Saya
dapat merasai pegalaman semua guru tetapi semua guru mungkin tidak dapat
menikmati pengalaman seperti saya. Sepanjang tempoh 26 tahun berkhidmat saya
pernah mengajar tingkatan peralihan hingga tingkatan enam. Hari ini saya mahu
berkongsi pengalaman mengajar Tingkatan 1A8 di sekolah pertama tempat saya
mengajar Kelas 1A8 ini kelas khas untuk
pelajar elit dari SJKC yang masuk ke Tingkatan 1 (Tahun 2000 - 2005). Saiz
kelas ini biasanya besar, iaitu melebihi 35 orang. Saya bukan bangga diri tetapi
guru yang terpilih mengajar kelas ini mesti dalam kalangan guru yang komited
dan mampu mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dengan cemerlang. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar
kelas ini bukan calang-calang pelajar, mereka cemerlang dari segi akademik dan
sahsiah.
Saya
pula ditugaskan mengajar dua subjek di kelas ini iaitu Bahasa Melayu dan
Sejarah. Semasa saya mengajar saya keadaan kelas sungguh sunyi ibarat sebatang
pen jatuh ke lantai pun boleh dengar. Pelajar semua menumpukan perhatian dan
mencatat nota sendiri. Cabaran pertama ialah saya perlu belajar perkara yang
hendak diajar untuk menunjukkan bahawa saya lebih tahu daripada pelajar. Setiap
malam saya akan belajar dahulu topik-topik yang hendak diajar dan mencari
maklumat tambahan tentang topik itu. Sebilangan pelajar kelas ini sudah membaca
terlebih dahulu atau sudah diajar oleh guru tuisyen di luar tentang perkara
yang hendak saya ajar. Jika penyampaian saya salah, pelajar akan menegur. Saya
paling takut kalau ditegur oleh pelajar sendiri. Jadi, saya sentiasa bersedia.
Majoriti
pelajar yang berada dalam kelas ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik
tetapi mereka juga anak orang berada. Walau bagaimanapun, sahsiah mereka
amatlah baik. Ya Allah, jika hendak memadamkan papan hitam pun mereka tunduk
minta kebenaran. Jika berjumpa di jalan, semasa sedang makan mereka akan
sembunyikan makanan ke belakang dan tunduk hormat serta ucapkan salam. Saya
masih ingat ada seorang pelajar yang menjadi ketua kelas itu, sekarang dia
jurutera di Petronas (Pelajar Tajaan Petronas) begitu komited dan berdedikasi
walaupun masih di Tingkatan 1. Walaupun dia dari SJKC, cara dia bercakap dalam
bahasa Melayu amat mengagumkan. Seorang lagi pelajar yang saya tidak akan lupa,
kalau disuruh membaca, cara bacaannya seperti pembaca berita sebenar! Dia kini
menjadi pensyarah di salah sebuah universiti.
Saya
melihat anak orang kaya yang benar-benar kaya ini tidak menunjuk-nunjuk. Mereka
hidup macam pelajar biasa. Sopan santun mengalahkan anak-anak orang
biasa-biasa. Saya dulu disukai oleh seorang pelajar yang merupakan anak tunggal
kepada seorang ahli perniagaan. Pelajar itu selalu ajak saya menonton wayang
sebab emak dia hanya benarkan kalau dia keluar dengan guru. Dia membonceng
motosikal saya pergi ke mana-mana pada hujung minggu. Selepas Tingkatan 2 dia
dan keluarganya telah berhijrah ke New Zealand. Kami masih berhubung sehingga
tahun 2010, mungkin kini dia telah berkahwin dan bekerjaya.
Saya
banyak belajar tentang kehidupan daripada pelajar-pelajar saya sendiri. Saya
asalnya anak pedalaman yang miskin dan tiada apa-apa sedangkan pelajar-pelajar
saya sudah menjelajah seluruh dunia dalam usia belasan tahun. Saya baru
mengenali jenama John Master pada usia mencecah 25 tahun manakala
pelajar-pelajar saya sudah memakai kasut Micheal Jordan pada usia 13 tahun.
Pengalaman mengajar kelas 1A8 menjadikan saya lebih matang dan lebih
berpengalaman untuk meningkatkan kualiti diri sebagai guru. Saya tidak pernah
menganggap diri saya guru yang serba tahu justeru saya sentiasa berhati-hati
dalam mendidik kerana saya tahu kesilapan yang dilihat boleh mencacatkan
kepercayaan mereka. Majoriti pelajar kelas ini melanjutkan pelajaran ke luar
negara dan bekerja di sana selepas menamatkan alam persekolahan di Tingkatan 5.
Mereka lebih berjaya daripada saya.