JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Oktober 2012

ISU GLOBAL : ANTARA BARACK OBAMA DAN MITT ROMNEY


Rencana ini ditulis oleh :
ZIN MAHMUD


Setelah debat kedua Rabu lalu antara presiden bertahan, Barack Obama dengan pencabarnya, Mitt Romney, maka dinilai bahawa 46 peratus memberi kemenangan pada Obama, sementara Romney meraih 39 peratus. ini adalah angka CNN/ORC International. Dalam debat pertama pada 3 Oktober lalu Romney meraih 60 peratus sokongan. Debat akhir akan berlangsung 22 Oktober ini dengan fokus pada dasar luar. Pilihan raya Presiden akan berlangsung pada 6 November di mana persaingan antara Obama dan Romney ini disifatkan sebagai sengit. Tiga debat ini bukanlah acara kempen pilihan raya yang muktamad menjangkakan siapa akan menang. Sebaik saja debat kedua ini, Obama pergi ke Iowa dan Ohio, dengan naibnya, Joe Biden pergi berkempen di Colorado dan Nevada. Romney pula pergi ke Virginia, sementara rakan regunya, calon naib presiden Paul Ryan berkempen di Ohio.

Tempat-tempat ini adalah kritikal bagi mereka dan secara keseluruhan boleh menentukan hasil pilihan raya. Seperti di mana-mana sistem politik di dunia, penyokong tegar wujud di kedua-dua belah pihak. Penyokong kuat Obama akan tetap memberi undi kepada presiden itu walau apa pun hasil kempen itu. Begitu juga dengan penyokong Romney. Obama dilihat sebagai seorang kulit hitam yang mewakili aspirasi golongan sederhana dan susah. Tetapi di pihak penentangnya, mereka gemar mengaitkan beliau sebagai orang yang mempunyai darah keturunan Muslim, walaupun beliau jelas taat mengamalkan Kristian. Di samping itu, beliau dikatakan mempunyai fahaman sosialisme, suatu tuduhan sinis di Amerika Syarikat yang tegas mengamalkan sistem kapitalisme.

Romney pula dilihat sebagai seorang kulit putih yang mewakili aspirasi golongan mewah dan kelas menengah. Beliau beragama Mormon dan bukannya Kristian. Tetapi Romney sebagai seorang yang kaya dan berjaya dalam perniagaan dilihat mampu memperbaiki keadaan ekonomi negara dengan dokongan golongan jutawan Amerika. Di sini dapatlah dilihat bahawa Obama dan Romney seperti dalam tradisi politik Amerika mewakili dua paksi ideologi di negara itu, iaitu liberalisme dan konservatif. Di Amerika, tidak seperti di Eropah, sayap kiri politik dipanggil liberal, tetapi yang kanan tetap disebut sebagai konservatif. Maka mereka yang berpegang teguh pada fahaman ini akan menyokong calon-calon yang mewakilinya tanpa mengira siapa.

Fahaman politik ini diwakili oleh dua parti utama Amerika iaitu Demokratik dan Republikan. Maka penyokong tegar kedua-dua parti tetap menyokong calon yang dipilih oleh parti masing-masing juga tanpa dikira siapa. Namun banyak pengundi Amerika, walaupun mempunyai fahaman tertentu atau menyokong mana-mana parti akan membuat penilaian tentang kemampuan calon presiden untuk memimpin negara dan menyelesaikan masalah mereka, terutamanya ekonomi. Memang ekonomi amat penting lebih-lebih ketika ini di mana Amerika menghadapi keadaan ekonomi yang tidak mantap. Justeru bukan dikira fahaman atau parti tetapi siapa yang mampu membuat dasar yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi Amerika, paling jelas sekarang adalah soal pengangguran.

