu Jose Turquel yang menyertai pesta filem Fajr ini untuk mencari pandangan dan idea sebab negara beliau dijangka akan menganjur sebuah pesta filem pertama mereka lewat Ogos depan.

Sebenarnya Pesta Filem Fajr bukan sebuah pesta filem kecil; mereka menjemput ratusan peserta dari banyak negara seluruh dunia dan filem yang dipilih juga sering dijemput ke pesta filem lain. Cuma yang berbezanya pesta filem ini dengan yang lain adalah ia tidak disaluti dengan glamor. Pelakon dan pengarah tidak berlagak. Mereka tidak berpakaian yang menjolok mata dan penuh bergaya. Pelakon bergaul dengan khalayak sama seperti biasa. Dan tidak pula ada liputan meluas sebelum, semasa atau selepas pesta filem ini.Ini disebabkan pembuat filem di Iran sibuk; mereka tidak ada masa untuk dibuang begitu sahaja. Adakah apa yang dapat pengarah filem dari Malaysia belajar dari pengarah filem di Iran? Tentu sekali. Malangnya, suatu usaha tidak pernah dilakukan untuk merapatkan perhubungan dan menjalinkan kerjasama di antara pengarah filem kedua buah negara. Pernah pengarah terkenal mereka Majid Majidi dan pelakon terkenal mereka, Fatemah Mohammed-Aria berkunjung ke Finas. Malangnya, kehadiran mereka tidak disambut dengan mesra oleh penggiat filem di Malaysia; jadi kunjungan adalah cuma lawatan biasa. Kebetulan pula beberapa bulan lalu, pelakon Fatemah mendapat penghargaan khas dari pesta filem Austria . Dan tidak tahu berapa ramai pengarah dan pelakon filem dari Iran yang mendapat penghargaan dari seluruh dunia. Untuk mengetahuinya, kita perlu membuat lawatan ke Museum of Cinema di mana semua trofi yang dimenangi oleh penggiat mereka disimpan untuk tatapan khalayak ramai.

Ramai beranggapan bahawa dasar politik Barat tidak selari dengan dasar dipegang oleh masyarakat awam di Barat juga yang tidak menaruh sebarang kesangsian terhadap Iran mahupun rakyat dan agama Islam. Yang menjadi mainan politik antarabangsa tidak lain dari pengaruh lobi Zionis di Amerika. Kalau tidak kenapa filem dari Iran masih boleh mendapat pencalonan Oscar untuk filem asing terbaik dalam keadaan dimana Amerika dan kuncu-kuncunya mahu mempersenda negara Iran dengan mengugut untuk menyerangnya? Tentu sekali ada peranan sinema Iran yang telah memainkan tempat yang berkesan untuk membuat pihak masyarakat awam di barat tidak berfikir seperti pemimpin politik mereka yang telah berjaya merubah pandangan mereka terhadap Iran dan juga Islam. Malangnya, usaha atau tanggungjawab ini hanya dibebankan kepada sebuah negara Islam iaitu Iran, sedangkan negara Islam lain hanya berpeluk tubuh tidak tahu guna 'senjata' filem ini untuk berdakwah dan merubah pandangan mereka di Barat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 FEBRUARI 2012

ISU SOSIAL : HARI KEKASIH MENGUNDANG DOSA

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN


Entah di mana silapnya, masih ada remaja Islam yang menunggu-nunggu kedatangan 14 Februari setiap tahun untuk meraikan Hari Kekasih atau Valentine's Day. Walhal sudah terang lagi bersuluh bahawa perayaan sedemikian haram disambut oleh umat Islam. Majoriti tokoh agama menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Hari Kekasih adalah bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Akidah dan Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Malangnya, tahap iman yang nipis di kalangan remaja Islam menyebabkan mereka terpedaya dan termakan hasutan syaitan sehinggakan amat gembira menyambut Hari Kekasih. Dalam bab meniru perbuatan kaum terutama yang bukan Islam, ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka". (riwayat Abu Daud) Ringkas cerita, golongan begini masih tidak yakin akan janji Allah tentang seksaan api neraka bagi golongan yang membantah dan mengingkari perintah Allah. Islam memang menggalakkan umatnya berkasih sayang. Namun, Islam menyediakan garis panduan dalam berbuat demikian. Yang jelas, sambutan Hari Kekasih tidak termasuk dalam senarai tersebut. Dengan yang demikian, orang mukmin akan berusaha agar tidak terperangkap atau terpedaya dengan sebarang tipu muslihat ke arah itu.

