JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 November 2010

ISU PENDIDIKAN : KESAN KETARA MERITOKRASI KE IPTA


Heboh seketika dulu apabila jumlah pelajar wanita ke insititusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi kemasukan 2009/2010 mengatasi pelajar lelaki. Daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bermula Jun lalu misalnya, 65 peratus atau 26,200 orang daripada mereka ialah pelajar wanita. Namun, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend pelajar perempuan mendominasi IPT sudah menjadi sesuatu yang biasa. Ia turut berlaku di kebanyakan negara apabila kebanyakan wanita hari ini mempunyai akses yang sama rata kepada sistem pendidikan.

Tetapi ada perkara lain daripada jumlah pengambilan pelajar baru ke IPTA di negara ini yang sepatutnya lebih mendapat perhatian. Secara komposisi kaumnya, daripada jumlah keseluruhan pelajar ke IPTA sesi kali ini, sebanyak 27,829 orang adalah calon bumiputera. Seramai 10,116 orang pula merupakan pelajar kaum Cina manakala selebihnya iaitu sebanyak 2,421 terdiri daripada pelajar kaum India dan kaum lain. Pada dasarnya, kemasukan pelajar bumiputera masih tinggi berbanding pelajar bukan bumiputera. Tetapi apa yang tidak kelihatan ialah bagaimana pecahan sebenar komposisi pelajar itu jika dilihat daripada kaedah kemasukan iaitu berdasarkan prinsip meritokrasi?

Sejak 2003, pengambilan pelajar ke IPTA tidak lagi berdasarkan kuota yang mana 55 peratus tempat diperuntukan kepada bumiputera manakala 45 peratus yang lain kepada bukan bumiputera. Sebaliknya, kerajaan memperkenalkan prinsip meritokrasi yang membuka peluang sama rata kepada pelajar pelbagai kaum berdasarkan kemampuan pelajar. Ketika diperkenalkan, sistem meritokrasi antara lain dirujuk sebagai satu bentuk pengajaran kepada kaum bumiputera supaya tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan. Dengan pelaksanaan itu juga, para pelajar akan dipilih berdasarkan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. 

Pemilihan itu pula dibuat oleh sebuah badan yang ditubuh khas iaitu Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (yang dahulu dikenali Unit Pusat Universiti atau UPU). Ketika peringkat awal pelaksanaannya, kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA dicatatkan sebanyak 68.9 peratus. Ia memeranjatkan banyak pihak terutamanya mereka yang menentang pelaksanaannya kerana bimbang sistem itu akan dibolot oleh pelajar bukan bumiputera yang diketahui lebih pandai dan cemerlang. Rekod penguasaan pelajar bumiputera itu terus dipertahankan untuk tahun-tahun berikutnya iaitu 62.6 peratus pada sesi 2003/2004 dan 63.8 peratus pada 2004/2005. Bagaimanapun selepas kira-kira lapan tahun pelaksanaannya, jumlah pelajar bumiputera itu menunjukkan perbezaan yang sangat ketara. 

Tahun ini, iaitu bagi pengambilan pelajar sesi 2009/2010 yang bermula Jun lalu, jumlah pelajar bumiputera yang layak berdasarkan prinsip meritokrasi dikatakan hanya sebanyak 26 peratus sahaja. Bakinya iaitu 74 peratus tempat yang lain, dibolot oleh pelajar-pelajar bukan bumiputera. Meskipun fakta ini tidak didedahkan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan pengambilan pelajar ke IPTA, namun ia mempunyai asas yang kukuh untuk diyakini. Ini bermaksud, apa yang dibimbangi oleh banyak pihak sebelum ini mengenai akan berlakunya tempat yang dibolot oleh pelajar bukan bumiputera menjadi kenyataan.

Asas kebimbangan itu sebenarnya sangat jelas kerana pelajar bukan bumiputera mempunyai kelebihan dari sudut pencapaian akademik kerana beberapa faktor. Antaranya kerana kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik yang membolehkan pelajar bukan bumiputera mendapatkan pendidikan tambahan di luar sesi persekolahan. Malah, ada yang mampu mengupah guru persendirian khusus untuk mengajar anak-anak mereka secara peribadi. Sudah semestinya, keputusan peperiksaan mereka jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar bumiputera yang rata-ratanya hanya bergantung kepada pendidikan asas di sekolah biasa. Ketidakadilan itu lebih dirasai oleh pelajar-pelajar di luar bandar yang mana akses mereka kepada pendidikan tambahan lebih terhad. Belum pun satu dekad prinsip meritokrasi itu dilaksanakan, jurang antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang layak ke IPTA sudah kelihatan begitu besar. 