Memihak

Cara Obama memimpin dapat dinilai sejak empat tahun lalu. Prestasinya dianggap sederhana kalau tidakpun gagal. Tetapi banyak pihak tidak mahu menyalahkan Obama kerana sistem dan keadaan Amerika yang ada sekarang adalah warisan daripada presiden terdahulu, George W. Bush di samping penguasaan Parti Republikan di Kongres. kuasa yang dipegang oleh Obama bukannya mutlak. Sistem demokrasi Amerika yang menjadikannya demikian. Namun, kepimpinan dan dasar Obama boleh dilihat lebih berjaya daripada Bush. Lebih-lebih lagi masalah ekonomi yang melanda Amerika dilihat adalah warisan Bush. Walaupun pengangguran masih menjadi masalah tetapi banyak dasar Obama, seperti mana fahaman liberalisme dan Parti Demokratik adalah memihak kepada rakyat pertengahan dan bawah.

Tetapi Romney berhujahkan mengenai keberkesanan kepimpinan dan dasar Obama. Dalam debat kedua itu, Romney kata Obama pandai berkata-kata tetapi dasarnya tidak berkesan. Menurutnya, kalau rakyat Amerika hanya menghendaki yang seperti selama empat tahun lalu, maka pilihlah Obama. Tetapi rakyat Amerika tidak perlu terus menerima keadaan sederhana itu. Mereka boleh memilih cara lain. Untuk itu Romney menawarkan caranya untuk memperbaiki pertumbuhan ekonomi Amerika. Dasarnya ialah mengutamakan pertumbuhan kelas menengah. Di sinilah perbezaan pendirian Obama dengan Romney yang tercermin daripada ideologi liberal dan konservatif mereka. Obama, para liberal dan ahli Demokratik mahu pekerja-pekerja biasa diperkasakan. Apabila mereka berjaya, maka negara juga akan meningkatkan prestasi ekonomi.

Di sebalik dasar ini ialah mengenakan cukai tinggi pada golongan berpendapatan lebih tinggi. Dana yang diperoleh inilah yang hendak digunakan untuk memperkasakan golongan sederhana dan rendah supaya mendapat pekerjaan atau berdikari di samping kehidupan mereka terlindung, termasuk dari segi kesihatan dan peluang pendidikan. Tetapi bagi Romney, golongan konservatif dan Parti Republikan, cara ini tidak akan berkesan. Bagi mereka, mengenakan cukai tinggi kepada golongan kaya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Ini kerana golongan kaya yang memimpin syarikat dan perusahaan akan terjejas dana mereka untuk berkembang akibat cukai ini. Jika perusahaan kurang berkembang, maka peluang pekerjaan tidak akan bertambah dan pastinya pengangguran pun berterusan. Apa yang diperjuangkan oleh Romney pasti disukai oleh golongan kaya. Mereka pasti tidak gemar pendapatan mereka dicukai oleh negara.

Romney sememangnya calon bagi orang tersangat kaya. Tetapi golongan tersangat kaya hanyalah satu peratus daripada penduduk. Sedangkan 99 peratus adalah golongan sederhana dan rendah. Jika ini diterjemahkan kepada undi, Romney pasti kalah. Tetapi realitinya tidak begitu. Golongan sederhana dan rendah terutama yang ekonominya kesempitan, tambahan pula kalangan para penganggur mengharapkan suatu perubahan mendadak terhadap Amerika supaya hidup mereka terbela. Maknanya, yang menganggur akan dapat pekerjaan sementara yang kurang pendapatan boleh menambahkannya. Jika cara Romney boleh berkesan walaupun ia akan lebih menyenangkan golongan kaya, maka apa salahnya. Biarlah orang kaya bertambah mewah asalkan orang sederhana dan bawah dapat menaikkan taraf kehidupannya. Maknanya jika air pasang, mereka yang dalam kapal sama akan turut terapung tinggi. Walaupun orang kaya tentulah hidup dalam bilik mewah sementara yang sederhana dalam bilik biasa. Tetapi mereka semua, satu negara dapat menaiki kapal dan sampai kepada pelabuhan.