Kasih sayang yang diajar oleh Islam itu sifatnya suci. Ia membawa umatnya kepada lebih mendekatkan diri kepada Allah. Bukannya mendorong kepada perbuatan maksiat atas nama cinta. Kalau diperincikan, sambutan Hari Kekasih mendorong kepada hal yang berikut iaitu memandang wanita yang tidak halal baginya. Apabila memandang timbul keinginan syahwat untuk menyentuh wanita yang bukan mahram, berkhalwat dan berpacaran (couple). Adegan-adegan ini kemudiannya 'dihangatkan' lagi oleh syaitan sehingga berakhir dengan perbuatan zina. Kononnya sebagai membuktikan rasa kasih sayang antara pasangan tersebut. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan. (riwayat Muslim) Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang di antara lelaki dan perempuan tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir.

Sebaliknya, ia perlu diikat dengan ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan. Lelaki yang bergelar suami apabila kasihkan isteri dan anak-anaknya sanggup melakukan pelbagai cara untuk menyelamatkan mereka daripada kesulitan dan kepayahan hidup. Inilah perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka. (at-Tahrim: 6) Malangnya, tidak ramai suami dan juga bapa yang mampu melakukan hal yang serupa untuk menyelamatkan ahli keluarganya daripada azab api neraka yang pasti menimpa golongan yang mengingkari perintah Allah. Mereka gagal melihat kaitan antara perbuatan di dunia dengan balasan di akhirat. Ini antara lain akibat tidak yakin dengan azab neraka Allah.

Ibu bapa yang reda membenarkan anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan berdua-duaan menyambut Hari Kekasih secara tidak langsung tidak sayang kepada anak-anak. Bagi anak-anak yang barangkali 'rimas' dengan leteran ibu bapa kerana menghalang mereka menyambut Hari Kekasih, ingatlah hidup di dunia ini hanya sementara sedangkan kehidupan di akhirat itu adalah abadi. Apa yang kita lakukan sama hayat ini adalah pelaburan yang akan kita nikmati dividennya di akhirat. Justeru, jangan disia-siakan umur yang Allah kurniakan kepada kita. Jangan kerana keseronokan selama satu dua jam bersama pasangan kekasih menyebabkan kita diseksa dan diazab selama beratus-ratus tahun lamanya dalam neraka Allah kelak. Lebih teruk lagi, jika membawa kepada zina, bayangkan nasib malang yang bakal menimpa diri dan anak tersebut.

Sudahlah 'ibu bapa' anak zina itu tidak sah nasabnya - bermakna status anak itu dengan 'ibu bapa' tadi adalah seperti orang biasa. Mereka bukan mahram, 'bapanya' tidak boleh mewalikan anak perempuannya, tidak boleh mewarisi harta dan akan menghadapi tekanan emosi yang amat hebat untuk berdepan dengan masyarakat kelak. Untuk itu, marilah kita bersama-sama berusaha membanteras budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ia supaya umat Islam dan generasi muda kita khususnya tidak membesar dengan amalan-amalan yang sengaja diada-adakan oleh musuh-musuh Islam. Sebagai ibu bapa, inilah antara masa dan peluang bagi kita menyelamatkan anak-anak daripada terus dihanyutkan oleh kehidupan yang melalaikan. Ingatlah, hanya anak-anak yang soleh akan mendoakan kita selepas kematian kita kelak.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 FEBRUARI 2012