Tidak mustahil, tiada lagi pelajar bumiputera yang layak ke IPTA berasaskan sistem merit sekiranya dasar ini dikekalkan untuk satu jangka masa panjang. Kerana itu adalah wajar bagi kerajaan mengkaji semula dasar ini dengan mengambil kira survival pendidikan tinggi bumiputera. Perkara ini bukan tidak disedari oleh pihak kerajaan kerana khabarnya, kerajaan terpaksa menambah bilangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengimbangi jumlah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPTA. Ini kerana UiTM ketika ini merupakan satu-satunya universiti khusus milik bumiputera dan tidak mengamalkan sistem merit sepenuhnya dalam pengambilan pelajar. Akan tiba masanya, UiTM juga tidak lagi mampu menampung lebihan pelajar berkenaan dan ketika itu, ke mana pelajar-pelajar bumiputera akan ditempatkan? 

Soal menjamin pendidikan kepada bumiputera adalah sesuatu yang jelas dalam Perlembagaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan. Tidak perlu ada rasa bersalah dalam memastikan bumiputera mendapat kelebihan kepada akses pendidikan yang sempurna termasuk di peringkat pengajian tinggi kerana itu merupakan hak mereka. Sementelah, kaum bumiputera juga berdepan dengan persekitaran yang tidak adil untuk diajak bersaing secara terbuka menerusi pelaksanaan prinsip meritokrasi. Ini kerana mereka tidak berkemampuan untuk ke sektor pengajian swasta seperti kaum lain sekiranya gagal ke IPTA kerana kos pengajian yang terlalu tinggi. Kaum bukan bumiputera pula seharusnya sedar bahawa sistem kuota yang dilaksanakan sebelum ini tidak sedikit pun menafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Dengan komposisi kemasukan pelajar mengikut kaum yang terlalu kecil, kuota 45 peratus yang disediakan kepada bukan bumiputera ke IPTA masih meninggalkan baki yang tidak dipenuhkan. 

Selain itu, mereka juga disediakan beberapa buah universiti khusus untuk kaum tertentu yang dananya disalurkan oleh kerajaan. Sebagai contoh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Terbuka Wawasan, Kolej New Era dan beberapa universiti lain. Begitu juga dengan lambakan universiti dan kolej universiti swasta yang majoriti pelajarnya terdiri daripada bukan bumiputera. Dalam erti kata yang lain, kaum bukan bumiputera sebenarnya tidak mempunyai banyak masalah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi di negara ini meskipun ketika amalan kuota diguna pakai. 

Malah jika faktor itu juga diambil kira, kita akan menyedari bahawa kaum bumiputera sebenarnya berdepan dengan peluang yang sangat terhad untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, bukan hanya kekuasaan ekonomi yang akan terlepas daripada tangan kaum bumiputera. Malah kita juga akan kekurangan kumpulan cerdik pandai yang akan menguruskan negara pada masa depan. 

Oleh 
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Utusan Malaysia 
20 Julai 2010



ISU EKONOMI : POTENSI MALAYSIA JADI PUSAT RUJUKAN HALAL SEDUNIA


Industri  halal bukan hanya terhad kepada industri produk yang berasaskan makanan dan minuman sahaja malah ia merangkumi sektor yang lebih besar merangkumi farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, pembungkusan, logistik, perbankan dan kewangan, jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan, pelancongan dan bidang-bidang lain di dalam ekosistem industri halal. Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2010 (Mihas 2010) Ke-7 yang sedang berlangsung sekarang adalah platform terbaik dan penting bagi usahawan Malaysia khususnya dan negara-negara ASEAN secara amnya dalam usaha untuk menembusi pasaran halal global.

Mihas semakin mendapat penyertaan dari negara luar yang mula menyedari potensi besar dalam industri halal ini. Mihas 2010 disertai oleh 169 syarikat asing dan 334 syarikat tempatan dari 32 buah negara dengan Itali, Albania, Belgium, Hong Kong dan Romania merupakan peserta baru. Untuk rekod, Mihas 2009 disertai oleh 127 syarikat asing dan 402 syarikat tempatan. Di samping Mihas, Forum Penyelidikan Halal Sedunia (WHR) diadakan di Pusat KonvensyenKuala Lumpur (KLCC) untuk memberi penerangan yang lebih jelas dan berinformasi mengenai isu-isu yang berkaitan dengan industri halal dan platform untuk berkongsi idea dan inovasi baru untuk faedah industri.