Inilah yang membuat Romney mempunyai peluang cerah. Tetapi mungkinkah ini semua tipu daya golongan kaya untuk bertambah kaya dengan tidak perlu membayar cukai banyak? Justeru, ia hanya teori dan ideologi semata-mata dan bukannya suatu program yang boleh menyelesaikan masalah pengangguran. Mungkin benar seperti kata Peter Coy dalam Bloomberg Businessweek: "Benda besar sukar untuk dipandu dan tidak ada yang lebih besar daripada ekonomi AS. Selalunya, ia tumbuh, tetapi apabila ia terhenti, presiden-presiden memiliki kuasa yang amat kecil untuk memandunya ke arah yang betul. Reagan mengharungi kemelesetan; Clinton tidak. Itu tidak bermakna Clinton adalah presiden yang lebih baik daripada Reagan. Presiden Howard Taft seratus tahun lalu pernah berkata: "Orang fikir presiden boleh membuat rumput tumbuh dan langit menjadi biru, Ia sebenarnya di luar jangkauan presiden."

Jika dilihat graf ekonomi Amerika sejak tahun 1947, pertumbuhan meningkat dengan berlaku kitaran turun dan naik. Ia berlaku tidak mengira siapa presiden yang berusaha dengan pelbagai cara. Tetapi masalah besar yang dihadapi Obama ini bermula sejak zaman Bush. Dari tahun 2000 hingga 2010, rakyat Amerika berbelanja sesuka hati melalui pendapatan daripada pembiayaan semula rumah yang sebenarnya kekayaan ilusi. Akhirnya ia tumbang juga.

Amerika seperti sebuah kapal besar. Kini Obama dan Romney bertengkar di dek nakhoda. Penumpang akan pilih siapa nakhoda pada 2 November ini. Kemudian mereka hanya berharap hidup akan menjadi lebih baik.

Sumber
Mingguan Malaysia
21 Oktober 2012

ISU MEDIA : SAMAN SEKAT KEBEBASAN MEDIA


Rencana ini ditulis oleh :
MARHAINI KAMARUDDIN


Politik dan media saling memerlukan. Orang politik memerlukan media untuk mempromosi diri dan wawasan mereka demi meraih sokongan rakyat yang akan menjadi pengundi pada pilihan raya. Media pula memerlukan ahli politik sebagai bahan penulisan mereka. Hubungan antara ahli politik dan media bagaimanapun bukanlah suatu hubungan yang harmoni sepanjang masa. Lazimnya ahli politik akan menyanjung media apabila cerita-cerita positif tentang mereka dilaporkan. Namun apabila berita yang dilaporkan itu tidak begitu positif, media akan cepat dituduh mempunyai agenda untuk menjatuhkan reputasi ahli politik terlibat. Hakikat bahawa tugas anggota media atau wartawan sebagai pelapor kejadian dan peristiwa seolah-olah enggan diterima hanya kerana berita yang dilaporkan itu tidak menyenangkan hati orang politik tertentu.

Di dalam negara kini, seolah-seolah menjadi satu trend apabila media dijadikan punching bag oleh ahli politik untuk menafikan berita yang tidak memihak kepada mereka. Tidak cukup dengan kritikan, hinaan dan kutukan, media terbabit akan disaman sebagai 'hukuman awal' kerana menyiarkan berita yang tidak menyebelahi mereka. Ironinya, pihak yang menjadikan media sasaran saman yang rata-rata angkanya mencecah jutaan ringgit itu ialah pihak sama juga yang melaung-laungkan tentang kebebasan bersuara dan menuntut kebebasan media di negara ini. Pemimpin politik ini berkokok nyaring mendesak media diberi kebebasan membuat liputan tanpa sekatan. Mereka juga menjanjikan kebebasan kepada media, lebih bebas daripada yang dinikmati sekarang sekiranya berkuasa.

Malangnya mereka jugalah yang mengenakan sekatan kepada media tertentu untuk membuat liputan secara bebas. Pihak ini jugalah yang mengancam media dengan fail-fail saman untuk 'menghukum' berita atau artikel yang tidak menyenangkan hati mereka. Apakah bacaan kebebasan media bagi pemimpin politik ini adalah kebebasan untuk media yang hanya menyebelahi mereka, yang memuji-muji mereka dan seiring sejalan dengan mereka sahaja. Jika itulah bacaannya, maka tidak ada maknanya kebebasan media yang diperjuangkan itu. Dan jika kelompok ahli politik sebegini benar-benar mendapat mandat kuasa, sudah pasti akan menjadi detik amat malang bagi pengamal media di negara ini. Tokoh undang-undang, Profesor Salleh Buang dalam penulisannya berjudul Saman Media: Perkembangan Di Luar Negara yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia mengatakan "Kecenderungan figura awam menyaman media berlaku di mana-mana, bukan hanya di negara kita."

Beliau kemudiannya menyatakan, "Yang berbeza antara negara kita dan beberapa negara Barat, andainya ada pengamal media disaman oleh figura awam atas dakwaan memfitnahnya, pengamal media di luar negara kini menikmati suatu hak pembelaan yang diberi nama responsible journalism (kewartawanan yang bertanggungjawab). Membaca pernyataan Profesor Salleh itu, membuatkan kita tertanya-tanya mungkinkah tindakan saman yang terus-menerus disasarkan terhadap media dalam negara terutamanya arus perdana dilakukan oleh kelompok ahli politik terbabit kerana mereka mengetahui yang pengamal media tempatan tidak menikmati hak pembelaan seperti di negara Barat. Pengamal media yang baik tidak takut untuk mempersembahkan berita berdasarkan fakta. Mereka berani kerana melaporkan kebenaran. Mereka tidak takut dikritik mahupun menerima kutukan.

Namun apabila mereka diancam dengan saman demi saman apatah lagi apabila nilainya mencecah jutaan ringgit, tangan mereka seolah-olah diikat ke belakang dan mulut mereka disumbat. Mereka tidak mampu menulis sedangkan menulis adalah kerjaya mereka. Mereka disekat daripada bersuara sedangkan menyampaikan suara (walaupun hanya daripada sekelompok kecil rakyat) itu tanggungjawab mereka. Tindakan saman ke atas media yang semakin menjadi-jadi di negara ini, secara tidak langsung telah menyekat kebebasan media malah lebih teruk lagi, seumpama cubaan membunuh kerjaya kewartawanan yang sah dalam landskap profesionalisme. Agak malang, apabila mahkamah yang sepatutnya menjadi tempat untuk menegakkan keadilan atau membuktikan kebenaran dipergunakan untuk tujuan politik, bagi mengekang kebebasan media melalui kaedah undang-undang.

Sumber
Mingguan Malaysia
21 Oktober 2012

ISU GLOBAL : MALAYSIA PEJUANG KEAMANAN DUNIA ISLAM



Peranan Malaysia dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan kemanusiaan di dunia Islam mendapat pujian banyak pihak termasuk Sheikh Yusuf al-Qaradawi, pengerusi Al-Quds International Institution (QII). Dalam perjuangan rakyat Palestin tatkala ini, peranan Malaysia yang menyokong perjuangan adil dan kemanusiaan telah mendapat pujian daripada QII menerusi dua pucuk surat daripada al-Qaradawi. Dalam surat beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, al-Qaradawi melahirkan penghargaan dan terima kasih beliau terhadap dedikasi dan komitmen Malaysia yang menyokong perjuangan penduduk di Baitulmaqdis. "Tidak memeranjatkan, kami sentiasa mendapati anda antara yang pertama dan terawal dalam menyokong perjuangan adil dan kemanusiaan, isu Palestin dan Baitulmaqdis adalah antaranya," katanya dalam surat kepada Najib.