Kesungguhan Malaysia menjadi peneraju hab halal dunia terbukti dengan penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang diletakkan di bawah Badan Bertindak Pelaksanaan Kebangsaan (NITF) untuk menjadi sebuah institusi yang memfokuskan usaha memajukan industri halal di negara ini. HDC berperanan dan bertanggungjawab untuk menjadi peneraju kepada penetapan piawaian halal termasuk proses mengaudit, pengeluaran sijil halal bagi melindungi integriti halal, membangun, mempromosi dan memasarkan jenama halal Malaysia dan mempromosi konsep barangan halal dan perkhidmatan di Malaysia kepada pasaran dunia yang lebih luas.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang membangunkan piawaian makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500:2004. Ternyata, Malaysia mempunyai kelebihan dan kepakaran menerajui industri halal ini. Di samping itu, kerajaan proaktif dengan menyediakan lapan taman perindustrian pengeluaran produk dan perkhidmatan halal negara dan juga menawarkan insentif menarik untuk menggalakkan perniagaan untuk menyertai industri halal di Malaysia termasuklah elaun cukai pelaburan untuk pengeluaran makanan halal, faedah istimewa untuk eksport produk halal dan pengecualian duti import bahan mentah.

Perdagangan halal di pasaran global mencatatkan nilai RM7.4 trilion setahun dan jumlah penduduk Islam di seluruh dunia yang dianggarkan 1.6 bilion adalah pemangkin kepada perkembangan industri halal. Justeru, penglibatan dan usaha berterusan dari semua pihak melalui agensi kerajaan, pihak swasta, usahawan-usahawan mampu merealisasikan hasrat kerajaan menjadi peneraju dan pusat halal sedunia.  


Oleh NADZIR AWANG AHMAD 
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan 
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

ISU DADAH : SEJUTA PENAGIH DADAH DI MALAYSIA

Taburan Penagih Tertinggi Di 14 Buah Ibu Negeri Bagi Januari 2009
Malaysia berhasrat menjadikan tahun 2015 sebagai tahun dadah sifar iaitu tahun di mana kita bebas sama sekali daripada gejala penagihan dadah. Tahun 2003 sudah pun diisytiharkan sebagai Tahun Memerangi Dadah Habis-habisan. Apa yang sangat membimbangkan ialah hakikat bahawa bilangan penagih dadah semakin meningkat dan kini dianggarkan sudah berjumlah satu juta. Satu juta penagih dalam negara yang penduduknya 23 juta adalah jumlah yang sangat besar. Penduduk Thailand 63 juta. Penagih dadah di negara jiran itu dianggarkan tiga juta.

Nampaknya strategi mencegah tidak berkesan dan strategi pemulihan juga tidak ke mana. Kenapa keadaan bertambah buruk dan tidak bertambah baik? Masalah paling besar ialah kegagalan mencegah dadah daripada dibawa masuk ke negara kita. Dadah yang disalahgunakan oleh penagih di Malaysia dibawa masuk dari Thailand. Penyeludupan dadah serta pasarannya dikuasai oleh mereka yang berani mati. Kita semua sering bertanya kenapa sukar sangat hendak menyekat dadah daripada dibawa masuk dan dipasarkan di negara kita. Hanya mereka yang tahu sahaja akan memahami kesukarannya. Memerangi penyeludupan dadah jauh lebih sukar daripada apa yang dapat kita fikirkan. Ia tentang duit, ugutan dan pembunuhan. Masalah akan lebih rumit jika berlaku `pagar makan padi'.

Ada cadangan supaya kita membina tembok sepanjang sempadan dengan Thailand. Ini mungkin berkesan, tapi sejauh mana kesannya? Penyeludup akan memikirkan seribu macam cara lain. Walaupun sukar, berat dan bahaya, gejala dadah perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh. Ia juga ada kaitan dengan gejala AIDS yang turut meningkat. Malaysia sudah pasti menjadi negara maju pada tahun 2020 tetapi apakah gejala-gejala yang sedang mengancam kita akan merosakkan segala-gala yang telah dibina dengan penuh susah payah itu?

Thailand mengambil jalan drastik dalam usaha memerangi gejala salah guna dadah - tembak mati. Bila Perdana Menterinya melancarkan kempen memerangi gejala itu, lebih 2,000 orang yang disyaki terbabit ditembak mati dalam tempoh tiga bulan. Pada akhir kempen itu, diisytiharkan 90 peratus daripada masalah yang dihadapi berjaya diselesaikan. Bagaimanapun cara kempen itu dibuat dikecam oleh Amnesty International. Apakah kita perlu ikut cara Thailand? Jika tidak, apa hendak dibuat? Kita tidak mempunyai sepuluh tahun untuk menghapuskan gejala ini. Jika trend semasa tidak dapat disekat, satu juta penagih yang ada hari ini akan bertambah menjadi dua juta. Bertindaklah sebelum kita sampai ke tahap di mana terdapat seorang penagih dalam setiap keluarga.


Sumber
Utusan Malaysia
30 Mei 2004