Beliau menambah kata, "Kami amat tersentuh dengan keprihatinan anda dalam konteks ini, khususnya berhubung keperluan segera bagi inisiatif seumpamanya." Pencapaian terbaharu hasil daripada usaha tanpa mengenal jemu Malaysia itu ialah perjanjian damai yang dimeterai kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi pengwujudan wilayah autonomi Bangsamoro di selatan Filipina. Al-Qaradawi berkata: "Lebih penting lagi, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara negara Islam yang mempunyai strategi pembangunan mengagumkan dan terbuka, kini menjadi pusat rujukan dan contoh bagi dunia Islam. "Malah lebih membanggakan kami ialah pencapaian dan kejayaan mewujudkan cawangan QII di Malaysia, pencapaian yang mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan dan naungan anda". Beliau merujuk kepada pelancaran Al-Quds Foundation Malaysia, sebuah yayasan kebajikan untuk rakyat Palestin, yang antara lain mendidik masyarakat mengenai isu di negara berkonflik itu di samping membantu rakyat Palestin.

Membantu

Sementara itu, kalangan rakyat Malaysia turut memuji kerajaan berhubung peranan strategiknya dalam menamatkan konflik dan penderitaan selama kira-kira 40 tahun di selatan Filipina dan dalam mewujudkan prospek bagi keamanan dan pembangunan di Mindanao. Mereka berkata sewajarnya bagi Malaysia, sebagai jiran terdekat dan prihatin, memainkan peranan berterusan dalam membantu kerajaan Filipina dan Bangsamoro melaksanakan pembangunan semula di kawasan itu demi manfaat rakyat. Memuji usaha jitu kerajaan Malaysia dalam membantu umat Islam di seluruh dunia, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, banyak negara khususnya negara Islam mempercayai dan menerima peranan Malaysia sebagai pengantara ekoran pencapaiannya sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik.

"Pujian Sheikh Yusuf Al-Qaradawi merupakan satu pengiktirafan dunia kepada Malaysia (dalam memperjuangkan isu Palestin) dan kejayaan kerajaan Malaysia bertindak sebagai mediator bagi mengakhiri konflik antara Manila dan Bangsamoro, pastinya suatu pencapaian membanggakan," katanya. Beliau berkata, kejayaan Malaysia dalam mentadbir sebuah negara berbilang kaum dan kepelbagaian juga telah membolehkan negara dijadikan sebagai rujukan dalam penyelesaian konflik Bangsamoro. Mengiktiraf usaha berterusan Malaysia sejak sekian lama dalam menyuarakan kebimbangan berhubung penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin dan umat Islam lainnya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar berkata, dalam soal konflik di selatan Filipina, Malaysia merupakan negara jiran paling hampir berbanding dengan negara atau badan Islam yang lain.

"Malaysia tidak pernah berganjak apabila menyuarakan isu yang membabitkan penganiayaan terhadap etnik dan umat Islam seperti dalam isu Palestin dan bagi isu Bangsamoro ini, kita merupakan jiran paling hampir yang boleh diharapkan oleh Manila dan Bangsamoro sendiri untuk dirujuk sebagai orang tengah dan diberi kepercayaan," katanya. Sebagai anggota perkumpulan serantau ASEAN, persefahaman dan kerjasama rapat antara Kuala Lumpur dengan Manila banyak membantu dalam kejayaan rundingan damai di antara MILF dan kerajaan Filipina. "Sebenarnya peranan Malaysia dalam membantu Bangsamoro sudah lama berlangsung sejak zaman bapa Perdana Menteri, Tun (Abdul) Razak (Hussein) lagi... memang kita memperjuangkan pasal Bangsamoro dan membantu mereka dalam pelbagai sudut dan sebagai contoh banyak warga Filipina yang menjadi warganegara Malaysia khususnya di Sabah.

"Kita memang dikenali sebagai mediator yang berjaya menyelesaikan konflik yang berlaku di sesebuah negara dan disebabkan itu kita dipandang tinggi oleh dunia dan peranan yang kita galas adalah besar," kata Junaidi. Pendirian sederhana kerajaan Malaysia dan kestabilan politik negara turut diperakui oleh dunia dan diterima baik oleh banyak pihak, dengan itu memudahkan Malaysia untuk mendapat kepercayaan, katanya. Penekanan Perdana Menteri terhadap pergerakan kesederhanaan dengan penubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar sebagai pengantara untuk membantu menyelesaikan masalah dan salah faham di negara-negara yang berdepan masalah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya berpendapat proses pembinaan semula Bangsamoro patut menggunakan pendekatan Islam sederhana bagi pembangunan, pendidikan, ekonomi dan sosial menerusi penubuhan agensi-agensi Islamik seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Institut Kefahaman Islam Malaysia. "Dengan membawa Islam seperti yang kita amalkan di negara ini, ia akan membantu membangunkan masyarakat Bangsamoro dari segi rohani dan juga materialistik," katanya. Pesuruhjaya Suhakam (Pendidikan dan Perhubungan Awam), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula berkata, kerajaan Malaysia boleh membantu kerajaan Filipina dalam bidang ekonomi dan pendidikan kerana ia merupakan elemen penting dalam kemajuan sesebuah negara.

"Bidang ekonomi dan pendidikan merupakan aspek penting dalam memastikan kerajaan Filipina dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya. Ini termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat agar dapat mengatasi masalah kemiskinan," katanya. Menyokong pendirian dan pendekatan sederhana kerajaan Malaysia, Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia, A. Prakash berkata, setiap komuniti perlu saling membantu demi faedah bersama dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan. "Malah agama Hindu juga tidak sama sekali menggalakkan fanatisme dipraktikkan dan sebaliknya membantu semua umat manusia tidak mengira agama dan taraf hidup seseorang. "Saya rasa apa yang telah kita capai adalah sesuatu yang cukup besar kerana kalau kita lihat, Filipina adalah sebuah negara yang besar dan kita (Malaysia) sebuah negara yang kecil tapi saiz itu tidak menjadi penghalang untuk kita membantu negara besar yang mempunyai konflik," katanya.

Sumber
Mingguan Malaysia
21 Oktober 2012

ISU SOSIAL : PEREMPUAN KENA FAHAM, POLIGAMI HAK SUAMI


Rencana ini ditulis oleh :
Kucing Jantan


Sebelum menulis nak peringatkan semua pembaca khususnya kaum perempuan bahawa poligami dibenarkan oleh Islam manakala perceraian adalah perkara yang dihalalkan oleh Islam tetapi dibenci oleh Allah. Oleh itu, ingat puak-puak perempuan tak payah nak emosional apabila ada cadangan supaya lelaki yang sudah berkahwin tidak perlu meminta kebenaran isteri pertama kalau dia mahu berkahwin dengan perempuan berusia 30 tahun ke atas. Saya sokong 300 peratus cadangan itu kerana ketika ini ramai perempuan yang berusia sedemikian tidak berkahwin. Saya percaya mereka juga ada keinginan untuk memiliki pasangan hidup seperti wanita-wanita lain yang sudah berkahwin.

Tetapi biasalah yang selalu kejam kat perempuan ini, perempuan sendiri, sebab itulah mereka emosional apabila sentuh sahaja bab-bab poligami ni. Macam-macam hujah mereka keluarkan untuk mempertahankan 'wilayah' mereka supaya tidak dicerobohi. Saya  nak tanya puak-puak perempuan yang emosional fasal poligami ni pernahkah mereka tidak fikir apa akan jadi jika mereka juga berada dalam kategori perempuan berusia 30 tahun ke atas tetapi belum berkahwin. Saya percaya mereka pun akan berdoa siang dan malam untuk diketemukan dengan jodoh. Kalau takdir menentukan bahawa jodoh mereka suami orang, mereka nak buat macam mana? Janganlah bila dah berkahwin, rasa suami kita tu hak kita 100 peratus, perjalanan kehidupan ini bukan kita yang atur, kita hanya berusaha yang terbaik tetapi kalau ditakdirkan juga seorang perempuan tu kena bermadu, terima sahajalah.

Tetapi Saya nak ingatkan, Saya bukan sokong semua lelaki berpoligami, selain berkemampuan zahir dan batin, lelaki juga mesti beriman dan berakhlak, apabila semua syarat ini dah mencukupi saya rasa tidak ada masalah untuk dia mengendalikan dua ke, tiga ke atau empat isteri. Satu lagi kenapa perempuan suka sangat melihat soal poligami ni dari sudut negatif, sedangkan perkara itu dibenarkan oleh Allah, sudah pasti yang baik itu datang daripada-Nya dan yang buruk itu datang daripada manusia itu sendiri.

Menganiaya

Sebab itulah, saya  kata, yang selalu menganiaya perempuan bukan lelaki tetapi perempuan itu sendiri. Mereka sendiri kadang-kala tidak mahu melihat kaum sejenis mereka bahagia. Bab lain termasuk mengumpat siang malam mereka boleh berkongsi cerita, tetapi bila sentuh bab nak kongsi suami, mahu tercetus perang dunia ketiga, seolah-olah kalau mereka kena berkongsi kasih suami dengan perempuan lain dunia akan kiamat! Namun mereka lupa, kadang-kala ada sebab kenapa suami mereka nak berpoligami apatah lagi dengan perempuan berusia 30 tahun ke atas, kalau suami mereka gatal buat apa nak cari perempuan berusia sedemikian lebih baik dia cari bak kata orang anak dara trang tang-tang. Tetapi ada lelaki yang berasa bertanggungjawab untuk turut memberi kebahagiaan kepada perempuan yang masih mencari suami ketika usia semakin meningkat atau si isteri sedia ada makin membosankan.

Saya  percaya perempuan berusia sedemikian sudah ada kedudukan ekonomi yang baik, cuma kadang-kala kesibukan mereka menyebabkan tidak ada masa hendak bercinta tetapi apabila ditakdirkan mereka perlu bertemu jodoh dengan suami orang, Saya yakin mereka tidak akan tolak. Lagipun, perempuan yang sedemikian tidak memerlukan apa-apa lagi daripada seorang lelaki, selain hendak berkongsi kasih sayang, sekurang-kurangnya dalam seminggu sekali atau dua kali, teman yang boleh dibuat berbual dan bergurau senda di malam hari, tak kan itu pun tak boleh! Saya percaya lelaki yang mahu berpoligami dengan perempuan berusia 30 tahun ke atas tidak berhasrat untuk mengambil kesempatan terhadap perempuan berkenaan. Lelaki ini baik, mereka sentiasa mempunyai sikap untuk membantu kaum perempuan, masalahnya kaum perempuan tidak mahu kaum sejenis mereka bahagia, sebab itulah jumlah perempuan tidak berkahwin semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Oleh itu, saya berharap kaum perempuan tidak perlu emosional dalam berhadapan isu poligami ni. Saya tak kata, kalau apa yang dicadangkan itu boleh menyelesaikan semua masalah terutamanya mengurangkan jumlah wanita tidak berkahwin, cuma saya fikir tidak ada salah kalau perkara itu betul-betul hendak dilaksanakan. Kalau perempuan berusia sedemikian terperangkap dengan lelaki hidung belang atau akan mengikis hartanya itu nasib perempuan itulah, kenapa gatal tak mahu check latar belakang kekasih dia tu. Tetapi biasalah perempuan memang mudah lentuk, kena puji sikit mulalah jalan macam itik serati! Apa pun saya nak nasihatkan perempuan, cuba fikirkan soal poligami ini dengan tenang dan penuh rasional kerana sudah pasti ia ada kebaikannya. Lagipun lama mana sangatlah kita nak hidup kat dunia ni, sekurang-kurangnya melalui langkah mereka membenarkan suami berpoligami dengan perempuan berusia ini, ia akan mendatangkan pahala dan menceriakan dunia rumah tangga.

Akhir kata saya nak nasihat kepada kaum perempuan yang sudah berkahwin, poligami adalah hak suami! Jadi tak payahlah nak makan hati!

Sumber
Mingguan Malaysia
21 Oktober 2012